View Categories

(31) Surah Al-A’raf : Ayat 104-112

Nabi Musa Berjumpa Fir’aun, Menyatakan Tujuannya & Fir’aun Minta Bukti.

Full video : https://youtu.be/ZCjqqP39YGQ?si=AfYR348NDhgE2Oag

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 104 sehingga 112 dalam juzuk kesembilan.
    Alhamdulillah hari ini 15hb Ramadhan, telah berlalu separuh awal bulan Ramadhan, begitu pantas dan laju masa berlalu, semoga kita tidak ketinggalan & masih lagha dalam merebut peluang bulan ibadat yang Allah berikan ini!
    Tertinggal keretapi boleh naik bas, jika ketinggalan kapalterbang kena beli tiket lain jawabnya, atau jika Ramadhan tuggu tahun lain, itupun jika ajal kita masih belum sampai!
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Musa berjumpa Fir’aun, atau bahasa istananya menghadap Firaun sebagaimana arahan Allah SWT.
  1. Nabi Musa menyatakan tujuannya datang iaitu untuk berdakwah kepada agama Allah, bukan sebab nak minta projek atau pangkat kedudukan!
    Musa pergi dengan prinsip, dengan perintah Allah SWT.
  1. Fir’aun memandang lekeh kepada Nabi Musa yang tidak percayainya & minta bukti akan kebenarannya.
    Bila Musa tunjukkan mukjizatnya, Firaun masih tidak percaya dan minta satu tarikh untuk melawan mukjizat Musa.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang khulasah atau Kesimpulan kepada kisah 5 orang Nabi AS dan Allah nyatakan kemudian diutuskan Nabi Musa selepas mereka.

    ii- Datang ayat ini sambungan dari kisah Nabi Musa, bagaimana dia berhadapan dengan Firaun, menyampaikan dakwahnya dan menunjukkan mukjizatnya.
    Yakni Musa sudah masuk ke dalam istana berjumpa Firaun.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 104- {DAN BERKATALAH NABI MUSA: “HAI FIRAUN! SESUNGGUHNYA AKU INI ADALAH SEORANG RASUL DARI TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-A’RAF 7:104)

  1. Nabi Musa AS datang berjumpa Firaun dan menyatakan jawatan & tugasnya sebagai Rasul dari tuhan sekalian alam.
  1. Nabi Musa menekankan tentang Tuhan sekalian alam Ini untuk membatalkan dakwaan Firaun sebelum ini yang mengaku sebagai Tuhan kepada negara Mesir & rakyatnya.
  1. Nabi Musa juga menyeru Firaun: “Hai firaun! {يَـٰفِرْعَوْنُ}.. bukan seperti beberapa nabi sebelum ini yang menyeru kaumnya dengan lebih lunak: {Wahai kaumku, يَـٰقَوْمِ}. Nabi Musa lebih gedebe (berani) dan tegas.

AYAT 105- {“SUDAH SEMESTINYA AKU TIDAK MENGATAKAN SESUATU TERHADAP ALLAH MELAINKAN YANG BENAR. SESUNGGUHNYA AKU DATANG KEPADA KAMU DENGAN MEMBAWA KETERANGAN YANG NYATA DARI TUHAN KAMU. OLEH ITU, BEBASKANLAH KAUM BANI ISRAIL MENYERTAI AKU (KE PALESTIN).} (AL-A’RAF 7:105)

  1. Nabi Musa mengatakan bahawa apa yang diceritakan ini adalah yang benar semuanya bukan rekaannya sendiri.
    Dakwah yang dibawanya adalah wahyu keterangan yang nyata dari Tuhan seluruh manusia.
  1. Nabi Musa juga minta Firaun dan kaumnya untuk membebaskan kaum Bani Israil, iaitu kaum Nabi Musa yang dijadikan hamba oleh mereka untuk dibebaskan.
    Inilah perjuangan yang bukan hanya mementingkan diri sendiri, Nabi Musa ingat akan nasib kaum keluarganya dan cuba menolong nasib mereka yang malang!
    Nabi Musa nyatakan dua tujuannya, menyampaiakn dakwah & perjuangan membebaskan bani Israil dari perhambaan di Mesir.
  1. Nota: Kaum bani Israil pada waktu itu sedang diperhambakan oleh Firaun dan kuncu-kuncunya iaitu Qibti Akbar yang dikerah untuk menjadi hamba & membuat kerja-kerja berat di Mesir.
    Bani Israil ialah keturunan dari zuriat Nabi Yaakub AS kerana gelaran bagi Nabi Yaakub ialah Israil.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {“Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah.} (Taha 20:47)
  1. Inilah perjuangan, tidak lupakan anak beranak & kaum keluarga; Musa tetap dengan pendiriannya minta Firaun bebaskan bani Israil.
    Sedangkan Firaun memandang rendah kepada Nabi Musa sebagai bekas anak angkatnya yang dipungut dari sungai dulu!

AYAT 106- {FIRAUN MENJAWAB: “KALAU BETUL ENGKAU DATANG DENGAN MEMBAWA SESUATU MUKJIZAT MAKA BAWALAH DIA (SUPAYA AKU MELIHATNYA), JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (AL-A’RAF 7:106)

  1. Firaun dengan sombong & takabbur memperlekehkan Nabi Musa dan meminta supaya menunjukkan dalil-dalil & hujjah yang membuktikan kebenaran dakwaannya.
  1. Ayat ditafsirkan dengan ayat ini juga:

    {Nabi Musa menjawab: “Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?”
    Firaun berkata: “Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
    Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
    Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.} (Asy-Syu’ara’ 26: 30-33)

AYAT 107- {NABI MUSA PUN MENCAMPAKKAN TONGKATNYA, MAKA TIBA-TIBA TONGKATNYA ITU MENJADI SEEKOR ULAR YANG JELAS NYATA.} (AL-A’RAF 7:107)

  1. Nabi Musa AS pun mencampakkan tongkatnya yang kecil menjadi ular yang besar, jelas nyata seperti ular yang asli & hidup.
  1. Terkejut juga Firaun melihatnya kerana biasanya ular yang dibuat oleh tukang sihir mereka sebelum ini hanya ular kecil dan tidak jelas.
    Ayat ini sama dengan ayat dari Surah Asy-Syu’ara’ di atas.

AYAT 108- {DAN NABI MUSA MENGELUARKAN TANGANNYA, TIBA-TIBA TANGANNYA (MENJADI) PUTIH (BERSINAR-SINAR) BAGI ORANG-ORANG YANG MELIHATNYA.} (AL-A’RAF 7:108)

  1. Kemudian Nabi Musa mengeluarkan tangannnya dari poket atau lengan bajunya lalu ia menyala menjadi putih bersinar-sinar bagi orang yang melihatnya. Semua yang bersama Firaun dapat melihatnya dengan jelas.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {“Masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat; dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika merasa takut (nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian adalah dua bukti dari Tuhanmu (untuk engkau menunjukkannya) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik, derhaka”} (Al-Qasas 28:32)

AYAT 109- {BERKATALAH KETUA-KETUA DARI KAUM FIRAUN: “SESUNGGUHNYA ORANG INI (MUSA) IALAH SEORANG AHLI SIHIR YANG MAHIR.} (AL-A’RAF 7:109)

  1. Berkatalah para pembesar geng VVIP {ٱلْمَلَأُ} yang duduk di sekeliling Firaun, yang sibuk menjaga kedudukan & kerusi mereka disisi Firaun;
  1. Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
    Mereka tidak mahu menyebut nama Musa bahkan hanya memanggilnya sebagai orang ini {إِنَّ هَـٰذَا} untuk menunjukkan seseorang yang tidak penting dan lekeh bagi mereka.
  1. Mereka terus membuat tuduhan & melabelkan nabi Musa sebagai seorang tukang sihir yang mahir, yang dapat mengaburi mata manusia untuk percaya kepadanya!
  1. Begitulah biasanya mukjizat yang Allah berikan kepada para Nabi yang diutuskan adalah sesuatu yang popular & masyhur di kalangan kaumnya pada waktu itu!
    Zaman Firaun, yang masyhur pada waktu itu ialah para ahli sihir yang dapat mengadakan ular-ular dari tali dan kayu-kayu.
    Lalu mereka terus menuduh nabi Musa sebagai ahli sihir juga!

AYAT 110- {“IA BERTUJUAN HENDAK MENGELUARKAN KAMU DARI NEGERI KAMU”. (FIRAUN BERTANYA): “OLEH ITU, APA YANG KAMU SYORKAN?”} (AL-A’RAF 7:110)

  1. Para al-Mala’ {ٱلْمَلَأُ} itu terus menghasut dan memasukkan jarum kepada Firaun: Jangan mudah terpedaya & percaya kepadanya tuanku, sesungguhnya dia ahli sihir yang mahu merebut kekuasaan dan mengeluarkan kita semua dari negeri kita ini dan mahu menjadi ketua di sini.
  1. Mendengarnya Firaun bertanya kepada para penasihantnya itu apakah pandangan dan tindakan yang mereka syorkan untuk diambil ke atas Musa???

AYAT 111- {MEREKA BERKATA: “TANGGUHKANLAH DIA DAN SAUDARANYA (DARIPADA DIJATUHKAN SEBARANG HUKUMAN) SERTA UTUSLAH KE BANDAR-BANDAR (DI MERATA-RATA NEGERI MESIR UNTUK) MENGUMPULKAN (AHLI-AHLI SIHIR);} (AL-A’RAF 7:111)

  1. Mereka memberi pendapat agar jangan dijatuhkan lagi hukuman ke atas Musa dan saudaranya Harun!
  1. Mereka beri cadangan agar diutuskan tentera/polis ke seluruh bandar di pelusuk negeri Mesir untuk mencari ahli-ahli sihir yang ada.
  1. Sebagaimana dalam Kitab Safwatut-Tafasir (صفوة التفاسير) karya Syeikh Muhammad Ali Ash-Shabuni dikatakan terdapat lebih kurang 15,000 ahli sihir yang ada di Mesir pada ketika itu!

AYAT 112- {“YANG KELAK AKAN MEMBAWA KEPADAMU SEGALA AHLI SIHIR YANG MAHIR”.} (AL-A’RAF 7:112)

  1. Kemudian mereka akan membawa yang terpilih ahli sihir yang mahir & hebat; untuk datang ke bandar kepada Firaun.
    Firaun pun setuju dengan cadangan itu untuk tangguhkan hukuman dan bertemu pada suatu hari yang ditetapkan!
  1. Apa yang akan terjadi apabila mereka ini dikumpulkan?
    Untuk tujuan apa?
    Kita tunggu sambungannya dalam ayat seterusnya insya’ Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 103- {Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.}-
    Kisah Nabi Musa & Firaun adalah cerita yang keenam dari kisah-kisah nabi yang terdapat dalam Surah Al-A’raf.
    Disebut nama Nabi Musa dalam al-Quran lebih daripada 130 kali.
    Kisahnya detail & terperinci sejak dari lahir, membesar, pergi ke Madyan, kahwin, balik semula ke Mesir, berlawan dengan Firaun dan selepas kebinasaan Firaun, berlawan dengan kaumnya yang ingkar & banyak ragam pula!
    Sebagaimana yang telah DAAM sebut semalam sebuah Kitab yang menarik dan lengkap yang mengumpulkan semua ayat-ayat al-Quran tentang kisah nabi-nabi; termasuk kisah Nabi Musa ini menjadi satu plot & susunan yang teratur & lengkap iaitu:
    Kitab Qasas al-Qur’ani (القصص القرآني) oleh Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi (د. صلاح عبد الفتاح الخالدي)- Ia tafsirkan ayat dengan ayat-ayat al-Quran yang lain, dengan hadis Nabi SAW dan dengan athar (kisah sahabat) yang sahih.
    Syeikh sangat teliti & menolak riwayat israiliyyat.
    Dalam lima kisah nabi-nabi terdahulu yang lain, urutannya kisahnya; diutuskan kepada kaumnya, berdakwah kepada mereka, mereka menentang rasul, lalu dibinasakan.
    Tetapi dalam kisah Nabi Musa Allah bawa hukum dulu, bahawa orang yang zalim iaitu Firaun akan binasa barulah dikisahkan tentang perjalanan dakwah Nabi Musa.

    Apakah hikmahnya?
    Jawapannya:
    i- Untuk menjadikan kesinambungan ibrah pengajaran antara kisah Nabi Musa ini dengan kisah para nabi yang sebelumnya.
    Kaum yang terdahulu telah binasa, maka Firaun juga akan binasa!!
    Kerana itu diwartakan terus bahawa Firaun akan binasa!

    ii- Juga untuk menyatakan sesiapa saja yang menentang dakwah para nabi walaupun dia seorang raja yang berkuasa besar pemerintahan & kerajaannya seperti Firaun itupun akan tetap binasa!
    Maka oleh kerana cerita ini Allah firmankan kepada Rasulullah SAW; maka Baginda Nabi jangan runsing, mereka yang menentangnya sama ada Abu Lahab, Abu Jahal dan sesiapa saja akan binasa jua akhirnya.
  1. Ayat 106- {Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.}-

    Dalam kes Nabi Musa, dia tidak gopoh & lorat untuk menunjukkan kekuatan atau mukjizat yang dia ada, yang diberi Allah!
    Nabi Musa tidak terus menunjukkan mukjizat dan buktinya, dia datang berjumpa Firaun dan menyatakan tujuan & tugasnya dulu iaitu sebagai utusan Tuhan sekelian alam untuk mengajak Firaun beriman kepada-Nya.
    Nabi Musa tidak terus menunjukkan senjata peliknya (mukjizat) yang dia ada, Musa mulakan dengan dakwah dulu, apabila Firaun minta bukti baru dia tunjukkan.

    Kita pun begini juga jika nak berlawan, berhujjah dengan orang jangan terus tunjukan apa senjata yang kita ada, bila nampak lawan sudah panas baru keluarkan buah kilas yang kita ada.
  1. Ayat 104- {Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.}-

    Nabi Musa menyatakan Firaun bahawa dia adalah seorang rasul utusan dari Tuhan sekalian Alam.
    {إِنِّى رَسُولٌۭ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ}.
    Perbincangan:
    Kenapa Nabi Musa AS tak kata bahawa dia rasul dari Allah tetapi rasul dari Tuhan Pemilik alam?
    Jawapannya: terdapat beberapa hikmahnya:

    i- Oleh kerana dia (Musa) adalah utusan dari Pemilik alam ini, maka Firaun sebagai sebahagian dari makhluk alam ini, maka dia kena terimalah dakwah ini!
    Jangan dok sombong keras kepala!
    Contoh hari ini pegawai datang bawa & tunjuk kad kuasanya kepada kita!

    ii- Untuk membatalkan dakwaan Firaun bahawa kononnya dia adalah Tuhan kaumnya & negeri Mesir. Yakni bukan kamu Firaun Tuhan tetapi ada Tuhan lain yang menjadi pemilik alam ini!
    Terdapat juga cerita Israiliyyat tentang kisah pengakuan Firaun sebagai Tuhan ini!

    iii- Nabi Musa menggunakan perkataan Rabb { رَّبِّ }, sebagai Tuhan yang mencipta, mendidik, yang mentadbir & menyusun atur dunia ini!
  1. Ayat 107- {Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.} &
    Ayat 108- {Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.}-


    Inilah dua mukjizat yang diberikan Allah kepada Nabi Musa AS : tongkat kayunya menjadi ular & tangannya mengeluarkan cahaya yang terang.
    Walaupun Allah hanya beri dua saja mukjizat kepada Nabi Musa AS tetapi ia adalah sesuatu yang besar dan mukjizat yang amat memberi kesan kepada Firaun dan kaumnya:
    i- Tongkat kayunya yang kecil, yang biasa digunakan untuk mengembala kambingnya menjadi seekor ular yang besar dan hidup dengan sebenarnya.

    ii- Dan tangannya sendiri yang bercahaya yang dapat dilihat dengan jelas oleh Firaun dan para pengikutnya.
    Bagi para nabi ia dipanggil mukjizat manakala untuk orang lain jika ada yang luar biasa yang diberi Allah dipanggil karamah.
    Tetapi karamah ini bukan boleh dibuat atau direka-reka, jika ada orang mengaku dia ada karamah untuk mnyebarkan ajaran sesat pula, itu semua adalah mengarut & dakwaan palsu.
    Mungkin setengah main sihir siapa orang taksub kepadanya.
    Seorang pendakwah juga perlu ada senjata dan kekuatannya yang dapat menarik minat & perhatian orang ramai.
    Sama ada seperti kepetahan bercakap, bahasa yang indah & mudah difahami, boleh bersajak & berqasidah tetapi bukan melampau & pelik-peliklah sehingga tidak dapat difahami orang pula!
  1. Ayat 111- {Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);}-

    Kata ahli sejarah : Ini menunjukkan ramainya ahli sihir pada zaman Firaun itu seperti kata kitab tadi dalam 15,000 orang.
    Tetapi bukan semua dibawa untuk berlawan dengan nabi Musa, hanya yang mahir dan power saja yang terpilih untuk dibawa ke bandar menghadap Firaun.
    Kata ulama’ : Para rasul itu akan diberi mukjizat mengikut zamannya.
    Yakni yang seumpama dengan sesuatu yang menjadi trend pada waktu itu!
    Seperti pada zaman Rasulullah SAW kaumnya Quraisy pada masa itu masyhur dengan sastera, bahasa yang puitis, syair dan qasidah, dibuat pertandingan dan siapa yang menang karyanya akan digantung pada kelambu Ka’bah sebagai satu penghormatan.
    Maka apabila Rasulullah SAW bawa datang al-Quran, para pembesar, pakar bahasa Quraisy dan para sasterawannya mendengar ayat-ayat al-Quran, mereka mengatakan ini bukan syair, sihir atau percakapan manusia biasa.
    Tetapi begitulah perangai si kafir.

    Nabi Isa AS kerana kaumnya mengatakan dia anak Tuhan pada zamannya maka Allah berinya mukjizat yang sangat pelik, tangannya mempunyai kuasa sapuan yang boleh; menghidupkan orang mati, mencelikan orang buta, menyembuhkan penyakit dan seumpamanya.
    Itu sebagai satu ujian bagi mereka juga!
    Nabi Musa pula kerana pada zaman itu manusia gilakan sihir, Allah beri dia mukjizat yang seakannya juga!

    Begitulah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
    Tiada satu nabi kecuali telah diberikan mukjizat/bukti yang membuat manusia beriman. Sesungguh Aku, diberikan wahyu.
    Aku berharap akulah nabi yang paling ramai pengikutnya di hari akhirat.”

    [HR Bukhari & Muslim].

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Insya’ Allah, kita akan sambung esok apakah yang berlaku antara nabi Musa & para tukang sihir yang dikumpulkan Firaun itu.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs