9 Azab Ditimpakan Ke Atas Fir’aun, Geng Fir’aun Masih Degil & Datanglah Azab.
Full video : https://youtu.be/byG3vtRBnu4?si=GtsghImohz3Xuuhm
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 130 sehingga 133 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang 9 azab ditimpakan ke atas Fir’aun dan kuncunya, untuk memberi pengajaran & keinsafan kepada mereka.
- Tetapi malangnya geng Fir’aun masih degil dan tetap tidak mahu menerima kebenaran & beriman.
Bahkan mencabar pula Nabi Musa AS.
- Lalu datanglah azab Allah yang disebut dalam al-Quran ini Sembilan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan apabila Fir’aun keluarkan akta untuk menghapuskan bani Israil; Nabi Musa AS bagi motivasi kepada bani Israil dan berdoa kepada Allah SWT, mudah-mudah Allah binasakan musuh mereka.
Doanya dalam ayat 88 surah Yunus.
Ahli tafsir kata : Jarak antara doa Nabi Musa dan azab yang turun lebih kurang 40 tahun.
ii- Dalam ayat-ayat ini Allah ceritakan satu persatu tentang azab ujian yang ditimpakan ke atas Fir’aun dan kaumnya sebelum itu untuk menginsafkan mereka.
Tetapi mereka tetap degil lalu ditimpakan azab yang memusnahkan mereka!
Sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.} (Yunus 10:89)
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 130- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENIMPAKAN FIRAUN DAN KAUMNYA DENGAN MUSIM KEMARAU DAN KEKURANGAN BUAH-BUAHAN, SUPAYA MEREKA INSAF MENGAMBIL PELAJARAN.} (AL-A’RAF 7:130)
- Nota: Dalam ayat ini & ayat berikutnya diterangan bala satu-persatu yang menimpa Fir’aun dan kaumnya disebabkan oleh kekufuran mereka.
Jika dibilangnya adalah 9 seperti berikut:, kemarau, kekurangan buah-buahan, kekurangan harta, kekurangan manusia, banjir, belalang, kutu, katak, air menjadi darah, dalam surah kita ini ada 7, satu dari surah Yunus & satu lagi dari surah lain.
- Ini adalah ujian & azab pertama yang ditimpakan ke atas Fir’aun dan kaumnya iaitu kemarau yang panjang, bertahun-tahun {بِٱلسِّنِينَ} tanpa hujan.
- Lalu apabila kemarau pastilah pokok-pokok tidak hidup maka buah-buahan berkurangan.
Ini adalah ujian yang kedua.
- Tujuan Allah beri ujian ini adalah supaya mereka insaf dan mengambil pelajaran & iktibar, kenal Tuhan dan beriman.
AYAT 131- {KEMUDIAN APABILA DATANG KEPADA MEREKA KESENANGAN MEREKA BERKATA: “INI IALAH HASIL USAHA KAMI”, DAN JIKA MEREKA DITIMPA KESUSAHAN, MEREKA MENGATAKAN NAHAS DAN MALANG ITU DISEBABKAN OLEH NABI MUSA DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA. (TUHAN BERFIRMAN): KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA NAHAS DAN MALANG MEREKA ITU HANYA DI TETAPKAN DI SISI ALLAH, AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI.} (AL-A’RAF 7:131)
- Puak Fir’aun ini amat buruk sifat & banyak karenahnya:
i- Apabila mendapat kesenangan mereka kata semua itu adalah dari hasil usaha mereka. Yakni bila berjaya mereka tidak nisbahkan kepada Tuhan tetapi kepada mereka sendiri & tidak bersyukur kepada Allah!
ii- Tetapi apabila datang ujian dan bala ke atas mereka; mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya.
Mereka menganggap Nabi Musa sebagai yang membawa kesialan dalam masyarakat mereka.
- Allah balas dan membidas anggapan buruk mereka, dengan mengatakan segala kesialan dan azab itu bukan sebab Nabi Musa tetapi kerana mereka yang tidak beriman.
- Kata-kata kaum bani Israil ini sama dengan kata-kata puak kafir jahiliyyah kepada Rasulullah SAW, mereka menyalahkan Baginda SAW apabila ada kesusahan & perkara yang buruk meminpa mereka.
Sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?} (An-Nisa’ 4:78)
- Aqidah kita ahli Sunnah wal jamaah ini semua yang baik atau buruk itu datang dari Allah.
Tetapi dari segi adab percakapan kita tidak nisbahkan perkara yang buruk itu datang dari Allah atau kata Allah buat keburukan.
Sebagaimana sebahagian penceramah apabila menutup kuliah atau ceramah mereka, mereka akan kata:
“Apa yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu juga datang dari kelemahan diri saya sendiri atau dari hasutan syaitan.”
AYAT 132- {DAN MEREKA BERKATA: “WALAU APA SAHAJA (JENIS-JENIS) KETERANGAN (MUKJIZAT) YANG ENGKAU BAWA KEPADA KAMI; (WAHAI MUSA), UNTUK MENJALANKAN SIHIRMU KEPADA KAMI, MAKA KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN BERIMAN KEPADAMU”.} (AL-A’RAF 7:132)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Fir’aun dan kaumnya mengatakan ujian bala & nasib buruk yang menimpa mereka adalah dengan sebab Musa dan kaum Bani Israil!
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan lagi antara sifat buruk & keji mereka ini ialah mereka tidak boleh bezakan antara mukjizat & sihir.
Mereka masih lagi degil keras kepala mengatakan Nabi Musa AS mengamalkan sihir!
Sedangkan ahli sihir sendiri sudah mengakui mukjizat Musa adalah bukan sihir tetapi kebenaran yang jelas nyata dari Allah.
- Begitu sekali sombong dan agahnya puak Fir’aun ini, mereka mengatakan apa saja mukjizat yang Musa bawa adalah sihir yang digunakan ke ats mereka!
- Malah mereka menegaskan bahawa sesekali mereka tidak akan beriman kepada Nabi Musa AS, bawalah apa saja bukti sihir kamu, kami tidak terima & percaya! Mereka sangat takabbur & sombong!
AYAT 133- {(ALLAH BERFIRMAN): KAMI PUN MENGHANTARKAN KEPADA MEREKA TAUFAN, DAN BELALANG, DAN KUTU, DAN KATAK, DAN DARAH, SEBAGAI TANDA-TANDA DAN BUKTI YANG JELAS NYATA, MAKA MEREKA JUGA TETAP BERLAKU SOMBONG TAKBUR DAN MENJADI KAUM YANG MENDERHAKA.} (AL-A’RAF 7:133)
- Kerana sebab mereka kafir, dan sombong sangat tadi Allah kata Dia akan hantar lagi kepada mereka ini beberapa lagi ujian azab:
{ ٱلطُّوفَانَ وَٱلْجَرَادَ وَٱلْقُمَّلَ وَٱلضَّفَادِعَ وَٱلدَّمَ}
i- Taufan iaitu air banjir yang membinasakan kebun & rumah-rumah mereka!
ii- Dan belalang, yang terlampau banyak menyerang kebun & tanaman mereka sehingga habis di makan pokok-pokok tanaman mereka.
iii- Dan kutu, seperti kutu atas kepala atau di badan yang mengganggu dengan gatal & tidak selesa.
Ulama’ berbeza menentukan apa jenis kutu ini.
Ada ulama yang kata : Seperti belalang tetapi tidak bersayap, iaitu kumbang yang makan dari bawah. Ada kata binatang melata yang makan umbi pokok.
iv- Dan katak yang terlampau banyak, tak boleh buka pintu terus masuk ke dalam rumah.
Amat menggelikan dan penuh dalam bekas makanan & minuman serta di tempat tidur mereka!
Kita katak sekor pun sudah geli!!
v- Dan darah, iaitu air bertukar menjadi darah. Air perigi air sungai semuanya menjadi merah seperti darah.
Semua bala ini datang satu-persatu, tidak putus & lama masa, bukan serentak tapi bertalu-talu.
- Semua ujian sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata supaya mereka nampak kebenaran.
- Tetapi apakan daya mereka, Fir’aun & gengnya tetap berlaku sombong takbur lalu Allah kata mereka menjadi kaum yang menderhaka.
Apabila Allah telah cop begini tiada apa boleh buat lagi!
- Tetapi sebenarnya dalam diri mereka, mereka nak & percaya kepada Tuhan sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya.
Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} (An-Naml 27:14)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 130- {Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.}-
Allah kata Dia telah timpakan ke atas Fir’aun dan kaumnya bala!
Telah menjadi Sunnatullah kepada mana-mana umat yang sombong yang takabbur, Allah hantar kepada mereka bala yang menjadi ujian supaya mereka sedar & insaf bahawa kita hidup atas dunia ini semuanya dengan nikmat dan kuasa Allah.
Apabila Allah sentap dan hantar balanya sikit; hidup kita akan kucar-kacir.
Maka dalam ayat ini Allah mulakan dengan kemarau dulu!
Apabila tiada air segala kehidupan akan menjadi sukar.
Ingat kita sebagai orang beriman, apabila bala datang jangan kita kata cuma bencana alam, seolah menyalahkan alam pula!
Tetapi jika kita kata ia kemurkaan Allah kepada maksiat yang dibuat & tak mahu beriman barulah kita insaf.
Kita kena ingat ia adalah teguran dan peringatan dari Allah sebagai muhasabah.
Tetapi jangan gopoh kata begitu kepada mangsa-mangsa yang kena bala ini, lihat keadaan dan suasana dulu!
- Ayat 131- {… dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya…}-
Puak Fir’aun ini apabila kena bala mereka tunding jari kepada Nabi Musa AS, kerana Musa lah kita kena kesusahan & nahas ini!
Kata ulama’ tadabbur : Kepercayaan tatayyur (يَطَّيَّرُوا۟) (sandarkan sial majal kepada sesuatu perkara) ini adalah perbuatan & kepercayaan orang orang kafir!
Orang muslim dia tak percaya kepada benda karut-marut begitu.
Sedangkan kesialan yang sebenar ialah apabila orang itu derhaka & buat maksiat kepada Allah SWT, maka apabila Allah murka akan datanglah bala & azab, nahas & bencana menimpanya!
Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang melarang dari percaya kepada kesialan ini kerana ia boleh membawa kepada syirik & khurafat.
Walaupun kita pernah dengar dan membesar dalam kepercayaan sebegini, tetapi apabila kita tahu ia adalah sesuatu yang salah, yang boleh membawa kepada syirik& khurafat; maka kita tukarkan kepercayaan itu dengan tawakkal kepada Allah SWT agar mantap iman kita!
Sabda Nabi SAW :
لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل. قالوا : وما الفأل؟ قال : كلمة طيبة
“Tiada kesialan jangkitan atau bala pada burung yang berbunyi. Tetapi yang mengagumkan aku ialah al-Fa’l (sempena yang baik). Sahabat bertanya apakah al-Fa’l itu? Baginda menjawab, “Perkataan yang baik-baik.” (HR al-Bukhari, nombor 5776)
Ada setengah orang percaya kepada amalan tabur garam sekeliling rumah sebagai pagar & pelindung, sedangkan Nabi SAW telah ajar kepada kita untuk baca zikir pada waktu pagi & petang sebagai perisai orang mukmin.
Amalkanlah ia dengan penuh keyakinan & pergantungan kepada Allah SWT.
- Ayat 131- {… akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.}-
Allah kata ramai manusia yang tidak mengetahui.
Allah nafikan ilmu dari kebanyakan manusia kerana manusia yang betul-betul beriman berpegang dengan ajaran Allah & al-Quran adalah amat sedikit.
Dalam kisah Fir’aun, ahli keluarganya yang beriman ada beberapa orang termasuk isterinya Asiah.
Allah nak malukan Fir’aun, isterinya beriman kepada Allah SWT.
Manakala dua isteri Nabi Lut & Nuh yang tidak beriman untuk memberitahu kepada manusia bahawa hidayah itu milik Allah.
Mereka itu isteri nabi yang berada di bawah bimbingan dan atas rumahnya boleh menjadi kafir jika tidak dididik, diberi kefahaman serta tidak dapat hidayah dari Allah!
Jika anak isteri tidak terdidik akan susahlah untuk menjalankan kerja dakwah, kerana itu kena kahwin sekufu!
- Ayat 132- {Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.}-
Mereka kata bawalah tanda-tanda apapun mereka tidak akan percaya kerana itu hanya perbuatan Musa yang mahu menyihir mereka.
Kenapa mereka guna perkataan: ayat-ayat atau tanda keterangan {مِنْ ءَايَةٍۢ} juga, bukan kata sihir terus, sedangkan mereka tidak percayanya sebagai ayat-ayat dari Allah???
Jawapan: Ini kerana mereka nak perli Musa lalu mereka mengajuk perkataan yang Nabi Musa sebut, sebagai perlian balik kepadanya, bukan kerana mereka percaya atau mengakui kebenaran ayat-ayat Allah atau mukjizat Nabi Musa itu!
- Ayat 133- {(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata,…}-
Allah hantar taufan (banjir) dulu kemudian bala-bala kerana ada hikmahnya.
Ini kerana selepas banjir yang bawa air yang banyak, bumi akan menjadi subur lalu tumbuhlah pokok-pokok yang banyak, hasil kebun mereka lumayan, membuatkan mereka menjadi lupa akan ujian Tuhan sebelum ini.
Lalu Allah hantar belalang yang menyerang pokok-pokok mereka dari atas dengan memakan pucuknya, kemudian kumbang pula yang makan umbinya dari bawah, kemudian katak yang menganggu dan seterusnya bala-bala lain.
Begitulah setiap tertib susunan ayat al-Quran yang indah itu ada hikmah & tujuannya bukan hanya saja-saja atau tiada makna.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.