View Categories

(37) Surah Al-A’raf : Ayat 138-141

Bani Israil Kufur Nikmat, Nabi Musa Marah & Peringatkan Nikmat Kemerdekaan.

Full video : https://youtu.be/xp7WIAU7HbU?si=WXajlJ7SWKwgXYlv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 138 sehingga 141 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah bani Israil yang mudah lupa, kufur nikmat.
    Ini kerana mereka terlalu lama ditindas di bawah Fir’aun, apabila terlepas & senang jadi terlupa.
    Mereka minta Nabi Musa buat berhala/patung untuk disembah seperti kaum kafir yang mereka lihat!
  1. Ini membuatkan nabi Musa marah dan menasihati mereka yang baru saja selamat dari kekejaman Fir’aun.
  1. Kemudian Nabi Musa ingatkan kaumnya akan nikmat kemerdekaan.
    Betapa besar nikmat yang Allah beri maka marilah kembali kepada Allah jangan derhaka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang pelbagai jenis nikmat-Nya ke atas bani Israil; antara nikmat yang paling besar & terserlah ialah binasanya Fir’aun dan mereka bebas dari perhambaan, laut menjadi kering untuk mereka seberangi dan banyak lagi.
    Selesailah episod mereka dengan Fir’aun yang telah binasa.
    Perut bumi yang hanya sekali saja disinari matahari, adalah Laut Merah apabila terbelah & kering untuk dilalui Musa & pengikutnya!

    ii- Maka dalam ayat-ayat ini diceritakan pula tentang kisah Nabi Musa AS dan kaumnya bani Israil yang banyak karenah dan helahnya!
    Ini adalah episod baru pula, kisah Nabi Musa AS dan bani Israil.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 138- {DAN KAMI BAWAKAN BANI ISRAIL KE SEBARANG LAUT (MERAH) ITU LALU MEREKA SAMPAI KEPADA SUATU KAUM YANG SEDANG MENYEMBAH BERHALA-BERHALANYA. (MELIHATKAN YANG DEMIKIAN) MEREKA (BANI ISRAIL) BERKATA: “WAHAI MUSA BUATLAH UNTUK KAMI SUATU TUHAN (BERHALA) SEBAGAIMANA MEREKA MEMPUNYAI BEBERAPA TUHAN”. NABI MUSA MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA KAMU INI ADALAH KAUM YANG JAHIL.} (AL-A’RAF 7:138)

  1. Ini adalah episod baru antara Nabi Musa & kaumnya, Bani Israil.
    Allah nyatakan kisah bani Israil yang telah selamat itu di bawa ke seberang laut Merah itu.
    Manakala Fir’aun mati tenggelam dalam laut Merah yang bertangkup semula itu selepas mereka selamat menyeberanginya!
  1. Setiba di seberang, mereka jumpa suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya.
    Melihatkan yang demikian mereka Bani Israil berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.
  1. Mendengar permintaan mereka yang karut ini Nabi Musa amat marah dan menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
    Inilah kisah muallaf yang baru masuk Islam, yang mindanya masih terkonkong dengan agama Fir’aun.
  1. Kisah ini hampir sama juga dengan kisah kaum Nabi Muhammad SAW suatu ketika dulu, selepas Pembukaan Makkah pada tahun ke-8H.
    Abu Waqid Al-Laithi رضِيَ اللهُ عَنه merupakan Muslim yang baru memeluk Islam (seminggu yang lalu), meriwayatkan hadis ini, katanya:

    أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ لمَّا خرجَ إلى [حنين] مرَّ بشجرةٍ للمُشرِكينَ يقالُ لَها ذاتُ أنواط يعلِّقونَ عليْها أسلحتَهم.
    Ketika Rasulullah صلى الله عليه و سلم keluar ke Hunain, baginda melewati sebatang pokok yang disebut oleh orang-orang musyrik Zat Anwat- (ذاتُ أنواط) yang padanya mereka menggantungkan senjata mereka (untuk ambil berkat).
    Abu Waqid Al-Laithi menyambung:
    Mereka (penduduk Makkah yang baru memeluk Islam) berkata:
    (فقالوا يا رسولَ اللهِ اجعَل لنا ذاتَ أنواطٍ كما لَهم ذاتُ أنواطٍ)
    “Wahai Rasulullah! Buatlah Zat Anwat (pokok berkat) untuk kami sebagaimana mereka (pada waktu yang lampau) mempunyai Zat Anwat.’
    فقالَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ سبحانَ اللهِ هذا كما قالَ قومُ موسى {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ والَّذي نفسي بيدِهِ لترْكبُنَّ سنَّةَ مَن كانَ قبلَكم}
    Nabi صلى الله عليه و سلم bersabda: “Maha suci Allah! Ini seperti yang dikatakan oleh kaum Musa: “Jadikan untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.”
    Demi Zat yang memiliki jiwaku! Kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu.”

    [HR at-Tirmizi 2180 hasan sahih].
    Iaitu merujuk kepada perbuatan syirik, kesinambungan daripada kisah kaum Nabi Musa & Bani Israil dalam ayat kita ini.
  1. Begitu juga fenomena gosok & puja muliakan kubur telah menjadi budaya baru & kebiasaan yang biasa dalam masyarakat jika tidak dibanteras dan diberi penjelasan dari awal!

AYAT 139- {“SESUNGGUHNYA MEREKA (PENYEMBAH-PENYEMBAH BERHALA ITU), AKAN DIHANCURKAN APA YANG MEREKA BERADA DI DALAMNYA (DARI PERBUATAN SYIRIK), DAN TETAPLAH SALAHNYA APA YANG MEREKA KERJAKAN ITU”.} (AL-A’RAF 7:139)

  1. Dalam ayat ini Nabi Musa menyatakan sebab kenapa dia mengingkari permintaan bani Israil itu mahu dibuatkan berhala itu!
  1. Ini kerana para penyembah berhala itu adalah:
    i- Golongan yang akan dihancurkan sebab dari perbuatan syirik.

    ii- Apa yang mereka berada di dalamnya juga iaitu berhala-berhala juga akan dihapuskan dan dimusnahkan.
    Mereka & berhala mereka akan dicampakkan ke dalam neraka semuanya sekali kelak!
    Maka jangan sesekali kamu rasa kagum & ingin ikut perbuatan mereka.
  1. Berhala itu juga tidak dapat memberi apa-apa manfaat & faedah kepada penyembahnya, tidak dapat bergerak atau berkelip mata sendiri apatah nak tolong manusia pula!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    {Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.} (Al-A’raf 7:197)
  1. Hadis, kisah seorang sahabat, Abu Zar al-Ghifari yang termasuk salah satu dari mereka yang berhenti menyembah berhala dan mempercayai ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW.
    Nama asalnya ialah Jundub bin Junadah bin Zakan.
    Kisahnya bermula ketika beliau meletakkan semangkuk susu di samping berhala yang disembahnya. Berhala itu bernama Naam.
    Abu Zar berkata, “Wahai Naam, aku bawakan susu untukmu.”
    Tak lama, datanglah seekor anjing yang menghabiskan susu tersebut kemudian anjing itu kencing pula di tempat susu kosong yang Abu Zar sajikan untuk berhalanya.
    Melihat hal itu terjadi, Abu Zar terdiam dan berfikir mengapa berhala yang disembahnya tak berkutik dan tak marah ketika susu yang disajikan untuknya dihabiskan oleh seekor anjing.
    Setelah mengalami kejadian tersebut, Abu Zar mulai meragukan kepercayaan yang beliau dan keluarganya sembah.
    Kisahnya berakhir dengan masuk Islamnya Abu Zar dengan bimbingan Rasulullah SAW.
  1. Serta Allah nyatakan di akhir ayat bahawa tetaplah salahnya apa yang mereka para penyembah berhala itu kerjakan itu.

AYAT 140- {NABI MUSA BERKATA LAGI: “PATUTKAH AKU MENCARI TUHAN UNTUK KAMU SELAIN DARI ALLAH, PADAHAL IA TELAH MELEBIHKAN KAMU ATAS SEKALIAN MANUSIA (YANG SEZAMAN DENGAN KAMU, DENGAN BERBAGAI NIKMAT YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU)?”} (AL-A’RAF 7:140)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Nabi Mus anyatakan bahawa berhala-berhala itu tidak ada faedah sedikit pun, tak boleh tolong & beri kebaikan, maka sesiapa yang sembah berhala adalah orang yang jahil, tak kenal Allah tak kenal rasul & agama.

    ii- Lalu datang ayat ini Nabi Musa AS terus berdakwah mengajar kaumnya.
  1. Nabi Musa mengingkari kaumnya dan berasa pelik dengan tuntutan mereka minta berhala!
    Tak ingatkah kamu dulu menjadi hamba Fir’aun dan aku adalah rasul untuk kamu semua!
  1. Apakah kamu mahu aku cari Tuhan lain selain dari Allah untuk kamu?
    Sedangkan Allah telah memilih dan melebihkan kamu menjadi manusia yang tebaik atas sekelian manusia lain {فَضَّلَكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ}.
  1. Ulama’ menyatakan : Maksud {فَضَّلَكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ} ini ialah sama ada:
    i- Allah lebihkan bani Israil daripada manusia lain pada zamannya itu.

    ii- Kerana ramai dari kalangan bani Israil yang dipilih menjadi nabi & rasul bermula dari nabi Yaakub dan zuriat keturunannya!
    Maka Allah telah melebihkan mereka dengan itu.
  1. Maka apakah patut kamu sebagai kaum yang terpilih, yang sudah ada yang baik & elok, nak cari yang karut & sesat lagi seperti nak sembah patung berhala pula???
    Itu tidak cerdik & jahil namanya.
    Allahu al-Musta’an!

AYAT 141- {DAN (TUHAN BERFIRMAN): INGATLAH KETIKA KAMI SELAMATKAN KAMU DARI FIRAUN DAN KAUMNYA, YANG MENYEKSA KAMU DENGAN AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERAT DAN SEBURUK-BURUKNYA; MEREKA MEMBUNUH ANAK-ANAK LELAKI KAMU DAN MEMBIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN KAMU; DAN (INGATLAH BAHAWA) YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI CUBAAN YANG BESAR DARI TUHAN KAMU.} (AL-A’RAF 7:141)

  1. Nabi Musa AS terus mengungkit keadaan mereka dulu kepada bani Israil agar mereka insaf, tidak terus lupa & lagha dan meminta yang pelik-pelik!
  1. Sudah lupakah kamu ketika Allah selamatkan kamu dan firaun dan kaumnya,
    i- Yang menyeksa kamu dengan azab yang seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya;

    ii- Mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;

    iii- Ingatlah bahawa yang demikian itu mengandungi cubaan dan bala yang besar dari Tuhan kamu.
    Ini supaya kamu insaf sedar, tidak angkuh sombong atas dunia ini!
  1. Nikmat ini jika orang lupa; kita boleh ingatkan atau ungkit agar seseorang itu tidak lupa diri lalu menjadi sombong takabbur.
    Mengingatkan nikmat itu boleh, ungkit jasa & budi itu jangan!
    Tetapi jangan ungkitkan kebaikan yang kita buat kepada seseorang, nanti hilang pahala & rugi.
    Tetapi jangan lupa & mesti sentiasa ingat kebaikan yang orang kepada kita agar kita sentiasa syukur.
  1. Kadang-kadang kita perlu tazkirah agar kita tidak lupa kebaikan orang & nikmat yang kita dapat dari Allah agar kita terus bersyukur.
    Ini kerana manusia ini mudah lupa sebagaimana namanya INSAN.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 138- {Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya.}-

    Apabila Allah selamatkan bani Israil dan bawa mereka menyeberangi Laut Merah.
    Mereka jumpa satu kumpulan orang kafir sembah berhala dan mereka mintanya dari Nabi Musa, nak juga berhala sebagai Tuhan!
    Kata ulama’ tadabbur : Cukuplah mana-mana orang, ummat atau kumpulan yang lemah akalnya, cetek pengetahuannya apabila dia tidak dapat menilai yang mana baik & yang mana buruk.
    Atau dia mengatakan sesuatu yang buruk itu sebagai baik dan mengambil apa yang dihiasi kosmetik itu sebagai amalan & ikutannnya!
    Sedangkan bani Israil ini bersama Nabi Musa AS yang diutuskan Allah SWT dan mereka telah saksikan begitu banyak mukjizat Musa yang menunjukkan kebenarannya seperti:
    Kalah & berimannya ahli sihir Fir’aun, selamat & bebas mereka dari Fir’aun, laut terbelah, tenggelamnya Fir’aun dan tenteranya yang mengejar mereka!
    Tetapi apabila otak telah beku, iman tidak kuat, mereka masih terpengaruh dengan anasir buruk, tengok orang sembah berhala nak juga!
    Sepatutnya merekalah pendokong setia & pengikut tegar ajaran & dakwah Nabi Musa, bukannya cari berhala untuk disembah!
    Kerana itu menjadi kewajipan para pendakwah untuk peka dengan keadaan pengikutnya!
    Serta kena bertegas kepada mereka apabila melihat mereka ada tanda mula nak menyeleweng atau lari terpesong dari landasan yang benar!
    Sebagaimana nabi Musa sangat peka dengan kaumnya; apabila melihat pengikutnya cenderung nak berhala terus dia ceramah dan jelaskan nasihat kepada mereka bahawa itu adalah perbuatan yang kufur & syirik!
    Nabi Musa marah dan mengungkit kembali keadaan mereka dulu yang tertindas, dizalimi & menjadi hamba kepada Fir’aun!
    Para pendakwah kena bertegas dalam menyatkan kebenaran & melarang yang batil, jangan takut hilang pengikut, biar hilang followers asalkan kita telah jalankan tugas & tanggungjawab kepada Allah.
    Orang nak lari kerana kita nyatakan kebenaran adalah lebih baik & puas hati di hadapan Tuhan daripada orang tak lari kerana kita sembunyikan kebenaran!
    Apa yang kita nak jawab di hadapan Tuhan nanti????
    Kerana itu Nabi Musa marah sungguh dan mengatakan mereka adalah kaum yang jahil, yang tidak berfikir.
  1. Ayat 138- {… suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.}-

    Mereka lihat orang sembah berhala, mereka juga minta berhala untuk dijadikan Tuhan sembahan.
    Kenapa mereka panggil berhala itu Tuhan sedangkan ia adalah tongkol kayu atau batu ukiran?
    Berhala itu pula huduh bentuk dan buatannya! Tak sesuai dengan akal pun usahkan dengan tauhid!
    Jawapan:
    Allah nak gambarkan bagi menunjukkan kejahilan dan kecetekan iman mereka, mudah terpengaruh dan tak faham agama!
    Mereka kata berhala itu sebagai Tuhan kerana jahil!!

    Sebagaimana pantun orang lama:
    Melukut Di Tepi Gantang;
    Buka Sanggul Cari Kutu.
    Orang Takut Akalnya Hilang;
    Bertemu Tunggul Di Sangka Hantu.

    Punca utama kesesatan atas dunia ini adalah kejahilan!
  1. Ayat 138- {… Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.}-

    Musa memarahi mereka dan mengatakan mereka itu kaum yang jahil.
    Kemudian Nabi Musa bawa penjelasan kenapa dia kata mereka itu jahil & betul.
    Kena nyatakan sebab dan bawa hujjah kenapa kita kata tak betul & salah:

    Ayat 139- {“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu”.}-

    Kata ulama’ juga : Dalam dua ayat ini Nabi Musa nyatakan beberapa perkara:
    i- Musa kata mereka itu puak yang jahil!

    ii- Musa nyatakan bahawa berhala itu tiada kuasa dan manfaat apa

    iii- Nabi Musa ingkari permintaan mereka itu & rasa pelik kerana apa yang mereka buat, nak cari Tuhan lain itu adalah satu kesalahan yang besar.
    Inilah yang sepatutnya para pendakwah apabila kita melarang atau memarahi seseorang kita kena nyatakan sebabnya, alasan kenapa dilarang kenapa perbuatan itu dikatakan salah & sesat!
    Contoh:
    i- Seorang pendakwah dilarang berceramah, kenapa? Kena nyatakan sebabnya.

    ii- Buku ini telah diharamkan oleh kerajaan. Kenapa?? Kena nyatakan sebabnya.
    Kena beri fakta yang jelas & hujjah yang terang agar mereka faham dan boleh terima & tiada kekeliruan.
  1. Ayat 138- {… Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.}-

    Ayat ini keras dan bekeng (garang).
    Kata ulama’: Ini sesuai dengan keadaannya!
    Dua sifat ini:
    i- Berlembut itu satu sifat baik tetapi kena bertempat dan sesuai dengan keadaannya: berlembut tak kena tempat orang panggil penakut.

    ii- Garang atau bekeng adalah satu sifat yang tidak baik. Tetapi berkeras dan bekeng pada tempatnya, sesuai keadaan adalah hebat!
    Yakni keduanya kena ikut situasi dan keadaan yang sesuai. Bukan semua lembut itu baik & bukan semua keras itu betul!
    Namun kalau syirik tidak boleh dimaafkan lagi kena berkeras.
    Kerana itulah Nabi Musa AS menyifatkan bani Israil sebagai jahil kerana tidak ada satu sifat yang paling buruk atas dunia ini kecuali syirik kepada Allah SWT.
  1. Ayat 141- {Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya;}-

    Nabi Musa telah menyatakan bahawa dia telah mennyelamatkan bani Israil daripada kekejaman Fir’aun!
    Ayat ini mengajar kepada kita betapa pentingnya mengenangi kebaikan orang serta ingat akan nikmat yang Allah anugerahkan.
    Serta jangan sombong bila sudah senang, jangan lupa akan keadaan kita ketika susah dulu supaya kita bersyukur kepada Allah SWT.
    Lihat saja betapa banyak orang yang baru kaya sombong dan angkuh takabbur, lupa daratan lupa diri apabila mendapat harta sedangkan dulu mereka susah & merempat!
    Begitu juga seperti ahli politik yang baru dapat kuasa, betapa ramai yang dulu adalah kawan menjadi lawan!
    Ketika susah kawan bantu bila senang kawan dipinggirkan.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs