RASUL-RASUL TELAH MENYAMPAIKAN, ORANG TAQWA TIDAK SEDIH & KAFIR KEKAL DI NERAKA.
Full video : https://youtu.be/RPhKtQ-K7Yo?si=xyGCGrMXC3NcPRrr
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 35 sehingga 36 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa setiap ummat telah datang kepada mereka rasul-rasul yang telah menyampaikan sama ada perintah atau larangan Allah kepada mereka!
- Allah jamin bahawa orang yang bertaqwa kepada Allah mereka tidak takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang & tidak akan sedih untuk meninggalkan dunia ini.
- Manakala orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah serta sombong tidak mahu beriman kepada Allah akan kekal di dalam neraka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bahawa bagi setiap orang ada tempoh ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ianya tidak boleh dipercepatkan atau dilewatkan.
Malaikat maut tidak pernah tertangguh atau gagal dalam menjalankan tugasnya.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan keadaan anak Adam selepas mati.
Jika mereka orang bertaqwa & taat, dua janji Allah, mereka tidak akan takut untuk menghadapi hari yang akan datang dan mereka tidak akan sedih untuk meninggalkan keluarga kerana Allah set akan jaga orang yang soleh.
Tetapi jika mereka pemberontak penderhaka kepada Allah SWT, maka tunggulah balasan azab siksa yang pedih dari Allah SWT!
Betapa indahnya ayat al-Quran ini yang datang dari Allah tanpa ada celarau & keliru.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 35- {WAHAI ANAK-ANAK ADAM! JIKA DATANG KEPADA KAMU RASUL-RASUL DARI KALANGAN KAMU YANG MENCERITAKAN KEPADA KAMU AYAT-AYAT (PERINTAH) KU, MAKA SESIAPA YANG BERTAQWA DAN MEMPERBAIKI AMALNYA, TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-A’RAF 7:35)
- Sekali lagi Allah SWT menyeru manusia anak keturunan Adam yang datuk neneknya telah terpedaya dengan godaan syaitan sehingga terkeluar dari syurga yang kekal abadi ke atas dunia yang penuh dengan ujian & pancaroba ini!
- Bahawa Allah telah datangkan kepada mereka rasul-rasul yang membaca ayat dari kitab Allah dan menjelaskan kepada mereka aqidah yang wajib dipercayai, hukum-hakam yang wajin dipatuhi serta kisah-kisah yang wajib diteladani & diambil iktibar.
Betapa susah dan bukan senang perjuangan dakwah para nabi & rasul yang terdahulu, ditentang kaum sendiri dan dihalau sana sini.
Zaman kita ini pula report sana sini lalu menyekat pendakwah tanpa disiasat atau dipanggil untuk menjelaskan dan menyatakan pendirian atas pertuduhan!
- Yakni Allah peringatkan kepada kita jika datang ajaran Nabi terimalah dan para nabi ini telah melalui ujian yang besar!
- Allah nyatakan sesiapa yang bertaqwa iaitu yang takut kepada Allah dengan meninggalkan segala larangan Allah dan baik urusannya dengan sesama manusia!
Tidak benar jika ada orang kata hanya perlu nafsi-nafsi!
Kita wajib jaga diri & jaga juga masyarakat, wajib bangkit menyatakan yang haq jika tahu & ada kuasa!
- Antaranya ialah kelebihan menyebarkan Sunnah & betapa besarnya pahala.
Sebagaimana Imam Bukhari yang mengembara beribu batu semata-mata untuk mencari & mengumpul hadis Nabi SAW yang sahih.
Namun beliau terpaksa menghadapi ujian dari para penentangnya.
- Kata Iman Bukhari : Orang yang paling baik ialah mereka menyebarkan Sunnah Nabi SAW yang telah dilupakan orang!
Sabarlan wahai pencinta & penyebar Sunnah Nabi SAW sesungguhnya bilangan kamu hanya sedikit!
Orang yang belajar hadis ramai tetapi yang mengamal & menyebarkan Sunnah Nabi ini sedikit!
- Semoga Allah SWT angkat darjat Imam Bukhari dan semua pencinta Sunnah Nabi SAW dan berusaha menyebarkannya di kalangan manusia.
Ya Allah jadikan kami dari golongan mereka ini!
- Mereka ini juga tidak sedih & tidak takut dengan apa yang telah berlaku yang akan datang.
Jika mereka mati mereka tidak bimbang dan sedih akan diri mereka kerana akan bertemu Allah & mendaat syafaat dari Nabi SAW.
Mereka juga tidak bimbang akan anak keluarga yang akan ditinggalkan kerana mereka tahu Allah akan jaga mereka itu!
AYAT 36- {DAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT (PERINTAH) KAMI DAN YANG ANGKUH (MERASA DIRINYA LEBIH) DARIPADA MEMATUHINYA, MEREKALAH AHLI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-A’RAF 7:36)
- Setelah diceritakan tentang orang yang bertaqwa & soleh, ayat ini datang pula membawa cerita tentang orang yang toleh penderhaka & pendusta ayat-ayat Allah!
Begitulah susunan al-Quran yang begitu indah dan uslubnya yang sempurna; akan dibawa keduanya yang positif & negatif, baik & buruk!
- Iaitu Allah nyatakan sesiapa di kalangan yang mendustakan ayat-ayat Allah, tidak mahu terima apa yang disampaikan oleh para rasul, berpaling tidak mahu terima perintah Allah, tidak mahu beramal dengan hukum-hakam Allah, sombong tidak mahu taat kepada Allah, maka;
- Mereka inilah yang akan masuk ke dalam neraka, penduduk neraka yang akan kekal di dalamnya selama-lamanya tidak akan keluar darinya lagi!
Wal ‘iyazu billah.
Maka para jemaah; pilihlah mahu menjadi golongan yang mana, yang pertama atau kedua ini, pilihan di tangan anda!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 35- {Wahai anak-anak Adam!..}-
Sekali lagi Allah menyeru manusia sebagai anak Adam.
Yakni Allah ulang balik seruan ini {يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ} beberapa kali bermula dari ayat 26, 27, 31 dan 35 ini.
Kata ulama’ tadabbur : Allah ulang balik seruan ini beberapa kali supaya kita anak Adam celik mata buka telinga, bahawa Allah panggil kita tu, untuk dengar apa yang Allah mahu sampaikan kepada kita.
Allah seru dengan seruan yang lunak ini agar kita celik mata & buka telinga untuk mendengar apa yang Allah mahu cakapkan kepada kita!
Inilah uslub al-Quran yang amat indah & menarik sehingga berapa ramai orang yang bukan Islam dulunya apabila mendengar al-Quran terbuka hatinya untuk mendapat hidayah menerima Islam.
Malangnya ada orang Islam pula dengar al-Quran tak faham apa, bila diajak tadabbur tak mahu dengan alasan takut sesat!
Lalu berterusanlah mereka dalam kejahilan!
- Ayat 35- {Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu…}-
Jika datang kepada kamu rasul-rasul dari kalangan kamu.
Iaitu rasul itu dari kalangan mereka yang diutuskan, manusia seperti mereka juga, orang tempatan yang sama lidah (bahasa) dan bangsa keturunan seperti Rasulullah SAW kepada kaum Quraisy.
Tetapi jika tak dengar maka sangat ajaiblah!
Ini kerana bila rasul itu orang tempatan dari kalangan mereka sendiri maka dia akan membawa beberapa kelebihan dan hujjah yang lebih jelas:
i- Mereka kenal siapa Nabi SAW dan sifatnya. Mereka yang menabalkannya sebelum ini dengan gelaran al-Amin seorang yang jujur & amanah sebelum ini!
Maka jika kamu kenal begini & tidak mahu beriman juga maka tunggulah akibatnya!
ii- Mereka juga lihat dengan mata kepala mereka sendiri mukjizat-mukjizat yang sangat nyata yang dibawa oleh Nabi SAW.
Tetapi apa yang mereka minta secara karut & melampaui Nabi SAW tidak layan.
iii- Biasanya masyarakat itu suka kepada orang dari kalangan mereka sendiri, lebih mesra & lunak hatinya.
Ini bermakna ada juga rasul yang bukan dari kalangan manusia seperti firman Allah SWT ini:
{Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Hajj 22:75)
Tetapi rasul untuk menyampaikan dakwah di kalangan manusia & masyarakat adalah manusia juga.
Malaikat pula sebagai rasul kepada para nabi & rasul manusia ini!
Allah tidak hantar malaikat kepada manusia biasa!
- Ayat 35- {… maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya,…}-
Allah kata siapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalannya.
Ini adalah dua sifat yang perlu ada bagi setiap orang yang beriman, zahir & batin;
i- Taqwa itu soal hati & Aqidah.
ii- Manakala memperbaiki amalan adalah soal perbuatan atau ibadat zahir.
Wajib ada dua serentak tak sah hanya taqwa tetapi tidak buat amalan yang diperintahkan Allah seperti bercakap benar, jaga ibadat & aurat.
Tutup aurat itu termasuk dalam memperbaiki ibadat juga, orang yang soleh tidak akan biarkan aurat anak isteri terdedah.
Dalam Islam beginilah wajib ada dua sifat yang bertentangan ini seiring seperti burung terbang dengan dua sayap.
Perlu ajak kepada kebaikan & dalam masa yang sama cegah kemungkaran nyatakan apa yang tidak baik & tidak boleh dibuat!
Tidak boleh dan tidak jadi untuk amar ma’ruf saja tetapi tidak mahu nahi mungkar!
Ini adalah perbuatan yang tidak seimbang dan akan pincang masyarakat jika begini!
Amalan mesti jelas, nyatakan yang mana yang baik & mana yang buruk, mesti ada garis panduan SOP yang jelas mana yang boleh buat mana yang tidak boleh.
Ini antara perkara yang cukup menyusahkan hati kita apabila masyarakat makin makin hari makin tidak faham agama.
Orang yang belajar agama ramai tetapi yang islah, beramal & memperbaiki amalan tidak ramai & masih kurang berlaku!
Rugilah kita jika diberi oleh Allah SWT peluang tetapi peluang itu tidak diambil!
- Ayat 35- {… tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.}-
Dua janji Allah kepada orang yang bertaqwa & baik amalannya!
Iaitu:
i- Mereka tidak akan takut & bimbang akan di timpa keburukan di dunia.
ii- Dan mereka tidak akan berdukacita serta aman selamat di Akhirat kelak!.
Kaedah yang dibuat ulama’ :
i- Siapa yang takut di dunia akan aman di Akhirat.
Iaitu takut kepada Allah, takut nak buat perkara maksiat mungkar menyalahi larangan Allah semasa hidup atas dunia ini; dia akan selamat aman di Akhirat.
ii- Manakala yang berani di dunia tidak akan selamat di Akhirat.
Ini kerana mereka tidak takut untuk buat dosa & derhaka kepada Allah!
Maka di Akhirat kelak dia tidak akan aman & selamat dari balasan siksa.
Allah mahu beri yang terbaik kepada kita sebagaimana firman-Nya ini:
{Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.} (Fussilat 41:30)
Kerana itu orang yang baik, yang husnul khatimah apabila nak mati akan senyum dengan khabar gembira yang dibawa malaikat dan sebagaimana dalam hadis, akan berpeluh dahinya kerana malu nak bertemu dengan Allah, kerana dia berasa sedikit amalannya tetapi banyaknya nikmat yang Allah beri!
Ya Allah jadilah kami dari golongan mereka ini, akhirilah hidup kamu dengan husnul khatimah, hidup atas dunia dengan landasan yang betul beramal soleh dan menjauhi yang mungkar sebagaimana perintah Allah SWT!
- Ayat 36- {Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.}-
Iaitu orang yang mempunyai dua sifat buruk ini:
i- Berpaling tidak mahu terima ayat-ayat Allah
ii serta sombong angkuh merasa dirinya lebih mulia dan benar.
Ini adalah sifat syaitan, dia tahu kekuasaan Allah dan perbuatannnya salah tetapi dia tetap ingkar kerana sombong lalu binasa.
Kita orang yang beriman jangan ambil sifat syaitan ini dan ingatlah, sifat ini yang telah membinasakan banyak golongan sama ada manusia & syaitan.
Ayat ini menyatakan semua manusia yang rosak fitrah, yang terjebak dengan maksiat & perkara yang derhaka; jika mereka beriman dan islah hati, memperbaiki amalannya, insya’ Allah maka mereka masih ada peluang untuk selamat dan keluar dari neraka!
Kerana itu kata ulama’ ahli Sunnah :
Orang beriman yang buat maksiat, mereka masih ada peluang untuk keluar dari neraka!
Alhamdulillah dua ayat yang pendek tetapi sarat dengan pengajaran dan amat menyentuh perasaan kita.
Janji Allah itu benar & Allah tidak akan memungkir janji-Nya maka marilah kita perbaiki amalan, perbetulkan chanel kita supaya mendapat keampunan Allah Azza wa Jalla.
Alhamdulillah tamatlah kuliah ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaatnya!
Insya’ Allah kita akan sambung kuliah tafsir ini pada hari Sabtu depan iaitu 22hb Feb 2025 kerana DDAAM ada urusan di luar negara.
Perhatian: Malam ini insya’ Allah kita akan mulakan kuliah Kitab kita ar-Rahiqul Makhtum. Seeloknya para jemaah yang ingin bertalaqqi ada kitabnya supaya lebih faham dan ada sumber rujukan sendiri.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.