Nabi Musa AS Campak Tongkatnya, Ahli Sihir Beriman & Fir’aun Memberi Ancaman.
Full video : https://youtu.be/rq4gf8DpAM0?si=7bQX-7eIkJ2Dx2cP
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 117 sehingga 126 dalam juzuk kesembilan.
- Hari ini adalah hari ini dalam sejarah Islam, pada 17hb Ramadhan tahun ke-2H, satu peristiwa yang besar telah berlaku dalam sejarah Islam iaitu:
i- Peperangan Badar al-Kubra, peperangan pertama dalam Islam yang Allah sebut dalam beberapa ayat dalam al-Quran.
ii- Tidak seimbang dari sudut bilangan tentera, kekuatan serta senjata yang mana tentera Islam kekurangan dari segi semuanya.
Tetapi dengan pertolongan Allah tentera yang lemah & dhaif menang besar.
iii- Peperangan yang membawa kemenangan besar kepada Islam, penentuan antara haq & batil!
Manakala tentang nuzul al-Quran ada beberapa riwayat yang berlainan tarikh dan hari ini adalah salah satu darinya.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Musa AS, campak tongkatnya, selepas para ahli sihir Fir’aun mencampakkan dulu alat-alat mereka.
Jika Nabi Musa AS berhadapan dengan Fir’aun Ramses, Rasulullah SAW pula berhadapan dengan Abu Jahal iaitu Fir’aun umat ini!
Bagaimana para ahli sihir setelah melihat kehebatan mukjizat Nabi Musa AS yang mereka tahu bukan sihir, terus beriman & sujud secara spontan.
- Apabila Fir’aun melihat kelakuan para ahli sihir ini; terus memberi ancaman untuk menyiksa & membunuh mereka!
Tetapi apabila keimanan yang masuk adalah jelas & mantap ia tidak memberi kesan kepada para ahli sihir itu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Musa berunding menyuruh para ahli sihir mencampakkan dulu alat-alat sihir mereka.
Lalu tali & tongkat mereka itu menjadi seolah ular yang hidup & bergerak, mengelabui mata manusia.
ii- Maka datang dalam ayat ini, tibalah pula giliran Nabi Musa AS mencampakkan tongkatnya, lalu berlakulah mukjizat yang agung yang pasti mengalahkan semua sihir yang ada, penentuan antara haq & batil juga!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 117- {DAN KAMI WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA: “CAMPAKKANLAH TONGKATMU!” MAKA TIBA-TIBA TONGKAT ITU MENELAN APA YANG MEREKA PURA-PURA ADAKAN (DENGAN SIHIR MEREKA).} (AL-A’RAF 7:117)
- Allah ceritakan bahawa Dia telah memberi wahyu kepada Nabi Musa AS untuk mencampakkan tongkat yang ditangannya.
Dengan nama Allah, Nabi Musa mencampakkan tongkatnya!
- Lalu tongkat itu menjadi ular besar yang benar-benar hidup, bergerak ke arah ular-ular kecil kepunyaan ahli sihir dan menyedut (seruk) kesemuanya!
Jadi habis alat-alat penyihir ditelannya.
AYAT 118- {MAKA SABITLAH KEBENARAN (MUKJIZAT NABI MUSA), DAN BATALLAH (SIHIR) YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-A’RAF 7:118)
- Maka jelas dan sabitlah kebenaran & kehebatan mukjizat Nabi Musa, bukan sihir seperti yang mereka buat itu!
- Maka terbatallah segala sihir yang mereka para ahli sihir buat & terserlahlah kebenaran Nabi Musa AS.
Kosong habis hilang segala alat-alat sihir mereka.
AYAT 119- {OLEH ITU, KALAHLAH FIRAUN DAN KETUA-KETUA KAUMNYA DI SITU DAN KEMBALILAH MEREKA DENGAN KEADAAN YANG HINA.} (AL-A’RAF 7:119)
- Maka kalahlah Fir’aun dan para ketua-ketua kaum yang bersamanya, juga para ahli sihir yang bersemangat tadi!
Mereka semua menjadi orang yang hina dan penuh kerendahan!
- Tetapi ahli sihir hanya menjadi orang yang hina buat sementara sahaja, apabila mereka sedar dan menzahirkan keimanan mereka & sujud kepada Allah Tuhan sekelian alam, mereka menjadi orang yang mulia!
- Allah kata mereka telah dikalahkan { فَغُلِبُوا۟}, iaitu oleh Allah SWT yang Maha Berkuasa, bukan Nabi Musa yang mengalahkan Fir’aun, tetapi dengan bantuan kuasa Allah SWT!
AYAT 120- {DAN (KEMENANGAN NABI MUSA MENJADIKAN) AHLI-AHLI SIHIR ITU DENGAN SENDIRINYA MEREBAHKAN DIRI MEREKA SUJUD,} (AL-A’RAF 7:120)
- Setelah melihat betapa agung & besarnya kuasa Allah SWT dan mereka tahu Musa benar, para ahli sihir insaf & sedar lalu terus merebahkan diri mereka bersujud kepada Allah Azza wa Jalla!
AYAT 121- {SAMBIL BERKATA: “KAMI BERIMAN KEPADA TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-A’RAF 7:121)
- Mereka bersujud sambil berkata: “kami beriman kepada Tuhan sekalian alam”
Untuk memaklumkan & menjelaskan bahawa mereka bukan sujud kepada Fir’aun, tetapi kepada Tuhan sekelian alam.
AYAT 122- {“(IAITU) TUHAN BAGI NABI MUSA DAN NABI HARUN”.} (AL-A’RAF 7:122)
- Iaitu Tuhan bagi nabi Musa dan Nabi Harun! Maka tiada sebarang keraguan & kesamaran lagi bahawa mereka sujud & beriman kepada Allah SWT.
- Mereka sebut nama dua nabi ini untuk menunjukkan syukur mereka kerana mereka beriman dan tahu kebenaran dengan sebab dakwah & kebenaran yang dibawa oleh mereka berdua.
Sebagai tanda terima kasih dan mengenang jasa Nabi Musa & Harun.
- Kita pun begitu juga elok, sebut jasa orang yang menyedarkan kita, yang memberi ilmu & tunjuk ajar ke arah agama dan kebaikan kepada kita!
AYAT 123- {FIRAUN BERKATA: “PATUTKAH KAMU BERIMAN KEPADANYA SEBELUM AKU MEMBERI IZIN KEPADA KAMU? SESUNGGUHNYA INI ADALAH PERBUATAN TIPU DAYA YANG KAMU LAKUKAN DALAM BANDAR INI KERANA KAMU HENDAK MENGELUARKAN PENDUDUKNYA DARI PADANYA. OLEH ITU, KAMU AKAN MENGETAHUI (AKIBATYA).} (AL-A’RAF 7:123)
- Melihat itu Fir’aun sangat marah lalu berkata : Apakah patut kamu semua beriman sebelum aku mengizinkannya????
Gila bertambat, tidak keruan jadinya Fir’aun!
- Fir’aun terus membuat tuduhan bahawa semua ini adalah:
i- Perbuatan tipu daya iaitu komplot & perancangan awal antara Musa & para ahli sihir; Musa ketua mereka sebenarnya!
ii- Tujuan mereka untuk mengambil alih kuasa di Mesir dan menghalau keluar penduduk asalnya iaitu Fir’aun dan kaum Qibti.
Inilah tuduhan Fir’aun kepada Musa & ahli sihir yang beriman.
- Maka tunggulah akibatnya kerana perbuatan kamu beriman tanpa izin Fir’aun!!!!
Fir’aun terus membuat hukuman & ancaman!
- Allah SWT juga telah berfirman:
{Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu…} (Taha 20:71)
AYAT 124- {“DEMI SESUNGGUHNYA, AKU AKAN MEMOTONG TANGAN DAN KAKI KAMU DENGAN BERSILANG, KEMUDIAN AKU AKAN MEMALANG KAMU SEMUANYA”.} (AL-A’RAF 7:124)
- Lalu Fir’aun menjatuhkan hukuman untuk menyiksa para ahli sihir dengan:
i- Memotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang, iaitu potong tangan kanan dengan kaki kiri atau sebaliknya.
ii- Kemudian dia akan memalang (menyalib) mereka semuanya, iaitu gantung di pokok atau tiang supaya boleh dilihat oleh semua orang!
- Allah SWT telah berfirman:
{… Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.} (Taha 20:71)
AYAT 125- {MEREKA MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA KAMI (TIDAK GENTAR) KERANA KEPADA TUHAN KAMILAH KEMBALINYA KAMI (DAN KEPADANYALAH KAMI MENGHARAPKAN KEAMPUNAN DAN RAHMATNYA).} (AL-A’RAF 7:125)
- Tetapi semua ugutan & ancaman itu tidak memberi kesan kepada para ahli sihir yang telah beriman sepenuhnya kepada Allah itu!
Iman itu apabila telah masuk ke dalam hati dengan mantap tidak akan keluar lagi, hanya nyawa yang akan keluar meninggalkan badan!
- Mereka tidak gentar & goyah sedikitpun kerana mereka tahu:
i- Mereka akan kembali kepada Tuhan mereka yang Maha Agung & Maha Kuasa.
Tidak sabar lagi untuk kembali kepada Tuhan!
ii- Mereka amat mengharapkan keampunan dan rahmatNya!
Allah Akbar, betapa mantap dunia sucinya keimanan mereka!
- Beberapa firman Allah SWT lagi tentang kisah ini!:
i- {Mereka menjawab: “(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.
“Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)”.} (Asy-Syu’ara’ 26: 50-51)
ii- {Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.} (Taha 20:72)
AYAT 126- {“DAN TIDAKLAH ENGKAU (HAI FIRAUN) MARAH (DAN BERTINDAK MENYEKSA) KAMI MELAINKAN KERANA KAMI BERIMAN KEPADA AYAT-AYAT TUHAN KAMI, KETIKA SAMPAINYA KEPADA KAMI”. (MEREKA BERDOA): “WAHAI TUHAN KAMI, LIMPAHKANLAH KESABARAN KEPADA KAMI, DAN MATIKANLAH KAMI DALAM KEADAAN ISLAM (BERSERAH BULAT-BULAT KEPADAMU)”.} (AL-A’RAF 7:126)
- Ahli sihir sedar dan tahu sebab Fir’aun nak marah & menghukum mereka adalah kerana mereka terus beriman kepada ayat ayat Tuhan ketika sampainya kepada mereka kebenaran.
- Kemudian para ahli sihir ini berdoa dengan doa yang indah yang boleh kita jadikan doa kita juga:
{رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ}
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.
Yakni kita minta kepada Allah:
i- Agar diberi kesabaran dalam tiga perkara,
ii- Agar kita mati dalam Islam & jangan di luar Islam.
- Timbul persoalan apakah Fir’aun jalankan sungguh hukuman tersebut ke atas para ahli sihir ini kerana Allah tidak sebutnya lagi dalam al-Quran.
Ceritanya hanya selesai di situ.
Kita pun cuba carinya juga dan menemui beberapa pandangan ulama’ ini:
i- Kata Ibnu Kathir RHM : Bahawa berkata Ibnu Abbas, Ubaid ibnu Umair & Qatadah dan Ibnu Juraij:
Mereka ini pada awal hari adalah ahli sihir yang mahu melawan Nabi Musa tetapi di akhir hari telah menjadi para syuhada’!
Analisa dari Ibnu Asyur RHM :
i- Dalam al-Quran tidak menyebut lansung apakan pengakhiran yang dilakukan oleh Fir’aun ke atas ahli sihir.
ii- Ini kerana ayat al-Quran hanya mahu bawa iktibar untuk menunjukkan bahawa kebenaran itu apabila kita sudah nampak mesti diambil terus.
iii- Keimanan apabila telah masuk ke dalam hati dengan mantap ia tidak akan keluar lagi hatta keluar nyawa!
iv- Untuk menunjukkan sokongan Allah terhadap Nabi Musa AS, Allah cerahkan dada ahli sihir sehingga mereka boleh beriman dengan begitu cepat!
Kata Ibnu Asyur juga : Sesiapa yang mencari tafsir cerita selebih daripada itu, maka ia sudah melampaui (over) dalam menafsir ayat.
- Al-Quran ini bukan seperti novel yang mesti ada ending cerita, ia hanya mahu bawa iktibar, petunjuk & pengajaran sebagaimana firman Allah SWT :
{Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).} (An-Naazi’at 79:26)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 117- {Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!”
Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).}-
Sekarang sudah sampailah giliran Nabi Musa lalu Allah perintahkannya untuk campakkan tongkatnya!
Kata ulama’ : Kisah ajaib mukjizat Nabi Musa AS adalah:
i- Untuk mengistibatkan dunia ini berjalan dengan kehendak Allah SWT.
Allah yang suruh Musa campakkan tongkatnya.
ii- Untuk mengisbatkan kenabian Nabi Musa AS.
Jika kita fikirkan secara logik akal, tidak mungkin para ahli sihir ini boleh berubah serta-merta dalam sekelip mata, bertukar kepercayaan mereka.
Juga sesuatu benda tidak akan bertukar menjadi benda lain secara fizikalnya!
Tetapi tongkat Nabi Musa boleh bertukar menjadi seekor ular yang hidup sungguh.
Jika manusia tidak akan boleh buat kecuali dengan izin Allah semata-mata.
- Ayat 118- {Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.}-
Yakni terbatal habis sihir yang dibuat oleh para ahli sihir.
Terbatal, yakni ular sihir mereka yang ditelan oleh ular Nabi Musa itu terus ghaib & tidak keluar lagi, tali mereka hilang dan ilmu sihir mereka pun tiada lagi.
Ular itu telan terus & tidak luahkan semula apa yang ditelannya.
Kerana itu juga Allah katakan mereka telah dikalahkan, dikalahkan oleh kuasa Allah SWT!
Bukan Musa yang mengalahkan mereka, kita kena sandarkan kepada Allah.
Sama seperti kisa Isra’ Rasulullah SAW, Allah SWT telah berfirman:
{سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا-
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari…}
Yakni Allah yang membawanya berjalan, bukan dia sendiri yang pergi berjalan & naik ke langit.
- Ayat 120- {Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,}-
Ahli sihir tidak teragak-agak terus sujud, yakni mereka semua, ramai-ramai terus bersujud kepada Allah dengan spontan dan serentak semuanya.
Ini kerana terserlah dan terzahir kepada mereka akan kebenaran nabi Musa AS dan kekuasaan Allah sebagai Tuhan sekelian alam, maka mereka rasa tidak boleh nak tangguhkan lagi keimanan dan kepercayaan mereka itu, lalu terus bersujud dan menyatakan keimanan mereka!
Orang yang tahu akan tahu, mereka ahli sihir tahu mukjizat Nabi Musa bukan sihir kerana ilmu sihir tidak boleh buat begitu!
Kerana itu berlakunya perkara ajaib, bila terserlah kebenaran terus terima!
Ini dapat kita lihat kehebatan beberapa pendakwah Islam di peringkat antarabangsa yang melontarkan hujjah-hujjah menjawab persoalan non-muslim secara live & spontan, diberi hujjah yang mantap satu persatu; tiba-tiba orang yang mendengar terus mengisytiharkan menerima Islam secara spontan & tidak teragak-agak juga!
Hujjah itu apabila dikemukan dengan cara yang betul akan cepat masuk ke hati seseorang.
Tetapi malangnya apa yang pernah terjadi di negara kita ini; para pendakwah yang begitu besar jasanya ini, yang telah mengislamkan beribu-ribu manusia lain dari pelbagai bangsa & peringkat antarbangsa; apabila dijemput datang ke negara kita, ada golongan yang menentang, memangkah poster mereka atas alasan yang amat dangkal!
Ini menunjukkan lemah & ceteknya pemikiran mereka ini!!
Diriwayatkan dari para pemikir Islam seperti Imam Ghazali dan lain-lain:
Jika hujjah itu dikira dengan tempikan suara yang kuat pastilah orang jahil yang akan menang!
Gerabak keretapi yang kosong akan berbunyi lebih kuat daripada gerabak yang penuh!
Tak percaya cuba pergi tunggu di stesen keretapi.
Ahli sihir beriman dan percaya kerana mereka telah saksikan sendiri hujjah yang benar & mantap dari nabi Musa maka mereka tak boleh nak tahan lagi- terus beriman & sujud kepada Allah!
- Ayat 121- {Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.} & Ayat 122- {“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.}-
Para ahli sihir mengaku segera (on the spot) bahawa mereka beriman kepada Allah Tuhan sekelian alam, Tuhan kepada Nabi Musa & Harun.
Kata ulama’ : Apabila terserlah & zahirnya ayat-ayat kebenaran yang jelas lagi nyata, orang yang mendengarnya tidak akan menangguhkan lagi keimanan mereka.
Persoalan: Kenapa ahli sihir menyebut dua nama ini, “Tuhan bagi nabi Musa dan nabi Harun?”
Sedangkan jika dikira sudah termasuk dalam ayat sebelumnya, “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam”
Jawapan:
i- Kerana yang mengajak mereka beriman ialah Musa & Harun maka kena sebuat nama mereka berdua.
ii- Kerana Allah nak muliakan Nabi Musa & Harun, maka Fir’aun akan terasa bertambah hina!
iii- Supaya hilang segala keraguan, Tuhan mana yang satu mereka sujud itu, iaitu bukan Fir’aun yang mengaku Tuhan tetapi Tuhan sekelian alam iaitu Tuhan Musa & Harun.
iv- Untuk menguatkan sandaran bahawa tiada Tuhan lain selain Allah sebagai Tuhan sekelian alam iaitu Tuhan Musa & Harun dalam episode berlawan dengan Fir’aun ini!
- Ayat 123- {Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).}-
Fir’aun mulai marah & melenting, lalu mengeluarkan teori karutnya!
Fir’aun sangat marah apabila para ahli sihir yang dikumpulkan & dijemput untuk datang ke istana, sebagai tetamu jemputannya, berpaling tadah, beriman kepada Tuhan Musa yang merupakan musuhnya Fir’aun!
Lalu dia membuat tuduhan & teori bahawa rupanya Musa ketua mereka yang merancang semua itu dan menghasut ahli sihir.
Apabila Fir’aun mula letakkan kesalahan & keburukan ini kepada Musa, maka jelaslah dia tidak akan beriman lagi!
Ahli sihir itu walaupun telah beriman pada akhirnya tetapi mereka masih disebut sebagai ahli sihir kerana mengambil kira keadaan & jawatan mereka sebelum itu!
Walaupun diancam untuk disiksa & dibunuh; tidak goyah & berkurang iman mereka.
Ahli sihir berdoa dengan penuh pengharapan, dengan iman yang kukuh dan mantap:
رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ.
“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.
Inilah orang yang paling bahagia & beruntung, paginya ahli sihir, petangnya menjadi para syuhada’ di sisi Allah SWT!
Ini kerana apabila iman telah mantap, semua yang atas dunia ini kecil dan tidak memberi kesan kepada jiwa lagi! Mereka akan bergantung kepada Allah SWT, yang lainnya semua kecil & tidak penting!
Sabar itu ada 3 dimensi:
i- Sabar dalam melakukan ketaatan.
(الصبر على الطاعة)
ii- Sabar meninggalkan maksiat.
(الصبر عن المعصية)
iii- Sabar dalam menghadapi ujian!
(الصبر على البلاء)
Ya Allah berikanlah kepada kami kesabaran dalam menuntu ilmu dalam melakukan ibadat, dalam berdakwah menyebarkan Sunnah- dan matikan kami dalam Islam, dengan husnul-Khatimah!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.