NABI SAW MENYERU SEMUA MANUSIA, BAGINDA DIUTUSKAN KEPADA SEMUA & IKUTLAH AJARANNYA.
Full video : https://youtu.be/5Q-I6bZ25OU?si=o-5qB_dslJ6dFTpR
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 158 dalam juzu’ kesembilan.
- Dalam ayat yang mulia ini Allah SWT nyatakan bahawa Nabi SAW menyeru semua manusia, memberitahu kepada seluruh alam ini bahawa dia adalah rasul, utusan Allah kepada semua manusia, tidak mengira bangsa & tempat.
- Ini menunjukkan umumnya risalah Nabi SAW.
Baginda Nabi diutuskan kepada semua manusia di seluruh alam sepanjang zaman sehingga hari Kiamat.
- Kemudian Allah perintahkan untuk ikut ajarannya Nabi SAW semoga kita semua mendapt hidayah petunjuk.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sifat Rasulullah SAW yang disebut dalam kitab Taurat & Injil.
Sifat Nabi, ajarannya & para sahabatnya.
Maka sesiapa yang bertemu dengan Rasulullah SAW secara fizikal semasa hidupnya atau selepas kewafatannya; dengan ajarannya yang disambung oleh para sahabat & tabi’en, wajib beriman dengannya.
ii- Maka datang ayat ini Allah SWT nyatakan inilah Rasul & Nabi {ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ} yang ummiy {ٱلْأُمِّىَّ} ini, yang ajarannya, kamu kena beriman dengan Allah, beriman dengan kerasulan Baginda SAW & ajarannya.
- Munasabah kedua:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan manusia pada zaman Nabi Musa untuk ikut kitab Taurat, kemudian pada zaman Nabi Isa untuk kitab Injil.
Jadi jika ada manusia yang berfikir bahawa kena boleh lagi untuk ikut dua kitab ini kerana ia datang dari Allah juga!
ii- Maka datang ayat ini menjelaskanya, tidak boleh lagi ikut nabi & kitab yang terdahulu.
Kita wajib beriman dengan mereka (nabi & kitab terdahulu) tetapi kita tidak boleh lagi ikut ajaran mereka.
Kita hanya wajib beriman & ikut al-Quranul Karim.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 158- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI SEKALIAN MANUSIA! SESUNGGUHNYA AKU ADALAH PESURUH ALLAH KEPADA KAMU SEMUANYA, (DI UTUS OLEH ALLAH) YANG MENGUASAI LANGIT DAN BUMI, TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA; YANG MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN. OLEH ITU, BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, NABI YANG UMMI YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN KALIMAH-KALIMAHNYA (KITAB-KITABNYA); DAN IKUTILAH DIA, SUPAYA KAMU BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK”.} (AL-A’RAF 7:158)
- Allah perintahkan Nabi SAW untuk menyeru manusia seluruhnya, semua manusia & jin wajib beriman & ikut ajaran Nabi SAW.
Bukan pilih tempat & masa, manusia yang Arab bukan Arab, kulit hitam atau putih, kaya misikin, besar rendah semuanya.
- Dalilnya adalah beberapa firman Allah SWT ini:
i- {Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya’ 21:107).
ii- {Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).} (Saba’ 34:28)
iii- {Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.} (Al-Furqaan 25:1)
- Nota: Ayat ini menjadi dalil yang tetap bahawa Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah kepada manusia seluruhnya, termasuk jin.
Hakikat ini ditegaskan dalam firman Allah {وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ} dalam ayat-ayat di atas tadi.
Juga dalam hadis yang sahih sebagaimana yang akan kita lihat nanti.
- Hadis-hadis dalil tentang ini:
i- dari Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Aku diberi lima perkara oleh Allah, yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku:
i- Aku ditolong (oleh Allah) berupa rasa takut pada hati musuh (sebelum mereka datang) sejauh perjalanan satu bulan,
ii- Bumi dijadikan untukku sebagai tempat solat dan alat bersuci.
Maka siapa sahaja dari ummatku yang mendapatkan waktu solat, hendaklah dia melaksanakan solat,
iii- Ghonimah (harta rampasan perang) dihalalkan untukku, dan itu tidaklah halal untuk seorangpun sebelumku,
iv- Aku diberi syafa’at,
v- Dan Nabi-Nabi terdahulu diutus khas kepada kaumnya, sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia.” (HR. Bukhari)
ii- Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلا نَصْرَانِيٌّ, ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ.
Ertinya : “Demi Allah yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya andainya seorang yahudi dari umatku atau seorang nasroni yang mendengar mendengar tentang diriku lalu mati ia dalam keadaan tidak beriman kepada aku sebagai Nabinya melainkan adalah dia termasuk penghuni api neraka.” (HR. Bukhari)
- Yakni tak boleh pakai lagi Kitab Taurat & Injil, wajib ikut Syari’ah al-Quran.
Hatta apabila Nabi Isa AS turun di akhir zaman nanti dia juga beriman & beramal dengan Syari’ah Rasulullah SAW.
Maka sesiapa yang dakwa masih dok pakai kitab Injil itu sebenar telah menggunakan sesuatu yang sudah expired!
Kita ni kalau makan makanan expired akan keracunan makanan pula, bahaya sekali, begitu juga jika salah guna perundangan yang sudah expired pastilah akan berada dalam kesesatan.
- Allah nyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan yang di utus & dihantar oleh Allah yang menguasai langit dan bumi, Tuhan yang berkuasa atas segalanya, apa yang dia nak akan jadi & apa yang Tuhan tak nak, tak akan jadi!
- Ayat ini ditafsirkan dengan ayat ini juga:
{Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;} (Al-Mulk 67:1)
- Kemudian Nabi SAW perkenalkan lagi sifat Allah- {tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia.}- tidak ada Tuhan berhak disembah, dipuja dan dipuji kecuali Allah SWT, inilah sifat-Nya!
- Dinyatakan lagi sifat & kuasa Allah juga menghidupkan dan mematikan, sama ada manusia atau bumi ini, tiada siapa boleh menyekat & menghalangnya.
- Contoh:
i- Bumi yang dulunya kering kontang apabila Allah hantar air hujan, ia hidup kembali dengan tumbuh-tumbuhan yang hijau & subur.
ii- Kita manusia dulu tiada (mati) sebelum dicipta dalam rahim, selepas lahir kita hidup seketika atas dunia ini sebelum dimatikan kembali apabila tiba ajalnya.
- Sekarang kamu sudah kenal Nabi SAW, sudah kenal siapakah Tuhan yang mengutusnya; maka tugas kamu; {Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi }.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa Nabi SAW diutuskan kepada sekelian manusia- orang bukit orang bandar, orang hitam merah, jika kamu manusia semuanya kena beriman dengan Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini Allah kembarkan sekali, kamu kena beriman dengan Allah & beriman dengan Nabi SAW. ini kerana ada orang yang beriman dengan Allah tetapi tidak dengan Nabi Muhammad SAW.
Seperti puak ahli kitab; nasrani yang beriman dengan Allah tetapi mahu Nabi Isa, tolak nabi Muhammad SAW & puak yahudi yang beriman dengan Allah tetapi menolak Nabi Muhammad & mahu beriman dengan Nabi Musa AS sahaja.
- Maka ayat ini menegaskan bahawa kamu manusia kena beriman dengan Nabi Muhammad SAW seorang nabi yang ummiyy, sifat ini hanya khas untuk Nabi SAW, tidak ada sebarang kekeliruan, bukan nabi atau rasul lain!
- Nabi yang ummiy, yang beriman dengan Allah dan yang beriman dengan kalimah-kalimah-Nya {وَكَلِمَـٰتِهِ}.
Kata asy-Syanqiti : Apabila disebut kalimah Allah ia lebih umum & luas daripada hanya kitab Allah sahaja.
Jika disebut kitab, hanya al-Quran, Zabur, Taurat, Injil, Suhuf.
Tetapi jika di sebut kalimah Allah tidak siapa boleh kira, hitung & tahunya kecuali Allah SWT.
- Dalilnya firman Allah SWT ini:
i- {قُل لَّوْ كَانَ ٱلْبَحْرُ مِدَادًۭا لِّكَلِمَـٰتِ رَبِّى لَنَفِدَ ٱلْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَـٰتُ رَبِّى وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِۦ مَدَدًۭا}
Maksudnya: {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.} (Al-Kahfi 18:109)
ii- {Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Luqman 31:27)
Kalimah Allah itu tidak terkira, tidak terhitung & tidak diketahui banyaknya kecuali Allah sendiri.
Kerana itulah Nabi SAW ajar apabila kita mahu minta pertolongan untuk berdoa dengan doa ini: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ.
Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”
- Maka kata ulama’ : Sebab Allah guna perkataan Kalimah Allah di sini kerana Allah mahu kita beriman dengan semua kalimah Allah ini.
- Di akhir ayat Allah kata kamu ikutlah Nabi SAW agar beroleh petunjuk hidayah!
Yakni wahai manusia ikutlah Rasul yang mulia ini, taatlah kepadanya agar kamu mendapat petunjuk ke jalan yang benar!
Ya Allah jadikan kami dari orang yang mendapat petunjuk hidayah Allah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini: {قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ} ٣١
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Ali-‘Imran 3:31)
- Inilah kelebihan ikut Nabi SAW.
Kata ar-Razi dalam tafsirnya :
Ikut Sunnah Nabi ini melalui dua cara, iaitu sama ada melalui perkataan & perbuatan:
i- Perkataan ialah semua yang Nabi SAW baca & katakan, apa yang kempen besar-besaran, semua bacaan & doa yang Nabi SAW baca, kita cuba baca & amalkan juga sebagaimana yang dikumpulkan dalam kitab
Perisai Muslim; https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
ii- Manakala perbuatan ialah bagaimana cara Nabi solat, cara berjihad dan lain-lain.
Begitulah kita ikut Nabi SAW dalam dua dimensi termasuk dalam aqidah tauhidnya, amal ibadatnya, muamalatnya dan semua kerja buatnya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 158- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia!}-
Ayat ini menjadi dalil bahawa risalah dakwah Nabi Muhammad SAW adalah umum untuk sekelian manusia!
Jika kamu rasa kamu manusia maka tak kira orang putih, orang Arab Melayu, Afrika apa saja maka berimanlah kepadanya.
Jangan jadi seperti lembu kenyang yang tak lari dari atas jalan raya, iaitu manusia yang apabila dengar azan tak bergerak pergi ke masjid.
Yang menghantar Nabi SAW ke dunia untuk menjadi rasul adalah Allah Pemilik langit & bumi, Allah yang pilihnya- bukan manusia lain, maka menjdi kewajipan kepada kita semua untuk ikut dan beriman.
Ayat ini menjadi peringatan kepada puak yahudi & nasrani yang ada pada zaman Nabi SAW untuk ikut Baginda SAW dalam apa jua keadaan Jangan keras kepala, jangan tak dengar kata.
Inilah perlantikan & orang yang melantik, dua perkara yang perlu diketahui.
- Ayat 158- {… tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan.}-
Tiada Tuhan yang berhak disembah kerana Allah yang berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan.
Maka pastilah Allah yang kita kena taat & ikut, kerana tidak ada satu tindakan yang paling besar selain daripada kuasa menghidupkan & mematikan.
Itu di bawah kuasa Allah SWT!
Asal kita dahulu tiada, apabila berlaku percampuran air mani antara ibu & bapa kita tercipta, lahir ke dunia, hidup seketika kemudian akan dimatikan kembali.
Masuk dalam tanah hancur lebur kemudian dihidupkan semula selepas hari Kiamat apabila Israfil meniup sangkakala kedua.
Kerana itu apabila nak tidur kita kena baca doa tidur ini, kerana tidur adalah mati kecil.
i- Doa nak tidur: بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ وَأَمُوتُ أَحْيَا
Maksudnya: “Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup.”
ii- Doa bangun tidur: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya kami akan dikembalikan.”
Untuk doa-doa lain lagi boleh rujuk kitab Perisai Muslim.
Juga apabila ada orang yang nak ditidurkan dihospital, kaum keluarga yang ada & staff yang berkaitan kena ajar dia istighfar, bertaubat & mengucap banyak-banyak, akhiri kalamnya dengan kalimah syahadah.
Juga selesaikan hak & tanggungjawab hutang yang ada, buat wasiat harta siap-siap & segala persediaan yang sepatutnya kerana kita tidak tahu apakah akan bangun semula atau tidak.
Wasiat harta hanya setakat 1/3 daripada keseluruhan harta.
- Ayat 158- {… Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya..}-
Wajib untuk kita ajak & berdakwah orang untuk beriman kepada Allah & Rasulullah SAW.
Jika orang itu sudah Islam, kita ajak untuk mantapkan imannya.
Jika belum muslim kita kena sampaikan akan kebenaran Islam kepada mereka, kenalkan mereka kepada Allah & Rasul.
Berapa orang sudah kawan baik, teman sekerja kita yang sudah kita dakwah?
Tapi malangnya dengan alasan malu, takut putus kawan ramai orang yang melepaskan peluang & tanggungjawab ini! Ini tidak benar-benar sayangkan kawan itu!
Tugas kita adalah dakwah orang, pujuk orang untuk beriman kepada Allah & Rasul-Nya untuk sama-sama selamat dari api neraka di Akhirat kelak!
- Ayat 158- {… yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya…}-
Kalimah Allah mencakupi semua dalil keterangan Allah termasuk kitab-Nya.
Ia lebih luas daripada kitabnya.
Kalimah Allah adalah arahan atau perintah Allah.
Sebagaimana Nabi Isa AS itu adalah antara contoh kalimah Allah, yakni perintah Allah, apabila Allah kata jadi, maka jadilah! {كُن فَيَكُونُ}.
Kerana jika kitab Allah hanya terhad tetapi kalimah ini merangkumi semua sekali, Kitab-Nya, wahyu-Nya, hukum-Nya, ajaran-Nya dan semuanya.
Kerana itu sebagaimana doa yang diajar oleh Nabi SAW ini, Baginda mengajar untuk kita minta pertolongan dengan kalimah Allah secara keseluruhannya:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”
Inilah doa ikut Sunnah Nabi SAW yang kita boleh baca di mana saja.
Apabila baca doa ini insya’ Allah selamat kerana yang melindungi kita ialah kalimah Allah!
- Ayat 158- {… dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.}-
Yakni sesiapa yang nak selamat maka ikutlah ajaran Nabi SAW bukan ikut ajaran orang lain.
Tetapi sedihnya apabila dibawa ayat ini ada orang yang allergik, mereka kata ada orang yang ajak suruh ikut Nabi SAW direct tak mahu ikut ulama’!
Bukan begitu- siapa kata macam tu, kerana apabila kita nak ikut Nabi SAW kita kena ikut al-Quran & Sunnah, apabila ada yang kita tak faham kita kena ikut para ulama’ muktabar yang faham al-Quran & Sunnah dan menafsirkannya untuk orang awam.
Maka oleh kerana ulama’ itu ikut Nabi SAW maka kita kata kita kena ikut ajaran Nabi SAW. Itulah bahasa secara ringkasnya!
Bukan kita tak mahu ikut ulama’ tetapi kita ikut yang ori, yang asal ulama’ itu sebagai penghurainya, mana-mana huraianya yang tepat kita pakai manakala yang tidak kena kita tidak boleh pakainya!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat
Kita doakan kesembuhan dan kepulihan kepada mana-mana sahabat kita yang diuji sakit atau ditimpa kemalangan:
أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيْكَ.
Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang mempunyai Arasy yang agung, semoga Allah menyembuhkan engkau.”
Wallahu A’lam.