View Categories

(1) Surah Al-‘Adiyat : Ayat 1-11

Surah Al-‘Adiyat – سورة العاديات
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, DEMI KUDA PERANG YANG TANGKAS, MANUSIA MELUPAI NIKMAT & SEMUA RAHSIA AKAN DIDEDAHKAN.

Full video : https://youtu.be/KCDCMc0559Q?si=iOLFWcdtxOmsuCZ9

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini, Rabu 22 Muharram 1445H bersamaan 9hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-’Adiyat – سورة العاديات.
  1. Semoga Allah SWT qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Al-’Adiyat – سورة العاديات adalah surah ke-100 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh tiga dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Az-Zalzalah.
    Mengandungi 11 ayat yang pendek.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-’Adiyat – سورة العاديات yang bermakna {Kuda Perang Yang Tangkas} kerana pada awal surah Allah SWT bersumpah dengan kuda perang yang demikianlah sifatnya untuk menegaskan setakat mana derhakanya manusia yang tidak Syukur akan nikmat Tuhan-Nya. 
  1. Ada juga yang menamakan surah ini dengan perkataan awal surah iaitu surah Wal-Adiyat- {وَٱلْعَـٰدِيَـٰتِ}, dengan menambah wau (و).

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Allah SWT bersumpah dengan kuda perang yang demikian handalnya kerana untuk menanam sifat kepahlawanan & semangat jihad dalam jiwa orang yang beriman supaya sentiasa sedia berjuang mempertahankan agama & keselamatan negara daripada segala pencerobohan!
    Begitulah dulu dengan kuda & pedang; sekarang dengan segala senjata & kenderaan moden sesuai dengan peradaran zaman hari ini!
  1. Allah bersumpah dengan kuda perang yang sangat dihargai untuk menerangkan sifat terkeji yang terdapat pada manusia yang sangat kufur akan nikmat Tuhannya. 
    Dengan memperlihatkan tingkah lakunya itu dalam keadaan yang demikian disebabkan sifat ia sangat tamak haloba akan harta & sangat bakhil kedekut, menyekat dirinya daripada berbuat amal kebajikan & tidak mahu bersedekah.
  1. Patutkan ia bersikap demikian, tidakkah ia mengetahui keadaan apabila dibongkar segala apa yang ada dalam kubur, dikumpul & didedahkan segala yang terpendam dalam dada.
    Dua pembongkaran & pendedahan di sini.
    Sesungguhnya Tuhan mereka amat mengetahui dengan mendalam tentang balasan yang akan diberi kepada mereka pada hari itu!
  1. Allah menyebut secara khusus dengan menyebut apa yang ada dalam dada, dengan tidak menyebut tentang amalan anggota zahir kerana segala gerak-geri anggota zahir tidak akan berlaku kecuali dengan desakan hati yang terpendam dalam dada!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyatakan perangai tabiat kebiasaan manusia.
    Juga Allah SWT galakkan mereka agar sentiasa menyediakan amalan soleh sebagai bekalan ke akhirat.

ISU PENTING DALAM SURAH:

  1. Allah SWT bersumpah dengan kuda perang untuk menyatakan tentang betapa penting & besarnya fadhilat jihat & para mujahidin (pejuang fi-sabilillah).
  1. Menyebut tentang kekufuran manusia dan Allah nyatakan sifat manusia ini tamak, sangat cintakan harta & tamak untuk memiliki harta yang banyak!
  1. Memberi peringatan dan amaran kepada manusia bahawa di depan mereka setelah mati, ada hisab perhitungan yang menanti! 
    Kita bukan mati seperti katak tetapi sebagai manusia!
  1. Sekaligus sebagai galakan untuk melakukan amal soleh & amal kebajikan kerana kita akan melalui hari yang sangat bahaya iaitu hari didedahkan segala rahsia.

MUNASABAH SURAH AL-’ADIYAT – سورة العاديات DENGAN SURAH AZ-ZALZALAH – سورة الزلزلة SEBELUMNYA;

  1. Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Zalzalah – سورة الزلزلة sangat jelas:
    i- Allah sebut dalam surah Al-Zalzalah bahawa bumi akan mengeluarkan segala isi kandungannya!

    ii- Dalam surah ini pula disebut apabila dibongkarkan segala yang ada di dalam kubur.
  1. Dalam surah Al-Zalzalah Allah sebut bahawa dosa pahala ditimbang dengan zarah:
    i- Dalam surah ini Allah mencela manusia yang mengingkari nikmat Allah SWT, melebihkan kehidupan dunia daripada akhirat, tidak membuat persiapan untuk akhirat lalu mereka tidak melakukan kebaikan bahkan melakukan keburukan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI KUDA PERANG YANG TANGKAS BERLARI DENGAN KEDENGARAN KENCANG NAFASNYA,} (AL-‘ADIYAT 100:1)

  1. Allah bersumpah dengan kuda perang yang berlari laju, yang menyerang musuh dengan gagah sehingga kedengaran dengusan nafasnya yang kencang!
  1. Ada juga ulama’ kata : Maksudnya { وَٱلْعَـٰدِيَـٰتِ} ini ialah unta dalam rombongan haji.
    Tidak sesuai kerana unta tidak lari laju seperti kuda! 

AYAT 2- {SERTA MENCETUSKAN API DARI TELAPAK KAKINYA,} (AL-‘ADIYAT 100:2)

  1. Kuda ini juga apabila ia berlari dengan laju itu, sehingga keluar api dari tapak kakinya! Kasut besinya berlaga dengan batu lalu keluar percikan api!

AYAT 3- {DAN MELURU MENYERBU MUSUH PADA WAKTU SUBUH,} (AL-‘ADIYAT 100:3)

  1. Kuda-kuda ini meluru keluar menyerang musuh kebiasaanya pada waktu subuh! 
  1. Kebiasaanya pada waktu jihad dulu, tentera keluar pada waktu malam, mengepung kawasan musuh, kemudian pada awal pagi terus menyerbu menyerang sebelum musuh sedar & bersedia. 

AYAT 4- {SEHINGGA MENGHAMBURKAN DEBU PADA WAKTU ITU,} (AL-‘ADIYAT 100:4)

  1. Ketangkasan mereka itu juga menyebabkan debu berterbangan seolah satu lapisan tabir.

AYAT 5- {LALU MENGGEMPUR KETIKA ITU DI TENGAH-TENGAH KUMPULAN MUSUH;} (AL-‘ADIYAT 100:5)

  1. Lalu berselindung disebalik debu yang berterbangan itu mereka menggempur masuk ke tengah kumpulan musuh! 

AYAT 6- {SESUNGGUHNYA MANUSIA SANGAT TIDAK BERSYUKUR AKAN NIKMAT TUHANNYA.} (AL-‘ADIYAT 100:6)

  1. Allah bersumpah dengan semua itu untuk menyatakan bahawa manusia ini amat tidak bersyukur kepada Allah! 
  1. Bakhil tidak mahu infaq & derma harta yang dimilikinya! Iaitu manusia ini suka kufur nikmat!

AYAT 7- {DAN SESUNGGUHNYA IA (DENGAN BAWAANNYA) MENERANGKAN DENGAN JELAS KEADAAN YANG DEMIKIAN;} (AL-‘ADIYAT 100:7)

  1. Mereka sendiri sedar & menjadi saksi bahawa mereka memang ingkar & kufur nikmat Allah SWT! 
    Manusia ini tahu apa yang dia buat!
  1. Allah beri harta, harta disalahgunakan, Allah beri kuasa dia salah guna juga!
    Untuk lihat orang itu apakah seorang baik & syukur adalah ketika dia senang & berkuasa!
    Apakah menunaikan tanggungjawabnya dan tidak lupa diri!
  1. Kerana itu kita jangan nak sangat nak meminta jawatan & kuasa. 
    Ini kerana Rasulullah SAW kata jika kamu dilantik tanpa meminta; Allah SWT akan bantu! Tetapi jika sebaliknya & tiada bantuan dari Allah maka kamu akan hanyut & terumbang ambing, mengikut hawa nafsu lupa diri, lupa kawan, lupa segala adab & peraturan!
  1. Kita minta Allah selamatkan kita, jangan diuji dengan jawatan & kekayaan kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kita apabila dapat semua itu!

AYAT 8- {DAN SESUNGGUHNYA IA MELAMPAU SANGAT SAYANGKAN HARTA (SECARA TAMAK HALOBA).} (AL-‘ADIYAT 100:8)

  1. Manusia ini sangat melampau, sangat cintakan harta, tamak haloba untuk mendapatkannya, apabila ada harta bakhil dengannya! 
    Gilakan dunia & segala isi kandunganya yang fana’ ini!
  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan; inilah sebabnya kenapa manusia ini sombong takabbur, tidak syukur nikmat Allah, lupa kepada Allah sebagai pemberi nikmat! 
  1. lalu jadilah mereka hilang pertimbangan & lupa diri, lupa kawan kerana sayangkan harta & kedudukan yang ada sehingga sanggup melakukan segala perbuatan khianat & dusta!
  1. Ayat ini ditafsir juga dengan firman Allah SWT ini:
    {Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).} (A-li’Imraan 3:14)
  1. Ya Allah jadikan hati kami hati yang cintakan Allah & Rasul, tidak gilakan dunia, hanya menjadikan dunia ini sebagai tempat mencari bekal & kebaikan untuk ke akhirat kelak!

AYAT 9- { (PATUTKAH IA BERSIKAP DEMIKIAN?) TIDAKKAH IA MENGETAHUI (BAGAIMANA KEADAAN) KETIKA DIBONGKARKAN SEGALA YANG ADA DALAM KUBUR?} (AL-‘ADIYAT 100:9)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah SWT nyatakan sifat buruk manusia sebelum ini, maka Allah beri amaran agar kita jangan ikut nafsu, jika ikut kamu akan binasa!
    Allah juga nyatakan segala harta benda & pangkat kedudukan ini perkara yang fana’, kita akan kehilangannya dalam masa yang terdekat!

    ii- Maka datanglah ayat ini! Wahai manusia yang ingkar nikmat Tuhannya, yang cintakan harta & dunia! Tahukah kamu bahawa semua manusia akan dikeluarkan daripada kuburnya untuk dihisab & dihitung!

AYAT 10- {DAN DIKUMPUL SERTA DIDEDAHKAN SEGALA YANG TERPENDAM DALAM DADA?} (AL-‘ADIYAT 100:10)

  1. Allah SWT akan zahirkan segala apa yang ada dalam hati manusia; yang baik atau yang buruk semuanya! 
    Jika penuh dengan kebaikan Alhamdulillah; 
    jika penuh dengan kejahatan wal’iyazubillah.
  1. Firman Allah SWT:
    {Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),} (At-Taariq 86:9)

AYAT 11- {SESUNGGUHNYA TUHAN MEREKA MAHA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM TENTANG (BALASAN YANG DIBERIKANNYA KEPADA) MEREKA – PADA HARI ITU.} (AL-‘ADIYAT 100:11)

  1. Pada akhir surah ini Allah SWT beri peringatan bahawa sesungguhnya Allah SWT mengetahui semua tentang hamba-Nya dengan terperinci dan mendalam. 
    Pada hari Kiamat. tiada perkara yang tersembunyi dari Allah!
  1. Maka Allah SWT akan membalas mereka dengan apa yang selayaknya mengikut amalan perbuatan mereka atas dunia ini dulu!
  1. Kita berusahalah untuk menjadi manusia yang baik, yang dengar kata, patuh & dengar larangan Allah SWT. Tidak lagha mengikut hawa nafsu, dipermainkan oleh syaitan dalam kepala kita bahawa kita ini lambat lagi mati, akan hidup & berkuasa panjang lagi!

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 1- {Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,}-

    Ayat bersumpah dengan kuda perang yang tangkas sehingga ke ayat kelima!
    Apabila Allah SWT bersumpah dengan mana-mana makhluk; ini menunjukkan akan kepentingan & kelebihan makhluk itu untuk dikaji, dikenali & difahami.
    Kuda ini mempunyai banyak kelebihan kepada manusia untuk dunia & agama, untuk ditunggangi sebagai kenderaan sama ada dalam perniagaan atau perperangan.
    Ayat ini juga memberi peringatan kepada manusia untuk memiliki kuda untuk kegunaan agama & bukan untuk berbangga-bangga & untuk perhiasan semata-mata! 
    Sebagaimana dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA dalam satu hadis yang panjang, Rasulullah SAW bersabda tentang zakat & hak harta, emas perak dan binatang ternakan.
    Maka ditanyakan orang pula kepada Baginda; “Kalau kuda bagaimana, ya Rasulullah?” 
    Jawab Rasulullah SAW, “Kuda itu ada tiga macam:
    (1) Kuda sebagai barang mewah, atau yang mendatangkan dosa….

    (2) Kuda sebagai keperluan. Iaitu kuda yang dipelihara untuk agama Allah. Kemudian pemiliknya tidak lupa akan hak Allah dalam mempergunakannya sebagai angkutan dan kenderaan. Maka kuda bagi orang itu adalah pakaian atau keperluan. 

    (3) Kuda sebagai sumber pahala. Iaitu kuda yang dipelihara untuk membela agama Allah. [HR Bukhari].
    Biarlah kuda itu memberi pahala kepada kita bukannya membawa bala (dosa). 
    Yakni kuda ini boleh diguna untuk manfaat dunia & agama.
  1. Ayat 1- {Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,}-

    Apabila Allah SWT bersumpah dengan kuda: ini menunjukkan kuda itu ada kedudukannya yang mulia; iaitu apabila kita gunakannya untuk jalan Allah!
    Dari hadis di atas tadi juga sabda Rasulullah SAW:
    Kuda itu terikat pada kepalanya kebajikan sehingga ke hari Kiamat. Iaitu pahala (jihad) & (jika menang) harta rampasan perang! [HR Bukhari & Muslim].
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat yang mulia ini juga menunjukkan kelebihan jihad & para mujahidin!
  1. Ayat 6- {Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.}-

    Manusia ini sifat & tabiatnya {كنود} iaitu suka mengingkari nikmat Tuhan, Allah bagi nikmat dia kufur, lawan Tuhan.
    Kufur nikmat ini boleh terjadi melalui 3 dimensi iaitu perkataan, perbuatan & iktiqad. 
    Jika iktiqad ada Tuhan lain maka kufurlah! 
    Syirik itu kufur nikmat, derhaka juga kufur nikmat serta tidak menggunakan nikmat pada jalan yang baik juga kufur nikmat!
    Sesungguhnya manusia itu mudah lupa diri, lupa daratan serta mudah lupa akan anugerah nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya.
    Ayat ini juga mencela orang yang gilakan harta & dunia. Maka kita kena kikiskan dari diri kita sifat tamak & tanamkan dalam diri kita sifat zuhud kepada dunia. Dunia datang ambil tapi secara zuhud jangan tamak! 
  1. Ayat 9- {(Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?} & Ayat 10- {Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?}-

    Allah beritahu apabila dibongkarkan kubur & didedahkan segala yang ada dalam dada.
    Yakni kita wajib sentiasa memperbetulkan niat & perbuatan kita setiap masa!
    Ini kerana semua perbuatan kita akan dinilai, Allah SWT tidak melihat kepada rupa & harta kita, tetapi Allah SWT lihat kepada apa yang ada dalam hati kita, ikhlas atau tidak!
    Ada manusia yang sibuk buat binaan & perhiasan, pasang lampu atas kubur, ini adalah manusia yang tidak cerdik! 
    Ingatlah yang mencerahkan kubur ialah amalan kita bukan lampu & segala spotlight!

    Persoalan:
    Kenapa Allah SWT kumpulkan dua perkara ini; apabila dibongkarkan kubur & didedahkan segala yang ada dalam dada?
    Jawapan:
    i- Ini kerana manusia yang mati tersembunyi & disimpan dalam tanah.

    ii- Manakala rahsia amalan & niat kita pula tersembunyi & disimpan dalam hati kita!
    Lalu Allah SWT kumpulkan antara kubur & hati ini sebagai tempat persembunyian rahsia!
    Ingtalah walaupun manusia lain tidak tahu apa yang ada dalam hati kita, Allah SWT tahu segalanya!
    Pada hari didedahkan segala rahsia { يَوْمَ تُبْلَى ٱلسَّرَآئِرُ}, dibuka segala dada, ini bererti ada hari Pembalasan menunggu untuk menghisab segalanya!
    Kita berdoa kepada Allah agar kita menjadi orang yang ikhlas beriman & beribadat kepada Allah SWT!

    Sebagaimana yang selalu kita ulang, syarat untuk amalan itu diterima ada dua iaitu:
    i- Ikhlas kerana Allah SWT

    ii- Ikut & bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW.
  1. Ayat 11- {Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu.}-

    Allah SWT memberitahu bahawa wahai manusia Allah bersifat dengan sifat amat mengetahui {لَّخَبِيرٌۢ}.
    Jika sifat ini ada dalam hati kita,:
    i- Kita tidak buat amalan kecuali kita yakin & pasti bahawa ia akan diterima oleh Allah SWT!

    ii- Kita tidak berani buat maksiat kerana tahu segalanya akan didedahkan oleh Allah SWT kelak!
    Orang yang tiada iman & taqwa, gilakan pangkat & kedudukan, cintakan harta; dia lupa bahawa Allah SWT mengetahui segala perbuatan dan apa yang ada dalam hatinya.
    Atas dunia bolehlah kelentong & sembunyikan keaiban, lindungi kesalahan. 
    Tetapi di akhirat didedahkan segala perkara, tiada sesuatupun yang dapat disembunyikan.

Ya Allah kami memohon kepada-Mu, dengan nama-Mu yang indah & sifat-Mu yang Maha Tingggi supaya Engkau beri hidayah kepada kami untuk cintakan Allah & Rasul, mensyukuri segala nikmat-Mu, menjauhi sifat kufur nikmat dan menjauhi suka akan maksiat & mungkar.
Pada hari yang didedahkan segala rahsia, ampunkanlah segala dosa kami, hapuskanlah segala kesalahan kami, sembunyikan keburukan kami serta berikan kami keredhaan untuk sampai ke syurga-Mu!
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs