View Categories

(39) Surah Al-An’am : Ayat 132-135

TINGKATAN DARJAT BERBEZA, JANJI ALLAH SWT PASTI DATANG & SEMUA AKAN TAHU AKHIR KESUDAHANNYA.

Full video : https://youtu.be/xPM1CsSM6wQ?si=Mo4fhr-_EPadg04n

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 132 sehingga 135 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa tingkatan darjat berbeza seseorang hamba itu tidak sama.
    Ada orang masuk syurga darjatnya (درجات) tinggi atau rendah mengikut kedudukan ibadatnya semasa di dunia.
    Begitu juga di dalam neraka – ikut tahapnya juga tetapi dipanggil darakat (دركات) iaitu lapisan bawah. 
  1. Janji Allah SWT pasti datang sama ada janji kemenangan, janji kebinasaan atau janji ajal kematian, semua kita akan mati. 
    Ya Allah hidupkan kami dengan iman dan mati dalam husnul-Khatimah. 
  1. Semua akan tahu akhir kesudahannya apabila mati. 
    Sekarang berbalah orang itu kata dia betul yang ini kata dia betul.
    Apabila mati baru tahu siapa yang betul & salah!
    Apa yang penting kita cari dalil & neraca timbangan kita ialah al-Quran & Sunnah. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kedudukan orang yang beriman & tidak beriman berbeza, tidak sama sama sekali.

    ii- Datang ayat ini menjelaskan lebih terperinci bahawa setiap manusia itu tidak sama darjat (level) sebagaimana atas dunia ini tak sama darjat, di Akhirat kelak juga begitu akan berbeza.
    Sesama mukmin juga ada darjat yang berbeza ikut tingkat & kemantapan iman masing-masing. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 132- {DAN BAGI TIAP-TIAP SEORANG (DARI MANUSIA ATAU JIN), BEBERAPA DARJAT (TINGKATAN BALASAN) DISEBABKAN (AMAL BAIK ATAU JAHAT) YANG MEREKA TELAH KERJAKAN; DAN (INGATLAH) TUHANMU TIADALAH LALAI DARI APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:132)

  1. Manusia & jin dua makhluk yang mempunyai taklif, bagi mereka darjat iaitu tingkatan balasan mengikut amalan baik atau buruk yang mereka kerjakan. 
  1. Setiap kumpulan ada tahap atau levelnya, orang kafir dengan orang mukmin pastilah tidak setaraf dan tidak sama balasannya! 
    Yang mukmin mendapat balasan nikmat manakala yang kafir mendapat azab siksa.
  1. Sesama mukmin pun tidak sama tahap dan darjatnya:
    i- Ada mukmin yang mantap imannya & solid ibadatnya ikut al-Quran & Sunnah Nabi SAW. 

    ii- Tetapi ada mukmin yang kuat ibadatnya tetapi yang dia reka sendiri cara amalan itu seperti fenomena meratib & berjoget dan meminta di kuburan.
    Yakni bagi setiap orang itu ada balasan yang disediakan Allah SWT mengikut amalan yang dilakukannya atas dunia ini. 
  1. Di akhir ayat Allah mengingatkan bahawa Tuhan-Mu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.
    Yakni setiap perkara yang dilakukan hamba-Nya tiada yang tersembunyi daripada ilmu & pengetahuan Allah.
    Allah tahu & akan hitung semua perbuatan hamba-Nya untuk diberi pembalasan di Akhirat kelak!
  1. Pada hari itu baru tahu salah lalu akan kerugian & menyesallah orang sedikit amalan & salah amalannya. 
    Tetapi apa boleh buat pawa waktu itu tiada guna lagi penyesalan. 
    Kerana negeri Akhirat adalah tempat pembalasan (دار الجزاء) manakala dunia adalah tempat beramal (دار العمل).
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    Maksudnya: {Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.} (Al-Isra’ 17:21)

AYAT 133- {DAN TUHANMU MAHA KAYA, LAGI MELIMPAH-LIMPAH RAHMATNYA. JIKA IA KEHENDAKI, NESCAYA IA BINASAKAN KAMU DAN MENGGANTIKAN SESUDAH (BINASANYA) KAMU DENGAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, SEBAGAIMANA IA TELAH MENJADIKAN KAMU DARI KETURUNAN KAUM YANG LAIN.} (AL-AN’AM 6:133)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah nyatakan pahala orang melakukan ketaatan dan bala bagi ahli maksiat & kejahatan.
    Allah nyatakan tentang pembalasan dua darjat, yang beriman dan tidak beriman. 
    Allah sediakan syurga, neraka untuk hamba-Nya memilih.

    ii- Maka di sini Allah nyatakan bahawa Allah tidak berhajat kepada manusia & keimanan mereka. 
    Allah buat kamu untuk kebaikan kamu sendiri, Allah sediakan syurga untuk balasan bagi kamu, kamu pilihlah jalan mana yang nak.
  1. Ayat ini juga memberi galakan untuk manusia buat kebaikan. 
    Allah Maha Kaya tidak perlu kepada sokongan hamba-Nya. 
    Allah tidak cari penyokong tetapi siapa yang nak menyelamatkan dirinya inilah jalannya!
    Allah buat segala benda untuk kita bagi kita, kamu nak jalan mana pilihlah sendiri! 
  1. Hadis qudsi yang panjang:
    Daripada Abu Zar al-Ghifariy RA daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang Baginda riwayatkan daripada Allah SWT bahawa Allah SWT berfirman:
    “يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ ضَالٌّ إلَّا مَنْ هَدَيْته، فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ جَائِعٌ إلَّا مَنْ أَطْعَمْته، فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ عَارٍ إلَّا مَنْ كَسَوْته، فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا؛ فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ، فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْت كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَته، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي! إنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ، ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إيَّاهَا؛ فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَن إلَّا نَفْسَهُ.”
    Maksudnya: “Wahai hamba-Ku, sesungguhya aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkan kezaliman antara kamu, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman. Wahai hamba-Ku, kamu semua adalah sesat kecuali sesiapa yang Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku nescaya Aku akan memberikan kamu petunjuk. Wahai hamba-Ku, kamu semua berada dalam kelaparan kecuali sesiapa yang aku berikan kepadanya makanan, maka mintalah makanan kepada-Ku nescaya Aku berikan kamu makanan. Wahai hamba-Ku, kamu semua adalah telanjang kecuali sesiapa yang aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya Aku berikan kamu pakaian. Wahai hamba-Ku, kamu semua melakukan kesalahan pada waktu malam dan siang hari dan Aku mengampuni dosa semuanya, maka mintalah ampun kepada-Ku nescaya akan Aku ampuni. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya tidak ada mudharat yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada manfaat yang dapat kamu beri kepada-Ku. Wahai hamba-Ku, seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berada dalam keadaan paling bertakwa dalam kalangan kamu, nescaya hal tersebut tidak menambah pada kerajaan-Ku sedikitpun. Wahai hamba-Ku, seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berada dalam keadaan paling jahat dalam kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurangi daripada kerajaan-Ku sedikitpun. Wahai hamba-Ku, seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berdiri di sebuah bukit lalu kamu meminta kepada-Ku, lalu setiap orang yang meminta Aku penuhi, nescaya hal itu tidak mengurangi apa yang ada pada-Ku kecuali bagaikan sebilah jarum yang dicelup di dalam laut.  Wahai hamba-Ku, sesungguhnya semua perbuatan kamu akan diperhitungkan untuk kamu kemudian diberi balasannya. Siapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah SWT dan siapa yang mendapat selain daripada itu janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2577]
  1. Allah juga nyatakan jika Allah murka dengan mana-mana makhluk dan Dia kehendaki, nescaya Allah binasakan mereka semuanya.
    Dia juga boleh menggantikan mereka yang binasa itu dengan kaum lain yang dikehendaki-Nya, yang mungkin lebih baik, lebih taat & beriman kepada Allah!
  1. Kemudian selepas berlalu beberapa waktu mereka itu akan lagha dan berpaling pula sebagaimana yang berlaku terhadap kaum Lut yang LGBT. 
    Allah matikan semua puak mereka, datang selepas mereka orang baik, tetapi syaitan datang pula mengulang tayang dengan menghidupkan sifat keji lama ini!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
    Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu.
    Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.} (Faatir 35: 15-17)
  1. Sebagaimana Dia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.
    Kamu ini asalnya tiada, datang dari keturunan datuk nenek kamu! 
    Begitulah manusia ini silih berganti dan datang dari keturunan & kaum yang pebagai. 
    Mati keturunan yang awal datang zuriat mereka yang baru!
  1. Yakni Allah beri amaran dan peringatan; wahai manusia jangan kamu keras kepala nak tunjuk gedebe; jika Allah mahu boleh saja Dia musnahkan kamu semua tanpa meninggalkan baka-keturunan!

AYAT 134- {SESUNGGUHNYA APA YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU (HARI KIAMAT DAN BALASANNYA) TETAP AKAN DATANG, DAN KAMU TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI (DARI BALASAN ITU).} (AL-AN’AM 6:134)

  1. Allah tegaskan bahawa janji Allah itu pasti datang sama ada azab siksaaan dan kamu sesekali tidak akan dapat melepaskan diri dari balasan itu! 
    Semua akan kena sama ada yang baik atau yang jahat!
  1. Munasabah ayat dengan sebelumnya:
    i- Allah telah beri amaran kepada mereka di dunia & kebinasaan golongan yang menderhaka, juga kematian orang yang baik-baik, yang tak derhaka akan mati juga. 

    ii- Maka datang ayat ini Allah menyatakan tentang azab di akhirat. 
    Apa yang Allah janjikan tetap berlaku, tiada jalan pelepasan.
  1. Inilah gaya al-Quran, ia akan sebut dua-dua; yang baik & buruk, yang positif & negatif, azab & nikmat, syurga & neraka! 
    Ini supaya kita sedar dan insaf serta boleh buat perbandingan untuk kita pilih! 
  1. Kita semua tidak akan terlepas daripada azab yang Allah bawa. 
    Kita juga tidak boleh nak melemahkan kuasa Allah, nak lari dari bumi Tuhan atau kematian! 
    Kita semua berada di bawah kuasa Allah, nak lari tak boleh, nak sembunyi tak boleh, kita akan berdepan dengan apa yang telah Allah tetapkan! 
    Jika kita buat baik nikmat sedangkan menunggu manakala jika buat buruk kecelakaan akan menanti. 
    Marilah kita berusaha menjadi manusia yang baik dengan izin Allah SWT!

AYAT 135- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI KAUMKU (YANG MASIH KAFIR), BUATLAH SEDAYA UPAYA KAMU (UNTUK MENENTANG ISLAM), SESUNGGUHNYA AKU JUGA TETAP BERAMAL (BERUSAHA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MEMPERTAHANKAN ISLAM); KEMUDIAN KAMU AKAN KETAHUI SIAPAKAH YANG AKAN BEROLEH KEBAIKAN DAN KEJAYAAN DI DUNIA INI. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU TIDAK AKAN BERJAYA.} (AL-AN’AM 6:135)

  1. Katakanlah wahai Muhammad SAW kepada kaum musyrikin Quraisy itu tentang Allah, tentang tauhid & tentang Islam. 
    Jika mereka melawan dan menolak, kamu bertahanlah! 
    Mereka serang – kamu terang! 
    Yakni mereka serang dengan di’ayah mereka, kita terangkan dengan Islam yang sebenar.
  1. Jika orang datang kacau perjalanan dakwah kita menjadi kewajipan para pendakwah untuk menerangkan yang benar, jelaskan apa yang diperintahkan Allah SWT & apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Bukan hanya diam sahaja, wajib berusaha dan berlawan menegakkan kebenaran!
  1. Wahai puak kafir; ingatlah apabila turun bala ke atas kamu, kamu akan tahulah siapa yang benar dalam amalannya, siapa yang tepat dalam petunjuk. 
    Maka bagi dialah kebaikan di dunia & Akhirat.

    Munasabah dengan ayat yang lepas:
    i- Dalam ayat lepas Allah telah nyatakan sesungguhnya janji Allah semuanya benar. 

    ii- Dalam ayat ini pendakwah meneruskan amalan nabi SAW menerangkan Islam yang sebenar. 
  1. Ayat ini di tafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)} (Ghaafir 40:51)
  1. Kita yakin dengan apa yang buat, kita teruskan perjuangan dakwah ini selagi hayat dikandung badan. 
    Sebagai seorang yang beriman kita yakin dengan janji Allah, maka kita buatlah kerja kita, walaupun datang cabaran & halangan kena terus mempertahankan dan meneruskan Islam dan Sunnah. 
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa orang zalim itu tidak akan berjaya di sisi Allah. 
    Siapa yang buat apa yang bertentangan dengan yang Allah ajar & perintah akan di binasakan dengan azab Allah.
    Mereka akan kecewa dengan penyesalan yang tidak berguna!
  1. Hadis riwayat dari Abu Musa RA bahawa Nabi SAW bersabda:
    وعن أَبي موسى  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّه ﷺ: إِنَّ اللَّه لَيُمْلِي لِلظَّالِمِ فَإِذَا أَخَذَهُ لَمْ يُفْلِتْهُ، ثُمَّ قَرَأَ: وَكَذَلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَى وَهِيَ ظَالِمَةٌ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ [هود:102] مُتَّفَقٌ عَلَيهِ.
    Maksudnya: “Sungguh Allah menangguhkan orang yang zalim, tetapi apabila Allah telah menghukumnya, Dia tidak akan melepaskannya.” Kemudian Baginda SAW membaca firman Allah ini: {Begitulah azab Tuhanmu apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu sangat pedih lagi keras.} [Hūd: 102]. [Muttafaq ‘alaihi] – [Sahih Bukhari – 4686]
  1. Yakni Allah kadang-kadang beri tempoh bagi orang yang zalim tetapi apabila Allah ambik tindakan, tidak akan dilepaskan dan azabnya amat dahsyat.
    Lihat saja pemerintah zalim di Syria, berapa puluh tahun (54 tahun) mereka berkuasa akhirnya jatuh juga dan terbongkar pelbagai kezaliman yang tidak terfikir akal yang waras!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 132- {Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan;…}-

    Setiap orang jin & manusia itu ada darjat tingkatan mengikut apa yang mereka lakukan.
    Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa level/tahap manusia itu tidak sama. 
    Jika sama-sama beriman pun berbeza, contoh:
    i- Seorang yang beriman, kuat berjihad dan amal ibadatnya sama ada yang wajib atau sunat.

    ii-Bberiman tetapi lemah tidak berjuang, amal ibadat pun hanya yang wajib.

    Yang kafir juga begitu:
    i- Bukan Islam yang agresif, sentiasa menyerang dan menyakiti agama Islam & orang Islam, buat program atau undang-undang yang boleh menghina & meremehkan Islam dan lain-lain. 
    Kerana itu Allah melarang kita dari mengambil mereka ini menjadi ketua & teman rapat!

    ii- Dia tidak Islam tetapi baik perangainya tidak menyakiti orang Islam cuma tidak beriman kepada Allah, maka pastilah tidak sama juga balasan azabnya.

    Kerana itu kata ulama’ : “Setiap bekas akan mengelurakan isinya”.
    Maka kita orang Islam hendaklah sentiasa bersatu hatil agar tidak mudah dipijak oleh mereka yang bukan Islam & bencikan Islam.
  1. Ayat 133- {Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya…}-

    Allah SWT itu maha kaya & mempunyai keampunan yang begitu besar, rahmat yang maha tinggi!
    Allah sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya yang baik untuk meningkatkan iman & ibadat manakala yang tak baik untuk meninggalkan kemungkaran.
    Ayat ini sekaligus memberi peringatan kepada kita bahawa Allah mempunyai rahmat & kasih sayang yang begitu besar di mana orang yang kafir diberi peluang untuk bertaubat, ahli maksiat diberi peringatan untuk meninggalkan maksiatnya & bertaubat. 
    Inilah rahmat Allah kerana selepas ayat ini Allah kata pula jika Dia mahu, boleh aje Dia hilangkan dan musnahkan kamu & gantikan dengan orang lain! 

    Ulama’ kata : Kita ini kena berjalan dengan dua sayap, kena ingat:
    i- Rahmat Allah itu luas tetapi dalam masa yang sama;

    ii- Azab Allah itu keras!
    Yakni jangan tengok rahmat Allah saja, kita kena ingat juga bahawa azab Allah itu berat, jika tidak orang yang dok main dengan ayat rahmat Allah saja akan menjadi golongan murji’ah, orang yang liberal, tak solat tak apa, buat dosa maksiat pun tak apa kerana Allah Maha pengampun maha pemurah! 
    Para pendakwah kena serentak; ajak orang buat baik serta dalam masa yang sama larang orang daripada berbuat mungkar. 
    Jangan hanya peringatkan Allah Maha pengampun, maha penyayang sahaja sehinggakan orang berani buat maksiat! 
    Kena ingatkan juga bahawa Allah itu Maha berkuasa, azab-nya amat dahsyat & pedih!
  1. Ayat 133- {… Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.}-

    Allah kata Dia boleh gantikan dengan kaum yang kain setelah dibinasakan!
    Ayat ini menyatakan bahawa Islam itu bukan ekslusif untuk sesatu kaum sahaja seperti kaum Arab tetapi Islam itu untuk semua kaum manusia.
    Ayat ini juga mengatakan Allah akan bawa kaum lain, maksudnya: 
    Nabi Muhammad SAW adalah seorang bangsa Arab kaum Quraisy, tetapi jika kaum Arab Quraisy tolak & menentang dakwah Nabi SAW, Allah akan bawa kaum lain untuk membela Islam & beriman dengan Nabi SAW.
    Kerana itu kita lihat di sisi Nabi SAW ada para sahabat seperti Salman al-Farisi, Suhaib Ar-Rumi, Bilal al-Habsyi RAnhum dan seumpamanya. 
    Yakni kamu jika orang dekat tak mahu, Allah akan bawa orang lain yang dari jauh.
    Hakikatnya kita lihatlah dakwah kita ini pergilah ke mana-mana pusat pengajian sama ada Pondok Sungai Durian sendiri pun; ramai yang datang belajar menadah ilmu di sini ialah orang dari luar kawasan. 
    Anak tempatan atau penduduk sekitarnya jarang yang datang mengaji; jika datang pun tunggu waktu nak suruh solat hajat, cukur jambul, mengatib orang mati dan seumpamanya.
    Kita boleh ambil pengajaran dari ayat ini bahawa orang yang dekat tidak ambil kesempatan peluang yang diberi tetapi orang yang jauh pula mendapat manfaat dan faedahnya!
    Begitulah juga umat Islam ni negara kita ini jangan sampai kena bawa kaum lain, penceramah dari luar untuk menjadi pendakwah di tempat kita! 
    Jika nak bawa masuk pun bawalah mereka yang betul-betul berpegang dengan agama untuk mendidik rakyat kita bukan yang pelik-pelik sebaliknya!
  1. Ayat 134- {Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang,…}-

    Allah nyatakan apa yang Dia janjikan pasti akan berlaku semuanya.
    Kita orang yang beriman kena yakin bahawa semua yang Allah janjikan akan berlaku! 
    Jika belum sampai masa lagi kita teruskan perjuangan jangan kecewa dan mudah putus asa.
    Sekarang ini betapa tersebar di media sosial keadaan di Palestin, yang mana berpuluh ribu umat Islam sudah syahid, kenapa belum datang lagi kaum lain dan bantuan Allah???
    Kita sabar dulu mungkin belum tiba waktunya lagi, adalah banda-benda yang Allah nak beri dengan hikmat dan kebijaksanaan-Nya. 
    Kita yakin Allah akan beri pertolongan! 
    Janji Allah semuanya benar belaka, apa yang dijanjikanNya pasti berlaku. 
    Jangan kita berputus asa dan mudah kecewa, teruskan perjuangan.
  1. Ayat 135- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai kaumku (yang masih kafir),…}-

    Allah ajar kepada Nabi SAW untuk menyeru kaumnya dengan penuh lunak dan mesra: { Wahai kaumku…}
    Ayat ini mengajar cara kita nak menyeru orang dalam berdakwah kena guna ayat & bahasa yang baik-baik dan mesra.
    Ini kerana bagi orang Arab perasaan perkauman fanatik itu masih menebal, maka Allah ajar kepada Nabi SAW untuk berlembut dengan mereka! 
    Wahai kaumku, kita ini keluarga, anak-beranak maka datanglah kepadaku, dengarlah ajaranku ini!
    Sebagaimana nabi Ibrahim AS menyeru dan memanggil bapanya dengan penuh lembut dan kasih sayang: { يٰۤـاَبَت- Wahai ayahku..}. 
    Yang pentingnya seruan dakwah kita hendaklah dengan lembut bukan bengis & kasar.
    Kami buat kerja, kamu juga buat kerja, maka kita lihatlah di hadapan Allah Azza wa Jalla nanti siapa yang betul!
    Betapa hari ini ada orang yang mendakwa dialah yang terpaling betul, dia ahli Sunnah, kita ahli punah!
    Kita kata di hadapan kita ada al-Quran & hadis, ada para ulama’, kita boleh semak, jika tak cukup di dunia kita tunggulah di Akhirat pula!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, insya’ Allah.
Semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs