IBLIS BERSUMPAH UNTUK MENIPU ANAK ADAM, DARI SEMUA SUDUT & IBLIS DAN PENGIKUTNYA AKAN KE JAHANNAM.
Full video : https://youtu.be/rGYuW5aiCV4?si=YbgvZD9jmDCBNpTx
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf, surah yang ketujuh, dengan ayat 16 sehingga 18 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada kita bahawa iblis bersumpah untuk menipu anak Adam!
Inilah sumpah yang menakutkan kerana sumpah iblis sumpah keramat kerana dia akan buat sungguh!
- Iblis berjanji juga akan hasut dan masuk goda manusia dari semua sudut; atas bawah kiri kanan & depan belakang!
Asal ada lorong yang dapat di masukinya dia akan cuba.
Allah beri peringatan awal lagi kepada kita manusia.
- Allah kata akhirnya iblis dan pengikutnya akan dihumban ke neraka jahanam.
Kita nak selamat ikut apa yang diperintahkan Allah jangan ikut syaitan & kuncu-kuncunya!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang iblis yang dihalau dari syurga buat rayuan agar ditangguhkan kematiannya sehingga hari Kiamat.
Allah maklumkan kepada iblis bahawa umurnya memang akan dipanjangkan sehingga ke hari Kiamat.
Ingat bukan Allah perkenankan doa iblis!
ii- Dalam ayat ini apabila iblis tahu dia sudah dilaknat & diisytihar sesat, maka dia bersumpah dengan nama Allah di hadapan Allah, akan tunggu di mana saja untuk menyesatkan anak Adam daripada jalan yang benar!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 16- {IBLIS BERKATA: “OLEH KERANA ENGKAU (WAHAI TUHAN) MENYEBABKAN DAKU TERSESAT (MAKA) DEMI SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENGAMBIL TEMPAT MENGHALANGI MEREKA (DARI MENJALANI) JALANMU YANG LURUS;} (AL-A’RAF 7:16)
- Iblis yang telah diisytiharkan Allah sebagai sesat & terlaknat; bersumpah dengan nama Allah bahawa dia akan menyesatkan pula anak Adam dari jalan Allah dari pelbagai sudut & penjuru!
- Yakni di mana saja ada jalan kebaikan yang membawa ke syurga, iblis akan tunggu dan sekat & perhiaskan jalan yang batil yang buruk agar manusia terpedaya kepadanya.
Ini supaya manusia tidak sembah Allah & menjadi syirik sembah yang selainnya!
- Inilah sumpah yang amat menakutkan dan bahaya kerana ia bukan mainan-main, iblis akan buat sungguh!
Ini jika kita lemah, tetapi jika kita kuat & lawan, syaitan yang akan lemah dan tak berani!
- Kerana itu kata ulama’ : Sebaik nikmat & taqdir yang manusia dapat dari Allah adalah petunjuk hidayah.
Manakala bala & kecelakaan yang paling besar ialah kesesatan dan tersasar dari jalan yang benar!
Ya Allah tunjukkan kepada kami jalan hidayah-Mu yang boleh menyampaikan kami ke syurga-Mu.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, –
“Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan”.} (Saad 38:83)
Ada orang yang akan selamat dari hasutan syaitan ini iaitu mereka yang yang ikhlas dan bersih dari segala penyelewengan.
- Hadis Nabi SAW:
عَنْ سَبْرَةَ بْنِ أَبِى فَاكِهٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: إِنَّ الشَّيْطَانَ قَعَدَ لاِبْنِ آدَمَ بِأَطْرُقِهِ, فَقَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الإِسْلاَمِ, فَقَالَ: “تُسْلِمُ وَتَذَرُ دِينَكَ وَدِينَ آبَائِكَ وَآبَاءِ أَبِيكَ؟” فَعَصَاهُ فَأَسْلَمَ. ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْهِجْرَةِ, فَقَالَ: “تُهَاجِرُ وَتَدَعُ أَرْضَكَ وَسَمَاءَكَ؟ وَإِنَّمَا مَثَلُ الْمُهَاجِرِ كَمَثَلِ الْفَرَسِ فِى الطِّوَلِ.” فَعَصَاهُ فَهَاجَرَ ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْجِهَادِ, فَقَالَ: “تُجَاهِدُ فَهُوَ جَهْدُ النَّفْسِ وَالْمَالِ فَتُقَاتِلُ فَتُقْتَلُ فَتُنْكَحُ الْمَرْأَةُ وَيُقْسَمُ الْمَالُ.” فَعَصَاهُ فَجَاهَدَ.. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-: فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ -عَزَّ وَجَلَّ- أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.
Diriwayatkan dari Sabrah bin Abi Fakih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan duduk untuk menghalang-halangi seorang anak Adam dari berbagai jalan.
i- Syaitan duduk menghalangi jalan untuk masuk Islam. Syaitan berkata, ‘(Apakah) kamu masuk ke dalam Islam dan kamu tinggalkan agamamu, agama bapak-bapakmu dan agama nenek moyangmu?’ Anak Adam tersebut tidak mentaatinya, kemudian dia masuk Islam.
ii- Kemudian syaitan pun menghalangi jalan untuk berhijrah dan dia berkata, ‘(Apakah) kamu akan berhijrah dan kamu meninggalkan bumi dan langitmu?
(Maksudnya adalah tempat tinggal dan kampung halamannya).
Sesungguhnya perumpamaan orang yang berhijrah adalah seperti kuda yang diikat dengan tali.’
(Maksudnya adalah hijrah akan menghalangi untuk berniaga dan kembali ke tanah asal dan hijrah sangat berat).
Kemudian anak Adam tesebut tidak mentaatinya dan terus berhijrah.
iii- Kemudian syaitan duduk untuk menghalangi jalan untuk berjihad. Syaitan berkata, ‘(Apakah) kamu akan berjihad? Jihad itu adalah perjuangan dengan jiwa dan harta. Engkau berperang, dan nanti kami terbunuh, isterimu akan dinikahi (oleh orang lain) dan hartamu akan dibagi-bagi.’ Kemudian anak tersebut tidak mentaatinya, kemudian terus berjihad.” Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Barang siapa yang melakukan hal tersebut, maka Allâh akan memasukkannya ke dalam syurga…”. [HR Ibnu Majah & an-Nasaei]
Contoh hijrah yang masih boleh dibuat sekarang: hijrah meninggalkan maksiat kepada kebaikan, hijrah dari tak solat kepada solat, dari solat sendiri kepada solat jemaah, dari jahil kepada rajin mencari ilmu dan sebagainya.
- Dengan ini kita memahami bahawa iblis akan menghalang manusia di semua jalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Azza wa Jalla.
Ini kerana iblis mahu manusia semuanya sesat dan dilaknat Allah seperti dirinya!
AYAT 17- {“KEMUDIAN AKU DATANGI MEREKA, DARI HADAPAN MEREKA SERTA DARI BELAKANG MEREKA, DAN DARI KANAN MEREKA SERTA DARI KIRI MEREKA; DAN ENGKAU TIDAK AKAN DAPATI KEBANYAKAN MEREKA BERSYUKUR”.} (AL-A’RAF 7:17)
- Kata iblis lagi: Dia akan mendatangi manusia dari semua sudut dan arah, sama ada dari hadapan atau dari belakang mereka, dan dari kanan atau dari kiri mereka.
- Syaitan pula pandai strateginya, dia tidak akan masuk melalui jalan no entry!
Ahli ibadat akan disesatkan melalui ibadat, ahli ilmu akan disesatkan dengan caranya, ahli maksiat akan digoda dengan maksiat & dosa.
- Yakni orang jahat caranya, orang baik dengan caranya!
Dari mana penjuru saja akan diselit masuknya!
Iblis tidak akan ajak ahli ibadat atau masjid ke majlis hiburan!
Tetapi mungkin dengan riya’, ibadat yang tidak ikut Sunnah Nabi SAW dan seumpamanya.
- Iblis mengatakan kepada Tuhan bahawa manusia ini ramai yang syirik & tidak bersyukur kepada Allah!
Syirik ini ada banyak jenis dan ramai manusia tidak selamat darinya!
Kata ulama’ : Ini hanya sangkaan serta cita-cita & harapan iblis, supaya ramai manusia kufur & syirik!
- Firman Allah stw:
Maksudnya {Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).
Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu.} (Saba’ 34: 20-21)
- Yakni orang yang betul-betul beriman syaitan tidak akan dapat mengusainya!
Kerana itu kita kena belajar tauhid, belajar tafsir & semuanya agar kita tidak dapat dikuasai oleh syaitan!
AYAT 18- {ALLAH BERFIRMAN: “KELUARLAH ENGKAU DARI SYURGA SEBAGAI MAKHLUK YANG TERHINA SERTA TERUSIR. SESUNGGUHNYA SESIAPA DI ANTARA MEREKA YANG MENURUTMU, TETAPLAH AKU AKAN MEMENUHI NERAKA JAHANAM DENGAN (GOLONGAN) KAMU (YANG DERHAKA) SEMUANYA;} (AL-A’RAF 7:18)
- Lalu sekali lagi Allah menghalau iblis ini keluar dari syurga, jadilah dia makhluk yang dilaknat Allah, diusir dengan penuh kehinaan!
- Kemudian Allah nyatakan kelak Iblis dan para pengikutnya akan dihumban dan disumbat ke dalam neraka Jahannam!
Yakni siapa yang ikut iblis sama ada jin atau manusia akan celaka & binasa!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
i- {Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.
“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”}
(Saad 38:78)
ii- {Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut, campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”. Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).} (Al-Isra’ 17: 63-65)
- Allah nyatakan dalam al-Quran bahawa iblis telah bersumpah berkali-kali untuk tetap menggoda dan menyesatkan manusia sehingga ke hari Kiamat.
Begitulah janji syaitan, manakala janji kita adalah tetap lawan selamanya serta kita berbekalkan dengan ilmu sebagai senjatanya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 16- {Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;}–
Dalam ayat ini Allah beri peringatan kepada kita bahawa iblis telah bersumpah, telah berazam untuk menyesatkan manusia dan menjadikan mereka celaka!
Maka jika kita nak selamat ikutlah jalan Allah, bebaskan diri daripada cengkaman syaitan, jangan ikut godaan syaitan, walau bagaimana sekalipun kita kena lawan syaitan jika tidak kita akan musnah!
Kita kena buat persediaan yang sepatutnya!
Dalam ayat ini Iblis kata dia akan duduk menunggu {لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ}-:
Allah guna perkataan ini untuk menunjukkan maksud bahawa iblis akan duduk buat kerja terus, tanpa jemu, malas & lemah.
Tiada cuti & mc atau rehat lansung!
Itulah bahasa al-Quran yang penuh dengan hikmah dan makna yang mendalam.
- Ayat 16- {Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;} –
Kata ulama’ tadabbur : Ini menunjukkan bahawa iblis tahu, dia ada ilmu bahawa Allah cipta manusia ini untuk menerima kebaikan dan pelbagai manfaat!
Allah beri kepada kita akal, turunkan kitab & wahyu, ajar untuk berfikir bagaimana cara menyampaikan kita kepada Allah & cara untuk selamat dari kesesatan & hasutan iblis.
Yakni iblis tahu manusia ini asal fitrahnya adalah baik.
Tetapi perjuangan diteruskan lalu iblis hiaskan segala yang batil & buruk itu menjadi manis & indah supaya manusia tergoda.
Kerana itu Nabi SAW mengatakan bahawa dunia ini hijau & manis, manusia tidak akan tahan dengan godaan itu!
Tetapi rancangan iblis mesti dijalankan terus tanpa jemu untuk menggoda menghasut manusia agar lari daripada fitrah tersebut! Agar sesat daripada jalan Allah yang lurus {صِرَٰطَكَ ٱلْمُسْتَقِيمَ}.
Maka kita kena guna otak untuk berfikir, jangan terus percaya & ikut apabila orang cerita begitu begini!
- Ayat 17- {… dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.}-
Iblis nyatakan kepada Tuhan bahawa manusia ini ramai yang tidak bersyukur!
Kata ulama’ : Ini menunjukan betapa tingginya maqam syukur atau beriman.
Iblis mengetahui hal ini maka kerana itu dia mahu menjauhkan manusia daripada bersyukur kepada Allah!
Syukur itu banyak kategori, seperti beriman kepada Allah itu syukur, kita banyakkan ibadat juga syukur kepada Allah, syukur akan segala nikmat yang kita dapat dan lain-lain.
Dalilnya sebagaimana hadis Nabi SAW:
Diriwayatkan Saidatina Aisyah RA, ia berkata: “Nabi SAW menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda: ‘Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah? ‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” [Bukhari dan Muslim]
Maka jika kita tahu iblis syaitan akan goda dan sesatkan kita, akan sekat kita daripada bersyukur kepada Allah & daripada jalan kebenaran, maka kenapa kita lemah lagi, kita wajib lawan & kuatkan diri untuk melawannya!
- Ayat 17- {“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka;…}-
Iblis kata dia akan datang menghasut manusia dari depan belakang, kiri kanan, yakni segenap penjuru.
Perbincangan: Kenapa Allah SWT guna kalimah jamak (plural) dalam ayat ini seperti: { أَيْدِيهِمْ} & {وَعَنْ أَيْمَـٰنِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ ۖ}
Jawapan:
Untuk menunjukkan bahawa syaitan itu mempunyai jalan & lorong untuk menyesatkan manusia sangat luas!
Iblis boleh datang & masuk dalam pelbagai sudut, kiri kanan, depan belakang! Banyak lorong, asalkan ada peluang & lorong syaitan akan masuk, itulah janjinya iblis!
- Ayat 18- {Allah berfirman: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir….}-
Kerana iblis sudah diisytihar sebagai makhluk yang rosak dan sesat maka dia tidak layak lagi duduk dalam syurga, maka dia diusir keluar dari syurga.
Sebagaimana kita sudah cerita kadang-kadang kita perlukan hukuman buang daerah ini sama ada bagi penjenayah atau juga pelajar di sekolah.
Contohnya: Seorang pelajar itu nakal dan degil tak dengar kata langgar disiplin di sekolah, sudah diberi amaran tak hirau juga, perlu kita pecatnya ini kerana dia akan beri kesan & pengaruh buruk kepada rakan-rakan yang lain.
Atau tukarnya ke sekolah & persekitaran lain mudah-mudahan dia akan berubah.
Perbezaan antara dua orang yang bersalah di dalam syurga iaitu:
i- Nabi Adam AS : mengaku bersalah, insaf & terus bertaubat kepada Allah.
ii- Iblis : Dia tahu dia salah tetapi tak pernah minta maaf dengan Allah, bahkan terus lawan dan bersumpah lagi untuk buat kejahatan & kekacauan!
Kerana itu kata para ulama’ :
i- Siapa yang salah & bertaubat; maka dia telah ikut jejak langkah datuknya Nabi Adam AS.
ii- Manakala sesiapa yang terus kekal buat maksiat & dia berhujjah bahawa taqdir Allah yang buat dia jadi begitu, maka dia telah ikut jejak langkah iblis.
Iblis adalah makhluk pertama yang menggunakan hujjah taqdir untuk dia terus ingkar, melawan dan maksiat Allah SWT!
Kata ulama’ lagi : Hukuman bagi sesiapa yang jahat & zalim hendaklah dibuang dari tempat yang suci & baik!
Iaitu hukuman buang daerah atau negeri bagi penjenayah kes-kes tertentu supaya mereka tidak mengganggu orang lain lagi!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita yang ringkas untuk hari ini semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Makluman:
Kuliah tafsir & maghrib Abu Anas akan ditangguhkan buat sementara bermula esok Isnin 21hb Jan sehingga 8hb Feb 2025, insya’ Allah.
Ini kerana DDAAM @Dr Abu Anas Madani akan pergi menunaikan umrah & ziarah.
Doakan semoga perjalanannya & semua ahli rombongan diberkati Allah, selamat dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk beribadat.
Untuk umrah tahun ini bersama Ummah Travel manakala untuk Haji insya’ Allah bersama Samrah Travel.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.