MUKMIN LAPANG DADA, KAFIR SEMPIT DADA & SIRAT AL-MUSTAQIM SANGAT JELAS.
Full video : https://youtu.be/aLixJbjD4-0?si=9x3G2qgt9cZPVXAS
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 125 sehingga 127 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa orang mukmin lapang dada, tenang jiwanya dengan sebab cahaya iman yang menyuluh dalam hatinya.
- Manakala orang kafir pula apabila disebut tentang agama; sempit dadanya & jiwa memberontak dengan sebab apa yang mereka percaya menyalahi fitrah yang ada dalam hati mereka!
- Kemudian Allah nyatakan jalan kita yang benar ini iaitu sirat al-Mustaqim sangat jelas.
Bagi orang yang belajar ilmu, ikut al-Quran & Sunnah, ikut huraian para ulama’ Islam maka sangat jelas jalan yang Allah nak ini.
- Allah akhiri ayat ini dengan menyatakan bagi orang yang beriman kepada Allah SWT adalah syurga yang sejahtera!
Ya Allah jadikan kami dari kalangan hamba-Mu yang beriman, yang patuh dan taat kepada-Mu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang pengakhiran orang jahat yang berdusta menipu atas nama Allah; yang hatinya tertutup dari menerima Islam.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan ada orang yang Allah buka hatinya, lapangkan dadanya untuk menerima hidayah Allah & tertegak hujjah-Nya.
Mereka ini berada di atas landasan yang benar. Inilah rezeki yang besar bagi sesiapa yang Allah lapangkan dadanya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 125- {MAKA SESIAPA YANG ALLAH KEHENDAKI UNTUK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA NESCAYA IA MELAPANGKAN DADANYA (MEMBUKA HATINYA) UNTUK MENERIMA ISLAM;…} (AL-AN’AM 6:125)
- Sesiapa yang Allah beri hidayah kepadanya untuk menerima Islam, beriman kepada Allah & Rasul-Nya, Allah akan buka dadanya untuk itu.
- Maka luas dan lapang dadanya untuk menerima Islam dan Allah permudahkan baginya segala urusan yang berkaitan dengan agama.
Lalu hatinya cerah dengan cahaya iman, lapang dadanya dengan cahaya keyakinan, tenang jiwanya mengikut peraturan Tuhan.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
i- Maksudnya: {Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.} (Az-Zumar 39:22)
ii- {… dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus;
(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}
(Al-Hujuraat 49: 7-8)
AYAT 125- {… DAN SESIAPA YANG ALLAH KEHENDAKI UNTUK MENYESATKANNYA, NESCAYA IA MENJADIKAN DADANYA SESAK SEMPIT SESEMPIT-SEMPITNYA, SEOLAH-OLAH IA SEDANG MENDAKI NAIK KE LANGIT (DENGAN SUSAH PAYAHNYA). DEMIKIANLAH ALLAH MENIMPAKAN AZAB KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN.} (AL-AN’AM 6:125)
- Manakala yang sebaliknya, sesiapa yang Allah pilih untuk tidak menerima hidayah petunjuk, tidak dibuka pintu untuk mendapat jalan petunjuk yang benar;
- Maka Allah jadikan dadanya sempit, bila dengar tentang Islam sesak nafasnya naik darahnya!
Mereka ini duduk dalam kekufuran, tenggelam dalam nafsu & syahwat, segala nasihat & peringatan yang diberi tidak didengar, segala kehendak nafsu diikut dan segala bisikan syaitan dituruti. Mereka ini rosaklah!
- Allah gambarkan keadaan mereka itu sesak nafas seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit dengan susah payahnya.
Ini adalah satu fakta sains yang terbukti; makin tinggi kita naik (seperti naik kapal terbang) makin kurang oksigen maka akan sesak nafas & tercungap-cungap sempit dada!
- Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.
Sebagaimana Allah jadikan dada mereka sempit dada untuk menerima Islam, demikianlah Allah letakkan syaitan menguasai mereka dan nafsu mengikat mereka.
Dudukla mereka dalam kesesatan yang cukup bahaya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya: {Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),
Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik,
Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).
Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya,
Serta ia mendustakan perkara yang baik,
Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”.
(Al-Lail 92: 5-10)
- Semoga Allah menjaga kita semua dari terjebak dengan perkara mungkar & maksiat ini!
AYAT 126- {DAN INILAH JALAN TUHANMU (AGAMA ISLAM) YANG BETUL LURUS. SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENJELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN (KAMI) SATU PERSATU, BAGI KAUM YANG MAHU BERINGAT – INSAF.} (AL-AN’AM 6:126)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan orang yang sesat yang tidak mahu mengikut Islam akan melalui jalan yang sukar, sempit dadanya seolah naik ke langit!
Jalan yang berliku dan susah dengan halangan.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan pula jika kamu nak selamat marilah ikut jalan Tuhan yang lurus dan selamat!
- Allah nyatakan ini adalah jalan Tuhanmu iaitu agama Islam yang Allah redhai untuk hamba-Nya, adalah jalan yang benar lagi lurus {صِرَٰطُ رَبِّكَ مُسْتَقِيمًۭا ۗ}.
Jalan yang selamat dan akan membawa kamu kepada kebenaran & keselamatan, syurga yang aman sejahtera.
- Allah juga telah jelaskan ayat-ayat keterangan-Nya, dalil bukti yang jelas satu persatu, benarnya agama yang dibawa oleh Nabi SAW itu.
Semua dalil keterangan ini memadai dan mencukupi bagi kaum yang mahu beringat.
- Maka kenapa kamu nak pilih jalan yang berliku penuh bahaya sedangkan jalan yang lurus dan selamat telah jelas di hadapan kamu!
Ini adalah tipu daya iblis terhadap orang yang beirman, menghiasi yang buruk & bahaya menjadi indah & selamat.
AYAT 127- {BAGI MEREKALAH SYURGA DARUS-SALAAM (TEMPAT TINGGAL YANG AMAN SEJAHTERA) DI SISI TUHAN MEREKA, DAN DIA LAH PENOLONG MEREKA, DISEBABKAN AMAL-AMAL (YANG BAIK) YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AL-AN’AM 6:127)
- Orang yang dilapangkan dadanya untuk menerima Islam, bagi mereka Allah sediakan balasan yang amat besar.
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah nyatakan besar nikmat-Nya kepada hamba yang boleh duduk atas jalan yang lurus;
ii- Maka Allah nyatakan faedah yang besar yang Allah sediakan bagi mereka ini, Syurga Darus-Salaam tempat tinggal yang aman sejahtera di sisi Tuhan mereka, sejahtera dari segala kesusahan & keburukan.
Sedangkan hidup atas dunia ini senang pun susah; susah pun lagi susah.
- Abi Qatadah bin Rab’ei menceritakan bahawa Rasulullah SAW lalu berdekatan dengan satu jenazah, maka Baginda SAW bersabda:
“Berehat dan direhatkan daripadanya.”
Sahabat RA bertanya: “Apakah maksud rehat dan direhatkan daripadanya?”
Baginda menjelaskan: “Hamba yang beriman dia berehat daripada kepenatan dunia.
Hamba yang jahat, sekelian hamba Allah, seluruh negeri, pokok-pokok dan haiwan-haiwan direhatkan daripada (gangguan)nya.” [HR Muslim].
- Yakni maksudnya:
i- Orang mukmin yang mati, meninggalkan dunia ini, dia telah rehat daripada segala kesusahan & kesakitan yang ada atas dunia, Allah luaskan kuburnya seluas mata memandang, menunggu syurga Allah.
ii- Manakala orang yang jahat, kematiannya merehatkan orang lain dari kejahatannya!
Bila dia mati, orang ramai rasa selamat dan rasa lega.
- Kemudian bagi orang mukmin Allah sediakan syurga yang aman sejahtera penuh dengan nikmat tiada apa, kesusahan & kesempitan hidup lagi selamanya!
- Allah juga akan menjaga & menjadi Penolong mereka yang beriman, yang taat yang sentiasa ingat kepada Allah.
Balasan ini adalah bagi segala amalan baik yang mereka telah kerjakan semasa hidup dulu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 125- {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam;..}-
Sesiapa yang Allah nak beri hidayah Allah buka dada & cerahkan hatinya untuk menerima Islam.
Ayat ini menetapkan dua perkara:
i- Semua ini berlaku dengan kehendak Allah SWT.
Siapa yang Allah berkehendakkan dia dapat hidayah akan dapat petunjuk, sesiapa yang Allah tak nak beri hidayah dia tak akan dapat apa-apa petunjuk.
ii- Ayat ini juga menolak fahaman qadariyyah yang kata bahawa tiada taqdir.
Bagi kita semua perkara sama ada petunjuk atau sesat di bawah kuasa Allah SWT bukan sesiapa. Tiada siapa boleh pertikaikannya kerana kita di bawah kuasa Allah SWT.
- Ayat 125- {… dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya,…}-
Orang yang Allah nak sesatkannya, dadanya akan menjadi sempit tidak tenang dan sesak nafas!
Yakni siapa yang Allah tidak mahu beri kebaikan kepadanya akan sempit dadanya apabila membincangkan tentang isu agama, tentang Islam.
Apa saja nama kumpulannya mereka ini, apabila ada saja isu tentang Islam mereka akan muncul selalu meremeh & melemahkannya, apa lagi nak bincang, kita nak maju ke depan bukan nak mundur.
Kita boleh nampak ke arah mana kecenderungan mereka, benci & tidak suka kepada isu agama, kuliah dan seumpamanya.
Setengah orang pula apabila bercakap tentang Islam, tentang Rasulullah SAW, apa saja tentang agama akan gembira dan cenderung ke arahnya.
Persoalan:
Bagaimanakan Allah lapangkan dada ini?
Jawapan: Diriwayatkan bahawa: Untuk lapang dada Allah ambil cahaya keimanan dan dicampakkan ke dalam dada kita lalu dada itu menjadi lapang & tenang.
Apakah tandanya lapang dada ini:
i- Orang ini amat suka buat persiapan untuk mati.
Sentiasa melakukan amal ibadat dan kebaikan untuk kembali ke negeri yang kekal.
Contoh: Setiap kali azan dia sudah siap sedia untuk ke masjid,
ii- Menjauhkan diri daripada perkara yang memperdaya & melaghakan dari jalan Allah!
iii- Dia membuat persiapan untuk mati sebelum mati. yakni ketika sihat & mampu lagi membuat persiapan untuk menyambut kematian.
YANG malangnya nak mati baru insaf & nak siap, ketika nyawa sudah turun naik, terbaring di katil pesakit.
Manakala orang yang tidak mahu kepada agama, kepada Islam:
i- Allah akan sempitkan dadanya sesempitnya!
ii- Kita lihat saja sekarang ini kepada orang yang tidak suka agama, apabila ada saja isu agama mereka akan muncul dan menentang, menunjukkan betapa sempitnya dada dan perasaan mereka yang celaru, tidak mahu kepada Islam.
iii- Mereka ini juga tidak suka diingatkan kepada kematian, dibicarakan hukum-hakam agama di depan mereka.
- Ayat 127- Ayat 127- {Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka,…}-
Bagi mereka yang lapang dada Allah sediakan bagi mereka tempat tinggal yang sejahtera.
Iaitu syurga yang sejahtera, yang aman damai, tiada kesusahan, kesakitan, dan sebarang kekurangan, kelemahan yang tidak baik!
Kata ulama’ : Allah namakan juga sebagai negeri yang sejahtera kerana atas dunia dulu mereka selamat dari nafsu & godaan syaitan, selamat dari melakukan segala dosa & maksiat.
Maka kerana atas dunia dunia dulu kamu selamat maka di Akhirat ini pun kamu akan selamat sejahtera!
Ya Allah jadikan kami, kaum keluarga kami & seluruh orang yang kami sayangi termasuk dalam golongan yang mendapat keamanan di dunia & kesejahteraan di Akhirat.
- Ayat 127- Ayat 127- {Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.}-
Bagi mereka yang beriman, yang lapang dada & ikut al-Quran dan Sunnah Nabi SAW beberapa kemulian yang Allah anugerahkan:
i- Bagi mereka syurga {دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ}– orang lain selain daripada mereka tidak dapatnya!
ii- Di sisi Tuhan mereka {عِندَ رَبِّهِمْ}- yakni syurga tempat duduk mereka itu dekat dengan Allah.
iii- Dan Dia lah Penolong mereka {وَهُوَ وَلِيُّهُم}- Allah sendiri sebagai penjaga & penolong mereka.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang baik ini!
- Ayat 126- {Dan inilah jalan Tuhanmu (agama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu,…}-
Allah kata ini jalan kami yang lurus, jalan yang membawa kepada agama yang benar.
Jalan Tuhan yang lurus {صِرَٰطُ رَبِّكَ مُسْتَقِيمًۭا ۗ} untuk ke syurga ini ialah melalui al-Quran, ikut Sunnah Nabi SAW, mellaui huraian para ilm salaf, ulama’ yang muktabar sehingga ke akhir zaman itulah jakan yang benar!
Allah juga Dia telah menjelaskan segala ayat keterangan dalil yang nyata dengan jelas dan terang!
Maka kamu jangan cari jalan yang lain!
Maka nasihat kita kepada jemaah:
Pada zaman yang penuh kecelaruan minda & kejerebuan pegangan ini; Apa saja ibadat yang nak dijadikan amalan, zikir ke pemikiran ke; semua produk yang dibawa perlu kita tanya periksa dulu apakah ada dalil dari al-Quran, atau dari Sunnah Nabi SAW, atau dari para sahabat RAnhum atau para Salafus-Soleh.
Jika tiada, kita tinggalkanlah, kita ambil yang asal yang asli dari sumber yang muktamad; inilah parameter kayu pengukur amalan kita.
Apabila yang lapang dada & tenang jiwa ada, yang jelas & sahih ada; kenapa kita nak cari yang berisiko, yang berliku yang khilaf & syubhah!
Ini tidak apabila orang bantah & tegur terus dilabel, diangkat logo & lambang kepada yang menegur.
Label inilah yang mencelakan manusia hari ini, dengan sebabnya kita berkelahi, menyebabkan manusia lari daripada al-Quran & Sunnah dan menjadikan manusia berani buat perkara pelik-pelik! Allahu-al-Musta’an.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.