View Categories

(3) Surah Al-Buruj : Ayat 12-16

TINDAKAN BERAT KE ATAS KAFIR, ALLAH PENCIPTA SEMUA MAKHLUK & PEMILIK ARASY YANG AGUNG.

Full video : https://youtu.be/rO0SfK-theQ?si=HYy9mvS9rHwWNQbP

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tindakan berat {بَطْشَ} ke atas kafir, penderhaka; mereka yang menzalimi & mengkhianati umat Islam seperti ashabul-Ukhdud dan seumpamanya.
  1. Kemudian Allah SWT perkenalkan Zat-Nya yang mulia, Pencipta semua makhluk daripada tiada kepada ada.
  1. Juga Allah SWT pemilik Arasy yang agung & begitu hebat. Inilah Allah Tuhan Pencipat & Pemilik seluruh alam ini!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah SWT menyebut pada awal surah tentang golongan yang khianat kepada orang mukmin & mukminat; di mana keduanya telah menanggung azab dari kafir & bersabar lalu Allah SWT akan memberi sebaik balasan kepada keduanya!

    ii- Allah SWT menyebut janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman & beramal soleh.

    iii- Diikuti dengan janji buruk & celaka kepada puak kafir, lalu untuk menguatkan janji itu Allah SWT bawa ayat 12 ini Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.}
    Manakala untuk orang beriman janji itu dikuatkan dengan ayat 14 {Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.}.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 12- {SESUNGGUHNYA AZAB TUHANMU (TERHADAP ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR) AMATLAH BERAT.} (AL-BURUJ 85:12)

  1. Tindakan & azab Allah SWT terhadap orang-orang yang kufur ingkar, bukan main-main, bahkan ia sangat berat & dahsyat { لَشَدِيد}!
  1. Beberapa lagi firman Allah SWT yang menunjukkan betapa beratnya azab Allah SWT ini:
    i- {Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.} (Hud 11:102)
    Zalim paling besar ialah syirik kepada Allah SWT!

    ii- {Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksa-Nya.} (Al-Anfaal 8:52)
  1. Semua ayat-ayat ini untuk menakut & menggerunkan kita agar jangan terjebak dengan dosa maksiat & benda mungkar sama sekali!
  1. Atas dunia ini mungkin sudah ada bala bencana seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain, manakala di akhirat kelak sudah pasti azab neraka yang menakutkan!

AYAT 13- {SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MENCIPTAKAN (SEKALIAN MAKHLUK) PADA MULANYA, DAN YANG MENGEMBALIKANNYA (HIDUP SEMULA SESUDAH MATI).} (AL-BURUJ 85:13)

  1. Kata ulama’ tafsir : Ayat ini bermakna: Allah SWT yang Esa & yang Tunggal yang mencipta segala makhluk ini daripada tiada kepada ada, kemudian Allah SWT juga yang mengulang menghidupkan balik mereka setelah mereka rosak binasa! Yakni menjadi mayat yang hancur.
    Kecuali mereka yang dikehendaki Allah SWT. 
  1. Yakni Allah cipta manusia daripada tiada kepada ada, kemudian mati (tiada) kemudian hidup (ada) balik! Begitulah kehidupan manusia atas dunia ini silih berganti!

AYAT 14- {DAN DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA PENGASIH.} (AL-BURUJ 85:14)

  1. Allah SWT Maha Pengampun { ٱلْغَفُورُ} terhadap hamba-hamba-Nya yang bertaubat. Allah akan hilangkan segala dosa & juga kesan dosa itu apabila kita bertaubat & minta ampun dari Allah SWT!
  1. Allah SWT juga sayang {ٱلْوَدُودُ} kepada hamba-Nya yang bertaubat & yang soleh!
    Sebagaimana kata Nabi Syuaib AS kepada kaumnya dalam firman Allah SWT ini:
    {Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih”.} (Hud 11:90)
  1. Sebagaimana dalam sebuah Hadis Qudsi:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيْذَنَّهُ (رواه البخاري)
    Dari Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman: {Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (sunat- perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya; maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. (yakni semua pancainderanya akan melakkukan apa yang Allah suka & redha). Jika dia meminta kepadaku nescaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku nescaya akan Aku lindungi.“ [HR Bukhari].

    Yakni Allah SWT akan jadikannya sukakan perkara yang baik & soleh.
  1. Kata Syeikh Ibnu Rajab RHM maksud hadis ini ialah:
    i- Kita wajib berusaha bersungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan menjaga ibadat yang fardhu kemudian jaga yang sunat! 
    Nescaya Allah SWT akan dekatkan kita kepada-Nya & angkat darjatnya dari seorang yang beriman kepada darjat ihsan iaitu orang yang menjiwai, sentiasa berasa pengawasan Allah SWT!

    ii- Selepas seseorang mendapat sifat al-Muraqabah, penuh dalam hatinya cinta & membesarkan Allah, semua pancainderanya tidak buat perkara yang dimurkai & tidak disukai Allah SWT, bahkan akan sentiasa membuat perkara yang Allah sukai & redhai!

AYAT 15- {TUHAN YANG MEMPUNYAI ARASY YANG TINGGI KEMULIAANNYA,} (AL-BURUJ 85:15)

  1. Allah Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah SWT sifat-Nya yang berkait dengan makhluk, iaitu setakat mana makhluk itu cinta kepada Allah & melakukan perkara yang diredhai Allah; maka dia akan dapat pahala!

    ii- Dalam ayat ini pula Allah SWT sebut sifat-Nya yang mulia iaitu mempunyai Arasy yang agung & mulia, menunjukkan hanya Allah SWT yang layak disembah, yang berkuasa membalas & menghukum hamba-Nya.
    Yakni Allah SWT yang mempunyai sifat yang sempurna, yang banyak & luas.

AYAT 16- {YANG BERKUASA MELAKUKAN SEGALA YANG DIKEHENDAKINYA.} (AL-BURUJ 85:16)

  1. Allah SWT juga berkuasa & boleh buat apa saja yang dikehendaki-Nya! 
    Tiada siapa yang boleh sekat & halang-Nya di dalam alam ini kerana Dia yang berkuasa atas dunia ini!
  1. Sifat Allah melakukan apa yang dikehedaki-Nya { فَعَّالٌۭ} ini ialah: 
    i- Antara kehendak-Nya ialah mengampunkan hamba-Nya beriman!

    ii- Allah SWT juga sangat keras tindakan-Nya terhadap orang yang zalim & ingkar tak dengar kata!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.}-

    Kata ulama’ bahasa : Ayat ini adalah ayat baru topiknya, yang bercakap dengan Rasulullah SAW.
    Allah memberitahu Baginda SAW bahawa semua kafir yang menentang Baginda SAW akan berada di bawah tindakan Allah SWT, Pemilik alam ini, iaitu Tuhanmu { رَبِّكَ}! 
    Maka jika kamu dikhianati & ditentang, sabarlah, teruskan dakwah & lawan tetap lawan sehingga syahid, kamu akan dapat pahala yang besar. Jangan gopoh, tiba masanya Allah SWT akan ambil tindakan!
  1. Ayat 13- {Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).}–

    Ayat ini datang selepas ayat yang mengatakan bahawa tindakan Allah SWT maha berat! Yakni di akhirat kelak!
    Kemudian Allah SWT datang semula kepada keadaan manusia, Allah yang mencipta kamu, bagi rezeki kepada kamu tetapi kamu tetapi kafir & lawan! 
    Maka berapa ramai manusia yang sudah dimusnahkan Allah.
    Maka Allah SWT akan kembali hidupkan kamu untuk dihisab, dihitung, siapa yang lawan siapa yang zalim; semuanya akan dihitung di hadapan Allah SWT kelak!
  1. Ayat 15- {Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya,}-

    Ini adalah dua sifat Allah SWT yang amat besar.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini akan menggerakkan hati orang yang beriman kerana mereka bergantung kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah SWT kerana mereka tahu Allah itu bersifat Pengampun & penuh kasih sayang!
    Maka jangan putus harap & degil, apabila kita bersalah atau berdosa, kembalilah kepada Allah SWT, bertaubat & memohom keampunan kepada-Nya. 
    Ini kerana Allah SWT suka jika hamba-Nya bertaubat!

    Firman Allah SWT:
    {SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.} (Al-Baqarah 2:222)

    Allah SWT kembarkan dua sifat-Nya { ٱلْغَفُور} Pengampun & {ٱلْوَدُودُ} Penuh kasih sayang. 
    Ini kerana Allah SWT apabila seorang hamba-Nya bertaubat; Allah akan ampunkan, beri rahmat & sayang { ٱلْوَدُودُ} kepada-Nya! 
    Bila sudah diampunkan, Allah SWT tidak murka lagi, bahkan redha & sayang kepada hamba-Nya itu!

    Juga firman Allah SWT dalam ayat ini:
    {Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani {رَحِيمٌۭ}, lagi Maha Pengasih {وَدُودٌۭ}”.} (Hud 11:90)
    Kita manusia kena belajar dari sifat-sifat Allah SWT ini, apabila kita sudah memaafkan seorang yang pernah khianat kepada kita, jangan lagi marah, benci & dendam kepadanya!
    Kembalikan kemesraan & kasih sayang.

    Allah Azza wa Jalla ajar kepada kita; apabila Dia telah ampunkan seseorang itu, Dia sayang & tidak marah lagi, walaupun betapa besar dosanya sebelum itu!
  1. Ayat 16- {Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.}-

    Ayat ini menunjukkan kepada beberapa perkara yang sedang berlaku di bawah kehendak Allah SWT!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi dalil kepada beberapa isu yang besar:
    i- Allah SWT boleh melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya tiada siapa boleh sekat.

    ii- Allah boleh terus melakukan apa yang Dia nak, yakni berterusan.

    iii- Apabila Allah SWT nak buat sesuatu Dia boleh melakukannya bila masa saja.

    iv- Kehendak Allah SWT & perbuatan-Nya berjalan serentak, apabila Dia nak terus berlaku. Kun fayakun!

    v- Kita mengisbatkan kehendak Allah SWT mengikut keadaan. Semua di bawah kuasamya, bila Dia mahu dia akan buat.
  1. Surah ini walaupun pendek tetapi merangkumi beberapa isu yang besar:

    i- Isu tauhid : Contohnya Allah SWT menyebut kemuliaan-Nya, kekuatan, keagungan, tiada bandingan & pujian terhadap-Nya yang menunjukkan kepada kesempurnaan Allah SWT. 

    ii- Serta sifat mahabbah kepada hamba yang beriman dan sifat murka-Nya terhadap orang yang derhaka!
    Kata ulama’ : Ini semua untuk menguatkan tauhid & menenangkan hati orang yang dianiayai & dizalimi. 
    Jika tidak mampu melawannya maka sabarlah, di akhirat kelak ada hari perhitungan & pembalasan yang penuh keadilan menanti!
    Kita minta Allah SWT maafkan kita, sejahterakan hidup kita di dunia & amankan kita di akhirat nanti! 
    Amin Ya Rabbal-alamin!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs