View Categories

(48) Surah Al-An’am : Ayat 158-159

KAFIR TAK MAHU BERIMAN SEHINGGA MALAIKAT DATANG, NYAWA DIHALKUM TAUBAT DITUTUP & BAHAYA PERPECAHAN.

Full video : https://youtu.be/hzlPtUIHzN0?si=SzCmXef0UBUCo6M9

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 158 sehingga 159 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang keras kepalanya puak kafir yang tak mahu beriman sehingga malaikat datang sendiri kepada mereka seperti Nabi SAW, atau Tuhan sendiri datang kepada mereka atau sehingga datang tanda-tanda keagungan Allah seperti kematian.
  1. Tetapi apabila nyawa sudah dihalkum, pintu taubat sudah ditutup juga apabila matahari sudah terbit dari barat iaitu tanda Kiamat yang telah terjadi!
  1. Allah SWT berpesan agar jangan berpecah kerana bahaya perpecahan umat Islam akan di tindas & diganyang oleh pihak kafir.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Allah turunkan kitab Taurat, Injil dan lain-lain kitab untuk menghilangkan keuzuran, manusia buat alasan tidak tahu, tidak sampai maklumat kepada mereka lalu tidak beriman!

    ii- Maka di sini Allah nyatakan kepada Rasulullah SAW agar jangan susah hati, usah runsingkan mereka lagi, kerana mereka yang keras kepala ini tetap tidak akan beriman, tidak mahu beriman walaupun dibawa apa tanda & bukti di hadapan mereka! 
    Jangan ikut karenah mereka lagi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 158- {APAKAH (YANG DITUNGGU-TUNGGU OLEH MEREKA YANG TIDAK BERIMAN ITU?) MEREKA TIDAK MENUNGGU MELAINKAN KEDATANGAN MALAIKAT (YANG MENCABUT NYAWA MEREKA), ATAU KEDATANGAN (AZAB) TUHANMU, ATAU KEDATANGAN SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA TUHANMU (YANG MENJADI ALAMAT HARI KIAMAT). PADA HARI DATANGNYA SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA TUHANMU ITU, TIDAK BERFAEDAH LAGI IMAN SESEORANG YANG TIDAK BERIMAN SEBELUM ITU, ATAU YANG TIDAK BERUSAHA MENGERJAKAN KEBAIKAN MENGENAI IMANNYA. KATAKANLAH: “TUNGGULAH KAMU (AKAN APA YANG KAMU BERHAK MENDAPATNYA), DAN KAMI PUN SEBENARNYA MENUNGGU (AKAN APA YANG TELAH DIJANJIKAN OLEH TUHAN KEPADA KAMI)”.} (AL-AN’AM 6:158)

  1. Allah ceritakan tentang amaran keras terhadap puak kafir yang tidak mahu beriman, apakah yang mereka tunggu, apakah sehingga:
    i- Malaikat datang nak cabut nyawa, atau;

    ii- Allah sendiri datang atau tanda-tanda azab Allah;

    iii- Atau tanda-tanda alamat Kiamat.
  1. Iaitu ketika malaikat maut datang nak ambil nyawa iaitu saat nazak, nyawa sudah di halkum. 
    Dipanggil saat nazak kerana ramai malaikat yang hadir ketika itu.
    Jika orang yang baik malaikat rahmat datang ramai-ramai bawa kain kafan yang wangi dari syurga.
  1. Atau tunggu sehingga Allah datang pada hari Kiamat nanti untuk memutuskan penghukuman antara hamba-Nya.
    Pada masa itu sudah nampak semuanya, azab siksa, syurga & neraka, tetapi tiada guna lagi penyesalan & akuan iman pada waktu itu!
    Ada ulama’ yang tafsirkanya dengan datangnya azab Allah. 
    Kita pilih tafsiran ulama’ salaf yang di atas, Allah datang untuk memutuskan hukuman dengan yang selayaknya bagi Allah.
  1. Atau apakah mereka nak tunggu sehingga keluar tanda-tanda keagungan Allah seperti naiknya matahari sebelah barat iaitu tanda Kiamat.
  1. Pada saat itu, jika sudah keluar tiga tanda-tanda Allah ini, sudah habis tempohnya:
    i- Jika mereka baru beriman ketika itu tidak akan dikira beriman lagi :
    Sebagaimana Firaun yang mengaku beriman apabila nazak kelemasan, tidak diterima lagi.

    ii- Manakala orang yang sudah beriman jika baru nak bertaubat ketika itu, tidak akan diterima lagi. 

    iii- Jika nak buat amalan kebajikan pada masa itu juga tidak akan diterima lagi juga! 
    Sudah habis tempoh tak boleh nak buat ibadat lagi ketika itu!
    Orang yang nyawanya sudah dihalkum jika dia nak waqafkan hartanya tidak boleh diterima lagi.
    Kerana itu jika nak derma sedekah, buatlah sekarang semasa kita masih ada kudrat & akal yang waras.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi SAW ini:
    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” [HR al-Bukhari].
  1. Yakni jika kamu nak beriman, nak bertaubat, nak buat amal ibadat, amal kebaikan buatlah sekarang sebelum pintunya di tutup, sebelum habis tempohnya, sebelum counter closed!
    Contoh kita nak naik kapal terbang tapi terlewat sikit lalu tidak dibenarkan naik kerana counter closed, tiket burned!
    Inipun tak mengapa kita boleh beli tiket lain cuma kerugianlah. 
    Tetapi apabila pintu taubat ditutup, tiada penyesalan & tiada gantian lagi!
  1. Hadis – Berkata Abu Zar RA, Rasulullah SAW telah bertanya kepada sahabat tentang hal tenggelamnya matahari:
    أَتَدْرِيْ أَيْنَ تَذْهَبُ ؟ قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهَا تَذْهَبُ حَتَّى تَسْجُدَ تَحْتَ الْعَرْشِ فَتَسْتَأْذِنَ فَيُؤْذَنُ لَهَا وَيُوْشِكُ أَنْ تَسْجُدَ فَلاَ يُقْبَلَ مِنْهَا. وَتَسْتَأْذِنَ فَلاَ يُؤْذَنَ لَهَا. يُقَالُ لَهَا اِرْجِعِيْ مِنْ حَيْثُ جِئْتِ فَتَطْلُعُ مِنْ مَغْرِبِهَا. فَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى: (( وَالشَّمْسُ تَجْرِيْ لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيْرُ الْعَزِيْزِ الْعَلِيمِ )).
    “Tahukah kamu ke mana perginya (matahari pada malam hari)?” Saya (Abu Zar) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia pergi sehingga sujud di bawah Arasy. Ia meminta izin maka diizinkannya. Lalu ia segera untuk bersujud lagi tetapi tidak diterima darinya, lalu ia meminta izin lagi namun ia tidak diperkenankan. Dikatakan kepada ia: Kembalilah dari mana kamu datang. Maka ia muncul (terbit) dari tempat ia tenggelam (terbenam). Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya: {Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.} [Yasin 36:38]. [HR Bukhari & Muslim]
  1. Di akhir ayat Allah SWT berfirman: {“Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami).}
  1. Allah perintahkan, katakan wahai Rasulullah SAW kepada puak kafir itu:
    Kamu tunggulah, sehingga tiba apa yang kamu tidak percaya dulu iaitu Kiamat & Akhirat berlaku!
    Kita tunggulah tengok siapakah yang betul & siapa yang salah sehingga tiba maut atau Kiamat! 
  1. Kita hari ini pun begitu juga : Selepas kita bawa dalil dari al-Quran & Sunnah
    Serta kata-kata ulama’ : Orang tidak hirau juga, dia nak berbalah juga maka tak apalah kita tunggu lihat di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak.
  1. Kita yakin apa yang kita berpegang ini adalah betul kerana kita ada sandaran & dalil dari al-Quran & Sunnah serta tafsiran para ulama’ Salafus-Soleh. 
    Mereka pula rasa mereka betul apa yang mereka pegang kerana ramai orang buat! 
    Maka kita tunggulah di Akhirat esok!

AYAT 159- {BAHAWASANYA ORANG-ORANG YANG MENCERAI-BERAIKAN AGAMA MEREKA (DENGAN PERSELISIHAN-PERSELISIHAN YANG BERDASARKAN HAWA NAFSU), DAN MEREKA MENJADI BERPUAK-PUAK, TIADALAH ENGKAU TERKAIT SEDIKITPUN DALAM (PERBUATAN) MEREKA. SESUNGGUHNYA PERKARA MEREKA HANYA TERSERAH KEPADA ALLAH. KEMUDIAN IA AKAN MENERANGKAN KEPADA MEREKA (PADA HARI KIAMAT KELAK), APA YANG TELAH MEREKA LAKUKAN (DAN MEMBALASNYA).} (AL-AN’AM 6:159)

  1. Nabi SAW ajar supaya kita bersatu & jaga persatuan ummah tetapi kita dok berbalah pula sesama kita, berpecah-pecah!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang Siratul-Mustaqim, iaitu jalan Allah yang lurus yang kita kena ikut & jangan sesekali kamu ikut jalan yang menyeleweng darinya!

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan sesiapa yang ikut jalan yang salah itu adalah mereka yang berpecah belah, yang tidak ikut jalan yang dibawa oleh Nabi SAW & tidak ikut yang dibawa oleh para sahabat Nabi.
  1. Mereka yang berpecah dalam agama Allah ini, menjadi kepada puak-puak & berkumpulan yang ramai dan semuanya mendakwa & mengaku merekalah yang benar!
  1. Tetapi kayu ukur parameter kita ialah al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan huraian para ulama’ muktabar, jika tidak ikut yang ini adalah ikut hawa nafsu dan bukan jalan yang selamat.
  1. Kata ulama’ : Tiada jalan yang selamat & penyelesaian yang tepat kecuali ikut al-Quran & Sunnah Nabi SAW serta fahaman ulama’ yang terawal.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- {… dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”.} (Asy-Syuura 42:13)
  1. Keadaan orang yang berpecah belah dalam agama ini;
    i- Sekarang masing-masing bawa diri & masing-masing kemukakan hujjah yang dipegang dan mengaku mereka yang betul.

    ii- Dan apabila kembali kepada Allah SWT barulah mereka tahu mana yang benar & mana yang sesat!
    Jika mereka benar kerana ikut al-Quran & Sunnah maha selamat & bahagialah, jika sebaliknya maka malang & penuh sesalan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 158- {Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat)…}-

    Allah tempelak puak kafir mereka tunggu apa lagi, apakah tunggu nak mati baru nak beriman???
    Kata ulama’ tadabbur : Dalam ayat ini Allah janjikan, amaran & peringatan kepada orang kafir & mereka yang menyelewang ajaran Rasulullah SAW.
    Mereka mereka ini tidak mahu beriman sehingga datang 3 perkara ini:
    i- Sehingga malaikat maut datang nak ambil nyawa.

    ii- Sehingga Allah muncul untuk memutuskan hukuman atau melihat azab Allah di depan mata.

    iii- Atau sehingga muncul tanda Kiamat yang Allah tetapkan.
    Yakni apabila mereka lihat segala tanda-tanda kekuasaan & kebenaran Allah depan mata kepala mereka sendiri, yang menyebabkan mereka nak beriman pada waktu itu!
    Tetapi ketika ini semua iman & pengakuan, taubat & penyesalan serta amalan soleh tidak akan diterima lagi! 
    Penyesalan & keyakinan yang tidak berguna lagi! 
  1. Ayat 158- {Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.}-

    Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita selepas berhujjah dengan mantap, kemukakan dalil & bukti yang kuat bahawa apa yang kita pegang ini adalah dalil & sandaran yang kuat, lawan masih tidak mahu terima lagi, maka akhirnya bolehlah kita cabar mereka; tunggulah kita jumpa di depan Tuhan nanti, tunggu apa yang dijanjikan Allah dan lihat siapa yang benar siapa yang salah! 
    Tetapi jangan hanya tunggu dengan keras kepala, kita kena tunggu dengan hujjah yang mantap, bukti yang kuat dan dalil dari sumber yang sahih seperti al-Quran & hadis Nabi SAW, bukan mimpi atau ilham yang orang mengaku!
    Sama seperti dengan maafkan orang yang keras kepala mengumpat memfitnah kita, jika mereka tidak mahu minta maaf & tarik balik tuduhan dan fitnah yang mereka buat, maka boleh kita kata tunggulah di Akhirat kelak.
    Tetapi jika mereka telah insaf minta maaf & tarik balik pastilah kita boleh maafkan mereka!
  1. Ayat 158- {Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya.}-

    Tempoh nak beriman, nak bertaubat, nak buat amal ibadat adalah sebelum datangnya tanda-tanda tadi.
    Ayat ini menjadi peringatan kepada kita orang beriman; kamu jangan tangguh nak bertaubat, jangan nak buat ibadat, jangan tangguh nak bersedekah dan buat lain-lain amal soleh & ibadat!
    Ayat ini adalah satu peringat besar kepada kita untuk bersegera jika nak buat kebaikan!

    Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah.} [Al-Munafiqun: 10].
    Jika kita bakhil sayangkan harta tidak mahu infaq atau tangguhkan sedekah maka kita akan kerugian yang besar!
  1. Ayat 159- {Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak,..}-

    Orang yang memecahkan agama & kesatuan Islam adalah ikut hawan nafsu.
    Ayat ini dalil bahawa agama kita ini mengajar kepada kita supaya berstau jangan berpecah!
    Larangan daripada berkelahi berbalah dalam masalah agama dan masalah apa saja!
    Memang betul khilaf itu luas dan dalam masalah furu’ (cabang) fiqhiyyah itu dibenarkan, tetapi ingat baik-baik jangan sampai ia menjadi sebab perbalahan dan perpecahan umat Islam.

    Seperti mazhab Syafei yang berpendapat batal wudhu’ sentuh perempuan-jangan pula apabila melihat saudara kita dari mazhab Hanafi berjalan ke masjid sambil berpimpin tangan dengan isterinya sebagai jahil atau kafir solat tanpa wudhu’.
    Sudah banyak perbincangan tentang sebab-sebab khilaf di kalangan ulama’, boleh baca buku: Islam Cara Hidup.
    Boleh dapatkannya di: https://dartaibah.com/…/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup…
    Atau dengar Kuliah Syarahannya di: https://www.youtube.com/playlist…
    Larangan ini amat besar kerana perpecahan & berbalah akan membawa kerugian kepada kita umat Islam sendiri.
  1. Ayat 159- {Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak,..}-

    Sesiapa yang berpecah & berbalah dikira menyalahi Sunnah Nabi SAW kerana Nabi tak ajar kita berbalah, Nabi tak ajar kita berpecah!
    Ulama’ telah mengumpulkan beberapa sebab ringkar berlaku perpecahan ini:
    i- Nak jadi ketua & pemimpin. Maka mulalah jatuhkan orang itu, tekan orang ini!

    ii- Taksub fanatik kepada geng. Asalkan geng dia semua betul walaupun salah, Manakala jika bukan geng dia; semua salah walaupun betul!

    iii- Ikut hawa nafsu semata-mata. Kadang-kadang perkara teknikal je, sesuatu isu yang kecil dan boleh dibincangkan tetapi diperbesarkan sebab ketidak-sefahaman dan perbalahan itu yang akhirnya makin besar & retak! Jika boleh berdamai kenapa nak berbalah!

    iv- Suka dengar di’ayah yang dibuat oleh musuh Islam yang mahu melaga-lagakan.

    v- Kejahilan kerana tidak mahu mengkaji. 
    Bab kata pepatah Arab : ومن جاء طالبا رجع عالما * من جاء ناقدا رجع فارغا 
    Siapa yang datang ke majlis ilmu dengan niat nak kritik maka dia akan pulang kosong (yakni tidak akan dapat ilmu) Manakala siapa yang datang dengan niat menuntut akan pulang berilmu.

    من كثر اطلاعه قل اعتراضه Siapa yang banyak kajiannya akan kurang kritikannya.

    vi- Suka ikut orang iaitu taqlid semata-mata walaupun tak faham dan ada maklumat tentang perkara itu.

    vii- Serta banyaklah lagi sebabnya seperti kerana dunia, kerana pangkat, politik dan lain-lain yang boleh memecah-belahkan ummat!
    Penyatuan ummah (وحدة الأمة) sangat diperlukan ketika ini agar kita kuat & orang kafir tidak dapat mempermain-mainkan kita! 

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs