KAFIR BAHAGI HAIWAN 3 KATEGORI, MAKANAN UNTUK LELAKI & KERUGIAN DUNIA AKHIRAT.
Full video : https://youtu.be/Q27PsvmU0L0?si=Ff7y8zOdpf0vx5W5
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 138 sehingga 140 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang orang kafir bahagikan haiwan kepada 3 kategori, pelbagai kategori rekaan mereka – kita akan lihat nanti dalam tafsiran ayat.
- Mereka juga khaskan ada makanan/minuman untuk lelaki sahaja, kaum wanita tidak boleh sentuhnya.
Sedangkan yang khas untuk wanita lelaki tetap boleh makan.
- Kemudian Allah nyatakan mereka yang membunuh anak itu akan:
i- Kerugian dunia dengan hilang anak dan tiada yang membantu bila dah tua.
ii- Rugi akhirat juga kerana dosa membunuh & tidak beriman.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang mereka telah melakukan perbuatan yang buruk dalam harta kemudian diikuti dengan pembunuhan anak.
Sedangkan dalam Islam, kita diajar untuk medidik anak bukan bunuhnya!
ii- Kemudian datang ayat ini menceritakan lagi tentang perbuatan & amalan buruk jahiliyyah yang membahagikan haiwan kepada tiga kategori dan ada yang hanya boleh dimakan oleh orang lelaki tidak perempuan.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 138- {DAN MEREKA BERKATA LAGI: “INI ADALAH BINATANG-BINATANG TERNAK DAN TANAMAN-TANAMAN YANG DILARANG, YANG TIDAK BOLEH SEORANG PUN MEMAKANNYA KECUALI SESIAPA YANG KAMI KEHENDAKI”, – MENURUT ANGGAPAN MEREKA; DAN (SEJENIS LAGI) BINATANG-BINATANG TERNAK YANG DILARANG MENUNGGANGNYA; DAN (SEJENIS LAGI) BINATANG-BINATANG TERNAK YANG TIDAK MEREKA SEBUTKAN NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIHNYA; (SEMUANYA ITU MEREKA LAKUKAN DENGAN) BERDUSTA TERHADAP ALLAH. ALLAH AKAN MEMBALAS MEREKA DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH ADA-ADAKAN ITU.} (AL-AN’AM 6:138)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas, Allah sebutkan orang-orang musyrik yang telah membuat pembahagian harta yang buruk; ini untuk Tuhan ini untuk berhala.
Kemudian diikuti dengan pembunuhan anak-anak dengan alasan takut habis harta & memburukkan nama keluarga.
ii- Dalam ayat ini mereka membahagikan binatang ternakan kepada 3 kategori, ianya mengikut pemikiran dan hawa nafsu mereka. Tidak ada dalil sandaran dari Allah & Nabi SAW.
- Kaum musyrikin jahiliyyah membahagikan haiwan ternakan mereka kepada tiga kategori ini iaitu:
i- Binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh dimakannya oleh sesiapapun kecuali orang yang mereka beri keizinan;
ii- Dan sejenis lagi binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; sedangkan binatang itu sihat tidak ada kecacatan apa, sesuatu yang merugikanlah.
iii- Dan sejenis lagi binatang-binatang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; mereka sebut nama berhala.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: {Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.} (Yunus 10:59)
- Ini semua adalah pendustaan terhadap Allah SWT; maka Allah kata: {Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.}
- Yakni Allah akan balas atas perbuatan mereka yang mereka-reka hukum dengan:
i- Kerugian atas dunia lagi, tak boleh manfaat dan guna haiwan yang elok dan tidak ada apa-apa masalah itu.
ii- Rugi di Akhirat dengan mendapat azab yang pedih.
AYAT 139- {DAN MEREKA BERKATA LAGI: “APA YANG ADA DALAM PERUT BINATANG-BINATANG TERNAK ITU (JIKA IA LAHIRKAN HIDUP) ADALAH HALAL BAGI LELAKI-LELAKI KAMI DAN HARAM BAGI PEREMPUAN-PEREMPUAN KAMI”. DAN JIKA IA (DILAHIRKAN) MATI, MAKA MEREKA (LELAKI PEREMPUAN) BERSEKUTU PADANYA (BERSAMA-SAMA MEMAKANNYA). ALLAH AKAN MEMBALAS MEREKA TENTANG APA YANG MEREKA TETAPKAN (MENGENAI HALAL DAN HARAM) ITU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:139)
- Orang musyrik ini terus membuat peraturan yang khurafat & tidak adil lagi.
Iaitu mereka menetapkan jika:
i- Anak yang dikandung dalam perut binatang ternakan tertentu jika ia lahirkan hidup adalah halal bagi lelaki-lelaki mereka saja dan haram bagi perempuan mereka memakannya.
ii- Tetapi jika anak itu dilahirkan mati, maka mereka lelaki & perempuan boleh memakannya bersama-sama.
- Ini adalah satu pembahagian yang tidak munasabah & tidak adil.
Lelaki akan sentiasa dapat bahagiannya manakala perempuan pula terpaksa lihat keadaan!
Begitulah apabila satu hukum atau pembahagian itu jika bukan datang dari Allah; ia tidak akan munasabah dan tidak adil.
- Maka Allah akan membalas pendustaan yang mereka buat {سَيَجْزِيهِمْ وَصْفَهُمْ ۚ} atas nama Allah ini.
Allah beri amaran sesiapa yang membuat pendustaan & rekaan atas nama Allah, menisbahkan sesuatu yang tiada kaitan dengan Allah; mereka tidak akan mendapat kejayaan.
- Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.} (Al-Nahl 16:116).
- Pada akhir ayat Allah nyatakan bahawa:
i- Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana {حَكِيمٌ}-
Iaitu Allah bijak dalam kata-kata-Nya, firman-Nya, perbuatan-Nya, perundangan-Nya & hukum-hakam-Nya.
Antara kebijaksanaan-Nya ialah membalas perbuatan orang yang buat pendustaan atas nama Allah.
Allah tak kata mereka kata Allah kata, apa yang Allah suruh mereka tak buat, apa yang Allah larang pula mereka buat!
ii- Lagi Maha Mengetahui {عَلِيمٌۭ}- ilmu dan pengetahuan Allah meliputi segala perkara; maka jangan kamu berani-berani melanggar atau merubah hukum Allah.
- Maka berhati-hatilah agar jangan kita terjebak dalam perbuatan yang sama walaupun dalam dimensi yang lain.
Sama ada menghalalkan apa yang Allah haramkan dengan cara helah atau salah tafsir ayat al-Quran.
AYAT 140- {SESUNGGUHNYA RUGILAH ORANG-ORANG YANG MEMBUNUH ANAK-ANAK MEREKA KERANA KEBODOHAN, LAGI TIDAK BERPENGETAHUAN (SEDANG ALLAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA SEKALIAN MAKHLUKNYA), DAN JUGA (RUGILAH ORANG-ORANG YANG) MENGHARAMKAN APA YANG TELAH DIKURNIAKAN OLEH ALLAH KEPADA MEREKA, DENGAN BERDUSTA TERHADAP ALLAH. SESUNGGUHNYA SESATLAH MEREKA, DAN TIADALAH MEREKA MENDAPAT PETUNJUK.} (AL-AN’AM 6:140)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan bahawa puak musyrikin kerjanya membunuh anak, lelaki atau perempuan, mengharamkan rezeki yang Allah beri atas diri sendiri.
ii- Dalam ayat ini Allah kumpulkan keduanya:
Mereka sendiri menetapkan hukum yang memberatkan mereka.
Mereka juga rugi, bodoh tidak ada ilmu, haramkan apa yang Allah halalkan dan mereka ikut jalan yang sesat.
Maka dalam ayat ini ada 7 perkara atau hukuman yang Allah jatuhkan pada mereka.
- Telah binasa dan celakalah puak musyrikin yang telah:
i- Membunuh anak-anak mereka
ii- Mengharamkan apa yang Allah halalkan.
- Mereka akan kerugian atas dunia dengan hilang kasih sayang dan peneman kerana tidak ada anak.
Kemudian menyempitkan hidup dengan haramkan rezeki yang Allah halalkan.
Mereka reka-reka buat bid’ah sendiri.
- Manakala di akhirat kelak mereka juga kerugian kerana menerima azab dan siksaan atas perbuatan mereka.
Anak-anak yang dibunuh akan dipertanggungjawabkan, binatang ternakan yang diberi kepada berhala akan dipertanggungjawabkan, semua perkara akan dihisab & mereka akan berhadapan dengan hukuman Allah Azza wa Jalla.
- Hadis Nabi SAW:
عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم، قال ذات يوم في خطبته: «ألَا إن ربي أمرني أن أُعَلِّمَكم ما جَهِلتم، ممَّا علَّمني يومي هذا، كلُّ مالٍ نَحَلتُه عبدًا حلال، وإني خلقتُ عبادي حُنَفاء كلهم، وإنهم أتتهم الشياطين فاجتالتهم عن دينهم، وحَرَّمت عليهم ما أحللتُ لهم، وأمرتهم أن يُشركوا بي ما لم أُنزِّل به سلطانا”.
Dari Iyad bin Ḥimar Al-Mujasyi RA, Bahwasanya Rasulullah SAW pada suatu hari dalam khutbahnya bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya Tuhan-ku telah memerintahkan kepadaku untuk mengajarkan apa saja yang kamu tidak tahu dari apa-apa yang telah Dia ajarkan kepadaku pada hari ini; ‘Setiap harta yang Aku berikan kepada hamba-Ku adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah ciptakan hamba-hamba-Ku semuanya dalam keadaan hanif (beragama tauhid), kemudian syaitan datang kepada mereka lalu mengeluarkan mereka dari agama mereka, mengharamkan apa saja yang Aku halalkan bagi mereka, dan memerintahkan mereka untuk melakukan menyekutukan-Ku padahal Aku tidak pernah menurunkan keterangan tentangnya….” [HR Muslim].
- Yakni asalnya manusia itu hunafa’ (حُنَفاء), berada di atas landasan yang baik tetapi telah dipesongkan oleh syaitan.
- Di akhir ayat Allah kata: Sesungguhnya mereka itu telah terpesong daripada jalan yang benar, mereka akan sesat dan tidak akan dapat petunjuk.
- Kata Ibnu Ababs RA : “Jika kamu nak tahu kejahilan & kebodohan puak Arab pada zaman jahiliyyah itu- bacalah Surah Al-an’am bermula dari ayat 130 ke atas. Allah nyatakan dalam ayat-ayat ini tentang kebodohan puak jahiliah”. [Riwayat Bukhari].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 138- {Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, -..}-
Allah menceritakan kepada kita bahawa puak jahiliyyah membahagikan haiwannya kepada tiga:
i- Untuk Tuhan berhala mereka.
ii- Tidak boleh diguna seperti tunggang atau letak barang {حِجْرٌۭ لَّا يَطْعَمُهَآ إِلَّا مَن نَّشَآءُ}
iii- Yang tidak disebut nama Allah ketika disembelih- disembelih untuk berhala {وَأَنْعَـٰمٌۭ لَّا يَذْكُرُونَ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا}.
Semua ini adalah pendustaan dan rekaan terhadap Allah SWT semata-mata, maka mereka mendapat kemurkaan yang besar dari Allah Azza wa Jalla.
Para ulama’ Islam telah memberi peringatan kepada kita bahawa : Dalam isu halal & haram ini bukan boleh suka-suka, wajib kembali kepada hukum Allah iaitu al-Quran & hadis Nabi SAW serta instibat (penggalian) para ulama’ Islam muktabar, imam tafsir yang besar!
Kita tidak boleh tafsir ikut otak & selera kita!
Dalam agama ini ada SOP peraturannya, kita tidak boleh guna hujjah orang nak buat baik apa salahnya.
Kata Imam al-Fudhail bin Iyadh RHM :
Sesuatu amalan nak jadi baik & soleh mesti:
i- Ikhlas kepada Allah
ii- Ikut apa yang Nabi SAW ajar.
Manakala pembahagian yang dibuat oleh puak musyrikin itu adalah sesuatu yang tidak berasas dan tidak ada kebaikan.
Bahkan harta yang ada biasanya akan terkumpul dan pergi kepada para penjaga kuil & berhala mereka itu.
Yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin!
Ada Allah nyatakan dalam al-Quran keterangan tentang pembahagian binatang ini dalam firman-Nya ini:
Maksudnya: {Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya.} (Al-Maaidah 5:103)
- Ayat 139- {Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”.}-
Mereka menjadikan sejenis haiwan itu khas hanya boleh dimakan oleh kaum lelaki tetapi haram bagi kaum perempuan.
Ini adalah pembahagian yang kedua, anak binatang yang lahir hidup hanya halal untuk kaum lelaki tetapi haram untuk kaum wanita. Tetapi jika lahir mati semua lelaki & wanita boleh makan pula!
Allah menempelak perbuatan ini sebagai pembahagian yang bodoh, pengharaman yang tidak disandarkan kepada Allah dan rekaan semata-mata.
Allah SWT akan membalas atas permaian puak kafir ini yang menisbahkan halal haram itu yang tidak diizinkah oleh Allah itu kepada Allah!
Ini adalah satu permainan syaitan yang cukup menakutkan.
Jangan main-main dengan permainan yang cukup bahaya ini!
- Ayat 139- {Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”.}-
Dalam ayat ini kita dapat lihat betapa perbuatan ini juga adalah satu diskriminasi terhadap kaum wanita yang lemah.
Golongan jahiliyyah ini banyak sekali mendiskriminasi & mengeksploitasi wanita!
Betapa kaum wanita dihina dan dianggap tidak berharga, jika anak perempuan lahir mereka sangat malu lalu ada yang dibunuh masa kecil lagi!
Jika besar dijadikan barang dagangan pula!
Alhamdulillah dengan kedatangan Islam yang mengangkat darjat & kedudukan wanita atas dunia ini.
Betapa dapat kita lihat Islam membatalkan semua diskriminasi & eksploitasi terhadap wanita yang telah lama ternanam dalam semua agama & peradaban manusia sebelum Islam.
Islam meletakkan wanita di tempatnya yang sepatutnya dan adil.
Persoalan:
Kata Islam adil & tidak diskriminasi wanita; tetapi kenapa dalam bab undang-undang harta pusaka, bahagian wanita adalah separuh daripada bahagian lelaki?
Yakni wanita dapat satu bahagian manakala lelaki dapat dua bahagiannya.
Jawapan:
Hanya berbeza atas kertas tetapi dari sudut perundangan sangat jelas; tiada ketidak-adilan atau diskriminasi.
Ini kerana dalam Islam tanggungjawab lelaki lebih besar daripada perempuan.
Boleh baca buku ini untuk menjawab persepsi buruk yang dimainkan oleh kafir atau geng sekular & liberal tentang isu wanita dalam Islam: Keindahan Islam : https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
Islam juga mengangkat martabat wanita dengan menetapkan cara berpakaian wanita Muslimah dengan menutup aurat yang sempurna, menjadikan mereka terhormat & terjaga dari pelbagai keburukan.
Bukan seperti barat yang kononnya memperjuangkan hak wanita (Women’s Lib) tetapi lihat saja perbezaan dari segi pakaian dalam majis rasmi saja: lelaki dengan suit tuxedonya yang berlapis-lapis dan tertutup tetapi pakaian wanita sebaliknya.
Mereka mendedah dan membogelkan wanita atas nama kebebasan dengan menjadi bahan tontonan & hiburan bagi lelaki yang bukan halal bagi mereka.
Boleh tengok risalah AAM: Auratku Maruahku.
Sekali lagi kita kata alhamdulillah, eksploitasi & diskriminasi terhadap wanita ini telah dibatalkan & dihapuskan oleh Islam.
- Ayat 140- {Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan…}-
Allah kata rugilah orang-orang yang telah membunuh anak-anak mereka.
Pembunuhan itu terbahagi kepada dua:
i- Bunuh secara fizikal seperti jahiliyyah buat itu, kerugiannya; hilanglah kasih sayang dan keturunan.
Manusia zaman ini pula bunuh anak tanpa pilih lelaki atau perempuan.
ii- Bunuh jiwa anak itu dengan tidak mendidiknya dengan ajaran Islam, tidak diberi kasih-sayang.
Biarkan mereka terumbang-ambing seperti kambing yang hilang gembala, dilepaskan di tempat yang tiada pendidikan agama!
- Dalam Ayat 140-
Allah bawa tujuh kerugian & kutukan-Nya yang jatuh ke atas puak kafir jahiliyyah yang tidak mengikut peraturan Allah:
i- Rugi bila Allah beri anak kamu bunuh anak itu! Sama ada fizikal atau mental.
ii- Bodoh dengan kebodohan yang dicela oleh Syara’. Seperti takut faqir lalu bunuh anak bukannya nak cari lrezeki yang lebih!
iii- Kejahilan tanpa ilmu- buat tindakan bodoh kerana ikut hawa nafsu & syaitan.
iv- Mereka mengharamkan apa Allah beri rezeki kepada mereka.
v- Mereka telah mereka-cipta pembohongan ke atas Allah SWT.
vi- Mereka telah tersesat dari jalan kebenaran.
vii- Mereka adalah golongan yang tidak mendapat hidayah!
Jika kita ambil tafsir yang detail baru kita nampak tujuh hukuman yang Allah campakkan ke atas kepala mereka yang tidak ikut peraturan Allah SWT!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Insya’ Allah kita sambungnya tahun depan pula!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.