Birr Al-Hajj, Kebajikan Dalam Ibadat Haji & Ciri-ciri Haji Mabrur

Link Kuliah: https://fb.watch/sHBYkCfxl3/

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Rehlah Haji DrAAM 2024

Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t yang telah memfardhukan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mengerjakan Haji ke Baitullah al-Haram ini.

Allah juga telah letakkan dalam hati hamba-Nya yang beriman perasaan rindu, suka & sayang untuk sampai ke Baitullah al-Haram.

Ia sekaligus memperkenankan doa Nabi Allah Ibrahim a.s yang telah memanggil & menyeru manusia semuanya setelah usai membina Baitullah al-Haram bersama anaknya Nabi Ismail a.s suatu ketika dulu.

Selawat & salam juga ke atas Nabi kita Muhammad s.a.w yang telah membersihkan bumi Makkah ini daripada segala bentuk syirik, mungkar & maksiat & menyeru kepada tauhid dan menyembah Allah s.w.t semata-mata.

Serta telah mengembalikan Makkah kepada Syari’ah yang telah dibawa Nabi Allah Ibrahim a.s.

Juga salam ke atas para sahabat Baginda & semua yang berjalan mengikut Sunnah Nabi s.a.w.

Alhamdulillah kita bersama lagi dalam siri kuliah di Makkah bagi rehlah haji tahun ini.

Dalam siri ini kita nak memahami makna Haji Mabrur dan apakah kebajikan dalam haji- ia amat penting bagi perjalanan hati menuju kepada Allah s.w.t yang amat besar tujuannya!

Apakah Haji Mabrur (مَبْرُور)?

Dari Sudut Bahasa

Dengan maksud atau niat (القصد) untuk buat sesuatu.

Dari Sudut Syari’ah

Haji ialah menuju ke Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan amal ibadat tertentu yang telah ditetapkan Allah s.w.t menurut syarat-syaratnya.

*Bermula dari niat sehingga selesai semua rukun & wajibnya.

*Ia juga mempunyai waktu & tempohnya yang khas untuk berniat haji iaitu bulan haji; daripada 1 Syawwal sehingga subuh 10 Zulhijjah.

*Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima.

Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

ii- Makna mabrur (مَبْرُور) yang diambil daripada perkataan (بِرٌّ) yang bererti kebaikan iaitu haji yang baik, yang diterima Allah s.w.t!

Pandangan Ulama

Ulama’ bahasa membahaskan bahawa orang yang datang haji kepada tiga kategori:

i- al-Hajj (الحاج)– jika perempuan hajjah (الحاجة)-. Iaitu orang pergi ke Baitullah untuk mengerjakan ibadat haji yang telah ditetapkan seperti di atas tadi- dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

Maka yang zahirnya hajilah dia- kerana niat tiada siapa yang boleh kesan & pertikaikannya- hanya Allah s.w.t yang tahu.

ii- ad-Dajj (الداج)– pengikut kepada jemaah haji- dia pergi ke Makkah bukan untuk mengerjakan haji tetapi kerana kerja seperti pekerja (pemandu bas/lori, pengangkut barang, dan sebagainya) atau khadam yang berkhidmat kepada orang yang buat haji.

Yakni kerana sebab atau urusan dunia.

iii- az-Zajj (الزاج)– orang yang pergi ke Makkah kerana nak tunjuk kepada orang, nak cari masyhur- agar orang puji perbuatannya itu.

Dia buat haji tetapi dengan riya’, dengan niat nak menunjuk kepada orang, bukan ikhlas semata-mata kepada Allah!

Semoga kita termasuk dalam golongan pertama yang akan mendapat kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Haji yang mabrur tidak ada balasannya selain syurga.”

Lalu sahabat itu bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah (tanda) mabrur itu?”

Rasulullah S.A.W menjawab, “Memberi makanan kepada orang lain dan mengucapkan kata-kata yang baik.”

[HR Ahmad dan lain-lain].

Sebutan Haji

Haji boleh dibaca dengan dua bacaan samada ha (ح) baris atas atau bawah; hajja (حَجَّ) atau hijja (حِجَّ).

Dalilnya sebagaimana firman Allah s.w.t:

i- Dalam surah Aali Imran ayat 97 (حِجَّ):

{وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ}-

{Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji }.

ii- Dalam surah al-Hajj 27 (حَجَّ):

{وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ}-

{Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji}

*Al-Quran bawa dua bacaan dan makna keduanya adalah pergi haji ke Makkah!

Makna Lain

Kita lihat pula erti Haji Mabrur; iaitu haji yang baik, yang elok, yang sempurna dan yang diterima Allah s.w.t.

Terdapat beberapa kriteria yang disebut kita huraikan dan buat kesimpulannya mudah-mudahan kita akan dapat haji mabrur.

Hadis- daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ.

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).” – [HR Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)]

Ulama’ hadis menafsirkan makna Haji mabrur sebagai:

i- Haji yang diterima (qabul) oleh Allah s.w.t.

Bila diterima maknanya ia mabrur.

ii- Haji yang dibuat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

iii- Dari sudut pelaksanaannya bertepatan dengan ajaran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Dari Jabir r.a bahawa Rasulallah s.a.w bersabda:

“Kamu ambillah dariku (Nabi) cara dan kaedah kamu mengerjakan haji, barangkali setelah tahun ini aku (Nabi) tidak (kesempatan) melihat kamu.” [HR al-Baihaqi].

iv- Digunakan perbelanjaan untuk haji itu daripada harta yang halal.

*Hadis- diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّه.

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji kemudian tidak melakukan rafath[a] dan fasiq, nescaya keluar dosanya[b] seperti baru dilahirkan oleh ibunya.”

[HR al-Bukhari (1819)]

Makna Rafath Dan Fasiq

a- Ulama berkata:

*Rafath ialah nama bagi setiap perkara yang lagha, kata-kata yang keji, hubungi intim suami isteri dalam ihram, perlakuan maksiat dan juga gurau-senda yang melampau tanpa wujud perasaan malu di dalam jiwa.

*Fasiq pula ialah keluar daripada kepatuhan kepada Allah S.W.T. termasuk juga berbalah, merokok dan lain-lain.

Semoga kita semua meninggalkan semua perbuatan dosa & maksiat sebelum sampai di Arafah.

b- maksudnya seperti bayi baru lahir ia adalah dalam keadaan maksum, tidak mempunyai dosa sedikitpun.

c- Ulama’ berbahas pula dosa mana yang diampukan Allah itu.

Ada kata dosa kecil saja ada kata semua dosa dengan Allah samada besar atau kecil KECUALI yang berkait dengan manusia; tidak akan lepas selain minta maaf dengan tuan haknya!

*Jangan sampai pergi haji dengan menggunakan duit/hak orang tanpa keizinannya.

Kriteria Haji Mabrur

Kriteria Haji untuk menjadi mabrur mesti ada dua perkara asasnya:

i- Seseorang melakukan semua amal-amal kebajikan baik dari segi ibadat, aqidah, muamalah dan semua kebaikan.

ii-Menjauhi segala dosa dan maksiat yang dilarang Allah Azza wa Jalla.

Jemaah Haji Tri-D

Amalan Haji

Apakah pula amalan baik yang perlu dibuat ketika Haji:

i- Ihsan buat baik kepada orang lain (الإحسان).

Ini kerana dalam ibadat haji kita tidak pergi seorang bahkan manusia daripada seluruh dunia datang.

Maka kita akan berjumpa dengan pelbagai bangsa dan bahasa.

Apatah lagi teman-teman sebilik & sekhemah yang datang bermusafir bersama kita.

ii- Hadis:

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ

فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Daripada an-Nawwas bin Sam‘an al-Ansari R.A, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang erti kebaikan dan dosa.”

Maka Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kebaikan adalah akhlak yang baik (حُسْنُ الْخُلُقِ).

Manakala dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.”

[HR Muslim, No: 2553, at-Tirmizi, No: 2389, Ahmad, No: 16973].

*Kebaikan ini adalah akhlak baik seperti tidak tidak menghina, mengata & mengutuk orang, serta tidak menyakiti orang lain dengan perkataan, perbuatan, isyarat dan seumpamanya, seperti tulisan kita.

iii- Ada pula orang yang bertanya kepada Ibnu Umar r.a apahkah itu kebaikan?

Jawabnya: Kebaikan itu ialah muka yang sentiasa tersenyum & perkataan yang baik.

*Yakni semasa dalam haji ini kita sabar dan bercakap baik, muka senyum walaupun kita sedang nak marah. Sabarlah dalam masa sehari dua ini sifat ini amat perlu untuk kita dapatkan haji mabrur!

Ini kerana kesabaran itu ialah semasa sedang menghadapi ujian atau teguran itu sebagaimana kisah dalam hadis ini:

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya kesabaran itu adalah ketika mana kejutan yang pertama.“

[HR al-Bukhari (1283), Muslim (926)].

iv- Beri makan kepada orang & jaga lidahnya daripada perkataan yang tak baik,

seorang ulama’ salaf Saad bin Jubair rhm ditanya: Siapakah jemaah Haji yang baik?

Jawabnya: Beri makan kepada orang & jaga lidahnya daripada perkataan yang tak baik.

*Ini termasuk dalam bersahabat dan bersosial sesama jemaah haji, berkenalan & berkongsi makanan lalu berbaik.

Ciri-Ciri Jemaah Haji Yang Baik

Kata Syeikh Abu Jaafar al-Baqir rhm, 3 perkara yang perlu ada ketika haji, iaitu ciri-ciri jemaah haji yang baik:

i- Sifat wara’, taqwa, takut kepada Allah yang menghalangnya dari buat maksiat. Kawalan dalam diri kita sendiri.

ii- Sifat lemah lembut, toleransi & tolak-ansur sesama manusia.

Siapa yang beri tempat (permudahkan urusan) kepada orang di dunia insya’ Allah, Allah luaskan kuburnya kelak.

iii- Elok pergaulan, bersahabat dan berkawan dengan baik. Inilah sifat yang baik apatah lagi musafir dalam haji!

Berkata Syeikh Rabi’ah rhm: 3 maruah atau akhlak orang musafir:

i- Beri bekalan atau berkongsi makanan yang dibawa.

ii- Jangan banyak khilaf dengan sahabat dalam perjalanan.

iii- Sekali-sekala ada bergurau senda yang tidak dimurkai Allah. Kawal & jagalah gurauan jangan melebihi had.

Syeikh Ibrahim bin Adham rhm. syaratkan orang yang akan ikut musafir bersamanya agar:

i- Bila tiba waktu solat, dia mahu azan supaya alam sekiling menjadi saksi.

ii- Dia sedia berkhidmat kepada ahli musafir bersamanya.

Syeikh Abdullah bin al-Mubarak rhm. seorang mujahid & abid (berjihad & beribadat seiring) adalah seorang yang suka buat jamuan, menjamu makan orang lain hatta ketika dia berpuasa.

i- Kita puasa tidak menghalang untuk menjamu tetamu yang datang.

*Tetapi jika tetamu yang datang adalah jemputan kita atau sudah buat janji lama, jika puasa sunat biasa, atau jika diet harus kita buka dan makan bersama untuk merainya.

*Ini kerana; menjaga hati hati sahabat lebih afdhal daripada menjaga body!

ii- Syeikh Abdullah apabila dia mahu pergi haji dia isytihar siapa yang mahu ikutnya boleh mula menabung & mereka memberinya duit untuk disimpan sebagai belanja haji.

Selesai haji dengan segala khidmat dan jamuan makan; setibanya di tanah air dia mengembalikan semula duit para jemaah hajinya sebagai hadiah untuk bawa balik kepada keluarga masing-masing!

Allahu Akbar, semua atas nafkahnya, seorang yang begitu hebat!

Kesimpulan

Kesimpulannya dalam perjalanan haji ini ihsan ialah untuk jaga:

i- Hubungan dengan manusia; muka senyum, cakap baik, berbuat baik sesama manusia, banyak bersabar, jangan banyak khilaf, beri makan, jaga kebersihan agar dapat tempat yang selesa.

ii- Hubungan dengan Allah pula; Melakukan semua ketaatan.

Bila kita nak haji kena lakukan rukun haji yang enam itu. Kita kena buat rukun, sunat & jauhkan semuanya yang dilarang.

Yang sunat kita lakukan secara maksimum, ambil peluang kita berada di Tanah Haram ini untuk meraih pahala sebanyak mungkin, insya’ Allah.

Allah ajarkan enam jenis kebaikan dalam firman-Nya ini:

{Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.} [Al-Baqarah 2:177].

Iaitu secara ringkasnya:

i- beriman kepada Allah s.w.t

ii- infakkan harta fi-sabilillah. iii- mendirikan solat iv- tunai zakat

v- tunai janji samada kepada Allah atau manusia. vi- sabar ketika susah atau senang.

Firman Allah s.w.t: {Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiyah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.} (Al-Baqarah 2:198)

Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:199)

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.

Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.} (Al-Baqarah 2:200)

Ayat ini tentang perihal amalan khusus semasa Haji:

i- Banyakkan zikir pada hari haji.

Bahkan Rasulullah s.a.w mengatakan haji itu adalah amalan ibadat khas untuk mengingati (zikir) kepada Allah s.w.t.

ii- Antara zikir terbaik ialah:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia serta di akhirat dan selamatkanlah kami dari siksa api neraka.”

Sebagaimana firman Allah s.w.t:

{Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.} (Al-Baqarah 2:201)

*Jadilah orang yang bijak menguruskan masa, bijak memohon meminta doa kepada Allah s.w.t, jangan minta dunia saja kita akan rugi Akhirat kelak!

iii- peringatan & nasihat AAM setiap masa & ketika: merokok adalah haram & membawa banyak keburukan apatah lagi merokok ketika menjadi tetamu Allah di Tanah Haram.

Kita letakkan keazaman untuk berubah kepada kebaikan, kemudian ikhlaskan doa memohon petunjuk dan pertolongan kepada Allah s.w.t!

*Inilah ciri-ciri haji yang pertama iaitu ihsan (الإحسان)- berbuat baik kepada Allah & sesama manusia.

Manakala ciri-ciri Haji yang kedua ialah meninggalkan perkara yang dilarang Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya:

{(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).} (Al-Baqarah 2:197)

*Semoga dengan kita buat dua perkara ini & tinggalkan segala larangan Allah ini kita semua akan mendapat Haji mabrur & diampunkan segala dosanya!

DrAAM menyampaikan tazkirah – Haji 2024

Ciri-ciri Haji Mabrur

Khulasah ciri-ciri haji mabrur atau tanda-tanda birrul hajj:

i- kita buat haji dengan sempurnakan rukun, yang wajib dan sunatnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Dari Abu Hurairah ‘Abdurrahman bin Shakr r.a, ia berkata:

“Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Apa saja yang aku larang, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan, maka kerjakanlah semampu kalian.

Sesungguhnya yang telah membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah banyak bertanya dan menyelisihi perintah nabi-nabi mereka.”

[HR. Bukhari, no. 7288 dan Muslim, no. 1337]

ii- melakukan semua perkara kebaikan samada kebaikan dengan Allah, manusia, haiwan dan alam semuanya.

iii- elok pergaulan dengan manusia dan memiliki akhlak yang mulia.

Sebagaimana hadis Nabi s.a.w & perkataan Ibnu Umar r.a di atas tadi.

iv- perbanyakkan berzikir & berdoa kepada Allah terutama baca al-Quran.

Sebaik-baik doa hari Arafah:

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah:

“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”

(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”

[HR Tarmizi, 3585].

*Ini adalah doa tanpa meminta apa-apa iaitu doa atau zikir sebagai ibadat kepada Allah.

** manakala jenis doa kedua ialah permohonan iaitu berdoa kepada Allah untuk diri sendiri, ibu bapa, anak isteri-suami, kaum keluarga, sahabat handai, guru serta semua orang yang disayangi dunia Akhirat.

Sebagaimana projek kita- nak masuk syurga sekeluarga.

v- jauhkan segala perkara yang tidak elok, benda yang tidak baik.

Sebagaimana firman Allah s.w.t tadi.

vi- pastikan belanja yang digunakan untuk haji adalah wang yang halal & nafkah benar.

Kata ahli syair:

Jika kamu pergi haji dengan harta yang tidak halal;

maka bukan kamu yang naik haji tetapi unta yang kamu bawa itu pergi haji.

vii- perbetulkan niat- jangan nak bangga dan riya’, nak menunjuk kepada manusia.

Apakah tanda-tanda Haji mabrur?

Kata ulama’ sebagaimana yang disusun oleh Imam Nawawi dan lain-lain ulama’ rhm. antaranya:

Kembalinya seorang haji dengan jiwa & sifat yang lebih baik daripada sebelumnya.

Penutup

Semoga kita semua berubah kepada sifat dan akhlak yang lebih baik, insya’ Allah.

Semoga kita semua termsuk dalam golongan yang maqbul & mabrur hajinya & segala amal ibadatnya insya’ Allah.

Allahu A’lam.

Catatan UAM Tazkirah Ilmu, Rabu 12/6/2024 – 6 Zulhijjah 1445H.