NERACA TIMBANGAN YANG ADIL, BERAT AMAL BAIK BAHAGIALAH & BERAT YANG BURUK CELAKALAH.
Full video : https://youtu.be/nLTbioEYZZY?si=Duzn_IUvlFUyv6TL
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam kuliah tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 8 sehingga 9 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa neraca timbangan untuk menimbang amalan manusia adalah sesuatu yang benar & penuh keadilan.
- Siapa buat baik maka beratlah timbangan amalan baiknya maka dia akan menjadi golongan yang bahagia.
Siapa yang banyak buat kejahatan maka beratlah timbangan yang buruk serta celakalah akibatnya.
Wal ‘iyazu billah!
- Maka kita pilihlah kita nak berat yang mana, nak timbang banyak yang baik buatlah yang yang baik; nak timbang banyak yang buruk buatlah jahat.
Dunia ini berputar, selagi tak mati ia berjalan apabila mati berhentilah kehidupan bagi orang itu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Allah akan ceritakan kepada manusia laporan penuh apa mereka buat atas dunia ini.
Serta antara keadaannya pada hari Kiamat itu semua umat manusia, para Nabi juga akan ditanya lalu dihisab di hadapan Allah.
ii- Kemudian datang ayat ini menceritakan satu lagi keadaan di hari Kiamat iaitu amalan manusia akan ditimbang dengan neraca timbangan (mizan) yang adil lagi benar!
Berat pahala, syurga tempatnya, berat dosa, neraka tempatnya & jika sama berat mereka akan berada di atas Al-A’raf, atas pagar atau tengah-tengah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 8- {DAN TIMBANGAN AMAL PADA HARI ITU ADALAH BENAR; MAKA SESIAPA YANG BERAT TIMBANGAN AMALNYA (YANG BAIK), MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AL-A’RAF 7:8)
- Allah beri peringatan lagi bahawa yakinlah bahawa timbangan amalan kita apada hari Kiamat kelak adalah sesuatu yang benar & pasti akan berlaku!
Jangan kata tidak ada & tidak berlaku.
- Timbangan ini juga penuh keadilan & Allah SWT tidak akan menzalimi sesiapa pun dari makhluk-Nya.
- Kata Ibnu Asyur RHM : Perkataan {ٱلْوَزْنُ} timbangan ini adalah ikutan dari ayat yang sebelumnya iaitu apabila Allah kata akan ceritakan kepada kamu, perbuatan kamu atas dunia dulu lalu akan dihisab dan diikuti oleh timbangan amalan yang akan dibuat dengan adil & benar!
Ayat ini menjadi tangisan para orang soleh.
- Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiya’ 21:47)
ii- {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.} (An-Nisa’ 4:40)
iii- {Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya,
Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.
Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya,
Maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu?
(Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar.} (Al-Qari’ah 101: 6-11)
- Allah tegaskan lagi sesiapa yang berat yakni banyak timbangan amalan baiknya, banyak ibadat, sedekah, kebaikan sesama manusia dan segala kebajikan dibuatnya; maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.
YA Allah jadikan kami dari mereka yang berat timbangan amal kebaikannya.
- Kata ulama’ kejayaan {ٱلْمُفْلِحُونَ} atau kemenangan itu ialah:
i- Dapat masuk syurga, ketika inilah barulah betu-betul selamat & berjaya.
ii- Selamat dari api neraka!
- Kata ulama’ juga; yang akan ditimbang itu adalah amalan kita.
Bagaimana cara & bentuknya wallahu a’lam.
- Beberapa hadis tentang ini:
i- Dari Abu ad-Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada yang lebih berat dalam timbangan daripada akhlak yang baik, dan sesungguhnya orang yang berakhlak baik akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan solat.” (HR Abu Daud & at-Tirmizi).
Perangai yang baik, tak pernah mengata dan berbalah dengan orang, orang susah tolong, orang sakit ziarah, segala perintah Allah dibuat, larangan Allah dijauhi, darjatnya sama dengan orang yang puasa pada siangnya dan bangun solat beribadat pada waktu malam!
ii- Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dua kalimah yang ringan pada lisan, berat pula pada timbangan dan disukai oleh Ar-Rahman (Allah SWT): سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ العَظِيْمِ “Maha Suci Allah dengan Segala Puji Bagi-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung.” [HR Bukhari].
Sedihnya jika tak ada signal hidayah untuk kita ucapkan walaupun ia ucapan yang amat ringan, lidah jadi keras kerana hati berkarat!
- Semoga Allah SWT mudahkan lisan kita untuk mengamalkan zikir yang ringan ini.
Kerana itu kata ulama’: Sebut nama Allah bahagia, sebut nama manusia boleh bawa celaka.
AYAT 9- {DAN SESIAPA YANG RINGAN TIMBANGAN AMALNYA (YANG BAIK), MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MERUGIKAN DIRINYA SENDIRI, DENGAN SEBAB MEREKA BERLAKU ZALIM TERHADAP AYAT-AYAT KAMI (DENGAN MELETAKKANNYA PADA BUKAN TEMPATNYA).} (AL-A’RAF 7:9)
- Allah nyatakan siapa yang amalan baiknya sedikit lalu ringanlah timbangan amalan kebaikan, sebaliknya amalan buruknya pula lebih berat!
Maka mereka ini adalah orang yang rugi di Akhirat kelak.
Inilah uslub al-Quran, disebut yang baik kemudian diceritakan keadaan yang tidak baik!
- Rugi kerana mereka telah mengingkari ayat-ayat Allah SWT, ingkar apa yang diajar oleh Nabi SAW.
Ayat-ayat ini adalah:
i- Hujjah-hujjah & tanda kekuasaan yang Allah telah tunjukkan sama ada melalui al-Quran, hadis Nabi SAW (آيات والشرعية) atau;
ii- Tanda dalam alam dunia ini sendiri (آيات الكونية) yang jelas boleh nampak di depan mata kita!
- Rugi sekali kerana kita terlepas banyak peluang untuk melakukan kebaikan kerana lalai dan lagha, degil, keras kepala ikut hasutan syaitan, hati berkarat kerana banyak maksiat lalu berat untuk beribadat kerana ikut nafsu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 8- {Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar;…}-
Allah kata timbangan amalan manusia pada hari Kiamat kelak adalah benar & penuh dengan keadilan.
Timbangan semua manusia atas dunia ini adalah adil & benar. Allah letak neraca keadilan-Nya & tiada siapa yang akan dizalimi pada hari Kiamat kelak, Allah Maha Adil dan penuh rahmat!
Maka jagalah ibadat kita serta jaga diri kita agar jangan masuk ke dalam diri kita benda yang haram & jangan keluar dari mulut dan perangai kita sesuatu yang buruk.
Timbangan Allah itu adil tetapi masalahnya sekarang ini apa yang kita nak timbang, adakah amalan kita untuk ditimbang, cukupkah??
- Ayat 8- {Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar;…}-
Persoalan:
Apakah yang akan ditimbang kelak?
Badan kita atau jika amalan bagaimanakah nak timbang; apakah nampak & boleh ditimbang???
Kata ulama’ :
i- Yang akan ditimbang itu adalah amalan kita walaupun ia tidak berbentuk benda seperti sedekah.
ii- Kata ulama’ lagi antaranya Imam Ibnu Abbas RA : Pada hari Kiamat kelak amalan semuanya akan dijadikan berbentuk jisim, boleh ditimbang, bagaimana bentuknya wallahu a’lam!
Hadis Nabi SAW yang menyebut tentang isu ini:
i- Dalam sebuah hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya:
Kami pernah bersama Rasulullah SAW mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar sehinggalah kami sampai di kuburan dan menunggu disiapkan liang lahad. Rasulullah SAW duduk dan kami duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami ada burung.
Pada tangan Rasulullah SAW terdapat satu tongkat yang dicacak ke tanah.
Nabi SAW bersabda (antaranya):
…فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللهُ، فَيَقُولَانِ: وَمَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: دِينِيَ الْإِسْلَامُ، فَيَقُولَانِ: مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ؟ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللهِ، فَيَقُولَانِ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ فَيَقُولُ: قَرَأْتُ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ، قَالَ: فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ صَدَقَ عَبْدِي فَافْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا مِنَ الْجَنَّةِ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا، وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ،….”
Maksudnya: …Kemudian dua orang malaikat datang kepada roh dan duduk di sisi. Kedua-duanya bertanya: Siapakah tuhan kamu? Lalu roh mukmin menjawab: Tuhanku ialah Allah. Mereka bertanya lagi: Apakah agama kamu? Dia menjawab: Agamaku Islam. Mereka bertanya lagi: Siapakah orang ini yang dibangkitkan dalam kalangan kamu? Roh menjawab: Dia ialah utusan Allah. Mereka bertanya lagi: Bagaimana engkau mengetahuinya? Dia menjawab: Aku membaca Kitabullah Azza wa Jalla, lalu aku beriman dan mempercayainya. Lalu penyeru menyeru daripada langit: “Hambaku benar! Bentangkan untuknya syurga. Pakaikan ia dengan pakaian daripada syurga. Bukakanlah pintu syurga untuknya.” Dia pun mendapat wangian dan harumnya angin syurga, serta kuburannya diluaskan sejauh mata memandang. ويأتيه رجل حسن الوجه ، حسن الثياب ، طيب الريح ، فيقول : أبشر بالذي يسرك ، هذا يومك الذي كنت توعد . فيقول له من أنت ؟ فوجهك الوجه يجيء بالخير . فيقول : أنا عملك الصالح… Lalu datanglah seorang lelaki yang bagus wajahnya, bagus pakaiannya dan berbau harum yang berkata: “Bergembiralah dengan apa yang membuatmu senang. Inilah hari yang dijanjikan untukmu.” Dia berkata kepadanya “Kamu siapa? Wajahmu ialah wajah yang datang membawa kebaikan.” Orang itu menjawab “Aku ialah amal solehmu. Demi Allah, aku tidak mengetahui tentangmu kecuali engkau cepat melaksanakan perintah Allah dan lambat mengerjakan kemaksiatan terhadap Allah, maka Allah membalasmu dengan kebaikan.”….. sehingga akhir hadis. [HR Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)].
ii- “Daripada Abu Hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah telah bersabda: “Sesiapa yang diberikan harta tetapi tidak mengeluarkan zakat maka akan disediakan untuknya ular jantan yang amat berbisa yang mempunyai dua titik hitam atas matanya yang mana ia adalah ular yang paling menakutkan. Ia akan membelit orang itu pada hari kiamat sambil berkata, akulah hartamu, akulah kekayaanmu. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat 180 Surah Ali-‘Imran yang bermaksud: {Janganlah sesekali mereka yang kedekut dengan harta yang Allah berikan mereka dari kurniaNya, menyangka sifat tamak itu baik untuk mereka. Bahkan sebenarnya sifat itu buruk untuk mereka. Harta yang mereka tamakkan itu akan dikalungkan di leher mereka pada hari kiamat kelak. Dan segala perbendaharaan di langit dan di bumi ini adalah milik Allah dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.} [HR Imam Bukhari].
Ini antara dalil bahawa amalan itu boleh dilihat dan berbentuk.
Tetapi jika amalan itu dalam bentuk maknawi sekalipun, Allah SWT maha Berkuasa atas segalanya.
Tak perlulah kita fikirkannya, kerja kita sekarang adalah untuk memberatkan timbangan amalan kebaikan kita!
- Ayat 8- {… maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.}-
Dalam ayat ini Allah kata sesiapa yang berat timbangan {مَوَٰزِينُهُ} amalannya…
Allah guna perkataan {مَوَٰزِينُهُ} yang berupa sighah jamak (plural) sedangkan timbangan itu hanya satu (ميزان).
Kenapa digunakan jamak?
Jawapan:
i- Ini kerana orang Arab apabila nak menunjukkan kepada sesuatu yang tinggi pangkat atau kedudukannya, akan digunakan sighah jamak, seperti saya (انا) menjadi kami (نحن) dan seumpamanya.
ii- Ada juga pendapat yang mengatakan memang timbangan itu banyak kerana setiap orang akan menggunakan neraca timbangannya sendiri.
Masing-masing timbang sendiri amal perbuatannya.
iii- Dijamakkan timbangan kerana ada banyak benda yang nak ditimbang seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. wallahu a’lam.
Yang penting apa yang ditimbang itu adalah amalan, maka kerja kitanya ialah memperbanyakkan amalan baik jangan buat perkara yang karut susah nanti kit adi Akhirat kelak!
- Ayat 8- {… maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.}-
Merekalah orang yang dapat kemenangan & kejayaan.
Kata Syeikh Syanqiti RHM jika Allah guna perkataan kejayaan/kebahagian {ٱلْمُفْلِحُونَ} dalam al-Quran ia membawa dua makna:
i- Kita dapat apa yang kita nak, iaitu apabila kita buat banyak kebaikan kita akan dapat syafa’at Nabi SAW, masuk syurga & dapat lihat Allah SWT.
ii- Kekal dalam nikmat itu!
Orang yang kekal dalam nikmat adalah orang yang bahagia.
Nikmat syurga itu kekal berterusan tidak akan hilang!
Ciri kebahagian itu mesti berkekalan sehingga akhir bukan hilang atau habis di tengah jalan.
- Ayat 9- {Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik),….}-
Bererti sedikit & ringan amalan baik, manakala timbangnan amalan buruk lebih berat & banyak.
Inilah yang kita takut, kita ingat sudah banyak amalan yang kita buat tetapi rupanya semua itu tidak berguna atau telah habis terhapus.
Seperti orang yang buat amal baik tetapi:
i- Tidak ikhlas : Bukan kerana Allah semua perkara buat nak suruh orang puji.
ii- Riya’ : Rasa bangga diri dan sudah cukup bagus dan baik daripada orang lain.
iii- Mengungkitnya : Buat baik kemudian ungkit pemberian.
iv- Atau yang paling celaka : Buat jahat & khianat terhadap orang- maka dia akan menjadi muflis di Akhirat kelak, kerana akan pergi pahalanya kepada orang yang diumpat dikeji, disakitinya itu!
Maksud {ayat-ayat Kami- بِـَٔايَـٰتِنَا} ada dua:
i- Ayat-ayat al-Quran yang boleh dibaca- (الآيات المقروءة).
ii- Ayat atau tanda-tanda kekuasaan Allah yang boleh di lihat pada alam ini (الآيات المنظورة).
a- Kisah seorang pakcik Badwi yang meminta dari seorang imam, ajaran yang mudah diamalkan sendiridan diajar kepada orang lain juga. Lalu imam itu ajarnya seperti yang hadis Nabi di atas: “Dua kalimah yang ringan pada lisan, berat pula pada timbangan dan disukai oleh Ar-Rahman (Allah SWT): سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ العَظِيْمِ Lalu dia mengamalkannya dan mengajar kepada orang ramai di mana saja dan apabila ada peluang. Maka ucapan yang baik itu menjadi penutup hidupnya & dia mati dalam husnul-Khatimah. Allahu Akbar.
b- Kisah seorang imam ulama’ hadis yang besar, Imam Abu Zur’ah ar-Razi RHM yang indah sekali pengakhiran hayatnya.
Imam Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan kisah ini dengan sanadnya di dalam Tarikh Baghdad.
Abu Ja’far al-Tustariy berkata: حَضَرْتُ أَبَا زُرْعَةَ ، يَعْنِي الرَّازِيَّ ، بِمَاشَهْرَانَ ، وَكَانَ فِي السَّوْقِ ، وَعِنْدَهُ أَبُو حَاتِمٍ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمٍ ، وَالْمُنْذِرُ بْنُ شَاذَانَ ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الْعُلَمَاءِ.
Aku hadir menziarah Abu Zur’ah al-Razi di Masyahran.
Ketika itu beliau dalam keadaan nazak. Bersama-sama beliau ialah Abu Hatim, Muhammad bin Muslim, Al-Munzir bin Syaazaan, dan sekumpulan ulama’. فَذَكَرُوا حَدِيثَ التَّلْقِينِ وَقَوْلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ “. قَالَ: فَاسْتَحْيَوْا مِنْ أَبِي زُرْعَةَ وَهَابُوا أَنْ يُلَقِّنُوهُ.
Mereka berbincang tentang hadis talqin dan sabda baginda: Talqinkan mereka yang akan mati kalimah “La Ilaaha Illa Allah”. Abu Ja’far berkata: Mereka berasa malu kepada Abu Zur’ah dan terlalu menghormatinya untuk mentalqinkan beliau. فَقَالُوا : تَعَالَوْا نَذْكُرُ الْحَدِيثَ ، فَقَالَ مُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمٍ : حَدَّثَنَا الضَّحَّاكُ بْنُ مَخْلَدٍ ، عَنْ عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحٍ ، وَجَعَلَ يَقُولُ ، وَلَمْ يُجَاوِزْ . Lalu mereka berkata: Mari kita berbincang tentang hadis. Lalu Muhammad bin Muslim berkata: Ad-Dhahhak bin Makhlad menyampaikan kepada kami daripada ‘Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh. Muhammad bin Muslim tidak meneruskan (membaca sanad itu). وَقَالَ أَبُو حَاتِمٍ : حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ ، قَالَ : حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ ، عَنْ عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحٍ ، وَلَمْ يُجَاوِزْ . وَالْبَاقُونَ سَكَتُوا ، Abu Hatim pula menyampuk: Bundar menyampaikan kepada kami bahawa Abu ‘Ashim menyampaikan kepada kami daripada ‘Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh. Abu Hatim juga tidak meneruskan (membaca sanad itu). Ulama-ulama yang lain yang ada mendiamkan diri. فَقَالَ أَبُو زُرْعَةَ ، وَهُوَ فِي السَّوْقِ : حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ ، قَالَ : حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَبْدُ الْحَمِيدِ بْنُ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحِ بْنِ أَبِي عَرِيبٍ ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ مُرَّةَ الْحَضْرَمِيِّ ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ “.
Lalu Abu Zur’ah yang sedang berada dalam keadaan nazak berkata: Bundar telah menyampaikan kepada kami bahawa Abu ‘Ashim telah menyampaikan kepada kami bahawa ‘Abdul Hamid bin Ja’far telah menyampaikan kepada kami daripada Soleh bin Abi ‘Arib daripada Katsir bin Murrah al-Hadhramiy daripada Mu’az bin Jabal radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang akhir kalamnya ialah Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah maka dia akan masuk syurga”. وَتُوُفِّيَ رَحِمَهُ اللَّهُ Lalu Abu Zur’ah al-Razi RHM pun meninggal dunia (selepas membaca hadis itu) iaitu akhir kalamnya adalah ucapan syahadah!
Ya Allah matikan kami semua juga dalam husnul khatimah & keredhaan-MU.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita yang ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Infaq Kita Pada Hari Jumaat Ini.
Infaq Tabung Pembinaan “Mabna Ayah Haji” [Tuan Guru Hj. Abdul Rahman]
Pondok Sungai Durian [PSD].
Mabna: Bangunan.
Bangunan Akademik, Kelas Pengajian & Bilik Kuliah Tempat Pengajian Para Pelajar Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.
Sumbangan & Infaq untuk diri sendiri dan keluarga boleh disalurkan melalui akaun ini;
Nama Akaun:
Madrasah Muhammadiah Sg Durian.
Maybank: 5530-2961-0334.
Bank Islam: 03-072-01-0119839.
“Jazakumullahu Khaira”.
Akhukum,
Dr. Abu Anas Madani, PSD.
Jumaat 17-01-2025.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.