GOLONGAN KAFIR KERAS KEPALA MENOLAK PERKARA YANG BOLEH DILIHAT & ARAHAN AGAR NABI SAW SENTIASA BERSABAR.
Full video : https://youtu.be/mBkXfxESBJg?si=mxUkVhVsIJ-JGi3n
MUQADDIMAH :
- Ini adalah siri yang ketujuh dan terakhir bagi tafsir Surah At-Tur ini Insya’Allah.
- Dalam ayat-ayat ini Allah SWT menyatakan betapa keras kepalanya orang kafir tidak mahu meneriman kebenaran walaupun mereka telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri tanda-tanda & dalilnya.
- Di akhir surah ini Allah SWT sekali lagi menyuruh supaya Rasulullah SAW terus menyampaikan ilmu & dakwahnya serta bersabar atas segala tentangan.
- Antara cara untuk bersabar ialah sentiasa ingat, banyak bertasbih kepada Allah SWT. Hati sentiasa ingat kepada Allah manakala lidah pula sentiasa basah berzikr kepada Allah SWT!
Bacaan dan tasbih harian ada dalam buku
Perisai Muslim : http://www.dartaibah.com/…
Atau : http://www.dartaibah.com/…
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم
AYAT 44- {DAN KIRANYA MEREKA MELIHAT SEPOTONG BESAR DARI LANGIT GUGUR (UNTUK MENIMPA MEREKA), MEREKA AKAN BERKATA: “(ITU ADALAH) AWAN YANG BERTOMPOK – BERLAPIS-LAPIS!”} (AT-TUR 52:44)
- Munasabah ayat: Kaum musyrikin pernah meminta dari Rasulullah SAW supaya menimpakan azab ke atas mereka.
Firman Allah SWT:
{Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.} (Al-Isra’ 17:92)
- Jikalah permintaan mereka itu diterima dan mereka lihat potongan langit runtuh menimpa ke atas mereka, mereka tetap ingkar tidak akan menerima & mengakuinya sebagai bala azab dari Allah SWT!
- Bahkan mengatakan hanya fenomena biasa, ia adalah kumpulan awan yang membawa hujan kepada mereka! Sehinggalah mereka hancur lenyek dek azab itu!
- Yakni mereka lansung tidak mahu insaf, kembali ke pangkal jalan.
Mereka tidak mahu kaitkan semua yang berlaku dalam alam ini kepada Allah SWT. Semuanya adalah bencana alam semula jadi!
- Bagi kita orang muslim, wajib kembalikan semuanya kepada Allah SWT, sebagai satu peringatan dan amaran dari Allah. Ini agar kita sedar dan kembali kepada Allah SWT, jangan terpengaruh dengan gaya pemikiran orang kafir.
- Kisah ini juga dijelaskan dalam firman Allah SWT:
{(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).} (Saba’ 34:9)
AYAT 45- {(KALAU KEINGKARAN DAN KEDEGILAN MEREKA SAMPAI BEGITU SEKALI) MAKA BIARKANLAH MEREKA (WAHAI MUHAMMAD, DAN JANGANLAH DIHIRAUKAN) SEHINGGA MEREKA MENEMUI HARI YANG PADANYA MEREKA AKAN BINASA.} (AT-TUR 52:45)
- Allah SWT ajar kepada Rasulullah SAW jika mereka terus ingkar & berdegil, biarkan mereka, tinggalkan mereka dalam kesesatan itu. Jangan hirau dan runsing lagi, kerana Baginda SAW telah jalankan tugasnya!
- Biarkan mereka sehingga tiba hari yang pasti mereka akan binasa!
Semua orang akan bertemu dengan hari itu (يَوۡمَهُمُ ٱلَّذِي).
- Ulama’ kata hari itu sama ada :
i- Hari peperangan Badar.
ii- Hari kematian bagi mereka semua.
iii- Hari Kiamat nanti.
Yang pasti ialah hari kebinasaan puak kafir.
AYAT 46- {(IAITU) HARI SEGALA RANCANGAN JAHAT DAN TIPU DAYA MEREKA TIDAK DAPAT MENDATANGKAN SEBARANG FAEDAH KEPADA MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK DIBERIKAN PERTOLONGAN.} (AT-TUR 52:46)
- Dalam ayat ini Allah SWT sifatkan hari itu (يَوۡمَهُمُ ٱلَّذِي) yang dijanjikan-Nya tadi. Juga dibezakan bahawa orang mukmin akan bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan redha manakala orang kafir dalam keadaan murka!
- Iaitu pada hari yang tidak akan memberi manfaat lagi bagi tipu daya & perancangan jahat mereka! Tunggulah tiba hari yang kamu ingkarkan itu.
- Semuanya akan dibongkar oleh Allah SWT & mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka!
- Pada hari itu tiada siapa akan selamat & tiada siapa dapat memberi atau menerima pertolongan.
AYAT 47- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU AKAN BEROLEH AZAB SEKSA SELAIN DARI AZAB YANG TERSEBUT, AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA).} (AT-TUR 52:47)
- Sebelum kena azab di akhirat itu, orang kafir akan kena juga azab sebelum itu, iaitu azab di dunia sebelum azab yang besar & kekal (دُونَ ذَٰلِكَ)!
- Kata ahli tafsir azab yang disebut (عَذَابٗا) di sini:
i- Termasuk azab di dunia di mana mereka akan diperangi dan dibunuh!
ii- Azab di alam kubur iaitu alam barzakh yang tiada seorang pun akan terlepas dari ditanya & diuji dalam kubur.
iii- Azab yang Allah hantar atas dunia ini untuk membinasakan mereka sama ada banjir besar, tempikan suara, ribut taufan dan seumpamanya!
Semua azab yang dilalui sebelum mereka sampai ke azab yang kekal abadi di Akhirat kelaka!
- Firman Allah SWT:
{Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.} (As-Sajdah 32:21)
- Tetapi malangnya kebanyakan puak kafir ini tidak mengetahuinya atau saja tidak menerimanya, dengan buat tidak tahu!
- Tahu atau tidak, percaya atau tidak, mereka tetap akan berjumpa & melaluinya!
AYAT 48- {DAN (DENGAN YANG DEMIKIAN) BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD) MENERIMA HUKUM TUHANMU (MEMBERI TEMPOH KEPADA MEREKA), KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU TETAP TERSELAMAT DALAM PEMULIHARAAN SERTA PENGAWASAN KAMI; DAN BERTASBIHLAH DENGAN MEMUJI TUHANMU SEMASA ENGKAU BANGUN.} (AT-TUR 52:48)
- Sekali lagi Allah SWT memberi nasihat kepada Rasulullah SAW agar terus istiqomah dan bersabar. Bersabar dan jangan gopoh, kerana Allah SWT memberi tempoh kepada mereka, yakni tidak terus mati kena azab.
- Manakala Baginda SAW akan selamat dalam perlindungan serta pengawasan Allah SWT! Walaupun puak kafir cuba pelbagai cara untuk menyakiti & mengkhianatinya, Allah beri jaminan bahawa akan sentiasa memeliharanya!
- Maka bertasbih dengan memuji Tuhanmu apabila kamu bangun (حِينَ تَقُومُ).
Yakni ketika kamu bangun dari sesuatu majlis, ketika hendak mengerjakan solat & ketika bangun dari tidur; demikian mengikut kesimpulan beberapa hadis Rasulullah SAW.
- Kata ulama’ seperti al-Mawardi, bangun ini ialah apabila :
i- Banggun dari majlis apabila selesai. Baca doa Kaffaratul-majlis.
ii- Bangun dari tidur. Doa bangun tidur yang diajar oleh Rasulullah SAW.
iii- Ketika bangun dari tidur pendek (Qailulah : Nap).
iv- Ketika bangun dari pergerakan solat seperti rukuk & sujud.
v- Doa ketika mula untuk solat dalam doa istiftah.
Semua himpunan doa ini ada dalam buku Perisai Muslim.
- Hadis :
i- Riwayat dari UM Aisyah RA : SAIDATINA Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ bukan sahaja bertasbih ketika rukuk dan sujud bahkan Baginda Nabi ﷺ turut beristighfar. “Sesungguhnya Rasulullah banyak mengucapkan lafaz ini ketika rukuk dan sujud:سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan segala pujian puji-pujian buatMu. Ya Allah Ampunkanlah (dosa-dosaku).” [HR Bukhari & Muslim].
ii- SAIDATINA Aisyah RA menceritakan juga bahawa:
جاء في صحيح مسلم عن عائشة قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يكثر من قول: سبحان الله وبحمده، أستغفر الله وأتوب إليه، قالت: فقلت يا رسول الله، أراك تكثر من قول: سبحان الله وبحمده، أستغفر الله وأتوب إليه؟ فقال: خبرني ربي أني سأرى علامة في أمتي، فإذا رأيتها أكثرت من قول: سبحان الله وبحمده، أستغفر الله وأتوب إليه، فقد رأيتها إذا جاء نصر الله والفتح، فتح مكة، ورأيت الناس يدخلون في دين الله أفواجا، فسبح بحمد ربك واستغفره إنه كان توابا.
“Sesungguhnya Rasulullah banyak mengucapkan: سبحان الله وبحمده، أستغفر الله وأتوب إليه، Lalu Aisyah bertanya: Kenapa Rasulullah banyak baca tasbih dan istighfar ini? Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT telah mengkhabarkan kepadaku bahawa aku akan melihat tanda-tanda kemenangan umatku ini. Maka apabila aku melihatnya aku pun memperbanyakkan bacaan ini: سبحان الله وبحمده، أستغفر الله وأتوب إليه، Aku telah melihatnya tanda kemenangan apabila turun ayat al-Quran ini: {Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan} (An-Nasr 110:1) Aku telah menyaksikan Pembukaan kota Makkah, kemudian firman Allah: {Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.} (An-Nasr 110: 2-3) Maka Rasulullah SAW pun perbanyakkan tasbih & istighfarnya. [HR Muslim].
- Kita jika nak kekuatan & kemenangan ikut Sunnah Nabi SAW bukan ikut nafsu kita. Mesti tunjukkan cinta kepada Nabi SAW sebagaimana yang dibuat oleh para sahabat, para tabi’en & ulama’ salafus-soleh yang mana mereka lebih cinta kepada Rasulullah SAW daripada kita.
AYAT 49- {DAN JUGA HENDAKLAH ENGKAU BERTASBIH KEPADANYA PADA WAKTU MALAM, DAN KETIKA BINTANG-BINTANG TENGGELAM (PADA WAKTU SUBUH).} (AT-TUR 52:49)
- Juga bertasbihlah kepada Allah SWT apabila masuk waktu malam.
Kata ulama’ : Pada sebahagian malam kita peruntukkan untuk beribadat selepas kita tidur & berehat. Bukan tidak tidur lansung.
- Firman Allah SWT:
{Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.} (Al-Insan 76:26)
- Bertasbih jugalah apabila bintang-bintang tenggelam iaitu apabila sudah dekat kepada waktu subuh.
Ada ulama’ kata : Solat al-Fajr, lalu bertasbihlah sehingga ke solat Subuh.
- Banyak menyebut nama Allah itu satu nikmat (نعمة) manakala banyak sebut nama orang lain (dengan tidak baik) adalah satu bencana (نقمة).
Inilah yang kita takut hari ini, kita banyak sebut nama orang bukan nama Tuhan!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
- Ayat 44- {Dan kiranya mereka melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan berkata: “(Itu adalah) awan yang bertompok, berlapis-lapis!”}-
Ayat ini memberi isyarat apabila manusia tidak mampu lagi untuk mengatakan Rasulullah SAW berbohong; maka apabila tiba azab, mereka cuba elakkan lagi dari terima hakikat kebenaran, menggunakan imajinasi dan khayalan mereka, mengatakan bahawa itu adalah satu fenomena biasa, alam semulajadi, bukan azab dari Allah SWT!
Ayat ini mengajar kepada kita orang Islam untuk mengaitkan kepada kuasa Allah SWT atas semua perkara yang berlaku atas dunia ini. Kita letakkan semuanya adalah dalam kuasa Allah maka barulah hati kita tenang & redha. Ingat juga bahawa kita semua dalam keadaan bahaya kecuali yang mendapat rahmat & perlindungan Allah SWT!
- Ayat 47- {Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).}-
Yakni sebelum azab yang besar di akhirat mereka akan jumpa azab lain dulu.
Kata ulama’ tadabbur : Allah SWT tidak akan mengazab sesiapa pun melainkan dengan sebab dosanya sendiri!
Orang yang zalim pasti kena azab dengan sebab dosa mereka; tetapi orang yang tidak zalim kenapa kena juga azab (ujian) yang berat atas dunia ini?
Jawapan: Ini kerana Allah SWT mahu mengangkat darjat mereka dan memberi pahala kepada mereka dengan sebab kesabaran mereka! Ibadat mereka tidak banyak tetapi Allah nak angkat darjatnya dalam syurga.
Ayat ini juga memberi peringatan bahawa azab itu berbeza kategorinya, azab di dunia sudah berat tetapi azab akhirat lagi dahsyat! Kita tidak mahu kedua-duanya!
- Ayat 48- {Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka),}-
Ayat ini perlu dihayati & ditadabbur oleh setiap orang yang beriman! Orang yang sabar dengan ujian & ketetapan Allah SWT akan diberi pahala atasnya. Ayat ini akan melapangkan kesempitan dada yang ditimpa masalah dunia dan menerima hukum lah SWT.
Kata ulama’ hukum Allah SWT itu ada dua:
i- Ketetapan Allah SWT cipta atau buat sesuatu. Yakni taqdir Allah.
ii- Arahan & larangan iaitu Syari’ah Allah SWT.
Sabar ada 3 jenis:
i- Sabar dalam melakukan ketaatan.
ii- Sabar dalam meninggalkan larangan.
iii- Sabar dalam menghadapi ujian dan musibah.
Sabar itu tidak akan hilang akan begitu saja, Allah lihat segalanya, sesiapa yang sabar Allah akan beri pahala tanpa hisab ke atasnya!
Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang sabar!!
- Ayat 48- {Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.}-
Bilakah waktu bangun ini? Seperti yang kita bincang di atas tadi.
Ada 3 tempat khasnya kata ulama’ :
i- Banggun dari majlis apabila selesai. Baca doa Kaffaratul-majlis.
ii- Bangun dari tidur. Doa bangun tidur yang diajar oleh Rasulullah SAW.
iii- Ketika bangun dari tidur pendek (Qailulah-nap).
DOA PENUTUP MAJLIS (كفارة المجلس) Kaffaratul-majlis sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila tamat majlis:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكْ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلّاَ أَنْتَ وَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
“Maha Suci Engkau ya Allah, dengan memujiMu, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu.” (HR At-Tirmizi)
Ia umum untuk semua majlis sama ada majlis ilmu, perhimpunan, mesyuarat, majlis Kuliah kita ini juga dan sebagainya.
Kita diajar untuk membacanya sebelum mengakhiri majlis agar diampunkan dosa sekiranya kita melakukan kesalahan atau berkata sesuatu yang tidak bermanfaat semasa di dalam majlis.
Mudah-mudahan majlis yang kita anjurkan diberkati serta mendapat rahmat Allah SWT, Insya-Allah.
- Ayat 49- {Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).}-
Peruntukkanlah juga waktu malammu untuk beribadat kepada Allah SWT, dengan solat, bertasbih, berzikir kepada Allah SWT.
Kata ulama’ tadabbur : Alhamdulillah ayat ini menunjukkan Allah sebut sebahagian malam. Allah SWT yang Maha Kaya tahu tentang fitrah manusia yang perlukan rehat & tidur. Ibadat pada waktu malam melibatkan sebahagian daripadanya, bukan sepanjang malam.
Firman Allah SWT: {Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat).} [Al-Muzzammil: 2].
Rasulullah SAW juga tidur dan berehat seketika pada waktu malam. Kemudian Baginda akan bangun solat & beribadat kepada Allah SWT.
Solat sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada waktu malam bilangannya bukanlah ratusan rakaat. Baginda memahami kemampuan umatnya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT. “Adapun Nabi SAW solat pada waktu malam 13 rakaat termasuk witir dan baginda juga solat sunat dua rakaat fajar.” [HR Muslim],
Terkini terdapat satu Kuliah yang menyatakan Rasulullah SAW solat 1000 rakaat solat taubat setiap malam & tidak tidur kerana runsingkan umatnya serta berdoa bagi dosa mereka! Ini adalah satu yang tidak benar dan tiada sumber dari hadis yang sahih.
Hadis : Kisah tiga orang sahabat bertanya kepada UM Aishah RA mengenai akhlak & ibadat Rasulullah SAW. Mendengar jawapan Sayyidah Aisyah RA, lelaki pertama mahu berpuasa sepanjang hari dan tidak akan makan, manakala lelaki kedua mahu sentiasa solat malam tanpa tidur dan lelaki ketiga tidak mahu berkahwin buat selama-lamanya, sebaliknya akan beribadah setiap hari. Selepas Rasulullah SAW mengetahui azam mereka itu, Baginda menegur mereka dengan berhemah: “Apakah kamu yang tadi berkata demikian dan demikian? Adapun aku, demi ALLAH, sungguh aku adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada ALLAH di antara kamu semua. Akan tetapi bersama dengan itu, aku berpuasa dan aku pun berbuka. Aku solat dan aku pun tidur. Aku juga berkahwin dengan wanita. Dan siapa saja yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” [HR Muslim].
Bagi penuntut ilmu, kita harapkan selain munajat & ibadat seperti baca al-Quran dan bersolat malam, masa yang kita guna untuk murajaah kitab, baca tafsir & semak hadis, tadabbur untuk memahami ayat-ayat Allah termasuk juga dalam ibadat tahajjud pada waktu malam, Insya’Allah.
Alhamdulillah tamatlah tafsir Surah At-Tur sebanyak tujuh siri Kuliah.
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكْ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلّاَ أَنْتَ وَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
Wallahu A’lam.