Kisah Nabi Lut AS Berhadapan Kaumnya Bermain Sama Jantan, Amaran Dari Kaumnya & Mereka Dibinasakan.
Full video : https://youtu.be/P_CQXKYKMN0?si=vz6cywS7LoUUeyGa
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 80 sehingga 84 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Lut AS berhadapan kaumnya yang bermain sama jantan, satu perbuatan keji & maksiat yang tidak pernah dibuat manusia sebelum itu.
Haiwan pun kenal yang mana jantan yang mana betina!
- Kemudian Nabi Lut menasihat & memberi amaran kepada mereka, dan dia juga menerima amaran dari kaumnya, jika dia tidak membiarkan mereka, masih terus sibuk menasihati mereka; mereka akan mengusir dan menghalaunya keluar dari kampung mereka itu.
Nama kampung mereka ialah Qura Sadum (Sodom), satu tempat antara sempadan Jordan & Palestine.
- Lalu mereka dibinasakan oleh Allah dengan satu azab yang amat dahsyat, berbeza azabnya dengan tiga kaum sebelum ini.
Terdapat kisah mereka yang panjang dalam surah-surah yang lain.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Soleh AS dan kaumnya Thamud yang akhirnya dibinasakan akibat derhaka & ingkar.
ii- Datang ayat ini masih mahu menenangkan hati Rasulullah SAW dengan diceritakan kisah rasul-rasul terdahulu dan kaumnya yang menentang.
Iaitu tentang kisah Nabi Lut yang diutuskan kepada satu kaum yang bukan dari kaum kerabat atau kabilahnya.
- Hakikatnya para rasul & nabi ini terbahagi kepada dua kumpulan.
Ada rasul tempatan yang diutus kepada anak beranak mereka { أَخَاهُمْ} dan ada rasul dari luar kawasan seperti nabi Nuh & Lut.
Sama seperti kita hari ini sama ada pendakwah tempatan atau yang dibawa datang, cabaran tetap sama.
- Tetapi sama sahaja; mereka semuanya menghadapi tentangan dari kaum yang mereka diutuskan kepadanya tak kira sama ada anak beranak atau bukan keluarga!
Cabaran ada di mana saja asalkan kita membawa yang benar, nak menegakkan Syari’ah Allah, nak mengajar al-Quran & Sunnah; kita akan ditentang sama ada oleh anak-beranak sendiri atau orang luar.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 80- {DAN NABI LUT JUGA (KAMI UTUSKAN). INGATLAH KETIKA IA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “PATUTKAH KAMU MELAKUKAN PERBUATAN YANG KEJI, YANG TIDAK PERNAH DILAKUKAN OLEH SEORANG PUN DARI PENDUDUK ALAM INI SEBELUM KAMU?} (AL-A’RAF 7:80)
- Nabi Lut AS diutuskan kepada suatu kaum di suatu tempat yang bernama Sadum.
Nabi Lut ini bukan saudara atau satu kaum dengan mereka ini.
Nabi Lut boleh dikatakan seorang pendatang atau pendakwah dari luar, dia datang dari Babylon bersama Nabi Ibrahim AS dulu.
- Nabi Lut menasihati kaumnya itu yang telah melakukan satu perbuatan keji, perbuatan mungkar yang tidak pernah dibuat oleh manusia atas dunia ini sebelum mereka!
Mereka adalah kumpulan LGBT pertama yang muncul dalam dunia ini.
Mereka telah buat satu bid’ah sayyi’ah qabihah, perbuatan yang amat buruk & keji dalam kehidupan masyarakat!
- Perbuatan yang sangat keji & buruk bagi manusia; yang dari kalangan haiwan pun mungkin tidak pernah ada perbuatan begini!
Jika ada sekalipun padan & sesuai dengan jenis mereka sebagai haiwan!
- Contoh langgar fitrah yang senang ialah; manusia biasa makan nasi atau roti; tetapi mereka ini makan pasir atau batu!
AYAT 81- {“SESUNGGUHNYA KAMU MENDATANGI LELAKI UNTUK MEMUASKAN NAFSU SYAHWAT KAMU DENGAN MENINGGALKAN PEREMPUAN, BAHKAN KAMU INI ADALAH KAUM YANG MELAMPAUI BATAS”.} (AL-A’RAF 7:81)
- Perbuatan buruk & keji mereka itu ialah mendatangi lelaki untuk memuaskan syahwat mereka dengan meninggalkan perempuan.
Iaitu perbuatan homoseksual, melakukan hubungan seks sesama lelaki dan mereka tidak bernafsu terhadap perempuan.
- Allah mengatakan mereka adalah kaum yang melampaui batas, yang melanggar hukum & ketetapan yang telah Allah jadikan.
Fitrah manusia ialah perkahwinan antara lelaki & perempuan lalu mendapat zuriat.
Tetapi mereka melanggar fitrah ini dan berada dalam kesongsangan!
Sekarang ini banyak negara telah mengiktiraf perkahwinan sesama jenis ini, Allahu al-Musta’an!
- Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,
“Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”} (Asy-Syu’ara’ 26: 165-166)
- Dunia hari ini juga mula menerima & mengiktiraf golongan perbuatan keji ini atau sekarang dinamakan golongan LGBT- lesbian, gay, biseksual, dan transgender.
Bukan hanya sesama lelaki (gay), tetapi juga sesama perempuan (lesbian), atau seks dua-dua sekali (biseksual), juga makhluk yang tukar jantina (transgender) diiktiraf.
Bahkan perkahwinan sesama mereka juga telah diiktiraf dikebanyakan negara!
La haula wala quwwata illa billah!
Dunia sudah nak Kiamat!
- Kita berdoa kepada Allah supaya melindungi kita semua, para bapa & suami jagalah perempuan kamu jangan jadi dayus dan lemah dalam agama.
للهم إنا نعوذ بك من الفواحش والفتن ما ظهر منها وما بطن!
{…bahkan kamu ini adalah kaum yang melaumpaui batas“.}
- Di akhir ayat Allah kata mereka adalah kaum yang melampaui batas kerana melanggar perintah Allah!
Melampaui kerana Allah telah sediakan tempat khas yang baik tetapi mereka cari yang buruk & keji.
- Tentang kaum Lut ini Allah sebut sifat mereka dalam al-Quran dengan beberapa sifat yang buruk:
i- {…Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas“.
{ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُونَ} (Al-A’raf 7:81)
ii- {… Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”} {بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ} (Asy-Syu’ara’ 26: 166).
iii- {… Bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya).} {بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ تَجْهَلُونَ} (An-Naml 27:55)
AYAT 82- {DAN TIDAK ADA JAWAB DARI KAUMNYA SELAIN DARIPADA BERKATA: “USIRLAH MEREKA (NABI LUT DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA YANG TAAT) DARI BANDAR KAMU INI, SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG (MENDAKWA) MENSUCIKAN DIRI”.} (AL-A’RAF 7:82)
- Bodoh tak bodoh; mereka menjawab teguran Nabi Nuh itu dengan penuh kemarahan dan angkuh!
Mereka melawannya dengan mengancam untuk mengusirnya keluar dari kampung mereka itu!
- Munasabah Ayat:
i- Apabila Nabi Nuh ingkar, bantah dan larang perbuatan mereka itu, mereka berasa terganggu dan serabut dengannya.
ii- Lalu mereka membuat komplot dan perancangan jahat untuk menghalau keluar Nabi Nuh & pengikutnya dari bandar mereka itu.
- Mereka menghina dan mengutuk Nabi Nuh dan pegikutnya dengan menamakan mereka sebagai satu golongan yang mendakwa diri mereka suci! Yang mengganggu dan sibuk akan hal mereka.
- Hari ini juga ada yang berkata begini terhadap golongan agama atau pendakwah yang melarang orang buat maksiat, merokok dan lain-lain. Mereka digelar juga sebagai puak suci atau puak lebai!
- Menjadi fenomena di negara kita suatu masa dulu, golongan bridal ini dimonopoli oleh kaum lelaki, AAM عف الله عنه yang baru kembali dari Madiah ketika itu; bersungguh menegur dan menasihati masyarakat dalam kuliah, ceramah & khutbahnya.
- Teguran & bantahan ini kerana:
i- Tidak ada masalah jika hanya bahagian pemasangan pelamin, hiasan majlis catering atau buat baju pengantin sekalipun!
ii- Yang jadi masalah dan mungkarnya apabila lelaki ini juga yang mekap pengantin perempuan, pakaikan baju & tudung, bergelewak (berkeliaran atau menyibuk) sekali dalam bilik pengantin.
iii- Hakikatnya sebelum disentuh oleh si suami, anak perempuan kita, telah disentuh, diusik disapu-sapu oleh lelaki atas nama juru mekap, mak andam, atau apa sekalipun, mereka tetap lelaki yang ajnabi yang haram walaupun nampak lembut, apatah lelaki tulen yang ada anak bini!!
Fenomena ini reda sekitar tetapi malangnya ia muncul kembali dengan rancaknya hari ini ini dengan gelaran MUA (make-up artist) pula.
Allah tahu kita sudah cuba jalankan tanggungjawab, jika manusia masih tak mahu berubah kita serahkan urusannya kepada Allah.
- Inilah yang dikatakan talbis iblis, syaitan menghiasi satu perbuatan buruk itu agar nampak biasa & tidak salah, dengan alasan pakai sarung tangan, tiada nafsu, mekap lelaki lebih cantik dan seumpamanya!
AYAT 83- {MAKA KAMI SELAMATKAN DIA DAN KELUARGANYA (SERTA PENGIKUT-PENGIKUTNYA) MELAINKAN ISTERINYA, ADALAH IA DARI ORANG-ORANG YANG DIBINASAKAN.} (AL-A’RAF 7:83)
- Lalu Allah menetapkan untuk menurunkan azab ke atas penduduk kampung itu dan menyelamatkan Nabi, keluarga & pengikutnya yang beriman.
- Firman Allah SWT juga:
{(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
(Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).} (Az-Zariyat 51: 35-36)
Asy-Syanqiti kata : yang beriman hanyalah ahli keluarga di rumahnya.
- Yakni amat sedikit mereka yang beriman kepada Nabi Nuh, selain keluarganya sendiri dan beberapa orang pengikut.
Tetapi dari ahli keluarganya pun ada yang tidak beriman iaitu isterinya sendiri!
Inilah yang kita bimbangkan musuh dalam selimut!
- Firman Allah SWT tentang ini amat jelas :
{Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.}
(At-Tahrim 66:10)
- Ulama’ tafsir kata : Khianat di sini ialah dari sudut aqidah, tetapi dari sudut melakukan perbuatan fahisyah itu tidak.
Allah tidak akan pilih seseorang untuk menjadi seorang isteri nabi, perempuan yang melakukan perbuatan keji!
Apabila tentangan terhadap nabi Lut bertambah sengit; Allah pun tetapkan untuk membinasakan penduduk Sadum ini.
Lalu diutuskan tiga orang malaikat untuk menjalankan tugas itu.
Dalam perjalanan ke Sadum (Jordan hari ini) mereka singgah di rumah Nabi Ibrahim AS di Palestin, menjadi tetamunya & menyampaikan kepada Ibrahim tentang tujuan mereka.
- Mereka juga meyakinkan Nabi Ibrahim bahawa Nabi Lut, ahli keluarganya dan mereka yang beriman dengannya akan selamat kecuali isterinya yang tidak beriman & menjadi tali barut kepada mereka.
- Lalu malaikat menyuruh Nabi Lut dan mereka yang beriman keluar dari bandar itu segera sebelum subuh kerana Allah akan menurunkan azab bencana-Nya ke atas bandar itu!
AYAT 84- {DAN KAMI TELAH MENGHUJANI MEREKA DENGAN HUJAN (BATU YANG MEMBINASAKAN). OLEH ITU, LIHATLAH, BAGAIMANA AKIBAT ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN.} (AL-A’RAF 7:84)
- Lalu azab pertama yang Allah turunkan ke atas mereka ialah hujan batu yang membinasakan.
Ini kerana perancangan mereka yang mahu menyakiti & menghalau Nabi Lut keluar dari kampung mereka.
- Azab kedua ialah diterbalikkan bumi tempat duduk mereka, Qura Sadum itu.
Menjadi Laut Mati sekarang di persisiran Palestin & Jordan.
Ini sesuai dengan perbuatan mereka yang terbalik atau songsang itu.
Begitulah biasanya balasan itu mengikut jenis amal & perbuatan hajat mereka!
(الجزاء من جنس العمل).
- Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT yang menceritakan jenis beberapa azab yang dijatuhkan ke atas penduduk Sadum ini:
{Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.} (Hud 11:82) |
- Sekarang tempat azab dibalik bumi ini dinamakan Laut Mati dan menjadi tempat pelancongan pula!
Kita orang beriman jangan ikut perbuatan orang kafir ini, pergi boleh tetapi bukan untuk healing dan bersuka-suka tetapi untuk ambil iktibar & pengajaran di tempat orang kena azab itu!
- Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA katanya:
لَمَّا مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِالْحِجْرِ قَالَ “ لاَ تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ، أَنْ يُصِيبَكُمْ مَا أَصَابَهُمْ إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ ”.
ثُمَّ قَنَّعَ رَأْسَهُ وَأَسْرَعَ السَّيْرَ حَتَّى أَجَازَ الْوَادِيَ.
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW lalu di kawasan al-Hijr (Mada’in Soleh), Baginda bersabda: “Janganlah kamu masuk ke kawasan orang-orang yang mezalimi dirinya sendiri, kerana sesungguhnya dibimbangi kalian akan ditimpa musibah seperti mana musibah yang menimpa mereka, melainkan kalian masuk dalam keadaan bersedih”. Lalu Baginda menutup kepalanya dan cepat berlalu pergi sehingga menyeberangi wadi tersebut.” [HR al-Bukhari (4419)].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 80- {Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji,….}-
Kita boleh lihat dan buat perbandingan dengan kisah nabi-nabi sebelumnya, Nabi Lut ini Allah tidak kata dia diutuskan kepada saudaranya { أَخَاهُمْ} bahkan hanya kepada kaumnya, penduduk Qura Sadum.
Kaum Nabi Lut ini juga tidak disebut namanya kerana mereka tidak ada nama khas yang dikenali, hanya dipangil sebagai kaum Nabi Lut.
Sama seperti kaum nabi Nuh AS tidak tahu kabilah apa.
Bukan seperti kaum Ad & Thamud ada nama khas mereka yang Allah sebut jelas dalam al-Quran.
Siapakah Nabi Lut ini:
Nabi Lut adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS iaitu melalui ayahnya yang bernama Haran bin Terah.
Dia ikut Nabi Ibrahim berhijrah dari Babylon ke Palestin kemudian diutus ke Sadum.
Beliau adalah anak saudara Ibrahim sebagaimana dalam firman Allah ini:
{فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ}
Maksudnya: {Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.} [al-Ankabut: 26].
Kisah Nabi Lut ada banyak kali disebut dalam al-Quran, ada pendek ada panjang.
Penduduk kampung (Qura) Sadum ini selain melakukan perbuatan keji LGBT ini, mereka juga mengancam untuk menyakiti dengan serang rumah Nabi Lut dan halaunya keluar dari kampung mereka!
Lalu Allah menurunkan azab sesuai dengan perbuatan jahat mereka itu!
Menurut kitab Sejarah terdapat lebih kurang 1000 orang kaum LBGT di Qura Sadum ini.
Semua mereka ini musnah dibinasakan keseluruhannya, tetapi mereka muncul balik sekarang ini!!!
Sebelum itu Nabi Lut dan pengikutnya yang beriman diperintahkan untuk keluar segera sebagaimana firman Allah SWT ini:
{(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”
Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.} (Hud 11: 81-82)
- Ayat 81- {“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.}-
Mereka ini buat satu perbuatan keji yang tidak pernah dibuat oleh manusia lain.
Kerana Allah telah sediakan tempat yang baik & elok tetapi mereka buat & cari yang buruk & keji {ٱلْفَـٰحِشَةَ}.
Atas dunia ini perbuatan maksiat ada dua iaitu perbuatan mungkar & keji.
i- Mungkar (منكر) ialah kejahatan seperti mencuri pukul, bunuh orang dan seumpamanya.
ii- Manakala perbuatan keji ialah jenayah yang terlibat dengan maruah & peribadi manusia seperti perbuatan zina, liwat dan seumpamanya.
Kerana itu ulama’ kata : Hukum sodomi ini sama seperti hukuman zina juga.
- Ayat 81- {… bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.}-
Perbuatan keji liwat & LGBT ini adalah satu perbuatan yang melampuai batas, melanggar fitrah, tabiat semulajadi manusia yang Allah cipta!
Allah haramkan liwat ini kerana kemudharatannya banyak sekali:
i- Mudharatnya kena kepada pelaku dan mangsanya sekali seperti kena penyakit kelamin HIV, AIDS dan lain-lain.
ii- Merosakkan fitrah manusia & menghilangkan zuriat.
Jika semua jadi LGBT maka akan terputuslah keturunan manusia kerana tidak disalurkan pada tempatnya.
Untuk pemahaman lanjut & jelas boleh baca buku ini:
Keindahan Islam.
https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
iii- Mereka menggunakan syahwat kehaiwanan ini kepada tempat yang tidak betul & sepatutnya.
Nafsu manusia sama seperti haiwan tetapi kena salurkan pada tempat yang sepatutnya!
- Ayat 82- {Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”.}-
Puak Sadum ini marah kepada Nabi Lut dan mereka beri amaran untuk halau keluarnya dari kampung itu.
Mereka berani kata begitu kerana Nabi Lut bukan penduduk asal kampung mereka!
Mereka tidak tahu Nabi Lut ada Tuhan, ada Allah yang menjaganya.
Mereka juga menggelarkannya sebagai orang yang acah suci atau berasa dirinya suci!
Maka kerana kamu orang suci, tak boleh duduk di sini, sila keluar.
- Ayat 83- {Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.}-
Seperti biasa semua nabi & rasul duduk di bawah jagaan Allah SWT.
Maka Allah selamatkan Nabi Nuh & mereka yang beriman dan dijatuhkan hukuman hujan batu & terbalik bumi ke atas mereka yang ingkar dan kufur.
Apa sebab azab & hukuman yang pelik ini:
i- Hujan batu kerana mulut celupar mereka, mereka nak halau keluar Nabi Nuh dan menggelarnya sebagai orang yang berasa suci.
ii- Terbalik bumi, kerana perbuatan mereka yang terbalik & diluar tabi’i itu.
Seks sejenis yang songsang dan melanggar ketetapan Allah.
Maka sesuailah hukumannya dibalikkan bumi ke atas mereka!
Ya Allah ya Tuhan kami dengan nama-Mu yang indah & sifat-Mu yang Maha Tinggi; bersihkanlah keturunan kami, zuriat kami dan semua orang beriman daripada terjebak dengan perbuatan mungkar, keji & maksiat serta segala perkara yang tidak baik!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.