View Categories

(1) Surah Ad-Dhuha : Ayat 1-4

Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGAN DHUHA, TIDAK AKAN TINGGAL MUHAMMAD SAW & AKHIRAT LEBIH BAIK.

Full video : https://youtu.be/athAn4kanZY?si=THFpGIm9JaFnuwSW

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini, Selasa 07 Muharram 1445H bersamaan 25hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى.
  1. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى adalah surah ke-93 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang keenam-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Lail – سورة الليل. 
    Mengandungi 11 ayat yang pendek.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى yang bermakna {Waktu Dhuha} kerana pada awal surah ini Allah SWT bersumpah dengan waktu pagi dhuha dan waktu malam bahawa Allah SWT sekali-kali tidak membiarkan Rasulullah SAW & tidak membencinya sebagaimana tohmahan kaum kafir Quraisy sama ada pada waktu siang atau malam! Allah SWT sentiasa menjaga Rasulullah SAW pada setiap masa.
  1. Surah ini juga dikenali dengan nama وَٱلضُّحَىٰ – ayat pertama dengan penuh.
  1. Hadis daripada Jabir bin Abdullah RA tentang Muaz bin Jabal RA yang bersolat Isya berama Rasulullah SAW kemudian dia kembali kepada kaumnya dan menjadi imam bagi mereka.
    Dia yang membaca surah yang panjang dalam solat Isya bersama penduduk kampungnya sedang kebanyakan mereka adalah pekebun yang merasa kepenatan kerana mereka telah bekerja kuat pada siangnya! Lalu timbullah masyaqqah lalu para sahabat itu pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. 
    Rasulullah SAW menasihatinya agar jangan membuat fitnah kepada manusia dan menganjurkan membaca beberapa surah yang sederhana panjangnya, antara yang disebut namanya ialah Surah Asy-Syams – سورة الشمس, Surah ad-Dhuha, & Surah Al-Lail – سورة الليل dan beberapa lagi seorang yang sederhana pendek. [HR Bukhari & Muslim].

KELEBIHAN SURAH :

  1. Kisah sebelum turunnya Surah Ad-Dhuha ini:- 
    i- Selepas wahyu yang pertama & kedua, wahyu tidak turun dari langit buat beberapa lama, yakni terhenti seketika buat beberapa lama sehingga baginda berdukacita & dilanda keresahan. Iaitu keresahan yang bukan sedikit, tetapi sehingga menganggu fikiran dan jiwa Baginda SAW.

    ii- Reaksi musyrikin Makkah pula apabila mengetahui perkara ini, mereka mula mengejek Nabi SAW dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan tidak sayang kepadanya lagi. 
    Iaitu membuat momokan dan serangan emosi, inilah ilmu strategi syaitan untuk merosak & menjatuhkan orang yang dimusuhi!

    iii- Tentunya Nabi SAW amat sedih tentang perkara itu. Tambahan pula, baginda takut kalau-kalau ada kesalahan pada diri baginda sehinggakan Baginda tidak diberikan wahyu lagi. Maka dengan penurunan Surah Ad-Dhuha ini, Allah SWT memberi berita gembira kepada Baginda SAW bahawa Allah tidak akan membiarkannya dan tidak juga membencinya!
  1. Persoalan: Ada perbincangan ulama’ yang mengatakan : Sunat kita bertakbir selepas membaca surah ini. Ini kerana katanya selepas terputus wahyu dan datang balik wahyu dengan turunnya Surah Ad-dhuha ini, para sahabat amat gembira lalu nertakbir menunjukkan kegembiraan mereka
    Khilaf ulama’ dalam hal ini. Ada dalam kitab Imam Syafei mengatakan elok, tetapi tidak datang dari Rasulullah SAW atau para sahabat. 
  1. Kata Ibnu Kathir RHM : Tiada riwayat untuk menghukum sedemikian, yang ada hanya didengar atau diriwayat, maka tidak ada sanad.sandaran yang jelas dari Rasulullah SAW, hanya dari kitab atau dari para Qurra, pembaca al-Quran, ulama’ Makkah ambil dari ulama’ Madinah. Wallahu a’lam.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberikan semangat kepada Nabi SAW supaya jangan menghiraukan tuduhan jahat musuh yang menentang Islam kerana Allah SWT tetap akan menolongnya & akan menjadikan kesudahan perjuangannya lebih baik daripada peringkat awal!
    Bahkan Allah yang Maha Kuasa akan memberikannya kejayaan yang besar di dunia & akhirat sehinggakan Baginda berpuas hati & redha dengan anugerah yang diberikan Allah.
  1. Setelah itu diterangkan satu persatu nikmat yang diberikan sepanjang perjalanan hidup Nabi SAW.
    i- Pada mulanya Rasulullah SAW adalah seorang yatim lalu diberi perlindungan di bawah peliharaan jagaan datuknya Abdul Mutalib. 

    ii- Selepas kewafatannya dijaga pula oleh bapa saudaranya Abu Talib.

    iii- Selepas perkahwinan Baginda dengan Sayyidah Khadijah, Baginda mendapat kasih sayang dan sokongan penuh dari isterinya yang setia, yang cerdik lagi bangsawan, mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah & makhluk juga. 
    UM Khadijah telah mengorbankan diri & hartanya untuk membantu perjuangan dakwah Rasulullah SAW kepada Islam. 
  1. Selepas dewasa didapati Baginda tercari-cari jalan yang benar, maka diberi petunjuk dengan wahyu al-Quran. Apabila berumur 39 Tuhan Baginda mulai mencari-cari jalan untuk menyelamatkan dirinya dan ummah. Ini yang membawanya untuk menyendiri di Gua Hira’, jabal Nur yang bersejarah itu.
  1. Demikianlah juga ketika Nabi SAW seorang yang miskin pada awalnya kemudian diberi kekayaan melalui perniagaan sehinggalah Baginda dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya.
  1. Selain dihiasi dengan sifat yang mulia & akhla yang terpuji yang menjadi kunci kejayaan dalam hidup. Sehinggakan orang Quraisy Makkah memberi gelaran al-Amin kepada Baginda SAW iaitu seorang benar, amanah & berintegriti. 
    Ini kerana Baginda SAW tidak pernah bercakap bohong, menipu, khianat, janji palsu serta segala yang buruk. 
    Akhlaknya amat menyenangkan hati orang yang pernah berurusan dengannya.
  1. Atas dasar iman & akhlak yang mulia ini, Rasulullah SAW telah membina masyarakat selama 13 Tuhan di Makkah kemudian sambung dengan mujtama’ Madani di Madinah. 
    Inilah perkara awal yang perlu kita letak dalam agenda hidup kita iaitu jangan bercakap bohong, menipu, khianat, janji palsu, jangan menghina & menzalimi orang; barulah kita mampu & tidak malu untuk kita mendakwa mahu membina masyarakat Madani sebagaimana yang diasaskan oleh Rasulullah SAW!
  1. Akhirnya diperintahkan kepada Rasulullah SAW untuk menzahirkan nikmat Tuhan yang tidak ternilai itu dengan mengerjakan amal kebajikan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT
  1. Sebenarnya apa yang diperintahkan kepada Rasulullah SAW juga ditujukan kepada umatnya secara umum. Baginda Rasulullah SAW sudah pasti yang patut menjadi qudwah & uswah yang wajib kita ikuti!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah menyebut bagaimana Allah menjaga, melindungi dan memberi perhatian & kasih sayang yang besar kepada Rasulullah SAW. 
    Ini kerana Allah SWT yang memilih & melantik Baginda SAW sebagai utusan kepada manusia ini maka pasti Allah yang jaga & beri segala keperluan yang diperlukan oleh Baginda SAW!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Ayat ini menyatakan kemuliaan kedudukan Rasulullah SAW yang amat tinggi di sisi Allah SWT & di sisi manusia seluruhnya.
  1. Untuk membatalkan anggapan & tuduhan jahat puak kafir yang mengatakan bahawa wahyu telah terputus kepada Rasulullah & Baginda dibiarkan terkontang-kanting seorang diri oleh Allah SWT.
  1. Allah SWT memperingatkan kepada Rasulullah SAW beberapa sudut nikmat supaya kita sentiasa ingat kepada SIAPA yang memberi nikmat kepada kita (المنعم)!
  1. Memberi petunjuk, membimbing dan mengajar Rasulullah SAW agar sentiasa berada atas akhlak yang mulia, sentiasa bersyukur atas nikmat Allah. 
    Antara ciri-ciri nikmat itu ialah amat prihatin dan sentiasa berbuat baik kepada anak yatim kerana Baginda sendiri adalah anak yatim. 
    Juga agar Baginda sentiasa cakna & ambil berat, tidak abaikan orang yang memerlukan pertolongan & bantuan.

MUNASABAH SURAH ADH-DHUHA – سورة الضحى DENGAN SURAH AL-LAIL – سورة الليل SEBELUMNYA;

  1. Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Lail – سورة الليل:
    i- Surah Al-Lail yang lepas diakhir dengan ayat: { وَلَسَوْفَ يَرْضَىٰ} iaitu {Kamu akan redha & berpuas hati dengan anugerah Allah SWT}.

    ii- Maka Allah SWT bawa pula dalam ayat ini bahawa { وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰٓ} Allah akan beri lagi nikmat & anugerah kepada Nabi SAW sehingga Baginda redha akannya!
  1. Allah sebut dalam Surah Al-Lail: {وَسَيُجَنَّبُهَا ٱلْأَتْقَى} bahawa :
    i- Orang yang bertaqwa (muttaqin) akan dijauhkan dari neraka!

    ii- Dalam surah ini pula Allah SWT hitung, sebut beberapa nikmat yang dikurniakan kepada ketua para Muttaqin iaitu Rasulullah SAW. 
    Alhamdulillah itu antara nikmat yang besar yang disebut oleh para ulama’ tafsir tentang kaitan dua surah ini.
    Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Ayat 1- {Demi waktu dhuha,} (Adh-Dhuha 93:1)

  1. Allah SWT bersumpah demi waktu Dhuha!
  1. Bilakah waktu Dhuha ini? Iaitu pertengahan waktu pagi sebelum matahari panas lagi. 
  1. Ia waktu pagi selepas naiknya matahari iaitu sehingga habis waktu isyrak yang diharamkan solat padanya. Iaitu minimalnya 15 min – maksimumnya 24min bahkan ada setengah taqwim meletakkan 28 min.
    Jika ada keuzuran & darurat boleh ambil yang minima, tetapi jika tiada masyaqqah elok kita tunggu sehingga waktu yang maksimum itu.
  1. Sabab nuzul ayat ayat:
    Selepas terputus wahyu buat beberapa ketika, Rasulullah berasa sedih & tidak sihat lalu Baginda tidak bangun untuk bertahajjud selama dua malam itu! 
    Jiran-jirannya yang kafir tahu & dengar perbuatan Rasulullah SAW kerana rumah mereka dekat-dekat. Mereka tahu jika Baginda bangun dan solat atau senyap tidak bangun solat & baca al-Quran.

    Hadis dari Jundab bin Abdullah berkata:
    “Nabi pernah sakit hingga tidak dapat menunaikan solat tahajud selama satu atau dua malam. Mengetahui hal itu, seorang wanita menghampiri beliau sambil berkata dengan nada mengejek, ‘Wahai Muhammad, sepertinya syaitanmu (Jibril) sudah mulai meninggalkanmu!’” Berkenaan dengan kejadian itu Allah kemudian menurunkan Surah Adh-Dhuha ayat 1-3. [HR Bukhari & Muslim].
  1. Bukan Allah SWT tinggalkan Rasulullah SAW cuma berehat seketika daripada wahyu agar Rasulullah SAW lebih mengharap dan rindu untuk menerima wahyu & bertemu dengan malaikat Jibril AS.

AYAT 2- {DAN MALAM APABILA IA SUNYI-SEPI.} (ADH-DHUHA 93:2)

  1. Kemudian Allah SWT bersumpah dengan malam apabila ia tenang, sunyi & gelap gelita.
  1. Dalam surah ini Allah SWT mulakan dengan waktu Dhuha dulu kemudian malam, berbeza dan sebaliknya dengan Surah Al-Lail. Kita akan tengok pebincangannya dalam fawaid nanti, Insya’Allah.

AYAT 3- { (BAHAWA) TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK MENINGGALKANMU, DAN IA TIDAK BENCI (KEPADAMU, SEBAGAIMANA YANG DITUDUH OLEH KAUM MUSYRIK).} (ADH-DHUHA 93:3)

  1. Allah bersumpah dengan siang & malam ini untuk menyatakan bahawa Tuhan tidak meninggalkan Rasulullah SAW ataupun membenci Baginda SAW!
  1. Itu adalah tuduhan jahat yang direka oleh puak kafir musyrikin kepada Rasulullah SAW untuk menyerangnya!

AYAT 4- {DAN SESUNGGUHNYA KESUDAHAN KEAADAANMU ADALAH LEBIH BAIK BAGIMU DARIPADA PERMULAANNYA.} (ADH-DHUHA 93:4)

  1. Allah SWT menjamin dan berjanji bahawa keadaan Rasulullah SAW adalah lebih baik bagi Baginda daripada permulaannya.
  1. Munasabah ayat ini dengan tiga ayat sebelumnya:
    i- Membawa makna bahawa tuduhan yang mengatakan wahyu terputus adalah tidak mungkin. Allah hanya beri rehat sekejap supaya Rasulullah SAW bertenang dan menunggu supaya bertambah semangat & kerinduan Baginda. 
    Ini kerana jika tiada lagi wahyu maka tiadalah lagi Rasulullah SAW. Wahyu hanya akan tamat dengan kewafatan Baginda SAW. kerana itu apabila Rasulullah SAW wafat para sahabat menangis kerana malaikat Jibril tidak akan lagi datang ke rumah Rasulullah SAW.

    ii- Ayat ini juga menjadi dalil kemuliaan & keagungan Rasulullah SAW. Baginda lalu berasa besarlah tugas & jawatannya sebagai seorang rasul yang disayangi Allah SWT. Lalu Allah SWT ingatkan Baginda; itu hanya di dunia, di akhirat kelak lebih besar pangkat dan kedudukan kamu!

    iii- Allah juga mengingatkan Rasulullah SAW bahawa Baginda akan melalui fasa kehidupan yang berbeza-beza. Bermula dari seorang anak yatim, kepada seorang pemuda, peniaga kemudian sebagai seorang nabi & rasul serta ketua negara di Madinah dan kamu akan mati. 
    Tetapi ingat itu semua hanya di dunia dan hanya kecil jika dibandingkan dengan akhirat yang lebih besar & tinggi kedudukannya.
  1. Begitulah kata ulama’ tafsir : Pahala di akhirat lebih baik bagimu daripada apa yang kamu dapat di dunia ini! Tetapi ingat kehidupan kita di dunialah yang aklan menentukan kebahagiaan kita di akhirat. Dunia tidak berpisah dengan akhirat sebagaimana fahaman sekular yang sesat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi waktu dhuha,} & Ayat 2- {Dan malam apabila ia sunyi-sepi.}-

    Allah SWT bersumpah dengan waktu Dhuha & waktu malam apabila ia menyelubungi.
    Allah bersumpah atas nikmat-Nya yang dianugerahkan ke atas Rasulullah SAW. nikmat yang banyak sehingga Baginda redha & senang hati, iaitu antaranya:
    i- Nikmat menjadi Nabi & nikmat menjadi rasul. 

    ii- Nikmat mendapat pertolongan & penuh perlindungan.

    iii- Nikmat Allah menjaga Nabi penuh kasih sayang dan menjaganya daripada segala keburukan.
    Surah ini menyatakan kemuliaan dan kedudukan Nabi di sisi Allah dan ke seluruh alam ini.
  1. Ayat 3- { (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).}-

    Allah bersumpah dengan waktu dhuha dan malam untuk menolak & membatalkan tuduhan jahat kaum musyrikin yang menyerang Rasulullah SAW.
    Allah bersumpah bahawa Dia tidak akan tinggalkan Nabi SAW sebagaimana dakyah & propaganda tohmahan yang disebarkan oleh puak media kafir Quraisy bahawa Rasulullah telah dibenci oleh Allah SWT kerana itu Baginda telah tidak bangun solat malam buat beberapa waktu.
    Maka Allah mahu batalkan tuduhan jahat musyrikin ini bahkan bersumpah bahawa Allah amat memuliakan Nabi SAW.
  1. Ayat 1- {Demi waktu dhuha,}-

    Kenapa Allah SWT bersumpah dan sebut waktu Dhuha ini?
    Jawapan:
    Kerana ia adalah waktu yang sudah cerah, permulaan kepada hari itu yang mana manusia sedang mulai keluar untuk kehidupan, jika subuh masih gelap lagi & tak kenal lagi orang! Dhuha sudah ada cahaya & belum panas lagi. Sudah boleh nampak.
    Jadi munasabah Allah bersumpah dengan waktu dhuha ini kerana ia permulaan manusia mula buat kerja & keluar rumah ke sana sini.
    Ini memberi makna bahawa dakwah ini bermula pada waktu pergi untuk disebrakan kepada masyarakat di sleuruh dunia.
    Juga turunnya wahyu untuk menunjukkan kepada Rasulullah SAW bahawa dunia ini cerah secerahnya sehinggalah tiba hari Kiamat itu apabila waktu maghrib!

    Soalan: 
    Kenapa dalam surah ini Allah SWT mulakan dengan waktu dhuha dulu kemudian malam, berbeza dan sebaliknya dengan Surah Al-Lail yang dimulai dengan waktu malam dulu baru siang?
    Jawapan:
    i- Asal kejadian dunia adalah gelap, bermula dengan malam, kemudian Allah SWT cipta matahari maka cerahlah alam ini!

    ii- Surah ini dimulakan dengan dhuha kerana ia adalah waktu yang mulia & hebat; waktu orang keluar bekerja mencari rezeki.
    Maka dakwah kita juga perlu bermula dari waktu dhuha kemudian diteruskan sehingga malam. Para pendakwah mulakan usaha dakwah sejak dari muda lagi, ketika tenaga & kudrat masih fresh dan bersemangat! 
    Apabila kita tua dan makin tua lalu akan mati selepas melalui banyak pengalaman yang mematangkan kita dalam dakwah.

    iii- Surah Al-Lail menjelaskan tentang kejadian perjalanan alam ini. Manakala Surah Adh-Dhuha ini menyatakan perjalanan dakwah Nabi SAW.
  1. Ayat 3- {(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).}-

    Allah bersumpah dan menafikan bahawa Dia telah benci & meninggalkan Rasulullah SAW.
    Lalu Allah SWT turunkan ayat ini untuk menjawab tuduhan jahat puak kafir Quraisy yang mengatakan wahyu telah terputus, Baginda ditinggalkan terkontang-kanting oleh Allah SWT. tanpa bimbingan dan panduan dari Allah SWT.
    Ia juga untuk menunjukkan bahawa al-Quran itu datang dari Allah SWT bukan rekaan Rasulullah SAW! Apabila Baginda diasak dan ditohmah oleh pika kafir Baginda tidak dapat mmberikan al-Quran kerana wahyu itu bukan dari sisinya bahkan ia adalah dari Allah Azza wa Jalla. 
    Jika ia hanyalah rekaan & dari Rasulullah SAW pasti apabila diminta Baginda akan dapat memberinya pada bila-bila masa saja! Tidak perlu menunggu wahyu sebenar turun dari langit, dari Allah SWT!
  1. Ayat 4- {Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.}-

    Balasan & pahala di akhirat adalah lebih baik & tiada bandingan dengan atas dunia ini!
    Menerangkan bahawa balasan di akhirat tiada bandingannya; ia amat & lebih besar daripada apa yang ada atas dunia ini!
    Atas dunia ini sudah ada & nampak kesan balasannya, contoh orang yang akhlak mulia akan mulia, orang yang hormati ibu bapa akan berkat hidupnya, orang yang bercakap benar & jujur akan dimuliakan; tetapi itu semua adalah kecil berbanding dengan balasan di akhirat kelak!
    Ini kerana di akhirat esok tidak akan putus & tiada akhirnya! Panjang mana umur kita di dunia ini tetap akan berakhir & mati meninggalkan dunia ini! 
    Kata ulama’ : Dunia negara tempat ujian; tetapi akhirat adalah negara tempat menerima balasan.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang mendapat bimbingan, kasih sayang & panduan dari Mu ya Allah. Lalu di akhirat kami akan mendapat anugerah yang besar yang layak untuk bersama para nabi & siddiqin dalam syurga-Mu!
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs