View Categories

(51) Surah Al-A’raf : Ayat 175-178

Ahli Ilmu Yang Ikut Nafsu Seperti Anjing, Pengikut Syaitan & Hidayah Milik Allah.

Full video : https://youtu.be/u2djYLh7kzM?si=bnnF9lIfQqC-rpSE

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 175 sehingga 178, dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan ahli ilmu yang ikut nafsu.
    Bandingan mereka ini seperti anjing, jeleknya bandingan untuk ahli ilmu yang seleweng kerana amat bahaya, orang akan ikut kesesatan & penyelewengan mereka!
    Walaupun bandingan ini buruk tetapi keji & buruk lagi perbuatan mereka itu kerana jika orang jahil buat, masyarakat tak akan ikut mudah-mudah.
  1. Mereka ini akhirnya akan menjadi pengikut syaitan & hamba hawa nafsu.
  1. Di akhir ayat Allah kata hidayah itu milik Allah. Walaupun orang itu ada ilmu tetapi jika ilmu tidak dapat membawanya ke jalan yang benar, maka dia tidak akan dapat hidayah. Kerana itu sentiasalah kita berdoa agar Allah tetapkan kita atas iman.
    يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ-
    “Wahai Zat yang Maha membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Allah telah kumpul semua manusia di alam zuriat & buat perjanjian dengan mereka dan semua mereka mengaku bahawa Allah SWT itu Tuhan.
    Mereka juga telah menetapkan Ketuhanan & Ketuanan Allah SWT.
    Kemudian datang selepas itu puak yang kufur seperti yahudi, yang tahu dalam kitab Taurat mereka tentang sifat Nabi SAW lalu mereka menunggu kebangkitannya.
    Tetapi malangnya selepas Nabi SAW dibangkitkan mereka kufur ingkar tidak mahu beriman dengannya pula!
    Inilah kejahatan orang yang tahu tapi ingkar, tahu tapi tak ikut. Orang mengaji tak beramal; jahatnya merosakkan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah SWT cela ahli kitab dengan satu contoh yang jelek & keji; siapa yang tahu ada ilmu tetapi tak ikut ilmunya adalah seperti anjing yang terjelir lidahnya pada setiap masa!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 175- {DAN BACAKANLAH KEPADA MEREKA (WAHAI MUHAMMAD), KHABAR BERITA SEORANG YANG KAMI BERI KEPADANYA (PENGETAHUAN MENGENAI) AYAT-AYAT (KITAB) KAMI. KEMUDIAN IA MENJADIKAN DIRINYA TERKELUAR DARI MEMATUHINYA, LALU IA DIIKUTI OLEH SYAITAN (DENGAN GODAANNYA), MAKA MENJADILAH DARI ORANG-ORANG YANG SESAT.} (AL-A’RAAF 7:175)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk bacakan kepada kaum Quraisy & yahudi khabar berita tentang orang yang ada ilmu melalui kitab Allah SWT tetapi dia tidak ikut & tidak beramal dengan ilmunya itu!
  1. Kata ulama’ tafsir : Maksud ayat-ayat kami {ءَايَـٰتِنَا} ialah sama ada:
    i- Ayat Syari’ah yang diturunkan Allah Azza wa Jalla melalui kitab seperti Taurat & al-Quran.

    ii- Juga ayat-ayat tanda yang menunjukkan bukti keEsaan & kekuasaan Allah SWT.
  1. Maka ulama’ tafsir seperti Ibnu Jarir berkata :
    Ayat-ayat Allah itu luas sama ada ayat Kitab yang turun seperti wahyu atau ayat yang boleh dilihat iaitu dalil kekuasaan Allah seperti hujan, langit, bukit bukau dan lain-lain.Itu semua itu kuasa Allah Azza wa Jalla yang tiada siapa boleh halang apabila Allah nak tunjuk sesuatu yang ajaib & pelik.
  1. Secara spesifik, siapakah mereka ini
    {ٱلَّذِىٓ ءَاتَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنْهَا}
    Ada dua versi tentang orang tahu tetapi menyeleweng ini:
    i- Kata Ibnu Asyur : Ramai ahli tafsir berpendapat bahawa:
    Ayat ini turun ke atas seorang lelaki dari kabilah Kan’an, kaum bani Israil pada zaman Nabi Musa AS.
    Namanya Bal’am bin Ba’ura (بلعام بن باعوراء), seorang ulama yang ada pengetahuan luas tentang ilmu dunia dan tentang kitab yang diturunkan dahulu.
    Panjang ceritanya yang mahu berlawan dengan Nabi Musa dan lain-lain, tetapi dia telah kerugian dunia & Akhirat.

    ii- Ibnu Kathir pula mengatakan : Dari Abdullah bin Umar RA : Ayat ini diturunkan kepada Umayyah bin Abi As-Solt (أمية بن أبي الصلت).
    Dia seorang yang belajar ilmu kitab-kitab yang terdahulu seperti kitab Injil & Taurat.
    Kemudian apabila dia berjumpa dengan Rasulullah SAW, dia dapati bertepatan sifat Nabi SAW & kebenarannya dengan apa yang ada dalam kitab-kitab itu!
    Tetapi dia tidak mengakui kebenaran Baginda dan kerasulannya.
    Dia masuk duduk bersama puak kafir menentang Rasulullah SAW.
    Bahkan sempat menulis syair sedih meratapi kematian Abu Jahal & gengnya dalam perang Badar!
  1. Untuk siapakah ayat ini tak jadi masalah,
    Kata Ibnu Jarir : Apa yang penting ayat ini Allah SWT suruh Nabi SAW baca kepada umatnya cerita tentang kaum terdahulu yang tahu & ada ilmu tetapi ingkar!
    Tidak kiralah siapa mereka sama ada Bal’am atau Umayyah atau siapa saja yang berwatak seperti itu, maka dialah orang itu!
    Watak ini sentiasa ada pada setiap zaman dan di mana-mana, iaitu mereka yang tahu tentang kebenaran ayat-ayat Allah tetapi menyelewengkannya, ada ilmu tetapi tak ikut & beramal dengannya!
  1. Mereka ini akhirnya menjadikan diri mereka terkeluar {فَٱنسَلَخَ} dari ilmu mereka & kebenaran. Yakni ahli ilmu keluar meninggalkan ilmu yang Allah beri kepadanya dulu, tidak terikat lagi dengan ilmunya dan terlepas bebas, bahkan ikut syaitan pula.
    Allah gambarkan mereka keluar itu dengan perkataan {ٱنسَلَخَ} yang bermaksud seolah ular yang keluar dari kulitnya apabila ia bersalin kulit baru.
  1. Hadis riwayat Huzaifah RA sabda Rasulullah SAW :
    إن ما أتخوف عليكم رجل قرأ القرآن حتى إذا رئيت بهجته عليه وكان ردئا للإسلام غيره إلى ماشاء الله فانسلخ منه ونبذه وراء ظهره وسعى على جاره بالسيف ورماه بالشرك، قال قلت يا نبي الله أيهما أولى بالشرك المرمي أم الرامي قال بل الرامي
    Maksudnya: “Di antara hal yang sangat aku takut menimpa kamu semua adalah seorang lelaki yang rajin membaca Al-Quran hingga terlihat sangat indah dari luarnya, dan dia sangat semangat membantu agama Islam.
    Kemudian dia mengubah arah tujuannya, melepas diri dari Al-Quran, dan melempar apa yang dia telah baca ke belakangnya.
    Sehingga dia keluar ke rumah jirannya dengan menghunuskan pedang dan menuduhnya melakukan perbuatan syirik.”.
    Huzaifah bertanya, “Wahai Rasulullah, siapa yang lebih berhak mendapatkan gelaran syirik itu, orang yang menuduh atau yang tertuduh?”
    Rasulullah menjawab, “Orang yang menuduh lebih berhak mendapatkan gelaran syirik.”
    [HR Ibnu Hibban dan lain-lain, sanadnya jayyid.]
  1. Lalu dia akan diikuti oleh syaitan untuk menyesatkannya dan akhirnya syaitan berjaya menggodanya, akhirnya dia menjadi pengikut syaitan dan sesatlah dari jalan yang benar, itulah orang yang tidak beramal dengan ilmunya!
    Berhati-hati dan banyak berdoalah kita sebagai penuntut ilmu kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di depan hari!

AYAT 176- {DAN KALAU KAMI KEHENDAKI NESCAYA KAMI TINGGIKAN PANGKATNYA DENGAN (SEBAB MENGAMALKAN) AYAT-AYAT ITU. TETAPI IA BERMATI-MATI CENDERUNG KEPADA DUNIA DAN MENURUT HAWA NAFSUNYA;….} (AL-A’RAF 7:176)

  1. Orang yang ada ilmu sepatutnya Allah angkat darjatnya, tetapi tidak begitu kerana dia cenderung kepada dunia & ikut hawa nafsu.
  1. Punca rosaknya manusia atas dunia ini kerana ikut nafsu, nak harta, nak pangkat, nak segala habuan dunia lalu lanyak segala benda asal dapat apa yang diingini!
    Halal haram jangan ditanya; semuaya dirempuh, membujur lalu, melintang patah!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah kata orang ini syaitan datang ikut dia, serang & godanya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah kata sebenarnya syaitan itu lemah dan Allah boleh angkat darjat orang itu dengan jaganya dari syaitan!
    Tetapi oleh kerana dia seorang yang tidak beramal dengan ilmunya, maka dia ikut syaitan. Sepatutnya syaitan tunduk & lemah kepadanya, tetapi sebaliknya berlaku, orang yang ada ilmu ikut syaitan!
  1. Allah kata jika Dia mahu, Dia akan angkat darjat ahli ilmu dengan diberi taufiq untuk beramal dan menyebarkan ayat-ayat Allah.
    Tetapi dia lebih cenderung kepada dunia, maka binasa & rosaklah seorang ahli ilmu, seorang yang alim dengan sebab cenderung kepada dunia & isi kandungannya.
  1. Berhati-hatilah kita sendiri pun, kerana hakikatnya terdapat orang berkedudukan yang berasal dari anak cucu alim ulama’ dan mereka sendiri pun belajar agama; tetapi apabila kita lihat kepada gaya hidupnya, keluarganya, anak isterinya, semua itu tidak mencerminkan sifat orang yang ada agama & ilmu, perkara simple seperti tutup aurat pun tak boleh nak selesai!!! Allahu al-Musta’an.

AYAT 176- {… MAKA BANDINGANNYA ADALAH SEPERTI ANJING, JIKA ENGKAU MENGHALAUNYA: IA MENGHULURKAN LIDAHNYA TERMENGAH-MENGAH, DAN JIKA ENGKAU MEMBIARKANNYA: IA JUGA MENGHULURKAN LIDAHNYA TERMENGAH-MENGAH. DEMIKIANLAH BANDINGAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI. MAKA CERITAKANLAH KISAH-KISAH ITU SUPAYA MEREKA BERFIKIR.} (AL-A’RAF 7:176)

  1. Iaitu bandingannya seperti seperti anjing yang jika jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah, yakni tak tau apa dok terjelir lidah sokmo!
  1. Maka Allah buat bandingan orang yang diberi ilmu tetapi tidak beramal dengannya atau yang lebih teruk lagi menentang pula (berlawanan perbuatan) dengan ilmunya!
  1. Anjing ini dibuat bandingan sebagai binatang yang buruk, tetapi ia menjadi kesayangan dan belaan orang kafir dimana-mana saja atas dunia ini.
    Bahkan dijaga dibela seperti anak sendiri!
  1. Begitulah bandingan bagi sesiapa yang derhaka & mendustakan ayat-ayat Allah Azza wa Jalla!
    Bahasa al-Quran ini amat keras kepada orang yang derhaka.
    Walaupun kita dilarang menggelar manusia dengan binatang tetapi dalam isu ini Allah SWT sendiri yang membuat bandingan orang yang menyeleweng dari ilmunya! Bagi orang yang buruk perangainya sedemikian layak dibandingkan dengan anjing!
  1. Tetapi kita tidak perlu & jangan menganjingkan orang pula, cukup dengan bandingan yang Allah buat dalam al-Quran sebagai ibrah pengajaran untuk diambil jangan berani buat perkara yang dimurkain Allah SWT!
  1. Allah suruh Rasulullah SAW ceritakan kepada kaum Quraisy, kepada kaum yahudi dan semua umatnya; apa yang ada & diceritakan dalam al-Quran tentang perangai buruk & perbuatan jelek jahat tok nenek mereka terdahulu atau orang tua di kalangan mereka untuk menjadi iktibar & pengajaran.

AYAT 177- {AMATLAH BURUKNYA BANDINGAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI, DAN MEREKA PULA BERLAKU ZALIM KEPADA DIRI MERELA SENDIRI.} (AL-A’RAF 7:177)

  1. Begitulah amat buruk bandingan yang Allah buat bagi mereka yang:
    i- Mendustakan ayat-ayat Kami,

    ii- Dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.
    Orang yang zalim ialah orang yang menzalimi diri sendiri dengan buat mungkar, maksiat dan segala kekarutan!
  1. Hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA : Nabi SAW buat bandingan orang yang beri benda kepada orang kemudian tarik baliknya; seperti anjing yang jilat muntahnya sendiri. [HR Bukhari & Muslim]
    Manakala dalam pepatah Melayu: Orang yang menjilat ludah sendiri ialah; seseorang yang melakukan sesuatu atau mengambil keputusan yang terbalik dengan perkataannya sendiri.
    Orang tersebut dinilai tidak boleh memegang perkataannya sendiri, serta tidak memiliki pendirian yang tetap sehingga dapat memberikan kerugian bagi orang lain di sekitarnya.

AYAT 178- {SESIAPA YANG DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN SEBAB PERSEDIAANNYA) MAKA DIA LAH YANG BEROLEH PETUNJUK; DAN SESIAPA YANG DISESATKAN OLEH ALLAH (DENGAN SEBAB KEINGKARANNYA) MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-A’RAF 7:178)

  1. Allah sebut di sini orang yang dapat petunjuk alhamdulillah, mereka belajar & ikut.
  1. Manakala orang sesat, tak boleh nak buat apa dah, mereka belajar dan ilmu juga tetapi tak ikut!!
  1. Marilah kita belajar mencari kelebihan dan faedah yang dapat menyelamatkan kita di dunia & aman di Akhirat, inilah yang kita nak & cari insya’ Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 175- {Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami…..}-

    Bacalah kepada mereka orang yang sudah ada ilmu tetapi mereka tinggalkan amalannya!
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan tingginya kedudukan seseorang di sisi Allah bukan kerana tinggi ilmu & pangkat darjatnya semata tetapi dengan iman, amal & istiqamahnya.
    Orang yang Allah angkat darjatnya ialah orang yang ikut kebenaran & mematuhi peraturan.
    Sama ada Bal’am atau Umayyah; mereka adalah orang yang paling alim pada zaman mereka, tetapi Allah bandingkannya seperti anjing!
    Allah bandingkan dengan anjing yang buruk perangai & kedudukannya.
    Kita minta Allah lindungkan kita daripada sifat yang buruk, yang keji yang Allah sifatkan kepada golongan yang tidak baik, Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 175- {… lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.}-

    Syaitan ikut & serang, goda dia dan akhirnya jadilah dia orang yang sesat!
    Syaitan itu tidak akan duduk diam, dia akan cuba serang, ikut tidak akan tinggalkan sesiapa saja yang ada potensi untuk digoda!
    Ahli ibadat akan digoda dan dihasut melalui ibadatnya, ahli hiburan dan maksiat melalui maksiat dan perbuatan laghanya.
    Orang yang ada ilmu melalui ilmunya pula, yang pasti syaitan ini tidak akan masuk melalui jalan no entry.
    Syaitan akan ikut attack kerana tahu ada sinar dihujung terowong di mana akhirnya ia akan berjaya menyesatkan orang itu.
    Kerana itu kita berhati-hatilah, selalu muhasabah diri tentang amalan.
    Jangan suka sangat tunjuk amalan kita kerana ini adalah permainan syaitan dengan ahli ibadat yang akhirnya akan menjadikan kita kecundang, sia-sia segala ibadat.
  1. Ayat 176- {Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu.}-

    Allah kata kalau Dia nak, Dia boleh angkat darjat seseorang itu tetapi dia sendiri pilih jalan yang salah, tergoda dengan hawa nafsu dan ikut syaitan.
    Kata ulama’ tadabbur : Apabila manusia itu ikut hawa nafsu dia akan langgar segala perintah & larangan Allah SWT dan tinggalkan kebaikan buat apa saja.
    Kadang-kadang kita lihat orang yang asalnya baik-baik, warak, alim agama; tetapi apabila mula berbisnis jual produk mula tak malu dan berkelakuan yang tidak sepatut & tidak sesuai dengan imejnya sebelum ini di medsos sebagai iklan.
    Yang penting kita berdoalah kepada Allah SWT kerana Allah kata manusia itu sendiri yang memilih jalan itu!
    Ayat ini ayat yang paling keras Allah tegur orang yang ada ilmu!
    Orang yang ada ilmu apabila mula cintakan dunia akan jem, rosaklah!
    Jika dulu percakapannya ikut segala pendapat ulama’ tetapi apabila sudah dapat jawatan dan kejar dunia tiada lagi pendapat ulama’ tetapi yang ada sekarang pendapatan!
    Rosaknya ahli ilmu ulama’ dengan sebab ikut hawa nafsu & cintakan dunia.
    Kerana itu kita jangan terpedaya semata-mata dengan orang ada ilmu, tetapi lihatlah dulu kepada siapa dia dan apakah amalannya.
  1. Ayat 176- {… maka bandingannya adalah seperti anjing,…}-

    Allah buat bandingan mereka itu seperti anjing!
    Ayat ini mencela ahli ilmu yang ikut hawa nafsu ini dengan beberapa celaan.
    Iaitu:
    i- Terkeluar daripada agama & iman, sebagaimana ular keluar dari kulitnya,.

    ii- Dia sesat selepas ada ilmu. Ini sangat menakutkan.

    iii- Syaitan telah berjaya menjadikannya ikut syaitan setelah beberapa lama sebelum ini syaitan mengikutinya untuk disesatkan.

    iv- Dia sesat selepas dia baik pada awalnya.
    Kerana itu, bacalah selalu antara doa yang Nabi SAW ajar ini:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
    Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari terpeleset dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah.” [HR An-Nasa’i].

    v- Dia tidak akan diangkat darjatnya oleh Allah dengan sebab ilmu kerana walaupun ada ilmu tetapi dia tunggang ilmu itu!

    vi- Lemah semangat untuk berjuang, lebih suka pilih jalan yang senang.

    vii- Pilih jalan rendah meninggalkan yang tinggi.

    viii- Dia tinggalkan petunjuk ambil hawa nafsu.

    ix- Dia memilih watak yang seperti anjing, iaitu haiwan yang lemah semangat, hanya terjelir & suka tidur.

    x- Kerana dia suka jilat dunia maka dia adalah seperti anjing yang suka menjilat-jilat sambil berjalan!
    Keburukan anjing sebagai haiwan yang kejid & kotor, yang menyebabkan Allah banding orang alim yang jahat ini seperti anjing!
  1. Ayat 178- {Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.}-

    Siapa yang Allah beri petunjuk maka dia dapat petunjuk manakala siapa yang sesat maka dia sendirilah yang pilih jalan sesat itu!
    Ayat ini mengajar cara kita berinteraksi dengan Allah, yang baik itu dari Allah yang buruk itu dari kita!
    Semua petunjuk hidayah itu dari Allah & milik-Nya; kita hanya menumpang hidup atas dunia ini!
    Duduk di bawah belas ihsan Allah.
    Ya Allah selamatkan kami, letakkan kami di atas jalan yang benar, yang betul yang diredhai Allah.
    Janganlah sesekali kami terjebak dengan perkara yang tidak baik lalu sesat daripada jalan-Mu!
    Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
    Kuliah tafsir selepas Subuh kita ini akan bersambung balik pada hari Selasa depan insya’ Allah kerana DAAM akan bermusafir.

Tetapi jika ada kemudian internet dan sesuai masa akan ada kuliah dalam tajuk dan bab lain insya’ Allah.

**Infaq sedekah kita pada minggu ini kita akan berikan kepada:
MTAQ- Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan.
No acc Bank Muamalat: 03030001753713-
Rujukan: Dewan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs