View Categories

(40) Surah Al-A’raf : Ayat 146-147

Kesan Buruk Sifat Takabbur, Hati Keras Tak Mahu Berfikir & Gugur Semua Amalan Penentang Ayat Allah SWT.

Full video : https://youtu.be/q8G2WGluccI?si=lbl9pcVDp3mXr-bk

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 146 sehingga 147 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kesan buruk sifat takabbur.
    Orang takabbur ni amat sombong, agah & keras kepala menolak segala kebenaran tak mahu dengar nasihat & ajakan.
  1. Apabila sombong juga hati jadi keras tak mahu berfikir.
    Sombong inilah punca kerosakan atas dunia ini;
    i- Iblis dulu sombong, lalu kena halau keluar dari syurga.

    ii- Kemudian para pembesar yang kafir (ٱلْمَلَأُ) dulu juga sombong, menghina dan mendustakan nabi-nabi yang diutus kepada mereka.

    iii- Pada zaman kita ini juga orang sombong walaupun tahu apa yang disampaikan adalah kebenaran tetapi tolak juga dengan alasan mereka yang bercakap itu bukan orang kita!!
  1. Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang melakukan perbuatan syirik, mendustakan ayat-ayat Allah, maka orang itu dikira kufur penentang ayat Allah SWT; maka gugur semua pahala amalan mereka, buat benda baik tetapi pahala tak dapat.
  1. Pahala hilang ini terjadi dengan beberapa sebab:
    i- Ketika melakukan amalan itu riya’ nak tunjuk kepada orang,

    ii- Lepas buat ceritakan kepada orang dengan bangga;

    iii- Mengungkit pemberian & kebaikan.
    Ini semua gugur pahala mengikut bila berlakunya riya’, takabbur & sum’ah tadi.
    Amalan lain yang ikhlas ada & tidak gugur pahalanya.
    Tetapi jika syirik & kufur, gugur semua pahala amalannya yang ada.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Musa yang menerima kitab Taurat.
    Allah juga katakan Dia akan tunjukkan negeri orang-orang fasiq yang derhaka.

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan punca manusia degil keras kepala, punca kerosakan manusia atas muka bumi ini ialah takabbur dan sombong.
    Orang fasiq yang negerinya telah dibinasakan tadi adalah kerana sifat ini!
    Lalu Allah nyatakan penyakit yang cukup bahaya ini agar kita jauhkannnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 146- {AKU AKAN MEMALINGKAN (HATI) ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR DI MUKA BUMI DENGAN TIADA ALASAN YANG BENAR DARI (MEMAHAMI) AYAT-AYATKU (YANG MENUNJUKKAN KEKUASAANKU); DAN MEREKA (YANG BERSIFAT DEMIKIAN) JIKA MEREKA MELIHAT SEBARANG KETERANGAN (BUKTI), MEREKA TIDAK BERIMAN KEPADANYA, DAN JIKA MEREKA MELIHAT JALAN YANG (MEMBAWA KEPADA) HIDAYAH PETUNJUK, MEREKA TIDAK MENGAMBILNYA SEBAGAI JALAN YANG DILALUI. DAN SEBALIKNYA JIKA MEREKA MELIHAT JALAN KESESATAN, MEREKA TERUS MENGAMBILNYA SEBAGAI JALAN YANG DILALUI. YANG DEMIKIAN ITU, KERANA MEREKA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI DAN MEREKA SENTIASA LALAI DARIPADANYA.} (AL-A’RAF 7:146)

  1. Allah kata Dia akan memalingkan hati orang sombong takbur atas dunia daripada melihat kebenaran ayat-ayat Allah yang menunjukkan kekuasaan-Nya, yang boleh menjadikan mereka menerima hidayah & beriman.
    Mereka ada otak ada akal tetapi tidak mahu berfikir.
  1. Yakni mereka ini Allah katakan:
    i- Tidak akan beriman, kerana tidak mendapat petunjuk hidayah dari Allah, tidak nampak kebenaran lagi dan tidak akan melalui jalan yang membawa ke arahnya walaupun menjumpainya.

    ii- Tetapi apabila melihat jalan yang salah yang membawa kepada kesesatan. jalan khurafat, jalan karut, mereka akan mudah terima & cepat ikutnya! Wal-‘iyazubillah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:

    {Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.
    Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.} (Al-Isra’ 17: 45-46)
  1. Sifat ini sangat biasa sebagaimana hadis ini:
    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.
    Daripada Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:
    Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan.”Seorang laki-laki bertanya, “Sesungguhnya laki-laki menyukai apabila baju dan kasutnya bagus , cantik (apakah ini termasuk kesombongan)?”
    Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia.”
    [HR Muslim No: 131].
    Sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana penghidapnya merasa bangga dan memandang tinggi akan diri sendiri.
  1. Allah nyatakan sebab mereka menjadi begitu:
    i- Kerana mereka mendustakan ayat-ayat kami {كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا}- Inilah terjadi apabila mereka sombong takabbur, langsung tidak mahu buka hatinya, buka telinganya untuk mendengar kebenaran & nasihat.

    ii- Dan mereka sentiasa lalai daripadaNya {غَـٰفِلِينَ}- yakni mereka lalai dari ayat petunjuk Allah, mereka tidak akan berfikir lagi, tak ambil iktibar pengajaran- maka pastilah tidak akan dapat hidayah petunjuk.
    Yakni walaupun tengok apa hujjah, dalil yang ditunjukkan seperti mukjizat yang Allah berikan & dan seumpamanya; mereka tetap menolak tak mahu terima.

AYAT 147- {DAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI DAN PERTEMUAN HARI AKHIRAT, GUGURLAH AMAL-AMAL MEREKA (YANG BAIK). MEREKA TIDAK DIBERIKAN BALASAN (PADA HARI AKHIRAT) MELAINKAN (BAGI) APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN (DARI PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT).} (AL-A’RAF 7:147)

  1. Mereka yang kufur maksiat ingkar degil keras kepala ini, mereka sombong & ingkar akan segala iman, maka akan gugur segala amalan mereka seolah mereka tidak pernah buat amalan itu!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sebab manusia tolak kebenaran & kenapa Allah tutup hati mereka daripada menerima kebenaran iaitu kerana sifat sombong takabbur & menolak kebenaran.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan hukumannya perbuatan mereka itulah gugur segala amalan mereka.
  1. Kita kena bezakan antara:
    i- Syirik akbar (الشرك الأكبر) iaitu syirik yang besar yang keluar dari agama, syirik je gugur semua pahala amalannya, kosong secara auto.
    Ia sama seperti matematik Rukun Iman: 6-1 = 0, 6-2/3/4/5 = 0- kosong semuanya.

    ii- Syirik asghar, yang kecil (الشرك الأصغر) atau tersembunyi (الشرك الخفي) seperti penyakit hati riya’ & takabbur, hanya gugur amalan yang ada sifat & persaan itu saja, amalan-amalan yang ikhlas tidak gugur.
  1. Di akhir ayat Allah kata, orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, tidak percaya kepada kebangkitan semula & pertemuan dengan Allah di Akhirat kelak serta sombong selain hilang kosong segala amalan; mereka juga tidak akan mendapat balasan kecuali balasan buruk semata-mata yang mereka akan terima iaitu azab neraka di Akhirat kelak!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.} (Saba’ 34:33)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 146- {Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu);…}-

    Yakni Allah akan palingkan & jauhkan hatinya daripada bertadabbur, bertafakkur dan melihat kebenaran dalam ayat-ayat Allah yang boleh memberi petunjuk.
    Ulama’ kata : Hati kita tidak akan dapat terima kebenaran & iman jika hati telah dinajiskan dengan sifat sombong takabbur dan keras kepala!
    Cakap & nasihat apapun mereka tidak mahu terima, maka Allah jatuhkan hukuman; jika begini perangai, tak ada lagi peluang & ruang untuk mereka menerima Islam.
    Yakni pada waktu itulah, pada masa depan kita tak tahu.
    Seperti beberapa orang sahabat yang dulunya musuh utama Islam & benci akan Rasulullah SAW tetapi pada akhir hayatnya Allah buka hati mereka & menjadi sahabat Rasulullah yang beriman & tawadhuk.
    Seperti Ikrimah bin Abu Jahal, Abu Sufyan dan lain-lain.
    Kerana itu kita orang beriman kena usaha sungguh & sentiasalah kita berdoa dengan doa ini kerana kita amat takut & tak mahu pengakhiran yang buruk (su’ul khatimah):
    اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة!
    Maksudnya: Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah!
    Inilah antara ayat yang cukup menakutkan kita kerana punca kerosakan atas dunia ini ialah sifat takabbur & sombong.
    Inilah sifat buruk yang cukup bahaya & amat menakutkan!
  1. Ayat 146- {… Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.}-

    Allah nyatakan kenapa Dia tutup hati, tutup minda dan ayat ini ialah menguatkan hujjah ayat yang pertama, yakni sebab atau punca mereka jadi ingkar & keras kepala lalu mendustakan ayat-ayat Allah.
    Yakni punca mereka sombong & keras kepala tadi ialah kerana:
    i- Apabila melihat kebenaran mereka tolaknya kerana sombong {يَتَكَبَّرُونَ}.

    ii- Serta punca Allah palingkan hati mereka tadi ialah kerana mendustakan ayat-ayat Kami
    {كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا}
    dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
    Jadi apabila bertemu dua sifat yang buruk ini maka besar kerosakan yang berlaku.
    Apabila dia sombong dia akan menolak kebenaran walaupun jelas hakikatnya.
  1. Ayat 146- {Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar…}-

    Mereka sombong atas muka bumi ini.
    Allah nak dedahkan dan nyatakan sifat takabbur mereka itu dan mereka tinggal di bumi ini, puak mereka ramai & tersebar di sana sini.
    Firman Allah juga:

    {Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.} (Yunus 10:23)
    Inilah puak-puak yang Allah nyatakan duduk atas muka bumi tetapi takabbur sombong juga!
    Berjalan atas muka bumi tanpa hujjah yang benar.
    Yang di atas langit dah selesai apabila iblis dihalau turun ke bumi dari langit maka yang tinggal hanya malaikat.
    Malaikat ini adalah sejenis makhluk yang tidak pernak ingkar atau derhaka lansung kepada Allah Azza wa Jalla serta taat setia kepada segala perintah-Nya.
    Yakni bekas atau tempat manusia menjadi sombong takabbur ialah atas muka bumi ini!
    Kerana itu tak perlulah manusia fikir nak pergi duduk di angkasa atau planet lain, tak mungkin semua itu, Allah telah tetapkan manusia untuk hidup atas muka bumi.
    Sepatutnya sebagai khalifah/pemimpin atas bumi ini; mereka sepatutnya memakmurkan bumi dengan menyembah Allah yang Esa bukan memenuhinya dengan patung-patung berhala.
  1. Ayat 146- {… Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.}-

    Mereka tolak segala kebenaran & benda yang baik serta keadaan mereka dalam kelalaian {غَـٰفِلِينَ}.
    Lalai {غفلة} maknanya: Pemikiran kita tidak tertumpu kepadanya, tidak ingat tidak fikir akannya.
    Kebanyakan penggunaan ayat dalam al-Quran tentang orang yang lupa ini {غَـٰفِلِينَ} ini ialah orang yang betul-betul tak mahu, tak nak, menolak dengan kehendaknya sendiri!
    Tolak rejek terus atau buat main-main.
    Manakala orang yang lupa {نسيان} atau kerana tersalah ialah tak sengaja bukan lalai seperti ghaflah tadi.
    Yakni jika lupa {نسيان} Allah tak ambil kira & ambil tindakan; tetapi jika terlibat dengan hak & barang orang kena ganti.
    Jika terlupa solat kena qadha.
    Begitu juga jika orang yang dipaksa (beri mudharat) tak mengapa.

    Hadis- sabda Nabi SAW:
    إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ.
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
    [HR Ibnu Majah(2045) & Ibnu Hibban (7219)]

    Jadi kita kena bezakan antara perkataan lalai {غفلة} & lupa {نسيان}:
    i- Jika {غفلة} biasanya Allah mencelanya, kerana mereka tidak ambil peduli langsung.
    Memang sengaja tak mahu buatnya!
    Ghaflah ini dicela oleh Syara’.

    ii- Manakala lupa {نسيان} bukan mereka sengaja, tak mahu buat tetapi lupa kerana tak ingat, bukan tidak peduli atau lalai cuai, dimaafkan.
  1. Ayat 147- {Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik).}-

    Bahayanya perbuatan syirik kerana Allah akan gugurkan segala pahala amalannya sebeluml ini!
    Syirik pula terbahagi kepada dua:
    i- Syirik akbar (الشرك الأكبر) , Ini akan menggugurkan semua amalannya, tiada pahala lansung!

    ii- Syirik asghar (الشرك الأصغر), iaitu syirik dalam hati seperti riya’ takabbur dan seumpamanya, tidak gugur semua pahala, cuma gugur pahala semasa ada sifat atau perasaan itu!
    Hilang ditempat itu saja tetapi kita tidak mahu semuanya.

    Di akhir ayat Allah kata” {Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).}, yakni semua balasan yang Allah berikan esok adalah mengikut jenis amal yang dibuat.
    الجزاء يكون من جنس العمل!
    Amalan apa yang kita buat atas dunia ini; itulah yang dibalas di Akhirat kelak.
    Jika kita buat baik alhamdulillah balasanya syurga dan jika dia buat jahat & syirik maka balasannya pastilah neraka wal-‘iyazu billah.
    Kita berdoa minta Allah bantu & jagalah kita daripada segala sifat buruk & bentuk syirik.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs