View Categories

(11) Surah Al-A’raf : Ayat 33-34

5 ASAS PERKARA HARAM, WAJIB DIJAUHI & SETIAP UMAT ADA TEMPOH AJALNYA.

Full video : https://youtu.be/r_2Clo7g6iw?si=45_sAfa8zvY-LUjG

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 33 sehingga 34 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan 5 perkara asas perkara yang haram ke atas manusia dan setiap orang wajib menjauhinya.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa setiap umat ada tempoh ajalnya. 
    Mereka tidak akan hidup lama atas dunia ini hanya dipinjamkan untuk tempoh yang sekejap sahaja kemudian mereka akan masuk ke dalam bumi bukan hidup atas bumi lagi.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan pengingkaran tentang perkara yang diharamkan oleh puak kafir ke atas diri mereka sendiri seperti perhiasan yang baik & binatang yang halal diharamkan sedangkan ia tidak haram.

    ii- Lalu datang ayat ini Allah menyatakan bahawa benda haram itu tidak banyak, ada 5 usul atau asas perkara haram (أصول المحرمات) yang perlu kita tahu & jauhi.
    Ia berkait dengan aqidah, akhlak, tingkahlaku, perkataan & pandangan. 
    Ia asas yang besar yang perlu kita hayati!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 33- {KATAKANLAH: “SESUNGGUHNYA TUHANKU HANYA MENGHARAMKAN PERBUATAN-PERBUATAN YANG KEJI, SAMA ADA YANG NYATA ATAU YANG TERSEMBUNYI; DAN PERBUATAN DOSA; DAN PERBUATAN MENCEROBOH DENGAN TIDAK ADA ALASAN YANG BENAR; DAN (DIHARAMKANNYA) KAMU MEMPERSEKUTUKAN SESUATU DENGAN ALLAH SEDANG ALLAH TIDAK MENURUNKAN SEBARANG BUKTI (YANG MEMBENARKANNYA); DAN (DIHARAMKANNYA) KAMU MEMPERKATAKAN TERHADAP ALLAH SESUATU YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-A’RAF 7:33)

  1. Katakanlah wahai Nabi Allah SAW kepada puak kafir itu bahawa sesungguhnya Allah tidak mengharamkan apa yang mereka haramkan itu!
    Seperti binatang yang halal & perhiasan yang baik. Sedangkan Allah mengharamkan segala perbuatan keji 
  1. Nota- [204] “Perbuatan-perbuatan yang keji” itu ialah:
    i- Perbuatan yang termasuk dalam bahagian dosa besar, khususnya perbuatan zina & yang berhubung dengannya. 
    Ini yang mencalarkan maruah manusia.

    ii- Perbuatan dosa ialah segala perbuatan yang berdosa secara umum, yang kecil atau yang besarnya.

    iii- Perbuatan menceroboh ialah segala perbuatan aniaya & khianat tehadap hak-hak orang lain.

    iv- Perbuatan mempersekutukan Allah adalah perbuatan syirik amat keji kerana tidak ada sebarang bukti dari segi syarak atau dari segi akal yang membenarkan perbuatan tersebut!

    v- Memperkatakan sesuatu terhadap Allah dengan tidak berilmu” adalah dilarang dan diharamkan oleh segala Rasul, kerana perbuatan yang demikian merosakkan hukum-hukum agama dan menimbulkan perbuatan bid’ah di dalam agama. 
  1. Kita jelaskan satu persatu,
    Pertamanya : Allah hanya mengharamkan perbuatan yang buruk & keji seperti perbuatan zina yang jelas atau yang tersembunyi, semuanya diharamkan oleh Allah SWT! 
  1. Keduanya : Semua perbuatan dosa & maksiat yang berkait antara hubungan kita dengan Allah sama ada yang kecil atau besar, secara zahir atau batin. Yang zahir ialah perbuatan dengan anggota manakala yang batin ialah yang tidak nampat, yang dibuat dengan hati & terpahat dalam hati manusia seperti hasad dengki, riya’, dendam takabbur dan seumpamanya.
  1. Yang ketiga : Ialah melampau & menceroboh hak orang lain tanpa hak! 
    Ingat! Tiada pencerobohan dengan hak dalam Syari’ah. 
    Ceroboh ialah langgar ambil atau rampas hak orang tanpa hak. 
    Apatah lagi jika dibuat secara sedar & tahu salah dan tak betul tapi lawan juga demi harta & wang! 
    Para pembela mereka ini juga sedarlah dan jangan bela jika tahu benda tak betul & salah.
  1. Hadis- Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku seorang manusia, dan kadangkala dua orang yang berbalah datang kepadaku, mungkin yang satu lebih petah dari lawannya dalam berhujah, sehingga saya kira dialah yang benar dan aku memenangkannya. Maka siapa yang aku menangkan dengan mengambil hak seorang Muslim, maka itu bagaikan mendapat potongan api neraka yang aku berikan kepadanya, terserah kepadanya sama ada hendak mengambil atau menolaknya.” [HR Al-Bukhari & Muslim.]
  1. Yang keeempat ialah Allah SWT melarang dari mengadakan sekutu bagi Allah dalam bab ibadat.
    Tiada hujjah dari Allah yang menunjukkan bahawa boleh buat syirik ini, tidak kira dalam bentuk doa, minta pertolongan (istighasah) sesama makhluk atau pemujaan kubur. 
    Kita beringat agar jangan sesekali buat perkara yang berisiko & ada khilaf yang boleh membawa tersasar dari batas aqidah dan kufur ini.
  1. Kita tidak boleh mudah-mudah menuduh orang syirik arau kufur tetapi kita wajib tahu & nyatakab dengan jelas batasan antara iman & kufur. 
    Jangan cari sesuatu yang boleh membahayakan aqidah umat! 
    Perlu ada SOP garis panduan, batasan dalam setiap perkara agar masyarakat awam tidak terjebak dalam perbuatan syirik atau tergelincir ke arahnya!!
    Contoh batasan dalam ikut merayakan perayaan orang kafir.
  1. Usul perbuatan haram yang kelima ialah: Allah haramkan ke atas kamu untuk mengeluarkan kata-kata & pandangan tanpa ilmu tentang nama-nama Allah, sifat-Nya, perbuatan-Nya & perundangan Allah.
    Ini amat penting sekali untuk kita tahu batasan setakat mana yang dibenarkan oleh Syara’ dan oleh Allah Azza wa Jalla. 
  1. Jenayah kelima ini amat berat kerana kita mengatakan atau menyandarkan sesuatu kepada Allah yang tiada sebenarnya. 
    Contoh : Kita kata Islam mengharuskan perkara ini sedangkan ianya tiada dalam al-Quran & hadis.
    Jika Tuhan pun kena goreng & scam apa lagi yang kita harapkan dari makhluk seperti ini!
  1. Kerana itu sebelum kata sesuatu perkara itu halal atau haram, kita kena teliti kena tengok baik-baik. 
    Jika ia adalah perkara ijtihadi iaitu ijtihad seseorang dari nas al-Quran atau hadis kemudian dikeluarkan pandangan.
    Jadi kita kena nyatakan bahawa ini adalah pandangan atau mazhab si fulan-fulan, ulama’ sedemikian yang mengatakan atau mengeluarkan pendapat sebegini yakni kita nisbahkan kepada kita jangan nisbahkan kepada Allah Azza wa Jalla!
    Wajib untuk amat berhati-hati dengan perangkap maut yang disediakan syaitan jangan sesekali kita terjebak!

AYAT 34- {DAN BAGI TIAP-TIAP UMAT ADA TEMPOH (YANG TELAH DITETAPKAN); MAKA APABILA DATANG TEMPOHNYA, TIDAK DAPAT MEREKA DIKEMUDIANKAN WALAU SESAATPUN, DAN TIDAK DAPAT PULA MEREKA DIDAHULUKAN.} (AL-A’RAF 7:34)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah sudah nyatakan kepada kita bahawa Dia sudah tentukan perkara ini halal perkara ini haram maka kamu jangan tunjuk keras kepala & tak reti bahasa untuk menerima apa yang Allah telah tetapkan. 
    Kerana sedegil mana sekalipun kamu semua akan bertemu dengan kematian!

    ii- Maka datanglah ayat ini bahawa bagi setiap umat yang derhaka kepada Allah & nabi itu ada tempohnya sebelum datang azab ke atas mereka. 
    Jika selepas nabi nasihat & huraikan, mereka tak dengar juga maka barulah datang azab!
    Jika mereka dengar apa yang nabi ajar maka akan selamatlah!

    iii- Atau ajal tempoh kehidupan & maut bagi setiap umat manusia ini ada tempohnya yang tertentu. Ada yang pendek & ada yang panjang umurnya!
    Tujuan Tuhan panjangkan umur kita ini untuk tingkatkan amalan & bekalan ke Akhirat bukan untuk berpoya menghabiskan usia dengan perkara yang tidak berfaedah! 
  1. Bersyukurlah kepada Allah yang tingkatkan umur untuk kita tingkatkan amalan. 
    Rugi besarlah jika masa yang ada yang Allah berikan ini tidak kita habiskan dengan perkara yang bermanfaat kepada kita!
  1. Tetapi apakan daya syaitan sentiasa ada, sentiasa bekerja tidak pernah penat lelah untuk menyesatkan anak Adam, yang tua dengan caranya yang muda dengan caranya, syaitan ini tekniknya bijak dia gun acara yang pelbagai & syaitan tidak masuk melalui jalan no entry! 
  1. Kita minta perlindungan dari Allah agar tidak dibiarkan begitu saja tanpa kasih sayang, bimbingan dan petunjuk yang mennyebabkan kita terumbang-ambing pergi ke sana sini tetapi tidak mendapat apa manfaat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 33- {Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi;….}-

    Kata ulama’ tadabbur : Allah sebut dalam ayat ini perkara-perkara haram yang disepakati oleh semua agama samawi & Syari’ah perundangan atas dunia ini. 
    Bukan seperti daging babi, darah yang mengalir, bangkai atau sebahagian makanan yang ada agama lain kata halal.
    Ada perkara yang memang haram dengan zatnya sendiri & ada yang haram berwaktu dan bersebab. 
    Lima perbuatan asas haram ini memang haram secara mutlak & zatnya sendiri. 
    Tahap kezaliman manusia itu ialah dengan melakukan apa yang Allah SWT haramkan ini seperti perbuatan zina, dosa & maksiat, pencerobohan serta yang paling besar ialah syirik dan mengatakan apa yang Allah tidak kata!

    Ada empat kategori kerosakan dari lima perkara yang Allah haramkan secara mutlak ini iaitu:
    i- Perbuatan keji : Kerosakan berkait dengan syahwat.

    ii- Menceroboh hak orang- berkait dengan nafsu ammarah.

    ii- Syirik kepada Allah– rosak dari sudut aqidah.

    iv- Kata apa yang Allah tidak kata- ini rosak dari sudut ilmu & akademik.
  1. Ayat 33- {… sama ada yang nyata atau yang tersembunyi;…}-

    Apa yang zahir atau yang batin,
    Ini menunjukkan dosa itu ada dua jenis:
    i- Yang zahir yang kita nampak perbuatannya seperti menyembah berhala, bunuh orang, berzina dan lain-lain.

    ii- Yang batin ialah sifat mazmumah (buruk) yang ada dalam hati seperti syirik kepada Allah atau syirik yang tersembunyi atau batin- riya’ takabbur sombong angkuh, hasad dengki dan lain-lain.
    Maka kita kena berhati-hatilah mungkin kita tak buat dah dosa zahir- tetapi dosa batin yang ada dalam hati amat membimbangkan! 
    Hati kita masih lagi dalam suasana yang tidak baik seperti dengki khianat, riya’- maka kita kena berusaha bersihkan hati kita dari segala sifat buruk itu! 
    Sentiasa bersihkan hati, banyakkan beristighfar dan mengingati Allah.
  1. Ayat 33- {Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji,…}-

    Allah haramkan perbuatan keji {ٱلْفَوَٰحِشَ}.
    Benda keji ini ialah yang berkait dengan maruah diri seperti zina, liwat & segala jenis LGBT dan seumpamanya.
    Kata ulama’ tadabbur : Melihat aurat wanita yang haram termasuk dalam perbuatan keji apatah lagi menyentuh dan berdekatan dengannya.
    Ini kerana semua itu adalah langkah yang boleh membawa kepada zina. 
    Melihat aurat wanita atau lelaki yang ajnabi termasuk perbuatan haram kerana zina boleh terjadi & bermula dengan pandangan mata, menaikkan nafsu syahwat lalu akan membawa kepada nafsu jahat & langkah seterusnya!
    Beberapa kali Allah sebut supaya jauhi perbuatan keji ini dalam al-Quran.

    Firman Allah SWT juga:
    i- {Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?} (Al-A’raf 7:80)
    Keji di sini liwat.

    ii- {Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).} (Al-Israa’ 17:32) 
    Kata ulama’ juga : Perbuatan wanita mendedahkan aurat juga termasuk dalam perbuatan keji kerana ia boleh membawa atau mendedahkan dirinya untuk lelaki berperasaan tidak baik kepadanya!
    Maka orang yang beriman lelaki atau perempuan; kena jaga auratnya, pandangannya, pergaulannya & penampilannya untuk menjauhkan diri dari zina & yang seumpamanya yang keji! 
  1. Ayat 33- {… dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.}-

    Kamu mengatakan ini hukum Tuhan atau perintah Tuhan sedangkan Allah tidak katakan pun perkara ini.
    Bahaya sekali mengatakan ke atas Allah perkara yang Allah tidak kata- kata sesuatu yang tiada dalam Islam sebagai satu ajaran atau perintah Islam.
    Contoh: Mengatakan Islam menggalakkan toleransi maka kita kena hadir semua perayaan orang kafir; kafir colek dahi kita colek, kafir gaul mee kita gaul, kafir happy Tuhan dapat anak kita sambut juga!!! 
    Jadi dimanakah Aqidah, prinsip dan kepercayaan agama kita????
    Maka para ahli ilmuwan, ahli panel & ahli fatwa; kena berhati-hatilah untuk mengeluarkan satu pandangan, arahan, SOP, ajaran atau fatwa.
    Tengok dulu arahan yang kita keluarkan ini ada dalam al-Quran atau hadis. 
    Nanti kita bercakap atas dasar nak jaga agama tetapi jadi meruntuhkan agama pula!
    Kerana itu kata ulama’ : Peringkat perbuatan haram yang paling tinggi dalam ayat 33 ini ialah mengatakan sesuatu itu hukum dari Tuhan sedangkan ia tidak sama sekali.
    Jangan kamu berani-berani buat perkara yang dilarang oleh Allah SWT nanti kita dimurkai oleh Allah dan dipertanggungjawab di hadapan Allah pada hari Akhirat kelak!
  1. Ayat 34- {Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan);…}-

    Setiap umat itu ada tempohnya.
    Sebagaimana kata ulama’ tafsir tadi : Umat yang degil, yang keras kepala- akan diberi tempoh sebelum didatangkan azab. 
    Maka berpesta dan bergalaklah kamu semua dengan maksiat & mungkar; tetapi ingat apabila tiba ajalnya (أَجَلُهُمْ) Allah akan hantar bala dan azabnya maka musnahlah semua kamu.
    Umat Nabi Muhammad SAW tidak akan musnah keseluruhannya hanya pada tempat ditimpa bala itu sahaja.
    Ajal ini untuk setiap kaum {وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ} walaupun ayat ini pada asalnya untuk kaum Quraisy tetapi Allah umumkannya untuk semua umat manusia seluruhnya jika datang bala mati habis!
    Ajal ini juga untuk individu iaitu kematian untuk setiap manusia. Ia juga tidak akan dilewatkan atau dicepatkan walaupun sesaat! 
    Malaikat maut tidak akan salah alamat, tiada kesian-belas dan dia menjalankan tugasnya dengan tepat!

Alhamdulillah tamatlah kuliah ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaatnya!
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs