View Categories

(1) Surah Al-An’am : Muqaddimah

Surah Al-An’am – سورة الأنعام

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH, INTISARI SURAH, FADHILAT, MUNASABAH & KHULASAH

Full video : https://youtu.be/lMdVm3DPz7I?si=DxAjfLDWrvqxUanX

MUQADDIMAH SURAH:

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini Rabu 06/11/2024 bersamaan 04 J. Ula 1446H kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-An’am – سورة الأنعام, surah yang keenam dalam juzu’ ketujuh.
  1. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Al-An’am – سورة الأنعام adalah surah yang keenam dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Ma’idah – سورة المائدة.
    Surah yang kedua dalam juz yang ketujuh.
  1. Ia adalah surah yang panjang dalam al-Quran, mengandungi 165 ayat meliputi juzu’ ketujuh dan juzu’ kelapan.
  1. Sebahagian ulama’ tafsir sepakat (ijma’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 
    Kecuali ada 3 ayat yang turun di Madinah kerana ia adalah hukum tentang halal haram. Iaitu bermula dari ayat 151 ini – 
    {Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu …} – {…قُلْ تَعَالَوْا۟ أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ }
  1. Mengikut Ibnul Jauzi pula ada pendapat kata: Surah ini secara keseluruhannya adalah Makkiyyah kecuali 6 ayat.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan Surah ini nama Surah Al-An’am – سورة الأنعام yang bererti (Binatang Ternakan) sempena perkataan Al-An’am & peristiwa mengenainya disebut dalam ayat (136) dan selepasnya beberapa kali. 
  1. Kata as-Suyuti: Walaupun perkataan Al-An’am ini ada disebut dalam surah-surah lain tetapi dalam surah ini lebih banyak & lebih detail disebutnya. Maka diambil nama ini.
  1. Kata Ibnu Abbas RA: Jika kamu mahu tahu tentang kejahilan puak Arab; maka bacalah ayat 130 ke atas dari Surah Al-An’am. 
    Kamu akan nampak kebodohan mereka dalam bab haiwan.
    [Riwayat al-Bukhari].
    Yakni nama Surah Al-An’am ini disebut dalam athar ini.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Surah Al-An’am ini telah diturunkan secara sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. 
    Ibnu Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan yang surah ini diturunkan pada malam hari di Makkah secara 1 jumlah sekaligus.
    Malaikat Jibril عليه السلام telah diiringi oleh 70 ribu malaikat yang bertasbih memuji Allah semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. [Riwayat al-Qasim ibnus-Salam, at-Tabarani, kata Ibnu Hajar; sanadnya hasan]. 
    Ini menunjukkan betapa penting dan mulianya surah ini.
  1. Surah Al-An’am termasuk dalam 7 surah yang panjang yang setaraf dengan kitab Taurat sebagaimana hadis ini:
    Sabda Rasulullah SAW: أُعْطِيتُ مَكَانَ التَّوْرَاةِ السَّبْعَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الزَّبُورِ الْمَئِينَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الْإِنْجِيلِ الْمَثَانِيَ وَفُضِّلْتُ بِالْمُفَصَّلِ
    Maksudnya: ”Aku diberikan Al-Sab’a Al-Tiwal sebagai ganti kepada Taurat. Aku juga diberikan Al-Miin sebagai ganti kepada Zabur. Dan Aku juga diberikan Al-Mathani sebagai ganti kepada Injil dan aku dilebihkan dengan diberikan Al-Mufassal.” [HR Ahmad dan lain-lain].

INTISARI KANDUNGANNYA

(Pimpinan ar-Rahman):

  1. Menerangkan dalil-dalil & bukti yang menegaskan tentang tauhid & keEsaan Allah, kerasulan Nabi Muhammad SAW & perihal hari Kiamat.
  1. Membentangkan hujjah yang menolak syubhat, perkara yang menimbulkan kesamaran & mengelirukan yang selalu ditimbulkan oleh musuh Islam. 
    Al-Quran jawab untuk membatalkannya.
  1. Mendedahkan kepercayaan karut jahiliyyah tentang binatang ternak dan perbuatan mereka yang menghalalkan & mengharamkan sesuatu mengikut hawa nafsu. 
    Padahal hanya Allah jualah yang berhak melakukannya!
  1. Setelah menceritakan tentang perihal nabi-nabi AS yang menjadi ikutan dan menegaskan bahawa al-Quran mengandungi berkat, amat banyak faedah & manfaatnya yang akan diperolehi oleh orang beriman yang mematuhi ajarannya. 
    Lalu diterangkan perihal orang yang mati dalam keadaan kafir, kekallah mereka di dalam neraka. Mereka akan disiksa oleh malaikat azab bermula dari sakaratul-maut dan dihina dengan sehinanya.
  1. Surah ini diakhiri agar setiap orang yang beriman, mengakui nikmat hidayah & petunjuk Allah yang menjadikan mereka dalam nikmat Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW maka setiap orang beriman wajib menegaskan tauhidnya kepada Allah SWT:
    {قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٦٢}
    لَا شَرِيكَ لَهُۥ ۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْمُسْلِمِينَ ١٦٣}
    {Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} (Al-An’am 6:162)

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Untuk mantapkan Aqidah, kepercayaan kepada Allah SWT & memperkenalkan manusia kepada Allah serta memperhambakan manusia kepada Allah SWT, serta menegakkan dalil atas keEsaan Allah Azza wa Jalla, bahawa benarnya Rasulullah SAW serta balasan di Akhirat kelak. 
  1. Untuk berhujjah berdebat dengan puak kafir & golongan yang keras kepala dari golongan ahli bid’ah dan golongan yang mendustakan kebangkitan semula dan perhimpunan di Mahsyar. 
    Serta untuk menolak segala kesamaran & keraguan yang ditimbukkan oleh mereka.

ISU PENTING DALAM SURAH (TAFSIR MUHARRAR):

  1. Menerangkan bahawa hak segala pujian itu hanya tertentu bagi Allah. 
    Kita kena puji Allah dalam semua keadaan, kita suka atau tidak suka wajib puji Allah, dalam nikmat atau bala! 
    Ini kerana Allah-lah yang mencipta alam ini dan membatalkan semua dakwaan adanya sekutu bagi Allah SWT samada dari segi berhala atau jin syaitan! 
    Mengisbatkan bahawa Allah yang Esa, yang tunggal dari segi menyusun atur, mentadbir alam ini dan perjalanan hidup manusia atas dunia ini sehingga mereka mati.
  1. Memberi nasihat peringatan kepada golongan yang menentang ayat Allah & mendustakan kebenaran yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. 
    Allah beri amaran keras jika tak dengar kata juga kamu akan menerima nasib yang sama seperti puak terdahulu yang menndustakan rasul-rasul mereka. 
    Azab itu pula akan bermula dari waktu nazak lagi bagi orang kafir! 
    Orang beriman juga akan mendapat khabar gembira bermula dari sini juga apabila malaikat datang nak ambil nyawa! 
  1. Membodohkan pandangan orang kafir yang datang memberi cadangan meminta mukjizat yang pelik-pelik. Seperti gali sungai di Makkah & minta bukit Safa jadi bukit emas! 
    Dalil yang sudah ada tidak mahu terima! 
    Juga membatalkan pegangan syirik mereka bahawa ada sekutu bagi Allah SWT! 
  1. Dalam surah ini dibawa beberapa dalil yang banyak ,yang menunjukkan kepada kekuasaan & qudrat Allah SWT yang Esa yang berhak dipuja-puji & disayangi.
  1. Mengingkari tingkah laku orang musyrikin yang mendustakan kebangkitan semula.
    Dengan dibawa dalil bahawa Kiamat itu akan berlaku! 
    Atas dunia ini dengan banyak benda yang mati hidup balik seperti pokok.
    Jangan pelik di depan mata kamu pun sudah ada tandanya!
  1. Dalam surah ini banyak cerita untuk menenangkan hati Nabi  melapangkan dada untuk terus meneruskan tugas menyapmpaikan risalah dengan penuh sabar tanpa kecewa dan sedih.
    Ini kerana nabi & rasul sebelum Baginda juga telah melalui jalan yang sama seperti Nabi Musa, Lut dan lain-lain. 
    Maka cerita-cerita itu menjadi penenang jiwa & melapangkan dada.
  1. Menerangkan hikmah kenapa Allah SWT mengutuskan para rasul, sebagai pemberi amaran & khabar gembira. 
    Bukan kerja Nabi untuk bawa cerita pelik, tetapi untuk bawa ajaran yang benar untuk diamalkan.
  1. Menyatakan bahawa segala benda ghaib itu di bawah ilmu Allah. 
    Tidak perlu kita ramal situ, tilik sini, teori situ, konspirasi sini; semua itu kita serahkan kepada Allah. 
    Tiada siapa yang tahu perkara ghaib seperti Kiamat kecuali Allah SWT! 
    Kita yakin dan percaya ia akan berlaku dan terserah kepada Allah bila tiba waktunya!
  1. Allah menyatakan orang yang menyahut seruan Nabi, menerima ajakan untuk beriman, maka itulah mereka yang mempunyai hati yang hidup.
    Manakala mereka yang hatinya mati, tiada faedah beri nasihat. 
    Tetap akan ingkar menolak itu tiada faedah lagi untuk dihabiskan masa untuk mereka, degil tak dengar kata.
  1. Menyatakan bahawa orang yang baik itu ialah mereka yang bertaqwa & mengikut ajaran Islam. 
    Bukan kerana keturunan, harta kekayaan atau kemulian pangkat! 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan yang bertaqwa.
  1. Larangan daripada duduk bersama, bersekongkol dengan mereka yang mepermainkan ayat Allah atau memerli dan menolak dakwah Rasulullah SAW. 
    Samada mereka orang kafir asli atau orang Islam sendiri yang pening kepala ikut teori kafir, terlalu terjebak dalam kajian & falsafah.
  1. Allah beri arahan untuk tinggalkan puak kafir selepas didakwah & Allah larang dari memaki Tuhan kepercayaan orang lain!
  1. Menerangkan bahawa orang yang betul-betul bertaqwa itu bukanlah orang meninggalkan perkara baik yang Allah halalkan.
    Bertaqwa itu ialah mengenepikan kehendak hawa nafsu yang nak ikut syahwat! 
    Iaitu meninggalkan apa yang disukai hawa nafsu dan diharamkan oleh Syara’. 
    Nak cepat kaya, hidup mewah sehingga sanggup terima rasuah dan ambil riba!
  1. Allah buat bandingan Nabi Muhammad SAW dengan kaumnya seumpama Nabi Ibrahim AS dengan kaumnya. 
    Dalam bab tauhid; Rasulullah SAW berdebat Abu Jahal, Abu Lahab dan anak beranak sendiri manakala Ibrahim dengan ayahnya yang buat berhala dan kaumnya yang sembah berhala. 
  1. Menjadi satu ungkitan nikmat ke atas umat ini bila Allah turunkan ke atas kamu Al-Quran sebagaimana Allah turunkan Taurat kepada Nabi Musa AS. 
    Tetapi al-Quran lebih besar kerana ia mengawal kitab-kitab terdahulu: Taurat, Zabur & Injil.
  1. Menyatakan keagungan Al-Quran dan agama Islam serta Allah beri kepada ahli Quran & sesiapa yang mengikut agama ini; gandaan pahala yang begitu banyak!
  1. Celaan terhadap puak kafir yang tetap menentang islam walaupun hujjah di depan mata, sudah banyak dalil kebenaran.
    Guna nikmat Allah tetapi tetap kufur ingkar kepada-Nya!
  1. Allah sebut perangai Arab jahiliah yang sangat bodoh tindakan mereka. 
    Surah Al-An’am ini surah paling lengkap yang membongkar kebodohan puak Arab musyrikin!
  1. Dalam surah ini Allah detailkan perkara yang diharamkan dalam Islam serta banyak ayat-ayat muhkamat yang tegas dan teguh serta arahan & larangan Allah SWT. 
  1. Allah juga sebut dalam surah ini tentang kedudukkan makhluk yang berbeza darjatnya.
    Ada yang baik beriman, tetapi tetap berbeza-beza tahapnya/darjat keimanannya.
    Allah tutup surah ini dengan menyebut bahawa cepatnya hisab Allah SWT ke atas hamba-Nya dan betapa rahmat Allah itu luas untuk hamba-Nya yang beriman!
    Al-Quran surah yang paling lengkap dan ada segala muk’jizat dan lengkap panduan hidup untuk kita jadi beriman dan bertakwa.

MUNASABAH KAITAN SURAH AL-AN’AM – سورة الأنعام DENGAN SURAH AL-MA’IDAH – سورة المائدة SEBELUMNYA.

Ini menunjukkan semua ayat al-Quran ini datang dari sumber yang sama.

  1. Terdapat beberapa persamaan antara dua surah ini iaitu:
    ii- Kedua surah ini mengandungi tentang kisah berhujjah dan berdebat dengan ahli kitab tentang akidah pegangan mereka.

    ii- Dalam kedua surah ini Allah sebut tentang hukum-hukum makanan yang diharamkan dan tentang sembelihan yang halal dimakan serta menolak perbuatan jahiliyyah yang mengharamkan sebahagian haiwan yang halal kerana untuk dijadikan sembahan bagi berhala!
  1. Dibawa hukum dalam surah al-Ma’idah kemudian diperincikan dalam Surah Al-An’am.

KHULASAH:

  1. Surah Al-An’am ini menjadi asas kepada perdebatan dengan orang kafir, ahli bid’ah, golongan atheis yang tidak percaya kepada kebangkitan semula; kerana itulah Allah menurunkan Surah Al-An’am ini sekaligus dalam jumlah yang satu, dibawa dan dihempas atas kepala puak kafir, tidak beruncit-runcit.
  1. Allah gunaka dua uslub perbahasan dalam surah ini:
    i- Uslub taqrir: Iaitu menetapkan seperti pada awal surah lagi Allah menyatakan siapa Dia Allah & kekuasaan-Nya, kamu kena terima inilah Tuhan! 
    {ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ}.
    Kamu kena terima ini Tuhan, dalilnya keEsaan Allah SWT Tuhan yang mencipta langit & bumi.

    ii- Uslub at-Talqin: Allah ajar Rasulullah untuk pergi lawan, berdebat bersoal-jawab dengan puak kafir. 

    Seperti tanya kepada mereka siapa yang cipta langit & bumi ini?
    { قُل لِّمَن مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ} Maka jawapannya ialah Allah { قُل لِّلَّهِ ۚ}.
    Siapakan yang lebih baik dari menjadi saksi? Jawapannya Allah! 
    Terdapat beberapa uslub soal jawab begini yang Allah ajar kepada Nabi SAW.

PENUTUP :

  1. Alhamdulillah tamatlah dulu muqaddimah & pengenalan untuk Surah Al-An’am yang cukup menarik ini.
    Semoga ia memberi semangat untuk kita sambung kuliah tafsir dengan ayat pertamanya besok insya’ Allah. 
  1. Kita berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Maha Indah, dengan sifat-Nya yang Maha Tinggi agar cerahkan hati kita, lapangkan dada kita untuk kita memahami Kalamullah, menyayanginnya & beramal dengannya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs