View Categories

(17) Surah Al-An’am : Ayat 51-55

JANGAN DIHALAU ORANG BERIMAN, UJIAN BERBEZA DARJAT MANUSIA & CERIA BERSAMA ORANG BERIMAN

Full video : https://youtu.be/2YG2gQfeoJo?si=zfYLHXiAO50Qs7UZ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 6 sehingga 7.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyuruh Nabi SAW beri peringatan bahawa kita hidup atas dunia sehingga ke Akhirat; kita sangat memerlukan rahmat & kasih sayang Allah SWT!
    Kasih sayang manusia terhad; waktu dia suka dia sayang, waktu benci dia akan marah!
    Kemudian orang kafir cuba menyakiti sahabat Nabi SAW yang miskin dengan meminta agar mereka dihalau dari majlis Nabi SAW.
    Lalu Allah SWT turunkan nasihat agar Nabi jangan buat, jangan ikut karenah orang kafir itu. 
  1. Juga dinyatakan bahawa manusia itu menjadi ujian antara satu sama lain!
    Orang kaya menjadi ujian kepada orang miskin, begitu juga sebaliknya! 
    Kemudian berbezanya darjat manusia juga menjadi satu ujian. 
    Puak kafir tidak mahu beriman kerana Allah pilih Muhammad yang mereka anggap rendah menjadi rasul bukan para pembesar mereka yang lain!
  1. Kemudian Allah nyatakan setiap orang akan dibalas ikut amalannya, maka kamu pilihlah jalan mana yang hendak diikut yang baik atau yang tidak baik. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang tugas rasul itu memebri khabar gembira & memberi amaran bagi yang kufur.

    ii- Maka datang ayat ini memberi amaran, ingatlah bahawa kita semua akan mati, bertemu Allah SWT & akan dibalas. 
    Maka jangan berani buat maksiat & mungkar! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 51- {DAN BERILAH AMARAN DENGAN AL-QURAN ITU KEPADA ORANG-ORANG YANG MERASA TAKUT BAHAWA MEREKA AKAN DIHIMPUNKAN KEPADA TUHAN MEREKA (PADA HARI KIAMAT), (PADAHAL) TIADALAH BAGI MEREKA PELINDUNG DAN TIDAK JUGA PEMBERI SYAFAAT YANG LAIN DARI ALLAH, SUPAYA MEREKA BERTAQWA.} (AL-AN’AM 6:51)

  1. Allah suruh Nabi SAW beri amaran kepada orang yang beriman bahawa kita akan mati, kemudian dibangkitkan & berkumpul di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak. 
    Maka jangan berani buat perkara maksiat & mungkar!
  1. Iaitu kamu berilah peringatan dengan al-Quran ini wahai Muhammad! 
    Ini kerana al-Quran ini adalah satu alat & maklumat yang paling berkesan dan lengkap untuk memberi peringatan kepada manusia!
    Tetapi jika sudah tidak faham bawa apa sekalipun tetap begitu!
  1. Bagi orang beriman yang takut akan bertemu dengan Allah Azza wa Jalla, mereka yakin bahawa mereka akan berpindah dari dunia yang fana ini ke Akhirat yang kekal; maka mereka akan melalui jalan yang baik, takut dan melakukan apa yang perlu sebagai bekalan! 
    Manakala orang yang tidak percaya mereka tidak buat apa-apa kerana mereka tidak percaya mereka akan dibangkitkan semula!
  1. Pada hari Kiamat itu tiada siapa yang dapat memberi pertolongan, untuk melepaskan diri dari azab Allah, tidak ada wali penolong yang dapat menolong kecuali dengan izin Allah! 
  1. Semua peringatan ini diberi agar kita takut kepada azab Allah lalu bertaqwa kepada Allah dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya! 

    Ingatlah beza antara dua takut:
    Takut kepada Allah kita akan berlari kepada-Nya; manakala takut kepada makhluk kita lari darinya! 

AYAT 52- {DAN JANGANLAH ENGKAU USIR ORANG-ORANG YANG BERIBADAT DAN BERDOA KEPADA TUHAN MEREKA PAGI DAN PETANG, SEDANG MEREKA MENGHENDAKI KEREDAANNYA SEMATA-MATA. TIADALAH ENGKAU BERTANGGUNGJAWAB SESUATU PUN MENGENAI HITUNGAN AMAL MEREKA, DAN MEREKA JUGA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB SESUATU PUN MENGENAI HITUNGAN AMALMU. MAKA (SEKIRANYA) ENGKAU USIR MEREKA, NESCAYA MENJADILAH ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-AN’AM 6:52)

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat lepas Allah minta Nabi SAW beri peringatan kepada orang yang lagha lalai agar mereka bertaqwa ingat kepada Allah.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah menyuruh Nabi SAW menghormati orang yang telah beriman & sudah bertaqwa!
  1. Sabab nuzul ayat ini : Menurut riwayat Saad bin Abi Waqas RA bahawa penurunan ayat ini (Surah al An’A: 6:52-53) adalah berkenaan dengan enam orang, di antaranya termasuklah Saad bin Abi Waqas RA, Abdullah bin Mas’ud RA, Bilal RA dan lain-lain.
    Kaum kafir Quraisy berkata kepada Nabi: “Usirlah mereka (enam orang yang hina itu) kerana kami malu menjadi pengikutmu disebabkan setaraf dengan mereka.” Permintaan ini membuatkan Nabi SAW serba-salah.
    Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah Al-An’am: 6: 52-53) sebagai larangan kepada kaum Mukminin daripada mengadakan penilaian martabat di antara sesama manusia
    . [HR Muslim].
  1. Allah SWT jaga kehormatan & kemuliaan para sahabat yang beriman walaupun mereka miskin! 
    Allah tegur Nabi SAW agar jangan halau mereka ini keluar dari majlis ilmu itu kerana mereka adalah:
    i- Orang-orang yang beribadat kepada Allah.

    ii- Dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang,

    iii- Sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata.
  1. Allah sebut bahawa mereka adalah golongan yang benar-benar beriman & ikhlas amalnya!
    Jadikan mereka sebagai temanmu, orang duduk bersama kamu sentiasa, ajar mereka ilmu, berikan mereka penghormatan, miskin harta soal lain, jiwa & hati mereka yang Allah lihat! 
    Jangan hiraukan permintaan sombong si kafir itu! 
  1. Pengajarannya: 
    Kita kena belajar adab, jangan terlepas pandang isu ini, dan membezakan manusia dengan darjat, ketepikan orang miskin kerana orang kaya! 
    Kita minta ampun dengan Allah SWT jika tersilap dalam perkara ini!
  1. Setiap kita juga ada amalan masing-masing, kamu dengan amalanmu, aku dengan amalanku! 
    Yakni di Akhirat kelas masing-masing bawa amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah Azza wa Jalla!
    Maka jika kamu menghalau juga mereka kamu akan menjadi orang yang zalim iaitu orang yang melanggar sempadan hukum Allah!

    Firman Allah SWT maksudnya:
    {Mereka menjawab: “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”
    Nabi Nuh berkata: “Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka?
    “Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).
    “Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (daripada bercampur-gaul denganku).
    “Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata (kepada semua, tidak kira hina mulia)”. [Asy-Syu’araa’ 26: 111-115]

AYAT 53- {DAN DEMIKIANLAH KAMI UJI SEBAHAGIAN DARI MEREKA (YANG KAYA RAYA) DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN (YANG FAKIR MISKIN); LALU ORANG-ORANG YANG KAYA ITU BERKATA (KEPADA ORANG-ORANG FAKIR MISKIN YANG BERIMAN): “INIKAH ORANG-ORANGNYA YANG TELAH DIKURNIAKAN NIKMAT OLEH ALLAH KEPADA MEREKA DI ANTARA KAMI? ” (ALLAH BERFIRMAN): “BUKANKAH ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR?”} (AL-AN’AM 6:53)

  1. Kemudian Allah ceritakan tentang orang kafir Quraisy yang kaya menghina dan memandang rendah terhadap orang beriman yang miskin!
  1. Yakni dalam ayat ini orang Quraisy yang kaya diuji dengan orang miskin yang beriman!
    Mereka angkuh dan sombong berasa tidak sesuai inilah orang yang dimuliakan oleh Allah, orang yang mendapat nikmat-Nya! 
    Mereka berasa mereka yang lebih layak dimuliakan!
  1. Lalu Allah menjawab penghinaan mereka itu dengan mengatakan bahawa Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur!
    Kamu tidak perlu tunjuk kaya atau besar kepala, atas dunia ini bolehlah kamu berlagak tetapi di sisi Allah nanti semuanya sama!
    Mereka ini para rasul juga tidak terlepas dari penghinaan mereka!
  1. Orang miskin jika dia sabar dengan ujian atas dunia ini tingi darhatnya di sisi Allah Azza wa Jalla. 
    Yang teruknya jika orang miskin yang sombong, tiada faedahnya! 
    Apa kelebihan yang dia ada untuk menjadi sombong begitu?

AYAT 54- {DAN APABILA ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI ITU DATANG KEPADAMU (DENGAN TUJUAN HENDAK BERTAUBAT DARI DOSA-DOSA MEREKA), MAKA KATAKANLAH: “MUDAH-MUDAHAN KAMU BEROLEH SELAMAT! TUHAN KAMU TELAH MENETAPKAN BAGI DIRINYA UNTUK MEMBERI RAHMAT (YANG MELIMPAH-LIMPAH): BAHAWASANYA SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MELAKUKAN KEJAHATAN DENGAN SEBAB KEJAHILANNYA, KEMUDIAN IA BERTAUBAT SESUDAH ITU, DAN BERUSAHA MEMPERBAIKI (AMALANNYA), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI”.} (AL-AN’AM 6:54)

  1. Apabila orang beriman datang berjumpa Nabi SAW untuk bertaubat kerana tersalah melakukan dosa akibat kejahilan, jangan hina atau cerca mereka. 
    Doakan keselamatan mereka untuk bertaubat.
  1. Sambutlah keinsafan mereka itu dengan penuh galakan dan beri harapan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
    Dorongnya untuk bertaubat kemudian sesudah itu untuk berusaha memperbaiki amalannya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah tegur Nabi SAW dari menghalau orang miskin dari majlis Baginda demi orang kafir yang kaya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah ajar Nabi SAW cara untuk berinteraksi dengan orang miskin dan lemah. Yakni hendaklah melayan mereka dengan baik dan lemah lembut serta penuh kasih sayang. Mereka ini orang beriman yang mesti dimuliakan! 
    Allah telah tetapkan ke atas diri-Nya sifat rahmat!
  1. Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: لَمَّا قَضَى اللَّهُ الخَلْقَ، كَتَبَ عِنْدَهُ فَوْقَ عَرْشِهِ: إنَّ رَحْمَتي سَبَقَتْ غَضَبِي.
    Maksudnya: “Tatkala Allah menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arasy: “Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 6855 dan Muslim no. 2751)

    Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu yang indah, dengan sifat-Mu yang tinggi, curahkan rahmat-Mu ke atas kami, sentiasa beriman kepada-Mu, murnikan aqidah kami daripada perkara yang tidak baik, muliakan kami dengan akhlak yang baik, kurniakan kami cinta kepada Nabi-Mu SAW dengan mengikut Sunnah dan ajarannya yang benar!
  1. Allah katakan lagi sesiapa yang berbuat salah dengan tidak sengaja atau kerana dia jahil tidak tahu lalu dia bertaubat dan memperbaiki amalannya, maka Allah akan memaaf & mengampunkannya!
  1. Dosa yang banyak mana sekalipun kita kembalilah kepada Allah SWT!
    Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!

AYAT 55- {DAN DEMIKIANLAH KAMI TERANGKAN AYAT-AYAT AL-QURAN SATU PERSATU (SUPAYA JELAS JALAN YANG BENAR), DAN SUPAYA JELAS PULA JALAN ORANG-ORANG YANG BERDOSA.} AL-AN’AM 6:55)

  1. Allah nyatakan bahawa dua jalan ini jelas iaitu jalan keimanan & kekufuran, jalan al-Quran & Sunnah.
  1. Allah telah terangkannya dengan jelas & nyata di dalam surah ini untuk membatalkan hujjah orang kafir. 
    Juga jalan yang haq dari jalan yang batil, jalan yang benar & jalan yang sesat. 
    Tinggal untuk kamu pilih sahaja sama ada nak bersama di atas landasan orang yang benar.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 51- {Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat),…}-

    Allah kata berilah peringatan dengan al-Quran ini! 
    Kata ulama’ tadabbur : Wajib kita beri peringatan kepada manusia bermula dengan al-Quran dulu!
    Ini kerana al-Quran adalah kitab hidayah yang penuh dengan nasihat pengajaran dan peringatan yang terbaik. 

    Sebagaimana firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {{Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.} (Qaaf 50:37)

    Allah nyatakan bahawa orang yang mendapat manfaat dengan al-Quran hanya orang yang beriman. Kerana mereka ikut perintah Allah SWT.
    Dalam ayat ini Allah galakkan kita beri juga peringatan kepada orang yang takut kepada Allah walaupun mereka adalah orang yang baik!
  1. Ayat 52- {Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan-Nya semata-mata….}-

    Allah kata kamu jangan halau orang-orang miskin ini daripada majlis kamu!
    Allah SWT ajar kepada Rasulullah SAW untuk diajar kepada kita bahawa kita kena belajar adab & sifat yang mulia.
    Jangan bezakan darjat antara manusia yang kaya & miskin! 
    Apatah lagi orang miskin yang beriman.
    Walaupun mereka tidak kaya harta mereka ada keikhlasan jiwa. Kerana doa merekalah Allah mengangkat bala dari kita, kita selamat dan Allah beri rahmat!
    Manakala ada orang kaya tetapi miskin jiwa, tidak perlu kita mengharapkan apa-apa dari mereka! 
    Maka kita beradablah dengan mereka jangan kita lari, kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang mempunyai kemuliaan di sisi Allah SWT! 
    Apabila berada dalam majlis kita bersama semua yang kaya atau miskin.
    Maka kita perlu muhasabah diri apakah kita telah tersalah dalam beradab sesama manusia tampa mengira status & kedudukan.
  1. Ayat 53- {Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin);..}

    Allah kata perbezaan darjat ini adalah satu ujian ke atas manusia. 
    Sebagaimana Quraisy yang menolak Rasulullah SAW bukan kerana tidak percaya akan kebenarannya tetapi kerana pangkat & darjat.
    Mereka anggar Rasulullah SAW orang miskin & mereka lebih mulia & tinggi kedudukannya dari Baginda SAW.
    Peringatan kepada kita juga; ada setengah orang tak sedar dia miskin, tak insaf & syukur menerima bantuan dari orang.
    Di akhir ayat Allah kata Dia tahu siapa yang bersyukur. 
    Orang miskin yang bersyukur lebih baik daripada orang kaya yang kufur kepada Allah.
  1. Ayat 54- {… bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.}-

    Allah kata siapa yang buat dosa & maksiat sedangkan dia tak tahu itu salah kemudian setelah sedar dia bertaubat dan perbetulkan balik.
    Maka Allah beri jaminan akan menerima taubatnya, mengajaknya kembali dengan penuh kasih sayang. 
    Wahai hamba-Ku yang telah melampau dalam hidupnya dengan maksiat & mungkar; jangan berputus asa dari rahmat Allah, kerana Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa. Kembalilah bertaubat kepada Allah. 
  1. Ayat 55- {Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.}-

    Allah kata Dia telah terangkan tanda-tanda & ayat-ayat al-Quran supaya jelas jalan orang yang jahat!
    Timbul persoalan kepada Allah hanya sebut jalan orang yang jahat, orang tidak baik, mana jalan bagi orang yang baiknya?
    Jawapan:
    Allah tidak sebut jalan yang baik kerana telah sebut jalan yang buruk. 
    Apabila kita tahu jalan yang buruk maka pastilah kita tahu juga mana jalan yang baik!
    Kata ulama’ : Sesuatu benda itu jika kita nak tahu kualitinya; kita lihat kepada lawannya.
    Bandingkan dua benda yang berlawanan.

    Para ulama’ kata Allah tidak sebut jalan orang yang baik di sini kerana dua sebab:
    i- Ini kerana benda yang tak baik, bila kita tahu jangan buat, manakala yang baik akan datang secara automatik saja.

    ii- Manhaj al-Quran akan nyatakan kepada kita dua jalan, yang baik & yang tidak baik. 
    Jangan kata kita tidak tahu, Rasulullah SAW sudah ajar dan nyatakan segalanya! 
    Jika kita tak terimanya maka kitalah orang yang rugi.

Semoga Allah selamatkan kita semua dari terjebak dengan perkara & jalan yang tidak baik. 
Moga Allah hilangkan segala bala bencana yang menimpa kita semua, berilah pertolongan, surut dan keringkan air banjir yang masih ada, berilah mereka ketenangan dan gantikanlah yang lebih baik bagi semua mangsa!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita secara ringkas pagi ini semoga mendapat faedah manfaatnya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs