Surah Al-A’raaf – سورة الأعراف
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
MUQADDIMAH, INTISARI SURAH & KHULASAH ISI PERBINCANGANNYA.
Full video : https://youtu.be/ZPB3SXGlLjE?si=4iKggzl9w660iv4w
MUQADDIMAH SURAH:
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini Selasa 14/01/2025 bersamaan 14 Rejab 1446H kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-A’raf – سورة الأعراف, surah yang ketujuh dalam juzuk kelapan.
- Semoga Allah SWT qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah Al-A’raf – سورة الأعراف adalah surah yang ketujuh dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-An’am – سورة الأنعام . Surah yang kedua dalam juz yang kelapan.
- Ia adalah antara surah yang panjang dalam al-Quran, mengandungi 206 ayat meliputi juzuk kelapan dan juzuk kesembilan.
- Ramai ulama’ tafsir sepakat (ijma’) mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah.
- Tetapi ada juga khilaf ulama’ yang berpendapat:
i- Surah ini secara keseluruhannya adalah Makkiyyah kecuali 8 ayat turun di Madinah.
ii- Dan ada yang kata kecuali 5 ayat yang turun di Madinah;
iii- Tetapi semuanya sepakat ia bermula pada ayat ini: {…وَسْـَٔلْهُمْ عَنِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَتْ حَاضِرَةَ ٱلْبَحْرِ}- iaitu ayat 163, cuma khilaf sama ada 8, 3 atau 5 ayat bersamanya yang turun di Madinah.
NAMA SURAH :
- Dinamakan Surah ini nama Surah Al-A’raf – سورة الأعراف yang bererti (Tembok Yang Tinggi) sempena perkataan Al-A’raf yang disebut dalam ayat (46) dan ayat-ayat selepasnya yang menceritakan tentang tembok al-A’raf yang memisahkan antara syurga & neraka.
- Ashabul-A’raaf ini adalah mereka yang duduk di atas tembok yang menjadi pemisah antara syurga & neraka, kalau bahasa kita mereka yang berada di atas pagar, iaitu di tengah-tengah.
KELEBIHAN SURAH :
- Nama ini juga disebut dalam beberapa hadis yang menunjukkan akan kelebihan surah ini.
- Hadis dari UM Sayyidah Aisyah RA : Bahawa Rasulullah SAW pernah membaca Surah Al-A’raf dalam solat maghrib dan Baginda membahagikannya kepada dua rakaat. [HR an-Nasaie- hasan].
- Hadis- diriwayatkan oleh Marwan bin Al-Hakam bahawa Zaid bin Thabit RA berkata kepadanya:
وَقَدْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِطُولِ الطُّولَيَيْنِ. حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ، عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ، عَنِ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنْ مَرْوَانَ بْنِ الْحَكَمِ، قَالَ قَالَ لِي زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ مَا لَكَ تَقْرَأُ فِي الْمَغْرِبِ بِقِصَارٍ، قالَ قلتُ ما طولى الطُّوليينِ قالَ الأعرافُ ( والأُخرى الأنعامُ )
“Mengapa anda membaca surah-surah yang sangat pendek dalam solat Maghrib sedangkan saya mendengar Nabi (ﷺ) membaca lebih lama dari dua surah yang panjang itu.” Saya bertanya apakah dua surah yang panjang itu? Jawabnya: Surah Al-A’raf (dan yang satu lagi ialah al-An’aam). [HR al-Bukhari].
INTISARI KANDUNGANNYA (Pimpinan Ar-Rahman):
- Menarik perhatian mengenai Kitab Suci Al-Quranul-Karim : Tentang tujuannya diturunkan dan tentang kewajipan Rasulullah SAW. menyiarkan ajarannya, serta memberi semangat kepada Baginda supaya janganlah Baginda merasa bimbang atau berdukacita terhadap kaum kafir yang menolak dan mengingkarinya.
- Diterangkan juga tentang kisah rasul-rasul AS yang terdahulu dan kaum masing-masing, serta bagaimana golongan yang menderhaka di antara mereka dibinasakan oleh Allah SWT.
- Diterangkan pula tentang nikmat kejadian manusia dari bapa yang satu, iaitu Adam AS, lalu disebutkan perihal Nabi Adam AS. dan tentang keingkaran Iblis, serta diperintahkan supaya manusia berjaga-jaga dari hasutan Syaitan, musuh yang besar itu.
- Diberi juga misal perbandingan antara tanah yang subur dengan tanah yang sebaliknya. Serta negeri yang baik tanahnya, tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah dengan negeri yang tidak subur tanahnya, tidak tumbuh tanamannya kecuali umpama kerakap tumbuh di batu iaitu hidup segan mati tak mahu!
Kerakap sejenis pokok seperti sireh.
- Perbandingan ini membayangkan begitulah roh & jiwa manusia yang baik, yang bersih daripada keburukan, kejahilan dan akhlak yang keji apabila dia diserapi dengan ajaran al-Quran akan lahirlah pelbagai perbuatan yang baik & akhlak yang terpuji.
Seperti pokok yang tak subur apabila kita tanam di tanah yang subur ia akan kembali segar & subur.
- Sebaliknya jiwa yang jahat, yang bergelumang dengan kekotoran perbuatan yang keji; sekalipun ia mendengar ajaran al-Quran, tidak akan lahirnya padanya kesan-kesan yang membawa kepada iman & akhlak yang mulia!
- Kemudian digambarkan pula apa yang akan berlaku dalam alam akhirat, tentang ahli Syurga dan ahli neraka dan tentang pengakuan mereka: bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah SWT adalah benar.
Tetapi masa sudah tamat, mereka sudah berada di jurang neraka, penyesaln itu tidak berguna lagi!
MAQASID/OBJEKTIF SURAH:
- Ada empat objektif utamanya:
i- Menenangkan hati Nabi SAW yang didustakan oleh puak kafir.
ii- Menyatakan asas akidah dan umumnya paksi agama Islam.
iii- Menyatakan pengembaraan manusia, bermula dari penciptaan Nabi Adam AS sehingga ke hari Kiamat. Iaitu manusia ini silih berganti!
iv- Memberi amaran kepada mereka yang ingkar, dalam surah-surah yang lepas juga telah dinyatakan bahawa kumpulan yang ingkar ayat-ayat Allah ini akan dibinasakan atas dunia lagi atau diazab di Akhirat kelak!
ISU PENTING DALAM SURAH (Tafsir Muharrar):
- Untuk menyatakan keagungan kitab al-Quran yang mulia ini.
- Larangan mengadakan sekutu bagi Allah, seta beri amaran pada puak kafir yang syirik buruk akibatnya di Akhirat serta azab yang dahsyat telah menimpa mereka yang syirik!
- Allah sebut tentang timbangan amalan di akhirat, semua amalan kita besar atau kecil akan ditimbang dengan mizan (neraca timbangan) pada hri Kiamat kelak.
Maka wahai manusia ingatlah kamu duduk atas muka bumi ini jangan derhaka, keras kepala, tak reti bahasa kepada Allah.
Kamu mengambil semua kebaikan bumi seperti tumbuhan dan galiannya tetapi kamu tidak syukur kepada Allah dengan beriman kepada-Nya.
- Allah sebut tentang penciptaan nabi Adam AS dan keengganan iblis untuk ikut perintah Allah supaya sujud kepada Adam.
Serta peranan Iblis laknatullah yang mewaswaskan Adam & Hawa untuk menghampiri pokok yang dilarang.
Di situlah bermulanya permusuhan manusia dengan syaitan, maka kita sebagai anak cucu Nabi Adam jangan lupa bahawa musuh utama kita adalah syaitan Iblis.
- Allah sifatkan dan bawa gambaran huru-hara pada hari Kiamat bagi orang yang jahat serta kebaikan & ketenangan bagi orang yang baik, masuk bawah teduhan bayangan Arasy!
Ya Allah jadikan kami semua golongan yang layak berada di bawah bayangan Arasy-Mu oada hari yang tiada bayangan kecuali bayangan.arasy-Mu!
- Allah SWT sebut tentang kisah mereka yang duduk di atas A’raaf iaitu tembok/dinding antara syurga dan neraka.
Ini mereka yang amalannya sama banyak antara jahat & baik, 50-50. Kita dengar kisahnya nanti!
- Allah SWT larang melakukan kerosakan di atas muka bumi yang Allah cipta untuk kegunaan manusia.
Terbukti hari ini rosaknya bumi ini disebabkan perbuatan manusia sama ada kerosakan fizikal atau rohaniyyah!
- Disebut keadaan rasul-rasul AS bersama kaumnya yang kafir serta bagaimana mereka menghadapi karenah puak kafir yang menyakiti mereka.
Allah mulakan dengan kisah nabi Nuh & taufannya, kisah Nabi Hud & binasanya kaum Aad, kisah nabi Soleh serta hancurnya kaum Thamud.
Diikuti dengan cerita nabi Lut & kebinasaan LGBT pada zamannya dan Allah sebut kisah nabi Syuaib & penyelewengan kaumnya dalam sukatan & timbangan!
Amat takut sekali kerana semua watak-watak & sifat yang telah dibinasakan ini muncul semula pada zaman kita ini!
Ahli sejarah kata sejarah telah mengulangi plot cerita yang sama cuma wataknya dibawa oleh orang lain.
التاريخ يعيد نفسه!
- Allah beri peringatan besar kepada orang yang beriman jangan terpedaya:
i- Dengan apa yang Allah anugerahkan, kasih-sayang, kesenangan & kesihatan, Allah boleh setap dan ambil bila-bila masa saja.
ii- Jangan kagum & terpedaya juga dengan kesenangan & panjang umur orang kafir dan orang yang zalim kerana itu Allah nak beri mereka masa untuk tambah lagi perbuatan maksiat & mungkar lalu akan disentap dicampak ke dalam neraka dengan begitu dahsyat!
ii- Kita orang beriman jangan terpedaya dengan semua itu. Kita lagi senang lagi kena banyak bersyukur dengan banyak beribadat kepada Allah, melakukan kebaikan & infaq, itulah syukur!
- Kisah terperinci tentang perlawanan Nabi Musa dengan Firaun serta kemunculan ahli sihir.
Bani Israil minta tolong, jelas ceritanya & panjang dalam surah ini.
Juga cerita Nabi Harun yang jaga kaum mereka apabila Nabi musa dijemput bermunajat kepada Tuhannya.
Muncul Samiriy & pemyembahan anak lembu serta kembalinya Nabi Musa kepada kaumnya dalam keadaan marah & tarik janggut nabi Harun AS kerana marah akan kesesatan kaumnya.
- Disebut khabar gembira tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW serta sifat umatnya yang baik, mulia & taat.
Allah juga sebut tentang kelebihan agama Islam yang kita anuti ini dan semoga Allah curahkan ke atas kita istiqomah yang tidak berbelah bagi dengan nikmat yang diberikannya ini!
- Allah sebut juga tentang anak cucu Nabi Yaakob iaitu (الأسباط- al-Asbat) & cerita tentang penangkap ikan pada hari Sabtu, yang mana akhirnya mereka menjadi monyet.
- Allah beri fokus dakwah kepada kaum kafir yang mana mereka telah menukar perjalanan agama tauhid ini kepada syirik.
Allah juga telah buat bandingan tentang mereka dengan satu analogi yang menarik, kita lihat nanti.
- Allah sebut keadaan orang yang sesat bagaimana mereka mendustakan para rasul AS. Allah juga sebut tentang berhala mereka yang lemah tidak ada kuasa sedangkan sifat Allah SWT Yang Maha tinggi & agung.
Yang mana kamu nak pilih antara ini????
- Allah perintahkan Nabi SAW & para umat Islam supaya tenang hati & lapang dada untuk terus berdakwah.
Serta diberi peringatan bahawa jalan ini akan sentiasa diganggu oleh syaitan yang sentiasa menyekat dari sebut nama Allah & agar tidak solat!
Hadaplah muka & hati kita kepada Allah semata-mata serta lawanlah tipu daya syaitan yang lemah di hadapan orang yang beriman! Tipu daya syaitan itu lemah.
- Allah ceritakan tentang perjanjian yang telah Allah buat dengan manusia: {Hendaklah kamu sembah Allah, jangan syirik…}. Serta Allah beri galakan agar kita sentiasa bertadabbur & bertafakkur dengan makhluk yang ada di hadapan kita supaya lebih kuat keyakinan & mantap keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla.
KHULASAH :
- Alhamdulillah tamatlah dulu muqaddimah & pengenalan untuk Surah Al-A’raf – سورة الأعراف yang cukup menarik ini.
Semoga ia memberi semangat untuk kita sambung kuliah tafsir dengan ayat pertamanya besok insya’ Allah.
PENUTUP & FAEDAH :
- Semoga kita terus semangat dan istiqomah untuk terus bertadabbur memahami ayat-ayat Allah.
- Kita berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Maha Indah, dengan sifat-Nya yang Maha Tinggi agar cerahkan hati kita, lapangkan dada kita untuk kita memahami Kalamullah, menyayanginnya & beramal dengannya!