KEJAHATAN KAFIR TERHADAP ALLAH, PENGIKUT DAN KETUA BERBALAH & SEMUANYA DIAZAB DALAM NERAKA
Full video : https://youtu.be/K-8Bf6rM_24?si=QlgWYoV7voxMG-mj
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 37 sehingga 39 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kejahatan kafir terhadap Allah serta golongan yang paling jahat & zalim adalah yang membuat pendustaan dan bermacam tuduhan terhadap Allah SWT.
- Kemudian Allah ceritakan gambaran para pengikut dan ketua kafir berbalah di dalam neraka, masing-masing saling tuduh-menuduh & menyalahkan.
- Apa yang pasti kesemuanya sesat & kafir lalu diazab dalam neraka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang orang yang mendustakan ayat-ayat Allah kerana mereka sombong takabbur telah dibinasakan semuanya!
ii- Lalu dalam ayat ini Allah nyatakan golongan yang paling jahat terhadap Allah ialah mereka yang mendustakan atas nama Allah, buat tuduhan & kata-kata jahat terhadap Allah!
Mereka kata Tuhan ada anak, ada isteri, tuhan itu faqir dan lain-lain tuduhan jahat!
Walaupun mereka baik dengan orang, charitynya kuat tetapi dari sudut hubungan dengan Allah amat buruk!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 37- {MAKA TIDAK ADA YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG BERDUSTA TERHADAP ALLAH ATAU YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYATNYA. ORANG-ORANG ITU AKAN MENDAPAT BAHAGIAN MEREKA (DI DUNIA) DARI APA YANG TELAH TERSURAT (BAGI MEREKA), HINGGA APABILA DATANG KEPADA MEREKA UTUSAN-UTUSAN KAMI (MALAIKAT) YANG MENGAMBIL NYAWA MEREKA, BERTANYALAH MALAIKAT ITU (KEPADA MEREKA): “MANAKAH (MAKHLUK-MAKHLUK DAN BENDA-BENDA) YANG KAMU SEMBAH SELAIN ALLAH?” MEREKA MENJAWAB: “SEMUANYA ITU TELAH HILANG LENYAP DARIPADA KAMI”, DAN MEREKA PULA MENJADI SAKSI TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI, BAHAWA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG INGKAR.} (AL-A’RAF 7:37)
- Allah menyatakan tiada manusia yang lebih zalim, lebih jahat dan dahsyat selain daripada mereka yang berbuat dusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Mereka tidak mengaku Allah itu Tuhan, Allah itu benar dan seumpamanya.
Mereka kata Tuhan ada anak, ada sekutu, kata Tuhan suruh buat benda yang tidak baik serta mendustakan ayat-ayat yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya.
- Tetapi walaupun mereka tidak beriman dan mendustakan Allah & ayat-ayat-Nya, namun begitu, masih ada rezeki & bajet dari Allah atas dunia ini.
Bahkan setengah mereka lebih kaya & panjang umurnya daripada orang yang beriman!
- Ambillah bahagiannya atas dunia ini, tetapi ingatlah sehingga datang malaikat-malaikat utusan Allah untuk mengambil nyawa mereka!
- Persoalan: Berapa orangkah malaikat pencabut nyawa ini?
Kata Syeikh Mohd Amin Syanqiti : {إِذَا جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا}-
{… apabila datang utusan-utusan Kami}- disebut secara jamak- ramai, yakni Malaikat Maut dan para pembantunya.
Beberapa ayat tentang maut kematian ini dalam al-Quran:
i- Allah nyatakan Dia sendiri yang mencabut nyawa mematikan manusia:
Firman-Nya: {Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya,…} (Az-Zumar 39:42)
ii- Malaikat maut yang cabut nyawa:
{Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu…”.} (As-Sajdah 32:11)
iii- Dalam ayat ini pula malaikat-malaikat utusan Allah yang ramai:
{…hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka,…} (Al-A’raaf 7:37)
- Macamana kita nak faham daripada ayat-ayat ini?
Kata ulama’ : Ayat-ayat ini tidak bercanggah antara satu sama lain kerana:
i- Kuasa untuk menghidupkan dan mematikan atas dunia ini adalah di bawah kuasa Allah semata-mata!
ii- Malaikat maut ialah malaikat ketua yang menguruskan kematian manusia.
Senarai dan caranya ada dengan dia.
iii- Malaikat maut itu pula dia ada pembantunya dari kalangan malaikat juga.
- Kata sebahagian ulama’ : Malaikat pembantu menarik dulu nyawa manusia sehingga ke halkum, kemudian ketuanya iaitu Malaikat maut datang menyudahkannya!
- Jadi kesimpulan dari ayat-ayat yang dikumpulkan ini menunjukkan bahawa Malaikat maut ini mempunyai malaikat-malaikat pembantu yang ramai.
Allah yang menetapkan, Malaikat maut yang mengarahkan dan pembantu yang menunaikan arahan.
- Sebelum mencabut nyawa malaikat itu bertanya kepada mereka si kafir: “Manakah makhluk-makhluk dan benda-benda sekutu yang kamu sembah selain Allah?”
- Mereka menjawab dengan dukacita lagi penuh penyesalan: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”.
- Akhirnya mereka puak kafir mengakui, menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar, kafir & tidak beriman.
Yakni malaikat bertanya kepada mereka sebelum mencabut nyawanya.
AYAT 38- {ALLAH BERFIRMAN: “MASUKLAH KAMU KE DALAM NERAKA BERSAMA-SAMA UMAT-UMAT YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU, DARI JIN DAN MANUSIA. TIAP-TIAP SATU UMAT YANG MASUK, MENGUTUK AKAN SAUDARANYA (GOLONGANNYA SENDIRI); HINGGA APABILA MEREKA SEMUA BERHIMPUN DI DALAMNYA, BERKATALAH GOLONGAN YANG AKHIR MENGENAI GOLONGAN YANG PERTAMA DI ANTARA MEREKA: “WAHAI TUHAN KAMI, MEREKA INILAH YANG TELAH MENYESATKAN KAMI; OLEH ITU BERILAH KEPADA MEREKA AZAB SEKSA YANG BERLIPAT GANDA DARI (AZAB) NERAKA”. ALLAH BERFIRMAN: “KAMU MASING-MASING DISEDIAKAN (AZAB SEKSA) YANG BERLIPAT GANDA TETAPI KAMU TIDAK MENGETAHUI”.} (AL-A’RAF 7:38)
- Kemudian Allah berfirman memerintahkan mereka untuk masuk ke dalam neraka yang sudah ada di dalamnya penghuni iaitu umat sebelum ini dari kalangan jin & manusia.
- Di dalam neraka golongan yang diazab ini masing-masing saling kutuk-mengutuk dan menyalahkan satu sama lain!
Yakni mereka masuk berkumpulam dan setiap kumpulam saling laknat-melaknat & kutuk mengutuk!
- Nota i- [205]: Yakni kaum Jahiliyah yang kafir musyrik mengutuk golongannya sendiri (Ketua-ketuanya); kaum Yahudi mengutuk kaum Yahudi, kaum Nasrani mengutuk kaum Nasrani; demikian seterusnya pengikut-pengikut agama yang sesat yang lain seperti kaum majusi, dan sebagainya.
ii- [206] “Golongan yang akhir”: maksudnya: golongan yang menjadi pengikut dalam kalangan sesuatu umat yang tersebut, dan “golongan yang pertama” pula ialah Ketua-ketua agama mereka sendiri yang telah menyesatkan mereka.
- Firman Allah SWT:
{“Kemudian pada hari Kiamat sebagian kamu akan saling mengingkari dan saling mengutuk; dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sama sekali tidak ada penolong bagimu.”} (Al-‘Ankabut: 25)
- Kata Ibnu Asyur RHM : Sebab mereka saling mengutuk ini ialah apabila mereka sudah pasti bahawa mereka telah sesat & akan diazab serta orang yang mereka ikut itu tidak benar & tidak betul.
- Para pengikut akan mengutuk & menyalahkan para ketua yang mereka ikut dan menyesatkan mereka dahulu!
Mereka berkata wahai Tuhan kami mereka ini telah menyesatkan kami maka tambahkan azab ke atas mereka.
- Mereka itu (pengikut) meminta agar Allah gandakan ke atas mereka, si ketua, azab yang banyak & berganda kerana telah menyesatkan mereka juga, iaitu:
i- Azab atas kesesatan mereka sendiri (عذاب على الضلال)
ii- Azab kerana mereka menyesatkan orang lain pula! (عذاب على الإضلال)
- Firman Allah SWT:
{“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”} (Al-Ahzaab 33:68)
- Allah berfirman dan membalas permintaan pengikut itu dengan firman-Nya: {“Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.}
Yakni kamu tak perlu minta dan ajar Allah kerana setiap orang akan dikenakan azab sebagaimana yang telah disediakan dan ditetapkan oleh Allah!
Kamu tidak tahu berapakah kadar gandaan azab yang Allah tetapkan.
- Persoalan kenapa pengikut juga digandakan azab selain dari ketua, ketua sudah jelas sebab digandakan azabnya, tetapi pengikut???
- Jawapannya: Kata Ibnu Asyur :
i- Ini untuk menyedarkan mereka, kenapa kamu ikut & percaya kepada mereka itu, taqlid buta pula tu sedangkan didepan kamu ada rasul, al-Quran dan para pendakwah. Maka berganda dosa kerana ikut membuta tuli.
ii- Kerana kamu ikut mereka menyebabkan makin ramai orang yang sesat & makin sombong si ketua!
Kerana dengan sebab kamu ikut mereka makin megah dan berkuasa dalam sesat.
iii- Si pengikut itu juga pasti ada yang mengikutnya walaupun mereka orang biasa seperti anak, isteri dan lain-lain keluarga terdekat.
Sudah pasti bagi setiap mereka itu ada pengikut lalu ada juga gandaan dosanya!
AYAT 39- {DAN BERKATALAH GOLONGAN PERTAMA (KETUA-KETUA), DI ANTARA MEREKA, KEPADA GOLONGAN YANG AKHIR (PENGIKUT-PENGIKUTNYA): “(JIKA DEMIKIANLAH HUKUMAN TUHAN), MAKA TIDAK ADA BAGI KAMU SEBARANG KELEBIHAN ATAS KAMI”. (ALLAH BERFIRMAN): “OLEH ITU RASALAH KAMU AZAB SEKSA DISEBABKAN APA YANG KAMU TELAH USAHAKAN”.} (AL-A’RAF 7:39)
- Setelah golongan ketua mendengar permintaan para pengikut yang mahu digandakan azab ke atas ketua, mereka berkata: jika begitu hukum Tuhan, kamu tidak ada apa-apa kelebihan atau keistimewaan daripada kami dari segi iman atau taqwa.
- Yakni kita bersama atas dunia dulu, satu gang dalam kekufuran & pendustaan terhadap Allah!
Kamu sendiri yang mahu ikut dan buatnya!
Maka kita akan bersama-sama kena azab dalam neraka!
- Maka rasakanlah azab Allah, azab neraka Jahannam yang dahsyat di Akhirat kelak akibat hasil perbuatan kamu di dunia dulu.
Ya Allah selamatkanlah kami dari azab neraka yang pedih!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 37- {Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya.}-
Manusia yang paling zalim ialah mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah & mengikut melaksanakan tuduhan yang buruk itu kepada Allah!
Dalam ayat ini Allah nyatakan dua kumpulan yang sesat & batil:
i- Orang yang mencipta kebatilan & tuduhan karut serta mereka, reka apa yang tidak benar ke atas Allah SWT!
Kerana dialah ramai orang yang terpedaya dan melakukan kejahatan kerananya!
Contoh seperti Amru bin Luhay sebagai orang pertama yang merosakkan agama Nabi Ibrahim di Makkah.
Dia yang mula-mula sekali membawa ajaran menyembah berhala & bawa baliknya ke Makkah.
ii- Kumpulan kedua ialah yang mendustakan Allah & kebenaran secara terang.
Maka tiadalah yang paling zalim selain daripada orang yang mereka-reka tuduhan jahat ke atas Allah serta pengikutnya.
Nak jadi pengikut kena siasat dan periksa dulu apakah ajaran yang dibawa itu benar dan ikut SOP Syari’ah.
- Ayat 38- {Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia.}-
Umat terdahulu telah dari kalangan jin & manusia akan masuk ke dalam neraka juga!
Ayat ini menunjukkan bahawa jin telah ada taklifnya sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW lagi.
Mereka telah diwajibkan untuk beriman dan beribadat, beramal soleh.
Firman Allah SWT:
{Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.} (Adz-Dzariyat 51:56)
Adapun umat Nabi Muhammad ini jelas; jin & manusia ini akan bersama sama ada di dalam neraka atau syurga – kerana dua golongan ini ada taklif dan dipertanggungjawab atas segala amal perbuatan mereka!
Jika tidak ada taklif tidak akan masuk dalam neraka seperti haiwan-haiwan itu!
Persoalan: Jika kita lihat negara kafir yang umat Islamnya amat sedikit lalu mereka tidak beramal dengan ajaran Islam yang hakiki, bahkan terpengaruh dengan agama & cara hidup kafir yang ramai itu kerana tiada maklumat dan pengetahuan tentang ajaran Islam yang sebenar.
Maka apakah masih ada taklif ke atas mereka? Apakah mereka akan diazab kerana tidak sampai maklumat?
Jawapan: Kita kata dengan kecanggihan teknologi maklumat pada zaman sekarang ini tiada yang menghalang maklumat untuk sampai di mana saja, Islam sudah tiba di seluruh pelosok bumi.
Tetapi jika pada zaman dulu di mana maklumat tidak sampai, kita kata Wallahu a’lam, kita serahkan kepada Allah!
Yang penting Allah sudah hantar rasul, hantar Kitab dan Allah kata Dia tidak akan mengazab sesuatu kaum itu sehingga diutuskan rasul di kalangan mereka!
Yang penting Islam sudah tersebar, agama sudah ada.
- Ayat 39- {Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya):…}-
Golongan ketua yang sesat berkata kepada pengikutnya.
Ayat ini menunjukkan bahawa semua yang kena azab itu berada bersama dalam neraka.
Cuma tentang gandaan azab itu sebagaimana yang telah kita bincangkan di atas tadi:
i- Jika ketua yang menyesatkan azabnya dua kali- kerana sesat dirinya sendiri & menyesatkan orang pula!
ii- Pengikut pula kerana sesat dan ikut dengan taksub & fanatik menyebabkan ketua semakin jahat.
Maka ketuanya marah kerana mereka minta azabnya digandakan, sedangkan mereka semuanya sama-sama dalam neraka & sama mendustakan Allah.
Tak boleh buat apa dah, semuanya memang akan di azab & hanya tunggu penghukuman dari Allah SWT!
- Ayat 39- {… (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.}-
Dalam ayat ini Allah kata rasakan azab!
Ini sebagai satu penghinaan dan kecaman ke atas mereka, sekarang terimalah azab dengan sebab segala perbuatan jahat & dusta yang kamu telah lakukan dahulu.
Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
{Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.} (Al-Anfal 8:35)
Kata ulama’ tadabbur : Dalam dua ayat ini ada munasabah & perbincangan yang menarik:
i- Dalam Surah Al-A’raf ayat 39: {Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan.}-
Ayat ini datang kerana bercampur umat terdahulu & kini serta pelbagai jenis pendustaan yang mereka buat seperti reka tuduhan ke atas Allah.
Maka Allah kata: Kamu rasalah azab dengan sebab apa yang telah buat & usahakan.
Kerana pelbagai pendustaan dan penentangan yang mereka lakukan.
ii- Manakala dalam Surah Al-Anfal : {Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.}
Ayat ini turun khas kepada puak kafir Makkah pada waktu itu; mereka ini sudah sebati dengan perbuatan kufur seperti sembah berhala, zina, minum arak dan sebagainya.
Rasul pula hanya seorang iaitu Rasulullah SAW, maka rasalah azab dengan sebab kamu kafir kepada Nabi Muhammad SAW.
Inilah perbezaan antara dua hujung ayat ini berdasarkan kepada waktu turunnya ayat-ayat tersebut.
- Ayat 37- {… hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka,…}-
Dalam ayat ini ada dua perkara, iaitu:
Pertama dikumpul (dijamakkan) tiga keadaan:
i- Allah yang mematikan & mencabut nyawa manusia;
ii- Malaikat maut yang mencabut nyawa;
iii- Utusan Allah (malaikat lain yang mematikan!
Syeikh Syanqiti menjamakkan ayat ini dengan berkata :
i- Betullah semua yang berlaku atas dunia ini dengan arahan Allah yang maha Berkuasa dalam semua perkara.
ii- Ketua malaikat yang bertugas mencabut nyawa manusia ialah Malaikat maut atau ada yang memanggilnya Izrail.
iii- Manakala utusan Allah itu adalah malaikat-malaikat lain yang bertugas sebagai pembantu Malaikat maut mencabut nyawa manusia tanpa delay, tidak lewat atau cepat sesaat pun!
Kemudian di akhir ayat dinyatakan pengakuan & persaksian orang-orang kufur & sesat akan kesesatan mereka sendiri!
Marilah kita duduk dalam suasana baik & aman damai, berusaha mencari jalan yang benar & betul, dengan ikut jalan yang dibawa oleh Nabi SAW berpakasikan perintah Allah SWT.
Sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun;
Maybank Islamic: 553029614058
Nama acc: Pondok Sungai Durian.
Reference: Ihya’ Ramadhan YPSD
جَزًاكُمُ الله خَيْرًا
Wallahu A’lam.