View Categories

(7) Surah Al-An’am : Ayat 17-19

ALLAH BERKUASA MENGHILANGKAN KEMUDHARATAN, ALLAH MENYAKSIKAN BENARNYA NABI SAW & BERHUJJAH DENGAN MUSYRIKIN.

Full video : https://youtu.be/X7TBjTeLOe8?si=IilHo7PVjFUv5NDK

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 17 sehingga 19. 
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa di bawah kuasa Allah untuk menghilangkan kemudharatan, memberi manfaat & menghilangkannya.
    Allah SWT juga Maha Berkuasa ke atas semua hamba-hamba-Nya.
  1. Allah juga menyaksikan sendiri akan benarnya al-Quran yang diturunkan kepada Nabi SAW serta benarnya risalah yang dibawa oleh Baginda SAW.
  1. Dengan itu Rasulullah SAW berhujjah dengan musyrikin dan mengiklankan bahawa dia hanya menyembah Allah yang Esa dan tiada sekutu bagi Allah. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT membatalkan bahawa berhala-berhala yang kafir sembah itu tiada apa-apa kuasa untuk memberi manfaat atau mudharat.

    ii- Maka datang ayat ini, Allah nyatakan bahawa yang berhak kita puja & puji, yang berhak kita minta pertolongan hanya-lah Allah Azza wa Jalla. 
    Jangan cari benda lain yang pelik-pelik!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 17- {DAN JIKA ALLAH MENGENAKAN (MENIMPAKAN) ENGKAU DENGAN BAHAYA BENCANA, MAKA TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG DAPAT MENGHAPUSKANNYA MELAINKAN DIA SENDIRI; DAN JIKA IA MENGENAKAN (MELIMPAHKAN) ENGKAU DENGAN KEBAIKAN, MAKA IA ADALAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AN’AM 6:17)

  1. Jika Allah nak beri kamu kesusahan, menimpakan bala bencana & kesusahan atas kamu dalam perbagai jenisnya; tiada siapa dapat halang & hilangnya kecuali Allah! 

    Manusia hanya dapat membantu untuk tolong ringankannya seperti kita berubat & berikhtiar dengan cara dunia ini. 
    Wajib usaha kemudian tawakkal kepada Allah!
  1. Begitu juga jika Allah nak beri kamu kesenangan & kebaikan, harta benda, pangkat kedudukan, anak keturunan yang ramai; tiada siapa dapat menyekatnya! 

    Ayat ini menyatakan bahawa yang berkuasa hanya Allah SWT!
  1. Sebagaimana kata ahli motivasi: Rezeki itu tidak pernah salah alamat! 
    Jika memang sudah tertulis untuk kita: Ia tidak akan pergi kepada orang lain!
  1. Tetapi kamu kena ingat semua itu juga adalah ujian dari Allah, kesenangan atas dunia ini bukan bererti Allah sayang! 
    Atas dunia ini Allah beri kepada semua yang beriman atau kafir; tetapi di Akhirat Allah tidak akan beri kebaikan kecuali kepada yang Dia sayang! 
  1. Ia juga ujian kerana Allah nak lihat hamba-Nya:
    i- Siapa yang apabila dapat kesenangan dia bersyukur.

    ii- Apabila ditimpa bala ujian dia bersabar!
  1. Pada akhir ayat Allah mengatakan bahawa Dia Maha berkuasa atas setiap sesuatu; tiada yang dapat melemahkan-Nya, tiada siapa dapat menyekat atau menghalang-Nya sama ada yang baik atau buruk.

    Ayat seumpamanya sebagaimana firman Allah SWT juga:
    i- Maksudnya: {Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.} (Yunus 10:107)

    ii- Maksudnya: {Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Faatir 35:2)

    iii- Maksudnya: {Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.} (Az-Zumar 39:38)

    iv- Maksudnya: {Orang-orang “A’raab” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): “Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”. Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad: “Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun, dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Ia akan membalasnya).} (Al-Fat-h 48:11) 
  1. Hadis:
    i- Daripada Abu Sa’id al-Khudhri RA, beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ: 
    Maksudnya: “Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: 
    رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ
    Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu, yang memiliki semua pujian dan kebaikan, yang paling berhak diucapkan oleh setiap hamba, dan setiap daripada kami adalah hambaMu. 
    للهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.
    Ya Allah tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan. Dan tidak ada yang boleh memberikan apa yang Engkau halang. Dan segala daya upaya tidak bermanfaat kecuali dengan izinMu, seluruh kekuatan hanya milikMu).” [HR Muslim]

    ii- nasihat Nabi SAW kepada Abdullah ibnu Abbas :
    عبْد الله بن عَبّاسٍ -رَضِي اللهُ عَنْهُما- قالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمًا، فَقَالَ: ((يَا غُلاَمُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ؛ احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ))
    Abdullah bin ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhuma– menceritakan, pada suatu hari saya berada di belakang Nabi SAW. Baginda SAW bersabda, “Wahai anak, aku ajarkan kepadamu beberapa patah kalimah; Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain dari apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andaipun mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” [HR Bukhari].

AYAT 18- {DAN DIA LAH YANG BERKUASA ATAS SEKALIAN HAMBANYA (DANGAN TADBIR DAN TAKDIR); DAN DIA LAH YANG MAHA BIJAKSANA SERTA AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (AL-AN’AM 6:18)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah katakan bahawa semuanya di bawah kuasa Allah nak beri atau tidak.

    ii- Maka ayat ini adalah pelengkap yakni Allah berkuasa penuh {ٱلْقَاهِرُ} ke atas sekelian hamba-Nya dari segi pentadbirtan & taqdir.
  1. Allah tegaskan bahawa semua hamba-Nya wajib menyembah Allah, kuasa-Nya Maha Tinggi, tiada siapa dapat mengatasi-Nya.
  1. Kemudian Allah nyatakan sifat-Nya lagi selain Maha Berkuasa {ٱلْقَاهِرُ} dari segi Dia juga:
    i- Dia lah Yang Maha Bijaksana {ٱلْحَكِيمُ}- kekuasaan-Nya penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan, segala tindakan-Nya tidak saja-saja atau sia-sia, tiada siapa yang boleh takwil, komplen & kritik! 
    Kena akur & terima kerana Allah buat dengan penuh kebijaksanaan!

    ii- Serta Amat Mendalam PengetahuanNya {ٱلْخَبِيرُ}- Allah juga ada ilmu pengetahuan, kerana itu perbuatan-Nya bukan sia-sia penuh dengan hikmah, kebijaksanaan dan ilmu pengetauan yang mantap, menyeluruh dan lengkap.

    Bukan kata seperti manusia yang ada kuasa tetapi tidak ada ilmu & tidak boleh buat kerja!

AYAT 19- {BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD): “APAKAH SESUATU YANG LEBIH BESAR PERSAKSIANNYA?” (BAGI MENJAWABNYA) KATAKANLAH: “ALLAH MENJADI SAKSI ANTARAKU DENGAN KAMU, DAN DIWAHYUKAN KEPADAKU AL-QURAN INI, SUPAYA AKU MEMBERI AMARAN DENGANNYA KEPADA KAMU DAN JUGA (KEPADA) SESIAPA YANG TELAH SAMPAI KEPADANYA SERUAN AL-QURAN ITU. ADAKAH KAMU SUNGGUH-SUNGGUH MENGAKUI BAHAWA ADA BEBERAPA TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH?” KATAKANLAH: “AKU TIDAK MENGAKUINYA”. KATAKANLAH LAGI: “HANYASANYA DIA LAH SAHAJA TUHAN YANG MAHA ESA, DAN SESUNGGUHNYA AKU ADALAH BERLEPAS DIRI APA YANG KAMU SEKUTUKAN (DENGAN ALLAH AZZA WA JALLA)”.} (AL-AN’AM 6:19)

  1. Ayat ini masih lagi tentang hujjah Rasulullah SAW kepada orang kafir! 
    Allah perintahkan Baginda SAW untuk bertanya lagi kepada puak pendusta itu; siapakah saksi yang paling besar akan kebenaran dakwah Nabi SAW?????
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut beberapa sifat-Nya iaitu yang Bekuasa, Yang Bijaksana & Yang maha Mengetahui.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan benarnya kerasulan & dakwah yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. 
    Allah sendiri sebagai saksi benarnya dakwah Nabi, jika manusia tak setuju maka jangan diambil kira!
  1. Yakni hujjah & jawapannya ialah; 
    Allah sendiri sebagai saksi terbesar yang menyaksikan akan kebenaran Nabi SAW. atas dunia ini! 
    Saksi yang memang tidak akan tersalah dan tidak akan berdusta!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini: 
    i- Maksudnya: {(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).} (An-Nisa’ 4:166)
  1. Allah turunkan al-Quran itu untuk kebaikan kamu; sebagai pemberi amaran kepada semua manusia yang sampai kepada mereka al-Quran.
    Siapa beriman selamat, siapa kufur tak dengar kata akan dapat bala.
  1. Rasulullah SAW juga sebagai saksi akan kebenaran Allah sebagai Tuhan dan menyatakan pendiriannya kepada orang kafir dan berlepas diri dari perbuatan syirik mereka:
    i- Aku tidak mengakui adanya tuhan yang lain bersama-sama Allah?”

    ii- Hanyasanya Allah-lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa,

    iii- Dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan dengan Allah Azza Wa Jalla!
  1. Kita hari ini ini pun kena jelaskan dan nyatakan pegangan, aqidah & pendirian kita dalam tauhid kepada Allah barulah kita dapat berlepas diri daripada segala bentuk syirik!
    Jangan terlibat walaupun dengan perbuatan syubhat kerana ditakuti nanti lama-kelamaan akan membawa kepada syirik.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri;…}-

    Jika Allah timpakan mudharat atau beri kebaikan, tiada yang dapat menghalang atau menahannya.
    Ayat ini menunjukkan wajib manusia letakkan pengharapan & pergantungan hati kepada Allah semata-mata kerana Allah yang beri & Allah yang dapat hilangkannya!
    i- Nak benda baik minta dengan Allah.

    ii- Nak hilangkan mudharat & kesusahan pun minta dengan Allah juga!
    Jika Allah beri kita mudharat hanya Allah yang dapat hilang & sembuhkannya.
    Tiada siapa yang dapat tolong & hilangkannya.
    Ayat ini juga menjadi sebab menggalakkan kita untuk bersabar. 

    Orang yang ditimpa ujian & kesusahan jika bersabar akan dapat pahala, jika tidak sabar & mengamuk pula akan kehilangan tiga perkara:
    i- Hilang nikmat.

    ii- Hilang pahala, kerana sekurangnya susah di dunia tapi dapat bahagian Akhirat,

    iii- Bala yang datang atau barang yang hilang tetap begitu.
  1. Ayat 17- {… maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}-

    Allah SWT Maha Berkuasa atas segala perkara. 
    Ayat ini meletakkan satu pengharapan kita kepada Allah Azza wa Jalla kerana kita tahu Dia berkuasa. 
    Maka jika kita ditimpa mudharat pun kita kena sabarlah kerana Allah yang bawa datang musibah itu maka hanya Dia juga yang dapat hilangkan musibah itu.
    Jika lihat dalam sejarah betapa ramai orang yang ditimpa kesusahan dan sakit seperti sudah berada dipinggir kubur, dia pun sudah putus harapan, kemudian Allah hilangkannya. 
    Orang yang dulu msikin dan susah; sekarang kaya-raya dan hidup senang.
    Begitu juga sebaliknya yang kaya-raya ternama dulu, sekarang hidup merempat!
    Ingatlah bahawa bukan kita yang berkuasa tetapi Allah yang berkuasa; maka letaklah pergantungan kita kepada Allah.
    Ayat ini juga menguatkan semangat Nabi SAW untuk terus berdakwah walaupun mendapat tentangan dan halangan dari kaumnya yang mendustakan. 
    Jika Allah kata menang, pasti menang dengan syarat sabarlah!
  1. Ayat 17- {… maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}-

    Allah SWT Maha Berkuasa atas segala perkara.
    Ayat ini juga menjadi dalil bahawa tidak layak, tidak patut, tidak boleh sama sekali bagi manusia yang berakal untuk mengambil selain dari Allah SWT sebagai wali atau apatah lagi dengan orang yang telah mati!
    Jadi kita ingatlah bahawa jangan bergantung dengan makhluk yang lain, murnikan aqidah & tauhid kita kepada Allah semata-mata. 
    Apa yang terjadi sekalipun kita duduk antara sabar & bersyukur maka Allah akan beri pahala dan hapuskan dosa insya’ Allah.
  1. Ayat 18- {Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya.}-

    Allah kata Dia yang Maha berkuasa atas segala perkara, maka jika kita tahu begitu kenapa kita tidak solid sembah Allah, minta dengan Allah semata-mata & menajuhi segala perkara yang tidak baik!  

    Dalam ayat ini Allah sebut tiga sifat-Nya: 
    i- Yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir);

    ii- Dan Dia lah Yang Maha Bijaksana

    iii- Serta Amat Mendalam PengetahuanNya.
    Untuk menunjukkan Allah Maha Berkuasa tetapi tidak hanya berkuasa sahaja, tetapi ada juga ilmu, hikmah & kebijaksanaan! 
    Kuasa Allah itu lengkap dan sempurna maka kita yakinlah dengan segala hukum & perundangan Allah.
    Allah sebut 3 sifat ini juga untuk memberi keyakinan kepada kita apa yang ada dalam al-Quran & apa yang Nabi SAW sebut itu adalah yang terbaik! 
    Jangan cari undang-undang lain, undang-undang rekaan ikut kepala manusia.
  1. Ayat 19- {Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah…}-

    Saksi yang terbesar & terbaik adalah Allah SWT!
    Kerja yang terbaik adalah kerja Nabi SAW sebagai Pendakwah yang terbaik, semua kita adalah pendakwah.
    Sampaikan al-Quran ini kepada manusia, sampaikan undang-undang Islam ini kepada manusia selagai mana kita mampu sampaikan dan di mana saja kita berada.
    Jika kita perhatikan kita akan dapati para pendakwah yang berada di negara kafir lebih aktif berdakwah kepada Islam berbanding dengan kita yang berada dalam negara muslim atau Islam. 
    Ini kerana kira rasa keadaan dan tempat kita sudah selesa dan memadai. 
    Ini kerana mereka nak ramaikan umat Islam dalam negara kafir manakala kita yang sudah ramai umat Islam ini sibuk berbalah sesama Islam pula! 
    Allahu al-Musta’an!
    Maka marilah kita yakin dengan persaksian Allah SWT & kena sampaikan ilmu ini kepada semua masyarakat sama ada yang Islam atau tidak bukan Islam. 
    Kita juga kena isytiharkan bahawa kita bebas dari sebarang bentuk syirik & maksiat.
    Jika tidak, tidak lengkap dakwah kita, ajar saja orang untuk beriman tetapi tidak beritahu tentang syirik! 
    Pendakwah wajib nyatakan batasan antara iman & kufur, aya yang bai kapa yang tidak apa yang boleh & apa yang tidak boleh. 

    Jangan pula dituduh kita nak mengkafirkan orang tetapi kita bimbang takut orang itu jadi kafir & terjebak dengan kekufuran! 
    Kena bezakan dengan jelas antara dua perkara ini!

Alhamdulillah kita tangguhkan dulu siri kuliah kita untuk hari ini dan akan sambung esok dengan ayat seterusnya.
Semoga diberi kefahaman & manfaat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs