Ibrah Dari Negeri-negeri Yang Telah Dibinasakan, Ramai Tak Tunai Janji & Kemudian Diutuskan Nabi Musa Kepada Fir’aun.
Full video : https://youtu.be/VBngAY-XWBc?si=DBHmieMePEOlEi1Y
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 101 sehingga 103 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan ibrah pengajaran dari negeri-negeri yang telah dibinasakan, iaitu sebagai penutup kepada kisah lima rasul yang telah diceritakan daripada surah ini.
- Allah juga nyatakan ramai dari kalangan manusia tak tunai janji untuk beriman.
Maka kamu manusia yang datang kemudian jangan ikut jejak langkah mereka itu!
- Kemudian Allah nyatakan bahawa telah diutuskan Nabi Musa kepada Fir’aun.
Berdasarkan ayat inilah {ثُمَّ بَعَثْنَا مِنۢ بَعْدِهِم}, Para ulama’ tafsir mengatakan : Nabi Musa datang kemudian setelah lima orang sebelumnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang kisah lima orang rasul yang diutuskan.
Terdapat kaum mereka yang menentang & kufur lalu Allah telah membinasakan mereka dan negeri mereka semuanya!
ii- Maka ayat ini sebagai penutup kepada kisah-kisah yang telah lepas.
Maka kamu ambillah iktibar & pengajaran daripada kisah mereka.
Bukan setakat dengar & baca saja, mesti dikaitkan dengan kita juga untuk ambil ibrah!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 101- {NEGERI-NEGERI (YANG TELAH KAMI BINASAKAN) ITU, KAMI CERITAKAN SEBAHAGIAN DARI KHABAR BERITANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD); DAN SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA MEREKA RASUL-RASUL MEREKA DENGAN KETERANGAN-KETERANGAN YANG NYATA (MUKJIZAT), SESUDAH ITU MEREKA TIDAK JUGA BERIMAN KEPADA APA YANG MEREKA TELAH MENDUSTAKANNYA DAHULU. DEMIKIANLAH ALLAH METERAIKAN DI ATAS HATI ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AL-A’RAF 7:101)
- Allah nyatakan bahawa Dia telah ceritakan kepada Rasulullah SAW dalam al-Quran ini tentang kisah negeri-negeri yang telah Kami binasakan.
- Mereka itu ialah kaum Nuh, Ad, Thamud, Kaum Lut dan Ashabu Madyan.
Semua ulama’ tafsir sepakat inilah yang Allah maksudkan dengan negeri-negeri yang telah Kami binasakan itu { تِلْكَ ٱلْقُرَىٰ}.
- Kisah ini didatangkan untuk memberi ubat, sebagai penawar hati, penenang jiwa kepada Rasulullah SAW dan semua orang yang beriman.
Hati tenang, jiwa teguh kerana kita tahu mereka binasa kerana menentang ayat-ayat Allah!
- Kisah-kisah itu menjadi pengajaran kepada orang mengambil iktibar & menjadi nasihat kepada orang yang bertaqwa, amaran kepada orang yang kafir & untuk menyekat orang-orang yang zalim.
- Terdapat banyak ayat-ayat lain yang menafsirkan ayat ini:
i- {Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;
Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.} (Al-Hajj 22: 42-44)
ii- {Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).
Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.
Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.} (Hud 11: 100-103)
iii- Begitulah ayat-ayat al-Quran menafsir & mendetailkan sesama ayatnya, ada yang panjang di sini ringkas di sana & sebaliknya! Indah sekali.
Kitab Qasas al-Qur’ani (القصص القرآني) oleh Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi (د. صلاح عبد الفتاح الخالدي), sangat menarik dan disarankan untuk dijadikan bahan bacaan & rujukan!
Dia tafsirkan ayat dengan ayat-ayat al-Quran yang lain, dengan hadis Nabi SAW dan dengan athar (kisah sahabat) yang sahih.
Syeikh sangat teliti & menolak riwayat israiliyyat.
- Kita ambillah apa yang telah diriwayatkan dari al-Quran & hadis Nabi SAW yang sahih, jangan diambil kisah-kisah Israiliyyat yang menjadi penambah perisa & tidak pasti sumbernya.
Sudah cukup dengan sumber yang sahih.
- Allah juga nyatakan bahawa semua para nabi & rasul itu ada mukjizatnya, bawa kitab, ada ayat-ayat tanda yang Allah berikan.
Mereka semua bawa keterangan, hujjah & mukjizat yang boleh dilihat manusia.
- Ayat ini ditafsirkan dengan ayat ini juga:
{Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (At-Taubah 9:70)
- Tetapi apa nak buat, walaupun datang mukjizat & hujjah yang jelas, tak jadi apa bagi mereka ini, tetap menolak dan mendustakan & tidak beriman walaupun jelas ayat-ayat tanda di depan mata mereka.
- Lalu akibat dari kekufuran itu, Allah tutup atas hati orang kafir itu dengan cop meteri yang rapat, yang tidak akan dapat dimasuki apa-apa lagi.
Maka petunjuk & hidayah tidak akan sampai lagi kepada hati mereka!
- Ada orang yang kafir yang berpuluh tahun dengar tentang kebenaran Islam, tetap tidak beriman sehingga mati & ada juga yang beriman di saat akhir usianya.
Ada yang sekali dengar saja tentang kebaikan Islam terus terbuka pintu hatinya menerima hidayah!
- Kita yang telah Islam ini juga jangan sedap hati, kita tak tahu apa taqdir Allah ke atas kita!
Kerana itu kita kena bergantung hati kepada Allah, sentiasalah berdoa kepada Allah agar kita tidak terbabas dari landasan yang benar, siratul mustaqim ini!
Ya Allah akhirilah usia kami dengan husnul-khatimah!
AYAT 102- {DAN KAMI TIDAK MENDAPATI BAGI KEBANYAKAN MEREKA SEBARANG JANJI (YANG DITEPATI), DAN KAMI TIDAK MENDAPATI KEBANYAKAN MEREKA MELAINKAN ORANG-ORANG YANG FASIK.} (AL-A’RAF 7:102)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah ceritakan tentang umat dahulu yang telah binasa kerana hati mereka tertutup dari menerima hidayah.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan ramai manusia tidak tunaikan janjinya dengan Allah.
Ini kerana setiap manusia semasa di alam sulbi, alam roh lagi telah berjanji dengan Allah untuk menjadi Islam.
Setiap bayi yang lahir atas landasan fitrah; tetapi lihatlah kepada rumah mana ia dilahirkan!
- Ini kerana semua manusia telah buat wasiat perjanjian dengan Allah untuk tauhid kepada Allah & ikut kepada ajaran rasul.
Tetapi ramai manusia yang telah mungkir janji ini!!
- Zalim ini ada dua:
i- Zalim ke atas diri sendiri dengan syirik kepada Allah kemudian maksiat, mungkar derhaka kepada Allah & Rasul.
Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang paling besar!
ii- Zalim ke atas orang lain, dengan khianat, ambil hak orang tanpa haq, membuat fitnah dan tuduhan palsu yang jahat serta seumpamanya.
Semoga Allah jaga jari kita, lidah kita & kaki tangan kita dari buat zalim ke atas orang lain!
- Kata Ibnu Kathir : Apakah maksudnya janji yang Allah kata manusia tak tunai janji itu??
Jawapan: Janji yang dibuat ketika manusia dalam sulbi lagi, janji asal untuk berada atas fitrah yang Allah jadikan!
Kerana itu fitrah manusia jauh disudut hatinya tahu & mengakui adanya Tuhan yang mencipta & mentadbir alam yang besar ini!
- Atau janji kepada rasul yang diutuskan Allah, untuk beriman & menerima dakwahnya!
Seperti kaum Nabi Soleh yang minta bukti dari Nabinya & berjanji untuk beriman jika ada bukti!
Tetapi setelah Allah hantar unta sebagai mukjizat, bahkan mereka membunuhnya & terus kufur.
AYAT 103- {KEMUDIAN KAMI MENGUTUSKAN NABI MUSA SELEPAS RASUL-RASUL ITU, DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KAMI KEPADA FIRAUN DAN KETUA-KETUA KAUMNYA, LALU MEREKA BERLAKU ZALIM (INGKAR) AKAN AYAT-AYAT ITU. MAKA PERHATIKANLAH BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEROSAKAN.} (AL-A’RAF 7:103)
- Allah nyatakan {kemudian,} diutuskan pula Nabi Musa AS kepada Firaun dan ketua-ketua kaum, pembesar {وَمَلَإِي۟هِ} yang berada di Mesir pada masa itu.
Antara pembesar Mesir pada zaman itu ialah Haman & Qarun.
- Munasabah ayat ini:
i- Apabila Allah ceritakan kisah 5 orang nabi yang lepas, Nuh, Hud, Lut, Soleh & Syu’aib serta kaum mereka
ii- lalu barulah datang kisah Nabi Musa AS selepas mereka ini.
Inilah tertib yang disusun dalam surah ini.
- Kata Ibnu Asyur : Firaun (فِرْعَوْنَ) ini ialah gelaran atau panggilan kepada raja yang memerintah Mesir kuno pada waktu itu.
Nama Firaun yang diutuskan Musa kepadanya dikatakan Ramses/Ramses II.
Antara beberapa gelaran kepada pemerintah/raja negara zaman dulu:
Kisra – raja Parsi, Kaisar- raja Rom, Namrud, Kana’an, Najjasyi, raja Habsyah, Tubba’, raja Yaman & Khan, raja Turki.
- Allah hantar Nabi musa AS dengan membawa ayat-ayat-Nya yang jelas lagi nyata.
Mukjizat Nabi Musa ini jelas secara zahir seperti tangan bercahaya, tongkat mejadi ular dan sebagainya.
Tetapi walaupun mukjizat yang besar di depan mata; mereka ini berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu tidak beriman bahkan mendustakan & menentangnya.
- Firman Allah SWT tentang ini juga:
{Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang buruk (di dunia) dan mereka pula pada hari akhirat adalah orang-orang yang palig rugi.} (An-Naml 27:5)
- Firaun ini walaupun tidak beriman tetapi jauh disudut hatinya dia tahu Nabi Musa adalah benar.
Tetapi kerana zalim, bangga diri & angkuh menyebabkan dia menolak tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa nabi Musa.
Kita hari ini pun ramai orang yang tahu tetapi tidak mahu atau tidak dapat menerima kebenaran mereka takut kehilangan pangkat & kedudukan!
- Akhirnya Allah kata tunggu & lihat: Perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan kepada para rasul Allah.
Mereka yang zalim ini Allah akan binasakan!
i- Firaun dan para tenteranya telah dimusnahkan Allah dengan tenggelam dalam laut tanpa dapat menyelamatkan diri!
ii- Abu Jahal dibunuh dalam peperangan Badar oleh dua orang pemuda yang masih muda, yang mahu membunuhnya kerana mereka dengar Abu Jahal telah menghina Nabi SAW.
Abu Jahal, Firaun umat Muhammad ini mati dibunuh oleh dua pemuda yang masih remaja!
- KISAH DUA SAHABAT YANG MEMBUNUH ABU JAHAL DALAM PEPERANGAN BADAR:
Dikisahkan mengenai dua remaja yang masih belasan tahun ketika itu yang bernama Muaz dan Mu’awwiz yang ikut bersama Rasulullah ﷺ di dalam peperangan Badar.
Dalam peperangan itu Baginda Rasulullah ﷺ ketika mengatur strategi peperangan meletakkan Saidina Muaz dan Saidina Muawwiz di antara sahabat Nabi ﷺ yang bernama Saidina Abdurrahman Bin Auf.
Maka Saidina Muaz RA mengatakan kepada Saidina Abdurrahman Bin Auf RA : “Wahai pakcik, tuan tahu yang mana satu di antara musuh yang bernama Abu Jahal?”
Kata Saidina Abdurrahman Bin Auf “Kenapa kamu nak tahu?”
Melihat sebelah kanan budak kecil dan disebelah kiri pun budak kecil maka dia berasa tidak aman pada ketika itu kerana terpaksa menjaga dua orang ini.
Saidina Abdurrahman Bin Auf RA mengatakan di dalam hatinya “Alangkah bagus kalau sebelah kanan aku orang dewasa dan sebelah kiri ku orang dewasa.”
Kata Saidina Muaz RA: “Pakcik tahu yang mana satu di antara mereka Abu Jahal?”
Kata Saidina Abdurrahman Bin Auf RA: “Hendak apa kamu dengan Abu Jahal?”
Kata Saidina Muaz: “Hari ini aku berjanji hendak bunuh kepada dia.”
Maka ditanya Saidina Abdurrahman Bin Auf RA: “Kenapa kamu hendak bunuh dia?”
Lalu Saidina Muaz RA berkata “Saya dengar dia itu Abu Jahal menyakiti Rasulullah ﷺ maka hari ini saya berjanji saya akan membunuh orang yang menyakiti Rasulullah ﷺ.”
Maka kata Saidina Abdurrahman Bin Auf RA: “Kalau aku jumpa nanti aku bagitahu.”
Kata Saidina Muaz: “Jangan cakap kuat-kuat. Kalau sahabat aku dengar nanti dia dulu bunuh.”
Maka Saidina Mu’awwiz pun bertanya soalan yang sama kepada Saidina Abdurrahman Bin Auf: “Pakcik!! Kamu tahu yang mana satu Abu Jahal?”
Maka Saidina Abdurrahman Bin Auf menjawab sepertimana yang diberitahu kepada Saidina Muaz.
Maka Saidina Abdurrahman Bin Auf RA mengatakan:
“Setelah aku mendengar kedua budak ini cakap yang dicari adalah musuh ketat Rasulullah ﷺ, orang yang hebat maka tiada yang lebih selamat aku rasa melainkan bersama kedua budak ini kerana aku berasa aman dan terlindung daripada musuh kerana mereka mencari musuh yang lebih kuat iaitu Abu Jahal.”
Ketika nampak Abu Jahal, Saidina Abdurrahman Bin Auf RA mengatakan kepada Saidina Muaz & Mu’awwiz RA : “Inilah orang yang kamu cari.”
Maka kata Saidina Abdurrahman Bin Auf: Aku melihat kedua budak ini meluncur menuju kepada Abu Jahal umpama seekor harimau yang ingin menerkam mangsanya begitu laju. Seorang daripada kanan dan seorang lagi daripada kiri sehingga jatuhnya Abu Jahal daripada kudanya.”
Setelah kedua-duanya membunuh kepada Abu Jahal. Mereka kembali kepada Rasulullah ﷺ .
Saidina Muaz Bin Amru mengatakan “Wahai Rasulullah. Saya telah membunuh Abu Jahal.”
Dan Saidina Mu’awwiz Bin Amru pun mengatakan demikian juga kepada Baginda Rasulullah ﷺ .
Lalu Nabi ﷺ mengatakan “Tunjukkan aku pedang kamu.”
Maka didapati kesan darah yang menebas dan menikam kepada Abu Jahal. Kata Rasulullah ﷺ “Kamu berdua telah membunuh kepada Abu Jahal.” [HR Bukhari].
Satu kisah yang amat memberi inspirasi; inilah yang kita mahu dari para anak muda kita keberanian dan semangat waja dalam kebenaran. Bukan mengajar dan mendedahkan mereka kepada perbuatan yang bid’ah & tiada faedah lain.
٧ – بينما أنا واقفٌ بيْنَ الصَّفِ يومَ بدرٍ نظَرْتُ عن يميني وعن شِمالي فإذا أنا بيْنَ غلامينِ مِن الأنصارِ فبينما أنا كذلك إذ غمَزني أحدُهما فقال: أيْ عمِّ هل تعرِفُ أبا جهلِ بنَ هشامٍ؟ فقُلْتُ: نَعم وما حاجتُك إليه يا ابنَ أخي؟ فقال: أُخبِرْتُ أنَّه يسُبُّ رسولَ اللهِ ﷺ والَّذي نفسي بيدِه لو رأَيْتُه لا يُفارِقُ سوادي سوادَه حتّى يموتَ الأعجَلُ منّا قال: فأعجَبني قولُه، قال: فغمَزني الآخَرُ وقال مثلَها فلم أنشَبْ أنْ رأَيْتُ أبا جهلٍ يجولُ بيْنَ النّاسِ فقُلْتُ لهما: هذا صاحبُكما الَّذي تَسَلاني عنه فابتدراه فضرَباه بسيفَيْهما فقتَلاه ثمَّ أتَيا النَّبيَّ ﷺ فأخبَراه بما صنَعا فقال: (أيُّكما قتَله؟) فقال كلُّ واحدٍ منهما أنا قتَلْتُه فقال: (هل مسَحْتُما سيفَيْكما؟) قُلْنا: لا، قال: فنظَر في السَّيفينِ فقال النَّبيُّ ﷺ: (كلاكما قتَله) ثمَّ قضى بسلَبِه لمُعاذِ بنِ عمرِو بنِ الجَموحِ قال: والرَّجلانِ مُعاذُ بنُ عمرِو بنِ الجموحِ ومُعاذُ بنُ عفراءَ
الراوي: عبدالرحمن بن عوف • شعيب الأرنؤوط، تخريج صحيح ابن حبان (٤٨٤٠) • إسناده صحيح على شرط الشيخين • أخرجه ابن حبان (٤٨٤٠) واللفظ له، والبخاري (٣١٤١)، ومسلم (١٧٥٢) باختلاف يسير.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 101- {Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu,…}-
Allah nyatakan tentang umat nabi yang telah dibinasakan.
Kenapa Allah selalu ulang cerita & kisah para nabi & kaumnya yang binasa ini?
Jawapan:
Untuk kita menghayati & dapat membayangkan apa yang terjadi kepada mereka ini ketika datang azab siksa Allah kepada mereka!
Supaya pendengar boleh menjiwai kisah itu seolah ia berlaku di depan kita.
Kita boleh bayangkan bagaimana keadaan mereka ketika Allah hantar azab itu, kaum nabi Nuh yang tenggelam, kaum Lut yang kena hujan batu & balik bumi dan lain-lain.
Ini supaya pengajaran & ibrah lebih mendalam masuk terpahat dalam hati para pendengar!
- Ayat 101- {… , Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu…}-
Allah kata Dia ceritakan kepada kamu sebahagian dari kisahnya {مِنْ أَنۢبَآئِهَا ۚ}.
فالبيب بالإشارة يفهم!
Orang cerdik dengan isyarat sahaja boleh faham.
Orang berakal tak perlu kita cakap banyak, cukup hanya sedikit cerita tetapi boleh mejadi pengajaran dan ibrah yang besar.
Apa yang Allah cerita, gambarkan itu walaupun tak sepenuhnya, Allah ceritakan sebahagiannya supaya kita dapat belajar, siasat cari, korek lagi kisah & pengajaran.
Seperti kita ziarah di medan Uhud, naiklah ke atas Jabal Rumaah itu dan bayangkan keadaan Rasulullah SAW yang patah gigi & berdarah mukanya, keadaan para sahabat yang bergelimpangan syahid dalam ghazwah Uhud.
- Ayat 101- {… sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.}
Setelah Allah hantar rasul-rasul dengan bukti-bukti & tanda yang jelas mereka tidak beriman juga;
Maka Allah kata demikianlah balasan bagi orang yang tidak beriman kepada Allah serta mendustakan para rasul!
Orang yang menentang Allah akan cop atas hati mereka lalu mereka tidak akan menerima hidayah dari Allah, maka mereka mati dalam kekufuran!
Pengajaran bagi kita pula: apabila kita tengok pengajaran ibrah, apa yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu ini, kenapa kita tidak mahu insaf ambil pengajaran, apakah mahu Allah cop atas hati kita juga?
Kita nak ikut siapakah atas dunia ini jika disebut & diajak kepada al-Quran & hadis Nabi SAW pun kita takut dan tak mahu????
Bukan pakat nak beramal tetapi nak sebut pun takut??????
- Ayat 102- {Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati),…}-
Allah kata kebanyakan manusia ini tidak menepati janjinya.
Yakni ramainya manusia yang tidak menunaikan janji & berjanji palsu.
Mereka tidak melaksanakan tugas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Ketika kecil mereka janji untuk beriman & taat kepada Allah tetapi apabila tua mereka syirik & tetap tidak beriman.
Kita hari ini dengan yakin dakwa & isytihar sebagai ahli Sunnah, tetapi dari segi amalannya tidak begitu, bila disuruh ikut Sunnah tidak mahu! Sunnah apakah yang kita nak??
Semua ibrah pengajaran umat terdahulu ini kena kembali turun kepada diri & kehidupan seharian kita sekarang, jika tidak apa faedah hidup atas dunia jika kita tidak kembali kepada apa yang diajar oleh Allah & ditinggalkan oleh Nabi SAW.
- Ayat 103- {Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu,…}-
Ini menunjukkan dari segi tertib zamani Nabi Musa datang selepas 5 orang rasul ini.
Setiap para rasul itu Allah beri mukjizat yang boleh membuat manusia menerima ajaran yang dibawa oleh mereka!
Sebagaimana dalam hadis Nabi SAW.
Tetapi terdapat juga manusia yang degil keras kepala tetap tidak menerimanya walaupun telah mendengar & melihat semua tanda-tanda mukjizat ini seperti bercakap dengan tunggul kayu atau haiwan yang tak faham bahasa!
Kita manusia biar ada kesan dalam jiwa & akal!
Semua tanda-tanda & ayat itu untuk manusia yang berfikir, supaya dapat memikirkan tentang kekuasaan Allah SWT semoga Allah memberi kita kefahaman yang terbaik.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.