View Categories

(50) Surah Al-A’raf : Ayat 171-174

Bukit Diangkat Ke Atas Bani Israil, Perjanjian Tauhid Di Alam Zuriat & Mengikut Tok Nenek.

Full video : https://youtu.be/Fb4Sd207inY?si=mkawXHxNomMoocJ1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 171-174 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan betapa keras kepala degilnya bani Israil sehingga peringkat malaikat angkat bukit ke atas bani Israil, ancam mereka samada nak beriman atau tidak!
  1. Allah telah buat perjanjian tauhid di alam zuriat dengan hamba-Nya, di mana semua mengaku akan ketuhanan & keEsaan Allah SWT.
  1. Tapi apa boleh buat apabila hilang ujian, mereka kata mereka menjadi syirik sebab ikut tok nenek.
    Ini adalah salah satu alasan yang paling masyhur dan karut.
    Ikut agama tok nenek inilah satu alasan yang membodohkan fikiran dan memandulkan akal kerana tak tahu apa!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perjanjian yang dibuat dengan Bani Israil supaya mereka ambil ikatan bahawa mereka hanya akan bercakap yang benar, Tetapi malangnya mereka ini tidak tunai janji itu, seleweng fakta & khianat!

    ii- Maka Allah SWT ancam mereka dengan memerintah malaikat untuk angkat bukit/gunung Tursina yang besar atas kampung mereka, seolah awan gelap membayangi atas mereka.
    Jika malaikat lepaskan bukit itu pasti akan jatuh menghempap atas kepala mereka, barulah mereka berjanji untuk terima Taurat lalu tunduk sujud dengan terpaksa.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 171- {DAN (INGATLAH WAHAI MUHAMMAD) KETIKA KAMI MENGANGKAT GUNUNG (TURSINA) KE ATAS MEREKA (BANI ISRAIL) SEOLAH-OLAH GUNUNG ITU AWAN (YANG MENAUNGI MEREKA) DAN MEREKA YAKIN BAHAWA GUNUNG ITU AKAN JATUH MENIMPA MEREKA, (SAMBIL KAMI BERFIRMAN KEPADA MEREKA): “TERIMALAH DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (KITAB TAURAT) YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA KAMU DAN INGATLAH (AMALKANLAH) APA YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA, SUPAYA KAMU MENJADI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA”.} (AL-A’RAF 7:171)

  1. Allah SWT mengisahkan kepada Rasulullah SAW tentang kisah bani Israil yang tidak mahu beriman dan menerima hukum Taurat, di mana Allah mengangkat bukit Tursina & mengancam untuk menjatuhkannya ke atas mereka!
  1. Mengikut perjanjian awalnya: Allah perintahkan mereka ambil, terima dan beramal Taurat dengan semangat & bersungguh serta beramal dengan apa yang ada di dalamnya jangan cuai & melampaui jangan ditambah dikurang.
  1. Kamu kena ambil semua isi kandungan Taurat dari segi aqidah, hukum-hakam, arahan ikut, larangan ditinggalkan, kena belajar & talaqqi Taurat supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa, yang beramal dengan kitab Taurat.
  1. Nota 249: Allah mengambil perjanjian setia dengan kaum Bani Israil supaya mereka mengamalkan Taurat.
    Apabila mereka mencabuli perjanjian ini, Allah perintahkan malaikat mengangkat bukit Tursina terawang-awangan memayungi di atas mereka sehingga mereka gerun, gementar serta yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka; lalu masing-masing pun merebahkan diri sujud sambil mengaku untuk mengamalkan isi kandungan Taurat.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dan Kami telah mengangkat “Gunung Tursina” ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).} (An-Nisa’ 4:154)

AYAT 172- {DAN (INGATLAH WAHAI MUHAMMAD) KETIKA TUHANMU MENGELUARKAN ZURIAT ANAK-ANAK ADAM (TURUN-TEMURUN) DARI (TULANG) BELAKANG MEREKA, DAN IA JADIKAN MEREKA SAKSI TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI, (SAMBIL IA BERTANYA DENGAN FIRMANNYA): “BUKANKAH AKU TUHAN KAMU?” MEREKA SEMUA MENJAWAB: “BENAR (ENGKAULAH TUHAN KAMI), KAMI MENJADI SAKSI”. YANG DEMIKIAN SUPAYA KAMU TIDAK BERKATA PADA HARI KIAMAT KELAK: “SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH LALAI (TIDAK DIBERI PERINGATAN) TENTANG (HAKIKAT TAUHID) INI”.} (AL-A’RAF 7:172)

  1. Ayat ini membawa perjanjian umum antara Allah dengan semua manusia.
    Allah keluarkan zuriat bani Adam, sebahagiannya datang dari belakang yang lain, yakni semua manusia keluar dari sulbi setiap yang lain bermula dari Nabi Adam lagi, jadi bersambung-sambung keturunannya.
  1. Allah buat perjanjian ini bahawa Allah cipta manusia agar mereka kenal Allah sebagai Tuhan.
    Hikmah Allah buat perjanjian ini: Allah sebagai Tuhan, sebagai Pentadbir dan bukan orang lain. Maka pada hari Kiamat ini adalah dalil & bukti bahawa dari segi fitrah semua manusia mengakui bahawa Allah itu Tuhan mereka.
  1. Oleh kerana ia adalah kejadian di alam ghaib, maka kita tidak tahu dengan pasti tidak boleh analisa saja, kena rujuk kepada nas-nas yang sahih seperti hadis Nabi SAW:-
    i- Nabi SAW bersabda:
    إنَّ اللهَ خلق آدمَ ثُمَّ مسح ظهرَهُ فاستخرج منهُ ذريتَهُ
    Maksudnya: Sesungguhnya Allah menciptakan Nabi Adam, kemudian Dia mengusap belakang baginda, lalu mengeluarkan keturunan baginda daripadanya. [HR at-Tirmizi].

    ii- Dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
    Allah telah ambil perjanjian dari belakang nabi Adam di Arafah, kemudian dikeluarkan zuriatnya diletakkan di hadapan, kemudian Allah bertanya kepada mereka: {“Bukankah Aku tuhan kamu?- أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْٓ}
    Kemudian zuriat itu semuanya menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. {
    قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ}
    [HR Ahmad].
  1. Faedah Allah buat perjanjian ini adalah bahawa Allah telah telah meletakkan hujjah ke atas setiap jiwa bahawa kita telah berjanji, ikat taat-setia bahawa semuanya mengaku Allah sebagai Tuhan, sebagai Rabb yang patut disembah, sebagai Pencita, Pentadbir dan bukan yang lain selain-Nya.
  1. Semasa di alam zuriat: Semua manusia ini telah menjawab dan mengakui Allah sebagai Tuhan, maka di Akhirat kelak jangan lagi kamu buat alasan bahawa kamu lalai tidak tahu kerana tidak diberi peringatan tentang hakikat tauhid keEsaan Allah SWT!
  1. Apabila Allah bertanya itu mereka menjawabnya dan menjadi saksi ke atas diri mereka sendiri, agar mereka jangan dakwa kata di Akhirat kelak bahawa mereka lalai tidak tahu & tidak diberi peringatan tentangnya.
  1. Uslub bahasa Arab, jika ditanya dengan ayat tanya, {Bukankah– أَلَسْتُ}, kena jawab dengan perkataan {bahkan, benar, بَلَىٰ}- bukan ya atau tidak (نعم / لا)! Inilah uslub yang digunakan oleh al-Quran, hadis Nabi SAW & bahasa Arab.
  1. Sudah ada perjanjian antara kita & Allah semasa di alam zuriat, inilah ayat yang memberi ikatan kepada kita tidak boleh lari dari tauhid. Tidak boleh lari lagi atau memberi hujjah dan alasan tidak tahu, lalai & tidak diberitahu oleh para nabi & pendakwah yang ada.

AYAT 173- {ATAU SUPAYA KAMU TIDAK MENGATAKAN:” SESUNGGUHNYA IBU BAPA KAMILAH YANG MELAKUKAN SYIRIK DAHULU SEDANG KAMI IALAH KETURUNAN (MEREKA) YANG DATANG KEMUDIAN DARIPADA MEREKA. OLEH ITU, PATUTKAH ENGKAU (WAHAI TUHAN KAMI) HENDAK MEMBINASAKAN KAMI DISEBABKAN PERBUATAN ORANG-ORANG YANG SESAT ITU?”} (AL-A’RAF 7:173)

  1. Agar kamu jangan kata ibu bapa kami dululah yang melakukan syirik!
    Yakni agar kamu tidak memberi alasan & hujjah, kami hanya mengikut perbuatan & amalam tok nenek kami, kenapa salah????
    Patutkah Tuhan nak binasakan kami dengan sebab ikut amalan mereka yang dulu itu!!!
  1. Yakni Allah telah memberi peringatan & amaran dari awal lagi bahawa hujjah & alasan ini tidak akan diterima sama sekali, jangan kamu cuba nak gunanya!
  1. Inilah alasan yang digunakan oleh orang yang sesat & syirik sejak dari dulu dan sehingga kini!
    Hujjah ikut ajaran tok nenek ini adalah hujjah kedua selepas hujjah orang yang lalai {غَـٰفِلِينَ} dulu.
  1. Tugas para pendakwah adalah sebagai filter untuk menapis dan menjernihkan kembali air (suasana) yang keruh itu!
    Bukan nak mengeruhkan suasana seperti dituduh oleh mereka yang ingkar itu, kerana air sudah sedia keruh, kita tegur & beri peringatan untuk menjernihkannya kembali!
  1. Sebagaimana Syari’ah itu adalah aliran yang jernih yang menyuburkan hati manusia dengan keimanan. Ia akan menjadi keruh dengan syirik & kesesatan.

AYAT 174- {DAN DEMIKIANLAH KAMI MENJELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SATU PERSATU (SUPAYA NYATA SEGALA KEBENARAN), DAN SUPAYA MEREKA KEMBALI (KEPADA KEBENARAN).}

  1. Allah kata DIA telah nyatakan dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan tentang tauhid & keEsaan Allah Azza wa Jalla.
  1. Antaranya ialah seperti firman Allah ini:
    i- {Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.} (Al-A’raf 7:32)

    ii- {Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).} (Yunus 10:24)

    iii- {Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.} (Ar-Rum 30:24)
    Dalam tiga ayat ini Allah menyatakan tiga sifat orang boleh mendapat manfaat daripada ayat-ayat keterangan yang Allah bawa iaitu:
    i- {Bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ}

    ii- {Bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).- لِقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ}

    iii- {Bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.- لِّقَوْمٍۢ يَعْقِلُونَ}
  1. Allah nyatakan ayat-ayat keterangan ini supaya manusia tinggalkan maksiat & syirik kembali kepada kebenaran, kepada tauhid & ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla.
  1. Orang akan mendapat manfaat daripada apa yang Allah nyatakan ini hanyalah orang yang ada akal, yang ada ilmu & yang berfikir.
    Tetapi jika manusia yang tertutup hatinya, cakap apa saja hujjah mereka tidak akan dapat terimanya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 171- {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil)…}-

    Bukit Tursina yang besar diangkat di atas kepala mereka.
    Kata ulama’ tadabbur : Ini menunjukkan satu tanda kekuasaan Allah SWT.
    Juga menunjukkan betapa kerasnya hati bani Israil sehingga terpaksa diangkat bukit untuk menakutkan mereka!
    Apabila sudah takut mereka terpaksa akur menerima, tetapi ini menunjukkan mereka tidak ikhlas terima kerana takut akan ugutan & ancaman yang dahsyat itu!
    Kerana itu ada sebahagian insaf takut sungguh manakala sebahagian lagi hanya sujud dengan sebelah mata.
    Orang yang mahu menerima sendiri dengan ikhlas tak perlu kepada ugutan dan ancaman, kemukakan hujjah mereka boleh terima!
    Kita sebagai umat Islam yang mulia, cukuplah kita terima al-Quran dengan ikhlas tanpa perlu diugut diancam!
    Kita terima al-Quran, kita belajar mengaji & tadabbur al-Quran.
    Betap semangat sesetengah orang dalam masyarakat kita untuk belajar al-Quran, sanggup membayar untuk masuk kelas al-Quran khas, one by one.
    Apabila hati kita telah terbuka untuk menerima al-Quran maka kita belajarlah dengan cara yang betul, dari kelas khas kepada kelas ramai-ramai.
    Tetapi jangan tersilap, tergoda dengan tablis iblis, belajar al-Quran jangan silang jantina, niat baik dah nak belajar al-Quran tetapi jadi ikhtilat pula berdua-duan dengan ustaz/ustazah! Allahu al-Musta’an.
    Bukit Tursina ini sinonim dengan bani Israil, betapa berikut yang besar lagi kerasa & berat itu dapat dicabut, diangkat ke atas kepala mereka, menunjukkan betapa keras & degilnya hati mereka!
    Keras bukit boleh diangkat, batu yang keras boleh terbelah keluar air, tetapi hati bani Israil, kerasnya tiada ubat!
    Satu demi satu kerenahnya yang keluar!
  1. Ayat 171- {… “Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya,…}-

    Kamu terimalah Taurat ini kuat, dengan semangat dan bersungguh.
    Kata ulama’ maksudnya : Bersungguh dengan kekuatan jiwa untuk baca, belajar lalu faham dan beramal dengannya!
    Tujuanya untuk membersihkan jiwa & hati.
    Jika dibuat main-main akan menjadikan hati kita tidak solid penuh beriman kepada Allah SWT dan menerima perundangan kitab itu untuk diamalkan!
    Difahami daripada ayat ini bahawa apabila kita terima al-Quran, kita kena ambilnya dengan sungguh, belajar, baca, fahami & tadabbur serta beramal dengannya.
    Selagi kita tak pandai dan tak faham kena belajar & mengaji!
    Selagi tak faham kena baca & tadabbur!
    Selagi tak boleh nak amalkannya kita kena berusaha sedaya-upaya.
    Jangan hanya jadi slogan sahaja: Baca, Amal & Faham!
    Tetapi tidak pada perbuatannya- perangai kita jauh dari akhlak ahli atau pembawa al-Quran.
    Kita baca dan faham tetapi tak beramal dengan al-Quran, nanti al-Quran akan mendakwa kita.
    Nak mengaji al-Quran ini kena kuat apatah lagi nak menghafaz al-Quran.
    Kerana itu nasihat kepada anak-anak tahfiz, nak hafaz al-Quran ini berat!
    Kena kuat jiwa, kuat kehendak & semangat serta kena kuat juga sokongan dan bantuan dari keluarga, orang sekeliling dan persekitaran.
  1. Ayat 172- {Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.}-

    Ingatlah ketika Allah ambil perjanjian dengan manusia sejak dari zaman Nabi Adam lagi.
    Allah nyatakan bahawa perjanjian itu ialah siapakah Tuhan & setiap manusia jawab: Allah.
    Ini bukti bahawa setiap manusia di atas fitrah, jiwa yang bersih akan mengakui & terima adanya Tuhan, Allah.
    Kerana ini orang bukan Islam yang jiwa masih bersih belum diracuni dengan fikiran jahat- mereka akan mudah menerima hidayah Islam. Kerana dalam hati mereka sudah ada dilalatul-fitrah (دلالة الفطرة).
    Hadis Nabi SAW :
    كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
    Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. [HR al-Bukhari: 1385].
    Kerana itu ibu bapa nak hantar anak belajar di mana-mana lihat & siasat dulu.
    Apakah silibus yang diajar, apakah doktrin & ritual yang dibuat??
    Apakah bertepatan dengan ajaran yang dibawa al-Quran & berte[atan dengan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW???
    Dilalatul fitrah (دلالة الفطرة) menunjukkan manusia mengakui Allah adalah sebagai Tuhan- tetapi apa boleh buat ramai yang telah rosak & dirosakkan dari tauhid yang suci ini oleh syaitan.
  1. Ayat 172- {…”Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.}-

    Manusia secara fitrahnya mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan mereka menjadi saksinya ke atas diri sendiri.
    Pengakuan itu kena ikhlas dari seseorang itu sendiri, dia sendiri yang mengakuinya.
    Jika dipaksa tak jadi, hanya berpura-pura kerana terpaksa bukan lahir dari hati yang ikhlas.
    Kerana itu dalam Islam pengakuan dari diri sendiri diterima tetapi sebagai hujjah yang lemah, hanya untuk dirinya sahaja.
    Contoh seseorang itu mengaku dia buat kesalahan sekian-sekina maka boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya sahaja.
    Untuk digunakan bagi menghukum orang lain dengan pengakuannya saja tidak boleh, kena ada saksi dan bukti-bukti yang tertentu pula!
    Sudah ada dalam Islam itu perjanjian yang dibuat oleh Allah SWT dengan semua manusia. Sebagaimana hadis tadi, semua manusia dilahirkan atas agama ini dan menerimanya!
    Tetapi apa boleh buat selepas itu ramai manusia yang terpesong, terseleweng daripada asas aqidah & tauhid yang benar ini.
    Ramai para ulama’ telah menghurai & menjelaskannya.
    Maka ibu bapa yang anaknya sudah berada di atas fitrah yang baik, sudah belajar agama, maka teruskannya jangan tukar chanelnya.
    Kerana sayang sekali ramai dari kalangan kita yang ibu bapanya adalah orang agama atau ustaz, tetapi anak-anak tidak ada seorangpun ambil bidang/jurusan agama.
    Hakikatnya kita boleh lihat betapa banyak pondok-pondok besar yang terpaksa ditutup apabila tok gurunya tiada, kitab-kitab terpkasa disedekah dan diwaqafkan kerana tiada dari anak-cucunya yang dapat menyambung legasi pengajian agama.
  1. Ayat 173- {Atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka.}-

    Mereka mengakui bahawa tok-nenek mereka dulu sudah syirik, maka mereka pun ikutnya!
    Bahayanya agama tok-nenek, ikut buta-tuli, ikut tak ikut apa yang Allah SWT tetapi semata-mata kerana orang lain buat!
    Begitulah sebahagian masyarakat kita ini berpegang dengan ajaran tok-nenek!
    Inilah hujjah salah yang selalu digunakan, tok-nenek kita dulu lama dah buat, amalkan perkara ini, kenapa nak tegur dan nak larang; jangan cuba nak mengeruhkan suasana!
    Kita tegur bukan kerana nak mengeruhkan suasana- tetapi kita nak jernihkan semula air yang keruh itu agar mereka kembali semula kepada fitrah yang suci, kepada Syari’ah Allah yang jernih!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini- semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs