View Categories

(46) Surah Al-An’am : Ayat 151-153

10 WASIAT DARI ALLAH SWT, 10 ASAS PERKARA HARAM & IKUTLAH SIRAT AL-MUSTAQIM.

Full video : https://youtu.be/lXXJRaGKFCU?si=adXIC2-Fqo_Ens-1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 151 sehingga 153 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT sebut 10 Wasiat, pesanan dari Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.
  1. Iaitu 10 asas perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dalam Islam. 
    Cabangnya banyak lagi, 10 ini adalah asasnya.
  1. Di akhir ayat Allah kata ikutlah Sirat Al-Mustaqim: Iaitu jalan Allah yang lurus jangan kamu cari jalan yang sesat yang akan memesongkan kamu dari jalan Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan hujjah-Nya yang mantap & kemas ke atas puak kafir yang telah sewenang-wenangnya haramkan yang halal & halalkan yang haram tanpa hak!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan usul atau asas perkara haram sama ada perkataan atau perbuatan. 
    Kemudian seperti biasa uslub al-Quran jika ada larangan benda buruk pasti ada suruhan benda baik juga. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 151- {KATAKANLAH: “MARILAH, SUPAYA AKU BACAKAN APA YANG TELAH DIHARAMKAN OLEH TUHAN KAMU KEPADA KAMU, IAITU JANGANLAH KAMU SEKUTUKAN DENGAN ALLAH SESUATUPUN; DAN HENDAKLAH (KAMU) MEMBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA; DAN JANGANLAH KAMU MEMBUNUH ANAK-ANAK KAMU KERANA KEPAPAAN, (SEBENARNYA) KAMILAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU DAN KEPADA MEREKA; DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI KEJAHATAN-KEJAHATAN (ZINA) – YANG TERANG DARIPADANYA DAN YANG TERSEMBUNYI; DAN JANGANLAH KAMU MEMBUNUH JIWA YANG TELAH DIHARAMKAN ALLAH (MEMBUNUHNYA) MELAINKAN DENGAN JALAN YANG HAK (YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK). DENGAN YANG DEMIKIAN ITULAH ALLAH PERINTAHKAN KAMU, SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA.} (AL-AN’AM 6:151)

  1. Allah perintahkan kepada Nabi SAW : Katakan wahai Muhammad SAW kepada puak kafir itu, marilah aku ceritakan kepada kamu apakah perkara sebenar yang haram dengan yakin dari Allah SWT, tidak boleh ditolak lagi, bukan hanya sangkaan atau dakwaan kamu sahaja! 
  1. Terdapat 10 larangan dalam dua ayat ini yang jika kita perhatikan Allah bawa pula dalam 2 bentuk:
    i- 5 perkara berbentuk larangan seperti: jangan syirik, jangan membunuh anak sendiri, jangan ambil harta anak yatim, jangan bunuh orang tanpa hak & jangan hampiri perbuatan keji {ٱلْفَوَٰحِشَ}.

    ii- 5 perkara lagi berbentuk arahan, berbuat baiklah kepada dua ibu bapa, beri persaksian yang baik, sempurnakan sukatan & timbangan dan tunaikan janji jangan tipu.
    Allah SWT ajar kepada kita sighah al-Quran yang indah; makin difahami makin disayangi, sebagaimana buah kurma makin dikunyah makin terasa kemanisannya.
  1. Perkara itu ialah:
    i- Jangan kamu buat perkara syirik dalam apa jua bentuk sekalipun! syirik dalam ibadat, doa dan semuanya.

    ii- Hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu bapa dengan sebaiknya, sama ada yang masih hidup, kasih-sayang, penghormatan, dengan pemberian dan lain-lain. 
    Atau jika telah mati dengan berdoa & buat kebaikan untuknya. 
    Jangan abaikan tanggungjawab terhadap mereka dan jangan sesekali menderhakai mereka.

    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).} (Al-Isra’ 17:23)

    iii- Wasiat ketiga ialah: jangan sesekali kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan! 
    Sedangkan Allah yang memberi rezeki kepada kamu semua, maka jangan kamu bimbang tak cukup makan.

    Munasabah ayat ini: 
    c) Selepas Allah perintah untuk berbuat baik kepada ibu bapa iaitu asal keturunan kita;

    b) Datang ayat ini supaya berbuat baik juga kepada anak cucu iaitu keturunan dari sebelah bawah juga!

    iv- Wasiat keempat: jangan kamu hampiri perbuatan keji {ٱلْفَوَٰحِشَ} iaitu jauhkan diri kamu daripada sama ada yang zahirnya atau yang batin. 

    Perbuatan keji ini ialah dosa yang berkait dengan maruah diri seperti zina, liwat dan seumpamanya! 
    Allah ajar jangan kamu dekat benda yang boleh membawa kekejian sedemikian yang zahir atau batinnya!
    Dalam Islam apabila diharamkan sesuatu perkara, ia turut mengharamkan perkara yang boleh membawa ke arahnya, seperti diharamkan pergaulan bebas, berkhalwat (berduaan lelaki & wanita) dan seumpamanya yang boleh membawa kepada zina.

    Kata ulama’ salaf : Kamu (lelaki) jangan duduk berdua-dua dengan seorang wanita walaupun dengan tujuan mengajar al-Quran.
    Jelaslah betapa berduaan silang jantina dalam pembelajaran, dakwah atau atas apa sebab sekalipun wajib dijauhi. 
    Syaitan ini dia tidak duduk diam kerana itu Allah suruh jauhkan semua perkara ke arah itu.
    Sama ada secara zahirnya terang-terangan atau secara batin iaitu terikat hati, dok teringat kepada yang bukan mahram. 

    v- Kamu jangan bunuh orang lain tanpa hak. Iaitu pembunuhan fizikal yang menghilangkan nyawa.
    Yang hak ialah yang dipilih oleh Allah seperti penzina lelaki yang telah berkahwin, orang yang bunuh orang lain dengan sengaja atau orang murtad.
    Manakala dalam peperangan ialah dengan kafir yang memang berlawan dengan Islam.
  1. Ingat baik-baik 5 wasiat yang Allah pesan ini jangan kamu buat, jangan kamu langgar sekiranya kamu memahaminya! {لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ}

AYAT 152 – {“DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI HARTA ANAK YATIM MELAINKAN DENGAN CARA YANG BAIK (UNTUK MENGAWAL DAN MENGEMBANGKANNYA), SEHINGGA IA BALIGH (DEWASA, SERTA LAYAK MENGURUS HARTANYA DENGAN SENDIRI); DAN SEMPURNAKANLAH SEGALA SUKATAN DAN TIMBANGAN DENGAN ADIL”. – KAMI TIDAK MEMBERATKAN SESEORANG DENGAN KEWAJIPAN MELAINKAN SEKADAR KESANGGUPANNYA – “DAN APABILA KAMU MENGATAKAN SESUATU (SEMASA MEMBUAT APA-APA KETERANGAN) MAKA HENDAKLAH KAMU BERLAKU ADIL, SEKALIPUN ORANG ITU ADA HUBUNGAN KERABAT (DENGAN KAMU); DAN PERJANJIAN (PERINTAH-PERINTAH) ALLAH HENDAKLAH KAMU SEMPURNAKAN. DENGAN YANG DEMIKIAN ITULAH ALLAH PERINTAHKAN KAMU, SUPAYA KAMU BERINGAT (MEMATUHINYA)”.} (AL-AN’AM 6:152)

  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah disebut tentang pembunuhan; dibawa pula larangan tentang harta. 
    Kerana menjaga nyawa adalah seiring dengan menjaga harta.

    ii- Datang ayat ini untuk menjaga harta dan dimulakan dengan yang paling berharga iaitu harta anak yatim yang lemah, yang tiada pelindungnya! 
  1. Ayat ini membawa lima lagi wasiat Allah:
    i- Jangan kamu makan harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik! 
    Betapa tegasnya larangan Allah ini jangan makan harta mereka tanpa hak, tolong jaga & urus sehinggalah mereka cukup umur dan serahkan kembali harta jika ada apabila sempurna akal fikirannya. 

    ii- Dan sempurnakanlah segala sukatan (seperti cupak, gantang dan lain-lain yang menggunakan bekas untuk sukat)

    iii- Dan timbangan dengan adil. Timbangan pula yang ditimbang guna alat seperti mata dacing atau alat penimbang moden sekarang.
    Dua kategori ini kita sempurnakan jangan kurangkan atau berlebihan.
    Ada sesetengah manusia apabila dia membeli mahu lebih tetapi apabila dia menjual suka kurangkannnya.

    Firman Allah tentang sifat ini:
    {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.} (Al-Mutaffifiin 83:3) 

    Zaman kita hari ini perbuatan ini semakin parah & menular.
    Contoh kita bawa barang dalam pengangkutan orang, jika lebih kena cas, jika kurang mereka tidak pulangkan nilainya kepada kita. 
    Begitu juga kredit hp hari ini, banyak berlaku kepincangan dan kezaliman.
    Kemudian Allah kata Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya- yakni kita telah cuba & usaha setakat mampu untuk menimbang & menyukat dengan tepat, jika tak tepat juga tidak mengapa, itu di luar kemampuan.
    Contoh lagi; penjual air minuman, yang aisnya penuh gelas manakala jus atau air minumannya hanya sekadar dua tiga kali teguk habis. 
    Atau pengendali haji/umrah, janji 2 atau 3 orang sebilik tetapi disumbat ramai-ramai, atau janji hotel lain letak hotel lain dan sebagainya. 

    Sila muhasabah dan berlaku adillah bukan kita nak menjatuhkan hukuman tetapi fikir & nilailah sendiri!

    iv- Apabila kamu memberi keterangan, menjadi saksi atau penilai, sebagai seorang hakim atau qadhi, hendaklah kamu berlaku adil, walaupun terhadap mereka yang ada hubungan kerabat dengan kamu! 
    Contoh dalam penilai para pengkuliah atau penceramah, bab tauliah dan lain-lain adillah.
    Jika orang yang kita suka semua boleh walaupun banyak kesalahan & kekurangan.

    v- Dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan, Iaitu sama ada janji kamu dengan Allah untuk taat atau janji kamu sesama manusia, hendaklah ditunaikan dan jangan menipu khianat!
  1. Di akhir ayat Allah pesan {Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”.}
    Kamu ingat baik-baik, patuhilah perintah Allah ini, kerana semua ini akan menjadi tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT nanti! {لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ}

AYAT 153- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA INILAH JALANKU (AGAMA ISLAM) YANG BETUL LURUS, MAKA HENDAKLAH KAMU MENURUTNYA; DAN JANGANLAH KAMU MENURUT MENURUT JALAN-JALAN (YANG LAIN DARI ISLAM), KERANA JALAN-JALAN (YANG LAIN ITU) MENCERAI-BERAIKAN KAMU DARI JALAN ALLAH, DENGAN YANG DEMIKIAN ITULAH ALLAH PERINTAHKAN KAMU, SUPAYA KAMU BERTAQWA.} (AL-AN’AM 6:153)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam dua ayat yang lepas Allah sebut secara detail 10 wasiat tentang larangan Allah.

    ii- Maka datang ayat ini Allah pesan sekali lagi secara umum jika kamu nak selamat ikutlah jalan Allah, jalan Nabi SAW! Kamu jangan ikut jalan yang sesat yang begitu banyak lagi!
  1. Sebuah hadis: 
    Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA beliau berkata:
    خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا فَقَالَ: “هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ” ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ: “وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ” ثُمَّ تَلَا {وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيماً} إلى آخر الآية.
    Ertinya: “Rasulullah SAW telah membuatkan bagi kami satu garisan lurus lalu bersabda: Inilah jalan Allah. Kemudian baginda membuat beberapa garisan pada kanan dan kiri garis yang lurus itu kemudian bersabda: Dan inilah jalan-jalan yang atas setiap satu daripadanya syaitan yang menyeru kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat ini: Dan sungguhnya inilah jalanku yang lurus – hingga akhir ayat.” [HR Ahmad dan An-Nasaie].
  1. Kemudian Allah tutup ayat ini dengan firman-Nya: {Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.} {لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 151- {Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu,…}-

    Dalam ayat ini Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk pergi berdepan bersemuka dengan puak kafir & nyatakan apa yang Allah perintahkan kepada mereka, Allah yang haramkan bukan aku reka sendiri.
    Dua tanggungjawab para pendakwah:
    i- Wajib menyatakan kebenaran, jangan takut & sembunyi. Jangan takut orang marah nak cakap yang benar.

    ii- Kaedah dakwah : Sebelum kita bawa kepada manusia tentang hukum-hakam, halal haram; kita wajib kenalkan mereka kepada Allah dulu, iman & tauhid dulu baru bawa hukum-hakam!
    Biar mereka beriman & tauhid dulu barulah mudah nak ikut hukum.
    Allah sebut juga {Tuhan kamu yang mengharamkan حَرَّمَ رَبُّكُمْ}- yakni bukan aku pandai-pandai tetapi hanya tolong baca apa Allah yang haramkan!
    Ini supaya kita tahu dan sedar maka kita faham apa yang nak disampaikan!
  1. Ayat 151- {… dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa;}-

    Semua orang tahu kewajipan kita sebagai anak-anak kepada ibu bapa. 
    Kena buat baik, tunaikan hak & keperluan mereka. Apa yang ibu bapa perlu kita kena tunaikan sama ada semasa mereka hidup atau telah mati.
    Banyak ayat dalam al-Quran yang Allah kembarkan jangan syirik, wajib sembah Allah dengan perintah buat baik kepada kedua ibu bapa. Ini menunjukkan betapa besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam.
    Kata ulama’ tadabbur : Sebagai ibu bapa jangan kita rasa berat & terbeban dengan anak yang ramai. 
    Jangan bimbang tentang rezeki, Allah yang akan beri & jaganya! 
    Beranak tetapi jangan biarkan anak itu, wajib tarbiyah & didik mereka dengan agama & adab akhlak yang baik.
  1. Ayat 151- {… dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi;…}-

    Allah kata kamu jangan dekat, Allah tak kata kamu jangan buat.
    Wajib jauhkan maksiat yang keji zahir atau batin. 
    Allah kata jangan dekat yakni jauhi segala alat, cara, mekanisma & sebab yang boleh membawa kepada maksiat seperti zina dan lain-lain itu kamu jauhi.

    Maksiat ada dua:
    i- Zahir seperti berzina, membunuh, mengumpat.

    ii- Batin seperti riya’, takabbur dan seumpamanya.
    Semuanya awajib kita hapus & jauhi.
  1. Ayat 152 – {… hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu);}-

    Wajib berlaku adil dalam segenap perkara, dalam perkataan, perlakuan dan tindakan.
    Jangan jika orang yang kita puja atau sayang, dia buat apa kesalahan sekali pun, hisap rokok atas masjid tidak mengapa. 
    Tetapi jika orang yang dia tidak suka benci, bawalah dalil al-Quran & hadis sekalipun, walaupun malaikat turun langit datang setengah bersamanya, dia tetap tidak akan terima!
    Jangan hampiri perkara keji, inilah yang sepatutnya kita kena usakan supaya kita tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik!
    Serta Allah pesan:
    {“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim…}-
    Ini adalah tentang tanggungjawab terhadap anak yatim & hartanya.
    Kita kena didik & jaga anak yatim dengan baik, Jaga dan amanah harta anak yatim jangan dimakan secara zalim.
    Makan harta orang itu sudah besar dosanya tetapi memakan harta anak yatim yang lemah & malang pastilah lagi bertambah besar & berat dosanya di sisi Allah SWT!
  1. Ayat 152 – { dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”.}-

    Jaga dengan sempurna iaitu hendaklah adil dan amanah dalam sukatan dan timbangan.
    Contohnya seperti yang sudah banyak kita sebut di atas tadi. 
    Contoh semasa yang cukup membimbangkan.
    Kemudian Allah akhiri dengan ayat ini:
    {Ayat 153- {Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya;…}-
    Allah beritahu kepada kita, jalan aku adalah jalan yang betul.

    Iaitu jika kamu nak selamat dunia akhirat ikutlah jalan Allah iaitu jalan al-Quran, jalan Sunnah yang telah digaris oleh Rasulullah SAW diikut oleh para sahabat, tabi’en dan dikembangkan oleh para Salafus-Soleh dan diperturunkan kepada para ulama’ semasa sehingga ke hari Kiamat.
    Ya Allah perliharakanlah kami daripada sebarang penyelewengan dan kesesatan.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs