View Categories

(1) Surah An-Najmi : Muqaddimah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah An-Najmi -سورة النجم

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & FADHILAT SURAH.

Full video : https://youtu.be/k9kasZ-c0OM?si=Arhxn3VIU11c78hU

MUQADDIMAH SURAH:

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Selasa 07 R.Awal 1444H bersamaan 4hb September 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Najmi – سورة النجم.
  1. Surah An-Najmi adalah surah ke-53 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah At-Tur, di awal juz ke 27, mengandungi 62 ayat yang pendek-pendek. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek. 
  1. Para ulama’ tafsir sepakat (ijma’ ulama’) mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 
    Tetapi ada juga yang mengatakan : Kecuali satu ayatnya turun di Madinah iaitu ayat 32: {Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan)}
  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah An-Najm – سورة النجم yang bererti (bintang) kerana Allah SWT bersumpah dengan perkataan itu pada ayat yang pertamanya {وَٱلنَّجۡمِ إِذَا هَوَىٰ}. 
    Allah bersumpah dengan nama bintang bahawa Rasulullah SAW yang dituduh oleh orang kafir dengan pelbagai tuduhan adalah benar & tidaklah dia menyeleweng dari jalan yang benar atau dia sesat dari ajaran yang benar. Bahkan apa yang diajarnya berhubung dengan agama Islam adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril!

    Dalil: 
    a- Hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawa: 
    أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ سُورَةَ النَّجْمِ، فَسَجَدَ بِهَا فَمَا بَقِيَ أَحَدٌ مِنَ القَوْمِ إِلَّا سَجَدَ، فَأَخَذَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ كَفًّا مِنْ حَصًى – أَوْ تُرَابٍ – فَرَفَعَهُ إِلَى وَجْهِهِ، وَقَالَ: يَكْفِينِي هَذَا “، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: فَلَقَدْ رَأَيْتُهُ بَعْدُ قُتِلَ كَافِرًا
    Sesungguhnya Nabi SAW membaca surat An-Najmi (سورة النجم), setelah itu Baginda sujud. Dan seluruh manusia pun sujud kecuali satu orang dari mereka. Lalu dia mengambil pasir, atau tanah dan menempelkannya ke wajah (dahi)nya dan berkata: ‘ini cukup bagiku’. Abdullah bin Mas’ud berkata: ‘Setelah itu aku melihatnya terbunuh (pada perang Badar) dalam keadaan kafir.’” [HR Bukhari].

    Sebahagian ulama mengatakan : Bahawa satu-satunya orang yang tidak mahu sujud itu adalah Umayyah bin Khalaf (bekas tuan Bilal bin Rabah).
    Ada juga yang mengatakan Al-Walid bin Al-Mughirah (ayahnya Khalid bin Al-Walid). Keduanya meninggal dalam keadaan kafir. 

    b- Hadis riwayat dari Abdulllah ibnu Abbas RA: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجَدَ بِالنَّجْمِ، وَسَجَدَ مَعَهُ المُسْلِمُونَ وَالمُشْرِكُونَ وَالجِنُّ وَالإِنْس
    “Sesungguhnya Nabi SAW sujud (ketika membaca) surat An-Najmi. Maka orang-orang muslim, musyrik, golongan jin dan manusia ikut sujud bersama Baginda.” [HR Bukhari].

    ii- Ada juga namanya yang kedua iaitu Surah Wan-Najm – { وَٱلنَّجۡمِ } dengan tambahan huruf wau (و)
    Dalil : Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud RA ia berkata: “Surah pertama diturunkan yang di dalamnya terdapat ayat as-Sajadah (ayat yang di dalamnya ada perintah untuk melakukan sujud adalah surah Wan-Najmi { وَٱلنَّجۡمِ }.” [HR Bukhari].

    iii- Ia juga dipanggil sebagai {وَٱلنَّجۡمِ إِذَا هَوَىٰ}: Dari Zaid bin Ṡābit -RA ia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca surah An-Najm {وَٱلنَّجۡمِ إِذَا هَوَىٰ}. [HR Muslim].
    Jelaslah ketiga-tiganya dipanggil pada satu surah yang sama.
  1. Pengajaran: Jika kita terima semua tuduhan terhadap orang tanpa menapisnya maka malanglah kita, sama seperti tong sampah yang menerima apa saja yang dicampak orang. Kita boleh dengar orang cakap, tetapi jangan terus percaya kerana kita ada akal untuk berfikir dan memeriksanya dulu, hanya terima yang benar & baik.
  1. Surah ini adalah tentang dalil Wahdaniyyah dan dalil kudrat Allah SWT di alam sebelah atas iaitu alam langit. Kita ni ada dua alam atas & alam bawah. Kemudian alam dunia & alam Akhirat serta alam pemisah antara keduanya iaitu alam kubur atau barzakh.
    Selagi tidak Kiamat orang yang mati berada dalam alam kubur dengan interaksinya seperti alam akhirat, bukan lagi seperti alam dunia.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang apa yang Rasulullah SAW saksikan pada malam berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, bahawa dia telah menyaksikan segala tanda yang jelas membuktikan tentang Kekuasaan dan Keagungan Allah SWT. 
  1. Diterangkan juga tentang kesesatan kaum kafir musyrik yang terjerumus dalam penyembahan berhala serta fahaman mereka yang tidak berdasarkan sebarang bukti bahawa malaikat adalah anak tuhan!
  1. Maka untuk membasmikan fahaman ini maka Allah SWT perintahkan Rasul-Nya Rasulullah SAW untuk membawa ajaran Islam & tauhid serta jangan hiraukan lagi golongan kafr musyrik itu! 
    Ini kerana golongan kafir hanya mementingkan dunia semata-mata maka itulah tujuan yang mereka mahu capai.
  1. Begitulah apabila mahu hapuskan yang salah, kita mesti bawa dan nyatakan yang benar sebagai gantinya! 
    Macam hari ini apabila ajaran Rasulullah SAW telah dipinggirkan dengan mengantinya dengan majlis ritual yang tidak berasas ilmu dan amalan para sahabat tabien dan ulama’ muktabar! 
    Teruskan berdakwah dengan menyebarkan Sunnah, jika orang terima alhamdulillah, jika orang tidak terima, kita telah menjalankan tugas kita!
  1. Ditegaskan bahawa hikmah Allah SWT mencipta alam ini adalah untuk membalas orang yang berbuat baik dengan balasan sebaiknya juga membalas orang yang berbuat jahat! 
    Dengan adanya hari Pembalasan kita dapat merasakan keadilan Allah SWT! Jika tidak malanglah orang yang sentiasa dizalimi dianiayai atas dunia ini serta yang menzaliminya akan bebas jika tiada pembalasan di akhirat kelak!
  1. Dijelaskan perkara-perkara yang penting yang sayugia (sepatutnya) difahami dengan sebaiknya iaitu tiap-tiap seorang hanya akan tanggungjawab dengan dosanya sendiri dan setiapa orang akan dibalas dengan usahanya!
  1. Mengikut keadilan Allah SWT itu seorang itu tidak menanggung dosa orang lain serta tidak akan akan mendapat pahala orang lain kecuali apa yang diusahakannya. 
    KECUALI dosa yang berkait atau penyebab seperti penganjur majlis maksiat dan seumpamanya! 
  1. Mengikut kemurahan Allah SWT yang melimpah rahmat-Nya seseorang manusia juga akan dapat pahala & rahmat dari usaha orang lain seperti sedekah, wakaf, haji & umrah yang dihadiahkan kepadanya melalui jalan yang dibenarkan Syara’.

KELEBIHAN SURAH & CIRI-CIRI KEISTIMEWAANNYA :

  1. Di dalamnya ada sujud tilawah (sejadah). Iaitu pada ayat 62.
    Dalilnya :
    i- Hadis dari Abdullah bin Mas’ud RA: “Nabi SAW baca Surah An-Najmi kemudian Baginda bersjud, lalu semua yang mendengarnnya turut bersujud!” [HR Bukhari & Muslim].

    ii- Ada juga riwayat lain yang ditambah: “Kecuali dua orang iaitu Umayyah bin Khalaf & seorang lagi yang tidak mahu sujud tetapi mengambil tanah & menampal pada dahinya!”

    iii- Riwayat lain: “Apabila Nabi SAW sujud, semua orang sujud termasuk jin kecuali seorang iaitu Abu Lahab yang mengambil tanah & menampal pada dahinya!”
  1. Ia merupakan surah pertama yang ada sujud tilawah! Ikut tertib turun al-Quran kepada Rasulullah SAW pada masa itu! 
    Bukan tertib susunan surah dalam al-Quran sekarang ini.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR:

  1. Objektif utamanya ialah menegakkan dalil dan hujjah yang menunjukkan akan keEsaan Allah SWT!.
  1. Untuk membenarkan bahawa Rasulullah SAW itu seorang yang benar dalam menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepadanya.

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Dibuka surah ini dengan bersumpah dengan bintang untuk menyatakan benarnya Rasulullah SAW dalam semua ajaran yang disampaikannya iaitu ianya wahyu dari Allah SWT.
  1. Allah sifatkan malaikat Jibril AS, dialah pemegang amanah menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW dari Allah SWT. Dengan beberapa sifat yang menunjukkan betapa kuat dan gagahnya malaikat itu. 
    Jibril ada 600 sayap, Rasulullah SAW telah melihat Jibril dalam bentuk rupa asalnya ketika berada di Sidratul Muntaha & sekali di bumi semasa berada di Makkah! 
    Adapun ketika wahyu pertama di Gua Hira’, Jibril datang dalam rupa bentuk manusia.
  1. Menyatakan bahawa tuhan puak kafir yang mereka sangka itu, adalah semata-mata nama mereka beri yang tidak beri faedah! Ia hanyalah satu khayalan dan bukan hakikat yang benar! Ibadat yang benar hanya untuk Allah SWT sahaja.
  1. Mencela puak kafir kerana mereka mendakwa malaikat sebagai anak perempuan Tuhan.
  1. Tugas Rasulullah SAW hanya sampaikan jika mereka tidak mahu ikut, biarkan, berpalinglah dari mereka yang tidak hirau! Juga untuk menenangkan hati Rasulullah jika para kafir menyakitinya. Jika kita sudah sampaikan & didik, mereka tak ikut biarkanlah!
  1. Untuk menyatakan betapa jelasnya rahmat & keadilanan Allah SWT dalam penciptaan makhluk-Nya. Serta betapa luas rahmat Allah SWT untuk memperingatkan bahawa umat yang terdahulu juga telah menghina dan mengkhianati para nabi mereka. Maka wahai Rasulullah SAW sabar & tunggulah, kerana para Nabi akan mendapat pertolongan dari Allah SWT!
  1. Kita akan rasa pelik kenapa orang kafir menghina & memperli al-Quran apabila mereka dengarnya? 
    Mereka lansung tidak peduli nasihatnya dan cuba ambil iktibar pengajarannya. 
    Dengar saja terus tutup telinga & hatinya malah memerlinya pula!
  1. Allah tamatkan surah ini dengan perintah agar merendah diri kepada Allah, ikhlaskan ibadat dengan beramal semata-mata untuk Allah SWT! Ibadar kita kepada Allah untuk Allah & dari Allah!

MUNASABAH SURAH AN-NAJMI DENGAN SEBELUMNYA :

  1. Terdapat empat kaitan iaitu:
    Awal & Akhir:
    i-Surah at-Tur diakhiri dengan ayat: { Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).
    (At-Tuur 52:49) 

    ii- Datang Surah An-Najmi terus Allah SWT sebut tentang bintang juga: {Demi bintang semasa ia menjunam,} (An-Najm 53:1) Inilah I’jaz (keajaiban) al-Quran.
  1. Dalam surah Surah At-Tur Allah sebut tentang puak kafir yang buat & reka tuduhan jahat terhadap al-Quran, syair, rekaan Nabi SAW & dongeng orang dahulu!
    Maka dalam Surah An-Najmi Allah mulakan tentang kebenaran al-Quran untuk menolak balik hujjah & tuduhan yang mereka buat dalam Surah At-Tur.
  1. Dalam surah at-Tur Allah nyatakan bahawa Dia akan kumpulkan balik orang yang beriman dengan keluarga mereka di dalam syurga nanti Insya’Allah.
    Dalam Surah An-Najmi ini pula Allah sebut tentang zuriat puak yahudi dalam ayat 32 mengingatkan mereka agar jangan sombong semasa berada atas muka bumi ini kerana Allah SWT tahu asal-usul mereka!
  1. Sebutan tentang kaitan & hak antara ibu bapa & zuriat mereka:
    i- Dalam Surah At-Tur Allah nyatakan; Bagi ibu bapa yang beriman dan anak cucu yang beriman; akan dikumpulkan balik bersama di dalam syurga. Syafaat bagi seorang anak yang lemah imannya dari seorang bapa yang soleh! 
    Tetapi jika ayah tak soleh atau anak tak baik bagaimana pula? Apakah dosa akan naik kepada ayahnya?
    Jawapan: Jika ibu bapa sudah mendidik memberi ajaran agama kepada anak-anaknya; maka masing-masing akan dihisab & diadili mengikut amalan sendiri, tidak akan memberi kesan kepada satu sama lain kecuali dosa bersebab & Ibu bapa tidak didik anak.

    ii- Dalam Surah An-Najmi: Allah SWT sebut tentang orang kafir dan anak zuriatnya, tidak ada apa bagi manusia itu kecuali apa yang mereka usahakan, yakni dosa orang lain tidak akan ditanggung oleh orang dan tidak berkait jika dia baik!
    Seperti para sahabat Nabi SAW ada yang bapa atau anaknya yang tidak beriman, maka mereka tidak akan menjadi penyebab dosa kepada mereka!
    Inilah keadilan Allah SWT dalam munasabah yang perlu diperhalusi & diteliti! 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs