View Categories

(2) Surah Al-A’raf : Ayat 1-3

KEMULIAAN AL-QURAN, LAPANGKAN DADA & JANGAN IKUT SELAIN AGAMA ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/gw__kOXS49A?si=xwvrvuHjEUXPOHoh

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita, dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah Al-A’raf dengan ayat 1 sehingga 3 dalam juzu’ kelapan.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan tentang kemuliaan & kedudukan al-Quran.
  1. Kemudian Allah minta Rasulullah SAW agar tenang & lapangkan dada, sabar jangan sempit dada dengan karenah kaumnya, anak beranaknya sendiri yang menentang.
  1. Kemudian Allah perintahkan kita agar ikut al-Quran, jangan ikut selain dari agama Allah SWT, jangan cari yang lain sebagai pedoman.
    Semoga kita yang tadabbur al-Quran ini termasuk dalam golongan yang beriman, taat & patut kepada perintah Allah & berpegang dengan Sunnah Nabi SAW.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {ALIF, LAAM, MIIM, SAAD.} (AL-A’RAF 7:1)

  1. Surah ini sekali lagi dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf Muqatto’ah (الحروف المقطعة). 
    Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya. 
    Contoh: Huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam, Mim dibaca mim, Sod dibaca sod dan seumpamanya.
  1. Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
    Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah ‎ﷻ lebih mengetahui maknanya yang sebenar.
  1. Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk. 
    Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.

AYAT 2- {(AL-QURAN INI) SEBUAH KITAB YANG DITURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD DARI TUHANMU). OLEH ITU, JANGANLAH ADA PERASAAN BIMBANG DALAM DADAMU MENGENAINYA, SUPAYA ENGKAU MEMBERI AMARAN DENGAN AL-QURAN ITU (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR), DAN SUPAYA MENJADI PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:2)

  1. Al-Quran ini adalah Kitab {كِتَـٰبٌ} yang Allah turunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, dari langit dunia malaikat bawa turun pula kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat, selama 23 tahun.
  1. Jika kamu sampaikan al-Quran ini & orang tak dengar; jangan kamu sempit dada & sedih.
    Teruskan beri peringatan kepada manusia tanpa rasa keliru, tak yakin atau ragu-ragu bahawa al-Quran ini turun dari Allah. 
    Orang nak ikut atau tidak kita jangan peduli dalam menyampaikan syiar agama Allah.
  1. Yakni kita kena tenang & lapang dada juga dalam menerima ajaran al-Quran; Quran kata haram kita tinggalkan, Quran kata halal kita ambil-jangan keluh-kesah, rasa susah dan berat hati dalam beramal dengan ajarannya.
  1. Itu adalah kedudukan al-Quran. 
    Sekarang ini adalah fungsi al-Quran:
    i- Untuk memberi amaran/gertakan kepada puak yang ingkar/kafir; 

    ii- Dan peringatan/nasihat buat yang beriman, kita kata alhamdulillah. 
  1. Ayat ini diitafsir dengan firman Allah SWT ini juga:
    i- {Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.} (Maryam 19:97)

    ii- {Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.} (Az-Zariyat 51:55) 
  1. Orang yang beriman akan dapat manfaat daripada peringatan ini. 
    Manakala orang yang tidak beriman akan marah & lompat lari berpaling darinya.
    Begitulah sangat berbeza wataknya antara orang yang beriman & tidak dalam semua keadaan.

AYAT 3- {(KATAKANLAH KEPADA MEREKA WAHAI MUHAMMAD): “TURUTLAH APA YANG TELAH DITURUNKAN KEPADA KAMU DARI TUHAN KAMU DAN JANGANLAH KAMU MENURUT PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG LAIN DARI ALLAH; (TETAPI SAYANG) AMATLAH SEDIKIT KAMU MENGAMBIL PERINGATAN”.} (AL-A’RAF 7:3)

  1. Allah suruh Nabi SAW katakan kepada orang kafir, wahai manusia ikutlah al-Quran iaitu apa yang diturunkan Allah kepada kamu, ambil pengajaran kerana ianya mengandungi petunjuk, cahaya dan penerangan.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan kedudukan al-Quran yang mulia & fungsinya yang memberi amaran dan peringatan.

    ii- Lalu datang ayat ini Allah kata jika kamu nak selamat ikut al-Quran bukan ikut hawa nafsu. Yakni janganlan kamu ikut yang lain selain daripada agama Allah!
  1. Kerana al-Quran diturunkan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar juga untuk menjadi pengajaran & peringatan untuk orang yang beriman; maka tidak harus & tidak patut sama sekali al-Quran digunakan untuk tujuan lain, dipesongkan dari tujuan asalnya diturunkan kepada manusia seperti:
    i- Membacanya untuk mencari habuan dunia seperti nama glamour, kemasyhuran atau harta.

    ii- Atau dilagukan untuk bersedap dan berseronok denga suara yang merdu sama seperti menikmati nyanyian tanpa apa-apa kesedaran. 
    Akhlak pemikul al-Quran jangan seperti orang lain, ada etika & adabnya; tak usahlah kita ikut trend dan ikut fenomena orang ramai. 
  1. Asal qari atau qariah melagukannya dengan suara merdu, para penonton terus bersorak menyambutnya walaupun yang dibaca itu adalah ayat-ayat tentang azab neraka atau kemusnahan kaum yang ingkar!
    Itulah akibat jahil & tak faham makna al-Quran Allahu al-Musta’an!
  1. Lebih-lebih lagi jika qariah wanita yang melagukannya dengan suara yang merdu dan mendayu-dayu di khayalak umum; kerana yang demikian adalah perbuatan yang tidak baik, boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT!
    Ini adalah teguran oleh para ulama’ kita dari
    Malaysia kerana ia dari Kitab Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang disusun oleh syeikh-syeikh dan Tuan Guru dari Malaysia & ditandatangani oleh Perdana Menteri pada waktunya. Wallahu a’lam. 
  1. Kemudian Allah ingatkan lagi; janganlah kamu mengambil selain Allah SWT sebagai wali-wali ketua iaitu syaitan-syaitan & ketua yang menyesatkan! 
    Jika kamu ikut juga maknanya kamu telah terpelanting keluar dari jalan yang benar, jalan yang dibawa oleh Nabi SAW, maka jadilah kamu pengikut syaitan, bukan pengikut al-Quran! 
    Amat berat ayat ini, maka janganlah mengikuti jalan selain jalan Allah.
  1. Di akhir ayat Allah kata: {…(tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”.}- yakni sedikit yang ambil iktibar peringatan:
    i- Jika di kalangan orang beriman, baca al-Quran itu, baca tetapi tidak ada nasihat yang dapat, tidak ada iktibar yang kita ambil, baca al-Quran semata-mata kerana nak pahala.
    Teguran bagi orang yang berniaga al-Quran atau niaga pahala, seperti ambil upah baca al-Quran untuk orang yang telah mati dengan ambil upah dari keluarga mereka. 

    ii- Jika orang kafir mereka tidak akan ambil lansung iktibar daripada al-Quran. 
  1. Maka sangat rugi besar jika kita ambil al-Quran hanya sebagai langkah untuk mencari kemasyhuran dan habuan dunia, al-Quran ada di hadapan kita tetapi kita tak ambil manfaat untuk Akhirat juga!
    Kerana itu syaitan amat tidak suka orang tadabbur al-Quran!
    Kita minta perlindungan dari Allah SWT dari dibiarkan terumbang ambing tanpa bimbingan dan tanpa mendapat faedah dari al-Quran.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Alif, Laam, Miim, Saad.}-

    Ini adalah huruf al- Muqatto’ah (الحروف المقطعة) yang dibaca satu persatu walaupun tulisannya bersambung.
    Ini adalah menunjukkkan bahawa al-Quran ini adalah satu kitab mukjizat yang datang dari Allah, semua makhluk lain lemah untuk melawannya.
    Sedangkan huruf ini adalah dalam bahasa Arab, yang digunakan juga oleh Abu Jahal, Abu Lahab dan semua kafir musyrikin lain tetapi mereka tidak boleh lawan & cabarnya.
    Begitulah kita lawan kafir dengan ilmu, dengan hujjah yang mantap bukan dengan degil & keras kepala!
  1. Ayat 2- {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu)…}-

    Allah kata Kitab al-Quran ini yang diturunkan kepada kamu! {كِتَـٰبٌ أُنزِلَ إِلَيْكَ} 
    Ayat ini adalah sejenis ayat yang disebut perbuatan tetapi tidak sebut pelakunya. 
    Dalam bahasa Arab dipanggil bina majhul, tidak diketahui pembuatnya, tetapi al-Quran ini diketahui dari Allah SWT.

    Sebab apa Allah tak sebutnya: 
    Ini kerana untuk menyatakan yang menurunkan al-Quran itu tidak perlu dinyatakan lagi. Al-Quran itu datang dari Allah yang memang telah diketahui dengan nyata oleh orang yang beriman.
    Ini adalah satu kemuliaan bagi al-Quran, kitab yang datang dari Allah dan bukan dari mana-mana makhluk.
    Jika kita tak ambil cakna dengan Kitab Allah kita nak cakna dengan apa lagi??
  1. Ayat 2- {… Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.}-

    Ayat ini memberi teguran & peringatan keras bahawa kita orang yang beriman mesti mengambil teguran iktibar dari al-Quran.
    Allah turunkan Al-Quran untuk memberi amaran & peringatan kepada makhluk, memberi khabar gembira kepada orang yang beriman & mengingatkan orang lalai lupa.
    Al-Quran bukan sekadar perhiasan, tulisan dinding atau sekadar untuk musabaqah saja.
    Kita jangan lupa fungsi sebenar al-Quran yang kita kena cakna; peranan al-Quran untuk memberi amaran, peringatan, sebagai pengajaran dan dijadikan cahaya petunjuk.
  1. Ayat 2- {… Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya…}-

    Kamu orang beriman jangan sempit dada dengan al-Quran.
    Yang halal pun kita pegang, yang haram pun kita pegang! 
    Jangan kata yang halal saja kita ambil tetapi yang haram kita tak pakai! 
    Undang-undang Islam yang penuh kasih sayang kita ambil, undang-undang yang tegas & keras seperti hudud pun kita pakai! 
    Al-Quran ini diturunkan dengan peranan yang besar maka jangan kamu bimbang dan sempit dada dengannya! 
    Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah telah menghilangkan kesedihan & kerunsingan dalam hati orang yang beriman.
    Sebelum turun al-Quran ini Rasulullah SAW sentiasa sempit dadanya runsing akan kaum & umatnya jika mereka tidak beriman dan menerima dakwahnya.
    Tetapi dengan turunnya al-Quran, segala kerunsingan itu dibuang kerana kita tahu kita telah buat kerja & jalankan tugas. 
    Orang dengar & terima alhamdulillah, orang ingkar & tolak kita selamatkan diri kita & keluarga dari kemurkaan Allah SWT!

    Ayat ini ditafsirkan dengan ayat:
    {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (Al-An’aam 6:125)
    Inilah orang beriman, lapang dadanya apabila mendengar al-Quran dan berjumpa Nabi SAW manakala orang yang tidak beriman sempit dadanya apabila dibacakan al-Quran dan dibincangkan tentang Islam!
  1. Ayat 3- {(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu…}-

    Selepas Allah nyatakan fungsi al-Quran maka Allah bawa perintah untuk ikut al-Quran, iaitu arahan selepas penjelasan.
    Yakni Allah jelaskan fungsi al-Quran, sekarang peranan kita manusia; kamu manusia jika nak selamat ikut al-Quran, ikut apa yang Allah perintahkan jangan ikut apa yang diajar syaitan! 
    Ikut ajaran al-Quran agar kita dapat manafaat, bahagia di dunia dan akhirat. 
    Jangan ikut syaitan jika tak mahu bala & binasa!
    Ikut al-Quran kita akan dapat manfaat darinya, jika kita ada al-Quran tetapi tak baca, atau baca al-Quran tetapi tak faham, atau baca & faham tapi tak buat & ikut ajarannya; maka kita akan kerugian yang amat besar! 
  1. Ayat 3- {… dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah;..}-

    Ayat ini larangan kepada orang beriman agar jangan mengambil orang lain selain daripada Allah, selain daripada al-Quran & selain sesama orang beriman sebagai wali, ikutan, teman rapat, penolong dan seumpamanya.
    Mereka puak kafir ini tidak boleh dipercayai maka marilah kita selamatkan diri kita & keluarga kita dari mengikut syaitan, mengikut petunjuk selain dari Allah Azza wa Jalla.
    Di akhir ayat Allah kata: Tetapi hanya sedikit orang yang ambil iktibar dari al-Quran. 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan yang sedikit, yang ikut al-Quran, yang sentiasa ikut yang benar & beramal dengannya. 

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini yang ringkas.
Semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs