BANDINGAN MUKMIN DAN KAFIR, SETIAP NEGERI ADA KETUA PENYANGAK & KAFIR NAK JADI SEPERTI NABI.
Full video : https://youtu.be/gaSlwTSAKJM?si=IA7J34afMzB_ANsF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 122 sehingga 124 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT buat bandingan analogi tentang orang kafir yang mati hatinya lalu dihidupkan Allah dengan memeluk Islam.
Allah juga kata tak sama gelap & cerah, yakni tak sama iman & kufur.
- Allah beri peringatan kepada para nabi & pendakwah bahawa dalam setiap negeri pasti ada ketua penyangak, ketua yang menentang dakwah dan kebenaran.
Orang kafir ini ada banyak jenis; ada yang extreme keras, ada yang tak peduli tentang agama.
- Kemudian puak kafir yang keras kepala ini mengatakan mereka boleh beriman tetapi nak jadi seperti nabi juga iaitu Allah turunkan wahyu kepada mereka & malaikat datang kepada mereka, juga ada mukjizat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kebanyakan agama ini hanya sangkaan sahaja, mereka ikut apa yang tok nenek buat. Mereka hanya ikut hawa nafsu tanpa ilmu, syaitan pula dok berbisik di telinga pengikutnya bahawa apa yang mereka buat dari tok nenek mereka itu sudah elok dan baik!
Jangan ikut Muhammad SAW yang keluar dari kebiasaan, buang keluarga, berlawanan dengan pegangan mereka & mencarik adab.
Bercanggah dengan ajaran mereka selama ini, dari Tuhan yang banyak menjadi satu!
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa sebab manusia terus menjadi kafir dan berada dalam kegelapan adalah kerana amalan mereka telah dihiasi oleh syaitan!
Seperti para MUA jurumekap hari ini yang boleh menyolek manusia berubah menjadi cantik jelita.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 122- {DAN ADAKAH ORANG YANG MATI (HATINYA DENGAN KUFUR), KEMUDIAN KAMI HIDUPKAN DIA SEMULA (DENGAN HIDAYAH PETUNJUK), DAN KAMI JADIKAN BAGINYA CAHAYA (IMAN) YANG MENERANGI (SEHINGGA DAPATLAH IA MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN DAPATLAH) IA BERJALAN DENGAN SULUHAN CAHAYA ITU DALAM MASYARAKAT MANUSIA, (ADAKAH ORANG YANG DEMIKIAN KEADAANNYA) SAMA SEPERTI YANG TINGGAL TETAP DI DALAM GELAP-GELITA (KUFUR), YANG TIDAK DAPAT KELUAR SAMA SEKALI DARIPADANYA? DEMIKIANLAH (SEBAGAIMANA IMAN ITU DIPERLIHATKAN KEELOKANNYA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN), DIPERLIHATKAN PULA PADA PANDANGAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU AKAN KEELOKAN APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN (DARI PERBUATAN KUFUR DAN SEGALA JENIS MAKSIAT).} (AL-AN’AM 6:122)
- Ayat ini menceritakan pertembungan antara dua budaya atau pegangan:
i- Orang muslim yang hidup dalam cahaya keimanan dan diperlihatkan amalannya oleh malaikat sebagai yang cantik, indah & benar, itulah keimanan kepada Allah SWT.
ii- Satu lagi yang hidup dalam kegelapan & kesesatan tetapi syaitan menghiasi amalan mereka menjadikan mereka berasa elok & betul apa yang mereka buat!
- Allah nyatakan keadaan orang kafir yang dulu mati hatinya berada dalam kegelapan & kesesatan.
Kemudian Allah hidupkan semula hati mereka itu dengan hidayah petunjuk lalu mereka beriman.
- Lalu bagi orang orang yang beriman Allah jadikan baginya cahaya iman yang menerangi hati & jalannya.
Allah hidupkan hatinya dengan al-Quran sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah dan terus berada di atas landasan yang benar.
Lalu mereka berjalan pula di kalangan manusia dengan ilmunya yang dia dapat.
- Orang yang sudah dapat kemanisan iman ini, yang sudah dapat ilmu tentang Allah tentang tauhid dia tidak boleh diam, kena bergerak bawa ilmu & cahaya itu kepada manusia lain. Kena berdakwah agar manusia lain juga bertemu hidayah & iman.
- Inilah yang kita mahu, para pendakwah yang boleh menghidupkan hati-hati orang kafir yang telah mati kembali kepada fitrah imaniyah yang ada dalam diri mereka!
- Kerana itu Allah buat bandingan apakah sama orang yang mendapat hidayah petunjuk lalu dia bergerak aktif berdakwah kepada manusia; dengan orang yang duduk diam dalam gelap gelita kekufuran, tidak bertemu iman & hidayah petunjuk!
Pastilah tidak sama sama-sekali!
- Firman Allah SWT juga tentang keadaan mereka yang berada dalam kegelapan kufur itu:
{Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis – apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).} (An-Nuur 24:40)
- Allah nyatakan pula sebab & punca mereka itu terus berada dalam kegelapan & kekufuran kerana syaitan telah menghiasi dan menjadikan elok, indah dan seolah benar segala amalan mereka dari segala perbuatan kufur dan segala jenis maksiat itu!
- Padahal perbuatan mereka itu amat buruk dan ada yang bodoh jika dilihat dengan akal yang logik.
Itulah bahayanya kerana mereka rasakan perbuatan mereka itu benar & baik lalu terus degil keras kepala tidak nampak kebenaran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
{Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.} (Faatir 35:8)
AYAT 123- {DAN DEMIKIANLAH KAMI ADAKAN DALAM TIAP-TIAP NEGERI ORANG-ORANG BESAR YANG JAHAT SUPAYA MEREKA MELAKUKAN TIPU DAYA DI NEGERI ITU, PADAHAL TIADALAH MEREKA MEMPERDAYAKAN SELAIN DARI DIRINYA SENDIRI (KERANA MEREKALAH YANG AKAN MENERIMA AKIBATNYA YANG BURUK), SEDANG MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-AN’AM 6:123)
- Allah nyatakan bahawa bagi setiap negeri pasti ada ketua penjahat, ketua penyangak bagi kumpulan penentang yang keras kepala!
Merekalah yang buat tipu daya, ajak manusia supaya kufur & menyekat manusia daripada jalan kepada Allah Azza wa Jalla.
- Contoh pada zaman Nabi SAW; ketua mereka yang menonjol ialah Abu Jahal & Abu Lahab, dua pak Abu yang paling jahat menentang dakwah Nabi SAW.
Sedangkan Abu Lahab bin Abdul Mutalib adalah bapa saudara Nabi SAW sendiri!
Tiada manusia yang Allah cerca & sebut namanya khas dalam al-Quran kecuali Abu Lahab.
Lihat Surah Al-Masad, hatta dalam solat kita boleh cerca & makinya.
- Kata Ibnu Kathir RHM : Maksudnya, Kami jadikan ketua penjahat itu di dalam negeri kamu wahai Muhammad SAW. bapa penjahat, penentang yang mengajak manusia kepada kufur, menyekat daripada jalan Allah SWT. ajar untuk melawan dan memusuhi Nabi SAW.
Mereka yang kejahatannya amat melampau, mereka yang membuat perancangan jahat sama ada nak sekat atau nak bunuh Nabi SAW.
Begitulah juga yang dialami oleh nabi-nabi lain sebelum ini pun.
- Firman Allah SWT juga:
{Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).} (Al-Furqaan 25:31)
- Maka kamu janganlah rasa pelik & kecewa wahai Muhammad SAW, kerana saudara kamu para nabi & rasul sebelum ini pun menghadapi tentangan dan cabaran yang sama, dimusuhi oleh ahli keluarga & kaumnya sendiri!
Setiap nabi itu pasti ada musuhnya.
- Hanya Allah SWT yang dapat menolong & membantu kita, memberi kekuatan untuk menyebar Islam, al-Quran & Sunnah di mana saja kita berada.
Segala penentangan itu kita hadapi dengan sabar & penuh keimanan kepada Allah SWT!
- Jangan bimbang jika mereka buat rancangan jahat setara manapun, jika Allah kehendaki ia akan gagal!
Kerana Allah akan jaga & bantu hamba-Nya yang beriman dan berjuang pada jalan Allah.
Sebagaimana Allah kembalikan Makkah kepada Rasulullah SAW dengan berjayanya!
AYAT 124- {DAN APABILA DATANG KEPADA MEREKA SESUATU KETERANGAN, MEREKA BERKATA: “KAMI TIDAK AKAN BERIMAN SEHINGGA KAMI JUGA DIBERI (WAHYU) SAMA SEPERTI YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA PESURUH-PESURUH ALLAH”. ALLAH LEBIH MENGETAHUI DI MANA (DAN KEPADA SIAPAKAH YANG SEPATUTNYA) IA BERIKAN JAWATAN RASUL (DAN WAHYU) YANG DIBERIKANNYA ITU. ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN PERBUATAN YANG SALAH ITU AKAN DITIMPA KEHINAAN DI SISI ALLAH, DAN AZAB SEKSA YANG AMAT BERAT, DISEBABKAN PERBUATAN TIPU DAYA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:124)
- Kemudian orang kafir ini membuat tuntutan yang pelik lagi!
Mereka kata mereka akan beriman tetapi mahukan keistimewaan seperti Nabi SAW juga!
Mahu Allah turunkan wahyu dan hantar malaikat kepada mereka juga, beri mukjizat dan sebagainya!
Begitulah manusia apabila keras kepala!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah telah nyatakan bahawa setiap negeri pasti ada ketua penentanganya!
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan puak kafir yang degil keras kepala ini minta yang pelik untuk membuktikan bahawa agama ini benar dengan minta malaikat & wahyu turun kepada mereka sendiri!
- Kata Ibnu Kathir r.h.m: Puak kafir itu tak mahu terima kecuali Tuhan turunkan wahyu dan hantar malaikat kepada mereka sebagaimana yang diberikan kepada Nabi SAW, yakni seolah mereka nak jadi nabi juga!
- Firman Allah SWT:
{Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.} (Al-Furqaan 25:21)
- Allah SWT jawab permintaan mereka ini dengan menyatakan bahawa Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapakah yang sepatutnya. Dia berikan jawatan Rasul dan wahyu yang diberikan-Nya kepada Nabi Muhammad SAW itu.
- Di akhir ayat Allah beri amaran bahawa mereka yang berbuat salah itu:
i- Akan ditimpa kehinaan di sisi Allah,
ii- Dan azab seksa yang amat berat,
Disebabkan perbuatan tipu daya & kekufuran yang mereka lakukan atas dunia ini.
- Kata Ibnu Asyur RHM : Mereka puak kafir ini telah mendapat kehinaan & azab itu atas dunia ini iaitu:
i- Pertama kali dengan kebinasaan ramai ketua mereka dalam peperangan Badar termasuk Abu Jahal dan ramai lagi pemuka Quraisy Makkah.
Seramai 70 orang telah terbunuh, hanya Abu Lahab yang tidak pergi lalu selamat.
ii- Jatuh & hilangnya kerajaan Quraisy di Makkah dengan Pembukaan Makkah oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan, tahun ke-8H.
Manusia berduyun-duyun masuk Islam.
Manakala di Akhirat kelak pastilah mereka akan mendapat azab neraka yang dahsyat pula!
- Kita orang yang beriman ini alhamdulillah, biarlah hina di sisi manusia tetapi mendapat kemuliaan di sini Allah SWT!
Tidak mengapa manusia benci kepada kita asalkan Allah sayang & redha kepada kita.
Jika mendapat kemuliaan juga di sisi manusia maka itu adalah satu bonus!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 122- {Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?…}-
Apa yang kita dapat dari bandingan gelap & cahaya yang cerah ini??
Allah bawa bandingan cahaya & kegelapan ini agar kita orang Islam letakkan dirinya dalam acuan kerangka ilmu.
Yakni sebagai muslim kita kena belajar, kena tahu & faham al-Quran, belajar biar faham Sirah Nabi SAW, kita belajar agar kita dapat beramal dengan ajaran Islam dari segi akhlak dan adabnya yang mulia!
Maka menjadi kewajipan bagi orang muslim untuk belajar & mencari ilmu.
Jangan kata kita orang Islam dah, cukuplah tak perlu belajar lagi, biarlah tak ada ilmu tak ada pedoman hidup!
Orang muslim ialah orang yang alim, orang yang berilmu!
Takkanlah Allah turunkan al-Quran sebanyak 30 juzuk kita tak boleh nak bacanya!
Tak boleh nak fahamnya!
Sesiapa yang sudah pencen tidak ada kerja lagi tu marilah kita pakat baca & belajar al-Quran supaya tidak kerugian & menyesal di Akhirat kelak!
Orang yang hatinya sudah cerah, yang ada cahaya iman kepada Allah; dia kena usaha memahami Kalam Allah, memahami Sunnah Nabi SAW, baru kita tahu hidup ini ada agama, ada Syari’ah, ada akhlak & adab.
- Ayat 122- {… dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia,..}-
Mana-mana orang yang diberi cahaya oleh Allah dia kena berjalan di kalangan manusia.
Kata ulama’ tadabbur: Apabila Allah nyatakan Dia berikan ilmu kepada hamba-nya, Dia beri makrifat kepada hamba-Nyal maka mereka tak boleh relax dan diam sahaja.
Dia mesti bawa obor cahaya ilmu itu untuk cari manusia lain, untuk suluh orang lain.
Ini supaya manusia lain dapat faedah & manfaat daripada agama ini.
Agama yang ada ini mesti dibawa untuk menyuluh manusia lain juga.
Kita suluh cahaya kepada:
i- Yang telah Islam agar bertambah mantap imannya,
ii- Yang kafir agar dia kembali kepada fitrah.
Kerana itu DAAM- حفظه الله ورعاه- cuba sedaya sedaya dengan kudrat & kesihatan yang tidak seberapa untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat; bila orang terima kita kata alhamdulillah.
Orang tak terima pun alhamdulillah.
Kerana telah lepas tanggungjawab sebagai pendakwah untuk menyampaikan!
Para pendakwah kena usaha & kerja agar seramai mungkin manusia atas dunia ini mendapat faedah ilmu itu!
- Ayat 122- {Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman)…}-
Allah kata Kami jadikanya apabila hidup ada cahaya.
Ini adalah satu adab kesenian yang indah (لطيفة جميلة) dalam al-Quran.
Apabila nak sebut tentang kebaikan Allah sandarkan kepada diri-Nya,
{Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman)…}-
Tetapi apabila benda buruk Allah tidak sandarkan kepada dirinya sebagaimana ayat ini:
{… sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?}-
yakni orang jahat itu yang sesatkan mereka adalah syaitan!
Sebagaimana biasanya ucapan penutup para penceramah:
Yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan diri saya dan dari syaitan.
Dari sudut aqidah memang semua itu dari Allah yang baik atau buruk, gelap atau cerah; tetapi dari segi adab bahasanya begitulah kita sebut sandarkan yang baik itu kepada Allah.
Mereka tidak akan keluar daripada kegelapan itu selagimana mereka kafir, walaupun mereka baik dan permurah dengan sesama manusia. Tetapi mereka tetap gelap & sesat daripada jalan kebenaran.
- Ayat 123- {Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat…}-
Allah jadikan dalam setiap negeri itu pasti orang besar, ketua penjahat penyangak!
Timbul persoalan:
Kenapa Allah sebut begini, negeri & pembesar???
Jawapan:
Kerana setiap negeri itu mesti ada ketua dan ketua itu pula ditaati, ditakuti & dipatuhi oleh pengikutnya.
Maka jika pemimpinnya jahat & zalim, begitulah juga rakyatnya.
Juga yang menentang para rasul ini biasanya puak ketua, pengikutnya hanya pak turut.
Bahayanya apabila bos ketua itu dikuasai oleh penasihat yang jahat!
Sebagaimana dalam sejarah Islam, apabila puak muktazilah menguasai kerajaan & khalifah, ramai ulama’ ahli Sunnah, ahli hadis yang dipenjara, dipukul & disiksa.
Contoh paling besar ialah Imam Ahmad.
Kerana itu para pendakwah kena dekati para pemimpin kerana jika pemimpin itu baik maka baiklah negeri & rakyatnya.
Kata ulama’: “الناس على دين ملوكهم”
Manusia di atas agama & mengikut gaya pemimpinnya!
Jika pemimpin itu seorang yang soleh & warak; rakyatnya juga akan ke arah itu.
Jika pemimpinnya seorang yang beragama budha maka akan ramainya ikut agama itu!
Jika pemimpin itu berpegang dengan al-Quran & Sunnah, maka pengikutnya juga begitu!
Hari ini pula manusia akan ikut gaya hidup media mereka, seperti para influencers yang mempunyai juta-juta pengikut!
Kata ulama’ : Orang kampung, orang asli & badwi dari pendalaman lebih mudah menerima dakwah daripada orang bandar.
Ini kerana fitrah, gaya hidup dan cara pemikiran mereka tidak sama.
Ini dari sudut asas keadaannya.
- Ayat 124- {…. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu…}-
Allah kata Dia lebih tahu siapa yang nak dilantiknya menjadi nabi & rasul, kamu tak perlu minta itu minta ini.
Ini menunjukkan besarnya jawatan & kedudukan Nabi SAW kerana Allah SWT sendiri yang pilih dan lantiknya!
Bukan orang Makkah, bukan Abu Talin atau Abu Jahal yang pilih!
Maka kerja kamu jangan menyibuk; ikut saja pa yang Allah perintahkan!
Siapa yang lawan Allah akan mendapat kehinaan & azab di dan & Akhirat.
Jika selamat di dunia, di Akhirat tidak akan terlepas!
Kita minta Allah selamatkan kita di dunia & aman di Akhirat.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Ucapan penerangan ringkas tentang dakwah di Jepun oleh Saudara Zulkarnain Hasan Basri, Pengerusi Japan Dakwah Centre (JDC).
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.