LARANGAN MEMAKI SEMBAHAN KAFIR, MEREKA MINTA MUKJIZAT & HATI DAN MATA MEREKA TAK NAMPAK KEBENARAN.
Full video : https://youtu.be/5xDhOd3gKQk?si=B10sYhOtKY1LXKRM
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 108 sehingga 110 dalam juzu’ ketujuh.
- Alhamdulillah ini adalah penghujung juzuk ketujuh.
Ini adalah anugerah Allah kepada kita, mudah-mudahan kita memahami apa yang kita belajar dan beramal dengan apa yang kita tahu!
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang larangan terhadap orang Islam daripada memaki sembahan orang kafir.
Islam larang kita dari bermulut celupar, jika nak berdakwah, hendaklah dengan baik & penuh hikmah.
- Puak kafir juga datang bersumpah, minta dengan Rasulullah SAW tanda-tanda mukjizat bukti kebenarannya.
- Kemudian Allah nyatakan bahawa mereka itu, hati dan mata mereka telah tertutup, tak nampak kebenaran lagi.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah banyak memberi peringatan, amaran & teguran kepada mereka yang mengadakan sekutu & berbuat syirik kepada Allah SWT.
Maka kita orang Islam pun terasa untuk pergi mengata dan mencela sembahan mereka yang karut & sesat itu.
ii- Maka datang ayat ini Allah larang orang Islam daripada memaki dan mencela sembahan mereka kerana dikhuatiri akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar iaitu mereka akan mencela Tuhan kita pula!
Boleh tegur dan nyatakan kesalahan mereka itu dengan cara yang baik & berhikmah.
Bukan dengan celaan & hinaan, Islam adalah agama yang penuh dengan kemuliaan & akhlak mulia.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 108- {DAN JANGANLAH KAMU CERCA BENDA-BENDA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH, KERANA MEREKA KELAK, AKAN MENCERCA ALLAH SECARA MELAMPAUI BATAS DENGAN KETIADAAN PENGETAHUAN. DEMIKIANLAH KAMI MEMPERELOKKAN PADA PANDANGAN TIAP-TIAP UMAT AKAN AMAL PERBUATAN MEREKA, KEMUDIAN KEPADA TUHAN MEREKALAH TEMPAT KEMBALI MEREKA, LALU IA MENERANGKAN KEPADA MEREKA APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:108)
- Allah SWT mengingati dan melarang orang Islam daripada pergi mencela memaki & menghina sembahan orang bukan Islam yang lain walaupun apa saja sembahan yang diangap Tuhan oleh mereka itu.
- Ini kerana kita tidak mahu mereka mencela menghina Allah Tuhan kita pula dengan sebab mahu membalas perbuatan kita tadi.
Maka jangan biarkan pintu fitnah itu terbuka untuk orang masuk hina & kutuk agama kita pula!
Jika kita tidak mahu kena pukul jangan pukul orang dulu.
Bak pepatah Arab: Siapa memukul akan dipukul! «من دَق دُق»
- Kita memang kena nyatakan kesesatan mereka, sampaikan kebenaran; tetapi ada uslub dan gaya bahasanya,
Islam ada caranya yang tersendiri yang boleh harmonikan masyarakat dalam apa cara sekalipun.
Tetapi jangan sampai cuai pula membiarkan agama lain naik tanpa sekatan.
- Allah jadikan puak kafir itu berasa gembira dengan sembahan mereka, taat kepada syaitan, sayang akan akan patung mereka, puja puji berhala mereka.
Setiap orang akan berasa perbuatan & amalan mereka itu baik dan elok, agama mereka itu benar dan sembahan mereka itu mulia!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya:
{Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.} (Faatir 35:8)
Amalan buruk tetapi dihiaskan oilh syaitan menjadi seolah baik & elok.
- Kita kena ingat dan sedar bahawa setiap perbuatan & perkataan kita atas dunia ini, di Akhirat kelak kita akan dipertanggungjawab di hadapan Allah Azza wa Jalla.
Segalanya akan terserlah, jika buat baik akan dapat baiklah, jika buat jahat maka buruk & jahat jugalah balasannya!
- Apakah kita perlu maafkan orang yang buat jahat terhadap kita?
Orang yang menfitnah, menuduh buat jahat, dengan kata-kata buruk terhadap kita??
- Sebagaimana pandangan seorang Syeikh M Soleh RHM:
i- Jika tuduhan itu dibuat kerana orang itu benar-benar tidak tahu atau kerana memang dia tersalah, atau memang syeikh salah; dia akan maafkan dan moga Allah maafkan juga.
ii- Tetapi jika tuduhan itu jahat, dibuat dengan tujuan untuk menjatuh dan memburukkanya yakni mereka tahu tuduhan itu hanya fitnah; dia tidak akan maafkan mereka, akan berhujjah dengan mereka di Akhirat kelak!
- Maka ingatlah bahawa kepada Tuhan-lah tempat kembali kita semua, lalu akan didedah, diterangkan kepada mereka apa yang telah kita lakukan dulu!
Ingat kita ada mahkamah di Akhirat kelak!
AYAT 109- {DAN MEREKA PULA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, DENGAN MENEGASKAN SUMPAH MEREKA BERSUNGGUH-SUNGGUH, BAHAWA SESUNGGUHNYA JIKA DATANG KEPADA MEREKA SESUATU MUKJIZAT (SEBAGAIMANA YANG MEREKA MINTA ITU), TENTULAH MEREKA AKAN BERIMAN KEPADANYA. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “BAHAWA SOAL MENDATANGKAN MUKJIZAT-MUKJIZAT ITU HANYALAH ALLAH YANG MENENTUKANNYA, DAN KAMU TIDAK MENYEDARI (WAHAI ORANG-ORANG ISLAM), BAHAWA APABILA MUKJIZAT-MUKJIZAT (YANG MEREKA MINTA) ITU DATANG, MEREKA JUGA TIDAK AKAN BERIMAN.} (AL-AN’AM 6:109)
- Kemudian puak kafir datang di hadapan Nabi SAW meminta pelbagai mukjizat yang pelik untuk menunjukkan bukti kebenarannya.
Jika datang mukjizat itu mereka bersumpah mereka akan beriman.
Contoh antara permintaan mereka, minta bukit menjadi emas, sungai-sungai mengalir di dalam kota Makkah dan seumpamanya.
- Lalu Allah suruh Nabi SAW menjawab kepada puak kafir yang menuntut dengan penuh kedegilan & keras kepala, dengan tuntutan penuh cabaran dan mendustakan bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, Nabi SAW tidak ada kuasa.
- Tetapi ingat: Jika Allah tunaikan permintaan mereka itu tetapi masih tidak beriman maka pastilah Allah akan mendatangkan azab bencananya, memusnahkan mereka atas dunia lagi!
Maka Rasulullah SAW sebagai Rahmatan lil-Alamin pastilah tidak mahu hal ini terjadi lalu tidak layan permintaan mereka itu!
Baginda berharap semoga akhirnya mereka akan insaf & beriman!
- Allah nyatakan lagi, beri kata putus bahawa mereka itu tetap tidak akan beriman.
Walaupun selepas melihat mukjizat Yang diberikan kepada Nabi SAW; mereka akan terus mendustakan & menuduhnya sebagai tukang sihir pula!
AYAT 110- {DAN KAMI PALINGKAN HATI MEREKA DAN PEMANDANGAN MEREKA SEBAGAIMANA MEREKA TELAH TIDAK (MAHU) BERIMAN KEPADA (AYAT-AYAT KAMI KETIKA DATANG KEPADA MEREKA) PADA AWAL MULANYA, DAN KAMI BIARKAN MEREKA MERABA-RABA DI DALAM KESESATANNYA DENGAN BINGUNG.} (AL-AN’AM 6:110)
- Allah nyatakan bahawa hati mereka kafir itu telah dipalingkan dari beriman, mereka tidak berakal dan mata mereka telah ditutup dari melihat kebenaran.
- Ini kerana mereka telah menolak al-Quran semenjak dari awal lagi, apabila dengar al-Quran mereka terus menolak & mendustakannya!
- Kita orang beriman apabila dengar al-Quran, dengar apa yang diajar oleh al-Qura,n dibawa oleh Rasulullah SAW, huraian para ulama’ muktabar, kita terima, patuh taat kepadanya sepenuhnya!
- Allah telah buka pintu kebaikan kepada mereka, tunjukkan jalan kebenaran tetapi mereka tetap menolak tidak mahu ikut!
- Maka selepas diberi semua peluang itu mereka menolaknya; Allah pun terus menutup pintu hati daripada menerima kebenaran, biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.
Inilah balasan yang setimpal!
- Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik derhaka.} (As-Saff 61:5)
- Hadis- Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As berkata bahawa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
اللَّهِ بْن عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya hati-hati anak Adam semuanya di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya. Kemudian Baginda berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang memalingkan hati-hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu” (Sahih Muslim, no: 2654).
Hati ini seolah air mendidih cepat dia berubah.
- Allah biarkan mereka terumbang-ambing, meraba dalam kesesatan.
Yakni Allah palingkan hati mereka daripada hidayah kebenaran lalu mereka dikuasai oleh syaitan! Wal-‘iyazu billah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 108- {Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah,…}-
Kamu jangan hina agama orang lain, jangan kutuk Tuhan mereka.
Orang Islam disekat, dilarang daripada melakuakn perbuatan yang boleh mengundang tindak balas buruk orang kafir terhadap agama & Tuhan kita!
Kita tidak mahu perkara itu berlaku.
Persoalan:
Kenapa Allah larang sedangkan kewajipan kita untuk menyatakan kesesatan mereka itu?
Jawapan:
Allah benarkan kita nyatakan kesesatan menyembah berhala tetapi dilarang daripada mulut celupar memaki hamun dan menghina.
Ini adalah kaedah untuk menyekat perkara yang lebih buruk lagi. [سد الذرائع].
Hadis: Janganlah mengejek ibu bapa orang lain, kerana nanti mereka akan membalas mengejek ibu bapa kita.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ .قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ : يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أَمَّهُ.
Maksudnya: Abdullah bin ‘Amru RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara dosa besar yang paling besar ialah seseorang melaknat ibu bapanya sendiri. Baginda ditanya: Ya Rasulullah, bagaimana seseorang itu melaknat kedua ibu bapanya? Baginda menjawab: Seseorang mengejek bapa orang lain, lalu orang itu membalas dengan mengejek ayah dan ibunya.” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 5973]
Maka jangan cari pasal, cari masalah nanti ia akan menimbulkan masalah dan kesusahan yang lebih besar yang tidak sepatutnya.
Walaupun sesuatu itu baik tetapi jika ia boleh mengundang masalah yang lebih besar kita jangan buatnya!
Maka para pendakwan gunalah uslub & perkataan yang baik dan penuh hikmah.
- Ayat 108- {Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka,…}-
Setiap orang berasa agama, mazhab & pegangannya yang paling baik.
Kata ulama’ tadabbur:
i- Amalan yang elok, yang disuruh oleh Allah SWT telah diperhiaskan oleh para malaikat, nabi-nabi & ulama’ orang mukmin.
Para ulama’ akan mempamerkan kebaikan.
Kerana itu kita boleh pamerkan amalan yang baik bukan nak riya’ tetapi nak mengajar dan menyebarkan amalan yang sahih, Sunnah Nabi SAW yang betul.
Agar orang nampak untuk dijadikan contoh & ikutan yang baik.
ii- Manakala syaitan jin atau manusia pula berkempen benda yang buruk!
Dihiasinya amalan yang buruk sehingga menjadi elok dan indah.
Seperti tabarruj, pergaulan bebas. Pesta hiburan dan lain-lain.
Kata Syeikh al-Fudhail bin Iyadh RHM amalan itu benar & diterima di sisi Allah:
i- Kena ikhlas
ii- Mengikut apa yang diajar oleh Nabi SAW, barulah lengkap!
Kena ada dua-dua barulah sempurna dan lengkap, ikhlas saja tak ikut Nabi tak jadi, begitu juga sebaliknya!!
- Ayat 109- {Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya.}-
Puak kafir ini bersumpah kepada Rasulullah SAW jika permintaan mereka ditunaikan, mereka akan beriman!
Tetapi Allah nyatakan mereka tidak akan beriman, hanya sumpah palsu saja!
Mereka tetap akan mendustakan dan menolak dakwah Nabi SAW. Maka jangan percaya akan janji mereka itu!
Maka kita jangan ikut dan jangan layan permintaan yang pelik, yang karut yang tidak melambangkan amalan soleh yang boleh membawa kepada lagha & lalai.
Syaitan akan menghiasi segala perbuatan buruk agar menjadi indah dan elok!
Kosmetik adalah perhiasan untuk menutup yang tercela.
- Ayat 110- {Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya,…}-
Allah kata Kami palingkan hati mereka kerana tidak mahu beriman dari awal lagi!
Kerana sepatutnya apabila mereka tengok mukjizat, ayat & dalil yang Nabi SAW bawa, mereka terima kebenaran itu dari awal lagi setelah mereka lihatnya.
Tetapi tidak, mereka terus menolak dan menentangnya lalu Allah palingkan terus hatinya daripada menerima kebenaran!
Tinggalkanlah mereka ini kerana hanya akan buang masa saja.
Sama seperti orang bukan Islam yang tidak tahu apa-apa, sekali dia dengar hujjah yang benar dia akan terimanya; tetapi jika terlalu banyak membaca & mengkaji tak habis-habis maka lambatlah terbuka hati untuk benar-benar memeluk Islam.
Begitulah kita jika nak jadi baik & terima kebenaran, sekali dengar akan terus berubah ke arah kebaikan.
Tetapi walaupun sudah tahu & dengar banyak kali; jika menangguh-nangguhkan akan bertambah payah untuk berubah dan meninggalkan keburukan.
Ramai pencinta ilmu, pengikut setia ustaz tapi masih lagi tidak tinggal tabiat buruk menghisap rokok.
- Ayat 110- {Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka…}-
Allah kata Dia palingkan mata & hati mereka, maka tidak akan terima kebenaran lagi!
Kata ulama’ : Hati itu apabila sudah keras ia tidak akan terima nasihat & kebenaran lagi.
Biasanya Allah sebut hati & mata bersama, sinonim, seperti dalam ayat ini Allah kata dia balikkan mata dan hati mereka. Kenapa?
Jawapan:
Ini kerana mata adalah jendela kepada hati, yang paling rapat dengan hati.
Tidak akan sampai maklumat kepada hati jika mata tidak tengok, mata adalah jalur yang menyampaikan kepada hati.
Maka Allah SWT kumpulkan mata & hati bersama.
Sebagaimana firman Allah SWT juga:
i- {… mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.} (An-Nur 24:37)
ii- {… dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.} (Al-Ahzab 33:10)
iii- {Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, Pemandangannya tunduk gerun.} (An-Nazi’at 79: 8-9)
Dua alat ini juga ada pandangan, kerana itu disebut pandangan mata & tilikan hati, dua ini rapat.
Kerana itu Allah kembarkan dua ini juga kerana jika mata itu celik & lihat kebenaran, hati juga akan melihatnya dan terbuka menerima kebenaran; maka orang ini akan beriman kepada Allah SWT!!
Ya Allah bukakanlah mata kami, jadilah mata kami penyuluh kebenaran, mata yang mencari kebenaran & lapangkan dada kami, cerahkan hati kami untuk menerima kebenaran supaya kami aman di dunia & selamat di Akhirat kelak.
Dengan tamatnya ayat 110 ini tamatlah kita juzuk yang ketujuh, alhamdulillah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.