View Categories

(3) Surah Nuh : Ayat 13-20

NABI NUH AS MEMBANTAH KAUMNYA, MENYERU AGAR BERFIKIR TENTANG MAKHLUK & KEJADIAN DIRI MEREKA.

Full video : https://youtu.be/e0MqyI6wrxw?si=6WR5sUyI70-AfRKw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang bantahan Nabi Nuh AS kepada kaumnya yang ingkar & tidak mahu menerima dakwahnya. 
  1. Nabi Nuh menyeru kaumnya agar berfikir tentang makhluk, lihat kepada kejadian Allah SWT di sebelah atas seperti langit, bulan bintang & matahari dan makhluk lain di atas muka bumi ini.
  1. Kemudian Nabi Nuh AS mengungkit tentang kejadian diri mereka sendiri dari apa mereka dijadikan iaitu dari tanah, kemudian betapa mereka akan kembali kepada tanah selepas mati.
  1. Kemudian akan dibangkitkan keluar dari tanah (kubur mereka) untuk dihisab pula pada hari Kiamat nanti!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

AYAT 13- {“MENGAPA KAMU BERKEADAAN TIDAK MENGHARGAI KEBESARAN ALLAH (DAN KEKUASAANNYA),} (NUH 71:13)

  1. Allah SWT masih menceritakan tentang percakapan dan bantahan Nabi Nuh AS dengan kaumnya! 
  1. Nabi Nuh mencela dan membantah kaumnya kerana kekufuran mereka! 
    Apa sebabnya mereka tidak tengok kepada kebesaran dan keagungan Allah SWT lalu menghargai dan beriman kepada-Nya yang Esa.
  1. Kata Imam al-Mawardi RHM : Ayat 
    { مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًۭا}
    ini boleh ditafsirkan kepada 5 huraian:
    i- Kenapa kamu tidak mengenali keagungan Allah!

    ii- Kenapa kamu tidak takut kepada azab Allah & tidak mengharapkan pahala dari-Nya.

    iii- Kamu tidak menghargai Allah SWT & tidak mensyukuri nikmat-Nya.

    iv- Kamu tidak menunaikan ketaatan terhadap Allah SWT.

    v- Kamu tidak tetap pendirian mengesakan Allah SWT; bahawa Dia adalah Tuhan kamu yang berhak disembah dan dipuja & dipuji!
  1. Kata Ibnu al-Qayyim RHM pula : Ini semua kembali kepada makna yang satu sahaja iaitu: Puncanya mereka tidak mengenali Allah SWT maka mereka tidak beriman, menyebabkan mereka tidak mengagungkan Allah, tidak menyembahnya dan tidak menunaikan hak-Nya!

AYAT 14- {“PADAHAL SESUNGGUHNYA IA TELAH MENCIPTAKAN KAMU DENGAN KEJADIAN YANG BERPERINGKAT-PERINGKAT?} (NUH 71:14)

  1. Yakni Allah nyatakan bahawa manusia itu dijadikan secara berperingkat, bermula daripada pati yang berasal dari tanah.
  1. Iaitu berasal daripada pati makanan yang berasal daripada tanah, kemudian menjadi setitis air mani, sebuku darah, seketul daging, kemudian menjadi janin manusia yang terbentuk dan seterusnya sebagaimana ayat al-Quran ini:
  1. Firman Allah SWT secara terperinci tentang kejadian manusia ini:
    {Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua.
    Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).} (Ghaafir 40:67)

AYAT 15- {“TIDAKKAH KAMU MENGETAHUI DAN MEMIKIRKAN BAGAIMANA ALLAH TELAH MENCIPTAKAN TUJUH PETALA LANGIT BERTINGKAT-TINGKAT,} (NUH 71:15)

  1. Kemudian nabi Nuh AS berkata kepada kaumnya; Tidakkah kamu lihat (أَلَمْ تَرَوْا۟) bagaimana Allah SWT mencipta tujuh petala langit bertingkat-tingkat lapisannya!
  1. Jika kamu nampaknya kamu akan dapat menjadikan dalil bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan beribadat kepada-Nya!
  1. Ulama’ kata : Maksud (أَلَمْ تَرَوْا۟) ini ialah bukan hanya lihat dengan mata tetapi lihat dengan pandangan mata hati yang berfikir (عين البصيرة).
  1. Maka kamu akan nampak keesaan dan keagungan Allah Azza wa Jalla.

AYAT 16- {“DAN IA MENJADIKAN PADANYA BULAN SEBAGAI CAHAYA SERTA MENJADIKAN MATAHARI SEBAGAI LAMPU (YANG TERANG-BENDERANG),} (NUH 71:16)

  1. Nabi Nuh AS terus memberi peringatan lagi kepada kaumnya supaya mereka berfikir:
    i- Allah jadikan bulan di langit yang ketujuh itu sebagai cahaya {نُورًۭا}.
    Sebagaimana firman Allah SWT juga:
    {Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari {سِرَٰجًۭا} serta bulan yang menerangi { مُّنِيرًۭا}.} (Al-Furqaan 25:61)

    ii- Allah juga menjadikan matahari sebagai lampu yang terang-benderang {ٱلشَّمْسَ سِرَاجًۭا} iaitu memancarkan cahayanya sendiri.
    Firman Allah SWT ;
    {Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) { ضِيَآءًۭ} dan bulan bercahaya (نُورًۭا).} (Yunus 10:5)
  1. Matahari adalah bintang yang mengeluarkan cahaya yang panas { ضِيَآءًۭ} yang menyuluh menerangi {سِرَٰجًۭا} seluruh alam ini; 
    manakala bulan itu hanya menerima pantulan cahaya daripada matahari, cahayanya hanyalah cahaya yang sejuk (نُورًۭا).
  1. Kerana itu manusia ini tidak boleh panas sentiasa, dia kena ada panas dan ada sejuk juga, ada siang dan ada malam!

AYAT 17- {“DAN ALLAH TELAH MENUMBUHKAN KAMU (HIDUP DARI BENDA-BENDA YANG BERASAL) DARI BUMI, DENGAN PERTUMBUHAN YANG SUNGGUH-SUNGGUH SEMPURNA,} (NUH 71:17)

  1. Ayat ini menjadi dalil kepada ayat 14 di atas juga.
  1. Allah SWT jadikan kita daripada bumi (tanah) kemudian akan dikembalikan semula kepadanya! 
  1. Allah telah menumbuhkan hidup manusia yakni sumber asalnya dari tanah iaitu dari benda-benda yang berasal daripada bumi seperti tumbuhan dan haiwan, kita makannya lalu menjadi pati makanan lalu menjadi air mani.
  1. Ingat: Manusia berasal daripada tanah tetapi tetap sakit jika ditimpa tanah. 
    Maka jangan pelik jika syaitan dan jin yang berasal daripada api boleh diazab dengan api juga! 

AYAT 18- {“KEMUDIAN IA MENGEMBALIKAN KAMU KE DALAM BUMI (SESUDAH MATI), DAN MENGELUARKAN KAMU DARIPADANYA (SESUDAH DIHIDUPKAN SEMULA UNTUK DIHITUNG AMAL KAMU DAN DIBERI BALASAN), DENGAN PENGELUARAN YANG SESUNGGUH-SUNGGUHNYA?} (NUH 71:18)

  1. Ingatlah apabila kamu mati kelak, kamu akan dikembalikan semula (ditanam) ke dalam bumi!
  1. Kemudian apabila tiba hari Kiamat kelak, akan dihidupkan kembali lalu dikeluarkan semula daripada bumi itu semuanya dengan hakiki yang sesungguh-sungguhnya!
  1. Semua manusia dihidupkan kembali untuk dihisab iaitu dihitung amal dan diberi balasan setimpal amalan masing-masing. 

AYAT 19- {“DAN ALLAH TELAH MENJADIKAN BUMI BAGI KAMU SEBAGAI HAMPARAN,} (NUH 71:19)

  1. Allah SWT telah menjadikan bumi ini rata terhampar seperti hamparan. Yakni luas terbentang, landai untuk kemudahan manusia.

AYAT 20- {“SUPAYA KAMU MELALUI JALAN-JALAN YANG LUAS PADANYA”.} (NUH 71:20)

  1. Iaitu supaya kamu berjalan di atas muka bumi ini melihat kesan-kesan yang ada untuk untuk mengambil iktibar dan pengajaran! 
  1. Antaranya ialah tempat-tempat kesan kaum yang dilaknat dan diazab seperti Firaun, kaum Nabi Nuh di Laut Mati, kesan kaum Thamud, Ad dan lain-lain.
  1. Rasulullah SAW telah berpesan jika kita masuk ke tempat begini hendaklah menangis penuh dengan ketakutan dan keinsafan bukan sekadar melancung dan ziarah sahaja!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 13- {“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),}-

    Nabi Nuh bertanya kepada kaumnya kenapa mereka tidak lihat dan menghargai keagungan Allah SWT!
    Sebelum ini Nabi Nuh telah menasihati kaumnya dengan cara yang lembut dan berhemah, memujuk mereka, tetapi apabila mereka masih ingkar dan tidak dengar, Nuh lalu menukar cara uslub dakwahnya!
    Nuh mula berkeras, mencela membantah kefahaman dan pegangan mereka! 
    Kata ulama’ tadabbur : Menjadi kewajipan kepada para pendakwah untuk menggunakan dua uslub ini:
    i- Awalnya nasihat dan pujukan.

    ii- Kemudian barulah amaran dan ancaman.
    Dakwah ini tidak lengkap jika hanya separuh, wajib ada amar makruf & nahi munkar, nasihat galakan & ancaman amaran!
  1. Ayat 13- {“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),}-

    Kata para ulama’ : Antara cara untuk menjadikan hati ini istiqomah dan mencintai Allah SWT ialah dengan membesar & mengagungkan Syi’ar agama & hukum yang Allah beri; 
    iaitu terus meninggalkan larangan Allah & melakukan perintah-Nya, melaksanakan Syari’ah Allah Azza wa Jalla.
    Siapa yang mengagungkan Syi’ar agama Allah bermakna dia telah mengagungkan Allah SWT!
  1. Ayat 15- {“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,}-

    Dari ayat ini Allah SWT mahu kita berfikir akan betapa besarnya ciptaan Allah SWT pada langit dan apa yang ada padanya seperti matahari bulan bintang dan seumpamanya!
    Betapa banyak dan besar manfaat dan faedah yang kita dapati dari kejadian yang Allah sediakan untuk kita ini! Allah SWT yang kaya & Berkuasa, kasih-Nya kepada hamba-Nya, disediakan segala kelangkapan untuk kegunaan hamba-Nya atas muka bumi ini!
  1. Ayat 16- {“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang }-

    i- Apakah maksudnya dikatakan dijadikan pada langit itu bulan?
    Yakni paksinya di langit bukan kata bulan itu berada pada semua langit.

    ii- Manakala Allah nyatakan Dia jadikan matahari sebagai lampu yang terang-benderang untuk menunjukkan bahawa matahari adalah sumber cahaya yang sebenar manakala bulan hanya menumpang cahaya pantulan dari matahari!
    Kita manusia juga untuk mendapat manfaat dan faedah kebaikan hendaklah bersahabat dengan orang yang soleh dan baik-baik. 
    Lihatlah bagaimana:
    i- Bulan dapat cahaya kerana dia duduk dekat dengan matahari! 

    ii- Anjing Ashabul-Kahfi pula mendapat kemuliaan disebut beberapa kali dalam al-Quran kerana ia bersahabat dengan orang soleh! 
  1. Ayat 17- {“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,}-

    Ayat ini menunjukkan ada pergerakan dalam kejadian manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. 
    Tanah bergerak mengeluarkan tumbuhan, haiwan dan manusia. Mereka semua ini pula tumbuh dan membesar, membiak kemudian mati semula.
    Kita berasal dari tanah, sekarang duduk atas tanah kemudian kembali ke dalam tanah, akhirnya dibangkitkan keluar dari tanah!
    Maka apakah persiapan kita untuk masuk ke dalam tanah nanti????
    Inilah persoalan yang wajib menjadi fikir dan ingat setiap detik dan waktu atas dunia ini.
    Antara bekalan yang paling besar sekali ialah infaq dan sedekah kita sebagai amal jariah yang akan sentiasa mengalir! 
    Ingat kempen harta kita sekarang jadikan ia milik kita di akhirat kelak!
    Sebagai asset yang dapat membantu dan menerangi di akhirat yang gelap dan huru-hara. Pada hari yang tiada guna lagi penyesalan dan keinsafan! 

Hari ini hari Jumaat:
Ingat Jumaat jangan lupa perbanyakkan selawat & baca Surah Al-Kahfi!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs