UJIAN DITIMPA AGAR INSAF, MEREKA KERAS HATI & AKHIRNYA DIBINASAKAN SEMUANYA.
Full video : https://youtu.be/rzRlMVHrXWM?si=ffo5-Z9q8Gnz0Sm7
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 42 sehingga 45 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang ujian ditimpa agar manusia insaf.
Awalnya Allah uji dengan kesusahan kemudian diuji juga dengan kesenangan.
- Tetapi malangnya, hati mereka telah menjadi keras; lalu ujian yang Allah bawa tidak memberi kesan kepada mereka!
Ini kerana syaitan telah menghiasi perbuatan buruk mereka menjadi elok!
Syirik & maksiat semuanya baik!
- Maka mereka pun terus hidup dalam kesenangan yang Allah beri itu.
Ketika mereka lalai dalam maksiat & kemungkaran lalu Allah pun hantar atas mereka bencana yang memusnahkan semuanya.
- Ayat ini mengajar kepada kita berani buat maksiat & mungkar!
Jangan lawan hukum Allah jika tidak inilah akibat buruk akan menimpa iaitu akhirnya dibinasakan semuanya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT bawa ayat-ayat yang menunjukkan dalil-dalil akan keEsaan Allah SWT sehingga jelas jalan tauhid kepada mereka.
Allah juga ingatkan bahawa Dia telah melepaskan kesusahan dari mereka ketika mereka takut.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan jika kamu nak selamat tinggalkan syirik dan sembahlah Allah semata-mata.
Amaran demi amaran di bawa tetapi mereka tetap degil tak dengar kata!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 42- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA KAMI TELAH UTUSKAN RASUL-RASUL KEPADA UMAT-UMAT YANG DAHULU DARIPADAMU (LALU MEREKA MENDUSTAKANNYA), MAKA KAMI SEKSAKAN MEREKA DENGAN KEBULURAN DAN PENYAKIT, SUPAYA MEREKA BERDOA (KEPADA KAMI) DANGAN MERENDAH DIRI (SERTA INSAF DAN BERTAUBAT).} (AL-AN’AM 6:42)
- Allah nyatakan contoh di sini bahawa Allah telah hantar ramai rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad SAW kepada kaum mereka masing-masing.
Rasul itu telah larang yang syirik dan mungkar tetapi mereka tetap keras kepala dan langgar arahan Allah lalu Allah uji mereka faqir miskin dan kehidupan yang sempit, penyakit dan lain-lain.
Semua ujian itu agar mereka kembali kepada Allah SWT.
- Kata Syeikh asy-Syanqit RHM : Kebanyakkan ulama’ mengatakan maksudnya dua perkataan ini {بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ- kesusahan & darurat}:
i- Perkataan {ٱلْبَأْسَآءِ} ia lebih kepada harta & keadaan seperti menjadi susah, faqir & harta hilang.
Seperti musim kemarau yang memusnahkan segala tanaman atau musim banjir yang memusnahkan segala harta juga!
ii- Manakala {ٱلضَّرَّآءِ} pula ialah penyakit atas tubuh badan sendiri seperti penyakit jantung kulit dan seumpamanya.
- Allah nyatakan bahawa semua ujian itu Allah timpakan agar mereka kembali kepada Allah, merendah diri, khusyuk; tetapi apa boleh buat jika hati telah keras & degil lalu mereka tetap menolak kebenaran!
AYAT 43- {MAKA ALANGKAH ELOKNYA KALAU MEREKA BERDOA KEPADA KAMI DENGAN MERENDAH DIRI (SERTA INSAF DAN BERTAUBAT) KETIKA MEREKA DITIMPA AZAB KAMI? TETAPI YANG SEBENARNYA HATI MEREKA KERAS (TIDAK MAHU MENERIMA KEBENARAN), DAN SYAITAN PULA MEMPERELOKKAN PADA (PANDANGAN) MEREKA APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:43)
- Munasabah ayat:
i- Selepas telah datang bala & bencana, diberi ujian agar kembali Allah tetapi mereka tetap degil keras kepala di situ juga, walaupun segala dalil telah ada di depan mata.
ii- Maka Allah tegur sekali lagi di dalam ayat ini!
- Yakni sepatutnya ketika mereka diuji; mereka rendah diri & tunduk dan akur kepada perintah Allah, maka Allah akan hilangkan azab & ujian itu dari mereka!
- Tetapi apa boleh buat semua itu tidak memberi kesan ke atas mereka, ini kerana punca utamanya; hati mereka telah keras & degil, menolak & tidak mahu menerima kebenaran.
Allah buat perbandingan hati manusia yang keras itu seperti batu yang walaupun dipukul tidak pecah!
- Firman Allah SWT :
Maksudnya: {Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.} (Al-Baqarah 2:74)
- Kemudian sebab kedua mereka menolak kebenaran itu ialah kerana syaitan telah datang menghiasi perbuatan mereka yang sesat itu menjadi elok dan baik yang menyebabkan mereka lansung tidak akan bertaubat.
Kata ulama’ tafsir : Syaitan di sini sama ada syaitan asli seperti jin & iblis itu atau syaitan dari kalangan manusia!
Keduanya yang menghasut dan menggoda manusia kepada kejahatan & kesesatan.
- Contohnya seperti kisah bapa saudara Nabi SAW, Abu Talib semasa dekat kematiannya.
Betapa Nabi SAW cuba berdakwah dan mengajaknya bersyahadah pada akhir hayatnya; tetapi apa boleh syaitan manusia di sekelilingnya berjaya menghalangnya!
- Syaitan ini akan menghiasi perbuatan yang buruk seolah baik!
Kerana itu jangan kita menormalisasikan maksiat, kerana lama-kelamaan ia akan menjadi sebati dalam masyarakat dan dianggap sesuatu yang tidak salah & normal!
Di mana akhirnya orang yang melarang perbuatan salah itu akan dibenci dan dianggap tidak betul manakala orang yang buat itu benar.
- Jadi dua sebab manusia akan lari & menolak kebenaran:
i- Hati keras.
ii- Syaitan memperelokkan keburukan yang dia buat seolah baik!
AYAT 44- {KEMUDIAN APABILA MEREKA MELUPAKAN APA YANG TELAH DIPERINGATKAN MEREKA DENGANNYA, KAMI BUKAKAN KEPADA MEREKA PINTU-PINTU SEGALA KEMEWAHAN DAN KESENANGAN, SEHINGGA APABILA MEREKA BERGEMBIRA DAN BERSUKARIA DENGAN SEGALA NIKMAT YANG DIBERIKAN KEPADA MEREKA, KAMI TIMPAKAN MEREKA SECARA MENGEJUT (DENGAN BALA BENCANA YANG MEMBINASAKAN), MAKA MEREKA PUN BERPUTUS ASA (DARI MENDAPAT SEBARANG PERTOLONGAN).} (AL-AN’AM 6:44)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan bahawa Allah timpakan ujian & bala ke atas mereka supaya mereka insaf kembali kepada Allah!
Tetapi tak jadi, mereka tetap keras kepala!
ii- Kemudian datang ayat ini menceritakan apabila mereka tetap tidak hirau akan segala ujian itu; maka Allah beri mereka kesenangan & kemewahan agar mereka tenggelam dalam kelalaian itu lalu akan ditimpakan binasa & azab!
Yakni Allah bawa dua dimensi, pertama bala ujian kemudian kesenangan & kemewahan lalu dimusnahkan!
- Yakni apabila mereka terus tak dengar segala peringatan yang diberi & tetap lupakan Allah:
lawan & tak buat segala yang Allah perintahkan, campakkan segala yang dibawa dan diajar oleh para rasul juga nabi, tak hirau & tetap kufur.
- Lalu Allah tukar cara pula, Allah bukakan kepada mereka pintu kesenangan & kemewahan, yang sakit jadi sihat, yang susah jadi senang.
Semua ini adalah satu istidraj iaitu diberi mereka kesenangan & kemewahan agar mereka terus lalai & lagha!
- Kemudian apabila mereka betul-betul tengelam di dalam kelalaian & kelaghaan itu dengan dengan bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka; Allah timpakan ke atas mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan.
- Firman Allah SWT, maksudnya:
{Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.} (Al-Baqarah 2:74)
- Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.” [HR Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)].
- Ini supaya kita tahu & sedar apabila Allah SWT beri nikmat & kesenangan kepada seseorang yang ingkar & angkuh dalam maksiat bukan kerana Allah sayang kepadanya tetapi itu adalah istidraj agar dia makin lalai makin jauh dari Allah SWT!
- Kemudian apabila Allah turunkan bala bencana ke atasnya yang tidak mereka terfikir dan amat dahsyat, maka ketika itu mereka pun berputus asa dari mendapat sebarang pertolongan. Tidak akan ada apa lagi yang dapat menolong mereka!
AYAT 45- {LALU KAUM YANG ZALIM ITU DIBINASAKAN SEHINGGA TERPUTUS KETURUNANNYA. DAN (DENGAN ITU BERSYUKURLAH KERANA MUSNAHNYA KEZALIMAN, DENGAN MENYEBUT): “SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM”.} (AL-AN’AM 6:45)
- Munasabah ayat:
i- Apabila puak kafir yang degil tak dengar kata ini terus sombong & angkuh;
ii- Maka Allah turunkan bala bencana dengan membinasakan mereka semua sekali, tidak tinggal baka-keturunan!
- Maka segala puji bagi Allah yang telah mentaqdirkan semua perkara.
Kemudian memelihara & mentadbir sekelian alam ini dengan penuh hikmah & kebijaksanaan.
- Maka janganlah kamu degil, keras kepala & keras hati wahai manusia, jika tidak akhirnya kamu akan dicampakkan ke dalam kebinasaan.
Ayat ini amat menakutkan!
Allah beri ujian tetapi malangnya ujian itu tidak memberi kesan kepada kita!
Kita kena sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Jika Allah beri sedikit saja ujian maka insaf & bersyukurlah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 42- {Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka…}-
Allah nyatakan bahawa umat terdahulu telah mendustakan rasul yang diutuskan kepada mereka.
Mereka tak hiraukan juga maka Allah timpakan ke atas mereka kesusahan & bala bencana!
Kata ulama’ : Susah atau senang, nikmat ataupun bala adalah merupakan ilmu pendidikan & ilmu tarbiyah; Allah nak didik hamba-Nya di kalangan manusia supaya sentiasa ingat kepada Allah SWT.
Apabila Allah uji kita kata Allah nak angkat darjat kita; kita ni pemalas dalam ibadat, tak cukup kira-kira dalam ibadat maka dengan adanya ujian Allah beri pahala & angakat darjat!
Apabila Allah beri kita kesenangan; Allah nak tengok sama ada kita syukur kepada Allah Azza wa Jalla atau tidak!
Apabila kita lalai & lagha Allah beri ujian agar kita sedar & kembali insaf.
Allah juga beri kesenangan & kemewahan sebagai satu istidraj.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib RA, Rasulullah SAW bersabda:
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [HR Muslim (7692)].
Manusia itu apabila ditimpa bala ujian sepatutnya dia insaf & kembali kepada Allah bukan terus lalai & lagha dalam maksiat.
Inilah tanda manusia yang baik.
Tetapi jika diuji makin tak hirau, makin angkuh & sombong itulah tanda manusia yang tidak baik.
Ini kerana Allah telah nyatakan bahawa Dia uji manusia agar mereka kembali kepada-Nya.
Kerana itu Allah telah hantar dan utus para rasul kerana Allah tahu akal manusia tidak sampai & tidak mampu untuk menggapainya sendiri; lalu rasul diutus untuk ajar & didik manusia.
- Ayat 43- {… Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran),..}-
Allah nyatakan bahawa hati ini menjadi keras sedangkan ia boleh sahaja menjadi lembut. Makin datang nabi makin keras hati & makin lawan!
Maka kita sebagai orang beriman & pencinta al-Quran kena sentiasa semak hati kita ini, apa sebenarnya yang kita mahu- muhasabah perbuatan kita agar sentiasa ikhlas dalam gerak kerja yang kita buat.
Nak suruh orang puji atau ikhlas nak tolong orang kerana Allah SWT.
Soal hati & amalan hati amat susah, kerana itu kita kena bebaskan hati kita daripada belenggu maksiat, bebaskan hati dari menghambakan diri kepada makhluk!
Cara untuk membebaskan hati daripada menjadi keras (selain ibadat wajib):
i- Perbanyakkan baca al-Quran dengan tadabbur. Kena faham ayat yang kita baca & mengaji.
ii- Kita menjiwai & yakin bahawa al-Quran itu Kalamullah, kata-kata Allah bukan kata-kata makhluk biasa.
iii- Kena banyak ingat kepada Allah, banyak zikir kepada Allah akan melembutkan hati.
iv- Banyak ingat kepada mati! Tanya diri kita apa yang kita nak jawab & bawa amalan di hadapan Allah SWT nanti!
v- Kena bersahabat dengan orang yang baik-baik. Orang yang dapat mengingatkan kita kepada Allah & kepada perbuatan baik!
vi- Kena ada kasihan belas kepada kanak-kanak terutama anak yatim & faqir miskin. Dengan beri kasih-sayang dan sumbangan.
- Ayat 42- {… supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).}-
Allah nyatakan tujuan Allah beri bala itu adalah supaya mereka insaf & bertaubat apabila ditimpa ujian!
Ini adalah hikmahnya di sebalik bala ujian yang menimpa, supaya kita kembali kepada Allah.
Tetapi kadang-kadang kita tak nampak apakah hikmah di sebalik perintah & larangan Allah SWT.
Maka dalam ayat ini Allah SWT sendiri nyatakan dengan jelas- ujian diberi agar manusia kembali kepada Allah!
Sebagaimana firman Allah SWT {لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}- yang bermaksud:
{Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.} (Al-Baqarah 2:183)
Yakni di dalam setiap perbuatan Allah SWT itu ada hikmahnya, ada yang kita tahu ada yang tidak!
Kemudian datang ayat ini {وَلَـٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ}- tetapi hati mereka tetap keras.
Allah nyatakan bahawa Allah sudah bagi lorong, bagi jalan untuk mereka kembali, tetapi mereka sendiri yang cari penyakit, hati keras lalu tidak terkesan dengan sebarang ujian!
Kerana itu di awal tadi kita disuruh semak hati kita!
Kata ulama’ lagi ada beberapa tempat untuk ita semak hati:
i- Ketika kita solat, apakah kita khusyuk atau lalai tak tahu apa!
ii- Waktu baca al-Quran. Apakah ia memberi kesan ke atas jiwa kita?? Jika tidak; carilah di mana hati kita!
iii- Ketika kita berzikir kepada Allah. Apakah hati ingat kepada Allah atau hanya lidah saja yang bising berzikir!
Kita semaklah semua ini apabila bersendirian; jika semua ini jawapannya tidak, maka kamu carilah hati kamu di mana!
- Ayat 43- … dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.}-
Kerja syaitan ialah menghiaskan amalan yang buruk menjadi comel.
Walaupun ia bercanggah dengan Sunnah & dilarang Nabi SAW.
Lalu apa yang dilarang & dinasihat tidak dengar lagi semua yang orang cakap tak betul apa yang betul ialah apa yang dia buat itu, yang tidak ikut ajaran Nabi SAW itu!
Tanda sayang kepada Nabi SAW ialah ikut arahan & ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW! bukan sebaliknya.
- Ayat 44- {… sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan),}-
Allah kata Dia akan ambik tindakan ke atas mereka secara mengejut {بَغْتَةًۭ}.
Yakni sedang mereka ralit lagha dalam pesta sukaria kesesatan itu; Allah datangkan bala ujian dalam keadaan mereka tidak sedar & tidak sangka, dengan kejutan!
Ini kerana manusia itu jika dia tahu bala nak datang dia akan bersedia; ini tidak, tengah dok galak berpesta, bergalak bersukaria, tiba-tiba bala datang dengan mengejut tanpa dijangka!
Allah kata jika Dia ambil tindakan ke atas umat terdahulu mereka semua dibinasakan mati semua sekali!
Tetapi tidak ke atas umat Nabi Muhammad, rahmantan lil-alamin, Allah tidak ambil semua tetapi sedikit-sedikit agar mereka kembali kepada Allah!
Segala puji itu bagi Allah, ujian & nikmat yang Allah berikan kepada hamba-Nya adalah supaya kita kembali kepada Allah; kerja kita adalah syukur & sabar!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat!
Sempena Musim Banjir 2024 ini:
Tabung Infaq & Derma Bantuan Banjir Kuala Krai.
Kuala Krai antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang berlaku pada kali ini (Nov 2024).
Sebanyak 2,013 keluarga dengan jumlah 6,921 orang terlibat dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan sementara.
Selain itu ramai juga yang terkepung kerana jalan masuk ke kampung mereka ditenggelami air dalam tempoh sekitar seminggu menyebabkan mereka terputus bekalan.
Pihak Yayasan Pondok Sungai Durian [YPSD] dengan kerjasama NGO Sejahtera Kuala Krai sedang giat mengagihkan bantuan kepada mereka yang terlibat bagi membantu mereka mendapat bekalan makanan dalam tempoh ini.
Derma dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:
Nama: Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Kuala Krai
Akaun: 1102217376 (Bank Rakyat).
Kami dahulukan dengan ucapan terima kasih dan جزاكم الله خيرا كثيرا.
Semoga Allah SWT selamatkan kita di dunia & amankan kita di Akhirat.
Selamat dari segala mara bahaya seperti banjir ini!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.