Kuasa Allah Meniupkan Angin, Menurunkan Hujan & Nikmat Bagi Yang Bersyukur.
Full video : https://youtu.be/ea9j7DAqyf4?si=xQ6GhqoMMFZbTRtK
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 57 sehingga 58 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kuasa Allah menghantar & meniupkan angin, yang mengumpulkan awan, jadi hujan lalu turun kembali ke bumi.
- Kemudian Allah menurunkan hujan yang menghidupkan bumi yang telah mati dengan air itu.
Bumi yang tandus kembali hidup menghijau, pokok-pokok pun mengeluarkan bunga & buah.
Begitulah Allah buat bandingan begitulah Dia menghidupkan semula manusia yang telah mati, moga kamu ambil pengajaran darinya.
- Ada bumi yang subur sekali kena air keluar segala tumbuhan & ada bumi yang tidak subur, air hanya lalu ia tetap gersang.
Begitulah juga bandingan hati manusia:
i- Ada yang hidup mudah menerima petunjuk, dengar al-Quran terus beriman & belajar, tadabbur al-Quran lalu terus beramal dengannya.
ii- Ada hati yang keras tetap degil dan ingkar, walaupun dengar al-Quran tidak mahu beriman atau ada mengaji al-Quran tetapi tidak menghayati apa yang Allah mahu sampaikan, satu kerugian yang besart!
- Demikianlah pelbagai tanda-tanda & nikmat dari Allah bagi hamba-Nya yang bersyukur.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang dalil-dalil ketuanan dan ketuhanan (الألوهية والربوبية), penciptaan langit & bumi, bulan & bintang, matahari, serta seluruh cakerawala iaitu kejadian bahagian atas alam yang tinggi lagi besar.
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa contoh penciptaan yang dekat dengan kita yang dapat kita lihat & rasainya iaitu kejadian angin, awan & hujan.
Betapa angin, awan dan hujan ini adalah kurniaan Allah untuk manusia.
Proses ini juga menjadi dalil kepada kebangkitan semula manusia yang telah mati.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 57- {DAN DIA LAH (ALLAH) YANG MENGHANTARKAN ANGIN SEBAGAI PEMBAWA BERITA YANG MENGEMBIRAKAN SEBELUM KEDATANGAN RAHMATNYA (IAITU HUJAN), HINGGA APABILA ANGIN ITU MEMBAWA AWAN MENDUNG, KAMI HALAKAN DIA KE NEGERI YANG MATI (KE DAERAH YANG KERING KONTANG), LALU KAMI TURUNKAN HUJAN DENGAN AWAN ITU, KEMUDIAN KAMI KELUARKAN DENGAN AIR HUJAN ITU BERBAGAI-BAGAI JENIS BUAH-BUAHAN. DEMIKIANLAH PULA KAMI MENGELUARKAN (MENGHIDUPKAN SEMULA) ORANG-ORANG YANG TELAH MATI, SUPAYA KAMU BERINGAT (MENGAMBIL PELAJARAN DARIPADANYA).} (AL-A’RAF 7:57)
- Allah katakan dia yang mencipta & menghantar angin-angin (ٱلرِّيَـٰحَ) kecil yang bertiup sepoi-sepoi bahasa sebagai pembawa berita gembira bahawa rahmat akan datang iaitu hujan akan turun.
Jika angin yang besar (الريح)- bahaya mungkin bawa ribut & bencana pula.
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini :
{Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.} (Ar-Rum 30:46)
- Kemudian apabila angin itu mengumpulkan banyak awan sehingga ia menjadi berat dengan banyaknya air di dalamnya, angin itu menolak pula awan yang mendung itu ke bumi yang kering & gersang, tandus tanpa pokok lalu mencurahkan airnya di situ.
Lalu bumi itu menjadi hidup & subur kembali sehingga menumbuhkan kembali pokok-pokok!
Air hujan yang satu menumbuhkah pelbagai pokok & buah-buahan yang berbeza.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Margaret LeMone, ilmuwan atmosfera dari National Center for Atmospheric Research, Colorado, Amerika Syarikat, ‘pulau langit’ atau awan ini memiliki berat sekitar 550 tan.
Berat 500 tan air sama dengan menaruh 100 gajah di atas kepala.
- Firman Allah juga yang lebih detail tentang hujan:
i- {Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.} (An-Nur 24:43)
Betapa hujan itu turun dari celah-celah awan yang berkumpul dan berhimpit!
- Terdapat satu Lajnah Khas di Rabitah ‘Alami yang mengkaji ayat-ayat al-Quran & Hadis Nabi yang berkait dengan Sains, terbukti betapa al-Quran 1400 tahun yang lalu telah menyatakan segala teori sains ini.
Kajian Sains membuktikan kebenaran & mukjizat al-Quran.
هيئة الإعجاز العلمي برابطة العالم الإسلامي.
- Hadis, suara dalam awan, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW, bercerita:
بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ.
Ketika seorang lelaki berjalan di padang yang luas yang tiada kehidupan, tiba-tiba dia mendengar suatu suara di balik awan: “Siramilah kebun si fulan.”
Lalu awan tersebut bergerak dan menurunkan airnya di tanah kering kontang yang penuh dengan batuan hitam.
Apabila salah satu daripada saluran air telah penuh, dia pun mengikuti aliran air tersebut.
Tiba-tiba dia terjumpa seorang lelaki yang sedang berdiri di kebunnya serta mengalihkan air menggunakan penyodok.
” فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلَانٌ – لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ – فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ لِمَ تَسْأَلُنِي عَنِ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ “،
Lelaki itu bertanya kepadanya: “Wahai hamba Allah, apakah namamu?”
Dia menjawab: “Fulan”, disebutkan nama lelaki berkenaan yang dia dengar dari balik awan.
Kemudian lelaki itu bertanya: “Wahai hamba Allah! Mengapa engkau bertanya namaku?” Lalu dia menjawab: “Aku mendengar satu suara dari balik awan yang air ini berasal daripadanya. Ia berkata: Siramilah kebun fulan, nama kamu. Justeru itu, apa yang telah kamu lakukan (sehingga dimuliakan sebegini rupa)?”
Dia menjawab: “Apabila engkau telah berkata begitu (maka akan aku ceritakan).
Aku telah menguruskan apa sahaja hasil daripada kebun ini.
Kemudian aku akan sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 lagi aku dan keluargaku akan makan, manakala 1/3 lagi aku kembalikan (manfaatnya) kepada kebun tersebut.” (HR Muslim: 2984)
Begitulah terbaik amalannya sehingga namanya disebut oleh malaikat.
- Allah nyatakan demikianlah cara Allah menghidupkan semula orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat serta mengambil pelajaran daripadanya.
Tiada yang mustahil & susah bagi Allah SWT, apabila malaikat meniup sangkakala semua manusia bangkit hidup semula dengan kuasa Allah.
AYAT 58- {DAN NEGERI YANG BAIK (TANAHNYA), TANAMAN-TANAMANNYA TUMBUH (SUBUR) DENGAN IZIN ALLAH; DAN NEGERI YANG TIDAK BAIK (TANAHNYA) TIDAK TUMBUH TANAMANNYA MELAINKAN DENGAN KEADAAN BANTUT. DEMIKIANLAH KAMI MENERANGKAN TANDA-TANDA (KEMURAHAN DAN KEKUASAAN) KAMI DENGAN BERBAGAI CARA BAGI ORANG-ORANG YANG (MAHU) BERSYUKUR.} (AL-A’RAF 7:58)
- Allah nyatakan bumi atau tanah itu terbahagi kepada dua; ada yang subur, mudah tumbuh tanaman di atasnya, ada pula yang gersang, tidak tumbuh pokok di atasnya kecuali dalam keadaan terbantut tidak subur, hidup segan mati tak mahu seolah kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah kata Dia menurunkan hujan & bumi menumbuhkan pokok yang mengeluarkan buah-buahan darinya.
ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan pula bukan semua bumi yang subur dan menumbuhkan pokok dengan mudah.
Ada bumi yang tidak subur, tandus gersang walaupun hujan menimpanya!
- Ini kerana Allah mahu kita berfikir begitulah bandingan hati manusia :
i- Ada yang lembut terus beriman & mudah insaf, mudah mendapat petunjuk walaupun sekali dengar nasihat & peringatan.
ii- Ada hati yang keras, tetap degil ingkar walaupun telah berkali-kali diberi peringatan, amaran & nasihat.
- Hadis Nabi SAW :
وعن أبي موسى رضي الله عنه قال: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم : “مَثَلُ مَا بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتِ الماءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ، وَالعُشْبَ الكَثِيرَ وكان مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الماءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا مِنْهَا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذٰلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ في دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ ما بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذٰلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الذي أُرْسِلْتُ بِهِ” ((متفق عليه)
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA dia berkata, Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya dari hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka:
i- Ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak.
ii- Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam.
iii- Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan. (Tak ada faedah, air tak pegang, tumbuhan pun tak naik.
Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” (Muttafaqun ‘alaih)
- Huraian tentang jenis tanah ini dengan manusia:
i- Pertama tanah yang serap air & mengeluarkan tumbuhan, iaitu seperti manusia yang terima iman, dapat ilmu, dia beramal dan menyebarkannya; inilah kita mahu!
ii- Kedua tanah yang tidak serap air tetapi dia menakungnya lalau dapat menjadi kegunaan & memberi manfaat kepada orang lain, iaitu seperti manusia yang ada ilmu dan mengajar orang tetapi dia sendiri tidak beramal, hanya dapat beri faedah kepada orang lain.
Amat rugi sekali.
iii- Tanah licin yang tidak menakung air-air hanya lalu serta tidak subur juga, tiada tumbuhan yang tumbuh darinya, ini adalah manusia yang yang keras hatinya dia sendiri tak dapat faedah & tidak dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Demikianlah Allah membawa dan menerangkan pelbagai tanda-tanda dan dalil ini supaya manusia mahu bersyukur.
Sekali bercakap tentang matahari & cakerawala, berganti siang dan malam, awan & hujan dan lain-lain.
Semua ini untuk membatalkan kefahaman syirik dan nak mengisbatkan Ketuhanan & Ketuanan Allah SWT (الألوهية والربوبية) bahawa Allah berkuasa untuk menghidupkan orang yang mati.
- Nota 218- Menurut Sayyidina Abdullah bin Abbas RA : Ini adalah satu perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT menggambarkan keadaan antara orang mukmin yang taat & orang kafir yang ingkar.
Dan dibandingkan turunnya al-Quran itu seperti turunnya hujan yang membawa rahmat.
Hujan rahmat kepada fizikal kita, al-Quran rahmat bagi keduanya hati & fizikal kita!
i- Demikian halnya ruh atau jiwa manusia yang baik, yang bersih dari keburukan, kejahilan dan akhlak yang keji; apabila ia diserap dengan ajaran al-Quran maka akan lahir darinya pelbagai jenis perbuatan yang baik & akhlak yang terpuji.
Apabila al-Quran meresap dalam jiwa kita akan jadi orang baik!
ii- Sebaliknya ruh yang jahat, yang bergelumang dengan kekufuran & kekotoran sama ada perbuatan ingkar & maksiat, sekalipun dia mendengar ajaran al-Quran; tidak akan lahir darinya kesan-kesan yang membawa iman & akhlak yang baik!
- Dulu orang tidak suka mengaji al-Quran, sekarang ini melampaui pula dengan pendedahan media sosial & pengikut yang taksub, ada yang menjadikan ayat al-Quran untuk tilik nasib, ada yang baca al-Quran dengan diiringi muzik dan pelbagai kekarutan, macam-macam apabila dunia nak Kiamat ini, Allahu al-Musta’an!
- Orang yang betul-betul beriman, bertadabbur al-Quran akan lahir darinya akhlak yang mulia, amalan yang baik & jiwa yang tenang, insya’ Allah.
PENUTUP & FAEDAH :
- AYAT 57- {DAN DIA LAH (ALLAH) YANG MENGHANTARKAN ANGIN…}-
Ayat ini menggalakkan kita untuk ingat serta berfikir & takaffur (التفكُّر والتذكُّر) atas nikmat Allah.
Kita tengok kepada semua yang berlaku dalam alam ini dengan penuh iktibar & mencari dalil tauhid akan keagungan & keEsaan Allah SWT!
Bukan tengok dengan lalai dan lagha (غفلة), sekadar selfie dengan awan atau bermain dalam hujan tanpa ingat dan beriman kepada Tuhan Penciptanya yang Esa.
Kita kena ada dua-dua (التفكُّر والتذكُّر) ini.
Allah nyatakan tentang angin, betapa besar peranan dan kedudukannya supaya kita berfikir. Kerana itu Allah kata hujan & angin itu sebagai tanda rahmat & khabar gembira dari Allah. Kerana dari hujan akan lahir banyak kebaikan & rezeki.
- Ayat 57- {Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin…}-
Allah kata Dia yang hantar angin {ٱلرِّيَـٰحَ}!
Angin ini adalah satu rahmat dari Allah ketika ia kecil. Tetapi ingat apabila ia besar & kencang akan meruntuhkan dan datang sebagai bala & bencana.
Angin yang lembut, yang kecil ini datang dari pelbagai arah lalu berkumpul setempat untuk megumpulkan awan bagi menghasilkan hujan.
Inilah hikmah Allah sebut angin-angin {ٱلرِّيَـٰحَ} sebagai sighah jamak (plural) dalam ayat ini.
Adapun angin bala & besar akan datang dengan lafaz mufrad (singular), {رِيحٌۭ}.
Hadis Nabi SAW berdoa apabila melihat angin yang kuat :
Daripada Aisyah, isteri Nabi SAW berkata : Apabila ada angin bertiup kencang sekali, maka hal itu dapat diketahui daripada wajah baginda SAW, beliau bolak-balik ke depan dan ke belakang. Dan ketika hujan turun, maka beliau pun senang dan hilanglah kekhuatirannya.
UM Aisyah berkata; Maka saya pun menanyakan hal itu pada beliau, beliau menjawab: “Saya khuatir, boleh jadi hal itu akan menjadi azab yang ditimpakan kepada umatku.” Dan ketika melihat hujan beliau bersabda: “(Ini adalah) rahmat.” (HR Muslim)
Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menunjukkan tentang perbezaan maksud ini apabila digunakan perkataan yang mufrad {رِيحٌۭ} ini:
i- {رِيحٌۭ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌۭ}- {…iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;} (Al-Ahqaf 46:24)
ii- {فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًۭا صَرْصَرًۭا فِىٓ أَيَّامٍۢ نَّحِسَاتٍۢ}- {Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang…} (Fussilat 41:16)
Kita orang Melayu ini banyak sekali menggunakan perkataan angin dalam kehidupan seharian kita seperti; naik angin, berlaga / tak angin, tersekat angin dan seumpamanya.
- Ayat 57- {… ), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang),…}-
Allah kata apabila awan itu berat dengan air yang dikandungnya, Allah hantar awan itu ke negeri yang tandus & gersang kekurangan air.
Ini menunjukkan awan mendung yang kandung air hujan itu amat berat sekali, untuk dicurahkan ke atas tanah yang gersang untuk menghidupkannya kembali agar tumbuh pokok-pokok bagi menjadi rezeki kepada manusia & haiwan.
Hujan diturunkan dengan kehendak Allah & sebab-sebab yang telah Allah tetapkan juga.
Allah juga kata: {سُقْنَـٰهُ}, Kami yang curahkan, Kami turunkan hujan, lalu tumbuh pokok-pokok, keluar buah dengannya!
Allah yang beri nikmat & rezeki, kita ambil nikmat-Nya kemudian nak lawan Allah, nak degil & keras kepala terhadap Allah?
Maka kita orang beriman kena sedar betapa kita semua ini berada di bawah rahmat Allah SWT jangan mudah lari dari tajuk.
- Ayat 58- {Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.}-
Allah bahagaikan tanah atau bumi itu kepada dua jenis, yang subur yang baik serta yang tidak baik, yang gersang tandus tidak mudah tumbuh pokok padanya walaupun dicurahkan air yang banyak!
Ulama’ tadabbur kata : Begitulah hati manusia:
i- Ada hati yang lembut, mudah terkesan dengan al-Quran.
Sekali baca al-Quran gementar hatinya lalu dia beriman & beramal kepada Allah.
Kita telah nyatakan terdapat beberapa ayat al-Quran yang menjadi tangisan bagi orang soleh.
Ini kerana mereka faham & tadabbur makna-maknanya! Orang jahil tidak dengar al-Quran tanpa faham & tahu maknanya!
ii- Ada hati yang keras degil, tidak endah walaupun berkali-kali diberi nasihat, amaran & peringatan.
Ya Allah jadikan kami hati yang baik, yang menerima hidayah, menerima al-Quran & Sunnah serta beramal dengannya bukan hati yang degil keras!
- Ayat 58- {… Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.}
Allah kata Dia telah pelbagaikan ayat-ayat yang menjadi tanda keagungan & kekuasaan Allah kepada manusia.
Agar manusia mudah sedar & insaf, apabila kita tengok haiwan kita sedar & nampak keagungan Allah, kita tengok pokok, bukit, awan & langit, hujan dan cahaya matahari, semuanya mengembalikan, mengingatkan kita akan kekuasaan & kebesaran Allah SWT bukan hanya sekadar healing dan selfie.
Kita akan rugi besar apabila Allah beri banyak tanda-tanda & ayat-Nya tetapi kita tidak bersyukur iaitu tidak ambil peluang untuk tadabbur dan menghayatinya!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.