View Categories

(5) Surah Al-A’raf : Ayat 10-15

BANYAK NIKMAT ALLAH, IBLIS DIARAH SUJUD KEPADA ADAM & DIHALAU DARI SYURGA.

Full video : https://youtu.be/S5699pkGf3s?si=xPoEHHFbiynHBTA8

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 10 sehingga 15 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa banyaknya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita manusia.
  1. Kemudian Allah ciptakan Adam dan ujian pertamanya Allah suruh malaikat & iblis sujud sebagai penghormatan kepada nabi Adam. Malaikat taat tetapi iblis enggan tak mahu.
  1. Iblis sombong takabbur berasa dia lebih mulia dari manusia, lalu dihalau dari syurga kerana sombong & ingkar perintah Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kewajipan manusia untuk menerima dakwah para nabi & rasul yang berada atas landasan fitrah yang benar.

    ii- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan kamu hidup atas dunia ini begitu banyak nikmat yang Allah beri, maka apa lagi yang kamu mahu???
    Ikutlah perintah Allah jangan derhaka agar kamu selamat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 10- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENETAPKAN KAMU (DAN MEMBERI KUASA) DI BUMI, DAN KAMI JADIKAN UNTUK KAMU PADANYA (BERBAGAI JALAN) PENGHIDUPAN (SUPAYA KAMU BERSYUKUR, TETAPI) AMATLAH SEDIKIT KAMU BERSYUKUR.} (AL-A’RAF 7:10)

  1. Allah kata Dia sediakan bumi ini untuk kamu wahai manusia! 
    Dia juga telah beri rezeki, nikmat, kuasa dan kemudahan yang amat banyak kepada manusia atas muka bumi ini, semuanya agar manusia bersyukur kepada Allah. 
    Tumbuhan, haiwan, logam galian dari perut bumi dan sebagainya.
    Manusia atas dunia ini ada di semua tempat, hatta di kutub utara, di dalam hutan, dalam laut, atas gunung dan sebagainya. 
    Pekerjaannya pula bermacam-macam ada yang begitu extreme dan bahaya, masya Allah.
  1. Allah telah permudahkan segala urusan manusial tetapi malangnya sedikit manusia yang bersyukur kepada Allah Pemberi segala nikmat itu! inilah yang dikatakan kufur nikmat.
  1. Kufur ada dua jenis:
    i- Kufur syirik kepada Allah, ini kafir terus.

    ii- Kufur nikmat yang Allah beri, ini kena semua kafir atau muslim. 
    Tidak mensyukurinya & salah guna nikmat yang diberi seperti salah guna kuasa, ilmu, kekuatan dan lain-lain.
  1. Firman Allah SWT juga:
    i- {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.} (Ibrahim 14:34)

    ii- {Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Nahl 16:18) 

    iii- {Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.} (Al-Baqarah 2:243)
    Yakni Allah mengatakan ramai manusia yang tidak bersyukur dalam ayat-ayat ini walaupun perkataan & gaya bahasa yang digunakan berbeza sedikit.
  1. Nota: Selepas Allah memerintahkan umat manusia supaya menurut perintah Allah SWT & melarang daripada mengikut yang lain, diterangkan juga kepada mereka akibat dari kederhakaan itu ialah kesengsaraan di dunia & azab di Akhirat. 
    Lalu Allah memperingatkan pula dalam ayat ini segala jenis nikmat-Nya supaya manusia bersyukur.

AYAT 11- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN KAMU, LALU KAMI MEMBENTUK RUPA KAMU, KEMUDIAN KAMI BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT-MALAIKAT: “SUJUDLAH KAMU KEPADA ADAM”, LALU MEREKA SUJUD MELAINKAN IBLIS, IA TIDAKLAH TERMASUK DALAM GOLONGAN YANG SUJUD.} (AL-A’RAF 7:11)

  1. Allah kata bahawa sesungguhnya Dia telah menjadikan kamu; kamu di sini ialah datuk kita Nabi Adam AS dan zuriat keturunannya.
    Lalu Allah membentuk rupa kita dengan indah dan cantik.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah ceritakan tentang nikmat secara umum yang dikurniakan kepada manusia. 

    ii- Dalam ayat ini adalah tentang nikmat penciptaan manusia. 
    Kemudian diterangkan tentang limpah kurnia yang dikurniakan kepada Nabi Adam lalu melimpah juga kepada anak-cucunya. 
    Serta dijelaskan permusuhan Iblis dan godaannya terhadap Nabi Adam supaya mereka beringat jangan ikut jalan syaitan musuh yang dikutuk oleh Allah SWT!
  1. Allah nyatakan diciptakan bentuk penciptaan manusia yang begitu indah & sempurna bentuk rupa dan perangainya.
    Tetapi sayangnya manusia yang kufur tidak syukur nikmat; mereka sendiri yang merosakkan diri mereka dengan merubah bentuk rupanya & berperangai seperti binatang!
    Tak percaya lihat dalam konsert hiburan maksiat, sama ada yang di atas pentas atau yang di bawah pentas, terkinja melompat seperti haiwan!
  1. Kemudian Allah memertintahkan para malaikat untuk bersujud tanda hormat kepada Adam manusia pertama. 
    Ini bukan sujud ibadat kerana sujud ibadat hanya kepada Allah SWT!
  1. Lalu semua malaikat bersujud kecuali Iblis yang enggan tidak mahu sujud. 
    Iblis tidak mahu sujud kerana takabbur dan bangga diri. 
    Ini adalah dua penyakit yang merosakkan manusia seperti iblis.

AYAT 12- {ALLAH BERFIRMAN: “APAKAH PENGHALANGNYA YANG MENYEKATMU DARIPADA SUJUD KETIKA AKU PERINTAHMU?” IBLIS MENJAWAB: “AKU LEBIH BAIK DARIPADA ADAM, ENGKAU (WAHAI TUHAN) JADIKAN DAKU DARI API SEDANG DIA ENGKAU JADIKAN DARI TANAH.”} (AL-A’RAF 7:12)

  1. Lalu Allah SWT bertanya kepada iblis kenapa (bakpo) kamu tidak sujud??? Apa halangannya? Kenapa tidak ikut perintah Aku?
    Ini pertanyaan mengherdik & marah.
  1. Iblis menjawab dengan penuh sombong dan agah, bahawa dia lebih baik daripada Adam, kerana Tuhan jadikan dia daripada api sedangkan Adam, Tuhan jadikan dari tanah.
  1. Iblis ini Allah nyatakan adalah berasal dari golongan jin yang dicipta dari api. 
    Api itu pula ada bermacam jenis sebagaimana yang Allah sebut dalam al-Quran. 
  1. Hadis riwayat UM Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ ». (رواه مسلم) Ertinya: “Malaikat itu diciptakan dari cahaya. Jin diciptakan dari api yang menyala-nyala, sedangkan Adam diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” (HR. Muslim).

    Iaitu Adam dicipta daripada tanah yang bercampur-campur. 
    Kerana itu manusia tak sama ada pelbagai bentuk rupa & warna.

AYAT 13- {ALLAH BERFIRMAN: “TURUNLAH ENGKAU DARI SYURGA INI, KERANA TIDAK PATUT ENGKAU BERLAKU SOMBONG DI DALAMNYA; OLEH SEBAB ITU KELUARLAH, SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI GOLONGAN YANG HINA”.} (AL-A’RAF 7:13)

  1. Kerana kesombongannya lalu Allah menghalau iblis keluar dari syurga dalam keadaan hina. 
    Ada yang kata dia dihalau dari langit juga, hanya yang baik-baik saja boleh berada di langit & syurga!
  1. Keluar kamu dari syurga kerana kamu derhaka & sombong! 
    Ini kerana orang yang sombong tidak layak untuk menjadi penghuni syurga, juga penghuni langit yang sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah.

AYAT 14- {IBLIS BERKATA: BERILAH TEMPOH KEPADAKU HINGGA HARI MEREKA DIBANGKITKAN (HARI KIAMAT)”.} (AL-A’RAF 7:14)

  1. Lalu iblis yang serba tahu itu membuat rayuan lagi, Iblis tahu mati itu sakit jadi tidak mahu mati lagi, minta tempoh hidup sehingga ke hari Kiamat, kira masuk neraka terus selepas mati. 
  1. Inilah orang yang sesat dengan ilmu, bukan tak tahu cuma tak mahu ikut kerana sombong, ikut nafsu & kepentingan duniawi. 
  1. Seperti suasana kita hari ini; tahu amalan ini Sunnah yang itu tidak Sunnah tetapi tekan juga suruh orang ikut SOP dia, atas alasan kerana nak selari dengan masyarakat. 
    Begitulah yang akan berlaku apabila tidak jujur dengan ilmu yang kita ada!

AYAT 15- {ALLAH BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI GOLONGAN YANG DIBERI TEMPOH (KE SUATU MASA YANG TERTENTU)”.} (AL-A’RAF 7:15)

  1. Lalu Allah memperkenankan permintaan si iblis, dia diberikan tempoh hidup sehingga ke suatu waktu tertentu.
  1. Iaitu waktu tiupan sangkakala yang pertama oleh malaikat, apabila semua makhluk atas dunia ini mati, maka iblis pun akan ikut mati! Tiada penangguhan lagi! 
  1. Begitulah juga kita semua manusia ini ada ajalnya dengan tempoh tertentu tidak akan ditangguhkan ataupun dilewatkan walaupun sesaat.
    Maka hiduplah kita atas dunia ini dengan musuh kita iblis sehingga ke hari Kiamat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan…}-

    Allah kata Dia beri peluang, ruang, segala kemudahan & rezeki kepada manusia atas muka bumi ini!
    Maka kamu bersyukurlah, jangan tak dengar kata, kamu lihatlah apa yang telah terjadi kepada penduduk negeri & umat terdahuu sebelum kamu! 
    Mereka telah dibinasakan oleh Allah dengan sebab sombong takabbur!
    Jangan kamu ulang alik balik apa yang telah dibuat oleh orang terdahulu! 
    Mereka telah dimurkai Allah lalu dibinasakan dengan sebab mereka kufur & tidak mensyukuri nikmat Allah ke atas mereka!
    Maka kita hati-hatilah jangan buat seperti mereka jika nak selamar dari azab & kemurkaan Allah SWT.
  1. Ayat 11- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.}-

    Allah nyatakan permusuhan besar yang berlaku antara makhluk ini iaitu pertembungan antara manusia & iblis. 
    Ayat ini memberi peringatan amaran supaya kita tidak lupa, tidak lalai bahawa di depan kita ada satu makhluk yang bernama Iblis. 
    Iblis ini kerjanya nak merosakkan anak Adam & ibadat mereka dengan mewaswaskan & meragukan kita terhadap Allah. 
    Iblis telah membuat perancangan dan strategi untuk semua jenis manusia.
    Ahli ibadat dengan caranya, ahli maksiat dengan caranya, ahli mungkar dengan caranya!
    Jika iblis hanya ganggu ahli maksiat pastilah ahli masjid akan selamat; tetapi tidak begitu!
    Akan dimasukinya melalui jalan lain iaitu dengan bisikan perasaan riya’, waswas, takabbur dan lain-lain.

    Untuk mengenali hakikat syaitan & iblis- jangan lupa baca buku Hakikat syaitan ini atau dengar kuliahnya oleh DDAAM:
    Kenali Hakikat Syaitan. https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
    Kemudian diceritakan malaikat yang patuh taat kepada Allah, terus bersjud kepada manusia.
    Maka timbul persoalah siapa yang lebih afdhal malaikat atau manusia?

    Jawapan:
    Para ulama’ mengatakan : Para nabi lebih afdhal daripada malaikat kepada Allah telah perintahkan malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam AS.
  1. Ayat 12- {Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?”…}-

    Allah SWT tanya dengan herdik, dengan marah kepada iblis, kenapa kamu tidak ikut perintah Allah untuk sujud hormat kepada Adam. 
    Apa yang menghalang kamu? 
    Bakpo tak buat??

    Dalam ayat lain Allah SWT berfirman:
    {Allah berfirman: “Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaan-Ku? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?”} (Saad 38:75)
    Kata ulama’ tadabbur : Berbezanya ibarat dalam ayat yang digunakan Allah untuk menunjukkan bahawa dalam satu maksiat iblis telah buat 3 kesalahan:
    i- Menyalahi arahan Allah SWT.

    ii Berlawan tak ikut jemaah iaitu para malaikat yang sujud.

    iii- Sombong takabbur merasakan dia lebih baik daripada Adam.
    Iblis menjawab pertanyaan & herdikan Allah ini dengan sombongnya:
  1. Ayat 12- {… Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”}-

    Iblis berbangga dengan keturunan & kejadian asalnya yang dicipta daripada api!
    Berasa hebat dan ganas.
    Hadis- dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ”.
    Maksudnya: “Barang siapa yang amalannya memperlambatkannya (untuk meraih kedudukan di sisi Allah), maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya.” [HR Muslim].

    Yakni sesiapa yang amalannya kurang/lemah, keturunannya sesekali tak boleh tolong dia ke syurga.  
    Hadis ini menjadi garis panduan bahawa keturunan tidak membantu timbangan amalan baik.
    Bahkan seandainya keturunan Nabi SAW melakukan kesalahan, ia tetap dihukum dan tidak boleh dibela, atau jika amalannya tidak ikut Sunnah maka dia tidak boleh diikuti. 
    Jadi takabbur & sombong menjadi punca kerosakan iblis dan juga sumber kerosakan kita manusia.
  1. Ayat 13- {Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya;…}-

    Allah halau iblis keluar dari syurga kerana dia telah berlaku sombong & takabbur. 
    Ayat ini menunjukkan bahawa:
    i- Di dalam syurga tidak ada orang yang bersifat sombong;

    ii- Dan orang yang sombong atas dunia tidak akan layak untuk masuk syurga & berada di langit.
    Kerana itulah iblis dihalau dari syurga & ditendang dari langit!

    Hadis- riwayat dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat zarah”. [HR Muslim].

    Allah beri peringatan kepada kita agar insaf & sedar; jangan sesekali ambil dan tiru sifat iblis yang dilaknat Allah SWT! 
    Sebagaimana terdapat hukum ta’zir untuk buang daerah bagi penjenayah kes tertentu, begitulah iblis dihalau dibuang daerah dari syurga & langit kerana kesalahannya.
    Tetapi iblis ini keras kepala walaupun sudah dicampak keluar dari syurga dan dihalau ke bumi dia tetap berbuat jahat kepada manusia pula! 
    Lima kali dalam al-Quran iblis bersumpah untuk sesatkan anak-cucu Adam ini!
  1. Ayat 14- {Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.}…

    Iblis minta tangguh tak mahu mati lagi, nak tunggu sehingga hari Kiamat.
    Lalu Allah perkenankan permintaannya itu, panjang umur sehingga ke hari Kiamat. 
    Tetapi bukan Allah semata-mata terima doanya, itu adalah ketentuan atau taqdir Allah sejak dari awal lagi untuk iblis terus hidup di kalangan manusia sehingga ke hari Kiamat. 

    Persoalan:
    Kata ulama’ apakah hikmah ditangguhkan kemusnahan iblis sehingga ke hari Kiamat, sedangkan dia adalah punca fitnah & kerosakan manusia atas dunia ini!

    Jawapan:
    Ini kerana dunia adalah medan ujian, jika tiada iblis & nafsu tiadalah cabaran & godaan!
    Dengan adanya iblis kita boleh tahu kita kuat atau lemah! 
    Sanggup melawan cabaran untuk hadir ke masjid solat jemaah, hadir kuliah & majlis ilmu dan lain-lain kebaikan serta tinggalkan segala keburukan.
    Kekuatan seorang manusia yang beriman duduk dalam hati bukan duduk di kaki! 
    Bila hati kuat & dapat lawan godaan iblis maka barulah nampak hebatnya kita manusia! 

    Penjelasan tambahan:
    Telah termaktub di Lauh Mahfuz bahawa iblis akan kekal sehingga ke hari Kiamat.
    Allah telah tetapkan begitu bukan kerana Allah perkenankan permintaan iblis itu. 
    Taqdir iblis adalah hidup panjang umur atas dan ini sehingga ke hari Kiamat sebagai ujian untuk kita manusia! 
    Ada orang silap faham & silap cakap, niat nak buat motivasi: Kita berdoalah tuan-puan, iblis yang dilaknat itu pun Allah terima doanya! 
    Ini tidak tepat!

    Allah jawab itu sebagai perkara yang telah berlaku, bukan perkenankan doa permintaannya tetapi nak beritahu memang begitu Allah telah tetapkan taqdirnya iblis. Apa yang iblis minta itu memang telah ditetapkan sejak asal lagi.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita yang ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs