View Categories

(31) Surah Al-An’am : Ayat 104-107

HUJJAH YANG JELAS DARI ALLAH, SI KAFIR TETAP MENOLAKNYA & TUGAS RASUL MENYAMPAIKAN.

Full video : https://youtu.be/avHt8B5wz9c?si=PMZafOqc3Sy76kh-

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 104 sehingga 107 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa telah dibawa hujjah yang jelas dan dalil yang mantap. 
    Allah telah nyatakan kepada manusia tentang keagungan, keEsaan & kekuasaan Allah Azza wa Jalla.
  1. Allah nyatakan juga walaupun begitu jelas keterangan & dalil diberi; orang kafir tetap menolaknya tidak mahu beriman. 
  1. Kemudian Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk ikut saja perintah Allah SWT dan tugas Rasul hanya menyampaikan. 
    Setelah disampaikan & dijelaskan; jika mereka tidak mahu beriman juga tinggalkanlah mereka, tidak ada guna lagi menunggu, carilah orang lain yang mahu beriman. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang keEsaan Allah Azza wa Jalla.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan jika kamu nak kenal Allah maka tadabburlah ayat-ayat al-Quran. 
    Galakan untuk mengaji al-Quran & mengkajinya agar memahaminya. 
    Barulah kita boleh mengenal Allah dan faham apa yang Allah nak sampaikan! 
    Al-Quran ini untuk orang hidup, untuk diamalkan bukan hanya untuk orang mati!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 104- {(KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU KETERANGAN-KETERANGAN (DALIL-DALIL DAN BUKTI) DARI TUHAN KAMU; OLEH ITU SESIAPA MELIHAT (KEBENARAN ITU SERTA MENERIMANYA) MAKA FAEDAHNYA TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI, DAN SESIAPA BUTA (DAN ENGGAN MENERIMANYA) MAKA BAHAYANYA TERTIMPALAH KE ATAS DIRINYA SENDIRI. DAN TIADALAH AKU BERKEWAJIPAN MENJAGA DAN MENGAWASI KAMU”.} (AL-AN’AM 6:104)

  1. Allah suruh Rasulullah SAW katakan kepada golongan kafir itu bahawa telah datang kepada mereka dalil-dalil keterangan & bukti dari Tuhan yang nyata lagi jelas! 
  1. Al-Quran ini tugasnya ialah menunjukkan kepada jalan petunjuk daripada yang sesat, jalan haq daripada yang batil!  
    Maka sesiapa yang memilih untuk menerima kebenaran itu maka dia sendiri yang akan dapat faedah manfaatnya!
  1. Manakala sesiapa yang buta hati, tidak mahu ambil faedah dan enggan menerimanya maka kerugian dan bahayanya akan menimpa ke atas dirinya sendiri dan akan dicampak dalam kebinasaan.
  1. Tugas seorang rasul hanyalah menyampaikan apa yang Allah perintahkan!
    Bukanlah tugas & kewajipannya untuk menjaga & mengawal orang kafir yang tidak mahu beriman. 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini yang bermaksud:
    {… tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.} (Ar-Ra’d 13:40)

AYAT 105- {DAN DEMIKIANLAH KAMI MENERANGKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SATU PERSATU (DENGAN BERBAGAI CARA, UNTUK MENIMBULKAN KEINGKARAN MEREKA) DAN SUPAYA MEREKA (YANG INGKAR ITU MENUDUHMU DENGAN) BERKATA: “ENGKAU TELAH MEMPELAJARINYA (DARI ORANG-ORANG LAIN) “, DAN SUPAYA KAMI MENERANGKAN (AL-QURAN) ITU KEPADA ORANG-ORANG YANG (MAHU) MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:105)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah menyempurnakan kalam-Nya tentang ketuhanan & keEsaan Allah SWT. 

    ii- Kemudian dalam ayat berikutnya Allah nak mengisbatkan kenabian. 
    Maka Allah mulakan dengan menyebut beberapa isu keraguan yang disebut oleh puak penentang yang ingkar kepada Nabi & anti Islam!

    iii- Maka datang ayat ini untuk menjelaskan bukuti-bukti di mana Allah telah nyatakan pelbagai bukti & hujjah untuk menunjukkan jalan kebenaran!
  1. Tetapi apa boleh buat; puak kafir itu tetap menimbulkan keingkaran mereka dan selepas tiada hujjah lagi untuk berlawan, mereka bawa tuduhan baru pula kepada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah belajar dengan orang dahulu dari kalangan ahli kitab atau reka buat teori sendiri. 
  1. Semua ini untuk membuat penafian terhadap al-Quran & menimbulkan keraguan dakwah Rasulullah SAW. Untuk menghilangkan kekaguman & keajaiban dakwah Nabi SAW mereka kata Baginda buat teori sendiri.
    Itulah kejahatan mereka.
  1. Allah mahu jelaskan kepada orang kafir itu apakah perkara yang sepatutnya iaitu bahawa al-Quran itu datang dari Allah, kalamullah, kata-kata Allah sebagaimana yang layak bagi-Nya! Peranan al-Quran menyampaikan kebenaran.

AYAT 106- {IKUTLAH APA YANG TELAH DIWAHYUKAN KEPADAMU DARI TUHANMU, TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA, DAN BERPALINGLAH DARI ORANG-ORANG MUSYRIK.} (AL-AN’AM 6:106)

  1. Apa yang Allah wahyukan dari sisi-Nya kepada Rasulullah SAW wajib kita ikut, taat dan beriman! 
  1. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah, dipuja dipuji, tempat meminta pertolongan dan disayangi kecuali Allah SWT! 
  1. Maka kamu berpaling jangan ikutlah puak musyrikin, jika tidak kita akan habis masa & tenaga kepada orang yang tidak akan menerima.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah jelaskan kepada Nabi SAW bahawa manusia ini terbahagi kepada dua iaitu:
    a) Kumpulan yang telah rosak fitrahnya, percaya kepada berhala dan seumpamanya; maka orang ini tidak akan ikut Nabi SAW.

    b) orang yang lapang dada, buka minda berfikir maka orang ini akan menerima Islam.

    ii- Maka datang ayat ini untuk ikut perintah Allah SWT jangan hiraukan orang kafir itu!

    Munasabah kedua:
    i- Allah sebut tentang puak kafir; ada yang ikut, ada yang tidak.

    ii- Maka Allah nak sekat supaya Rasulullah SAW tidak menjadi lemah semangat & kecewa; maka Allah kata jangan sedih & dukacita, jangan pedulikan puak kafir yang tidak mahu ikut itu! 
    Kamu teruskan tugas kamu & ikut perintah Allah.
  1. Kita pun begitulah apabila kita berdakwah ajak orang ikut al-Quran & Sunnah ini;
    penentangan semakin hari semakin dahsyat.
    Yang ada kuasa telah menggunakan akta itu akta ini, yang ada masa tak ada kerja lain telah buat video itu video ini untuk mempermainkan dan menyindir.
  1. Lalu Allah suruh Nabi SAW sabar, ikut arahan, ikut ayat al-Quran yang mulia ini jangan hiraukan perkara lain. 
    Ikut jejaknya, beradab dengan akhlak al-Quran dan ikut hukum-hakamnya.
  1. Kita juga beraqidah sebagaimana Allah sebut dalam al-Quran, yang dihuraikan oleh Rasulullah SAW serta pencerahan & tafsiran ulama’ Salafus-Soleh, itulah pegangan kita, alhamdulillah.
  1. Akhirnya bila kita sudah dakwah, ajak & kempen secara besar-besaran tetapi orang tidak mahu terima juga; maka Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk berpaling tinggalkan puak kafir itu!
  1. Yakni kamu tak payah berlawan lagi; cukuplah segala keterangan & peringatan yang diberi, jika mereka masih lawan juga maka tinggalkan mereka! 
    Cari orang lain yang mash mahu beriman!
  1. Sebagaimana kata-kata hikmah yang selau disebut AAM: 
    “Di mana bumi yang subur di situ benih ditabur!”
    Yakni di mana tempat orang mahu ikut kita buat, jika di tempat orang yang tidak mahu kita jangan buat!
  1. Tetapi jangan kita kecewa dan putus asa dulu, kita pergi dulu, bincang dan muzakarah jika perlu berdebat debatlah. 
    Jika mereka tidak mahu terima juga maka barulah boleh kita tinggalkan mereka! 
    Kita kena usaha dulu baru boleh tinggalkan! 
  1. Kamu sabarlah atas apa yang mereka puak kafir buat, tunggulah sehingga datang ketetapan Allah. 

AYAT 107- {DAN KALAU ALLAH MENGHENDAKI, NESCAYA MEREKA TIDAK MEMPERSEKUTUKANNYA; DAN KAMI TIDAK MENJADIKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) PENJAGA DAN PENGAWAL MEREKA, DAN ENGKAU PULA BUKANLAH WAKIL YANG MENGURUSKAN HAL-HAL MEREKA (KERANA SEMUANYA ITU TERSERAH KEPADA ALLAH SEMATA-MATA).} (AL-AN’AM 6:107)

  1. Allah nyatakan jika Allah mahu & berkehendak mereka beriman, Allah akan beri hidayah & petunjuk kepada mereka pastilah mereka tidak akan syirik kepada Allah, beriman dan menjadi pengikut & penyokong Nabi SAW.
  1. Kemudian untuk menenangkan hati Rasulullah SAW; Allah kata:
    i- Allah tidak menjadikan Nabi SAW sebagai penjaga dan pengawal mereka, untuk memastikan mereka mendapat hidayah & petunjuk.

    ii- Dan bukan juga sebagai wakil yang menguruskan hal-hal mereka seperti rezeki, amalan dan urusan dunia mereka.
  1. Alhamdulillah, Allah ringankan beban ini dari Rasulullah SAW dan ke atas para pendakwah semuanya! 
    Bukanlah tugas kita memastikan semua yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk beriman dan menerima kebenaran. 
  1. Jelaslah tugas kita hanya menyampaikan bukan dipaksa memastikan manusia mendapat hidayah dan beriman; ini kerana kuasa memberi hidayah petunjuk itu di sisi Allah SWT. 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 104- { (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu;..}-

    Allah beri kepada kita pedoman petunjuk supaya kita berfikir!
    Telah datang kepada kamu dalil, bukti dan hujjah yang menjelaskan tentang perjalanan hidup atas dunia ini.
    Allah dh buka pintu-pintu hidayah & lorong kebaikan. 
    Maka kamu sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah berfikirlah sebab kita ada akal!
    Jangan Jadi seperti puak jabariyyah yang sesat, yang mengatakan manusia ini tidak boleh berfikir & bertindak hanya seperti robot yang digerakkan dengan remote control. Tidak ada hati perasaan & akal fikiran!
    Kita yakin kita manusia yang ada otak, yang ada akal untuk berfikir dan Allah telah berikan pedoman, tunjuk jalan, ini caranya!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini mengajar setiap kita untuk mengambil kira dalil & bukti keterangan yang nyata dan meninggalkan taqlid buta!
    Kenapa kamu sembah berhala? 
    Kerana tok nenek buat.
    Tugas kita kena pastikan ada dalil atau tidak!
    Sama ada dalil daripada al-Quran & Sunnah, para ulama’ Salafus-Soleh melakukannya dengan benar maka kita ikutlah!
    Maka siapa yang ikut dalil selamat, siapa yang buta tidak mahu mengambilnya maka ke atasnya kecelakaan!
    Allah beri kepada kita {بَصَآئِرُ} pedoman petunjuk jalan, untuk kita berfikir!
  1. Ayat 105- {Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu…}-

    Allah telah bawa dan jelaskan dalil-dalil tanda bukti yang sudah jelas.
    Dalam ayat tadi Allah suruh manusia itu berfikir, dalam ayat ini Allah bawa alat, perkara yang nak difikirkan itu sudah jelas. 
    Allah kata Dia telah menerangkan ayat-ayat keterangan, dalil-dalil & bukti satu persatu dengan jelas dan nyata!
    Yang dapat diterima oleh akal, oleh orang yang berfikir dengan baik untuk menerima agama ini!
    Kata ulama’ tadabbur : Para pendakwah kena pelbagaikan cara, uslub dan medium dakwah.
    Kena ada seni dalam menyampaikan, kebaikan & amal yang baik; kena lihat kepada akal & kecerdikan manusia. 
    Tidak sama dalam berdakwah dan cara menyampaikan kepada kanak-kanak dengan orang dewasa. 
    Atau dakwah untuk orang berpendidikan tinggi dengan yang biasa, pasti ada cara & bezanya.
    Kadang-kadang manusia ini over berlebihan guna uslub yang salah yang boleh menimbulkan perbalahan dalam masyarakat atau menanam kefahaman yang salah kepada anak-anak supaya mereka tidak berani menerima bahawa al-Quran itu Kalamullah yang diturunkan oleh Allah SWT.
    Kena ada pelbagai uslub dan medium dakwah. Sebagaimana di masjid itu kena ada kuliah, tazkirah, forum, seminar, halaqah usrah dan sebagainya. 
    Sesekali cermah perdana, tetapi pilihlah penceramah yang baik-baik bukan yang suka mengata orang pula!
  1. Ayat 106- {Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu,…}-

    Allah SWT perintahkan kita untuk ikut apa yang Allah telah turunkan kepada kita! 
    Yakni penyampaian kita, apa yang kita nak sampaikan kepada masyarakat itu mesti diambil dari Allah & Rasulullah SAW. 
    Kata ulama’ : Ikut jangan reka yang lain. 
    Uslub boleh dipelbagaikan tetapi isu atau perkara ajaran yang nak disampaikan itu mestilah dari Allah SWT & dari Nabi SAW. 
    Jika kita reka rugilah kerana kita tak buat amalan yang diajar oleh Nabi SAW. 
    Juga jika kita tambah atau reka yang lain seolah kita buat tuduhan tak cukup lagi apa yang Nabi SAW ajar, Nabi ada tertinggal dalam menyampaikan ajarannya kepada kita! 
    Itulah bahayanya!
    Tanggungjawab kita ikut apa yang al-Quran & Nabi ajar, bukan ikut apa yang manusia mahu!
    Tetapi manusia yang jahat akan guna kekuasaannya untuk menekan orang lain agar ikut pendapat dia. 

    Sejarah telah membuktikan apabila suatu masa dulu puak muktazilah telah berjaya menekan beberapa orang khalifah supaya mengikut pendapat mereka; sehinggakan Imam Ahmad yang mempertahankan pendapat bahawa al-Quran adalah Kalamullah telah dipenjara dan disiksa dan di pukul!
    Zaman kita hari ini pun orang yang mempertahankan al-Quran & Sunnah akan dipenjarakan lidah supaya mereka tidak boleh bercakap walaupun tidak badan mereka. 
  1. Ayat 106- {… dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.}-

    Kamu tinggallah puak kafir itu. 
    Ayat ini amat penting bagi para pendakwah. Kita kena guna uslub tenang dalam berdakwah. 
    Kita sampaikan, berdakwah dulu dengan usaha yang secukupnya, jangan putus asa jika ada yang menolaknya. 
    Jika mereka tak dengar juga selepas kita habis usaha berulah boleh berpaling, tinggalkan mereka.
    Tempoh berdakwah ini tiada hadnya; lihat kepada Nabi Nuh AS yang berdakwah hampir 1000 tahun lamanya sehingga Allah wahyukan kepadanya menyatakan cukuplah tidak akan ada lagi orang yang beriman! 
    Selepas itulah baru Nabi Nuh berdoa untuk musnahkan semua mereka yang kafir.
    Rasulullah SAW sendiri berdakwah tanpa jemu dan sabar selama 23 tahun selepas dilantik menjadi rasul.
    Kerana itu para pendakwah; jika kita ajak orang, selepas berpuluh tahun mereka tak dengar juga, sabar ajelah, cuma kita tinggalkan kelompok itu pergi cari medan dakwah yang lain pula!
    Jika nak kecewa, kecewalah kita, jika nak putus asa, putus asalah kita, tetapi tak ada faedah.
    Lalu Allah kata kamu gunakan tenaga yang ada untuk tumpukan kepada perkara yang lebih berfaedah dan tinggalkan mereka itu pergi cari yang lain pula!
  1. Ayat 107- {Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya;…}-

    Allah kata jika Dia mahu tidak akan ada orang yang kafir atau syirik! 
    Tetapi Allah kata Aku tak lantik kamu jadi penjaga atau pengawal!
    Ayat ini menenangkan hati Rasulullah SAW dan meringankan tugas para pendakwah!
    Kerja kamu hanya menyampaikan bukan tugas kamu untuk menjaga dan mengawal mereka, memastikan mereka semua beriman. 
    Ini kerana hidayah petunjuk itu di bawah kuasa Allah SWT!

    Hidayah itu ada dua:
    i- Hidayatul irsyad (هدايةُ الإرشاد) iaitu tugas menyampaikan, memberi bimbingan, adalah tugas para nabi dan pendakwah semuanya. 

    ii- Hidayah taufik (هدايةُ التوفيقِ) ini hanya dari Allah dan di bawah kuasa-Nya.
    Semoga Allah selamatkan kita di dunia dengan berpegang dengan al-Quran & Sunnah, jauhkan dari pelbagai fahaman khurafat dan bid’ah yang karut marut, mudah-mudahan kita layak mendapat syafaat Nabi SAW & akhirnya layak ke syurga kelak.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs