View Categories

(2) Surah Al-An’am : Ayat 1-3

SEGALA KEPUJIAN BAGI ALLAH, MENCIPTAKAN MANUSIA DARI TANAH & MENGETAHUI SEMUA PERKARA.

Full video : https://youtu.be/3Q2UyK4PnQY?si=4WcceQvv3a9gCdWk

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah Al-An’am dengan ayat 1 sehingga 3 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah segala kepujian bagi Allah hanya tertentu kepada Allah. Apabila kita puji Allah kita akan seperti kasih sayang Allah, taufiq petunjuk & inayah pertolongan-Nya.
  1. Allah juga nyatakan bahawa Dia menciptakan manusia dari tanah dan juga menetapkan ajal kematian bagi setiap orang. Tidak sama bagi setiap individu walaupun dalam keluarga.
  1. Allah SWT juga Maha mengetahui semua perkara, yang zahir yang batin, yang kecil yang besar, dalam gelap atau cerah. Ilmu Allah meliputi segala sesuatu sama ada di langit atau di bumi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, DAN MENJADIKAN GELAP DAN TERANG; DALAM PADA ITU, ORANG-ORANG KAFIR MENYAMAKAN (SESUATU YANG LAIN) DENGAN TUHAN MEREKA.} (AL-AN’AM 6:1)

  1. Segala puja-puji hanya tertentu bagi Allah! Hanya Allah yang layak dan berhak disembah dan dipuja. {ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ}
    Manakala sesama manusia kita boleh menghormati tetapi bukan memuja & terlampau memuliakannya sehingga mensucikannya.
  1. Allah memperkenalkan diri-Nya yang yang layak dipuja & dipuji itu:
    i- Yang menciptakan langit dan bumi {خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ}.

    ii- Allah yang menjadikan gelap dan terang, siang dan malam {وَجَعَلَٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ}.
  1. Gelap & cerah {ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ} ini boleh membawa banyak makna:
    i- Dari segi hissi (fizikal) yang boleh kita nampak seperti malam & siang.

    ii- Kegelapan dari sudut maknawi (spiritual) seperti gelap jahil, kesesatan. 
    Syirik dan lain-lain. 
    Ia sangat banyak seperti kejahatan syaitan jin manusia dan lain-lain. 
    Cahaya pula adalah cahaya iman dan hidayah petunjuk dari Allah SWT.
  1. Iaitu sisi gelap & kesesatan {ٱلظُّلُمَـٰتِ } itu banyak; manakala nur {ٱلنُّور} cahaya itu hanya satu iaitu cahaya petunjuk Allah yang menerangi hati & hidup manusia.
  1. Tetapi orang kafir itu meninggalkan jalan yang benar, mengikut lorong yang sesat & salah dengan menjadikan bagi Allah itu sekutu; syirik dalam ibadat & keagungan. 
    Mereka sembah makhluk bukan sembah Allah bahkan ada yang tidak kenal Allah pun! 

AYAT 2- {DIA LAH YANG MENCIPTAKAN KAMU DARI TANAH, KEMUDIAN IA TENTUKAN AJAL (KEMATIAN KAMU) DAN SATU AJAL LAGI YANG TERTENTU DI SISINYA (IAITU MASA YANG TELAH DITETAPKAN UNTUK DIBANGKITKAN KAMU SEMULA PADA HARI KIAMAT); DALAM PADA ITU, KAMU MASIH RAGU-RAGU (TENTANG HARI PEMBALASAN).} (AL-AN’AM 6:2)

  1. Allah SWT mencipta asal kejadian manusia daripada tanah iaitu bermula dari penciptaan Nabi Adam AS sebagai manusia pertama.
  1. Kemudian manusia semua ini terjadi dari air mani, tetapi punca dan sumber kejadian air mani itu pastilah dari unsur tanah juga. 
    Untuk menahdi air mani perlu ada zat & tenaga. Iaitu sumber makanan kita semuanya berasal dari tanah. Kita ini dari tanah ke tanah tempat akhirnya!
  1. Maka kita janganlah sombong & takabbur!
    Semua manusia berasal dari tanah, kembali di tanam dalam tanah & akan dibangkitkan keluar pada hari Kiamat kelak dari tanah juga! 
    Semua lubang kubur sama besar, yang berbeza mungkin hiasan & binaamnya bagi mereka yang menyalahi larangan Syara’.
  1. Kemudian Allah tetapkan ajal kamu iaitu:
    i- Tempoh kematian kita atas dunia ini. 
    Ajal maut yang tidak diawalkan atau dilewatkan bagi setiap orang.

    ii- Tempoh untuk keluar balik dari kubur untuk hisab pada hari Kiamat nanti.
  1. Tempoh ini menjadi rahsia Allah kerana nak Allah uji kita! 
    Tempoh hidup kita atas dunia untuk kita membuat persediaan & bekalan. 
    Tempoh bangkit pula untuk dihitung hisab pula persediaan yang kita buat itu!
  1. Kata ulama’ tadabbur : Jika hidup atas dunia ini tidak ada balasan, maka bagaimana kita nak tengok keadilan Tuhan??? 
    Siapa penjahat, penipu yang terlepas atas dunia ini, jika mati begitu saja, maka tiada keadilan bagi orang yang kena zalim atas dunia ini!
  1. Firman Allah SWT: 
    Maksudnya: {Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.} (Al-M aidah 5:119)
  1. Tetapi tetap ada manusia yang masih ragu-ragu, tidak percaya dengan semua ini walaupun Allah telah bawa dalil, bukti & tanda yang nyata!
    Orang yang Islam pun ada juga yang masih seolah tak yakin; kerana tidak membuat persiapan yang sepatutnya! 
    Masih tidak mantap ibadatnya maka macam tak yakin!

AYAT 3- {DAN DIA LAH ALLAH (YANG DISEMBAH DAN DIAKUI KEKUASAANNYA) DI LANGIT DAN DI BUMI; IA MENGETAHUI APA YANG KAMU RAHSIAKAN DAN APA YANG KAMU LAHIRKAN, DAN IA JUGA MENGETAHUI APA YANG KAMU USAHAKAN.} (AL-AN’AM 6:3)

  1. Semua perkara dan urusan di langit & di bumi, apa yang kamu sembunyikan dan zahirkan adalah di bawah kekuasaan & ilmu pengetahuan Allah SWT. 
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Ayat sebelum ini menunjukkan Allah memiliki ilmu & kudrat yang sempurna, semua yang terjadi adalah dengan pilihan Allah SWT. 
    Tetapi masih ada lagi manusia yang tidak percaya & ragu!

    ii- Maka datang ayat ini menunjukkan bahawa Allah mempunyai ilmu yang sempurna, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat & Maha Mengetahui. 
    Supaya manusia hati-hati & takut untuk membuat maksiat maka ke mana lagi kamu lari??? 
    Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan, apa yang kamu sembunyikan apatah lagi yang zahir! 
  1. Allah tahu apa yang kamu lakukan sama ada yang jahat atau yang baiknya.
    Allah akan kira dan hitung satu persatu & Allah akan balas di Akhirat kelak! 
    Maka jauhilah diri kamu dari maksiat & dosa serta perbanyakkanlah kebaikan & gemar cinta untuk melakukan amal ibadat.
  1. Inilah muraqobah dari sudut penjagaan, kita tidak berani buat perkara mungkar & maksiat kerana kita tahu Allah tahu segalanya. 
  1. Semoga dengan kita tadabbur al-Quran ini akan meningkatkan keimanan, menambah ketaqwaan dan memantapkan ibadat! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang;…}-

    Allah mulakah surah ini dengan pujian terhadap diri-Nya {ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ}.
    Apabila Allah sebut pujian bagi Zat-Nya sendiri, Dia akan menyebut perkara yang besar iaitu Allah yang mencipta langit & bumi serta malam & siang! 
    Allah tak sebut dalam al-Quran, demi Allah yang mencipta ayam dan itik dan seumpamanya.
    Ini supaya kita tersentak & nampak lalu terasa kerdil di hadapan Allah SWT! Disebut makhluk-Nya yang besar untuk menunjukkan sempurnanya kekuasaan Allah SWT & luas ilmu-Nya. 
    Maka jangan sesiapa cuba cabar & lawan jika tidak dia akan terpelanting, kecundang dan keluar dari landasan yang benar!
    Allahlah yang berhak dipuja & dipuji dalam semua keadaan! 
    Ketika gembira kita puji Allah, ketika kita susah ditimpa ujian pun kita puji Allah!
    Jika manusia kita hanya puji ketika senang, ketika sudah tidak!
  1. Ayat 1- {Segala puji tertentu bagi Allah..}-

    Allah sebut segala puji bagi Allah { ٱلْحَمْدُ لِلَّه}.
    Allah tidak sebut segala pujian (المدح) atau segala syukur (الشكر) tetapi (الحمد)- apakah rahsianya? 
    Jawapannya:
    i- Kerana jika disebut- segala pujian (المدح) ia juga boleh digunakan untuk manusia, kita puji seseorang itu apabila dia berjaya atau cemerlang.  

    ii- Manakala segala syukur (الشكر) pula- bersyukur atau berterima-kasih ini biasanya diucapkan apabila setelah kita mendapat nikmat. 
    Kita nak balasnya dengan pujian jika tak dengan perbuatan juga.

    iii- Manakala (الحمد) ini khas untuk Allah kerana kita wajib memuji Allah dalam semua keadaan; ketika senang atau susah, buruk atau baik kita kena pujinya! 
    Maka kita puji Allah SWT sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT sendiri dan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. 
    Hadis- Ketika Rasulullah SAW ingin meminta syafaat dari Allah di Padang Mahsyar kelak, Baginda bersujud kepada Allah & telah diberi ilham untuk mengucapkan segala pujian yang selayaknya.
  1. Ayat 1- {Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; …}-

    Allah sebut khas dua makhluk-Nya iaitu langit dan bumi.
    Kenapa Allah sebut dua ini bukan makhluk lain? 
    Jawapan:
    Ini kerana dua ini adalah dua makhluk yang amat besar dan ajaib yang kita boleh nampak.
    Langit terbentang tanpa tiang, tak pernah jatuh; bumi bulat terhampar tidak pernah bergolek sehingga terbalik rumah kita! 
    Keduanya mempunyai manfaat dan memberi rezeki kepada manusia, dan hidup di atasnya.
    Begitu juga malam & siang yang kita boleh nampak, semalam gelap, siang hari ini sudah cerah.
    Rahsia Allah sebut empat perkara ini juga untuk membatalkan Aqidah keprcayaan puak kafir Arab yang sama ada, sembah berhala, sembah matahari, majusi yang sembah api atau nasrani yang sembah makhluk.

    Empat jenis kafir ini secara ringaasnya:
    i- Kafir musyrikin: Ini menjadikan makhluk yang ada di bumi sebagai Tuhan seperti batu kayu pokok dan lain-lain. 

    ii- Manakala as-Sobi-ah: Golongan yang menyembah bulan bintang matahari, yang menjadikan makhluk yang di langit sebagai Tuhan.

    iii- Nasrani: Pula yang mendakwa Nabi Isa AS sebagai Tuhan atau anak Tuhan.

    iv- Majusi: Adalah penyembah api, yang menyembah Tuhan yang berbeza pada waktu gelap & cerah!
    Maka Allah kata dalam ayat ini; langit bumi, gelap, cerah semuanya kepunyaan Allah & di bawah kekuasaan-Nya, maka kenapa kamu nak syiriknya, jangan syirik kerana ia melawan undang-undang Allah SWT.

    Kita lihat lagi hikmah perbezaan antara penggunaan dua perkataan bahasa Arab dalam ayat ini:
    i- Dalam ayat ini {Allah yang menciptakan langit dan bumi, – ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ }- untuk langit dan bumi Allah kata dia cipta {خَلَقَ}

    ii- {dan menjadikan gelap dan terang– وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ}- manakala untuk gelap & terang menjadikan {جَعَلَ}.
    Sedangkan kedua maknanya adalah sama untuk buat, reka & cipta.

    a) Ulama’ yang kata makna keduanya adalah sama & tiada beza berdasarkan dalil dari dua firman Allah SWT ini:
    i- {dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa),- وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا} (An-Nisaa’ 4:1)

    ii- {dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri),- وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا} (Al-A’raaf 7:189)

    b) Pandangan kedua mengatakan ada perbezaannya. 
    Ini kerana apabila: 
    i- Apabila diguna perkataan {خَلَقَ}- bermakna Allah mencipta satu benda yang nampak, yang dapat dilihat disentuh & dipegang yakni benda yang berjisim.

    ii- Manakala {جَعَلَ} adalah untuk benda yang ada tetapi tidak boleh dipegang atau sentuh, sesuatu yang tidak berjisim seperti malam dan siang, gelap dan cerah. 
    Kita tahu ia ada tetapi tidak dapat dipegang. Wallahu a’lam.
    Iaitu setiap lafaz al-Quran itu pasti ada maksudnya tertentu, tujuan dan hikmahnya.
    Allah tidak datangkan secara suka-suka atau saja, jika lafaz seakan sama atau diulang beberapa kali pun pasti ada perbezaan maksud dan tujuan di sebaliknya.

    Dalam ayat ini Allah juga sebut, dijadikan manusia dari tanah, manakala dalam firman-Nya ini:
    i- {(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim).} (At-Tariq 86: 5-6)
    Kenapa berbeza, sekali dari tanah, sekali dari air mani? 
    Jawapan:
    Ulama’ kata tiada khilaf & bezanya : Tanah itu asal kejadian Tok Adam AS manakala air mani itu proses kejadian manusia selepas itu.
    Nak jadi air mani semuanya berasal bersumber dari tanah.
    Tiada khilaf & kontra, semua berasal dan bersumber dari tanah yang kemudiannya menjadi air mani.
  1. Ayat 3- {Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.}-

    Ayat ini adalah ayat penutup yang sempurna (mmati awah, bahasa Kelantan klasik)- selepas menyebut kuasa-Nya; Allah seru wahai manusia, jadilah manusia yang baik, yang taat kepada Allah. 
    Kerana Aku tahu semua yang zahir atau yang batin, kamu sembunyikan Aku tahu, Aku tahu apa yang kamu buat!
    Maka jika kamu keras kepala degil tak mahu ikut juga maka kamulah yang akan rugi kerana kamu akan dibalas dengan kebinasaan.
    Ayat ini juga kembarkan sekali antara perbuatan & perkataan, apa yang kamu kata Allah tahu, apa yang kamu buat juga Allah tahu!
    Maka marilah kita tingkatkan taqwa terhadap Allah, jangan berani buat maksiat, jangan berani langgar perintah Allah kerana Allah tahu segala yang kita bua.
    Kita minta Allah selamatkan kita di dunia & Akhirat dengan melakukan ketaatan, sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidup.
    Mati dalam husnul khatimah & berakhir masuk syurga dengan keredhaan Allah SWT!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas untuk permulaan ayat Surah Al-An’am pada pagi ini.
Semoga kita semua mendapat manfaat & faedah dari majlis ilmu ini.

Kempen *hartakumilikku masih lagi diteruskan.
Sedekah kita minggu ini masih lagi untuk TABUNG DAKWAH di Jepun, untuk pembinaan Pusat Dakwah & Masjid di WAKAYAMA Jepun.
Jom bersama kita melabur untuk saham hari akhirat kita.

Wakaf masjid boleh disalurkan kepada:
Maybank: Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 5621-0669-8737  
Rujukan: Wakaf.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs