View Categories

(44) Surah Al-A’raf : Ayat 156-157

DOA NABI MUSA AS, RAHMAT ALLAH SWT BAGI YANG BERTAQWA & SIFAT MEREKA DALAM TAURAT DAN INJIL.

Full video : https://youtu.be/S_yFxSANBME?si=ZQinYsYvqwTrPX_Y

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 156 dan 157 dalam juzu’ kesembilan.
  1. Ayat ini masih berkisar tentang kisah doa Nabi Musa AS, untuk keselamatan kaumnya yang masih tinggal, yang pergi bermunajat bersamanya di stau miqat yang telah ditetapkan oleh Allah.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa rahmat & kasih sayang Allah SWT dianugerahkan bagi mereka yang bertaqwa, menunaikan zakat & beriman kepada Allah. 
  1. Allah juga nyatakan sifat mereka yang bertaqwa ini menurut Nabi SAW dan juga yang termaktub dalam kitab Taurat dan Injil.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas (155) Allah SWT nyatakan tentang doa Nabi Musa AS iaitu: 
    {أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا ۖ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْغَـٰفِرِينَ} 
    -Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.
    Yakni Nabi Musa buat pengakuan & minta ampun.

    ii- Maka dalam ayat ini adalah kesinambungan dari doa Nabi Musa kepada kaumnya Bani Israil yang dibawanya bermunajat kepada Allah SWT. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 156- {“DAN TETAPKANLAH UNTUK KAMI KEBAIKAN DALAM DUNIA INI DAN JUGA DI AKHIRAT, SESUNGGUHNYA KAMI KEMBALI (BERTAUBAT) KEPADAMU”. ALLAH BERFIRMAN: “AZABKU AKAN AKU TIMPAKAN KEPADA SESIAPA YANG AKU KEHENDAKI, DAN RAHMATKU MELIPUTI TIAP-TIAP SESUATU; MAKA AKU AKAN MENENTUKANNYA BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DAN YANG MEMBERI ZAKAT, SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA AYAT-AYAT KAMI.} (AL-A’RAF 7:156)

  1. Dalam ayat ini Nabi Musa AS berdoa minta keselamatan & kebaikan bagi bani Israil, mereka telah bertaubat dan minta keampunan Allah.
  1. Antara kebaikan dunia & Akhirat itu ialah:
    i- Kebaikan dunia, seperti ilmu yang bermanfaat, maka dapat kitab Taurat beramallah dengannya. 
    Amal yang soleh, rezeki yang luas serta mendapat bimbingan taufiq dari Allah SWT.

    ii- Kebaikan Akhirat pula seperti mendapat keampunan Allah dari segala dosa & kesalahan, seperti masuk syurga & akhirnya dapat lihat Allah yang mereka minta dulu!
  1. Allah SWT menjawab doa Nabi Musa AS itu dengan firman-Nya: 
    i- Azab di dunia ini Allah akan timpakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, siapa yang keras kepala tak dengar kata Allah.
    Sebagaimana Allah datangkan gegaran gempa bumi kepada mereka itu yang minta nak tengok Tuhan. Lalu mereka takut & sedar.

    ii- Rahmat Allah juga luas kepada hamba-hamba-Nya yang beriman!
  1. Sebagaimana hadis- Nabi SAW bersabda:
    ‌جَعَلَ ‌اللهُ ‌الرَّحْمَةَ ‌مِائَةَ ‌جُزْءٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الْأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا، فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلَائِقُ، حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا، خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ.
    Maksudnya: “Allah menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Kemudian apabila Allah nyatakan bahawa rahmat-Nya luas- Allah nyatakan juga dalam ayat ini siapakah yang akan menerima rahmat-Nya itu: 
    i- Iaitu Allah akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa {لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ}.

    ii- Dan yang memberi zakat {وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ}- Ulama’ khilaf tentang makna zakat di sini:
    a- Ibnu kathir kata : Zakat di sini ialah membersihkan jiwa- bukan zakat harta. 
    Kerana ayat ini Makkiyah- zakat belum difardhukan ketika itu.

    b- Ada ulama’ kata keduanya sekali : Zakat harta dan penyucian diri juga. 
    Kerana ia menceritakan tentang umat terdahulu yang sudah ada zakat.

    iii- Serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat-Nya {بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ}.
    Maksud ayat-ayat Allah ini ialah:
    – Wahyu yang Allah turunkan kepada para rasul-Nya seperti kitab Zabur, Taurat, Injil & al-Quran.
    – Atau ayat dalil tanda kekuasaan Allah yang dapat kita lihat dengan mata kepala sendiri.
  1. Tamatlah doa nabi Musa AS & janji Allah terhadap orang yang beriman, beramal soleh & bertaqwa bahawa mereka akan mendapat rahmat Allah Azza wa Jalla.
    Semoga kita semua, ibu bapa kita & orang kita sayangi termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah SWT ini!

AYAT 157- {“IAITU ORANG-ORANG YANG MENGIKUT RASULULLAH (MUHAMMAD SAW) NABI YANG UMMI, YANG MEREKA DAPATI TERTULIS (NAMANYA DAN SIFAT-SIFATNYA) DI DALAM TAURAT DAN INJIL YANG ADA DI SISI MEREKA. IA MENYURUH MEREKA DENGAN PERKARA-PERKARA YANG BAIK, DAN MELARANG MEREKA DARIPADA MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG KEJI; DAN IA MENGHALALKAN BAGI MEREKA SEGALA BENDA YANG BAIK, DAN MENGHARAMKAN KEPADA MEREKA SEGALA BENDA YANG BURUK; DAN IA JUGA MENGHAPUSKAN DARI MEREKA BEBAN-BEBAN DAN BELENGGU-BELENGGU YANG ADA PADA PADA MEREKA. MAKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADANYA, DAN MEMULIAKANNYA, JUGA MENOLONGNYA, SERTA MENGIKUT NUR (CAHAYA) YANG DITURUNKAN KEPADANYA (AL-QURAN), MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AL-A’RAF 7:157)

  1. Munasabah ayat:
    i- dDalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa rahmat-Nya akan sampai kepada orang yang baik, yang bertaqwa, menunaikan zakat & beriman dengan ayat-ayat Allah.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan sifat-sifat mereka pula. Iaitu sifat mereka yang ada dalam kitab Taurat & Injil kemudian Allah ulang balik sifat itu dalam al-Quran.
  1. Siapakah orang yang beriman ini?? 
    Iaitu mereka yang beriman & mengikut Rasulullah, Nabi kita Muhammad SAW iaitu:
    i- Seorang Nabi yang ummi, seorang yang tidak membaca & tidak menulis.
    Allah sebut dua jawatan Baginda di sini -{ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ} seorang Rasul & Nabi.

    ii- Yang nama dan sifat-sifatnya tertulis di dalam Taurat yang turun kepada Nabi Musa dan Injil yang turun kepada Nabi Isa AS, yang ada di sisi mereka ahli kitab.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini: ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْرِفُونَهُۥ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَآءَهُمْ ۖ وَإِنَّ فَرِيقًۭا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ ٱلْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ.
    {Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. 
    Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).} (Al-Baqarah 2:146)
  1. Tetapi apa boleh buat nasib malang mereka yang degil menolak kebenaran: Walaupun sebelum ini mereka menunggu-nunggu kebangkitan rasul yang terakhir, tetapi apabila Rasulullah SAW muncul mereka menolaknya.
    Inilah perangai jahat dan kesesatan ahli kitab lebih dahsyat daripada jahiliyyah di Makkah yang tiada kitab & ilmu.
  1. Kemudian Allah perincikan sebahagian sifat Nabi Muhammad ini di dalam kitab Taurat, antaranya:
    i- Menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik,

    ii- Dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji;

    iii- Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik,

    iv- Dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; seperti makanan, perbuatan & yang buruk sama ada kepada Allah & sesama manusia.

    v- Dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.
    Contoh : jika berdosa boleh taubat tak perlu bunuh diri, jika tersalah membunuh ada qisas, diyat dan lain-lain.
  1. Sesiapa yang beriman kepada Nabi SAW dan memuliakan juga menolongnya, mereka mengikut nur cahaya yang diturunkan kepadanya iaitu al-Quran maka itulah sifat orang bertaqwa yang akan mendapat kemenangan.
  1. Manakala ahli kitab yang sudah tahu kedatangan Rasulullah SAW dan mengenal sifatnya berdasarkan kitab Taurat & Injil mereka, malangnya apabila Rasulullah SAW muncul; mereka menolak & tidak beriman dengannya, bahkan melawan dan menentang akibat dari perasaan hasad dengki dan takabbur yang ada dalam diri mereka!
    Inilah punca kerosakan manusia atas dunia ini, yang menyebabkan mereka tidak beriman kepada Allah & tidak mengikut Rasulullah SAW.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 156- {“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”.}-

    Doa Nabi Musa AS ini adalah sambungan dengan doanya dalam ayat 155 sebelum ini iaitu Allah sebagai Penolong & Pelindung kami.
    Persoalan: 
    Puak bani Israil yang sembah patung lembu itu apa yang terjadi kepada mereka selepas kembalinya Nabi Musa AS.

    Jawapan:
    Mereka dijatuhkan hukum sebagaimana firman Allah SWT di dalam ayat ini:
    {وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنفُسَكُم بِٱتِّخَاذِكُمُ ٱلْعِجْلَ فَتُوبُوٓا۟ إِلَىٰ بَارِئِكُمْ فَٱقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ عِندَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ} ٥٤
    {Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.} (Al-Baqarah 2:54)

    Iaitu mereka yang ingin bertaubat, Nabi Musa perintahkan mereka untuk bunuh dirinya sendiri, maka mereka pun saling bunuh-membunuh sehinggalah apabila hampir habis terbunuh semuanya, dikatakan hampir 70 ribu yang mati. 
    Nabi Musa berdoa kepada Tuhan agar menyelamatkan kaumnya, maka dengan perintah Allah mereka pun berhenti dari bunuh-membunuh.
    Yang mana mati dibunuh & terbunuh semuanya diterima taubatnya oleh Allah SWT kerana mereka saling bunuh-membunuh untuk bertaubat.
    Yang baki lagi Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS pilih seramai 70 orang dari kalangan mereka untuk pergi bermunajat kepada Allah, meminta ampun & bertaubat secara mulut pula.
    Ini munajat kedua pula bukan munajat Nabi Musa yang pertama untuk menerima Taurat sebelum itu.  
    Tetapi mereka ini kaum yang keras kepala degil sungguh, apabila mereka dengar Nabi Musa bercakap dengan Tuhan, mereka minta nak tengok Tuhan pula!
    Lalu Allah hantar gempa bumi yang mengegarkan mereka untuk menyedarkan mereka!
  1. Ayat 156- {… dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu;}-

    a- Allah menyatakan dan menjamin bahawa rahmat-Nya luas, melitupi dan sampai kepada semua makhluk-Nya dan setiap sesuatu.
    Sebagaimana hadis di atas tadi- rahmat Allah itu ada 100 dan daripadanya terdapat 1 rahmat yang mana dengannya makhluk-makhluk saling berkasih sayang antara mereka atas dunia ini. Manakala 99 rahmat lagi adalah untuk hari Kiamat.
    Dalam doa Nabi Musa dia meminta keampunan dulu kemudian minta rahmat. 
    Itulah uslub dan adab berdoa, kita minta jauhkan, tolak perkara yang buruk & tak baik dulu; selepas itu baru minta yang baik-baik atau hajat kita.

    b- Ayat 156- {… Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,..}- Allah kata azab-Ku akan ditimpakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    Untuk azab ini Allah guna feel mudhari’ (فعل المضارع)- iaitu kata kerja yang sedang berlaku manakala untuk rahmat-Nya yang luas tadi diguna feel Madhi (فعل الماضي) iaitu kata kerja yang telah lepas. 

    Apa bezanya???
    Ini kerana:
    i- Rahmat itu adalah sifat Allah yang azali dan telah wujud sejak dari asal lagi, yakni rahmat Allah telah ada dari awal dan akan sentiasa ada sehingga bila-bila. 
    Ia telah berlaku dan akan terus berlaku.

    ii- Manakala menimpakan azab pula bukanlah dari sifat Allah tetapi ia akan berlaku dengan sebab perbuatan dosa atau kesalahan hamba, maka ia bukan wujud sejak dari asal lagi tetapi hanya akan terjadi seiring dengan perbuatan dosa yang berlaku. 
    Kerana itu digunakan kata kerja sedang berlaku bukan telah berlaku.
    Masya Allah betapa indahnya uslub al-Quran, disebalik setiap perkataan mengandungi makna tersirat yang cukup bererti & berfaedah.
  1. Ayat 156- {… maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat,..}-

    Allah kata Dia akan beri rahmat-Nya kepada mereka yang bertaqwa & menunaikan zakat.
    Timbul persoalan kepada Allah hanya sebut zakat di sini, tidak solat atau ibadat yang lain??
    Jawapan:
    Ini kerana fitnah mencintai harta amat besar. Bani Israil ini degil, keras kepala, juga lebih cenderung kepada perkara materialistik, di mana mereka minta nak tengok Tuhan, keimanan mereka tidak memadai lagi!
    Maka Allah gambarkan sifat umat Nabi Muhammad SAW ini sebagai umat yang bertaqwa dan mengeluarkan zakat, jika kata solat puak yahudi ini juga boleh solat. 
    Tetapi dalam bab harta yahudi ini bakhil, kerana itu mereka reka riba, rasuah dan lain-lain penipuan untuk mengumpulkan harta dengan segera. 
    Jadi apabila seseorang itu sayangkan harta dia akan cuba cari pelbagai jalan, tak jumpa yang halal dicarinya yang haram. 
    Manusia amat cintakan harta dengan sekuat-kuat cinta.
  1. Ayat 157- {Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang Ummi,…}-

    Kenapa Allah sebut di sini rasul & nabi dua-dua sekali?
    Jawapan:
    Ini kerana ia adalah dua jawatan yang berbeza:
    i- Nabi : Tak semua nabi itu rasul. 
    Nabi dikatakan ada 124 ribu orang.
    Ulama’ kata : Nabi itu menerima wahyu dari Allah kemudian dia menceritakan kepada orang. 

    ii- Rasul : Setiap seorang rasul itu mestilah nabi. Kerana ituu rasul hanya ada 313 orang. 
    Rasul menerima wahyu dari Allah kemudian dia menerima perintah untuk menyampaikan & berdepan dengan kaumnya; kamu kena berdepan, berlawan & berperang dengan musuh dan lain-lain. 
    Ini hanya sekadar perbezaan ringkas, untuk keterangan yang lebih jelas baca boleh baca kitab ini:
    Rukun Iman. https://dartaibah.com/…/NEW-Buku-RUKUN-IMAN-terjemahan…
  1. Ayat 157- {… Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; ….}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan sifat & tugas Rasulullah SAW iaitu menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang buruk.
    Yang baik itu ada sebahagiannya telah disebut kebaikannya, sebahagian lagi kembali kepada tabiat manusia yang fitrahnya yang baik, mereka boleh kesan apa yang baik & apa yang tidak.
    Kerana itulah ulama’ fatwa berbeza tentang hukum yang baru sama ada baik atau buruk. 

    Contoh- fatwa tentang rokok:
    i- Ulama’ dulu mengatakan : Rokok hanya makruh tak haram. Ia termasuk dalam perkara yang dibenci & tidak disukai sahaja.

    ii- Tetapi apabila para doktor sekarang datang membawa kajian perubatan yang mengesahkan bahawa ia memberi kesan yang buruk & kerosakan maka ia termasuk dalam perkara buruk (الخبائث).
    Itulah keadaan dalam Islam, Menghalalkan yang baik & mengharamkan yang buruk- (يحل الطيبات ويحرم الخبائث). 
    Jika nak huraikan satu-persatu berapa puluh jilid al-Quran kena ada.
    Yang 30 juzuk ini pun kita tak habis nak baca!

    Kerana itu dalam Islam, al-Quran bawa kepada kita hukum-hakam secara umum kemudian diperincikan secara detail oleh Nabi SAW dalam hadis dan dihuraikan oleh para ulama’ yang muktabar!
    Segala perkara yang membawa mudharat itu akan disebut sebagai benda yang tak baik (الخبائث).
    Maka apabila para ulama’ telah memutuskan sesuatu perkara itu sebagai (الخبائث) maka kita akur & kena terima jangan nak keras kepala.
    {Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya,…}
    Dalam ayat ini Allah juga nyatakan sifat para sahabat yang menyokong dan memberi pertolongan Rasulullah SAW. 
    Ia juga kewajipan kita untuk mengikut Rasulullah SAW.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs