View Categories

(5) Surah Al-An’am : Ayat 12-13

ALLAH SWT PEMILIK SEGALANYA, RAHMAT-NYA SANGAT LUAS & RUGI MEREKA YANG TAK BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/SQbMTnmU4oQ?si=uI6EHREtZceMt-dJ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 12 sehingga 13.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menegaskan bahawa Allah SWT pemilik segalanya, langit dan bumi & malam siang milik Allah semuanya.
    Allah suruh Nabi SAW bertanya kepada puak kafir akan hal ini.
  1. Allah juga letakkan diri-Nya penuh rahmah & kasih sayang kepada hamba & makhluk-Nya serta rahmat-Nya sangat luas. 
  1. Allah juga menyatakan bahawa kita semua akan kembali kepada Allah untuk dihisab & dihitung! 
    Maka rugi & celakalah mereka yang tak beriman.
  1. Allah juga nyatakan bahawa Dia adalah Pemilik langit & bumi serta malam & siang!
    Segalanya dengan isi kandunganya adalah hak Allah. 
    Kita hanya diberi pinjam hidup seketika atas bumi ini; maka taatlah kepada Allah & Rasulullah SAW, amalkan Sunnah Nabi SAW serta jauhkan pertelingkahan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT mahu menegakkan asas agama (usuluddin
    – اصول الدين). 
    Pertama untuk mengisbatkan adanya Pencipta dan mengesakan-Nya.

    Kedua menetapkan bahawa adanya Kebangkitan semula, segala perbuatan baik & buruk akan dibalas.

    Ketiga menetapkan kenabian & kerasulan Rasulullah SAW.

    ii- Maka datang ayat ini Allah SAW guna uslub dialog Allah perintah Rasulullah SAW bersoal jawab dengan puak kafir dengan perlbagai soalan yang menyentap fikiran mereka.
  1. Allah pelbagaikan uslub al-Quran ini supaya tertanam aqidah kepercayaan dalam hati manusia, untuk menetapkan hujjah & menarik perhatian agar orang celik mata & buka minda mendengarnya.
    Kerana itu apabila kita berceramah, berpidato jangan dok bercakap seorang, kena ada hubungan dua hala dengan khayalak & pendengar!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 12- {BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD): “HAK MILIK SIAPAKAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI?” KATAKANLAH: “(SEMUANYA ITU) ADALAH MILIK ALLAH. IA TELAH MENETAPKAN ATAS DIRINYA MEMBERI RAHMAT. DEMI SESUNGGUHNYA IA AKAN MENGHIMPUNKAN KAMU PADA HARI KIAMAT YANG TIDAK ADA SEBARANG SYAK PADANYA”. ORANG-ORANG YANG MERUGIKAN DIRI SENDIRI (DANGAN MENSIA-SIAKAN PENGURNIAAN ALLAH), MAKA MEREKA (DENGAN SEBAB YANG TERSEBUT) TIDAK BERIMAN.} (AL-AN’AM 6:12)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW supaya berdialog bertanya kepada kaum kafir puak yang mendustakan ayat-ayat Allah. 
    Tanya mereka milik siapakah segala yang ada di langit & bumi, segala cakerawala, dalam lautan dan daratan!
  1. Jika mereka jawab betul katakan betul! 
    Jika tidak nyatakan lagi kepada mereka bahawa semua itu milik Allah yang Esa.
  1. Dalam ayat ini ada dua jenis tauhid iaitu:
    i- Tauhid Rububiyyah (توحيد الربوبية)- iaitu dari sudut ketuanan & penciptaan, bahawa segala atas dunia ini milik Allah, Dia yang mentadbir & mengurusnya!

    ii- Tauhid Uluhiyyah (توحيد الألوهية) iaitu dari segi ketuhanan, Allah SWT yang Esa sahaja yang layak disembah, dipuja puji, tempat meminta pertolongan semua kepada Allah! 
  1. Allah SWT juga meletakkan sifat rahmat ke atas diri-Nya dan rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu dan ke atas semua hamba-Nya, tiada yang tertinggal.
    Kerana itu kita lihat atas dunia ini orang kafir makan semuanya (kita orang Islam terhad kepada yang halal & baik saja). 
    Tetapi mereka semuanya dimakan, digomol, sebutlah apa saja, ada orang yang makannya; hanya yang jelas beracun saja mungkin tidak dimakan! 
    Lihat saja dalam internet hari ini.

    Hadis- rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya:
    Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: 
    Maksudnya: “Sebaik sahaja Allah SWT menciptakan makhluk-Nya, Dia terus menulis dalam kitab yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.” [HR Muslim: 4939].
  1. Manusia atas dunia ini tidak kira beriman atau kafir semua ada & dapat rezeki. 
    Tidak ada orang yang tidak boleh makan kerana dia kafir bahkan sesetengah kafir itu lebih mewah & kaya-raya daripada orang mukmin.
  1. Hadis lagi, sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sekiranya dunia itu sama dengan berat sayap seekor nyamuk di sisi Allah, tentulah Dia (Allah) tidak memberi minum seorang kafir pun meskipun seteguk air selama-lamanya.” [HR at-Tirmizi]
    Tetapi kerana dunia ini tiada nilai di sini Allah maka semua makhluk-Nya, yang kafir atau muslim, haiwan & tumbuhan semuanya mendapat rezeki atas dunia ini.

    Tetapi ingat apabila Allah SWT murka juga; tidak ada siapa yang boleh terlepas dari kemurkaan-Nya, jika terlepas atas dunia pun, di Akhirat kelak tidak akan lepas!
  1. Pada hari Akhirat kelak Allah akan menghimpunkan semua manusia pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya.
    Yakni ada pembalasan, Allah akan bangkitkan semula dan kumpulkan semua manusia untuk diberi balasan, baik atau buruk tidak akan terlepas satu pun, besar atau kecil!
  1. Maka orang yang telah mempersia-siakan peluang yang Allah SWT beri untuk beriman tetapi tidak menerimanya; maka kelak di Akhirat mereka adalah orang yang rugi! 
    Mereka tahu & ada kesempatan untuk mengenal Islam tetapi mereka tidak pernah ambil peluang itu.
  1. Kita sebagai orang Islam yang ada kenalan atau kawan bukan Islam, pernah ke kita sampaikan kepada mereka tentang Islam, perkenalkan mereka kepada Islam & mengajak berdakwah mereka kepada Islam????
    Rugi juga jika begini & mereka akan mendakwa kita kelak jika memang kita cuai dan tidak cuba ambil peluang berdakwah kepada mereka!
  1. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini juga:
    Maksudnya: {Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”} (Az-Zumar 39:15)

    Ya Allah akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah, pengakhiran yang baik dalam keredhaan Allah.
    Orang-orang soleh dulu sentiasa takut & bimbang akan nasib pengakhiran mereka! 
    Maka sentiasalah kita buat persiapan & bekalan untuk Akhirat.

AYAT 13- {DAN BAGI ALLAH JUALAH APA YANG ADA PADA WAKTU MALAM DAN SIANG; DAN DIA LAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:13)

  1. Bagi Allah jualah waktu malam & siang, gelap & cerah, hujan atau kemarau, kita hanya penumpang atas dunia ini.
  1. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut langit dan bumi, iaitu menunjukkan tempat!
    Tiada tempat atas dunia ini kecuali kamu duduk sama ada atas langit atau di bumi!

    ii- Maka dalam ayat yang mulia ini Allah sebut pula malam & siang sebagai menunjukkan masa! 
    Kita hanya dua masa malam (pm) atau siang (am).
  1. Maka Allah nyatakan bahawa Dia-lah Pemilik tempat & Pemilik masa! 
    Kamu manusia hanya mengguna & menumpang apa yang Allah sediakan! 
    Jadi kenapa kamu sombong dan tidak tidak mahu tunduk kepada peraturan Allah Azza wa Jalla! 
  1. Kata ulama’ : Ini menunjukkan bahawa Allah Pemilik segala perkara, semua yang Dia buat kepunyaan Dia sama ada duduk pada masa & tempat. 
    Semua ini milik Allah, di bawah kuasa-Nya, susun-atur & pentadbiran-Nya.
  1. Allah juga menyatakan bahawa:
    i- Yang Maha Mendengar {ٱلسَّمِيعُ}, bagi semua suara dan perkataan.

    ii- Lagi Maha Mengetahui {ٱلْعَلِيمُ} semua yang berlaku atas dunia ini yang zahir yang batin dalam gelap atau cerah!
    Ini pula adalah tauhid al-Asma’ wa as-Sifat (توحيد الأسماء والصفات)- nama-nama & sifat Allah yang maha mulia.
    Sifat Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
  1. Maka jika kita tahu sifat-sifat Allah SWT & nama-nama-Nya kenapa kita berani lagi nak derhaka kepada Allah SWT! 
  1. Dua ayat yang pendek tetapi jika kita tadabburnya dengan hati yang terbuka kesannya amat besar kepada jiwa & memantapkan iman. 
    Tetapi jika hanya laluinya dengan baca saja kita hanya akan dapat pahala bacaannya tetapi tak dapat kesan dari ilmu yang terkandung di dalamnya! 
    Wallahu a’lam.

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 12- {Bertanyalah (wahai muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?”…}-

    Allah suruh Nabi SAW bertanya kepada orang kafir siapakah pemilik langit & bumi ini!
    Ia milik Allah!
    Kita kena letak pergantungan hati dan tumpuan kita hanya kepada Allah. 
    Kita jangan takut selain dari kepada Allah! 
    Jika Allah Pemilik langit & bumi dan kita taat kepada Allah pastlah Allah akan jaga kita.
    Kata ulama’ : Lillah {لِّلَّهِ}- maksudnya {bagi Allah} menunjukkan tanda milik, manusia hanya penumpang diberi yang peluang duduk atas dunia ini untuk sementara; maka kamu jangan tunjuk besar kepala & kufur ingkar kepada Allah.
    Ayat ini juga menunjukkan selain daripada Allah adalah bukan Tuhan, hanya sembahan yang di reka dicipta oleh manusia tanpa faedah lansung!
  1. Ayat 12- {Bertanyalah (wahai muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah.}-

    Kenapa dalam ayat ini Allah sebut tempat dulu {ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ} langit & bumi kemudian baru masa {ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَار} malam & siang?
    Jawapan:
    Kerana tempat ini lebih dekat dengan akal kita & lebih nampak berbanding dengan masa. 
    Allah ajar kepada Rasulullah SAW untuk bertanya kepada orang kafir dan Allah ada jawapannya juga untuk diberikan kepada mereka!
    Uslub tanya jawab ini sesuai untuk orang yang ingkar & tak faham! 
    Kita perlu lawan dengan orang bukan Islam ini dengan ilmu sama ada dengan berdebat atau berhujjah secara ilmiah bukan guna kekerasan.
  1. Ayat 12- {Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat…}-

    Allah juga telah tulis ke atas diri-Nya bersifat rahmat!
    Kenapa Allah ungkit & sebut begini? 
    Iaitu untuk mengingat & menggalakkan orang yang lagha, yang telah hanyut jauh dalam maksiat & dosa agar kembali bertaubat kepada Allah Tuhan yang sayang & rahmat kepada semua.
    Maka Allah telah pasti & tetap akan memberi rahmat & keampunan kepada kamu! 

    Firman Allah SWT:
    Maksudnya: {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Az-Zumar 39:53)

    Sebagaimana kisah seorang perompak gangster besar yang bernama Ali al-Asadi pada zaman ulama’ Salaf; apabila mendengar ayat ini dibaca terus meresap masuk ke dalam hatinya dan memberi keinsafan untuk bertaubat.

    Boleh dengar kisah penuh dalam kuliah Maghrib AAM: 
    AAM 2024 Hikayat Fiqh (196) Kenali At-Tobari, Ali Al-Asadi, Hukum Taubat Hirabah Secara Sukarela Sebelum Ditangkap.
    Link: https://youtu.be/qddw1WTDTv0?si=HgD5VBXIhZnuUVT-
    Kerana itu Allah kata kamu jangan putus harap akan rahmat Allah kerana rahmat-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

    Allah bawa ayat ini sebagai selingan:
    i- Allah bersifat rahmat tetapi ingat Allah tidak akan lepaskan orang yang zalim & derhaka! Balasan & azab Allah.

    ii- Allah ini Pemilik langit & bumi, jika Allah ambil tindakan ke atas semua makhluk yang berdosa pasti tidak akan ada makhluk atas dunia ini.
    Jadi ayat ini mengajar kepada kita, Allah ini bersifat rahmat tetapi Dia tidak akan melepaskan mereka yang zalim & berdosa; Dia akan kumpulkan balik semua untuk hisab & pembalasan!
  1. Ayat 12- {Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”…}-

    Allah akan bangkitkan dan kumpulkan kamu semua pada hari Kiamat lagi tanpa keraguan!
    Hanya orang yang tidak beriman akan meragui & tidak percaya.
    Dalil tentang kebangkitan semula ini sama ada:
    i- Dari sudut Syara’ (شرعا) Allah sebut dalam al-Quran & Nabi SAW sebut dalam hadis-hadisnya tentang bangkit semula.

    ii- Dari sudut akal (عقلا)- kita boleh lihat sendiri benda-benda mati yang hidup semula, yang kering-kontang apabila datang hujan tumbuh hidup semula. 
    Begitulah manusia di Akhirat kelak, itu kuasa Allah untuk menghidupkan kembali semua manusia, ianya senang bagi Allah kita wajib percaya & beriman denga apa yang disebut Allah SWT.
    Di akhir ayat Allah kata orang yang rugi ialah mereka yang tidak beriman! 
    Tetapi ingat orang yang beriman akan kerugian juga jika tidak meningkatkan keimanan & taqwa serta menambahkan amalan!
  1. Ayat 13- {Dan bagi Allah jualah apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.}-

    Yakni semuanya di bawah kuasa & pentadbiran Allah SWT, gelap dan cerah, malam & siang semuanya milik Allah.
    Kita yang hidup di negara dua musim ini pun dapat merasainya apatah lagi mereka yang hidup dalam negara empat musim yang mempunyai musim salji yang amat sejuk dan lain-lain. 
    Perbezaan waktu siang dan malam mereka amat ketara dari segi tempoh panjang pendeknya mengikut peredaran musim.
    Allah Maha Kaya yang menentukan tempat & masa bagi makhluk-Nya tetapi bagi Allah tiada ketetapan masa atau tempat, Allah berkuasa penuh dan tidak ada bandingan bagi-Nya.
    Kita hanya isbatkan apa yang Allah sebut & isbatkan apa yang telah Nabi SAW sebut, kerana kita tahu: { لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya)} [Az-Zumar: 42-11].

    Kita tidak menambah atau mengurangnya, bahkan kita tunduk akur & patuh kepada Allah & Rasulullah SAW.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat.
Jangan lupa sedekah kita untuk dakwah di Jepun masih dibuka semoga kita semua dapat memenuhi harapan & keperluan sahabat kita di sana.

Wakaf masjid boleh disalurkan kepada:
Maybank Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 5621-0669-8737 Rujukan: Wakaf.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs