View Categories

(7) Surah Al-A’raf : Ayat 19-25

IBLIS MENGGODA NABI ADAM, MAKAN BUAH TERCABUT PAKAIAN & NABI ADAM BERTAUBAT.

Full video : https://youtu.be/JDQvhzVaKHc?si=hXsNgNIh3GRmqUmI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini selepas kite bercuti seketika dengan ayat 19 sehingga 25 dalam juzu’ kelapan. 
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kisah datuk & nenek kita, Nabi Adan & Hawwa’ yang hidup dalam syurga lalu iblis menggoda mereka supaya derhaka terhadap perintah Allah.
  1. Yang akhirnya mereka terpedaya dengan memakan buah yang dilarang Allah lalu tercabut pakaian syurga dari mereka.
  1. Allah menghukum mereka dengan dikeluarkan dari syurga & dicampak ke bumi.
    Nabi Adam segera bertaubat kepada Allah SWT lalu hidup di bumi buat beberapa lama sehingga Allah kembalikannya ke syurga nanti.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sumpah syaitan yang ada lima kali dalam al-Quran untuk binasakan anak Adam.
    Lalu iblis yang derhaka dihalau keluar dari syurga dan selesai kisahnya.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah perintahkan nabi Adam & Hawwa’ untuk hidup di dalam syurga dan makanlah apa saja kecuali satu pokok jangan didekati. 
    Demikianlah bila ada larangan itulah yang menjadi ujian, yang Allah kenakan ke atas kita. Hikmahnya hanya Allah SWT yang tahu.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 19- {“DAN WAHAI ADAM! TINGGALLAH ENGKAU DAN ISTERIMU DI DALAM SYURGA SERTA MAKANLAH DARI MAKANANNYA SEPUAS-PUASNYA APA SAHAJA KAMU BERDUA SUKAI, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI POKOK INI, (JIKA KAMU MENGHAMPIRINYA) MAKA AKAN MENJADILAH KAMU DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-A’RAF 7:19)

  1. Dalam ayat ini Allah perintahkan nabi Adam AS dan isteri Hawwa’ untuk hidup dengan bersenang lenang menikmati segala nikmat dalam syurga, makan minum sepuasnya apa yang mereka suka. 
  1. Tetapi dengan syarat janganlah mereka hampiri satu pokok dalam syurga itu.

Pokok itu jika mereka menghampirinya dan makan buahnya, mereka akan menjadi dari orang-orang yang zalim.
Larangan ini sebagai ujian dari Allah SWT.

AYAT 20- {SETELAH ITU MAKA SYAITAN MEMBISIKKAN (HASUTAN) KEPADA MEREKA BERDUA SUPAYA (DAPATLAH) IA MENAMPAKKAN KEPADA MEREKA AKAN AURAT MEREKA YANG (SEKIAN LAMA) TERTUTUP DARI (PANDANGAN) MEREKA, SAMBIL IA BERKATA: “TIDAKLAH TUHAN KAMU MELARANG KAMU DARIPADA (MENGHAMPIRI) POKOK INI, MELAINKAN (KERANA IA TIDAK SUKA) KAMU BERDUA MENJADI MALAIKAT ATAU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG KEKAL (SELAMA-LAMANYA DI DALAM SYURGA)”.} (AL-A’RAF 7:20)

  1. Kemudian datang syaitan menghasut dalam bisikan jahat kepada Adam & Hawwa’ agar melanggar perintah Allah itu, tujuannya untuk membuka & mendedahkan aurat mereka yang selama ini tertutup dari pandangan mereka.
  1. Iblis menghasut lagi dengan mengatakan kononnya bahawa Allah melarang mereka daripada menghampiri pokok itu kerana:
    i- Dia tidak suka mereka berdua (Adam & Hawwa) menjadi malaikat.

    ii- Atau menjadi dari orang-orang yang kekal selama-lamanya di dalam Syurga.

AYAT 21- {DAN IA BERSUMPAH KEPADA KEDUANYA (DENGAN BERKATA): “SESUNGGUHNYA AKU ADALAH DARI MEREKA YANG MEMBERI NASIHAT KEPADA KAMU BERDUA”.} (AL-A’RAF 7:21)

  1. Iblis menghasut lagi dengan bersumpah kepada mereka berdua bahawa nasihat & ajarannya itu adalah benar & kebaikan untuk mereka berdua.
    Dia bersumpah dia adalah penasihat yang dapat mereka percayai! 
    Jika tak dengar maka rugilah.
  1. Ulama’ tadabbur kata : Orang yang suka bersumpah adalah orang munafiqin yang tidak dapat dipercayai serta kaki kelentong!
  1. Orang beriman tidak akan mudah-mudah bersumpah tanpa keperluan serta dengan ikut peraturan Syari’ah.

AYAT 22- {DENGAN SEBAB ITU DAPATLAH IA MENJATUHKAN MEREKA BERDUA (KE DALAM LARANGAN) DENGAN TIPU DAYANYA. SETELAH MEREKA MEMAKAN (BUAH) POHON ITU, TERDEDAHLAH KEPADA MEREKA BERDUA AURAT MASING-MASING, DAN MEREKA MULAILAH MENUTUPNYA DENGAN DAUN-DAUN (DARI) SYURGA. SERTA TUHAN MEREKA MENYERU MEREKA: “BUKANKAH AKU TELAH MELARANG KAMU BERDUA DARI POKOK ITU, DAN AKU KATAKAN KEPADA KAMU, BAHAWA SYAITAN ITU ADALAH MUSUH KAMU YANG NYATA?”} (AL-A’RAF 7:22)

  1. Adam & Hawwa’ lalu terpedaya & terpengaruh dengan hasutan & tipu daya syaitan itu!
  1. Lalu apabila mereka makan buah larangan Allah itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga.
  1. Allah lalu menegur dan menyeru kepada mereka berdua: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”
  1. Allah telah larang tetapi Adam & Hawwa’ tak dengar bahkan ikut juga hasutan syaitan yang merupakan musuh yang jelas nyata tidak mahu kebaikan bagi manusia!
  1. Allahu Akbar! Alangkah sedih dan tragisnya kisah mereka berdua, duduk molek-molek di dalam syurga, tiba-tiba jatuh dalam tipu daya syaitan yang tidak mahu lihat kesenangan mereka! 

AYAT 23- {MEREKA BERDUA MERAYU: “WAHAI TUHAN KAMI, KAMI TELAH MENGANIAYA DIRI KAMI SENDIRI, DAN KALAU ENGKAU TIDAK MENGAMPUNKAN KAMI DAN MEMBERI RAHMAT KEPADA KAMI, NESCAYA MENJADILAH KAMI DARI ORANG-ORANG YANG RUGI”.} (AL-A’RAF 7:23)

  1. Setelah mendengar teguran Allah itu Adam & Hawwa terus sedar lalu insaf & bertaubat kepada Allah SWT. 
    Kerana Allah sayang kepada mereka, mereka menjadi orang yang segera insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.
  1. Mereka terus berdoa kepada Allah SWT dengan berkata: {رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ}
    Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
  1. Nota [200]: 
    i- Inilah Kalimah-kalimah pengakuan taubat yang telah diilhamkan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Adam dan isterinya Hawwa’, yang telah diamalkannya lalu diterima taubatnya, sebagaimana yang tersebut dalam ayat 37, Surah Al-Baqarah: {“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.”} (al-Baqarah: 37)

    ii- Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi Adam AS menjadi nabi, kerana seseorang nabi itu adalah “Maksum” (معصوم) yakni terpelihara dari melakukan dosa.

    iii- Menurut setengah Ahli Tafsir, bahawa nabi Adam AS berbahagia dengan lima perkara iaitu:
    a- Mengakui kesalahannya.
    b- Menyesal akan kesalahan itu.
    c- Menempelak dirinya sendiri.
    d- Segera bertaubat.
    e- Tidak berputus asa dari rahmat Allah!

    iv- Sebaliknya Iblis telah ditimpa celaka disebabkan lima perkara:
    a- Ia tidak mengaku salah, 
    b- Tidak menyesal, 
    c- Tidak menempelak dirinya sendiri, 
    d- Enggan bertaubat, 
    e- Dan ia pula berputus asa daripada rahmat Allah. (Tafsir Al-Qaasimi, 7:2643)
  1. Kita manusia yang banyak dosa & kesalahan ini, belajar & ambillah pengajaran dengan datuk kita Adam ini, yang apabila bersalah & berdosa terus bertaubat kepada Allah dan menyesalinya! 
    Jangan pula angkuh sombong seperti iblis itu, walaupun sebanyak mana kesalahan kita teruskan berdoa merayu keampunan & rahmat Allah.

AYAT 24- {ALLAH BERFIRMAN: “TURUNLAH KAMU SEMUANYA, DENGAN KEADAAN SETENGAH KAMU MENJADI MUSUH BAGI SETENGAHNYA YANG LAIN, DAN BAGI KAMU DISEDIAKAN TEMPAT KEDIAMAN DI BUMI, DAN JUGA DIBERI KESENANGAN HINGGA KE SUATU KETIKA (MATI)”.} (AL-A’RAF 7:24)

  1. Tetapi apa boleh buat, apabila telah buat kesalahan pastilah ada hukuman dan akibatnya! 
    Maka hukuman atas dunia ini atas kesalahan itu ialah: {قَالَ ٱهْبِطُوا۟} turunlah kamu dari syurga & langit!
  1. Allah menghalau mereka semua (iblis, Adam & Hawwa’) keluar dari syurga & langit, serta disediakan bagi mereka tempat tinggal atas bumi, dan juga diberi kesenangan yakni Allah sediakan segala keperluan hidup manusia atas muka bumi ini.
  1. Allah SWT juga mengingatkan Adam dan Hawwa’ bahawa manusia dan iblis akan sentiasa saling bermusuhan iaitu sebahagian menjadi musuh sebahagian yang lain. 
    Yakni permusuhan antara syaitan dan manusia selalu ada. 
  1. Manusia harus sentiasa berwaspada dari bisikan dan hasutan syaitan sebagaimana firman Allah SWT:
    {“Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”} (Faathir: 6)

AYAT 25- {ALLAH BERFIRMAN LAGI: “DI BUMI ITU KAMU HIDUP DAN SITU JUGA KAMU MATI, DAN DARIPADANYA PULA KAMU AKAN DIKELUARKAN (DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA PADA HARI KIAMAT)”.} (AL-A’RAF 7:25)

  1. Allah berfirman lagi bahawa di atas bumi itu adalah tempat untuk kamu:
    i- Kamu hidup dan situ

    ii- Juga kamu mati,

    iii- Dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan, dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.
  1. Yakni manusia diberi tempoh hidup atas dunia sehingga ke suatu ketika nanti iaitu sehingga mati lalu masuk ke dalam bumi.
    Apabila Kiamat semua manusia akan keluar semula dari bumi, berkumpul di padang Mahsyar dan kembali semula kepada Allah di Akhirat kelak.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.} (Taha 20:55)
  1. Tamatlah episod ringkas kisah pertembungan antara iblis & manusia yang bermula dari awal lagi. 
    Manusia kena sentiasa waspada agar tidak terpedaya dengan hasutan syaitan, musuh utamanya yang mahu manusia turut binasa & celaka bersamanya.
    Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari digoda & dihasut oleh iblis.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 19- {“Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai…..}-

    Allah perintahkan Nabi Adam & isterinya untuk hidup dalam syurga dengan baik serta gunalah segala nikmatnya ikut suka kamu.
    Dalam ayat ini kata ulama’ : Mengajar bahawa setiap orang mesti tahu apa kecenderungan diri masing-masing, suka apa & mahu ke mana. Ada orang suka makan, suka travel, suka shopping dan lain-lain.
    Maka barulah kita boleh belajar dan cari ilmu untuk mengawal nafsu supaya kita selamat dari godaan & hasutan syaitan!
    Tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan.
    Begitulah dalam setiap larangan itu ujian untuk kita kerana Allah nak membezakan siapakah orang beriman yang taat & siapakah yang derhaka! 
  1. Ayat 19- {“Dan wahai Adam!….. dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim”.}-

    Allah SWT apabila melarang sesuatu perkara; Dia akan melarangnya bermula dari akar umbinya lagi!
    Seperti dalam ayat ini Allah larang Adam & Hawwa’ dari mendekati pokok itu agar tidak terlanggar pula larangan dari memakan buahnya.
    Kata ulama’ : Larangan dari jangan menghampiri sesuatu perkara adalah lebih besar daripada larangan agar jangan buat.
    Contoh seperti larangan zina dalam al-Quran, Allah tidak kata jangan kamu berzina tetapi jangan hampirinya. 
    Yakni jangan buat & hampiri segala perkara & mekanimse yang dapat membawa dan mendekatkam seseorang kepada zina seperti pergaulan bebas, berduan lelaki perempuan, berhias & berwangian bagi wanita dan seumpamanya!
    Inilah kaedah (سد الذرائع) kita sekat sesuatu yang tidak baik kerana nak halangnya daripada membawa kepada perkara yang lebih buruk atau berat!
    Sama seperti masalah kita sekarang, orang Islam nak ikut sertai perayaan yang disambut oleh orang bukan Islam. 
    Pihak berkuasa agama mesti tegas dalam masalah ini jangan tunduk kepada tekanan dari pihak-pihak lain; aqidah umat Islam wajib dijaga & dipelihara.
    Sebarang larangan dari Allah perlu ditaati dari akar umbi dan masalah agama perlukan panduan dan jagaan dari pihak pemerintah. Mereka yang berkuasa mesti tegas dalan urusan aqidah umat.
  1. Ayat 20- {Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka,…}-

    Antara tujuan utama iblis mengahasut Adam & Hawwa’ agar melangar perintah Allah itu adalah untuk mendedahkan aurat mereka!
    Rupanya isu aurat ini sudah lama menjadi agenda utama syaitan yang mahu supaya manusia tidak menutup aurat sebagaimana perintah Allah SWT.
    Pengajarannya betapa pentingnya kita menjaga aurat terutama ahli keluarga seperti anak isteri. 
    Ini adalah satu isu besar yang dimainkan oleh syaitan untuk menjadikan manusia bermudah-mudah tentang aurat, tidak menjaga aurat, tidak menutup sepenuhnya ikut SOP Syari’ah atau dahsyat sekali berpakaian seperti kafir terus.
    Malang sekali manusia hari ini ramai yang telah jatuh masuk perangkap syaitan ini dan mengambil mudah tentang aurat. 
    Tidak menutup aurat sudah menjadi satu normalisasi dalam hidup.
  1. Ayat 22- {Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing,…}-

    Syaitan menggoda Adam dengan tipu-dayanya {فَدَلَّىٰهُمَا بِغُرُورٍۢ ۚ}. 
    Syaitan merosakkan manusia dengan menggoda secara halus dan lembut hingga manusia tergelincir dari mentaati Allah.
    Iblis datang bawa hasutannya dengan cara yang sangat lunak, halus, lemah lembut dan meyakinkan, seperti atas nama toleransi, bertolak ansur, masyarakat majmuk dan sebagainya. 
    Kita wajib peka dan berhati-hati dengan urusan berkaitan akidah Islam.
    Mainan iblis ini adalah secara beransur dan perlahan, iblis sangat sabar dan tidak gopoh dalam menunggu manusia jatuh dalam perangkapnya! 
    Ia sanggup menunggu walaupun lama, dengan sabar & tanpa cuti.
  1. Ayat 23- {Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.}-

    Nabi Adam AS mengakui kesalahannya dan merayu kepada Allah agar menerima taubatnya!
    Beginilah adab berdoa & bertaubat kepada Allah, akui kesalahan diri kita sendiri, jangan letakkan kesalahan pada Allah dengan menyalahkan takdir dan sebagainya, segeralah bertaubat dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah.
    Ini sebagaimana yang kita bincangkan tadi bahawa bagaimana nabi Adam AS bahagia dengan 5 perkara serta iblis celaka juga dengan 5 perkara.
    Semoga Allah SWT menerima taubatnya & mengembalikannya semula ke syurga bersama kita semua pada suatu waktu yang dijanjikan nanti insya’ Allah!

Pengumuman:
Insya’ Allah, Dr. Abu Anas Madani akan mula baca kitab ini dalam kuliah Maghrib malam Jumaat secara mingguan di: Masjid ar-Rahman, PSD.
Nama kitab: Kehidupan Mulia Nabi Muhammad SAW (Ar-Raheeq Al-Makhtum)
Tempahan di Link: https://www.dakwahbookstore.com/…/kehidupan-mulia-nabi…/
Elok beli versi yang sama ini kerana AAM akan baca ikut cetakan ini.

Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs