View Categories

(34) Surah Al-An’am : Ayat 114-117

ALLAH SWT MENURUNKAN KITAB YANG LENGKAP, BENAR DAN ADIL & JANGAN IKUT KUMPULAN RAMAI YANG SESAT.

Full video : https://youtu.be/leIbTKtzkFo?si=GTJl43Z3F_p__QCe

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 114 sehingga 117 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT perintahkan Nabi SAW bertanya kepada puak kafir apakah layak untuk dia berhukum dengan selain daripada hukum Allah iaitu al-Quran.
  1. Sedangkan Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai kitab yang lengkap; dari segi tauhid, hukum halal-haramnya, hubungan keluarga, masyarakat negara dan semuanya!
    Para pendeta ahli kitab juga tahu tentang kebenaran al-Quran ini. 
    Allah tegaskan bahawa al-Quran itu benar dan adil.
  1. Kemudian Allah bagi amaran kepada Nabi SAW dan umatnya agar jangan ikut kumpulan sesat walaupun mereka ramai. 
    Bukan satu kaedah tetap ramai itu mestinya betul atau betul itu mesti ramai.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak kafir yang berasa cerdik minta dengan Nabi SAW pelbagai bukti untuk menunjukkan kebenaran & kekuasaannya.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa telah dibawa mukjizat yang bsr iaitu al-Quran yang lengkap tidak ketinggalan apapun di dalamnya.
    Rujuklah kepada al-Quran yang akan menjadi hakim bagi kamu dalam segala perkara.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 114- {(KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD): “PATUTKAH AKU (TERPEDAYA DENGAN KATA-KATA DUSTA SYAITAN-SYAITAN ITU SEHINGGA AKU) HENDAK MENCARI HAKIM SELAIN DARI ALLAH, PADAHAL DIA LAH YANG MENURUNKAN KEPADA KAMU KITAB AL-QURAN YANG JELAS NYATA KANDUNGANNYA SATU PERSATU (TENTANG YANG BENAR DAN YANG SALAH)?” DAN ORANG-ORANG YANG KAMI BERIKAN KITAB, MENGETAHUI BAHAWA AL-QURAN ITU ADALAH DITURUNKAN DARI TUHANMU DENGAN SEBENAR-BENARNYA. OLEH ITU, JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENJADI (SALAH SEORANG) DARI GOLONGAN YANG RAGU-RAGU.} (AL-AN’AM 6:114)

  1. Allah SWT memerintahkan agar Nabi SAW berkata: Patutkah aku juga terpedaya dengan syaitan lalu menjadi sesat dengan berhukum dengan undang-undang yang lain selain daripada yang Allah telah turunkan???
    Tidak sama sekali jawapannya!
  1. Manusia hari ini ini digoda oleh syaitan sehingga merasakan undang-undang Islam tidak sesuai, lapuk dan ketinggalan zaman sehinggakan mahu mencari perundangan yang lain.
  1. Sedangkan Allah telah menurunkan kepada mereka kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu tentang yang benar dan yang salah!
    Tidak ada kitab yang lebih jelas daripada al-Quran, tidak ada bukti dalil & hukum yang lebih terang daripada hukum al-Quran.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT inijuga:
    {dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.} (Al-Nahl 16:89)
  1. Hukum & ajaran dalam al-Quran telah lengkap, disempurnakan dengan penjelasan oleh Nabi SAW.
    Apabila datang umat terkemudian yang sudah jauh dari wahyu, jika tak faham ada pula tafsiran oleh para ulama’ Salafus-Soleh pernjelasan satu-persatu dan ulama’ muktabar selepasnya yang hurai pula ikut realiti semasa.
    Mereka yang tidak faham ialah yang akal fikirannya telah dimasuki racun toksik faham sesat pelbagai golongan seperti sekularisma, orientalis, jahmiyyah dan sebagainya.
  1. Para ulama’ ahli kitab yahudi & nasrani mengetahui bahawa Al-Quran itu diturunkan dari Tuhan dengan sebenar-benarnya.
    Tanpa ragu & syak keterangan ada dan jelas dalam dua kitab mereka itu! 
    Oleh itu, jangan sekali-kali kita orang beriman menjadi salah seorang dari golongan yang ragu-ragu itu!
  1. Antara penyelewengan utama yang dibuat penjajah kafir terhadap umat Islam ialah tentang pemahaman tentang mafhum ibadat. Bahawa al-Quran boleh dibaca tetapi bukan untuk dilaksanakan undang-undangnya!

AYAT 115- {DAN TELAH SEMPURNALAH KALIMAH TUHANMU (AL-QURAN, MELIPUTI HUKUM-HUKUM DAN JANJI-JANJINYA) DENGAN BENAR DAN ADIL; TIADA SESIAPA YANG DAPAT MENGUBAH SESUATUPUN DARI KALIMAH-KALIMAHNYA; DAN DIA LAH YANG SENTIASA MENDENGAR, LAGI SENTIASA MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:115)

  1. Ayat ini menegaskan tentang kesempurnaan al-Quran sebagai kitab Allah, yang meliputi hukum & janjinya. 
    Yang tetap terperlihara selamanya, tiada siapa boleh meminda dan mengubah isi kandungannya. 
  1. Teks al-Quran tidak boleh dipinda tetapi orang kafir penjajah telah berjaya mengubah pemikiran umat Islam terhadap al-Quran dengan menjauhkan kita daripada undang-undang al-Quran dan ajarannya! 
  1. Kerana itu para ulama’ mutakhir ini menulis pelbagai kitab untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran, nak mendekatkan manusia kepada al-Quran. 
    Manusia yang telah diracuni oleh dakyah penjajah ini, fahaman sekular, liberal atau menyempitkan fahaman & hukuman tentang al-Quran!
  1. Sempurnalah kalimah Allah yakni al-Quran, benar dalam cerita yang dibawa, adil dalam hukum-hakam dan benar dalam segala beritanya. 
    Tidak ada maklumat yang lebih benar daripada al-Quran & tidak ada hukum yang lebih adil daripada al-Quran. 
    Kita mseti buka minda lapang dada menerima & beramal dengan al-Quran.
  1. Apabila Allah sebut tentang undang-undang & hukum, Allah nyatakan sifat-Nya yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
    Allah tahu apa yang kamu buat; buat baik aman bahagialah dunia Akhirat. 
    Kamu buat jahat gembiralah semetara atas dunia ini tetapi akan ditimpa azab neraka di Akhirat.
  1. Maka kita orang beriman tiada kerja lain, sentiasa mencari ruang & peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah & al-Quran. 
    Jika kita tidak dekat dengan Tuhan kita akan dekat dengan syaitan, jika tidak ikut al-Quran kita akan ikut kesesatan.
    Lorong yang benar hanya al-Quran & lorong Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, inilah lorong yang akan menyampaikan kita ke syurga! 

AYAT 116- {DAN JIKA ENGKAU MENURUT KEBANYAKAN ORANG YANG ADA DI MUKA BUMI, NESCAYA MEREKA AKAN MENYESATKANMU DARI JALAN ALLAH; TIADALAH YANG MEREKA TURUT MELAINKAN SANGKAAN SEMATA-MATA, DAN MEREKA TIDAK LAIN HANYALAH BERDUSTA.} (AL-AN’AM 6:116)

  1. Jika kamu ikut orang ramai yang ada atas muka bumi ini nescaya kamu akan disesatkan. Mereka akan heret, palingkan & jauhkan kamu jauh dari agama Allah SWT. 
    Ramai dari kalangan mereka yang telah menyeleweng daripada jalan yang benar.
  1. Ini kerana mereka tidak jumpa yang benar & betul- apa yang mereka ikut hanya sangkaan semata-mata. 
    Kena ingat apa yang kita ingatkan betul itu tidak semestinya betul di sisi Allah SWT. Inilah yang kita takuti dan amat bahaya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah jawab keraguan syubhat yang ditimbulkan oleh puak kafir, Allah juga nyatakan jalan yang benar ialah jalan al-Quran & jalan Nabi SAW.

    ii- Maka datang ayat ini galakan untuk umat Islam supaya berfikir & tinggalkan jalan buruk yang dibuat oleh puak kafir! 
    Kamu hadapkan muka kamu & tumpukan kepada Allah Azza wa Jalla yang telah mencipta kamu!
  1. Jangan kita rasa sunyi berada atas jalan ini kerana pastilah tidak ramai orang yang mengikut jalan yang benar ini! 
    Tetapi ingatlah Allah & Rasul bersamam kita.
  1. Kata ulama’ salaf : Hendaklah kamu sentiasa berada di atas jalan yang benar; jangan kamu rasa sunyi kerana tak ramai orang atas jalan ini! Kamu jangan ikut jalan yang batil, kamu jangan terpedaya dengan ramainya orang di atas jalan yang batil.
  1. Allah SWT telah rakamkan betapa ramainya orang yang telah sesat & kafir:
    i- {Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga , sebelum kaummu (wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.} (As-Saaffaat 37:71)

    ii- {Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).} (Yusuf 12:103)
  1. Hadis- riwayat Abu Said al-Khudri RA : 
    عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا”.
    Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Allah Ta’ala berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan Mu. Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj”. [Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, hadis no: 3121]

    Lihat saja dalam negara kita juga di sekeliling negara kita betapa bilangan umat Islam sedikit sahaja.
  1. Sebenarnya mereka dalam kesesatan & keraguan tidak ada keyakinan dalam agama mereka itu. 
    Kerana agama mereka hanya agama ikut tok nenek, tidak ada keyakinan! 
    Mereka hanya berdusta, mereka-reka sahaja agama itu! 
    Mereka juga berdusta kepada Allah dengan mengatakan apa yang tidak benar.

AYAT 117- {SESUNGGUHNYA TUHANMU, DIA LAH YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN SESIAPA YANG SESAT DARI JALANNYA, DAN DIA LAH YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG MENDAPAT PETUNJUK.} (AL-AN’AM 6:117)

  1. Allah memberi peringatan bahawa sesungguhnya Dia mengetahui akan:
    i- Sesiapa yang sesat dari jalannya { مَن يَضِلُّ},

    ii- Dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk { بِٱلْمُهْتَدِينَ}.
  1. Orang yang sesat Allah permudahkan kepada mereka jalan yang sesat itu! 
    Mereka akan mati dalam sia-sia & kerugian.
    Orang yang mendapat petunjuk jangan jemu, jangan bimbang, semua perjuangan yang kita buat akan dinilai di sisi Allah SWT. 
  1. Teruskan perjuangan kita memartabatkan agama ini di atas dunia, beramal dengan al-Quran & ikut Sunnah Nabi SAW.
  1. Manakala puak yang sesat akan terdedah juga kesesatan mereka, perjuangan yang sia-sia. 
    Sedangkan semasa atas dunia dulu bukan mereka tidak tahu akan yang benar & apa yang salah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 114- {(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu…}-

    Allah tempelak puak kafir dengan suruh Nabi SAW bertanya kepada mereka: Patutkah aku mencari hukum lain selain dari yang Allah {أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ} turunkan dalam kitab-Nya???
    Kata ulama’ : Pertanyaan {patutkah..} ini bukan sekadar bertanya nak tahu tetapi dengan makna ingkar & menafikan, yakni tidak sepatutnya, tidak mungkin untuk aku mencari hukum & perundangan yang lain selain daripada hukum Allah kerana itulah ketetapan ke atas kita!
    Masalahnya sekarang ini kita yang lembik tidak bermaya, menjadi layu dari segi mengamalkan hukum Allah SWT. 
    Sudah 60 tahun lebih negara kita merdeka tetapi masih tidak dapat memerdekakan negara & diri daripada undang-undang yang ditinggalkan oleh kafir penjajah.

    Sebagaimana pantun yang dibuat oleh TG Hj Abd Rahman RHM:
    Harimau mati meninggalkan belang;
    Orang putih (kafir) lari meninggalkan undang-undang!
    Harimau mati meninggalkan belang;
    Orang putih (kafir) lari meninggalkan perasaan!

    Undang-undang orang putih masih dimartabatkan, jika ada sedikit undang-undang Islam nak dinaikkan terus dicantas tanpa sebab tertentu. 
    Habis duit berapa banyak buat kajian, bentang di DUN dan sana sini, akhirnya naik mahkamah kalah & dibatalkan begitu saja!
    Ini bagi rangkap pertama.
    Rangkap kedua pula: Hakikat yang nyata, perasaan orang putih ini, anak-anak melayu Islam kita hari ini nak jadi orang putih belaka, dari sudut feel perangai, pakaian, tingkah laku, makanan, undang-undang dan apa saja! 

    Sekali lagi ditekankan, makna orang putih di sini ialah orang kafir.
    Kerana itu kata Dr Wahbah : Makna globalisasi (العولمة) itu ialah: Orang kafir mahu kita orang Islam ikut mereka dalam setiap perbuatan & perkara. 
    Nak suruh kita buat apa yang dia buat, pakai apa yang dia pakai, makan apa yang dia makan!
    Realitinya semua ini terjadi & berjaya semua yang mereka nak! 
    Anak ustaz ke anak tok imam, anak pak haji semua terikut pesen orang putih! 
    Hanya Allah-lah yang dapat menyelamatkan kita semua!
  1. Ayat 114- {… kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?}-

    Al-Quran itu sudah jelas, lengkap & sempurna, ada semua dalam isi kandungannya!
    Kata ulama’ : Ayat ini sekaligus untuk menolak dakwaan bahawa:
    i- Al-Quran itu tidak lengkap- kena guna perundangan orang putuh juga!

    ii- Menolak yang mendakwa al-Quran ini ada nas yang zahir & ada ayat yang batin (tersembunyi). 
    Iaitu yang zahir itu untuk orang ramai, orang awam kena beramal seperti fardhu solat zakat puasa dan lain-lain. 
    Manakala yang batin itu untuk golongan tertentu yang special, tak perlu solat, puasa apa lagi!

    iii- Ayat al-Quran ini ada yang tidak difahami, tidak padan & tidak cukup dengan tafsiran para ulama’ salaf, kena cari takwilan, tafsiran yang dibuat oleh ahli falsafah dan lain-lain pula!

    Sedangkan al-Quran ini:
    i- Turun kepada Nabi SAW, 

    ii- Baginda huraikan kepada para sahabat, 

    iii- Sahabat tafsirkan kepada para tabi’in

    iv- Datang ulama’ ahli Sunnah pula pada zaman salaf yang telah huraikan maksudnya. 
    Kita kata alhamdulillah!
    Cuma apabila datang geng kumpulan yang kemudian selepas itu, seperti puak muktazilah, jabariyyah dan golongan mujassimah yang mengatakan Tuhan itu seperti makhluk; maka mulalah kerosakan dan keracunan dalam pemikiran manusia! Wal-‘iyazu billah!
  1. Ayat 116- {Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;..}-

    Allah sebut kepada kita, jika kamu ikut puak kafir ini; kamu akan sesat dan jauh dari Allah SWT.
    Dalam ayat ini Allah bawa dua dalil yang kita kena ambil tahu:
    i- Benarnya sesuatu perkara itu bukan dengan sebab ramai pengikutnya. 
    Lihat saja pengikut para nabi seperti pengikut Nabi Nuh & Rasulullah SAW sendiri yang tidak ramai. Yang ramainya yang ikut Abu Jahal & gengnya!
    Sebagaimana kata ulama’ salaf : قال بعض السلف: عليك بطريق الحق، ولا تستوحش لقلة السالكين، وإياك وطريق الباطل، ولا تغتر بكثرة الهالكين.
    Kamu kena ikut jalan yang benar & jangan kamu rasa sunyi walaupun tidak ramai di jalan itu. 
    Jangan kamu ikut jalan yang batil walaupun ramai orang yang ikutnya. 
    Jangan kita rasa sunyi & lemah kerana semua itu adalah dengan kehendak & pengetahun Allah SWT.
    Setiap benda yang bercanggah dengan al-Quran & Sunnah walaupun dibuat oleh orang ramai, ia tetap sesuatu yang salah & batil!
    Yang benar itu adalah yang tidak bercanggah dengan al-Quran & Sunnah bukan yang ramai pengikutnya!
    Orang yang benar itu sedikit bilangannya, sebagaimana semenjak zaman para nabi terdahulu lagi, tidak ramai pengikutnya! 
    Tetapi mereka mendapat pahala yang besar & kedudukan yang tinggi di sisi Allah Azza wa Jalla.
    Maka menjadi kewajipan kepada kita semua untuk ikut jalan yang benar, yang diajar oleh al-Quran, Sunnah Nabi SAW & para ulama’ yang soleh. 
    Inilah parameter atau kayu ukur untuk kita gunakan!

    Kata Imam al-Bukhari RHM : 
    قال الإمام البخاري :”أفضل المسلمين رجل أحيا سنة من سنن الرسول – ﷺ – قد أميتت، فاصبروا يا أصحاب السنن رحمكم الله فإنكم أقل الناس”. (الجامع لأخلاق الراوي :١١٢/ ١)
    Orang yang paling afdhal di kalangan umat Nabi Muhammad SAW ialah orang yang berjaya mengamal & menghidupkan Sunnah Nabi SAW yang telah ditinggalkan oleh orang ramai! Apabila orang menentang & marah, bersabarlah wahai pengamal Sunnah Nabi SAW kerana kamu akan dirahmati Allah kerana kamu adalah orang sedikit bilanganya!
    Ya Allah jadikan kami golongan yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah walaupun ditentang dan apa yang terjadi.
  1. Ayat 116- {… tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.}-

    Puak yang menentang agama Allah itu duduk di atas sangkaan semata-mata serta mereka berdusta atas Allah SWT.
    Mereka kata ini ajaran agama yang Tuhan bawa sedangkan ia tiada sandaran dan dalil sama ada dari al-Quran atau Sunnah Nabi SAW. 
    Sandaran mereka hanya kerana semua orang pakat buatnya! 
    Tidak begitu kerana di hadapan kita ada al-Quran, ada Hadis Nabi SAW.
    Maka mizan atau timbangan untuk ukur itu benar atau salah, duduk dengan al-Quran & Hadis bukan kerana ramai orang buat & ramai orang kata! 
    Allah buat Gambaran akan orang yang ajak kepada jalan yang sesat & tidak betul ini adalah seperti orang yang terumbang-ambing tanpa pedoman, tiada arah tujuan mahu tuju ke mana! Ini kerana dia tiada katu ukur & penunjuk arag yang benar!
    Inilah kita takut & bimbang, takut kita terjebak dengan sebab ramainya orang lalu terikut juga!
    Kecuali jika nak pilih tempat makan, boleh guna kaedah orang ramai makan di situ menunjukkan kedai itu elok servisnya & sedap makanannya. 

    Bak kata orang Kelantan : “Kullu ramai ssohor” setiap tempat yang orang ramai makan itu maka masyhurlah tempat itu!
    Maka dalam bab makan minum boleh kita guna kaedah ini; tetapi dalam bab agama tidak sesekali! 
    Sedangkan para rasul AS pun berbeza bilangan pengikutnya; ada yang ramai, ada yang sedikit!
  1. Ayat 117- {Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.}-

    Allah tahu siapa yang betul, siapa yang sesat! 
    Jadi bila Allah tahu; kita yang beriman, yang nak ikut ini, kita kena ikut jalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dengan penuh keyakinan benar apa yang dibawa; 
    insya’ Allah kita akan selamat.
    Jika tidak, kita tidak tahu ke mana hendak dituju.
    Ini kerana semua agama yang lain hanyalah agama agak-agakan dan jangkaan semata-mata.
    Dalam ayat ini Allah bagi amaran dan janji kerana:
    i- Allah kata Dia tahu siapa yang sesat.

    ii- Dan Allah tahu siapa yang betul!
    Maka jika kita rasa nak selamat ikutlah yang benar yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. 
    Jika rasa tidak mengapa ada dalil atau tidak ada dalil, asal orang ramai buat maka nak ikutnya, bertanggungjawablah kamu di Akhirat kelak nanti. 
    Kita minta Allah selamatkan kita daripada terjebak dengan jalan-jalan yang tidak baik.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs