View Categories

(38) Surah Al-An’am : Ayat 128-131

ALLAH SWT TEMPELAK JIN DAN MANUSIA KAFIR, MEREKA MENGAKU BERSALAH & TERPEDAYA DENGAN GODAAN DUNIA.

Full video : https://youtu.be/QegmUf8pD8A?si=QLwt0Bnc-00NOWSd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 128 sehingga 131 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan bahawa Allah SWT tempelak jin dan manusia kafir, yang saling tunggang-menunggang antara satu sama lain.
  1. Akhirnya mereka jin & manusia sama-sama mengaku bersalah dan dihumbankan ke dalam neraka semuanya.
  1. Akibat mereka jadi begitu ialah kerana terpedaya dengan godaan dunia.
    Demikianlah Allah binasakan orang yang zalim.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang golongan yang berpegang dengan jalan yang lurus {صِرَٰطُ مُسْتَقِيمًۭا}; bagi mereka syurga yang aman damai & sejahtera.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah cerita tentang golongan yang sebaliknya iaitu jin & manusia syaitan yang kafir, mereka yang lansung tiada iman akan kekal di dalam neraka selamanya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 128- {DAN (INGATLAH) HARI (KIAMAT YANG PADANYA) ALLAH AKAN HIMPUNKAN MEREKA SEMUA, (LALU BERFIRMAN): “WAHAI SEKALIAN JIN (SYAITAN-SYAITAN)! SESUNGGUHNYA KAMU TELAH BANYAK PENGIKUT-PENGIKUT DARI MANUSIA”. DAN BERKATALAH PULA PENGIKUT-PENGIKUT MEREKA DARI GOLONGAN MANUSIA: “WAHAI TUHAN KAMI, SEBAHAGIAN KAMI (MANUSIA) TELAH BERSENANG-SENANG (MENDAPAT KEMUDAHAN) DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN (SYAITAN-SYAITAN), DAN KAMI TELAH SAMPAILAH KEPADA MASA KAMI (HARI KIAMAT) YANG ENGKAU TELAH TENTUKAN BAGI KAMI”. (ALLAH BERFIRMAN): “NERAKALAH TEMPAT KEDIAMAN KAMU, KEKAL KAMU DI DALAMNYA, KECUALI APA YANG DIKEHENDAKI ALLAH”. SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:128)

  1. Pada hari Kiamat Allah akan kumpulkan jin dan manusia yang menyembah mereka, jin kata manusia ikut dia, manusia kata jin tolong dia, yang mana mereka saling tunggang-menunggang semasa di dunia dulu.
  1. Allah berfirman kepada jin, wahai jin kamu telah menyesatkan ramai manusia atas dunia dulu & ramai manusia yang terpedaya dengan syaitan! 
    Syaitan pula bersenang-senang kerana menjadi sembahan manusia.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    Maksudnya: {Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).} (Saba’ 34:20)
    Begitulah kerja syaitan nak menyesatkan manusia.
  1. Sebahagian manusia yang menjadi pengikut jin syaitan ini mengakui:
    i- Mereka telah dapat banyak faedah hasil berbaik & berguru dengan jin & syaitan itu, maka mereka menyembahnya! 

    ii- Mereka juga mengaku bahawa mereka telah berkuasa untuk satu tempoh sehingga Allah mematikan mereka!
    Yakni jadi bomoh, ahli sihir dan lain-lain lalu mereka pun sembah syaitan yang dikatakan menolong mereka itu!
  1. Lalu Allah berfirman kepada mereka pengikut jin dari kalangan manusia: “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”.

    Orang mukmin yang derhaka tidak akan kekal di dalam neraka tetapi kafir tidak ada iman akan kekal di dalam neraka!
  1. Timbul persoalan bilakah Allah berkata-kata dengan mereka ini??? 
    Setelah dikaji kata ulama’ : Allah SWT berkata-kata dengan mereka ini dengan cara herdikan, ancaman dengan penuh kemurkaan dan kemarahan Allah kepada mereka. 
    Ini juga termasuk dalam sebahagian daripada azab ke atas mereka, iaitu azab secara mental.
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengatakan semua itu adalah dengan ilmu dan hikmah Allah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui!
    Allah membalas semua hamba-Nya dengan penuh hikmah dan kebijaksaan tidak akan ada yang dizalimi atau terlepas dari azab jika bersalah! 

AYAT 129- {DAN DEMIKIANLAH KAMI JADIKAN SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU KAWAN RAPAT DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN, DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN (DARI PERBUATAN-PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT ITU).} (AL-AN’AM 6:129)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa puak kafir jin & kafir manusia adalah satu kepala.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa mereka semua akan bertanggungjawab dengan perbuatan masing-masing.
  1. Allah nyatakan sebagaimana dijadikan puak kafir jin & manusia saling tolong menolong, begitulah setiap puak yang zalim akan saling tolong menolong dalam menolak Islam, menentang & mendustakan dakwah Nabi SAW!
  1. Yakni setiap orang akan cari partner, pakatan yang sekepala dengannya, maka kita orang beriman kena cari yang sama beriman & mukmin, jangan sebaliknya!

AYAT 130- {WAHAI SEKALIAN JIN DAN MANUSIA! BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA KAMU RASUL-RASUL DARI KALANGAN KAMU SENDIRI, YANG MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU AYAT-AYATKU (PERINTAH-PERINTAHKU), DAN YANG MEMBERIKAN AMARAN KEPADA KAMU TENTANG PERTEMUAN KAMU DENGAN HARI (KIAMAT) INI? MEREKA MENJAWAB: “KAMI MENJADI SAKSI MENGAKUI AKAN (KESALAHAN) DIRI KAMI SENDIRI (MENDUSTAKAN RASUL-RASUL ITU)”. DAN (SEBABNYA IALAH) MEREKA TELAH DIPERDAYAKAN OLEH (KEMEWAHAN) HIDUP DI DUNIA DAN (KERANA ITULAH) MEREKA MENJADI SAKSI (PADA HARI AKHIRAT) TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI: (BAHAWA) SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG MENGINGKARI (APA YANG TELAH DISAMPAIKAN OLEH RASUL-RASUL ITU).} (AL-AN’AM 6:130)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan puak kafir semasa atas dunia dulu saling tolong-menolong dan membantu dalam kesesatan dan kejahatan. 
    Kemudian Allah nyatakan di Akhirat kelak masing-masing akan bawa diri, tidak akan menghiraukan apatah lagi membantu orang lain!

    ii- Maka datang ayat ini Allah menyeru bertanya kepada jin & manusia apakah tidak ada rasul yang datang berdakwah mengajar kamu kepada ayat-ayat Allah? 
    Yang memberi amaran kepada kamu, peringatan tentang bahayanya azab di Akhirat kelak? 
  1. Persoalan:
    Kenapa Allah seru jin & manusia (tidak adakah rasul yang datang kepada kamu dari kalangan kamu)- {أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌۭ مِّنكُمْ} sedangkan menurut pegangan ulama’ ahli Sunnah; jin tidak ada rasul Atau nabi yang diutuskan di kalangan mereka. Jin kena ikut Nabi kita Muhammad SAW.
  1. Jawapannya: menurut para ulama’ salaf & khalaf: Semua rasul & nabi dari kalangan manusia, tidak ada dari kalangan jin, maka Allah sebut secara kumpulan ini kerana ayat ini ditujukan bersama kepada jin & manusia bersekali.
  1. Allah tanya tidak adakah rasul yang datang meberi amaran kepada kamu???
    Puak kafir ada yang cuba nak berbohong lalu Allah terus tutup tampalkan mulut mereka daripada berbohong dan berdusta lagi pada hari itu! 
    Bahkan anggota badan kaki tangan yang bercakap.
  1. Bahkan mereka telah mengaku bahawa telah datang rasul kepada mereka yang memberi amaran tentang hari Kiamat, azab neraka & nikmat syurga; tetapi salah mereka mendusta & menentang para rasul.
  1. Sebab mereka lawan rasul juga kerana mereka terpedaya dengan kehidupan dunia, ikut hawa nafsu semata-mata. 
    Jika mereka ikut Nabi mereka tidak akan jadi ketua lagi, kena ikutnya jadi pengikut yang sama seperti orang ramai sedangkan mereka merasakan mereka orang besar & berpangkat!
  1. Sedangkan mereka tahu Rasulullah SAW itu benar diutuskan kepada mereka.
    Baginda seorang yang benar, jujur dan amanah tetapi kerana terpedaya dengan hawa nafsu, takut hilang pangkat dan kedudukan & habuan dunia mereka menolaknya!
  1. Akhirnya mereka mengaku di hadapan Tuhan bahawa mereka kafir, tidak percaya kepada Allah, tidak percaya kepada hari Kiamat & menyesal! 
    Tetapi menyesal di Akhirat tiada guna lagi, itulah pemyesalan yang tidak berfaedah!

AYAT 131- {YANG DEMIKIAN (KEDATANGAN RASUL-RASUL ITU IALAH), KERANA TUHANMU TIDAK MEMBINASAKAN NEGERI-NEGERI SECARA ZALIM SEDANG PENDUDUKNYA LEKA LALAI.} (AL-AN’AM 6:131)

  1. Allah nyatakan mereka itu tidak akan dibinasakan sehinggalah diutuskan kepada mereka para rasul yang datang menyampaikan ayat-ayat Allah kepada mereka! 
    Jika mereka lawan, menderhaka dan mendustakan para rasul itu barulah mereka dibinasakan.
  1. Ayat ini menunjukkan bahawa kerja para rasul itu ialah menyampaikan kepada umatnya & mereka semua telah menjalankan tugasnya dengan amanah & sempurna! 
  1. Firman Allah SWT:
    i-Maksudnya: {Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Isra’ 17:15)

    ii- Maksudnya: {Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (An-Nisa’ 4:165)
  1. Maka kita pun ingatlah jangan berani & mudah nak berlawan dengan kebenaran jika kamu tidak mahu diazab di Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 128- {Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”.}-

    Pada hari Kiamat kelak Allah akan kumpulkan semua manusia & jin, yang beriman & yang kafir semua akan dibangkitkan dan di kumpulkan bersama di padang Mahsyar.
    Jika di dunia dulu mereka saling tolong-menolong, menyokong & membantu dalam kesesatan, tetapi sekarang di Akhirat tiada kelebihan lagi; masing-masing bawa diri, putuslah hubungan antara satu sama lain.
    Kemudian dalam ayat ini Allah kata: {Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia…}
    Kenapa Allah sebut manusia saja yang jawab bukan jin?
    Jawapan: Ini kerana ketika ayat ini diturunkan, Allah mahu tujukannya kepada puak kafir Quraisy di Makkah. 
    Jika Allah berkata kepada jinpun kita tidak dapat dengarnya!
  1. Ayat 128- {… (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”.}-

    Kamu akan kekal di dalam neraka sehingga tempoh yang Allah kehendaki.
    Yakni neraka adalah tempat tinggal orang kafir sehinggalah satu tempoh yang Allah kehendaki.
    Ada setengah pandangan yang mengatakan: Orang kafir apabila telah lama dibakar, neraka akan hilang begitu saja tidak kekal.
    Sedangkan dalam ayat lain ada dinyatakan bahawa mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya!

    Allah berfirman:
    Maksudnya: {Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.} (An-Naba’ 78:23)
    Lalu ayat ini seolah menunjukkan ada satu ruang untuk orang kafir keluar dari neraka??
    Jawapan:
    Kata ulama’ maksudnya firman Allah ini {إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ}: 
    i- Adalah untuk orang beriman yang derhaka, mereka akan diazab & disiksa sehingga selesai & habis dosanya kemudian akan dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam syurga pula.
    Kisah ini ada dalam sebuah hadis yang panjang.

    ii- Maksudnya waktu berkumpul di padang mahasyar sehingga masuk ke dalam neraka ada tempoh berakhirnya! 
    Setelah selesai hisab dan pengadilan mereka akan dicampakkan ke dalam neraka!

    iii- Ayat ini adalah umum tetapi telah dikhusus dengan ayat yang lain iaitu firman Allah SWT ini: 
    Maksudnya: {Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.} (An-Naba’ 78:23)
    Inilah kita yakin & percaya dengan izin Allah SWT.
  1. Ayat 129- {Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain,…}-

    Allah jadikan orang zalim kawannya sesama orang zalim.
    Kata ulama’ tadabbur : Demikian orang zalim Allah akan lantik pemimpin yang zalim juga di kalangan mereka yang akan menyesatkan dan membawa mereka ke arah keburukan dan menjauhkan mereka daripada kebaikan.
    Allah akan hantar pemimpin mengikut keadaan rakyatnya; jika rakyatnya zalim banyak kelentong dan suka buat dosa maksiat, begitulah juga pemimpinnya! 
    Maka jika kita nak pemimpin yang baik & soleh, rakyat juga mesti menjadi orang yang soleh dan baik, patuh & taat kepada Allah.
    Ya Allah buanglah para pemimpin yang zalim atas dunia ini!
    Jadikan pemimpin kami dari kalangan orang yang bertaqwa.

    Kisah seorang Khawarij yang datang menemui Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan berkata:
    “Wahai khalifah Ali, mengapa pemerintahanmu banyak dikritik oleh orang, tidak sebagaimana ketika pemerintahan Abu Bakar dan Umar?!”
    Saidina Ali menjawab : “Kerana pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar yang menjadi rakyat adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, sedangkan rakyatku adalah kamu dan orang-orang yang sepertimu!!” 
    Maka jika nak pemimpin yang baik kita kena jadilah rakyat yang baik! Insya’ Allah, Allah tak siksa kita dengan sebab kebaikan kita! tetapi mungkin Allah akan uji kita dengan sebab kezaliman kita!
    Kita tidak tujukan isu kepada mana-mana pemimpin atas dunia ini, kita hanya baca & nyatakan apa yang ada dalam kitab kita!
  1. Ayat 130- {Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran…}-

    Allah bertanya: Wahai manusia & jin, sebelum Aku azab kamu ini, apakah sudah datang rasul di kalangan kamu??? 
    Ayat ini menunjukkan bahawa:
    i- Makhluk yang ada taklif (tugasan Syari’ah) atas dunia ini ialah manusia & jin. Kerana ada akal & nafsu maka mereka ada tanggungjawab.

    ii- Malaikat tidak ada nafsu maka mereka tidak ada taklif, mereka ada tugas tetapi tidak ada perlawanan.

    iii- Haiwan ada nafsu saja tidak ada akal lalu tidak kena taklif.
    Allah tidak akan azab sesuatu kaum itu sehinggalah diutuskan rasul kepada mereka; selepas datang rasul jika mereka menentang & menolaknya, maka barulah Allah akan hantar bala bencana & azabnya kepada mereka!
    Kerana itu mereka sendiri mengakuinya; rasul telah datang, maklumat telah sampai tetapi malangnya kami sendiri yang telah terpedaya dengan jin syaitan walaupun di hadapan mata kami telah ada penjelasan! 
    Kerana itu manusia ini tidak dapat lari kerana jelas di hadapan mata mereka sudah ada dalil & bukti yang jelas lalu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.
  1. Ayat 131- {Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.}-

    Allah hantar rasul dulu untuk memberi bimbingan namun jika manusia & jin ingkar dan lawan juga barulah dibinasakan dengan azab!
    Kata ulama’ : itulah keadilan dan kebijaksanaan Allah SWT, Dia tidak akan binasakan begitu saja jika tidak zalimlah! 
    Apabila sudah dihantar para nabi & rasul tetapi mereka derhaka dengan lawan, tolak dan keras kepala juga barulah mereka akan diazab!

    Kerana itulah kata ulama’ usul : Tidak ada perkara wajib & taklif tanggungjawab sehinggalah datangnya Syara’ iaitu nabi & rasul.
    Setelah datangnya nabi & syariat jika lawan juga, ketika itulah mereka akan dikira kafir & dihumbankan ke dalam neraka!
    Begitulah tanda peringatan Allah hantar kepada manusia dengan kedatang rasul untuk membimbing dan menunjuk ke arah jalan yang benar.
    Banyak sudah tanda yang Allah hantar kepada manusia sebagai peringatan tetapi kitat etap tidak nampak! 
    Antaranya ialah tanda ketuaan seperti uban di atas kepala, itulah peringatan yang utama, juga telah sakit segala badan dan pelbagai penyakit datang menjenguk! 
    Tetapi kita tidak terasa apa-apa. 
    Rugilah siapa yang tidak mahu mengambil pengajaran daripada perjalanan hidup kita atas dunia ini. 

Ya Allah tunjukkan kami semua ke arah jalan yang lurus, kepada akhlak yang mulia, menjadi hamba-Mu yang beriman dan taat kepada Allah, ikut Rasulullah SAW, mati dalam husnul-khatimah dan akhir perjalan kami adalah ke syurga! 
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 

Powered by BetterDocs