Isi Kandungan
Muhasabah Selepas Haji Ditunaikan
Alhamdulillah, pada hari Sabtu 12 Zulhijjah semua jemaah Ash-Har selamat pulang ke Makkah keluar dari Mina dengan niat nafar awal.
Jemaah digalakkan melakukan Tawaf dan Sa’ei haji bagi mereka yang melakukan haji tamattu’, agar semua amalan haji selesai sebelum tamatnya hari Tasyriq – kalau terlepas pun tidak salah- ambil jalan segera selesaikan semua amalan haji dan terlepas semua larangan ihram (Tahallul Thani).
Semua selesai kecuali mereka yang uzur syar’ie atau sakit yang memerlukan bantuan.
Majlis Muhasabah
Isnin, 14 Zulhijjah 1436H.
Setelah berehat selama dua hari, suatu majlis muhasabah amalan haji yang telah selesai dilakukan, diadakan di Hotel Nada Dhiyafah, Makkah.
Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk mengumpul semula semua jemaah haji yang bersama dengan Ash-Har dari semua maktab untuk saling bertanya khabar dan mengucapkan selamat mengerjakan haji.
Majlis dimulakan dengan ucapan ketua Qafilah Ash-Har, Ustaz Haji Ahmed Shukri, dalam uacapannya beliau menceritakan sedikit latar belakang operasi perjalanan haji tahun ini, dengan usaha dan kerja keras warga Ash-Har di Malaysia dan Makkah untuk memastikan jemaah kuota tambahan (60 orang lebih) dapat menunaikan haji pada tahun ini.
Kemudian Ustaz Hasyimi (Pembimbing Maktab 68) pula menyampaikan analogi haji yang ditunaikan bukan seperti gambar dalam frem atau selfie si kaki pancing yang dapat ikan besar kemudian ambil gambar dan ikan itu dilepaskan kembali.
Muhasabah Selepas Haji
“HAJI BUKAN SEKADAR GAMBAR DALAM FRAME”
“Seumpama seorang kaki pancing yang sudah berhempas pulas, berpenat lelah mengawal joran untuk menaikkan seekor ikan yang baru menyambar umpan pada mata kailnya.
Setelah hampir sejam bertarung akhirnya si ikan gergasi berjaya dinaikkan ke atas darat.
Puas dan lega! Si pengail terus mengambil gambar kenangan bersama habuan tangkapannya ini. Ia seakan sebuah piala yang baru dimenangi.
Sejurus selepas itu, ikan tersebut dilepaskan kembali ke dalam sungai. Yang tinggal pada si pengail cuma gambar kenangan. Ikan yang sepatutnya menjadi santapan jasad, terbuang begitu sahaja. Alangkah ruginya si pengail. Masa bertarung hampir sejam dengan si ikan gergasi hanyalah kerja sia-sia.”
Tepat dan benar sekali analogi ikan dan pengail yang diberikan oleh ustaz Ahmad Hasyimi ketika mengisi slot “MUHASABAH SELEPAS HAJI” untuk jemaah haji pakej ASH-HAR Travel di Hotel Nada al-Dhiyafah.
Analogi beliau memang wujud pada sesetengah orang yang pulang dari mengerjakan rukun Islam ke 5 ini.
Kesusahan yang dilalui semasa menunaikan haji bermula dengan berpanas di Arafah, bersesak tidur dengan berbumbungkan langit di bumi Muzdalifah, bermalam pada hari 11 dan 12 Zulhijiah dalam khemah di Mina, keletihan 3 atau 4 kali berjalan kaki untuk melontar Jamrah Kubra dan 3 Jamrah yang lain, di mana setiap satu perjalanan melontar mencecah jarak 4.5 km! Kesesakan menunaikan Tawaf Ifadhah dan Sa’ei Haji seakan hanyalah suatu “kenangan susah” ketika melancong ke Makkah dalam musim Haji.
Roh haji tidak kekal melekat pada diri kita selepas pulang ke tanah air. Kita yang perlu berusaha mengekalkannya sehingga ke akhir hayat. Sungguh malang bagi manusia yang meninggalkan semangat rohani dalam ibadah haji di Makkah. Kemudian pulang ke tanah air sebagai individu sama, yang masih bergelumang dengan segala bagai tabiat lama, sedangkan gelaran “Tuan Haji atau Puan Hajjah” bakal dinobatkan manusia.
Ustaz Hasyimi menegaskan roh serta semangat ibadat haji yang menuntut kita “bersabar dan patuh” kepada semua suruhan dan larangan Allah dalam haji, wajib dibawa pulang bersama ke tanah air. Ia wajib dipakai seumur hidup. Pulang haji menuntut kita membuka lembaran baru dalam hidup selepas menjiwai peranan “HAMBA ALLAH YANG SENANTIASA PATUH DAN RELA BERKORBAN APA SAHAJA DEMI ALLAH.”
Berkaitan dengan jaminan pengampunan Allah bagi orang yang mencapai haji mabrur pula, Ustaz Hasyimi menegaskan bahawa hak memberi pengampunan adalah MUTLAK MILIK ALLAH. Ia bukan boleh dipaksa. Allah bukanlah majikan yang “terpaksa” memberikan “gaji pengampunan” kepada manusia setelah “kerja haji” diselesaikan. Sebaliknya pengampunan dari Allah adalah al-Fadhl atau kemuliaan yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu:
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
{Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? DIA MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA), DAN MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIATNYA). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} [Al-Ma’idah, 5:40].
Bukti lain yang menunjukkan pengampunan adalah hak mutlak Allah adalah kerisauan nabi Adam AS di padang mahsyar nanti jika Allah akan menarik balik pengampunan yang pernah Allah anugerahkan kepadanya semasa di dunia dahulu:
فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ
{Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawwa’) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).}
ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ
Kemudian TUHANNYA MEMILIHNYA (DENGAN DIBERI TAUFIK UNTUK BERTAUBAT), LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA SERTA DIBERI PETUNJUK.} [Taha, 20: 121-122].
Walaupun dosa Baginda a.s sudah diampunkan, kerisauan tetap ada pada Baginda di akhirat kelak sehingga apabila diminta memberikan syafaat kepada semua manusia Baginda menjawab:
إن ربي غضب غضبا لم يغضب قبله مثله ولا يغضب بعده مثله وإنه نهاني عن الشجرة فعصيت نفسي نفسي نفسي اذهبوا إلى غيري
“Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah berlaku pada sebelum dan selepasnya. Sesungguhnya aku sendiri pernah dilarang dari mendekati pokok terlarang (dalam syurga dahulu) tapi aku mengingkarinya. Maka pada hari ini (usahlah berharap padaku kerana kita semua membawa diri) sendiri sendiri. Pergilah kamu mencari (pemberi syafaat) selain dariku.” [Sunan al-Tirmidhi].
Rupanya haji mabrur yang kita usahakan semasa di dunia ini kelak akan dipakai sebagai asset penting di akhirat kelak.
Walaupun haji mabrur adalah anugerah Allah kepada sesetengah insan, ia tetap berkait rapat dengan usaha ikhtiar dan SANGKA BAIK kita kepada Allah sebagaimana firman-Nya dalam sebuah hadith Qudsi:
أنا عند ظن عبدي بي
“Aku berada pada (tahap) sangkaan hambaKu pada-Ku.” (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Bersangka baiklah dengan Allah yang mampu menganugerahkan kita Haji Mabrur. Iringkan harapan mendapat Haji mabrur selepas pulang ke tanah air dengan usaha MENJAGA SEGALA ARAHAN DAN LARANGAN ALLAH sepanjang umur kita. Mudah-mudahan kita mendapat haji Mabrur yang bakal menjadi aset akhirat melepaskan diri dari azab neraka.
Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Makkah Mukarramah. 14 ZULHIJJAH 1436 /27 SEPTEMBER 2015.
[Lihat FB: Haji Bukan Sekadar Gambar Dalam Frame ]
Kemudian Ustaz Ahmad Husni – Abu Fatih Al-Mubaraki- (Pembimbing Maktab 112) pula menyampaikan ucapan nasihat dan taujihat, betapa haji yang dilakukan adalah suatu ibadat seumur hidup yang perlu dijaga dan disuburkan kemanisannya sentiasa.
Antara butir pesanan atau tausiyah Abu Fatih;
1. Rumah yang wajib dirindui adalah Baitilllah al-Haram. Itulah antara hikmah dinamakan sebagai al-bait (rumah).
2. Manusia pada hakikatnya seronok dengan ibadah dan kebaikan. Buktinya sewaktu menjalankan ibadah Haji semua bersungguh-sungguh kerana sebenarnya manusia sangat rindukan suasana dekat dengan Allah cuma selama ini mungkin jauh dan tak dipedulikan.
3. Bertemu dan berpisah adalah lumrah. Kita berlatih untuk perpisahan abadi setelah kita mati nanti
Ukhuwwah yang terbina sepanjang rehlah perlu juga dijaga sampai ke akhirnya.
Abu Anas pula memulakan uacapan dengan mengucapkan tahniah di atas sempurna sudah amalan haji yang menjadi agenda dan objektif kedatangan kita ke Makkah pada tahun ini.
Kemudian di ceritakan semula semua amalan haji yang telah dilakukan bermula dari hari tarwiyah sampailah balik ke Makkah. Sekiranya ada mana-mana bahagian yang kurang sempurna atau tersalah jemaah diminta tampil bertemu dengan ana untuk menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan. Atau sekiranya ada dam atau fidyah yang mesti dibayar maka perlu diselesaikan segera sebelum pulang ke Malaysia, kerana isu haji tidak boleh diselesaikan di tanahair selepas pulang.
Alhamdulillah, banyak perkara yang dapat diselesaikan, dan tidak banyak masalah yang dikemukakan.
Inilah tugas para pembimbing yang sepatutnya dijalankan, bukan setakat duduk berlagu di Arafah atau Mina pada saat jemaah perlukan ketenangan dan tumpuan untuk beribadat.
Aku Seorang Haji / Hajah
Rabu 16 Zulhijjah 1436H.
Menjadi kebiasaan para ulama’ dan murabbi akan berpesan kepada jemaahnya agar beristiqamah tetap pendirian di atas jalan yang diredhai oleh Allah Azza wajalla.
Namum perkataan “Fastaqim” iaitu “teguh pendirian” adalah suatu ucapan yang sangat berat untuk menanggungnya, kerana itu ianya menjadi pesanan.
Maka sebelum berpisah ana memilih tajuk ini buat bicara dengan para jemaah sebagai wasiat dan taujihat untuk dijadikan panduan dalam menjaga rekod amalan yang telah dibersihkan sebagaimana Firman Allah pada petang Hari Arafah: {Keluarlah kamu dari Arafah dengan Dosa Yang diampunkan}.
Istiqomah Selepas Haji
Ringan pada lidah tapi berat pada perlaksanan dan tindakan. Itulah penangan istiqamah atau konsisten dalam kebaikan, lebih-lebih lagi selepas pulang dari haji. Walaupun sukar ia tetap menjadi kewajipan bersesuaian dengan firman Allah:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya: {Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.} (Hud [11:112]).
Sukar memang sukar, namun ia mampu dilakukan kerana Allah tidak menyuruh sesuatu yang mustahil.
Istiqamah paling utama selepas haji adalah istiqamah dalam Tawhid.
Lihat pesanan Baginda SAW kepada sepupunya Abdullah bin ‘Abbas yang masih kecil ini:
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ
Ertinya: “Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan menjagamu. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan membantumu. Jika engkau mahu meminta sesuatu maka mintalah dari Allah. Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan darinya. Percayalah bahawa jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manafaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memberikanmu manafaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudharatkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memudharatkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Pena taqdir sudah diangkat dan kertas taqdirmu juga sudah kering! (Taqdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah).” (Sunan al-Tirmidhi).
Syiar Talbiah dalam Haji terkandung padanya prinsip Tawhid. Muslim sanggup berhabis harta, tenaga dan masa hanya kerana menyahut seruan Allah. “Hanya kerana Allah! Tidak yang lain!” Inilah prinsip Tawhid dalam ibadah haji.
Tawhid dalam haji bukan pemula hidup muslim tetapi suatu “PEMUGARAN SEMULA”, seumpama pokok yang dibugarkan dengan siraman air. Penanaman Tawhid sudah bermula seawal kelahiran manusia ketika mereka diazan dengan Kalimah Tawhid. Apabila usia mencecah 7 tahun, seorang anak diajar solat kerana dalam solat juga terkandung intisari Tawhid.
Selepas pulang haji, apa tandanya cahaya Tawhid mulai meresap masuk ke dalam diri?
Dr Abdul Basit menyebut ia berkait dengan hati. Hati yang soleh dan mengenal Tawhid berasa tenang dengan Islam, manakala hati yang berkarat berasa sempit apabila mendengar perkataan Islam. Ayat ini menjadi indikator terbaik:
فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Ertinya: {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (Al-An’am [6:125]).
Tuan Guru Dr Abdul Basit mencadangkan beberapa panduan yang perlu dikat erat pada hati semua jemaah pakej haji ASH-HAR Travel demi menjaga Istiqamah (konsisten dalam kesolehan) selepas Haji sehingga kita dijemput Allah:
1) Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi segala lubang syirik. Ini kerana syirik adalah “KEZALIMAN TERBESAR::
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Ertinya: {Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR.”} (Luqman [31:13]).
2) Menjaga solat 5 waktu (merangkumi solat sunat rawatib 12 rakaat setiap hari bersama zikir pagi dan petang) dan jangan berlagak seperti “lembu kenyang” yang buta hati tidak mempedulikan seruan azan.
3) Melazimi pakaian taqwa yang berbentuk zahir (tidak ketat menyeksa dan tidak nipis menggoda), juga pakaian taqwa berbentuk batin (akhlak mulia). Bagi merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar tidak lulus syariah dalam media sosial “WAJIB SEGERA DIHENTI DAN DIPADAMKAN.”
Dr Abdul Basit menegaskan “MEDIA SOSIAL YANG SENANG MENELANJANGKAN” umat Islam adalah fitnah terbesar akhir zaman yang disebut sebagai “FITNAH AL-DUHAYMA’ iaitu fitnah yang “menampar semua manusia tanpa kecuali” sehingga sudah tidak dapat dibezakan antara seorang mukmin dan munafik (Sunan Abu Dawud, Musnad Ahmad dan Mustadrak al-Hakim).
[Lihat: Tazkirah Buat Teman di Facebook.
[ http://abuanasmadani.blogspot.my/2013/08/tazkirah-buat-teman-di-facebook.html ]
4) Berdamping dengan al-Quran seumur hidup kerana ia adalah tali penghubung antara kita dengan Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi penolong setia kita di akhirat kelak:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Ertinya: “Bacalah (fahami, hayati dan praktikkan) al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pembantu kepada pembacanya.” (Sahih Muslim).
5) Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu. Pencarian ilmu pada zaman moden semakin mudah. Alasan malas atau tidak sempat sudah tidak relevan kerana ilmu boleh diakses di mana sahaja. Tampaknya semakin tinggi teknologi maka semakin tinggi hujah untuk Allah menyalahkan kemalasan kita di akhirat kelak. Pun begitu, majlis ilmu rasmi di surau masjid tetap perlu dihadiri bagi mendapat siraman 4 rahmat Allah sebagaimana hadith ini:
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلا حَفَّتْهُمُ الْمَلائِكَةُ , وَتَنَزَّلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَتَغَشَّتْهُمُ الرَّحْمَةُ , وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya: “Tiadalah sesuatu kaum itu berkumpul bagi mengingati Allah (menghadiri majlis ilmu) melainkan mereka (akan memperoleh 4 kelebihan, iaitu) (1) akan dinaungi para malaikat, (2) ketenangan akan turun kepada mereka, (3) rahmat akan melitupi mereka dan (4) Allah akan menyebut nama mereka dalam kumpulan orang yang dekat kepada-Nya.” (Sahih Muslim).
7) Menjaga halal haram dalam muamalat. Hindari riba sejauh mungkin kerana ia antara wasiat utama khutbah wada’ Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam). Berterusan dalam sistem riba seumpama mengisytiharkan “PERANG DENGAN ALLAH DAN RASULULLAH”:
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
{Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.} (al-Baqarah [2:279]).
8) Bersahabat dengan orang soleh terutama sekali kaki masjid dan surau kerana mereka “bersahabat dengan para malaikat” sebagaimana pujian Rasulullah SAW:
إن للمساجد أوتادا هم أوتادها ، لهم جلساء من الملائكة ، فإن غابوا سألوا عنهم ، وإن كانوا مرضى عادوهم ، وإن كانوا في حاجة أعانوهم .
Ertinya: “Sesungguhnya bagi masjid itu ada “tiang serinya”, mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka.” (Mustadrak al-Hakim).
Kaki surau masjid boleh menjadi “radar pengesan dan pemberi peringatan” jika kita terlupa mengimarahkan rumah Allah.
9 ) Senantiasa berdoa dengan doa anjuran Rasulullah agar ditetapkan hati atas iman dan amal soleh:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ertinya: “(Ya Allah) Yang Berkuasa membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agama-Mu.” (Sunan al-Tirmidhi).
Juga firman Allah:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Ertinya: {(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.} (Ali ‘Imran [3:8]).
Juga doa saranan Rasulullah SAW:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Ertinya: “Ya Allah aku mohon perlindungan dari belot (terpesong) sesudah mendapat petunjuk.” (Sunan al-Nasa’i).
Di akhir tazkirah Dr Abdul Basit menyimpulkan makna Haji Mabrur dengan katanya:
“Selepas pulang kita jangan mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap manusia yang terdedah kepada salah dan silap. Maksud mendapat Haji Mabrur adalah kita senantiasa cenderung ke arah kebaikan dan semakin menjauhi dosa dan maksiat. Jika berasa lesu dari kebaikan, carilah ustaz atau teman yang boleh “MEMUGARKAN KESOLEHAN” dalam diri sebagaimana kebiasaan para sahabat Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu:
اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنْ سَاعَةً
Ertinya: “Duduklah bersama kami seketika untuk menambah iman (dengan sedikit peringatan agama).” (Imam al-Bukhari menyebutnya tanpa sanad dalam Sahih al-Bukhari dan disebut juga dalam Musannaf Ibn Abi Syaybah).
Semoga perkongsian ini menjadi peringatan kepada kita semua untuk kekal ISTIQAMAH sehingga mati selepas pulang dari menunaikan haji.
Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Catatan 2 Oktober 2015 (4.20 pagi) di hadapan Ka’abah.
Petikan dari Tazkirah “Istiqamah selepas Haji” oleh Tuan Guru Dr. Abdul Basit pada 30 September 2015.
[Lihat Istiqamah – https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/posts/10205324847186067 ]
Sesudah Haji Tertunai
[Lihat: http://abuanasmadani.blogspot.my/2011/11/khutbah-jumaat-dr-as-sudais-sesudah.html ]
Tazkirah Istiqamah diteruskan lagi dengan Nasihat dan Taujihat Dari Ustaz Ahmad Hasyimi, Jazahullahu Khaira.
“ISLAM ADALAH VISA KE SYURGA”.
Susah sungguh memikirkan apa barang yang perlu dibawa pulang ke Malaysia selepas selesai menunaikan haji. Senarai penerima “buah tanda” haji berjela panjangnya. Seakan jika tidak dibawa produk Mekah maka tidak sah gelaran haji atau hajah yang bakal dipakai.
Di tengah kecamuk pemikiran tentang “buah tanda fizikal” dari haji itu, sesi muhasabah selepas haji anjuran pakej ASH-HAR travel seakan satu tukul besar memecahkan segala pemikiran remeh sebegitu.
Sekali lagi Ustaz Hasyimi mengkagumkan saya.
Analoginya mudah dihadam:
“Banyak bekal haji boleh dibawa pulang. Yang paling utama dan wajib dibawa pulang bukan buah tasbih, jubah, atau produk Mekah, tetapi “kesempurnaan penghayatan Islam.” Kesempurnaan Islam sangat tepat dengan roh haji kerana ayat hukum terakhir yang menobatkan kesempurnaan Islam turunnya kepada Rasulullah SAW pada haji terakhir Baginda.”
Ayat yang dimaksudkan Ustaz Hasyimi adalah:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Ertinya: {Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.} (al-Ma’idah [5:3]).
Mengapa disibukkan sangat dengan penghayatan Islam sebagai “produk rohani Haji” yang wajib dibawa pulang, sedangkan semua tahu Islam pasti melekat dengan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing.
Tidak lain, ini kerana Islam seumpama “visa utama” bagi sebagai rukun utama Islam. Tanpa visa islam segala bagai ibadat tidak berguna. Bahkan tanpa visa ini, mustahil seseorang itu boleh menjejak kaki ke tanah haram. Ia diwartakan secara kekal oleh Allah berikutan turunnya ayat ini pada tahun ke 9 Hijri:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, OLEH ITU JANGANLAH MEREKA MENGHAMPIRI MASJID AL-HARAAM SESUDAH TAHUN INI (TAHUN 9 HIJRI); dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (al-Tawbah [9:28]).
Semangat Tawhid dalam ibadah haji adalah tulang belakang Islam. Melepaskan Tawhid dan terlibat dengan syirik seperti meruntuhkan tiang seri Islam. Tanpa Islam dan Tawhid apalah gunanya bergelar Tuan haji atau Puan Hajah. Ingat amaran nabi Isa AS ini:
لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
Ertinya: {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, “BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH HARAMKAN KEPADANYA SYURGA, DAN TEMPAT KEMBALINYA IALAH NERAKA”; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.} (al-Ma’idah [5:72]).
Pendek kata tanpa Islam dan Tawhid yang tulen, usahlah mimpi mahu ke syurga kerana ia adalah “SATU-SATUNYA VISA SYURGA” yang diterima Allah. Tanpa visa tersebut, segala amalan baik kita di dunia dahulu yang bergunung nilainya langsung tidak dipandang Allah:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
Ertinya: {Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?}
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.} (al-Kahfi [18:103-105]).
Oleh itu, segala semangat Islam yang dilatih semasa menunaikan ibadah haji di Mekah merangkumi sikap warak, berhati-hati dalam bertindak, kasih sayang sesama teman jemaah haji, semangat iktikaf serta solat berjemaah di Masjid al-Haram, semangat menghidupkan solat malam, semangat membaca al-Quran, bersedekah, berterusan berdoa dan sebagainya perlu dikekal serta dibawa sebagai “OLE-OLE TANDA ROHANI HAJI” ke tanah air.
Jika semangat ini yang dibawa, maka insya Allah visa islam, iman dan akhlak yang terangkum dalam makna “Haji Mabrur” akan menjadi tiket kita ke syurga kelak seiring sabda Rasulullah SAW:
الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ ، وَالْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا ” .
Ertinya: “Haji Mabrur tidak ada ganjaran selayak baginya melainkan syurga, dan antara dua umrah itu menjadi sebab penghapus kepada (dosa kecil) antara keduanya.” (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Semoga cahaya iman yang terpancar dalam hati kita semua semasa berada dalam keberkatan Tanah Suci Mekah akan terus bersinar seumur hidup kita walau selepas pulang ke tanah air. Inilah harapan dan doa orang yang benar-benar beriman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”} (al-Tahrim [66:8]).
#Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
30 September 2015 @ di hadapan Ka’abah.
SETIAP YANG BERMULA ADA AKHIRNYA.
Demikianlah kami jemaah haji, Ana dan beberapa orang jemaah yang akan berangkat ke Madinah awal iaitu selepas solat Asar hari Jumaat 18 Zulhijjah 1436H – 02 Oktober 2015.
Bingkisan Wada’
Perjalanan kami menuju ‘kampung halaman ilmu’ kami di bumi Madinah Munawwarah dijadualkan selepas solat Asar.
Ini bermakna tawaf wada’ mesti dibereskan sebelum asar dan selepas solat Jumaat pada hari ini. Melihatkan kepada kelikatan bahang cahaya mentari yang membakar, cuaca panas yang menjalar sangat menguji dan mencabar.
Alhamdulillah. Hampir setiap kali tawaf wada’ sejak mula berkhidmat dengan Ash-Har Travel sebagai petugas dan pembimbing, saya dapat menemani A.F Tuan Guru Dr Abu Anas Madani @ Abdul Basit Abdul Rahman di medan tawaf.
Setiap kali itu jugalah saya mampu meneguk hikmah ilmu dan khibrah dari beliau.
Dalam bahasa Arab beliau bermadah yang maksudnya:
“Jika begini dekat rasanya panas mentari hari ini bagaimana pula mampu di tahan kepanasan dengan dekatnya mentari di atas sekelian makhluk di akhirat nanti?”
Kami sama-sama terdiam.
Kalau di sini mampu kita berteduh dengan payung. Kacamata hitam yang melindung. Deruan kipas bersulam air yang menyinggah.
Jika di SANA nanti bagaimana? Apa pula pelindungnya? Ke mana pula ingin berteduhnya? Apakah pula penyejuknya? Tatkala mentari sejengkal di atas kepala…
Ya Allah! Sungguh panas duniamu ini sudah mampu memerah keringat dan memabukkan kepala. Kami faham bahawasanya ‘mabuk’ di SANA lebih menyiksa kerana azabmu yang tidak terperi beratnya.
وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ)
“Engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.” [Surat Al-Hajj 2]
Nyata…Tujuh pusingan Wada’ itu harus punya makna.
Ya Rahman! Jadikanlah kami antara mereka di kalangan golongan yang tujuh. Tujuh manusia yang mendapat teduh. Teduh di hari yang tiada teduhan melainkan Engkau yang memberi teduh…
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه ” متفق عليه
“Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan (teduhan) Allah سبحانه وتعالى pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah,
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah Ta’ala berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendirian sehingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Muttafaq ‘Alaih)
Catatan:
Ahmad Husni Abdul Rahman, Abu Fatih Al-Mubaraki.
#AFM – #GhiranonroutetoMedina -#18Zulhijjah1436H
Wada’ Makkah
Lembutkan Hati Para Haji & Hajah Dengan Mencintai Allah dan Rasul.
Kata Abu Anas;
Wada’ Makkah (Haji 1436H).
Amalan terakhir jemaah haji ialah TAWAF WADA’.
Saat perpisahan dengan Makkah, Kaabah.
Mungkin hikmahnya ialah mereka yang tidak merasai kepahitan berpisah tidak akan mengetahui apakah kemanisan bertemu.
Setiap orang akan bertanya dirinya:
Adakah kita akan bertemu lagi?
Ataupun ini merupakan perpisahan abadi yang kita tidak akan bertemu lagi?
Disaat itu jiwa dan perasaan akan gementar, air mata akan mengalir, lidah akan berdoa:
اللهم لا تجعل هذا آخر عهدنا في هذا المكان الطاهر، وارزقنا العودة بعد العودة، عاجلا غير آجل يا كريم
“Ya Allah, janganlan Engau jadikan ini kali terakhir aku berada di rumah-Mu ini, rezekikan aku agar dapat kembali lagi menjadi tetamu-Mu!”
لئن أصبحت مرتحلا بشخصي -فروحي عندكم أبدا مقيم.
Walaupun jasadku berangkat meninggalkanmu –
Tapi jiwaku tetap berada di sisimu.
(Abu Anas Madani, Wada’ Makkah, Petang Jumaat 18 Zulhijjah 1436H).
Akhir Amalan Haji & Bersedia Menjadi Orang Baik dan Taat Kepada Allah.
In sya’ Allah, Sambungan Rehlah Haji Siri 4;
Ke Madinah, Diyar Al-Habib Sollallahu ‘alaihi wasallam.