NABI SAW BERDUKACITA, PUAK KAFIR KENAL TAPI MENENTANG & HIDAYAH MILIK ALLAH SWT.
Full video : https://youtu.be/lXsvldbt40Q?si=1iiE5RmhdVpRKk1v
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 33 sehingga 35 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang Nabi SAW berdukacita kerana kaumnya tidak menerima dakwahnya.
Nabi SAW sedih sebab dakwah, kerana mahu orang jadi baik!
- Allah nyatakan bahawa puak kafir itu seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain kenal Nabi SAW dan peribadinya yang terpuji, tetapi tetap menentang dakwah Baginda SAW.
- Kemudian Allah puji Nabi SAW yang berusaha bersungguh mahu mencari dalil lagi supaya umatnya beriman.
Tetapi kita kena ingat hidayah taufiq itu milik Allah SWT.
Kita manusia termasuk Nabi SAW; hanya boleh beri hidayah irsyad, menunjuk jalan dan memberi bimbingan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW untuk berlawan dan berhujjah dengan puak kafir.
Yang akhirnya menunjukkan bahawa puak kafir tidak guna akal tetapi guna nafsu, hujjah keras kepala dan kedegilan mereka yang akhirnya membawa kerugian kepada mereka di Akhirat kelak!
ii- Maka datang ayat ini; Allah SWT bawa untuk menenangkan hati Nabi SAW & sekaligus semua pendakwah yang duduk atas landasan Syari’ah & ikut jejak Sunnah Nabi SAW, kamu akan mengalami pengalaman yang sama, maka sabarlah.
Kita mengharapkan pahala yang Allah sediakan bagi orang yang berjuang atas landasan-Nya dan sabar dalam perjuangan itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 33- {SESUNGGUHNYA KAMI MENGETAHUI BAHAWA APA YANG MEREKA KATAKAN ITU AKAN MENYEBABKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERDUKACITA; (MAKA JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA) KERANA SEBENARNYA MEREKA BUKAN MENDUSTAKANMU, TETAPI ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU MENGINGKARI AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH (DISEBABKAN KEDEGILAN MEREKA SEMATA-MATA).} (AL-AN’AM 6:33)
- Allah menyatakan bahawa Dia tahu Nabi SAW berasa sedih dan dukacita atas tuduhan & dakwaan jahat mereka ke atas Nabi SAW demikian juga para nabi sejak zaman nabi Nuh AS bagi iaitu sebagai ahli sihir, tukang tilik, penyair & gila atau cadangan merapu yang mereka pinta seperti minta bukit emas, sungai dalam bandar Makkah dan lain-lain lagi!
- Kata-kata buruk mereka itu menyebabkan Nabi SAW sedih & dukacita lalu Allah SWT bawa ayat ini untuk menenangkan hati Nabi SAW.
Beberapa firman Allah SWT tentang isu ini juga:
i- Maksudnya: {Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.} (Al-Hijr 15:97)
ii- Maksudnya: {Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).} (Hud 11:12)
iii- Maksudnya: {Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.} (Al-Kahfi 18:6)
- Kemudian Allah nyatakan sebab puak kafir menentang itu bukan dengan sebab ragu, sedangkan mereka tahu dalam hati mereka Nabi SAW adalah seorang yang benar & apa yang dia bawa itu betul!
- Mereka ingkar tidak mahu terima & beriman kerana keras kepala, zalim terhadap diri sendiri, tidak mahu buka hati & lapangkan dada walaupun Allah telah bawa bukti & mukjizat yang jelas nyata di hadapan mereka!
- Itulah punca manusia tidak boleh terima kebenaran- angkuh, sombong, degil, keras kepala & takabbur!
Sifat buruk yang membawa kebinasaan & kesesatan!
AYAT 34- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, RASUL-RASUL SEBELUMMU PERNAH JUGA DIDUSTAKAN, MAKA MEREKA SABAR TERHADAP PERBUATAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN MEREKA DAN MENYAKITI MEREKA, SEHINGGA DATANGLAH PERTOLONGAN KAMI KEPADA MEREKA; DAN SEMEMANGNYALAH TIADA SESIAPA PUN YANG DAPAT MENGUBAH KALIMAH-KALIMAH ALLAH (JANJI-JANJINYA); DAN DEMI SESUNGGUHNYA, TELAH DATANG KEPADAMU SEBAHAGIAN DARI KHABAR BERITA RASUL-RASUL ITU.} (AL-AN’AM 6:34)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah hilangkan rasa sedih & dukacita Nabi SAW dengan menyatakan bahawa sesiapa yang mendustakan Nabi SAW adalah orang yang mendustakan Allah!
Kerana Allah yang pilih & utuskan Nabi SAW bukan orang lain!
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa para nabi sebelum ini pun sudah bersabar maka Nabi SAW pun kena sabar.
Begitu juga para pendakwah selepas Baginda SAW yang nak ajak kepada Sunnah Nabi kena sabar!
- Allah nyatakan bahawa puak kafir sebelum ini juga telah mendustakan para rasul & nabi sebelum Baginda SAW.
Mereka semua bersabar, ada yang mendustakan, ada yang menyakiti bahkan ada yang dibunuh!
- Allah telah utuskan ramai para Nabi AS sebelum ini; mereka ditentang dan diingkari & didustakan oleh kaum mereka dengan dahsyat.
Tetapi mereka tidak berhenti dalam dakwah mereka sehinggalah datang pertolongan Allah dan Allah binasakan puak kafir!
- Maka kamu Muhammad SAW, jika puak Quraisy mendusta & menentang kamu; kamu jangan sedih & sabarlah atas perbuatan mereka itu!
Sabarlah sebagaimana sabarnya orang yang terdahulu!
Begitu juga kita yang nak berdakwah ini juga kena sabar mengikut jejak Nabi SAW.
- Allah nyatakan lagi bahawa tiada siapa yang dapat mengubah kalimah Allah, yakni janji-janji-Nya untuk mempertahankan para rasul.
Tiada siapa yang boleh menyekat arahan Allah SWT, menolak kebenaran yang Allah beri kepada para nabi, tiada siapa boleh sekat pertolongan Allah.
- Beberapa pandangan ulama’ tentang maksudnya ayat ini {Kalimah-kalimah Allah- لِكَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ}:
i- Kata Imam Ibnu Jarir RHM maksudnya : Kalimah Allah ialah al-Quran yang Allah turunkan kepada Nabi SAW & janji kemenangan kepadanya.
ii- Kata ulama’ lain seperti Ibnu Asyur RHM pula ialah : Apa yang Allah telah wahyukan kepada rasul-rasul -Nya bahawa mereka akan menang!
iiii- Kata ulama’ lain pula: Semua wahyu yang Allah turunkan ke atas semua para Nabi yang terdahulu & Rasulullah SAW.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan.
Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).} (As-Saffat 37: 171-173)
- Kemudian Allah nyatakan telah dibawa datang kisah-kisah para rasul lain sebelum Nabi SAW, untuk menguatkan hati & semangat Baginda, maka kita pun baca & ambillah iktibar darinya untuk menambahkan kesabaran & kekuatan semangat!
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.} (Hud 11:120)
AYAT 35- {DAN JIKA PERBUATAN MEREKA BERPALING (DARIPADA MENERIMA APA YANG ENGKAU BAWA WAHAI MUHAMMAD) TERASA AMAT BERAT KEPADAMU; MAKA SEKIRANYA ENGKAU SANGGUP MENCARI SATU LUBANG DI BUMI (UNTUK MENEMBUSI KE BAWAHNYA) ATAU SATU TANGGA UNTUK NAIK KE LANGIT, SUPAYA ENGKAU DAPAT BAWAKAN MUKJIZAT KEPADA MEREKA, (CUBALAH LAKUKAN JIKA ENGKAU SANGGUP). DAN SEKIRANYA ALLAH MENGHENDAKI, TENTULAH IA HIMPUNKAN MEREKA ATAS HIDAYAH PETUNJUK. (TETAPI ALLAH TIDAK MENGHENDAKINYA), OLEH ITU JANGANLAH ENGKAU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG JAHIL.} (AL-AN’AM 6:35)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT tenangkan hati Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini, bahawa tiada jalan lain kecuali bersabar!
Bawalah dalil & hujjah sebesar manapun; orang kafir yang degil, yang hati tertutup, keras kepala tetap akan begitu, tiada jalan untuk mereka beriman kecuali dengan kehendak Allah SWT.
- Allah SWT puji Nabi SAW yang bersungguh mahukan supaya umatnya beriman & selamat dari azab neraka!
Baginda susah hati & sedih akan mereka yang lari ini!
- Yakni Allah kata: Jika dia mampu, Nabi Muhammad SAW akan korek lubang dalam bumi atau bina tangga untuk naik ke langit bagi mencari dalil & bukti bahawa benarnya dakwah & ajarannya, untuk diberi kepada kaumnya agar mereka beriman!
- Menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Baginda SAW kepada umatnya, nak benar agar mereka beriman dan kasih sungguh agar mereka selamat daripada neraka!
Tetapi apa boleh buat jika orang tak terima begitulah!
- Maka kita para pendakwah kena belajar ilmu sabar, tenang, berlapang dada menerima apa yang Allah SWT taqdirkan kepada kita!
Kita berdakwah kita, kita sampaikan bahawa ini adalah ajaran Nabi SAW tetapi jika mereka tak terima juga apa boleh buat!
Tak terima itu satu hal, tetapi lebih dahsyat dilemparkan pula tuduhan dan kata-kata keji dan buruk, diberi label dan sebagainya!
- Pada akhir ayat Allah kata jika Allah mahu, boleh saja Dia himpunkan semua mereka yang kafir tidak beriman itu atas hidayah petunjuk; semua beriman & ikut Sunnah nabi SAW.
- Tetapi Allah tidak buat begitu! Kerana hikmahnya Allah nak lihat siapa yang beriman siapa yang kafir, kerana Allah telah siapkan syurga & neraka!
- Maka kamu jangan jadi orang yang bodoh, orang yang tidak mahu terima hujjah, tidak mahu terima dakwah & tidak mahu mencari syurga yang disediakan Allah untuk orang-orang yang bertaqwa!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya:
{Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?} (Yunus 10:99)
- Yakni jika Allah mahu semua manusia atas bumi ini beriman semuanya!
Tetapi apakah kita nak paksa orang beriman? Kita tidak boleh paksa mereka, hanya boleh sampaikan dakwah & dalil bukti kepada mereka!
Hidayah taufiq hanya di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 33- {Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacitam,…}-
Allah nyatakan bahawa Dia tahu kata-kata & perbuatan puak kafir itu menyedihkan hati Rasulullah SAW.
Ulama’ tadabbur lihat kepada keadaan Nabi SAW kenapa Baginda sedih?
Apakah hanya kerana orang tak terima dakwahnya maka Baginda murung & dukacita?
Jawapan:
Rasulullah SAW sedih kerana hidayah tidak masuk ke dalam hati kaumnya!
Apabila tidak ada hidayah tidak akan ada juga syahadah!
Bila tidak ada syahadah mereka tidak akan ada jalan yang selamat sama ada di dunia atau di Akhirat.
Maka Allah SWT tidak larang Nabi SAW untuk sedih kerana naluri & jiwa manusia begitulah.
Cuma jangan tenggelam dalam kesedihan itu, sehingga membawa kepada depression, stress dan kemurungan yang boleh membawa kepada penyakit jiwa pula!
Allah larang kesedihan yang melampau memikirkan orang tak terima sehingga membawa kepada perasaan putus,asa & kecewa, sehingga meninggalkan dakwah, bahkan kena sabar & terus berjuang!
- Ayat 33- {… (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).}-
Allah ajar Nabi SAW agar jangan dukacita kerana mereka bukan hanya menolak Baginda tetapi mereka juga mengingkari ayat-ayat Allah SWT!
Mereka tetap menolak tak mahu terima sedangkan mereka tahu bahawa Nabi SAW itu benar & betul.
Allah nyatakan bahawa sebenarnya dalam hati mereka, mereka tahu bahawa Rasulullah SAW itu benar, tetapi mereka lawan juga secara terang-terangan kerana nak tunjuk samseng, gedebey, serta angkuh sombong mereka menolaknya!
Ketika mereka datang menawar tawaran kepada Rasulullah SAW agar berhenti dari berdakwah ajaran Islam lalu Rasulullah SAW bacakan ayat al-Quran kepada mereka, ada yang terkesima mendengarnya:
i- Ulama’ tafsir menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn al-Mughirah : Seorang pembesar Quraisy yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran.
Beliau pada suatu hari diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan tentang al-Quran.
Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata: صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها
Maksudnya: Sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraisy akan terpukau mendengarnya.
Reaksi al-Walid ini membuatkan Abu Jahal kecewa.
Al-Walid adalah tokoh Quraisy yang hebat. Bukan sahaja beliau hebat, anak beliau Khalid al-Walid juga adalah tokoh Quraisy yang terkemuka (sebelum Islam).
Namun, apabila mendengar bacaan al-Quran ini, al-Walid menjadi tersentuh dengan keindahan al-Quran.
ii- Ibnu Hisham pula meriwayatkan kisah bagaimana ‘Utbah ibn Rabi’ah, seorang pembesar Quraisy yang datang menawarkan kepada Rasulullah ﷺ harta serta pangkat dengan harapan supaya Rasulullah ﷺ berhenti daripada berdakwah.
Setelah selesai dari segala tawaran tersebut, Rasulullah ﷺ membacakan kepada beliau potongan ayat dari surah Fussilat.
Sehinggalah apabila Rasulullah ﷺ membaca ayat sujud (sujud sajdah), Utbah turut sujud bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ.
Lihatlah bagaimana Utbah yang pada awalnya datang untuk menghentikan dakwah Rasulullah ﷺ, akhirnya sujud bersama Rasulullah ﷺ setelah mendengar al-Quran.
Ini kerana mereka tahu akan kebenaran dakwah Rasulullah SAW, mereka kenal Baginda sejak dari kecil lagi sebagai seorang yang berakhlak mulia, amanah, jujur & berintegriti.
Bahkan mereka yang tabalkanya sebagai ‘al-Amin’, seorang yang amanah & dipercayai.
Kata ulama’ : Sesiapa yang ingkar akan ayat Allah maka tetap akan dikira kafir walaupun mereka yakin dalam hati mereka!
Jika mulut mereka ingkar kita akan kira mereka kafir kerana kita diajar untuk berhukum dengan zahir sahaja, sebagaimana Firaun dengan Musa AS juga sebagaimana munafiqin di Madinah, mereka di kira muslim pada zahirnya,
Manakala yang batin itu di bawah hukuman Allah Azza wa Jalla!
- Ayat 34- {Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan,…}-
Sabarlah wahai Muhammad SAW, rasul-rasul sebelum kamu pun sudah kena pendustaan & tentangan.
Persoalan:
Apakah faedah Allah hantar rasul kemudian umatnya mendustakan???
Lebih baik hantar malaikat terus untuk musnahkan mereka!
Jawapan:
i- Untuk menegakkan hujjah ke atas mereka!
Jika tiada rasul mereka akan kata kenapa nak azab sedangkan mereka tak tahu pun tentang Islam.
ii- Maka dihantar rasul, datang memberitahu & mengajar, kamu yang ingkar menolaknya, sebagai hujjah atas kepala mereka supaya mereka tahu mereka sudah tahu tetapi masih lagi degil keras kepala!
Ayat ini juga mengajar kepada kita agar sabar, jangan dok rasa resah gelisah kerana manusia tak terima dakwah kita!
Sabarlah Allah nak beri pahala kepada kita!
- Ayat 34- {… sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka;…}-
Allah SWT janjikan bahawa semua rasul & nabi itu akan diberi pertolongan & bantuan.
Ayat ini khabar gembira kepada Nabi SAW, khabar gembira kepada para dae’i pendakwah bahawa akan ada suatu masa dakwah mereka akan diterima oleh manusia!
Kena ingatlah jika kita sedang rasa sedih sekarang ini, kita kena sabar dan cekal, akan datang nanti bantuan & pertolongan dari Allah, maka perjuangan & Sunnah ini akan diangkat dan diterima oleh masyarakat.
Kerana itu Allah kata tiada siapa yang boleh tukar ketetapan Allah SWT!
Allah kata Dia akan beri kemenangan kepada para rasul, kepada mereka yang mengangkat panji-panji tauhid & yang mengangkat Sunnah Nabi SAW.!
Walaupun tidak nampak secara zahir tetapi insya’ Allah secara batinnya ramai yang terima cuma tidak ditunjukkan kerana tidak mahu dicop atau dilabel dengan gelaran & tuduhan tertentu!
- Ayat 35- {Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit,….}-
Ayat ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW bersungguh benar mencari bukti agar kaumnya terima dakwahnya!
Jika ada bukti dalam bumi akan dikoreknya dan jika ada bukti di atas langit mahu dibawa turunnya, asalkan mereka terima!
Tetapi apa boleh buat walaupun telah datang dalil & bukti, yang kafir tetap kafir yang keras kepala & degil tetap menolak di situlah!
Maka sabarlah.
Allah telah katakana jika Dia mahu boleh saja dijadiakn semua manusia itu beriman!
Tetapi telah menjadi taqdir Allah SWT bahawa manusia ini ada yang kufur ada yang beriman, ada yang soleh & tholeh, ada baik ada buruk,
Yakni kita manusia ini beriman dengan kehendak Allah SWT.
Allah tetapkan manusia ini akan berlawanan ada yang beriman ada yang kafir!
Di akhir ayat Allah berpesan kepada Rasulullah SAW agar jangan jadi seperti orang jahil, orang yang bodoh, cepat kecewa dan putus asa.
Allah nak jauhkan Nabi SAW daripada sifat yang tidak baik seperti orang yang bodoh & jahil!
Nabi SAW tidak akan bertindak melulu, tidak akan bersifat tanpa hikmah & akal yang waras.
Semoga dengan kita belajar sifat Nabi SAW yang bersabar, bertindak penuh hikmah dalam menyampaikan maka kita akan ikut begitu juga dalam berdakwah.
Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita untuk hari ini semoga memberi kebaikan & manfaat!
Doa apabila turun hujan: اللَّهُم صَيِّبًا نَافِعًا.
“Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.