MAKAN HAIWAN YANG DISEMBELIH DENGAN NAMA ALLAH, TINGGALKAN DOSA ZAHIR BATIN & SYAITAN AJAR MAKAN HARAM.
Full video : https://youtu.be/VMv49CphvDo?si=WKi1KmDySeVZuLgi
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 118 sehingga 121 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT memerintahkan untuk kita makan haiwan yang disembelih dengan nama Allah.
Hanya ini yang halal dimakan bukan sembelihan selain itu.
- Allah perintahkan agar tinggalkan dosa sama ada yang zahir atau batin kerana Allah tahu semua apa yang kita buat maka jangan berani!
- Kemudian Allah ceritakan syaitan jin ajar syaitan manusia untuk makan makanan yang haram.
Ditimbulkan syubhat dengan mengatakan haiwan yang Allah matikan (bangkai) kamu tidak mahu makan tetapi yang mati dengan sebab tangan kamu (sembelih) halal pula kamu makan!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bilangan orang mukmin tidak ramai. Tetapi kena ingat orang yang ramai itu tidak semestinya betul!
ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan agar kita ikut Nabi SAW.
Serta jika nak makan haiwan, kena sembelih atas nama Allah jika selain itu tidak halal & haram!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 118- {MAKA MAKANLAH DARI (SEMBELIHAN BINATANG-BINATANG HALAL) YANG DISEBUT NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIHNYA, JIKA BETUL KAMU BERIMAN KEPADA AYAT-AYATNYA.} (AL-AN’AM 6:118)
- Dalam ayat ini Allah perintahkan kita orang beriman untuk memakan binatang yang halal iaitu yang disembelih atas nama Allah!
- Jika selain daripada itu sama ada yang mati sendiri (bangkai) atau yang disembelih selain daripada nama Allah maka ia adalah haram ke atas orang beriman.
- Sabab nuzul ayat ini: Dari Ibnu Abbas, beliau mengatakan, “Orang-orang datang kepada Rasul SAW, mereka berkata, “Wahai Rasulullah, apakah kita makan apa yang kita sembelih dan kita tidak makan apa yang disembelih Allah (bangkai),?” Maka turunlah ayat: (فكلوا ممّا ذكر اسم الله) sampai pada firman Allah: (وان اطعتموهم انكم لمشركون). [HR At-Tirmizi- sahih].
- Yakni Allah membolehkan kaum Muslimin makan sembelihan yang disebutkan nama Allah ketika menyembelihnya, jika mereka benar-benar beriman kepada ayat-ayat Allah. Jangan dok main teori syaitan untuk menjadikan manusia was-was dan syubhat.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa kebanyakan manusia atas muka bumi ini sesat. Maka jangan kita ikut mereka walaupun mereka ramai!
Kerana pengikut yang ramai tidak semestinya betul.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa kita kena ikut Nabi SAW. nak makan kena makan apa yang disembelih dengan nama Allah- bukan bangkai atau sembelihan untuk selain dari untuk Allah.
- Kita kena ambil berat bab ini dan belajar tentang ilmu halal haram dalam makanan ini kerana ini hal bukan mudah; kesannya masuk ke dalam jiwa akan menjadikan kita gelap perut, gelap hati, malas beribadat dan seumpamanya.
Ini semua kesan dari pemakanan yang halal & haram.
- Di akhir ayat Allah kata jika kamu betul-betul beriman kepada ayat-ayat-Nya; maka taatlah kepada perintah Allah & ikut ajaran Nabi SAW.
AYAT 119- {DAN TIDAK ADA SEBAB BAGI KAMU, (YANG MENJADIKAN) KAMU TIDAK MAHU MAKAN DARI (SEMBELIHAN BINATANG-BINATANG HALAL) YANG DISEBUT NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIHNYA, PADAHAL ALLAH TELAH MENERANGKAN SATU PERSATU KEPADA KAMU APA YANG DIHARAMKANNYA ATAS KAMU, KECUALI APA YANG KAMU TERPAKSA MEMAKANNYA? DAN SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN MANUSIA HENDAK MENYESATKAN DENGAN HAWA NAFSU MEREKA DENGAN TIDAK BERDASARKAN PENGETAHUAN. SESUNGGUHNYA TUHANMU, DIA LAH YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (AL-AN’AM 6:119)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah kata kamu kena makan haiwan yang disembelih dengan nama Allah.
ii- Datang ayat ini menguatkan lagi perintah itu. Kenapa pula kamu tidak mahu makan yang telah Allah nyatakan itu?
Allah telah nyatakan yang halal dan yang haram telah jelas.
Telah jelas jangan lagi kita dok ikut teori yang dibuat oleh syaitan!
- Cara nak halalkan haiwan itu ialah dengan sembelihnya (potong lehernya) dengan pisau yang tajam dan membaca Bismillah (بسم الله)- yakni aku sembelih haiwan ini dengan nama Allah.
- Contoh caranya: Jika lembu dan kambing disembelih ketika berbaring, unta pula disembelih sambil berdiri.
Jika haiwan perburuan pula, dibaca Bismillah (بسم الله) waktu kita nak melepaskan alat perburuan itu sama ada anjing perburuan, burung helang atau senjata.
Semua ini adalah kemudahan yang Allah beri.
- Sembelihan itu adalah atas nama Allah dan ia satu perkara besar.
Walaupun ada orang yang mendakwa mereka sembelihnya atas nama Allah tetapi dibuat di hadapan kubur, berhala, tempat yang dianggap keramat atau sebagainya, ia termasuk dalam yang boleh diragukan apakah tujuan sembelih itu?
Yakni isu aqidah boleh dipersoalkan lalu kita kena jaga aqidah masyarakat daripada tergelincir dan terpesong!
- Allah bertanya dalam ayat ini kenapa kamu tidak mahu makan sembelihan itu sedangkan telah jelas yang halal & haram.
Jangan nak main teori bahawa haiwan yang mati sendiri itu (bangkai) dengan segala sebab kematiannya adalah mati dengan kuasa Allah.
Jelas dinyatakan dalam al-Quran satu -persatu apakah yang haram itu!
Kemudian Allah nyatakan satu lagi hukum dalam keadaan tersesak: iaitu harus & dibolehkan makan bangkai haiwan dan yang diharamkan asalnya dalam keadaan darurat.
Ini adalah akta darurat yang jika tak makan boleh membawa mudharat atau mati seperti orang yang tersesat dalam hutan tiada makanan atau dalam apa saja keadaan darurat.
- Contoh juga: Ubat-ubatan atau suntikan yang perlu diambil mengandungi unsur bahan haram, para doktor kena jelaskan kepada pesakit tentangnya kemudian sama ada ada pilihan lain atau tidak.
Jika tidak ada pilihan lain maka ia termasuk juga dalam bab darurat.
- Alhamdulillah ada hospital kita peka tentang bab ini dan mengambil berat tentangnya dengan ditubuhkan panel dan penasihat Syari’ah untuk memberi nasihat dalam bab ini.
Kebanyakannya hospital di Malaysia adalah Hospital Mesra ibadat manakala HUSM dalam misi menjadi Hospital Patuh Syari’ah (AM salah seorang penasihat Panel Syari’ahnya).
Kemudian Allah nyatakan lagi ramai di kalangan manusia yang melencong daripada jalan yang benar.
Puncanya kerana ikut hawa nafsu bukan ikut ilmu pengetahuan.
Juga kerana ikut hasutan syaitan tanpa dalil & petunjuk.
Rosaknya manusia kerana ikut pak Su & pak Tan inilah!
- Kata ahli motovasi : Jika teori yang sedikit kena ikut yang ramai; maka pastilah pengembala kambing kena ikut kambingnya kerana kambing yang ramai, dia hanya seorang!
- Di akhir ayat Allah tekankan bahawa Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas. Iaitu puak yang melangkaui batasan ini, yang melompat dari yang halal kepada yang haram, yang haram jadi halal bagi mereka!
Siapa yang tidak langgar itu ialah orang yang tak langar hudud batasan.
- Syaitan dok berbisik kepada mereka, menghiasi menyolek yang haram, yang buruk agar nampak elok dan baik bagi mereka!
AYAT 120- {DAN TINGGALKANLAH KAMU DOSA YANG NYATA DAN YANG TERSEMBUNYI. KERANA SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MELAKUKAN DOSA, MEREKA AKAN DIBALAS DENGAN APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:120)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang halal haram dalam bab makan minum;
ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan untuk kita tingalkan segala yang haram, semua dosa sama ada yang zahir atau yang batin.
Cantik sekali untuk dibaca sebuah Kitab tasauf ini, kuliahnya juga ada di channel youtube Abu Anas Madani:
Dunia Bukan Syurga : https://dartaibah.com/…/DUNIA-BUKAN-SYURGA-Dr-Abdul…
- Allah perintahkan kita meninggalkan segala dosa yang nyata atau yang tersembunyi.
Ini kerana bahayanya melakukan dosa kerana dosa akan melahirkan dosa yang lain.
Contoh: Awalnya minum arak dulu, kemudian berzina lalu membunuh. Allahu al-Musta’an.
- Dosa yang zahir mungkin kita orang beriman tak akan buat secara nyata seperti ke konsert hiburan atau kelab dangdut tetapi dosa yang tersembunyi amat takut kerana ia boleh berlaku di mana saja pada zaman semua orang memiliki alat gajet ini!
- Seorang syeikh ditanya:
Kita ini ada dosa besar atau dosa kecil?
Syeikh menjawab:
Jangan kamu dok kira jenis dosa, besar atau kecil dosa yang kamu buat tetapi lihatlah kepada siapa kamu buat dosa itu, iaitu kepada Allah Yang Maha Besar!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
{Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.} (Al-A’raf 7:33)
Fawahisy ialah dosa keji yang terlibat dengan maruah seperti zina dan seumpamanya dari seks yang haram.
- Di akhir ayat Allah beri amaran dan ayat sentap: Sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. Kamu nak buat juga dosa maka tunggulah balasan azabnya di Akhirat kelak!
AYAT 121- {DAN JANGANLAH KAMU MAKAN DARI (SEMBELIHAN BINATANG-BINATANG HALAL) YANG TIDAK DISEBUT NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIHNYA, KERANA SESUNGGUHNYA YANG SEDEMIKIAN ITU ADALAH PERBUATAN FASIK (BERDOSA); DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN-SYAITAN ITU MEMBISIKKAN KEPADA PENGIKUT-PENGIKUTNYA, SUPAYA MEREKA MEMBANTAH (MENGHASUT) KAMU; DAN JIKA KAMU MENURUT HASUTAN MEREKA (UNTUK MENGHALALKAN YANG HARAM ITU), SESUNGGUHNYA KAMU TETAP MENJADI ORANG-ORANG MUSYRIK.} (AL-AN’AM 6:121)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan agar kita makan apa yang disembelih dengan nama Allah. Ini adalah arahan perintah Allah!
ii- Maka datang ayat ini Allah menegaskan sekali dengan larangan agar jangan kamu makan haiwan yang tidak disembelih atau sembelih bukan dengan nama Allah!
Ini adalah ayat larangan yang jelas!
- Sekali lagi Allah ulang dan mengingatkan orang beriman agar jangan kamu makan binatang yang asalnya halal tetapi tidak disembelih dengan nama Allah!
Jika tidak kamu akan keluar daripada landasan yang benar, yang taat kepada Allah kepada jalan ikut nafsu & ikut syaitan!
- Kerja syaitan itu membuat was-was & syubhat kepada manusia kafir supaya mari berhujjah dengan orang beriman.
Syaitan datang berbisik kepada manusia kenapa kamu tak mahu makan apa yang Allah matikan (bangkai) tetapi nak makan apa yang kamu bunuh dengan tangan kamu sendiri?
Hasutan ini akan masuk dalam kepala orang yang tidak mantap imannya!
- Ibnu Abbas RA menafsirkan ayat ini:
“Bahawa orang-orang datang kepada Nabi SAW, mereka berkata: Apa yang disembelih Allah jangan kamu makan, apa yang kamu sembelih, itulah yang kamu makan”, itulah syaitan, jin dan manusia itu membisikkan kepada pengikutnya agar membantah apa yang Nabi SAW ajar. Maka turunlah ayat ini: (وان الشيٰطين ليوحون الى); Allah larang jangan kamu ikut syaitan tetapi ikut apa yang Allah perintahkan kamu. [Athar dari Abu Daud & Ibnu Majah].
- Itulah cara syaitan nak memesongkan manusia sama ada secara direct dengan bisikan dan hasutannya.
Satu lagi bisikan syaitan ialah mengajar manusia untuk membuat helah pusing situ sini, untuk menjadikan benda haram menjadi halal atau harus dengan helah-helah tertentu.
Berhati-hati para penasihat panel Syari’ah jangan bermudah dalam memberi fatwa dan pandangan dalam hukum tertentu.
Jangan dengan sebab kita benda yang syubhat atau haram menjadi halal & lulus.
Allahu al-Musta’an.
- Kerana itu benda haram tetap haram walaupun diluluskan oleh sesiapa saja, panel Syari’ah, penasihat agama atau atas nama apa saja.
Kita lihat hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang perkara ini.
- Hadis riwayat dari Ummu Salamah RA, isteri Nabi SAW berkata Rasulullah SAW mendengar suara pertengkaran di muka pintu biliknya lalu Baginda keluar kepada mereka dan bersabda: “Sesungguhnya aku seorang manusia, dan kadangkala dua orang yang berbalah datang kepadaku, mungkin yang satu lebih petah dari lawannya dalam berhujah, sehingga aku kira dialah yang benar dan aku memenangkannya. Maka siapa yang aku menangkan dengan mengambil hak seorang Muslim, maka itu bagaikan mendapat potongan api neraka yang aku berikan kepadanya, terserah kepadanya sama ada hendak mengambil atau menolaknya.” [HR Al-Bukhari & Muslim].
- Yakni Nabi SAW berhukum dengan lihat kepada yang zahir seperti dalil & hujjah yang diberi.
Jika seseorang itu menang dengan sebab beri keterangan & dalil palsu dan Nabi SAW yang memutuskannya sendiri, jika dia tak betul, dia tetap akan diazab dengan api neraka!
- Antara cara syaitan nak halalkan yang haram juga dengan cara tukar nama, seperti riba kepada bunga, rasuah kepada duit minya atau duit kopi, mengumpat kepada membawang atau dia buat helah, konar sana konar sini akhirnya seolah jadi halal!
- Di akhir ayat Allah kata: Maka sesiapa yang ikut apa yang syaitan ajar ini, menghalalkan apa yang Allah haram atau sebaliknya, maka sesungguhnya dia telah menjadi orang-orang musyrikin.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 118- {Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.}-
Allah kata jika kamu betul-betul beriman, maka kamu makanlah apa yang halal, haiwan yang disemeblih dengan nama Allah ke atasnya.
Kata ulama’ tadabbur : Antara tanda betul-betul beriman, perbuatannya mesti menyalahi perbuatan orang jahiliyyah!
Kita kena lawan jangan ikut mereka, kita patuh kepada perintah & arahan Allah SWT. mereka suka buka aurat kita tutupnya elok-elok, mereka sukakan pergaulan bebas kita amalkan pergaulan yang halal dan perkahwinan yang sah.
Aqidah kita ialah aqidah yang benar, aqidah ahli haq, wajib lawan segala perkara yang boleh membawa kepada kesyirikan.
Kita jangan bermain dan bermudah, akhirnya orang kafir akan rempuh masuk dan binasakan agama kita.
Kenapa nak cari yang lain, ambillah yang jelas di depan mata kita jangan cari yang tidak jelas.
Ayat ini larangan keras dalam bab makan minum jangan cuba nak bermudah-mudah!
Kita yang berada dalam negara muslim seperti Malaysia ini banyak pilihan makanan yang tentu halal, yang disediakan oleh orang muslim yang solat yang baca bismillah.
Maka jangan cuai dan ambil mudah makan di kedai orang bukan Islam yang ada logo halal.
Kita jagalah halal haram, tolonglah sesama Islam sambil jihad memperkemaskan ekonomi orang Islam.
Lainlah jika berada di negara kafir yang susah nak cari makanan halal, tetapi kita wajib berusaha juga mencari yang halal dan buka meragukan!
- Tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah…}-
Kenapa kamu tidak mahu cari yang halal yang tentu disediakan oleh orang Islam, yang menyebut nama Allah!
Allah telah jelaskan apa yang diharamkan ke atas kamu!
Kata ulama’ : Dua perkara benda yang jelas Allah sebut di sini:
i- Celaan terhadap orang Islam yang tidak mahu makan atau pilih makanan yang tentu halal yang ada!
Atau yang bermudah-mudah dalam makanan, asal ada sijil halal gomo semua walaupun tentu jelas tukang masak restorannya bukan Islam, alatan masaknya bercampur dan lain-lain keraguan!
ii- Allah kata Dia telah jelaskan kepada kamu apa yang halal apa yang haram, maka jangan kamu main-main dan cuai lagi!
Biarlah kita orang Islam ada perasaan cuak dan tak lalu terhadap makanan orang bukan Islam ini walaupun didakwa ada sijil & logo halal.
Kenapa kamu tidak mahu yang cari solid halal tetapi dok cari yang bercampur itu!
- Ayat 119- {… kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya?}-
Apabila Allah tutup pintu, pasti tetap ada ruang untuk orang terdesak dan dalam darurat.
Ada keharusan bagi mereka yang tiada pilihan ini sehingga membawa kemudharatan!
Islam tidak ada hukumnya yang boleh membawa kepada mati atau mudharat.
Seperti orang berpuasa jika sakit boleh berbuka dan gantinya semula apabila sihat & tiada halangan.
Kaedah dalam Islam: Bila sempit jadi luas, seperti orang sakit tidak mampu berdiri dalam solat boleh duduk dan apa yang dia mampu.
- Ayat 120- {Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi…}-
Tinggalkan semua dosa sama ada yang zahir atau batin!
Ulama’ tadabbur kata : Ayat ini amat lengkap dan merangkumi walaupun pendek tetapi padat.
Berjilid tafsir & kuliah boleh dibuat dari ayat ini!
Bila Allah sebut dua-dua kena tinggal, yang zahir atau batin, maka tidak ada dosa yang tertinggal lagi untuk dibuat, insya’ Allah!
Manusia hari ini ramai yang terkena penyakit hati tanpa disedarinya.
Itu semua akibat ikut hasutan syaitan; syaitan menyolek agar perbuatan buruk seperti mengumpat, mengata buruk & memfitnah orang tidak terasa berdosa dan salah lalu menjadi kebiasaan dan amalan biasa.
Tinggalkan segala dosa yang zahir dan batin, barulah selamat dari segala keburukan dunia & Akhirat.
- Ayat 121- {Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa);..}–
Sekali lagi Allah ulang larangan ini, jangan makan yang tidak halal, siapa yang makan juga maka dia adalah orang yang fasiq!
Orang fasiq ialah orang yang jahat, yang keluar daripada ketaatan kepada Allah SWT, keluar dari landasan ketetapan Allah Azza wa Jalla!
Bahkan di akhir ayat Allah kata jika kamu buat juga, kamu taat kepada syaitan yang menghalalkan apa Allah haram dan haramkan apa yang Allah halalkan, maka orang itu dikira syirik pula!
Beza antara fasiq dan kufur & syirik:
i- Fasiq : Contoh orang yang tak solat kerana dia malas- maka dia adalah fasiq. Atau makan benda haram saja kerana ikut syaitan & ikut nafsu nak makan juga pasiq!
ii- Kufur & syirik : Orang tak solat tetapi dia ingkar akan kewajipan solat maka dia telah kafir.
Begitu juga makan benda haram sambil pertikai dan ingkar ia haram maka itu kafir juga.
Semoga Allah selamatkan kita dan semua keluarga kita daripada kerosakan aqidah, akhlak & moral.
Peringatan mesra kepada umat Islam:
Esok 25hb Disember ada perayaan segolongan manusia yang menyambut kelahiran anak Tuhan bagi mereka.
Kita orang Islam jangan sertai majlis mereka, bersekongkol turut bergembira merayakan bersama mereka!
Seperti memakai topi merah berloceng, menghiasi pokok krismas dan seumpamanya yang ada kaitan & menjadi simbol keagamaan mereka.
Manakala ucapan Merry Krismas pula.
Ulama’ kata : Hanya harus jika ada keperluan seperti ada kaum keluarga yang belum Islam merayakannya.
Tetapi jika kita yang kenalan Kristian pun tak ada apatah lagi keluarga tak perlu dok buat status atau tulis di medsos, merry krismas juga!
Kita orang Islam ada identiti kita, ada pegangan kita; maka jangan turut bergembira dengan perayaan mereka yang jelas sesat & bertentangan dengan aqidah Islam.
Firman Allah SWT: {“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.} (Al-Kafirun 109:6)
Para pekedai yang muslim tak perlu turut menghiasi kedai dengan pasang loceng lampu kelip, bubuh gambar santa dan seumpama yang menunjukkan sambutan perayaan juga!
Allah SWT telah berfirman dengan jelas kemurkaan-Nya serta langit & bumi terhadap kepercayaan & dakwaan mereka ini:
{تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا} {أَن دَعَوْا۟ لِلرَّحْمَـٰنِ وَلَدًۭا }
{Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.} (Maryam 19: 90-91)
Betapa dahsyatnya kemurkaan Allah & alam akan memberontak kepada mereka yang mendakwa Tuhan ada anak ini!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.