AZAB DATANG WAKTU MALAM DAN SIANG, KAFIR MENGAKU BERSALAH & SEMUA AKAN DITANYA KELAK.
Full video : https://youtu.be/JxYSphFZiIM?si=IRxkE7aYJhd6RRgu
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 4 sehingga ayat 7 dalam juzu’ kelapan.
Kita berjalan slow-slow 3-4 ayat sepagi, lebih baik daripada tidak bergerak lansung. YANG penting kita sentiasa bersama al-Quran- baca, tadabbur & amalkan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan berapa banyak negeri-negeri yang derhaka kepada Allah, mereka telah dibinasakan dengan azab datang sama ada pada waktu malam dan siang, dengan perlbagai cara jenis azab yang tidak sama.
- Puak kafir ini apabila kena bala baru nak insaf & mengaku bersalah tetapi tiada gunanya taubat, penyesalan dan keimanan pada waktu itu.
Taubat sudah tamat yang ada hanya jurang ke neraka!
Wal ‘iyazu billah.
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa semua kita akan ditanya di Akhirat kelak.
Hatta para rasul akan ditanya apakah mereka telah menjalankan tugas & tanggung-jawabnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk memberi amaran & peringatan.
Serta kita semua wajib terima & ikut apa yang rasul ajar & bawa itu.
ii- Maka datang ayat ini Allah beri amaran keras, jika kamu tak ikut, lihatlah betapa banyak negeri yang penduduknya Allah telah binasakan ahlinya kerana mereka derhaka kepada Allah & mendustakan rasul-Nya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 4- {DAN BERAPA BANYAK NEGERI YANG KAMI BINASAKAN, IAITU DATANG AZAB SEKSA KAMI MENIMPA PENDUDUKNYA PADA MALAM HARI, ATAU KETIKA MEREKA BEREHAT PADA TENGAH HARI.} (AL-A’RAF 7:4)
- Allah nyatakan betapa banyak azab Allah datang menimpa penduduknya ketika mereka tidur pada malam hari atau ketika mereka berehat pada siang hari.
Yakni bala itu boleh datang pada bila-bila masa saja, siang atau malam!
- Bala itu Allah datangkan akibat penderhakaan mereka kepada Allah, keingkaran mereka terhadap para rasul serta syirik menyembah selain dari Allah.
- Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah yang lain:
i- {Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.} (Al-An’am 6:10)
ii- {Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).} (Al-Hajj 22:45)
iii- {Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam kehidupannya (yang serba mewah dan senang lenang). Maka itulah dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka.} (Al-Qasas 28:58)
iv- {Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.} (Muhammad 47:10)
- Azab untuk umat terdahulu ini adalah satu jenis azab pembinasaan keseluruhan (استئصال)- satu kampung satu negeri binasa.
Untuk umat Nabi Muhammad SAW ini tidak berlaku begitu, Allah ringankan sedikit, hanya ambil satu juzuk atau sebahagian sahaja.
- Kita lihat apa yang berlaku terkini di Los Angeles USA, betapa azab Allah itu boleh datang dalam sekelip mata, satu malam meranap dan memusnahkan apa yang kukuh terbina berpuluh tahun.
Dikatakan api extreme yang tidak dapat dipadamkan dengan apa alat canggih yang ada.
Jangan gembira tetapi kita ambil iktibar pengajaran kerana kita juga boleh terkenanya jika Allah murka.
- Netizen juga sehari dua ini membandingkam peta kemusnahan yang berlaku di Gazzah dan LA – lebih kurang sama.
Kemudian berita terkini juga pihak Israil bersetuju untuk melakukan gencatan senjata buat seketika, alhamdulillah.
Tetapi kita kena ingat itu janji yahudi, Allahu al-Musta’an!
- Allah kata azab kami datang membinasakan secara total satu negeri atau kaum ketika mereka sedang tidur.
Ayat ini ketika turunnya, memberi amaran kepada Quraisy di Makkah, kamu jangan main-main dan sombong, umat terdahulu telah ramai yang binasa, maka apa peliknya kamu wahai kaum Quraisy!
Umat Nabi Muhammad tidak akan binasa secara total hanya sejuzuk-juzuk.
- Bala Allah itu mungkin datang untuk menghukum penduduknya yang zalim menderhaka kepada Allah, untuk memberi peringatan kepada mereka yang lali atau tanpa sebab itu, penduduk baik-baik tetapi kerana Allah nak beri pahala & angkat darjat mereka! Nak tengok mereka sabar atau tidak dengan ujian itu serta apakah orang lain prihatin & datang membantu.
- Ayat ini ditasirkan lebih detail dengan firman Allah ini:
{Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?} (Al-A’raf 7: 97-98)
AYAT 5- {MAKA TIDAK ADA YANG MEREKA KATAKAN KETIKA DATANGNYA AZAB KAMI KEPADA MEREKA, MELAINKAN MEREKA (MENGAKUI DENGAN) BERKATA: “SEBENARNYA KAMI ADALAH ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-A’RAF 7:5)
- Lalu penduduk negeri yang binasa itu apabila datang azab, barulah mereka mengakui kesalahan & kezaliman mereka, tetapi malangnya ketika itu mereka tidak dapat lagi menepis & menghalang azab Allah yang datang!
- Kita lihat saja keadaan di tempat kita yang ditimpa bencana seperti banjir, betapa bala itu datang dengan cepat dan sekelip mata.
Tak sempat untuk buat persiapan dan menyelamat harta atau melarikan diri.
- Kafir itu apabila datang bala baru mengaku berdosa.
Kita juga jangan jadi begitu kerana apabila Allah hantar bala & azab tiada guna lagi pengakuan, penyesalan & keinsafan.
- Iaitu jangan sampai datang bala baru nak mengaku salah & bertaubat, selalulah kita amalkan zikir yang dibaca oleh Nabi Yunus AS ini:
لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: {Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah!) Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.} [Al-Anbiya’: 87].
Nabi Yunus selamat dari dikunyah oleh ikan & dikembalikan ke pantai.
AYAT 6- {MAKA SESUNGGUHNYA KAMI (ALLAH) AKAN MENYOAL UMAT-UMAT YANG TELAH DIUTUSKAN (RASUL-RASUL) KEPADA MEREKA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENYOAL JUGA RASUL-RASUL ITU.} (AL-A’RAF 7:6)
- Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa:
i- Para umat terdahulu akan ditanya apakah rasul-rasul mereka telah menyampaikan ajaran dakwah dari Allah kepada mereka?
Ada umat yang keras kepala menafikannya.
ii- Maka para rasul itu juga akan ditanya apakah mereka telah menyampaikan dakwah & menjalankan tanggungjawab yang diberi Allah.
Zaman dulu bukan ada medsos untuk rekod dan pamerkan segala perbuatan seperti zaman kita hari ini.
Jangan kita turut hanyut dalam arus gejala medsos ini, yang penting apa yang kita buat biarlah ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana orang tengok.
Yang menjadi kebimbangan kita hari ini ini ialah manusia sanggup tunggang agama dan apa saja untuk dapat duit.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan supaya rasul menyampaikan & umat menerimanya.
Jika kamu tak dengar juga, kamu lihat betapa banyak sudah umat terdahulu yang dibinasakan!
ii- Maka dengan ayat ini datang lagi satu amaran, bahawa kamu, rasul kamu, ustaz kamu pun akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT apa yang kamu buat atas dunia dulu!
- Kerana itu Rasulullah SAW telah bersabda bahawa sesiapa kena tanya oleh malaikat di dalam kubur itu sudah dikira satu azab!
Berdoalah banyak-banyak semoga Allah hisab kita dengan hisab yang mudah! اللهم حاسبني حسابا يسيرا.
Ada orang kata dia nak minta doa tanpa hisab, boleh juga tetapi ia ada kriterianya yang khas, kena tinggi tawakkal dan lain-lain SOP.
- Inilah yang kita takut, kita ini jika tak kena soal kita rasa kita betul- tetapi apabila kena soal mulalah kita gelabah.
Sama seperti kita lalu di pemeriksaan kastam di airport atau di mana saja, amat berdebar dan runsing jika kena tanya, soal selidik walaupun kita tak buat apa-apa kesalahan.
Pada suatu masa dulu sebelum ada alat untuk scan beg, kita kena buka tunjuk isinya, rumit sekali jika ada bawa budu-kicap?!
Fakta : DAAM tak makan budu walaupun orang Kelantan kerana ada sejarah yang membuatkannya fobia dengan budu ini
- Allah mengatakan Dia akan menyoal semua umat terdahulu yang telah diutuskan para rasul kepada mereka.
Soalan kepada mereka ini bukan kerana Allah tak tahu atau nak tahu, Allah sudah tahu semuanya tetapi ini adalah soalan mencela, soalan murka dan ia adalah satu bentuk azab juga!
- Firman Allah SWT tentang ini juga:
{Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: “Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?} (Al-Qasas 28:65)
- Hadis – bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ”
“Tidak berganjak kedua-dua kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, untuk apa dihabiskan; tentang ilmunya, bagaimana dia mengamalkannya; tentang hartanya, dari mana dia peroleh dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuhnya, untuk apa ia gunakan.” [HR at-Tirmizi].
Apakah semua nikmat yang Allah berikan itu mereka guna untuk mencari kebaikan di Akhirat?
- Kemudian Allah akan bertanya juga kepada para rasul yang diutuskan apakah mereka telah menjalankan tugas & tanggungjawab mereka.
AYAT 7- {KEMUDIAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN CERITAKAN KEPADA MEREKA (RASUL-RASUL DAN UMAT-UMATNYA), DENGAN (BERDASARKAN) PENGETAHUAN (YANG MELIPUTI AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN), DAN SEMEMANGNYA KAMI TIDAK SEKALI-KALI GHAIB (BAHKAN SENTIASA MENDENGAR, MELIHAT DAN MENGETAHUI AKAN HAL EHWAL MEREKA).} (AL-A’RAF 7:7)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah kata Dia akan tanya.
Jika tak jawab apakah selamat?
ii- Dalam ayat ini pula Allah kata Dia akan menceritakan kepada kita dengan detail & terperinci segala perbuatan & kelakuan kita dulu.
- Allah akan mendedahkan kepada kita satu-persatu dengan terperinci semua perbuatan, perkataan dan amalan kita.
Tiada yang terlepas dari ilmu & hukum Allah.
Maka jangan kita berani-berani lawan Allah nanti kamu akan dibinasakan!
- Firman Allah SWT juga:
{Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.} (Al-An’am 6:59)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 4- {Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.}-
Allah kata betapa banyak sudah dibinasakan negeri ketika penduduknya sedangkan berehat sama ada pada waktu siang atau malam.
Kata ulama’ tadabbur : Bagi orang yang berakal jangan rasa tenang & aman akan azab Allah, kerana bala itu boleh datang pada bila-bila masa, di mana tempat saja dengan kehendak Allah!
Maka kita orang beriman kena sentiasa jaga diri jangan terjebak dengan mungkar & maksiat kerana bala Allah boleh datang bila-bila masa.
Kerana itu Rasulullah SAW ajar kita untuk baca doa & mengucap sebut nama Allah sebelum tidur kerana tidur itu adalah mati kecil, kita tidak tahu akan bangun semula atau tidak.
Fenomena sekarang, pesakit yang ditidurkan, betapa ramai yang terus tidur tidak bangun kembali (yakni mati).
Kerana itu para doktor yang beragama Islam hendaklah ajar kepada pesakit ini untuk buat persiapan semampunya, istighfar, taubat dan mengucap kalimah syahadah sebelum ditidurkan.
Allahu al-Musta’an.
- Ayat 4- {Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya…}-
Allah kata betapa banyak negeri telah dibinasakan kemudian datang azab menimpa mereka.
Kenapa dalam ayat ini Allah sebut binasa dulu baru datang azab?
Sedangkan jika ikut tertib datang bala dulu baru binasa?
Jawapan:
Kata ulama’ : Maksudnya {أَهْلَكْنَـٰهَا} itu:
i- Belum binasa lagi tetapi dihukum maka didatangkan azab kepada mereka.
Apabila Allah telah putuskan satu kaum itu untuk dibinasakan maka didatangkan bala ke atas mereka.
ii- Atau {أَهْلَكْنَـٰهَا} dengan makna bila Allah mahu binasakan satu kampung maka datanglah bala.
Sebagaimana dalam firman Allah ini:
{Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu,….} (Al-Ma’idah 5:6)
Ianya bermaksud apabila kamu berniat mahu solat atau bangun untuk nak tunaikan solat maka berwudhu’lah.
Bukan kata solat dulu baru nak berwudhu’.
Inilah bahasa al-Quran yang cukup indah dan penuh dengan erti yang membawa makna, setiap susunan tertib & patah perkataannya ada tujuan, bukan saja-saja atau sia-sia.
- Ayat 6- {Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka,…}-
Allah kata Kami akan tanya kepada semua orang yang pernah diutuskan kepada mereka.
Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan bahawa semua orang akan ditanya pada hari Kiamat kelak.
Apa yang kamu buat atas dunia ini dulu apa yang kamu dapat.
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak),} (Al-Hijr 15:92)
Persoalan:
Tetapi kenapa dia seolah kontra dengan firman Allah ini yang mengatakan Allah tak tanya lagi tentang dosa:
i- {Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);} (Ar-Rahman 55:39)
ii- {Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).} (Al-Qasas 28:78)
Jawapan:
A- Jawapan pertama:
Kata ahli tafsir : Jenis soalan itu ada dua jenis:
i- Untuk mencela, mencerca seperti guna perkataan {لِمَا}- kenapa kamu buat begini?
Tidak perlu jawapan kerana bukan Allah tak tahu.
ii- Jika soalan nak tahu, yang perlukan jawapan kerana tak tahu, biasanya digunakan perkataan ini {هل}- apakah, adakah.
Maka dalam ayat ini Allah nyatakan semua sekali manusia akan ditanya- manakala yang tidak ditanya itu kemungkinan sudah dijatuhkan hukuman- telah diputuskan mereka untuk dicampakkan ke dalam neraka!
B- Jawapan kedua, proses penghakiman pada hari Kiamat itu lama prosesnya, ada waktu diam tidak ditanya, ada waktu mereka akan di soal ditanya, maka ayat-ayat al-Quran itu tidak bercanggah sama sekali!
- Ayat 6- {… dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.}-
Allah kata Kami akan tanya para rasul.
Persoalan lagi:
Apa faedah ditanya para rasul itu seolah tidak percayakan mereka pula.
Jawapan:
i- Allah tanya itu untuk memuliakan para rasul itu di khalayak ramai, serta mensabitkan bahawa mereka telah jalankan tanggungjawabnya, selesai tugas mereka.
ii- Untuk menghina puak yang ingkar degil keras kepala dulu, kerana rasul sudah datang membawa ajaran tetapi mereka tetap menentang!
Jadi soalan itu bukan kerana tak percaya atau nak pertikai tetapi nak mengangkat darjat para rasul itu yang telah amanah menjalankan tugas serta nak menghina puak yang menentang rasul & menolaknya.
Maka kamu jangan salahkan orang tapi salahkan diri sendiri!
Allah tanya rasul supaya rasul jawab sendiri di depan semua orang mereka telah jalankan tugas manakala mereka itu kafir itu tak dengar kata!
- Ayat7- {Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan),…}-
Allah kata Dia akan ceritakan, dedahkan semua dengan ilmu-Nya yang Maha luas & meliputi.
Allah akan kata di Akhirat kelak tiada siapa boleh nafi, tidak mengaku nak cari alasan kerana Allah akan detailkan segala maklumat dengan ilmu-Nya, serta bawa segala bukti & dalil bahawa kamu yang tak dengar kata.
Kata ulama’ tadabbur : Antara celaan yang besar ke atas seseorang itu ialah apabila dipegang kepalanya & ditanya, kenapa kamu buat begitu? Kenapa kamu buat begini, kenapa kamu tak buat begini????
Maka siapa nak selamat di Akhirat kelak, buatlah perkara yang baik, yang diredhai Allah, ikutlah Sunnah Nabi SAW.
Supaya apabila Allah bentangkan rekod kita di Akhirat kelak kita tidak akan kesipuan malu di khayalak ramai, Allahu al-Musta’an.
Sebagaimana kata ahli fikir : Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak, kitalah penulisnya!
Nak baca yang baik buatlah baik nak baca yang buruk maka silakan buat jahat!
Kita jangan buat yang buruk, buatlah yang terbaik, yang diredhai Allah & ikut ajaran Nabi SAW yang sahih.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita yang ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.