Awal Penciptaan Manusia, Ada Yang Melakukan Syirik & Berhala Tiada Kuasa.
Full video : https://youtu.be/jsQEgMdEXjs?si=frwvYWcFUubQeZcY
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 189 sehingga 193 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang awal penciptaan manusia, bermula dari Nabi Adam AS
- Pada awalnya semua tauhid kemudian ada yang terjebak melakukan syirik.
- Allah nyatakan berhala-berhala yang mereka sembah & minta pertolongan itu tiada kuasa apapun.
Tetapi peliknya mereka tetap sembah & minta pertolongan dari yang lemah itu, tinggalkan yang Maha berkuasa, cari yang palsu tinggalkan yang ori.
Ini adalah satu kerugian yang besar.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang orang kafir yang datang bertanya kepada Rasulullah SAW bilakah akan berlakunya Kiamat.
Mereka yang bertanya ini biasanya adalah golongan yang ingkar dengan bangkit semula.
Ada juga sahabat yang beriman bertanya juga dengan ilmu untuk mengetahuinya.
Tetapi Rasulullah SAW tidak menjawabnya kerana Kiamat ini adalah hari tanpa tarikh & tiada yang mengetahuinya kecuali Allah Azza wa Jalla.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa manusia ini pada awalnya tidak ada kemudian Allah mencipta mereka dari tiada.
Maka pastilah untuk menghidupkan, membangkitkan semula manusia adalah lebih mudah, namun bagi Allah SWT sama sahaja!
Mengulang balik pastilah lebih mudah dari mencipta dari awal.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 189- {DIA LAH (ALLAH) YANG MENCIPTAKAN KAMU SEMUA DARI (HAKIKAT) DIRI YANG SATU, DAN IA MENGADAKAN DARIPADA HAKIKAT ITU PASANGANNYA (DIRI SUAMI ISTERI), UNTUK BERSENANG HATI DAN HIDUP MESRA YANG SATU KEPADA YANG LAIN. KETIKA SUAMI MENCAMPURI ISTERINYA, MENGANDUNGLAH IA DENGAN KANDUNGAN YANG RINGAN, SERTA TERUSLAH IA DENGAN KEADAAN ITU (KE SUATU WAKTU). KEMUDIAN KETIKA IA MERASA BERAT (DAN MENARUH BIMBANG) BERDOALAH SUAMI ISTERI ITU KEPADA TUHAN MEREKA (DENGAN BERKATA):” SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU (WAHAI TUHAN KAMI) MENGURNIAKAN KAMI NIKMAT YANG BAIK, TENTULAH KAMI MENJADI ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR”.} (AL-A’RAF 7:189)
- Allah menciptakan kita semua dari hakikat yang satu iaitu dari Adam AS.
- Nota 254: Ayat ini menerangkan satu sifat manusia; iaitu apabila dia berada dalam ketakutan & kebimbangan dia akan berdoa & ingat kepada Allah.
Tetapi apabila dia berasa tenang, selamat dan mendapat nikmat; mereka akan melakukan syirik kepada Allah SWT!
- Ayat ini menceritakan tentang penciptaan Adam kemudian nenek kita Hawwa’ (حواء) yang dicipta dari Adam AS.
Majoriti ulama’ tafsir menerima pendapat bahawa Hawwa’ ini dicipta dari Adam & dijadikan sebagai isterinya.
Hadis yang menyokong pandangan ini: Riwayat dari Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا”.
Maksudnya: “Jagalah golongan wanita sebaiknya. Kerana wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk paling bengkok adalah pada bahagian paling tinggi. Jika kau cuba meluruskannya, ia akan patah. Namun jika kau abaikannya, ia akan kekal selama-lamanya bengkok.
Maka, jagalah wanita sebaiknya.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menceritakan tabiat wanita yang yang mudah patah atau bengkok, maka suami kena pandai melayaninya, jangan terlalu keras & jangan terlalu berlembut; suami kena ada seni apabila bersama isteri.
- Allah menyatakan wanita itu dicipta untuk suami agar mereka bersenang hati dan hidup mesra & dan memberi ketenangan kepada satu sama lain,
{لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا}.
Isteri sebagai tempat suami kembali, memberi ketenangan.
Perkahwinan ini dibolehkan tetapi lihatlah kepada kesesuaian keadaan, jangan sampai mengganggu kehidupan normal, ibadat atau pengajian.
- Apabila mereka ini hidup bersama, dengan taqdir Allah mengandunglah di isteri.
Pada awalnya dengan kandungan yang ringan kemudian dengan beredar waktu bertambah besar & berat kandungannya.
- Setelah besar kandungannya maka Adam & Hawwa’ pun berdoa kepada Allah:” Wahai Tuhan kami sesungguhnya jika Engkau mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.
Iaitu anak yang sempurna fizikalnya, sihat tubuh badan & soleh sifatnya.
AYAT 190- {KEMUDIAN KETIKA ALLAH MENGURNIAKAN KEPADA KEDUANYA NIKMAT YANG BAIK (SEBAGAIMANA YANG MEREKA POHONKAN), MEREKA BERDUA MENJADIKAN SEKUTU BAGI ALLAH DALAM URUSAN WUJUDNYA NIKMAT YANG DIKURNIAKAN ALLAH KEPADA MEREKA. MAHA SUCI ALLAH DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN ITU.} (AL-A’RAF 7:190)
- Allah ceritakan lagi apabila kedua ibu bapa itu mendapat nikmat yang baik (anak yang soleh) sebagaimana yang mereka pinta, mereka menjadikan sekutu kepada Allah, iaitu syirik dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka.
- Para ulama’ membahaskan : Siapakah mereka berdua yang dikurniakan nikmat { ءَاتَىٰهُمَا}, dalam ayat ini yang dapat anak kemudian syirik kepada Allah {يُشْرِكُونَ}?
i- Ada kata itu adalah Adam & Hawwa’.
Ada ulama’ yang memakai pandangan ini, kerana ia berdasarkan hadis yang dhaif & kisah Israiliyyat.
ii- Tetapi ramai ulama’ kata : Bukan Adam & Hawwa’, mereka tidak berlaku syirik, tetapi anak cucunya selepas itu ada yang ikut syaitan lalu menjadi syirik!
Inilah pendapat yang yang diterima oleh ramai ulama’.
- Kata Syeikh Syanqiti : Banyak dalam ayat al-Quran yang menceritakan tentang perbuatan anak cucu tetapi pergi atau disandarkan kepada ibu bapa atau tok nenek.
Inilah pendapat yang rajih, yang syirik bukan Adam & Hawwa’ tetapi anak cucunya.
- Begitu juga ar-Razi dan lain-lain ulama’ mengatakan : Kesimpulannya, bukan Adam yang melakukan perbuatan syirik itu tetapi anak-cucunya.
Kerana tidak layak untuk seorang nabi bersifat begitu, syirik & ikut syaitan!
- Maha Tinggi Allah SWT daripada apa yang mereka syirikkan!
AYAT 191- {PATUTKAH MEREKA SEKUTUKAN ALLAH DENGAN BENDA-BENDA YANG TIDAK DAPAT MENCIPTAKAN SESUATUPUN, SEDANG BENDA-BENDA ITU SENDIRI DICIPTAKAN?} (AL-A’RAF 7:191)
- Kenapa kamu nak syirikkan Allah dengan sesuatu yang tiada kuasa????
Sembah pula sesuatu yang kamu sendiri buat & reka cipta.
Sesuatu yang mata tak berkelip, telinga tidak mendengar & tidak bersuara!
Allah nak sentap puak kafir!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).} (Al-Hajj 22:73)
AYAT 192- {DAN BENDA-BENDA ITU TIDAK DAPAT MENOLONG MEREKA, DAN TIDAK JUGA DAPAT MENOLONG DIRINYA SENDIRI.} (AL-A’RAF 7:192)
- Sembahan yang mereka reka, buat itu tidak mempunyai apa-apa kuasa, tidak dapat menolong orang lain dan tidak menolong dirinya sendiri!
AYAT 193- {DAN JIKA KAMU (HAI KAUM MUSYRIK) MENYERU BENDA-BENDA ITU UNTUK MEMPEROLEH PETUNJUK (DARIPADANYA), MEREKA TIDAK DAPAT MENURUT (MENYAMPAIKAN HAJAT) KAMU; SAMA SAHAJA BAGI KAMU, SAMA ADA KAMU MENYERUNYA ATAU MENDIAMKAN DIRI.} (AL-A’RAF 7:193)
- Apabila kamu menyeru dan meminta hajat pertolongan dari benda-benda sembahan yang tidak mempunyai kuasa itu, pastilah mereka sama-sekali tidak akan dapat menunaikan hajat kamu!
- Tidak ada bezanya jika kamu menyeru meminta pertolongan dari ia (berhala) atau kamu hanya diam tidak meminta apa-apa dari ia, kamu tetap tidak akan mendapat apa-apa kebaikan atau faedah.
- Itulah sifat mereka yang tidak ada apa satu, buta tuli bisu, maka jangan ikut mereka tetapi ikutlah Allah yang Esa.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 189- {Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu,..}-
Allah ciptakan manusia dari jiwa yang satu, Adam daripada tanah, Hawwa’ daripada Adam dan anak cucunya daripada mereka berdua!
Kemudian Allah ciptakan kamu berpasangan, suami isteri supaya kamu hidup tenang dengan satu sama lain.
Ayat ini menunjukkan manusia sesama manusia lebih bersesuaian
Sesama bangsa pula adalah lebih sesuai daripada yang berlainan bangsa & budaya.
Jika berlainan budaya kena pandai-pandailah menyesuaikan diri, kerana masih boleh serasi dan sesuai kerana sesama manusia.
Kena faham konsep {لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا}, ini kerana bubungan suami isteri adalah satu hubungan yang amat istimewa & rapat, hubungan mawaddah wa rahmah, hubungan yang penuh ketenangan dalam semua keadaan.
Suami kena anggap isteri sebagai kekasih, sahabat & teman, seumpama pakaian yang melindungi suami & isteri adalah segala-galanya!
Namun hubungan suami isteri juga memerlukan kesabaran, toleransi, jujur, tanggungjawab serta persefahaman untuk hidup yang tenang dan tenteram, agar bahagia sehingga ke syurga bukan setakat kekal ke anak cucu sahaja!
- Ayat 189- {Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan,…}-
Apabila suami & isteri itu bersama, mereka akan mendapat rezeki lalu hamillah isteriya.
Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan { تَغَشَّىٰهَا- mencampuri isterinya} bagi maksud jimak.
Al-Quran menggunakan bahasa yang sangat lunak & sopan, supaya ayat-ayatnya tidak kekok dan tidak sesuai untuk dibaca dalam solat dan dibaca dikhalayak ramai.
Itulah adab yang mulia, kerana itu para pendakwah, pengkuliah dan ahli agama; jangan suka guna bahasa lucah, tetapi gunalah bahasa sindiran, kiasan lebih baik dari bahasa direct.
Islam mengajar kita untuk beradab, supaya sesuai dibaca di hadapan khalayak yang pelbagai peringkat umur, seperti orang tua & kanak-kanak, sopan untuk dibaca dalam solat atau diluar solat.
Jagalah maruah kita, integriti dan kata-kata agar tidak nampak tidak sopan apatah lagi yang lucah & kotor di hadapan orang.
Al-Quran telah mengajar kia dengan lengkap.
- Ayat 189- {Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):…”}-
Ibu bapa kena ambil cakna tentang anak dari awal lagi.
Jangan tunggu anak besar & bawa masalah baru nak berdoa!
Iannya bermula dari perhubungan suami isteri lagi, Nabi SAW telah ajar untuk kita membaca doa.
Iaitu minta dijauhi dilindungi dari hasutan syaitan.
Kemudian apabila hamil sentiasa berdoa pula kepada Allah agar kurniakan zuriat yang soleh, sihat & sempurna. Ini sangat penting!
Serta berjanji dengan Allah jika dikurniakan apa yang kita pinta itu, kita akan sentiasa bersyukur kepada Allah!
Antara tanda bersyukur kepada Allah dengan kelahiran anak:
i- Bergembira dengan kelahirannya.
ii- Beri nama yang baik-baik dan mempunyai makna yang indah.
Jangan bubuh nama koksir-koksir yang entah dari mana.
iii- Lakukan aqiqah pada waktunya iaitu hari yang ketujuh.
Jangan buat alasan tidak cukup modal, isteri kamu bukan hamil 9 hari tetapi 9 bulan!
Jangan lupa tanggungjawab ini.
iv- Didiklah anak dengan baik & dengan ajaran agama.
- Ayat 190- {Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah…}-
Bila dapat anak yang baik, mereka syirik pula kepada Allah SWT!
Sebagaimana perbahasan kita yang panjang di atas, mereka berdua ini {هما} mengikut majoriti ulama’ seperti ar-Razi, Syanqiti dan lain-lain: bahawa mereka ini bukan Nabi Adam AS tetapi anak-cucunya yang datang selepas itu,
Nabi Adam AS tidak pernah syirik kepada Allah SWT walaupun dia pernah melakukan kesalahan terhadap Allah sebelum ini.
Riwayat yang mengatakan itu Adam adalah dhoif & dikondem oleh para ulama’ & perlu ditolak, nabi Adam tidak pernah syirik.
- Ayat 191- {Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?}-
Allah tanya apakah kamu nak ambil buat syirik kepada sesuatu yang tidak ada kuasa, tidak mampu nak bergerak apatah lagi nak beri pertolong & beri manfaat.
Maka dengan ayat ini Allah sentap puak musyrikin & puak kafir bahawa tuhan kamu itu lemah.
Kita nak minta tolong dengan Allah SWT yang Maha Berkuasa Maha Gagah Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Pergantungan kita manusia hanya kepada Allah Yang Esa!
Jangan dok nak bergantung kepada syaitan, dengan makhluk yang tiada faedah, kepada perkara khurafat & tahyul yang boleh membawa kepada syirik!
Pergantungan hati kita hanya kepada Allah, kita ada tangkal azimat kita sendiri sebagai perisai iaitu doa & zikir yang diajar oleh Nabi SAW untuk semua keadaan.
Peringatan, anak-anak orang Islam, hati-hati dengan tangkal yang seperti perhiasan tetapi mempunyai makna & kepercayaan yang karut seperti dream catcher!
Dream catcher atau penangkap mimpi adalah merupakan satu alat yang menjadi kepercayaan penduduk pribumi Amerika.
Ia boleh dikategorikan sebagai tangkal dan azimat yang diharamkan dalam Islam.
Jangan kita terjebak dengan tangkal azimat dan semua yang boleh membawa kepada khurafat & syirik.
Nak jaga daripada ain & hasad dengki manusia kita ada doanya, nak berhenti di tempat yang baru atau sunyi juga ada doanya!
Beramal-lah dengan segala doa Sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Boleh lihat kitab ini:
Perisai Muslim.
https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.