MENERUSKAN HUJJAH KE ATAS KAFIR, NABI TIDAK BOLEH BINASAKAN MEREKA & ALLAH SWT AKAN HUKUMKAN.
Full video : https://youtu.be/grOwgcrt1Kw?si=G-GCY7MD0tfb7vwS
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 56 sehingga 58 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT meneruskan hujjah ke atas kafir, Allah suruh Nabi SAW menegaskan kepada puak kafir bahawa Baginda dilarang daripada menyembah yang lain selain daripada Allah!
Nabi SAW juga tidak akan ikut hawa nafsu kerana jika ikut juga bermakna sesat seperti mereka!
- Nabi SAW juga menyatakan dia tidak ada kuasa untuk binasakan mereka, ini apabila puak kafir cabar Baginda untuk menyegerakan azab ke atas mereka jika dia benar!
- Ini kerana Baginda SAW tidak ada kuasa untuk itu.
Hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa yang berkuasa dan berhak untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas kaum musyrikin cuba menyerang pengikut setia Nabi SAW iaitu orang miskin yang beriman. Maka Allah SWT larang Rasulullah SAW daripada ikut permintaan mereka itu!
ii- Lalu dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak perlu provokasi, Nabi SAW tidak akan ikut permintaan mereka!
Allah juga telah nyatakan jalan yang benar & jalan yang sesat, maka kena ikut apa yang diperintahkan Allah SWT.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 56- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA AKU DILARANG MENYEMBAH MEREKA YANG KAMU SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH”. KATAKANLAH LAGI: “AKU TIDAK AKAN MENURUT HAWA NAFSU KAMU, KERANA KALAU AKU TURUT, SESUNGGUHNYA SESATLAH AKU, DAN TIADALAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK”.} (AL-AN’AM 6:56)
- Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW menyatakan bahawa Baginda dilarang untuk menyembah apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu.
Iaitu Baginda tidak akan sesekali syirik seperti mereka!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.
“(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.} (Az-Zumar 39: 65-66)
- Rasulullah SAW juga disuruh untuk menegaskan bahawa Baginda tidak akan menurut hawa nafsu mereka yang menuntut apa yang berlawan dengan perintah Allah.
- Ini kerana kalau Nabi SAW ikut hawa nafsu; pasti akan menjadi sesat seperti mereka, orang-orang yang tidak mendapat hidayah petunjuk.
AYAT 57- {KATAKANLAH: “SESUNGGUHNYA AKU TETAP BERADA DI ATAS (KEBENARAN YANG BERDASARKAN) BUKTI-BUKTI YANG NYATA (AL-QURAN) DARI TUHANKU; SEDANG KAMU MENDUSTAKANNYA. TIDAK ADA PADAKU APA YANG KAMU MINTA DISEGERAKAN (DARI AZAB SEKSA); HANYA ALLAH JUALAH YANG MENETAPKAN HUKUM; IA MENERANGKAN KEBENARAN, DAN DIA LAH SEBAIK-BAIK YANG MEMBERI KEPUTUSAN”.} (AL-AN’AM 6:57)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah menafikan iman bagi sesiapa yang ikut nafsu dan menjadi puak kafir!
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa apa yang kita patut ikut, taat & akur adalah tauhid kepada Allah SWT.
- Rasulullah SAW juga diarahkan untuk menyatakan pendiriannya.
Iaitu menegaskan bahawa Baginda tetap berada di atas kebenaran yang berdasarkan bukti-bukti yang nyata iaitu Al-Quran dari Tuhan; Sedangkan puak kafir walaupun apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah jelas dan terang nyata mereka tetap mendustakan & menolaknya.
- Mereka orang kafir cuba menghalang dakwah Nabi SAW dari berkembang lalu mereka cuba membuang orang miskin yang berada di sisi Nabi SAW serta mencipta pelbagai tuduhan dan gelaran ke atas Baginda untuk menjauhkan orang ramai darinya!
- Tuduhan jahat yang sentiasa digunakan ke atas para nabi sejak dulu ialah: tukang sihir, gila, dongengan orang dulu dan seumpamanya.
Kepada Nabi Muhammad SAW ini di tambah satu lagi iaitu ahli syair; ini kerana mereka tidak dapat melawan bahasa al-Quran.
Mereka amat lemah dengan keindahan dan keagungan ayat-ayat al-Quran yang dikatakan direka oleh Baginda SAW.
Begitulah manusia ini, pada awalnya mereka lawan guna hujjah & fakta; tetapi apabila tiada hujjah fakta lgi mereka akan guna akta & kekuasaan undang-undang yang ada untuk menyekat dan menghalang lawan.
- Puak kafir telah mencuba pelbagai cara untuk menyekat dakwah Nabi SAW seperti cuba menjauhkan golongan faqir miskin daripada Baginda.
Ini kerana mereka tahu golongan inilah yang taat setia kepada Nabi SAW.
Kerana degil dan keras kepala mereka tidak menerima kebenaran yang dibawa.
- Munasabah ayat ini juga:
i- Apabila Nabi SAW telah menyatakan jalan yang benar dan puak kafir mendustakannya.
ii- Maka Allah SWT bawa ayat ini untuk membatalkan hujjah yang berlegar dalam fikiran puak kafir itu!
- Puak kafir ini meminta sesuatu yang diluar adat seperti bukit menjadi emas, sungai mengalir di kota Makkah dan pelbagai yang tidak logik.
- Mereka juga seperti kebingungan meminta agar Nabi SAW segerakan azab ke atas mereka!
Hanya orang yang tidak betul otaknya akan minta azab.
- Kita orang beriman kita tidak akan sesekali meminta azab kerana kita tahu azab itu ada & sekali azab itu datang tiada siapa yang boleh menghalang kebinasaaannya!
Lihat saja air banjir yang datang, tiada siapa boleh sekatnya.
- Lalu Allah nyatakan: Apa yang kamu minta itu tunggulah, Nabi SAW tidak ada kuasa kecuali yang Allah berikan kepadanya.
Allah SWT yang berkuasa atas segalanya, azab tetap akan datang.
- Beberapa firman Allah SWT juga yang menunjukkan puak kafir ini minta azab, maksudnya’;
i- {Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): ” Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh Muhammad itu)”.} (Saad 38:16)
ii- {Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.} (Al-Anfal 8:32)
Begitulah orang yang tidak percaya dia berani cabar & bersikap bodoh!
- Allah SWT telah menerangkan kebenaran, mendatangkan al-Quran yang jelas hukumnya tiada kesamaran baginya dan ia telah mematahkan hujjah-hujjah puak kafir!
- Allah SWT juga yang terbaik untuk memutuskan hukum antara hamba-hamba-Nya, menyatakan yang haq & yang batil, yang membuat keputusan & hukuman.
AYAT 58- {KATAKANLAH: “KALAU ADA PADAKU (KUASA MENURUNKAN) AZAB SEKSA YANG KAMU MINTA DISEGERAKAN KEDATANGANNYA ITU, NESCAYA SELESAILAH PERKARA (YANG SEDANG BERBANGKIT) ANTARAKU DENGAN KAMU. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-AN’AM 6:58)
- Sekali lagi dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk menyatakan kepada puak kafir yang gopoh meminta azab itu kerana kejahilan dan kekufuran mereka!
- Bahawa jika azab itu ada di bawah kuasa Baginda SAW, nescaya dia akan menurunkan azab itu ke atas mereka; maka selesailah urusan antara mereka & Baginda SAW.
- Tetapi ingatlah Allah SWT jua amat yang mengetahui orang-orang yang zalim!
Kamu jangan gopoh, senarai nama kamu ada dengan Allah, Dia nak segerakan atau tangguh semua di bawah kuasa Allah!
- Maka kita jangan gopohlah.
Kita sebagai orang beriman kita letakkan kesabaran itu sebagai satu perisai besar dalam menghadapi ancaman & karenah orang kafir!
Bagi pendakwah kita hari ini; sabar atas tuduhan, label & gelaran yang dilemparkan! Ingatlah kita ada Akhirat!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 56- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”.}-
Aku dilarang daripada menyembah selain dari Allah SWT!
Ayat ini adalah satu hujjah baru untuk terus membatalkan dakwaan & hujjah puak kafir syirik dengan berlepas diri dari perbuatan mereka!
Yakni Nabi SAW dilarang daripada syirik kepada Allah, maka larangan ini juga untuk semua umat Baginda SAW kerana Nabilah ketua yang kita kena ikut.
Nabi SAW juga kata aku tidak akan ikut nafsu & kehendak kamu wahai puak kafir.
Ini adalah satu isyarat untuk tidak ikut perbuatan yang tidak betul!
Ini mengajar kepada kita untuk memutuskan hubungan dengan sesiapa yang menyalahi perintah Allah, bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW yang terlibat dengan perbuatan bid’ah, khurafat dan pelbagai kekarutan!
Sebagai pendakwah selain amar ma’ruh nahi mungkar; kita juga kena ada pendirian serta kena nyatakan pendirian kita dengan tegas & nyata!
Jika kita tidak mahu buat sesuatu itu nyatakan sebabnya; kerana tidak ada dalam ajaran Nabi SAW, tidak ada dalam Sunnahnya, tidak ada dalam amalan para sahabat & Salafus-Soleh!
- Ayat 56- {Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.}-
Nabi SAW kata dia tidak akan ikut hawa nafsu orang kafir kerana jika Baginda ikutnya maka akan sesatlah dan tersasar dari jalan orang yang mendapat hidayah!
Ayat ini memberi peringatan bahawa sesatnya manusia ini kerana ikut nafsu!
Tidak ikut perintah Allah, tidak ikut ajaran Nabi SAW itulah jalan yang sesat jalan yang ikut hawa nafsu, maka jangan kita berani-berani dan cuba mencari jalan yang lain!
Punca kerosakan manusia yang utama ialah kerana ikut hawa nafsu!
Kita ada parameter dan kayu ukurnya, apakah yang kita nak buat itu ada dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW berdasarkan tafsiran oleh para ulama’ muktabar!
Agama kita ini agama bersanad, berdalil bukan ikut hawa nafsu ikut selera nak ubah & tukar.
Itu kerja manusia, agama ini sudah tetap dan Allah jelaskan pada hari kewafatan Nabi SAW bahawa agama ini sudah lengkap!
- Ayat 57- {… Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum;…}-
Allah ajar Nabi SAW untuk menyatakan bahawa Baginda tiada kuasa untuk memenuhi cabaran & permintaan kaum musyrikin itu!
Apa yang mereka minta itu pula bermacam-macam, permohonan yang celaru dan merapu, koksir kokdam kata orang Kelantan.
Dalam ayat ini juga Nabi SAW membebaskan dirinya yang mulia daripada tuduhan & dakwaan bahawa Baginda mempunyai kuasa atau power yang menyamai dengan Tuhan untuk membinasa & memudharatkan orang.
Kuasa untuk memberi manfaat dan mudharat hanya milik Allah semata-mata.
Nabi SAW tidak masuk campur dalam isu qadha’ & qadar Allah SWT, Baginda hanya menjalankan tugas apa yang diperintahkan Allah SWT!
Bukan Nabi SAW yang berkuasa sebagaimana dakwaan mereka yang pening.
Jangan letakkan Nabi SAW melebihi apa yang diletakkan oleh Allah SWT!
Tanda sayang kepada Nabi SAW ialah mengikut ajaran Nabi & menghidupkan Sunnahnya!
Bukan dengan derhaka dan buat apa yang Baginda larang.
Ya Allah jadikan kami orang yang menyintai Nabi SAW dengan ikut apa yang ajarnya dan mengamalkan Sunnahnya!
- Ayat 58- {Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu…}-
Nabi SAW kata jika dia ada kuasa pasti akan dimusnahkan semua mereka yang kafir itu maka selesailah urusannya!
Kuasa yang ada pada manusia itu duduk dalam kesabaran, lemah lembut dan juga boleh menangguhkan perkara yang kita boleh tangguh!
Antara sifat lemah lembut Allah ialah Dia beri tangguh untuk bagi peluang kepada manusia yang berdosa & jahat agar bertaubat.
Kerana itu orang yang zalim ini kebiasaannya panjang umur dan sihat, kerana Allah nak beri peluang mereka kembali & bertaubat!
Persoalan:
Apakah ayat ini tidak bertentangan dengan doa Nabi SAW semasa Baginda di Taif?
Di mana ketika malaikat penjaga bukit datang memberi tawaran untuk menjatuhkan bukit di atas kepala puak Thaqif di Taif yang menolak dakwah Baginda dan menyakitinya, tetapi Baginda SAW menolaknya dan mendoakan agar ada keturunan mereka nanti yang beriman.
Jadi kenapa ketika diberi peluang Baginda menolaknya???
Jawapan: Wallahu a’lam. Tetapi para ulama’ membuat kesimpulan:
i- Dalam ayat ini puak kafir Quraisy meminta disegerakan azab ke atas mereka. Mereka mencabar dan memperolokkan azab itu.
ii- Manakala dalam hadis, bukan puak Thaqif yang minta, Baginda ditawarkan oleh malaikat untuk membinasakan mereka!
Inilah perbezaannya dan berbeza juga jawapan Nabi SAW.
- Ayat 57- {… hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.}-
Segala hukum & kuasa itu milik Allah.
Maka kita manusia kena banyak berdoa bermunajat memohon kepada Allah Azza wa Jalla.
Jangan sombong, angkuh dan keras kepala kepada Allah SWT.
Semua ketetapan di bawah kuasa & kehendak Allah, Dia yang menetapkan apa yang akan berlaku & Dia juga yang boleh menghilangkannya!
Kita hanya berdoa kepada Allah agar ianya tidak berlaku!
Maka sempena banjir musim banjir ini kita perbanyakkan doa kepada Allah SWT, agar kita selamat dan tidak diuji dengan ujian yang besar dan membinasakan.
Agar Allah pindahkan bencana itu dan jika kena ujian kita bersabarlah!
Semua hukum & ketetapan itu milik Allah, tetapi kita kena berusaha dan berikhtiar cari jalan untuk berubah kepada yang lebih baik.
Cari strategi untuk selamat dan mengelakkan kemudharatan.
Kita juga kena menumpukan amalan untuk persiapan Akhirat agar selamat dunia Akhirat kerana kita akan bertemu Allah!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini, semoga mendapat faedah & manfaatnya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.